Tuesday, October 31, 2017

ISU PEMBUANGAN BAYI

PEMBUANGAN BAYI

Pembuangan bayi biasanya melibatkan golongan remaja yang bertindak terburu-buru ketika mengambil tindakan. Kemelut yang semakin serius ini bagaikan bangkai gajah yang tidak dapat ditutupi dengan nyiru lagi apabila akhbar-akhbar perdana negara sering memaparkan kejadian ini dalam akhbar mereka dengan begitu meluas tanpa segan-silu. Hal ini bukan sahaja menyusahkan pelbagai pihak malah imej negara kita akan tercalar. Jadi, sebelum mencari jalan penyelesaiannya, kita perlulah mengenal pasti sebab musabab yang menjadi akar umbinya sebelum kemelut ini menjadi barah kerana kalau tiada angin masakan pokok bergoyang.


Kemelut ini berlaku lantaran kurangnya didikan agama dalam kalangan remaja kita. Kekurangan ini mungkin akibat kekurangan didikan dan perhatian ibu bapa serta impak kemodenan yang melanda negara kita. Remaja kita tidak mempunyai pegangan agama yang tebal dan mudah dipengaruhi oleh desakan seksual mereka itu. Tanpa didikan agama yang teguh, mereka tidak dapat membezakan sesuatu perbuatan mereka itu betul atau salah dan tidak dapat membezakan antara hak dengan batil. Hal ini dapat dilihat apabila remaja perempuan mudah terlibat dalam kancah perzinaan sedangkan berzina itu haram di sisi agama. Kesannya, banyak anak luar nikah yang lahir dan akhirnya bayi yang tidak berdosa itu dibuang demi menutup malu perbuatan remaja yang goyah imannya. Jadi, didikan agama yang kurang mantap menyebabkan masalah ini kian meruncinng.


Selain itu, isu ini turut berleluasa kerana institusi kekeluargaan itu sendiri sudah runtuh. Sudah menjadi kebiasaan kini sesebuah keluarga itu tidak mempunyai ayah atau ibu untuk mendidik. Ketiadaan ini menyebabkan tanggungjawab mendidik anak tidak menjadi satu keperluan yang harus dipenuhi dengan baik. Menurut kajian Jabatan Kebajikan Masyarakat bahawa 50 peratus masalah sosial remaja berpunca daripada keluarga yang porak peranda. Ibu atau bapa yang tunggal sering sibuk mencari tuntutan nafkah untuk menyara kehidupan keluarganya. Lantaran itu, mereka telah mengabaikan tanggungjawab hakiki mereka dalam mendidik dan memantau setiap perlakuan anak mereka. Pengabaian ini akhirnya mengundang padah apabila anak mereka terlibat dalam perbuatan yang sumbang. Sesungguhnya, keadaan inilah yang menyebabkan masalah pembuangan bayi menjadi-jadi.

Sikap masyarakat yang terlalu suka menghukum turut menjadi penyebab pembuangan bayi ini berlaku. Kita suka menganggap bahawa wanita yang mengandung tanpa suami ini sebagai melakukan kesalahan tanpa menimbang keadaan yang menjurus kemelut itu berlaku. Mungkin ada antara mereka yang mengandung disebabkan tindakan manusia yang durjana sehingga sanggup merogol gadis yang tidak berdosa. Dalam hal ini, wajarkah remaja itu dipersalahkan oleh perbuatan manusia yang tidak berhati perut itu? Sememangnya kita harus bersimpati terhadap mereka tetapi keadaan menjadi lebih rumit apabila terdapat segelintir daripada ahli masyarakat kita yang lebih suka menunding jari kepada sesetengah remaja tanpa meneliti punca yang menjadi permasalahan ini. Malangnya, masih terdapat pemikiran masyarakat yang kolot lalu menyebabkan remaja tidak mempunyai tempat untuk mengadu masalah mereka sehingga sanggup membiarkan anak mereka berada di tempat yang tidak sepatutnya daripada dipandang jijik oleh masyarakat. Tegasnya, sikap masyarakat seumpama ini merupakan pemangkin gejala ini.

Arus kemodenan terutama melalui media massa telah menyemarakkan masalah ini. Program dari Barat yang mengaitkan kebebasan dalam pergaulan telah menyebabkan remaja mudah terpengaruh. Kehidupan moden sering dikaitkan dengan hubungan seksual yang bebas. Remaja yang baru berumur setahun jagung dan berdarah setampuk pinang sering dikuasai oleh perasaan ingin mencuba pasti akan meniru aksi-aksi atau adegan-adegan panas yang terdapat dalam filem Barat bagi memuaskan nafsu mereka. Mereka tidak lagi berasa takut ketika melakukan perkara yang terkutuk itu asalkan nafsu berahi mereka dapat dipenuhi. Lantaran itu, masalah ini terus menerus menjadi sesuatu yang lumrah dan menjadi darah daging dalam hidup mereka. Sebagai akibatnya, lahirlah anak luar nikah dan masalah pembuangan bayi semakin sukar dikawal lantaran ingin menutup rasa aib atas perbuatan ibu bapa yang masih remaja itu.


Sebelum kudis menjadi tokak, kemelut remaja ini haruslah diatasi segera. Kita tidak seharusnya mendopang dagu tetapi pelbagai pendekatan yang proaktif perlulah diambil demi menangani masalah ini kerana di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Satu daripada langkah yang perlu dilaksanakan ialah semua lapisan masyarakat hendaklah diberi pendidikan keibubapaan melalui pelbagai program. Pendidikan ini bertujuan memberikan buah fikiran mengenai perkahwinan yang sah kepada rakyat. Melalui cara ini, orang ramai akan menjadi lebih berhati-hati supaya tidak melakukan perbuatan sumbang. Perkara ini harus ditekankan kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya para remaja. Sebagai contohnya, program pendidikan keibubapaan perlu diadakan untuk mendidik remaja tentang perkara yang perlu diamalkan dalam kehidupan berkeluarga. Tegasnya, orang ramai perlu diberi kesedaran tentang kesan buruk aktiviti pembuangan bayi.


Selain itu, pihak berkenaan hendaklah mengadakan ceramah atau kempen pada peringkat sekolah mahupun peringkat taman-taman perumahan. Melalui program tersebut, masyarakat dapat diberi kesedaran tentang keburukan pergaulan bebas. Seperti yang kita ketahui, kes pembuangan bayi berpunca daripada pergaulan bebas yang dianggap sebagai suatu perkara biasa bagi warga urban kini. Kita seharusnya mengelakkan diri daripada unsur negatif tersebut supaya tidak menjadi seperti sudah terhantuk baru nak tengadah. Sebagai contohnya, kempen kesedaran ini perlu dilakukan secara besar-besaran melalui iklan, risalah dan lain-lain. Kempen murni ini haruslah dilakukan secara berketiak ular dan bukannya hangat-hangat tahi ayam. Sesungguhnya, usaha dinamik dan secara konsisten ini diperlukan untuk membimbing rakyat supaya sentiasa berada di landasan yang betul dalam kehidupan.


Langkah yang seterusnya ialah pihak kebajikan masyarakat perlu menyediakan perkhidmatan kaunseling. Khidmat nasihat hendaklah diberikan kepada mangsa rogol dan individu yang mengandung tanpa nikah. Hal ini disebabkan mangsa mengalami ketidakstabilan emosi dan mungkin akan cuba mencederakan diri sendiri. Sebagai contohnya, mangsa rogol sanggup membunuh diri kerana tidak dapat menerima kenyataan sebenar. Penubuhan Rumah Sri Puteri oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dapat memberikan perlindungan dan khidmat nasihat kepada mereka yang telah terlanjur ini. Oleh hal yang demikian, pusat kaunseling perlu diperbanyak di seluruh negara untuk membantu mangsa-mangsa tersebut daripada terus melakukan perkara yang terkutuk.


Di samping itu, pesalah yang disabitkan kesalahan berzina atau kes rogol perlu dikenakan hukuman yang berat. Perogol atau orang yang mencabul kehormatan wanita merupakan manusia yang tidak berperikemanusiaan. Mereka perlu dijatuhi hukuman yang berat sebagai peringatan kepada orang lain. Hal ini menyebabkan wanita-wanita ini kehilangan harga diri dan terpaksa menanggung malu sepanjang hayatnya. Perkara tersebut juga akan menconteng arang ke muka ahli keluarga mangsa. Oleh sebab itu, undang-undang negara perlu dikuatkuasakan supaya perogol atau mereka yang berzina berasa serik atau takut untuk melakukan perkara tersebut yang salah di sisi agama. Sebagai contohnya, hukuman bagi kesalahan berzina dan merogol adalah seperti penjara dan hukuman sebat. Hal ini dapat mengurangkan jenayah pembuangan bayi yang tidak berdosa itu di negara kita.

