Wednesday, October 11, 2017

PERIBAHASA 2017

Beri maksud peribahasa yang diberi di bawah dan bina ayat daripada peribahasa tersebut.

Latihan 1:

1.      bagaikan kera mendapat bunga
maksud : orang yang tidak tahu menghargai pemberian orang lain yang berharga.
Ayat : Ali bagaikan kera mendapat bunga kerana baru sahaja mendapat hadiah telefon bimbit daripada bapanya, dalam masa dua hari sahaja Ali telah merosakkannya.

2.      kerana lembu seekor membawa lumpur, semuanya terpalit
maksud : disebabkan seorang berbuat keburukan, satu kumpulan menjadi buruk.
Ayat : Penglibatan pelajar tersebut dalam jenayah itu mencemarkan nama baik sekolahnya kerana lembu seekor membawa lumpur, semuanya terpalit.

3.      burung terbang dipipiskan lada
maksud: mengharapkan sesuatu yang belum pasti
ayat: Ahmad seperti burung terbang dipipiskan lada kerana mengharapkan tawaran kemasukannya ke Universiti.

4.      menegakkan benang yang basah
maksud: menegakkan perkara yang salah
ayat : Janganlah kita bersikap menegakkan benang yang basah walaupun antar rakan- rakan.

5.      bagaikan telur dihujung tanduk
maksud: situasi yang genting/ bahaya
ayat : Lelaki tersebut bagaikan telur di hujung tanduk apabila dia hampir dilanggar oleh lori tersebut.

6.      ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya
maksud: orang berilmu yang merendah diri tidak akan hilang ilmunya
ayat: Walaupun Afham seorang yang pandai, dia tidak sombong dengan rakan- rakannya seperti ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya.

7.      bagaikan tikus jatuh di kepuk
maksud: mendapat keuntungan secara tiba- tiba
ayat: Ah Chong bagaikan tikus jatuh di kepuk setelah memenangi loteri minggu lepas.

8.      matinya semut kerana gula
maksud : mendapat kesusahan kerana tamak akan harta benda
ayat : Oleh kerana tamak akan harta, perompak tersebut berjaya diperangkap pihak polis kerana matinya semut kerana gula.

9.      air dicincang tidak akan putus
maksud: pergaduhan di antara adik – adik tidak akan berpanjangan tetapi akan baik semula
ayat: Pergaduhan anak- anak Sidek tidak berpanjangan kerana air dicincang tidak akan putus.

10.  bagaikan embun di hujung rumput
maksud: kasih sayang yang tidak berkekalan
ayat: Kisah cinta pelajar sekolah kini hanyalah bagaikan embun di hujung rumput.




Latihan 2:

1.      seperti mendukung biawak hidup
maksud : melakukan pekerjaan yang sukar dan berbahaya
ayat : Harith seperti mendukung biawak hidup apabila melibatkan diri dalam ekspedisi ke gunung berapi itu.

2.      sudah jatuh ditimpa tangga
maksud : menerima nasib malang yang berterusan
ayat: Hidup Mei bagai sudah jatuh ditimpa tangga kerana setelah begnya diragut, rumah dia pula dirompak.

3.      kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan
maksud: mengutamakan orang lain daripada keluarga sendiri
ayat : Sikap jutawan itu bagai kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan kerana sibuk membiayai pelajar- pelajar cemerlang namun anaknya disuruh mencari wang sendiri.

4.      ditelan mati emak, dibuang mati bapak
maksud: dalam keadaan serba salah
ayat: Ayop tidak tahu untuk menggunakan duitnya untuk membeli buku atau membantu rakannya yang susah kerana ditelan mati emak, dibuang mati bapak.

5.      kalau tidak berada-ada, masakan tempua bersarang rendah
maksud: berbuat baik atas sebab tersembunyi
ayat: Dia hanya berkelakuan sopan di hadapan perempuan itu untuk memikatnya kerana kalau tidak berada- ada, masakan tempua besarang rendah.

6.      bagaikan anjing dengan bayang-bayang
maksud: orang yang tamak selalu rugi
ayat : “Jangan terlalu tamak bagaikan anjing dengan bayang- bayang,” pesan ibu kepada adik.

7.      sekilas ikan di air, sudah kutahu jantan betina
maksud: tahu keadaan sebenar walaupun melihat luaran sahaja
ayat : Melihat raut wajah Faiz, sudah tahu dia sedang bersedih kerana sekilas ikan di air, sudah kutahu jantan betina.

8.      genggam bara api biar sampai menjadi arang
maksud : berusaha bersungguh- sungguh sehingga berjaya
ayat : Oleh kerana kerajinan Zul dalam berlatih, dia berjaya mendapat tempat dalam pertandingan merentas desa umpama genggam bara api biar sampai menjadi arang.

9.      bagai mencurah air ke daun keladi
maksud: melakukan perbuatan yang sia- sia
ayat : Iskandar bagai mencurah air ke daun keladi apabila menegur adiknya yang degil.

10.  kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tak nampak
maksud: kesalahan orang lain yang sedikit kita nampak, namun kesalahan sendiri yang banyak tidak disedari
ayat: Janganlah asyik mencari kesalahan orang lain kerana kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tak nampak.
                 

Latihan 3:

1.      Bagaikan lalat mengharung najis/ tahi
Maksud: di mana ada punca rezeki, di situlah ramai orang
Ayat : Di tempat perjudian itu ramai orang berkumpul bagaikan lalat menharung najis.

2.      Seperti cendawan tumbuh selepas hujan
Maksud : tumbuh dengan pesat
Ayat : Pembangunan di Kota Warisan seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

3.      sehari sehelai benang, lama-lama menjadi kain
maksud : usaha gigih yang sedikit tetapi berterusan membuahkan hasil.
Ayat : Farhat tidak jemu mengulangkaji pelajaran walaupun satu jam sehari menyebabkan dia berjaya dalam peperiksaan kerana sehari sehelai benang, lama – lama menjadi kain.

4.      seperti pelanduk dua serupa
maksud: mempunyai wajah yang sama
ayat : Saya menegur Ikhwan menyangkakan dia Uwais rupanya tidak kerana mereka seperti pelanduk dua serupa.

5.      melentur buluh biarlah dari rebungnya
maksud: mendidik anak biarlah sejak kecil
Ayat : Amalan menabung hendaklah dididik dari kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.

6.      seperti ular kena palu
maksud : barisan yang bengkang bengkok
ayat : Pengawas tersebut sedang membetulkan barisan pelajar yang seperti ular kena palu.

7.      mati semut kerana gula
maksud : mendapat kesusahan kerana tamak akan harta benda
ayat : Oleh kerana tamak akan harta, perompak tersebut berjaya diperangkap pihak polis kerana matinya semut kerana gula.


8.      bagai mendapat durian runtuh
maksud : mendapat keuntungan secara tiba -tiba
ayat : Alif bagai mendapat durian runtuh apabila memenangi hadiah cabutan bertuah telefon bimbit keluaran terkini.

9.      umpama tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain
maksud: dua orang yang rapat tetapi mempunyai minat lain- lain
ayat : Walaupun Hashif dan Azizul rapat tetapi mereka belajar dua jurusan berlainan di Universiti umpama tidur sebantal tetapi mimpi lain- lain.

10.  mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan
maksud: mendengar sesuatu yang belum pasti ,apa yang ada dibuang/ditinggalkan
ayat: Apabila Chin Kai mendengar berita bahawa dia mendapat kerja baru , dia  terus berhenti daripada kerja lamanya seperti mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan.


Latihan 4:
Beri peribahasa yang sesuai dengan ayat yang dinyatakan tersebut.

1.      Kata-kata dan janji manis yang diberi oleh calon yang bertanding dalam pilihanraya itu tidak disukai oleh penduduk di kawasan itu kerana janji yang ditabur tersebut mempunyai maksud yang tertentu.
-seperti menanam tebu di tepi bibir

2.      Selepas pertandingan memilih calon wakil rakyat itu berakhir, semua pihak yang bermusuhan telah berbaik-baik semula seperti sediakala.
-carik – carik bulu ayam lama- lama bercantum juga

3.      Walaupun sudah sepuluh tahun berhijrah ke luar negara untuk mencari rezeki, namun kehidupan Encik Izkram masih juga susah apabila dia pulang ke kampung halamannya.
- bagai itik pulang petang

4.      Walaupun berbadan besar dan kelihatan garang namun sebenarnya En. Mohd. Ramsul seorang guru yang baik hati ,lemah lembut, dan penyayang.
-

5.      Walaupun keluarga Encik Mohd. Salam cuba menyembunyikan kisah anaknya terlibat dalam rasuah, namun akhirnya rahsia tersebut tersebar juga kepada orang ramai.
-          Mulut tempayan boleh ditutup, mulut manusia tak dapat ditutup

6.      Hanya Husaini sahaja yang nakal di kelas itu tetapi semua pelajar di sekolah itu menganggap pelajar kelas tersebut sebagai kelas pelajar-pelajar nakal.
- kerana nila setitik rosak susu sebelanga

7.      Walaupun asalnya Saidiyah seorang pelajar yang lembam namun setelah diajar dengan bersungguh-sungguh oleh guru-gurunya, akhirnya dia berjaya dalam peperiksaan itu dengan cemerlang.  
- belakang parang kalau diasah lagikan tajam

8.      Farislullah seorang pelajar yang tidak tahu bermain badminton tetapi cuba mengambil bahagian dalam pertandingan badminton peringkat Daerah Perak Tengah.
-Kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam usah diduga.

9. Setelah merantau di India lebih tujuh tahun, akhirnya Faleh pulang dan menetap semula di
kampungnya yang terletak di Negeri Sembilan.
- bagai ikan pulang ke lubuk

10. Perbuatan Syaidiyah menasihati kekasihnya yang bernama Farislullah supaya berhenti merokok sia-sia sahaja kerana tidak diendahkan sama sekali oleh kekaksihnya itu.

- bagai mencurahkan air ke daun keladi 

No comments:

Post a Comment