Wednesday, October 30, 2019

SBE - JMJ PERISTIWA TELADAN


(a)          Dalam sesebuah novel terdapat banyak peristiwa yang dapat memberi teladan kepada pembaca.

Berdasarkan sebuah novel yang anda kaji, huraikan dua peristiwa yang dapat memberikan teladan kepada pembaca.
JENDELA MENGHADAP JALAN

Novel yang saya kaji di Tingkatan 4 ialah novel Jendela Menghadap Jalan karya Ruhaini Matdarin. Terdapat pelbagai peristiwa yang dapat memberikan teladan kepada pembaca.

Peristiwa yang pertama ialah peristiwa datuk Lili mempertahankan tanah daripada dijual. Datuk merungut sambil memarahi abang kandung Danel, Sugi Oogway yang menghantar kawannya daripada sebuah syarikat untuk memujuk orang kampung supaya menjual tanah mereka untuk dijadikan deretan rumah sewa. Peristiwa ini dapat memberikan teladan kepada pembaca agar mempertahankan hak atau tanah daripada jatuh kepada orang lain.

Peristiwa yang kedua ialah peristiwa Lili melaporkan kes keganasan rumah tangga Che Jah kepada Puan Hamimah, Pegawai Kebajikan Masyarakat untuk menyelamatkan Che Jah dan anak-anaknya daripada terus dipukul oleh suaminya, Seman yang sering mabuk dan mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga. Peristiwa ini dapat memberikan teladan kepada pembaca agar membantu orang lain yang berhadapan dengan masalah untuk menyelamatkan mereka daripada terus menjadi mangsa keganasan.
SONGKET BERBENANG EMAS

Novel yang saya kaji di Tingkatan 5 ialah novel Songket Berbenang Emas karya Khairuddin Ayip. Terdapat pelbagai peristiwa yang dapat memberikan teladan kepada pembaca.

Peristiwa yang pertama ialah peristiwa Embong memastikan anak-anaknya mendapat pendidikan yang baik. Walaupun Embong hidup dalam kemiskinan tetapi dia tetap mementingkan pelajaran anak-anaknya. Embong marah apabila Dahlia bercadang untuk berhenti sekolah kerana mahu membantu keluarga sedangkan dia masih mampu mencari rezeki untuk anak-anaknya. Peristiwa ini memberikan teladan kepada pembaca mementingkan pendidikan anak-anak agar masa depan mereka terjamin.

Peristiwa yang kedua ialah peristiwa Dahlia menjaga dan menguruskan ibunya yang mengalami masalah kesihatan mental. Dahlia memujuk ibunya yang berada di kebun getah untuk balik ke rumah mereka kerana hari semakin gelap tetapi tidak berjaya. Akhirnya, Saleha berjaya dibawa balik oleh Embong. Peristiwa ini memberikan teladan kepada kita agar menjaga orang yang menghadapi masalah mental dengan sebaik-baiknya dan bukan membiarkan mereka merayau-rayau tanpa arah.

No comments:

Post a Comment