Thursday, September 27, 2018

PT3 - KARANGAN PERTANIAN


Langkah-langkah yang perlu diambil untuk menggalakkan generasi muda menceburi bidang pertanian.

SOALAN PERCUBAAN BM KERTAS 1 (B) NEGERI KEDAH

            Pada era kontemporari ini, isu berkaitan dengan pertanian meniti dari bibir ke bibir masyarakat seantero negara. Saban hari, isu pertanian menghiasi dada-dad akhbar, didengar di corong-corong tetuang udara (radio), dan ditonton di kaca-kaca peti gambar (televisyen). Sektor pertanian di negara ini tidak boleh dipandang dengan sebelah mata. Persoalan yang berlegar-legar dalam gawang minda kita ialah apakah prakarsa-prakarsa proaktif untuk menggalakkan remaja terlibat dalam sektor pertanian?
            Sebagai pembuka tirai diskusi yang perdana, usaha melibatkan remaja dalam sektor pertanian dapat dijalankan dengan peranan kerajaan. Pihak kerajaan melalui Kementerian Pelajaran boleh menubuhkan lebih banyak sekolah vokasional pertanian. Sehingga tahun 2018, hanya terdapat lima buah sekolah pertanian di seluruh negara. Penubuhan sekolah ini akan membuka minda golongan remaja untuk melihat dunia pertanian dari mandala baharu. Izharlah bahawa peranan kerajaan dapat menggalakkan golongan muda untuk terlibat dalam sektor pertanian pada masa hadapan.
            Jika ditinjau dari perspektif lain, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani juga dapat memainkan peranan dominan untuk menarik remajameminati bidang pertanian. Pihak kementerian boleh menganjurkan kursus-kursus pertanian untuk golongan muda dengan menggunakan kaedah moden. Persepsi negatif tentang pertanian kovensional yang berkaitan dengan cangkul, lembu dan kemiskinan nescaya akan berubah. Kursus asas pertanian dan motivasi ini akan mendorong mereka untuk menjadi petani moden yang menggunakan kaedah penyelidikan dan pembangunan (R&D). Ijmallah bahawa kursus dan motivasi berpotensi untuk menggalakakn pemuda-pemudi alaf baharu menceburi bidang pertanian.
            Dalam erti kata yang lebih komprehensif, ibu bapa juga memainkan peranan efektif dalam menggalakkan anak-anak remaja dalam sektor pertanian. Pertama-tamanya, ibu bapa janganlah bertindak sebagai batu penghalang sebaliknya menggalakkan anak-anak menceburi bidang pertanian sejak kecil. Aforisme Melayu lama ada mengungkapkan bahawa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa juga perlu faham bahawa bidang pertanian juga membolehkan seseorang menjadi jutawan. Contoh paling jelas ialah Mohd. Zoki Abdullah yang menjadi jutawan muda dengan mengusahakan projek anggur di Perlis. Pendek kata, ibu bapa mampu membentuk masa depan anak-anak yang cerah dalam bidang pertanian.
            Secara holistiknya, sudah terang lagi bersuluh bahawa golongan remaja tidak akan menyesal apabila memilih pertanian sebagai profesion mereka. Sehubungan dengan itu, semua pihak mestilah bekerjasama bagai aur dengan  tebing agar generasi Y (Gen Y) dapat direvolusikan minda mereka. Akhir kata, penglibatan remaja dalam sektor pertanian dapat mengubah landskap pertanian di negara ini.

1 comment: