Cubaan
bunuh diri, histeria, ponteng dalm dalangan pelajar sering dikaitkan dengan
tekanan perasaan.
Kemukakan
pendapat anda tentang cara-cara untuk mengatasi tekanan.
Setiap
manusia tidak terlepas daripada menghadapi tekanan dalam kehidupan. Hal ini
bertepatan dengan maksud peribahasa, bumi mana yang tidak ditimpa
hujan dan lautan mana yang tidak bergelora. Bagaimanapun, tekanan
yang dihadapi itu berbeza-beza tahapnya. Tekanan yang dihadapi
oleh golongan dewasa mungkin akibat memikirkan masalah keluarga, kewangan atau
kerjaya, manakala bagi remaja pula tekanan yang dihadapi mungkin berkaitan
dengan pelajaran, hubungan dengan rakan atau masalah yang berkaitan dengan
keluarga. Bagi sesetengah orang, tekanan mungkin membawa kejayaan dan
kebahagiaan dalam kehidupan, manakala yang lainnya pula menganggap tekanan
sebagai sumber kesengsaraan dan penderitaan sehingga tekanan yang
dihadapi itu membawa kepada pengakhiran kehidupan. Sebagai pelajar,
saya juga tidak terlepas daripada menghadapi tekanan yang berpunca daripada
pelbagai faktor terutamanya faktor pelajaraan. Oleh hal yang demikian,sebelum
nasi menjadi bubur, beberapa langkah telah saya ambil bagi menangani masalah
tekanan.
Kehidupan yang terlalu sibuk menyebabkan kita sering melupakan kegiatan yang
sangat berfaedah untuk kesihatan fizikal, mental dan psikologi kita. Kegiatan
tersebut ialah riadah, iaitu aktiviti yang sering dilakukan
pada waktu lapang terutamanya pada hujung minggu. Antara kegiatan riadah yang
kerap saya lakukan ialah berbasikal, joging, bermain futsal, bermain badminton,
bersiar-siar di taman rekreasi dan memancing ikan. Selepas bermain futsal dan
badminton umpamanya, selain peluh mengalir membasahi tubuh, kepenatan akan
dapat dirasakan. Selepas mandi dan membersihkan diri, saya akan berehat
melepaskan lelah. Keadaan akan menjadi lebih baik apabila saya dapat melelapkan
mata. Oleh sebab kepenatan selepas melakukan riadah, saya akan tidur
dengan sangat lena. Hilang sebentar segala masalah yang membelenggu diri.
Tekanan pun menghindar dan akhirnya fikiran menjadi lapang. Ada waktunya saya
melakukan riadah bersama-sama ibu bapa saya. Peluang keemasan itu saya gunakan
sepenuhnya dengan melakukan perbincangan, sama ada yang berkaitan dengan
masalah peribadi, mahupun masalah pelajaran yang sering memberikan tekanan
kepada saya. Lantaran itu, saya menganggap kegiatan riadah sebagai serampang
dua mata yang membantu meningkatkan kesihatan diri di samping menjadi salah
satu cara untuk mengurangkan tekanan.
Sesungguhnya saya amat meyakini bahawa cara kita berfikir
amat mempengaruhi kesihatan diri, terutamanya kesihatan mental. Lantas, demi
memastikan saya memiliki kesihatan yang baik tanpa menghadapi
tekanan, saya sentiasa berfikiran positif apabila berhadapan
dengan situasi yang kritikal dan sukar. Apabila menerima pujian, saya tidak
akan berbangga dengan pujian tersebut, sebaliknya saya akan memikirkan
sama ada pujian terebut diberikan secara ikhlas atau diberikan kepada saya
kerana ada udang di sebalik batu. Berkemungkinan pujian itu diberikan secara
bersahaja, atau jika tidak pun saya menerimanya sebagai satu penghargaan.
Bagaimanapun, jika kritikan atau teguran
pula yang diberikan, saya akan menerimanya dengan minda terbuka dan
menganggapnya sebagai kritikan yang membina. Ibu sering mengingatkan saya
bahawa kritikan yang diberikan oleh seseorang itu sebenarnya lebih ikhlas dan
memiliki nilai kejujuran berbanding dengan pujian yang selalunya lebih bersifat
palsu. Di sebalik kritikan yang diterima itu saya akan melakukan muhasabah diri
lalu membaiki segala kekurangan yang ada agar saya tidak menerima kritikan yang
sama pada waktu yang lain pula. Sekiranya saya tidak dapat menerima kritikan
tersebut, fikiran akan menjadi tidak menentu dan kusut, lalu akhirnya saya akan
terjerat dalam kancah tekanan yang melampau. Natijahnya, saya sentiasa
menghadapi tekanan dengan fikiran yang positif.
Saya ialah penggemar dan pencinta muzik sama ada muzik
ciptaan anak tempatan mahupun muzik antarabangsa. Seandainya muzik tidak
didengar menerusi cakera padat, masih ada muzik di dalam jiwa saya yang
membuatkan kaki bergoyang. Bagi saya, muzik pencetus kegembiraan dan keceriaan,
walaupun sesekali muzik mengundang kesedihan dan kedukaan. Hal ini bertepatan
dengan pandangan ahli-ahli psikologi bahawa muzik merupakan salah satu wahana
terapi yang efesien dan sumber ketenangan fikiran yang sering diabaikan.
