Thursday, May 2, 2019

UJIAN SUMATIF BM


Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang manfaat-manfaat mewujudkan Kelab Doktor Muda dan implikasi pelaksanaannya kepada negara. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Pada Mei 2006, Kementerian Pelajaran Malaysia telah menubuhkan Kelab Doktor Muda. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengiktiraf usaha berterusan yang telah dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia mengaktifkan Kelab Doktor Muda di sekolah rendah dan menengah di seluruh negara sebagai pemangkin melahirkan generasi baru yang sihat dan cergas. Murid yang dilatih berpeluang meningkatkan pengetahuan dan kemahiran asas kesihatan.

Kelab ini pada awalnya banyak ditubuhkan di sekolah rendah dan merupakan salah satu aktiviti kokurikulum di sekolah rendah. Wakil WHO, Profesor Don Nutbeam memuji Kelab Doktor Muda sebagai program promosi kesihatan di sekolah yang paling berjaya dan berkesan membentuk tabiat kesihatan yang lebih baik seawal di bangku sekolah lagi. Menurutnya lagi terdapat banyak manfaat melalui penubuhan kelab itu seperti tabiat kesihatan dapat didedahkan kepada para pelajar di peringkat sekolah. Hal ini kerana pelajar akan dibimbing secara berkala oleh pihak Kementerian Kesihatan ketika melaksanakan aktiviti. Selain itu, pelajar sekolah akan mendapat pengetahuan dan kemahiran kesihatan seperti pertolongan cemas dan langkah awal menghadapi saat-saat kecemasan sementara menunggu bantuan sampai. Aspek penjagaan kesihatan juga akan turut ditekankan. Pelajar akan belajar menghargai kesihatan yang telah dianugerahkan. Kelab Doktor Muda juga memberikan seribu pengalaman kerana Doktor Muda akan mendapat pengalaman membantu pasukan kesihatan sekolah menguruskan hal-hal berkaitan kesihatan pelajar. Mereka akan membantu untuk memantau kesihatan asas murid yang meliputi penjagaan asas diri dan kekemasan berpakaian.

Program yang dilaksanakan oleh pihak Kementerian Kesihatan ini merupakan suatu program jangka panjang bagi menerapkan amalan gaya hidup sihat dan mengekalkannya sehingga dewasa. Pihak sekolah juga perlu mengambil langkah untuk menggalakkan pelajar menyertai kelab tersebut seperti mengadakan kempen kesedaran supaya ramai pelajar yang akan berminat menyertai kelab tersebut dan menawarkan hadiah menarik untuk setiap aktiviti atau program yang dijalankan. Di samping itu, pelajar juga dapat memupuk sifat kepimpinan dan keyakinan dalam diri. Mereka akan lebih yakin ketika berkomunikasi dengan rakan-rakan pelajar yang lain semasa melakukan pelbagai aktiviti. Kelab Doktor Muda juga akan secara tidak langsung dapat menyemai cita-cita pelajar untuk menjadi doktor apabila dewasa kelak.

Langkah lain yang boleh dilakukan oleh pihak sekolah ialah mengadakan pelbagai pertandingan antara sekolah-sekolah dalam daerah untuk mencungkil bakat-bakat baru. Setelah meninjau beberapa buah sekolah terpilih yang menjalankan Kelab Doktor Muda di Malaysia, Profesor Don Nutbeam program yang dijalankan di bawah kelab ini memberi impak maksima daripada aspek penjagaan diri dan kesihatan harian murid.

Secara tuntasnya, penglibatan pelajar dalam Kelab Doktor Muda diyakini mampu memperkukuh penglibatan guru serta warga sekolah lain dalam usaha meningkatkan kesihatan diri dan keluarga. Usaha berterusan dan komitmen pelbagai pihak amatlah diharapkan untuk merealisasikan program ini.

Dipetik dan diubahsuai daripada “WHO ikhtiraf Kelab Doktor Muda Malaysia” Majalah Pendidik, Bil.103, September 2016.
Soalan 2 (a) - Petikan Umum

(i)               Berikan maksud rangkai kata menyemai cita-cita.                                 [2 markah]


(ii)                   Pengarang mengemukakan  beberapa langkah yang boleh dilakukan oleh pihak

sekolah untuk menjayakan program Kelab Doktor Muda.

Apakah langkah-langkah tersebut.                                                                              [3 markah]


(iii)                  Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk membantu pihak sekolah menjayakan Kelab Doktor Muda.