Seterusnya, pendidikan agama dan moral harus dititikberatkan oleh ibu bapa untuk menyedarkan anak-anak tentang dosa dan balasan yang akan diterima. Ibu bapa hendaklah menitikberatkan pendidikan agama dan moral kepada anak-anak dan proses ini hendaklah diteruskan walaupun seseorang itu telah meningkat umur dewasa. Pendidikan agama dan moral amatlah penting dan perlulah disemaikan dalam sanubari rakyat. Albert Einstein pernah berkata bahawa agama tanpa ilmu adalah buta dan ilmu tanpa agama adalah lumpuh. Hal ini menunjukkan peri pentingnya didikan agama dan moral dalam kehidupan kita supaya kehidupan tidak menjadi terumbang-ambing seperti kapal tanpa nakhoda. Sebagai contohnya, anak-anak perlu diberi didikan agama sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya dengan menyuruh anak-anak tidak mengabaikan solat kerana bersolat itu dapat mencegah daripada melakukan kemungkaran. Cara ini adalah efektif untuk mewujudkan masyarakat yang bebas daripada kes pembuangan bayi.


Kesimpulannya, masalah pembuangan bayi ini yang diesebabkan oleh banyak faktor mempunyai pendekatan yang tersendiri untuk diatasi jika dikaji secara telus. Pelbagai pihak perlu berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk menyelesaikan dan mengurangkan kes pembuangan bayi yang berlaku di negara kita. Masalah tersebut akan menular dan menjadi duri dalam dagingjika tidak ditangani segera ketika negara sedang berusaha untuk mencapai wawasan 2020. Kerjasama daripada semua pihak adalah amat penting untuk membendung masalah ini kerana ke bukit sama-sama didaki, ke lurah sama-sama dituruni. Melalui usaha ini, hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat yang sihat dan terbilang dari segi lahiriah dan rohaniah dapat direalisasikan.

