Tuesday, October 31, 2017

PERNIAGAAN ONLINE

Perniagaan "ONLINE" semakin popular dan mendapat sambutan hangat daripada masyarakat  pada era globalisasi ini.


Huraikan kelebihan dan kekurangan perniagaan Internet pada masa ini.

Perniagaan internet merupakan salah satu aktiviti perniagaan yang menggunakan teknologi yang canggih atau lebih dikenali sebagai e-dagang iaitu melakukan urusan jual beli antara peniaga dengan pengguna melalui internet. Di Malaysia, aktiviti perniagaan internet semakin terkenal dan mendapat sambutan pada masa ini, selaras dengan kemajuan pembangunan dan ekonomi di peringkat globalisasi. Di samping itu, perniagaan internet bukan sahaja untuk syarikat-syarikat besar, tetapi juga untuk syarikat kecil. Walaupun mereka mempunyai pekerjaan tetap, mereka juga boleh menjalankan perniagaan ini bagi memperoleh pendapatan sampingan. Hal ini menunjukkan bahawa perniagaan internet semakin mendapat sambutan hangat dan memberikan kebaikan kepada peniaga dan pengguna. Walau bagaimanapun, perniagaan internet juga mempunyai keburukan yang tidak dapat dielakkan.

Perniagaan internet memberikan kelebihan iaitu urusan jual beli dapat dijalankan dengan lebih mudah dan cepat di samping menjimatkan kos. Hal ini dikatakan demikian kerana pihak peniaga tidak perlu mempromosikan produk mereka di luar seperti mengadakan promosi di tepi-tepi jalan, pasar raya dan tempat-tempat awam yang lain. Para peniaga juga boleh membuat promosi dengan mudah iaitu mengiklankan setiap produk mereka dengan menggunakan kemudahan internet. Kerja-kerja promosi bukan sahaja dapat dijalankan dengan mudah, malahan kosnya juga dapat dikurangkan, antaranya kos pengangkutan dan tenaga kerja dalam aktiviti promosi. Keadaan ini turut memudahkan pelanggan dalam urusan pembelian barang. Pelanggan tidak perlu membuang masa untuk membuat tempahan di kedai tetapi mereka boleh membuat tempahan melalui internet sahaja.

Di samping itu, pasaran bagi perniagaan internet dapat dikembangkan di serata dunia. Produk dari Malaysia seperti pencuci muka berjenama murah bukan sahaja tertumpu di dalam negara sahaja tetapi juga boleh diluaskan pasarannya ke luar negara seperti Indonesia, Filipina, Singapura, India, dan Amerika Syarikat. Penjualan barang di luar negara bukan sahaja memperkenalkan jenama produk Malaysia tetapi juga memberikan keuntungan besar di samping meningkatkan ekonomi negara. Hal ini berlaku demikian kerana wujudnya pertukaran mata wang asing dalam aktiviti jual beli antara peniaga dari negara ini dengan negara luar mula berminat terhadap barangan dari Malaysia dan mula menyebarkan berita tersebut kepada rakan-rakan mereka.

Selain itu, perniagaan internet juga memberikan impak kepada ekonomi negara, lebih-lebih lagi dari aspek pelancongan. Dalam sektor pelancongan, kebiasaannya setiap hotel dan pusat pelancongan akan menjual produk pelancongan mereka iaitu dengan membuat promosi mereka melalui internet supaya pasaran akan lebih luas sehingga ke luar negara. Keadaan ini dapat menarik pelancong yang lebih banyak untuk datang dan bercuti ke Malaysia. Pendapatan negara melalui pertukaran mata wang asing bukan sahaja meningkat tetapi juga persaingan antara negara maju yang lain juga dapat ditingkatkan. Keadaan ini menunjukkan bahawa negara Malaysia juga mampu memberikan saingan yang hebat dalam sektor pelancongan melalui penggunaan alatan yang canggih dan berteknologi tinggi.

Terdapat juga beberapa kesan negatif apabila peniaga menceburkan diri dalam perniagaan internet, antaranya ialah peniaga terpaksa menghadapi pelbagai kerenah pelanggan. Sebagai contohnya, walaupun Malaysia semakin maju, terdapat banyak lagi anggota masyarakat yang tidak biasa menggunakan teknologi maklumat. Di samping itu, terdapat juga pengguna yang terlalu cerewet dan menyusahkan peniaga atau usahawan internet. Oleh itu, peniaga terpaksa bersabar dengan kerenah pelanggan yang sering tidak berpuas hati dengan produk yang dipasarkan atas alasan hanya membuat pilihan melalui iklan dalam internet sahaja. Keadaan ini juga memberikan impak kepada peniaga yang terpaksa mengeluarkan kos yang lebih tinggi untuk menghantar barang yang diganti itu semula demi kepuasan pengguna. Keadaan ini berlaku kepada peniaga yang mengamalkan konsep bayar, terima dan guna iaitu pembeli terpaksa membayar harga barangan tersebut terlebih dahulu sebelum mereka menerima dan boleh menggunakannya.

Di samping itu, pengguna atau pelanggan juga perlu berhati-hati kerana pelbagai risiko perlu dihadapi oleh peniaga. Risiko yang dimaksudkan itu seperti produk atau perkhidmatan yang dipasarkan hanya indah khabar daripada rupa, contohnya bagi sesetengah produk, terutamanya makanan dan produk kesihatan. Hal ini dikatakan demikian kerana ditakuti produk tersebut berbahaya untuk kesihatan pengguna. Dalam sektor pelancongan pula, kebanyakan pelanggan membuat aduan bahawa tempat-tempat percutian yang telah ditempah melalui iklan dalam internet tidak secantik seperti yang ditunjukkan melalui iklan dalam internet. Keadaan ini tentunya akan memberikan kesan negatif kepada negara lebih-lebih lagi dalam sektor pelancongan. Hal ini menyebabkan berlakunya tanggapan negatif daripada pelancong asing yang kebanyakannya tertipu oleh promosi daripada pihak yang tidak bertanggungjawab dan hanya mementingkan keuntungan tanpa mengira kepuasan dan keselesaan pelanggan.

Sebagai kesimpulannya, perniagaan internet bukan sahaja memberikan manfaat kepada pengguna tetapi juga memberikan kemudahan dan kebaikan kepada peniaga. Di samping itu, kita bukan sahaja menerima kebaikan dan faedahnya, malahan hal ini turut memberikan impak yang besar juga kepada negara. Keadaan ini menunjukkan bahawa negara Malaysia kini mampu bersaing dengan negara-negara maju yang lain. Walau bagaimanapun, pengguna harus berhati-hati kerana terdapat beberapa risiko yang akan dihadapi oleh mereka. Oleh hal yang demikian, pihak berkuasa dan kerajaan haruslah mengawal dan memantau aktiviti perniagaan melalui internet ini supaya bentuk perniagaan dan kemudahan ini tidak disalahgunakan oleh pihak ynag bertanggungjawab kerana kita tidak mahu sudah terhantuk baru nak tengadah.

No comments:

Post a Comment