[4 markah]

Soalan 2 (b) - Petikan Prosa Moden

Kata bonda, kota besar itu sudah hilang segala nilai tradisinya. Kota yang sekadar dibangunkan dengan kempen dan slogan itu sarat dengan api prasangka dan runcing prejudis para warganya yang berbilang bangsa dan bercampur aduk pula budaya dan bahasa pertuturannya. Manusia dipisahkan oleh benteng-benteng ketaksuban dan kepentingan diri masing-masing.

Mereka dipecah-pecahkan oleh ideologi, puak dan etnik , warna kulit, bahasa percakapan serta fahaman politik sehingga mengundang resah dan amarah. Lantas masing-masing bangun untuk berjuang menegakkan identiti masing-masing.

Saya teringat cerita bonda tentang kota mewah itu yang pernah mencalit sejarah hitam dekad lampau. Sejarah yang meninggalkan parut luka sentimen yang bukan sedikit. Sejarah suram yang berparut duka angkara gelodak emosi dan kesumat yang mengalir dalam dada setiap warganya sejak sekian lama.

Dek benih penjajah yang menanamkan racun perkauman melalui sistem pecah dan perintah, bernanahlah segala prasangka buruk sebelum meletusnya tragedi sengketa dan rusuhan antara warga kota yang mewakili bangsa-bangsa yang berbeza fahaman, bahasa dan budaya.

Akibatnya, darah dan korban menjadi sebuah api pergolakan sehingga mencetuskan huru-hara kepada negara yang baru setahun jagung menghirup kemerdekaan. Seperti kata bonda kepada saya setiap kali menjengah calendar Mei pada wajah hari.


(i). Berdasarkan petikan cerpen tersebut, mengapakan kota besar itu dikatakan sudah hilang segala nilai tradisinya ?

[2 markah]

(ii). Perpaduan merupakan tonggak utama kepada sesebuah negara yang aman dan damai serta maju dalam pelbagai bidang.

Pada  pendapat  anda,  apakah  tindakan-tindakan  yang  perlu  dilakukan  untuk  memupuk

perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara kita ?                 [3 markah]


(iii).      Jelaskan  satu persoalan yang terdapat dalam petikan dan satu persoalan lain daripada keseluruhan cerpen yang tidak terdapat dalam petikan [4 markah]


Jawab semua soalan

(a). Tulis satu ayat bagi setiap perkataan berimbuhan

(i)            keluaran

(ii)           mengeluarkan

(iii)          pengeluaran

(iv)         berguna

(v)          menggunakan

(vi)         penggunaan

(b)  Tukarkan ayat aktif di bawah kepada ayat pasif tanpa mengubah maksud asalnya.

1.            Sekolah Kebangsaan Seri Angsana telah mengutip RM 20 000 melalui program Hari Keusahawanan.

2.            Pasukan Bomba dan Penyelamat telah mengeluarkan semua mangsa yang terperangkap dalam keretapi itu.

3.            Ibu sudah melipat kain itu petang semalam walaupun keletihan selepas balik dari Kuala Terengganu.

4.            Kami telah menunaikan permintaan jurulatih untuk menang dalam pertandingan bola tampar itu.

5.            Tuan Pengetua telah menyampaikan surat kenaikan pangkat kepada beberapa orang guru pagi semalam.

6.            Transformasi pendidikan berjaya melahirkan murid-murid yang berfikiran kreatif dan inovatif.



(c). Dalam setiap ayat di bawah, terdapat satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan dari segi imbuhan.

(i). Generasi muda yang mempunyai ide bernas untuk pembangunan negara perlu membimbing kerana mereka akan menjadi tonggak kemajuan negara pada masa depan.

(ii). Syarikat otomotif yang mula beroperasi pada tahun 2012 telah berjaya mencapai sasar jualan kereta sebanyak 2000 unit pada tahun ini.

(iii). Individu yang hendak mengambil makanan penambahan berasaskan cendawan perlu merujuk kepada doktor atau ahli fermasi.

(d). Dalam setiap ayat di bawah, terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa..

(i). Kebanyakan filem-filem yang dihasilkan oleh karyawan tempatan di negara ini selalu mendedahkan tema cinta muda mudi.

(ii). Pak Samad sedang mentafsir kerugian yang dialaminya setelah tanamannya musnah di dalam kejadian banjir semalam.

(iii). Para hakim terpesona mendengar hujah-hujah yang cukup panas dilontarkan oleh pembahas kedua daripada pasukan Kolej Tunku Abdul Rahman dalam pertandingan Bahas Ala Parlimen Peringkat Kebangsaan.


(e). Berikan satu peribahasa lain yang sama maksud atau hampir sama maksud dengan peribahasa di bawah.

(i).seperti abu di atas tunggul.

(ii).bagai cincin dengan permata.

(iii).di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.



No comments:

Post a Comment