KESAN POSITIF MUZIK

music, elemen muzik, muzik, gambar muzik,
Ini pendapat masing-masing. Ada juga boleh jadi melalaikan. It usalah lu sendiri lah, orang time nak kerja lu bantai dengar muzik apa cerita. Muzik dikatakan satu seni yang tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan seharian. Dah jadi industri macam-macam sekarang nih. Berapa lagu telah di dicipta, mahu juta-juta. Elemen, aliran muzik bukan satu dua jer sekarang nie. Rnb, pop, rock, pop etnik, jazz, dan macam-macam lagilah kalau nak sebut tak habis sampai pagi cerita nih. Diantara mitos, realti dan fantasi.
Melalui muzik juga terdapat koordinasi fizikal yang mampu berjalan dengan baik. Paling penting muzik juga mampu menghilangkan penyakit nyayuk pasa usia senja. Ia berkaitan dengan kesihatan kitalah. Sejauh mana kebenaran dia?? sukar untuk dijelaskan .Ayuhh terus kepada point..
1. Meredakan kesihatan.
Muzik mempunyai manfaat besar dalam menyembuhkan penyakit. Muzik bekerja dengan sistem saraf yang kemudian secara automatik mampu meringankan rasa sakit yang kronik. Itulah sebabnya ada sesebuah hospital (swasta) menggunakan muzik sebagai terapi. Kadang-kadang hospital pun satu dia guna lagu-lagu instrumental untuk kasi pesakit tuh rileks cool, takda takut-takut. Lagu ala-ala kenny g kan ada rasa tenang jer kan. So tujuan dia adalah muzik berbentuk macam ini dia ada elemen yang membuat tubuh badan kita nih mengeluarkan zat endorfin untuk kasi neutral badan dari rasa sakit, kasi lambat degupan jantung dan juga menenangkan pernafasan.
2. Meningkatkan kesihatan tubuh badan.
Tempo, intensiti, muzik mempengaruhi jantung. Muzik akan dapat dan mampu meningkatkan danyutan jantung dan juga penfasan. Dengan itu ia mampu meingkatkan kesihatan pembulkuh darah dan sihatkan badan.
3. Meningkatkan kecerdasan.
Dari sudut kesihatan, muzik penting untuk meningkatkan kecerdasan. Muzik sangat penting untuk anak-anak dalam proses pembelajaran kerana ia meningkatkan fungsi otak dan meningkatkaan kemahiran visual serta verbal mereka. Manakala bermain alat muzik pula merupakan cara terbaik untuk meningkatkan kecerdasan IQ si anak.
4. Meningkatkan kesihatan otak.
Selain baik untuk perkembangan otak kanak-kanak, muzik juga dapat meningkatkan kesihatan otak untuk golongan tua macam aku nih. Haha. Mendengar muzik, pada usia ini akan membantu menjaga otak supaya rasa tetap muda dan sihat. Mendengar muzik juga mampu berfungsi sebagai latihan untuk otak senitasa sihat, tenang dan mampu melatih daya imaginasi anda.
5. Menenangkan hati dan perasaan.
adakah anda tahu bahwa ketka muzik yang sedap didengar oleh halwa telinga, ketika itu otak sedang melepaskan satu ketegangan suasana hati yang sedang tegang dan berserabut. Tapi kalau korang tengah frust, dengar lagu sedih memang tak jalan lah jawabnya. Lagi tambah derita..Haha
6. Mengawal tekanan darah.
Mendengar muzik dengan irama yang lembut akan membantu pesakit darah tinggi mengawal tekanan darah mereka. Kajian yang dilakukan dari US menunjukkan bahawa hanya dengan mendengar muzik berirama klasik selama 30 minit sehari ia mampu menurunkan tekanan darah tinggi secara ketara sekali.
7. Meningkatkan kualiti tidur.
Mendengar muzik membantu menenangkan fikiran dan jiwa sehingga membantu sehingga membantu anda agar tidur nyenyak. Muzik juga memapu meyembuhkan insomnia. Apabila anda mendapat tidur yang cukup sekaligus memberikan kesihatan yang semula jadi kepada otak, minda dan badan anda akan terasa sentiasa sihat dan segar bugar.
8. Menyokong pertumbuhan Janin.
Informasi berguna untuk ibu yang mengandung. Ibu hamil yang mendengar muzik mempunyai perkembangan jani yang positif. Bayi yang sejak kecil mendengar mnuzik akan mempunyai dan mengalami perkembangan intelektual dan linguistik sejak dari lahir.
9. Meningkatkan sistem kekebalan tubuh.
Imun la lebih kurang. Ketika mendengar muzik, tubuh akan menghasilkan hormon tertentu yang dapat meningkatkan daya tahan tubuh. Dengan mendengar muzik selamat 50 minit boleh meningkatkan kadar antibodi badan dan dapat menurunkan tahap tekanan hormon kortisol.
10. Membuat anda bersemangat.
Banyak orang memilih mendengar muzik semasa bersenam. Ini disebabkan kerana muzik akan membuat mereka bersemangat, meningkatkan daya tahan dan mengalihkan perhatian anda dari segala bentuk ketidakselesaan.

KARANGAN LANGKAH MENINGKATKAN PELAJAR MENGGUNAKAN PSS

Usaha-usaha meningkatkan penggunaan kemudahan Pusat Sumber Sekolah


Pusat sumber bertindak sebagai bank atau gedung ilmu pengetahuan. Banyak bahan bacaan dikumpulkan dan disimpan di sana. Antaranya termasuklah bahan rujukan, buku cerita, majalah, surat khabar dan sebagainya daripada pelbagai negara. Kesemua bahan ini adalah untuk bacaan dan rujukan murid dan warga sekolah. Terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan di pusat sumber, contohnya kemudahan ASTRO kampus, ICT, makmal bahasa, bilik audio visual, dan sebagainya. Murid akan memperoleh  pelbagai manfaat  jika memaksimum penggunaan  kemudahan pusat sumber sekolah. Persolannya, apakah usaha-usaha yang boleh dilakukan untuk meningkatkan penggunaan  kemudahan Pusat Sumber Sekolah?