Apabila muzik bergema, hati akan dibuai oleh alunan melodinya sehingga di luar
kesedaran diri, saya seperti berada di alam yang lain. Muzik yang rancak akan
menyebabkan kaki bergoyang, manakala muzik sentimental pula akan menjadikan
diri dibuai perasaan. Seni katanya yang melankolik akan menyumbang ke arah
penghayatan yang tinggi seolah-olah saya turut merasakan kedukaan yang sedang
dialami oleh pelantun lagu tersebut. Jika tekanan menghimpit perasaan,
tanpa disedari saya telah melupakan sebentar tekanan tersebut dengan bantuan
muzik. Hal ini bertepatan dengan kata-kata pujangga yang menukil bahawa muzik
tak mungkin dapat dipisahkan daripada jiwa setiap manusia. Tanpa muzik juga
kehidupan akan menjadi sepi. Oleh itu, muzik bukan sahaja dapat
menghiburkan hati, malah muzik seperti memiliki kuasa magis yang
berupaya mengurangkan tekanan yang saya hadapi, bertepatan dengan
maksud peribahasa sambil menyelam minum air.
Saya juga menjadikan ibadat sebagai salah satu
cara untuk mengurangkan tekanan yang dihadapi. Setiap hari saya akan
mendirikan sembahyang, sekurang-kurangnya lima kali sehari kerana sembahyang
merupakan tiang agama. Apabila saya tidak mendirikan solat, hal ini bermakna
runtuhlah agama saya. Sesungguhnya, sembahyang memberikan ketenangan yang tidak
dapat saya ungkapkan dengan kata-kata. Sembahyang yang khusyuk akan menjadikan
saya melupakan semua tekanan yang saya hadapi, malah saya dapat merasakan
betapa dekatnya diri saya dengan Yang Maha Pencipta. Jiwa berasa tenang
dan damai, hati juga menjadi bersih. Benarlah seperti yang pernah dikatakan
oleh seorang penceramah gaya hidup sihat, Encik Norhisham Mustaffa bahawa
sembahyang merupakan senaman yang paling ampuh untuk memberikan kesihatan
terbaik buat tubuh badan kita . Ketika rukuk dan sujud, darah akan mengalir
dengan lebih sempurna di tubuh kita. Demikian juga ketika saya duduk di antara
dua sujud dan duduk tahyat awal serta akhir, kedudukan tubuh dan jari-jari kaki
memberikan bentuk senaman yang begitu berkesan. Selepas mendirikan solat, saya
akan berzikir yang mampu membersihkan dan memberikan kedamaian kepada hati
serta jiwa. Saya sangat menyedari dan menginsafi bahawa hanya Allah yang dapat
membantu saya dalam segala hal. Lantaran itu, saya menjadikan ibadat sebagai
usaha yang terbaik untuk menghindari dan mengurangkan tekanan yang dihadapi.
Tidak dapat dinafikan aktiviti melancong merupakan aktiviti kekeluargaan yang amat saya
nanti-nantikan. Setiap tahun ayah dan ibu akan
membawa saya serta adik melancong ke luar negara. Sehingga kini kami telah
melawat Indonesia, China, Kemboja dan India selain melancong di dalam negara.
Sejujurnya, setiap kali melancong saya dapat merasakan keterujaan dan
kegembiraan yang membolehkan saya melupakan segala masalah yang membelenggu
fikiran. Secara tidak langsung, tekanan yang mengganggu fikiran yang berpunca
daripada masalah yang dihadapi dapat saya atasi atau setidak-tidaknnya dapat
saya lupakan sebentar. Ketika melancong itu, saya dapat menikmati keindahan dan
keunikan panorama negara lain di samping menambahkan pengetahuan tentang budaya
dan sejarah negara tersebut, bertepatan dengan maksud peribahasa jauh berjalan
luas pandangan. Ketika melawat Solo dan Jogjakarta di Pulau Jawa, Indonesia
umpamanya, saya dapat menyaksikan keunikan budaya mereka walaupun kita masih
dalam rumpun yang sama, iaitu Melayu. Seni tari mereka sangat halus dan
mempesona berdasarkan gerak jari tangan, kaki dan tubuh mereka dengan iringan
muzik gamelan yang syahdu. Adat di keraton pula masih dikekalkan untuk tatapan
pelancong walaupun sistem pemerintahan beraja tidak lagi diamalkan di republik
tersebut. Keunikan Candi Borobudur amat mengagumkan dengan seni binanya yang
amat halus. Keseluruhan aktiviti ketika melancong itu termasuk sesi
membeli-belah cukup membantu saya melupakan segala tekanan yang dihadapi.
Secara holistiknya, terdapat pelbagai usaha yang saya
lakukan untuk menghadapi tekanan dalam kehidupan. Walau apa-apa pun yang
berlaku, mahu atau tidak, saya terpaksa menghadapi segala tekanan yang ada demi
kelangsungan hidup yang lebih bermakna. Tekanan merupakan masalah dan tekanan
juga merupakan sumber motivasi, justeru tanpa tekanan, hidup kurang berseri
umpama pokok yang tidak berbunga. Dengan tekanan jugalah fikiran saya menjadi
lebih matang dan dewasa. Di sebalik ketabahan saya menghadapi tekanan itu, saya
masih memerlukan insan lain untuk menghadapinya dengan lebih rasional. Dalam
hal ini, kedua-dua ibu bapa akan menjadi sumber rujukan saya di samping
rakan-rakan sebaya yang rapat hubungannya dengan saya. Saya juga tidak
melupakan guru yang mendidik dan mengajar saya menjadi insan berilmu.
Sesungguhnya, hanya dengan ketabahan dan keimanan yang kukuh dapat membantu
saya menghadapi semua tekanan dengan tenang.
No comments:
Post a Comment