Sunday, February 11, 2018

CERPEN HIPERTENSI

CERPEN: HIPERTENSI

CERPEN: HIPERTENSI

A. SINOPSIS:
- mengisahkan seorang pelajar pintar yang meminati bidang aeroangkasa. Cerita dimulakan dengan kisah Aiman Aqil berehat di rumahnya di lereng bukit yang telah gondol akibat penerokaan hutan.

- Aiman teringat peristiwa lalu di mana dia berdebat dengan cikgu Faridah tentang teori Graviti. Kelas menjadi kecoh. Cikgu Faridah menggelar Aiman sebagai professor kerana dia mempunyai daya fikir yang tinggi serta lebih pintar daripada rakannya yang lain.

- Amran ialah anak sulung serta mempunyai 2 adik perempuan iaitu Fadilah Fatin dan Azilah Atiqah. Di rumah, Aiman selalu menyindir adik-adiknya kerana kurang bijak matematik. Aiman juga teringat bahawa semasa di sekolah rendah, dia selalu ponteng kerana berasa bosan apabila berasakan silibus di sekolah tidak setanding kepintaran yang dimilikinya.

- Disebabkan kepintarannya, di sekolah Aiman selalu menyakat rakan-rakannya yang lambat menyelesaikan masalah dan latihan terutamanya dalam subjek matematik. Dia juga suka merayau di dalam kelas serta ditegur oleh gurunya. Guru kelasnya melaporkan perkara ini kepada ibu bapanya. Ibu bapa Aiman marah dan merotan Aiman di bahagian pinggul hingga lebam.

- kejadian ini menyebabkan Aiman ponteng kelas. Dia mengambil kesempatan untuk berhalusinasi (berangan-angan) tentang dunia sains angkasa lepas. Dalam imaginasinya usianya bertambah 10 tahun. Dia berimaginasi pokok kelapa di rumahnya sebagai tempat berlepas kapal Soyuz. Sikap peliknya itu diketahui oleh ibu bapanya. Aiman dirotan lagi di pinggulnya. Ibunya memprotes tindakan bapanya di dalam hati sahaja.

- Aiman semakin galak/ kerap membayangkan dirinya sebagai seorang angkasawan dan berpeluang berlatih dengan pihak Rusia. Aiman membayangkan dirinya mendarat di bulan dengan menaiki kapal Soyuz melalui Stesen Angkasa Antarabangsa. Aiman juga membayangkan dirinya berada di bulan dengan pakaian lengkap angkasawan di tempat yang tiada udara. Dia membayangkan dia melihat ciri-ciri fizikal di bulan.

- Setelah dia remaja, daya imaginasinya semakin kuat.  Bapanya terpaksa bersikap kasar kepadanya dan selalu menampar Aiman. Akibat tamparan itu Aiman menjadi gagap pertuturannya. Ibu bapa Aiman menghantar Aiman mendapat rawatan intensif dan latihan terapi. 

- Suatu hari Aiman mendengar suara ghaib yang mengajaknya berubah dan berpijak ke dunia nyata. Suara ghaib itu juga menyuruhnya supaya melihat kepada realiti dirinya serta meminta Aiman supaya mendekatkan diri kepada Tuhan. 

- Aiman akhirnya sedar dan memberitahu ibu bapanya bahawa dia tidak perlu lagi rawatan intensif dan terapi. Aiman juga sedar akan kesilapannya yang terlalu jauh berimaginasi. Dia berdoa kepada Tuhan dan berharap hidupnya akan berubah.


B. TEMA:
- bertemakan "keinginan yang tinggi dalam bidang yang diingini sehingga menyebabkan seseorang berimaginasi".
- Contohnya; Aiman sangat meminati bidang aeroangkasa sehingga berimaginasi mendarat ke bulan dengan menaiki kapal Soyuz yang diterbangkan dari Stesen Angkasa Antarabangsa.


C. PERSOALAN:
i. Tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anaknya. Cth - ibu bapa Aiman menghantar Aiman untuk mendapat rawatan intensif dan terapi setelah Aiman gagap pertuturannya.

ii. Kebijaksanaan dalam menyelesaikan masalah sesuatu perkara. Cth - Aiman mampu menyelesaikan masalah matematik murid tingkatan 5 walaupun dia baru berada di sekolah rendah.

iii. Rasional dalam membuat sebarang keputusan. Cth - guru Aiman mengambil tindakan tegas menegur Aiman yang suka merayau-rayau di dalam kelas serta melaporkan perbuatan Aiman kepada ibu bapanya.

iv. Sikap tanggungjawab guru kepada anak muridnya. Cth - cikgu faridah mengajar matematik kepada Aiman dan murid-muridnya yang lain dengan bersungguh-sungguh.

v. Impian dan angan-angan yang tidak kesampaian. Cth - Impian Aiman untuk menjadi seorang angkasawan tidak kesampaian kerana apa yang berlaku pada dirinya hanyalah imaginasinya sahaja.

vi. Perasaan dendam akibat kesalahan masa lampau. Cth - Aiman menyimpan rasa dendam kepada bapanya yang telah menampar serta merotannya kerana sikapnya yang suka mengganggu murid lain serta suka berimaginasi.