Antara usaha untuk meningkatkan penggunaan kemudahan Pusat Sumber Sekolah (PSS) adalah dengan  memastikan lokasi pusat sumber sekolah perlulah strategik agar mudah dikunjungi oleh murid-murid. Misalnya, lokasi pusat sumber perlu terletak di bahagian bawah atau paras paling rendah sesebuah bangunan agar memudahkan pengunjung. Lokasi PSS juga perlu jauh daripada suasana kebisingan untuk membolehkan pengunjung memberi tumpuan terhadap bahan yang dibaca. PSS juga perlu terletak di tempat yang menjadi tumpuan semua orang.  Hal ini memudahkan pengunjung untuk mengunjungi PSS. Bangunan tersebut perlulah dicat dan dihias dengan mural yang sesuai dan menarik supaya menjadi tarikan murid untuk  mengunjungi dan meneroka kemudahan yang terdapat di pusat sumber itu, bak kata pepatah, ’tak kenal maka tak cinta’. Selain itu,  suasana di dalam pusat sumber perlulah kondusif seperti terdapat penyaman udara, dan ruang membaca dan membuat rujukan yang selesa. Suasana di pusat sumber juga perlu ceria, bersih dan senyap agar pengunjung dapat memperoleh ketenangan dan memberi tumpuan terhadap bahan yang dibaca. Buku-buku yang terdapat dalam PSS perlulah ditambah bilangannya dan yang terkini. Waktu PSS juga perlu ditambah untuk membolehkan murid-murid meminjam buku dan membaca atau membuat ulang kaji.

Usaha seterusnya ialah guru Pusat Sumber Sekolah  perlu menghebahkan perkhidmatan dan kemudahan yang terbaharu yang disediakan di pusat sumber. Hebahan tersebut boleh dilakukan semasa perhimpunan mingguan. Melalui saluran ini, murid-murid dapat mengetahui maklumat terkini tentang kemudahan terbaharu yang terdapat di pusat sumber seperti e-pusat sumber iaitu kemudahan pusat sumber yang menggunakan rangkaian internet dan komputer dan sistem automasi. Di samping itu, bahan rujukan dan koleksi buku cerita pelbagai bahasa juga dihebahkan untuk menarik murid mengunjungi pusat sumber. Maklumat-maklumat tentang buku dan bahan rujukan terkini perlu ditampalkan di papan kenyataan pusat sumber dan kelas-kelas untuk rujukan murid. Selain itu, murid-murid dan persatuan-persatuan yang ingin mengadakan mesyuarat di PSS juga dialu-alukan agar mereka dapat memanafaatkan sepenuhnya penggunaan PSS. Mereka perlulah menempah bilik tersebut terlabih dahulu agar tidak berlaku pertembungan. Pihak PSS juga boleh menampal jadual penggunaan bilik mesyuarat di papan notis. Jelasnya, melalui hebahan tersebut, murid-murid dapat maklumat tentang penggunaan perkhidmatan pusat sumber dan berminat untuk mengunjungi Pusat Sumber Sekolah.

Selain itu, untuk menggalakkan murid-murid mengunjungi PSS, pihak PSS perlu  mengadakan Program Membaca. Program banyak membaca atau program NILAM harus digiatkan lagi agar murid  akan sentiasa mengunjungi pusat sumber untuk meminjam dan membuat bacaan di pusat sumber.  Program NILAM merupakan satu pendekatan untuk penyuburan tabiat membaca dalam kalangan murid. Hal ini menggalakkan usaha berkekalan murid untuk menanamkan sifat membaca. Di bawah program NILAM, setiap murid perlu merekodkan buku yang dibaca dalam Buku Rekod Membaca Nilam. Guru pula akan mengesahkan rekod bacaan murid. Pengiktirafan diberi kepada murid berdasarkan bilangan buku yang dibaca. Di samping itu, PSS perlu menambahkan bilangan bahan bacaan yang dibaca agar murid juga dapat menambahkan pengetahuan dan pengalaman melalui bahan yang dibaca bak kata pepatah ’jauh berjalan luas pandangan, banyak membaca, menambah pengetahuan’.  Tempat yang penuh dengan bahan bacaan tidak lain dan tidak bukan tentulah di pusat sumber sekolah. Hal ini secara tidak langsung meningkatkan penggunaan kemudahan pusat sumber sekolah dalam kalangan murid.