D. WATAK DAN PERWATAKAN:
1. Aiman Aqil:
- berwajah cengkung dan jari-jemarinya yang kurus runcing.
- anak sulung daripada 3 beradik.
- gagap semasa bercakap. Cth - mulutnya akan menganga lebar sebelum kata-kata dapat dikeluarkan dari mulutnya.
- seorang yang pintar. Cth - boleh menyelesaikan masalah matematik murid sekolah menengah walaupun masih berada di sekolah rendah.
- suka menyakat orang lain. Cth - di sekolah Aiman suka menyakat rakannya yang lambat menyelesaikan masalah matematik.
- bercita-cita tinggi.  Cth - bercita-cita untuk menjadi angkasawan terkenal seperti Neil Armstrong.
- suka memberontak.  Cth - Aiman akan ponteng sekolah apabila dirotan oleh ayahnya setelah diadukan sikapnya yang suka merayau di dalam kelas.
- pendendam. Cth - menyimpan dendan terhadap bapanya yang sering merotan dan menamparnya.
- insap dengan kesilapannya. Cth - Aiman insaf akan kesilapannya yang terlalu suka berimaginasi dan akhirnya berserah kepada Tuhan.

2. Bapa Aiman:
- seorang jurutera makenikal.
- seorang yang bertanggungjawab. Cth - menghantar Aiman yang gagap untuk mendapatkan rawatan intensif dan terapi.
- bengis dan garang. Cth - pernah merotan dan menampar Aiman kerana kedegilan anaknya.
- seorang yang penyayang. Cth - berusaha memulihkan pertuturan Aiman yang gagap dengan menghantar untuk mendapat rawatan intensif dan terapi.

3. Ibu Aiman:
- bertugas sebagai saintis bidang geologi.
- penyayang. Cth - berasa kasihan melihat Aiman dirotan oleh bapanya.
- taat/ patuh kepada suami. Cth - Ibu Aiman tidak membantah apabila suaminya merotan Aiman. Dia hanya menentang di dalam hati sahaja.
- penyabar - sabar dengan sikap suaminya mendidik Aiman dengan garang.


E. GAYA BAHASA:
i. Penggunaan diksi - sesuai dengan cerita. Cth - orbit, aeroangkasa, planet.
ii. penggunaan bahasa Inggeris - IQ, genius.
iii.Pengulangan/ repetasi - Cth - "Tidak ada udara. Tidak ada air.
iv. Personafikasi. Cth - "Tamparan selalu singgah di pipiku"
v. Simile. Cth - "Dirinya semacam terpenjara ratusan tahun lamanya"
vi. Metafora. Cth - dedaun kemaafan/ tasik hati.
vii. Sinkope. Cth - "Betapa tak bangganya?"


F. NILAI:
i. Kasih sayang. Cth - Ibu aiman amat menyayangi anak-anaknya dan sedih apabila Aiman dirotan oleh bapanya.
ii. Kebijaksanaan. Cth - Aiman dapat menyelesaikan masalah matematik tingkatan 5 walaupun baru bersekolah rendah.
iii. Belas kasihan/ simpati. Cth - Ibu Aiman berasa kasihan setiap kali melihat Aiman dirotan oleh bapanya.
iv. Dedikasi. Cth - Cikgu Faridah menerangkan Teori Graviti dengan bersungguh-sungguh kepada Aiman dan rakannya di dalam kelas.
v. Tanggungjawab. Cth - Bapa Aiman bertanggungjawab mendapatkan rawatan intensif dan latihan terapi kepada Aiman yang telah gagap pertuturannya.
vi. Kesabaran. Cth - Ibu Aiman tetap sabar dengan sikap suaminya yang terlalu garang ketika mendidik anak-anaknya.
vii. Keinsafan. Cth - Aiman insaf akan kesilapannya yang terlalu jauh berimajinasi lalu berdoa kepada Allah serta kembali dalam kehidupan sebenar.
viii. Kebersihan fizikal dan mental. Cth - Aiman mengamalkan makanan seimbang dan menjalani gaya hidup sihat.
ix. Rasional. Cth - Guru Aiman berfikiran rasional dengan menasihati Aiman yang suka merayau supaya kembali ke tempat duduknya dan tidak mengganggu rakannya yang lain.


G. PENGAJARAN:
i. Kita mestilah menyayangi keluarga kita. Cth - Ibu Aiman menyayangi anak-anaknya dan sedih apabila melihat Aiman dirotan oleh bapanya.
ii. Kita hendaklah bijaksana dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Cth - Aiman dapat menyelesaikan masalah matematik tingkatan 5 walaupun baru berada di sekolah rendah.
iii. Kita mestilah dedikasi dan amanah. Cth - Cikgu Faridah mengajar Teori Graviti dengan bersungguh-sungguh kepada Aiman dan rakannya.
iv. Kita mestilah bertanggungjawab menjaga kesihatan keluarga kita. Cth - Bapa Aiman mendapatkan rawatan intensir dan terapi kepada Aiman yang gagap pertuturannya.
v. Kita mesti bersabar apabila berdepan dengan masalah. Cth - Ibu Aiman bersabar apabila melihat Aiman dirotan oleh bapanya.
vi. Kita mestilah rasional apabila melakukan tindakan. Cth - Guru aiman menasihati Aiman supaya duduk di kerusinya dan tidak merayau serta mengganggu rakan lain.

No comments:

Post a Comment