Akhir sekali, pelbagai pertandingan dan aktiviti boleh dijalankan dalam usaha menarik pengunjung mengunjungi PSS. PSS boleh mengadakan pelbagai pertandingan sempena minggu-minggu tertentu seperti Minggu Bahasa Melayu, Minggu Bahasa Inggeris dan Minggu Patriotik. Pertandingan seperti Menulis Ulasan Buku/Novel, Menulis Esei, Menulis Cerpen, Pertandingan Debat, Forum Remaja dan sebagainya boleh diadakan di PSS.  Hal ini membolehkan murid-murid yang mengambil bahagian dalam pertandingan akan meminjam buku-buku daripada perpustakaan sebagai rujukan. Selain itu, murid-murid lain yang tidak mengambil bahagian akan hadir sebagai penonton untuk memberi sokongan kepada rakan-rakan yang mengambil bahagian. Secara tidak langsung, murid-murid yang terlibat dalam aktiviti atau pertandingan di PSS, dapat mengetahui kemudahan yang di sediakan di PSS. Mereka akan  terus mengunjungi PSS pada masa yang lain untuk meminjam buku-buku di PSS. Tegasnya, pelbagai pertandingan dan aktiviti di PSS mampu meningkatkan penggunaan kemudahan pusat sumber sekolah.

Kesimpulannya, pusat sumber sekolah perlu menyediakan kemudahan yang terkini dan mengikut peredaran zaman. Kemudahan yang disediakan perlu memenuhi keperluan murid  dan menarik mereka untuk menggunakan kemudahan yang disediakan. Pusat sumber harus menjadi nadi utama murid dalam proses pembelajaran mereka di sekolah. Sebenarnya, ilmu yang kita miliki hanyalah setitik air jika dibandingkan dengan lautan yang luas. Oleh itu, manfaatkan masa dengan membaca kerana hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.

KARANGAN PUSAT SUMBER SEKOLAH

Pendahuluan
Perpustakaan ialah tempat rujukan.  Murid sekolah mestilah memanfaatkan perpustakaan.
Perpustakaan ditubuhkan di sekolah, daerah, negeri, institusi pendidikan tinggi, dan sebagainya.
Terdapat pelbagai kebaikan jika murid/remaja mengunjungi perpustakaan.
Peribahasa/kata-kata indah : membaca jambatan ilmu.

Isi 1
Murid dapat membaca pelbagai jenis bahan bacaan.  Perpustakaan menyediakan pelbagai bahan rujukan spt.  buku teks, buku ulasan, buku ulang kaji, kertas model, surat khabar, jurnal, majalah, dll.
Bahan-bahan ini dapat meningkatkan pengetahuan murid/remaja. Khususnya murid yang akan menduduki peperiksaan utama spt PMR, SPM, STPM.
Bahan disediakan secara percuma dan boleh dipinjam oleh murid.
Peribahasa :  Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Isi 2
Murid/remaja dapat belajar dalam keadaan tenang di perpustakaan.
Suasana di dalam perpustakaan sangat selesa (kondusif), tenang, tidak bising.
Perpustakaan dilengkapi dengan pendingin hawa/penyaman udara.
Perpustakaan menetapkan peraturan supaya pengunjung tidak membuat bising. Membantu murid/remaja belajar secara berkesan.
Peribahasa :  sambil menyelam minum air.

Isi 3.
Murid/remaja dapat menggunakan masa secara bermanfaat.
Dapat mengelakkan murid/remaja terlibat dalam aktiviti yang tidak berfaedah spt melepak, terlibat dengan gejala sosial, dadah, berpeleseran, dll.
Ibu bapa tidak berasa bimbang akan keselamatan anak-anak remaja mereka terutama pada masa cuti atau hujung minggu.
Peribahasa :  Masa itu emas.

Isi 4.
Murid/remaja dapat memupuk semangat perpaduan dengan lebih berkesan.
Perpustakaan dapat dijadikan tempat interaksi remaja daripada pelbagai kaum.
Mewujudkan kumpulan perbincangan kecil untuk belajar bersama-sama.
Memberi peluang kepada murid/remaja mengenali budaya, agama, bangsa-bangsa yang berbeza-beza.
Peribahasa :  Tak kenal maka tak cinta.

Isi 5.
Memberikan peluang murid/remaja mengakses ilmu melalui pelbagai kemudahan elektronik.
Perpustakaan menyediakan kemudahan internet.  Murid dapat mengakses bahan-bahan pembelajaran seperti nota, soalan-soalan latihan, soalan ramalan, dan sebagainya.
Contoh laman sesawang bercorak akademik ialah tutor.com.my,  skorA.com.my, laman-laman sesawang guru cemerlang, dan sebagainya.
Peribahasa : kalau tidak dipecahkan ruyung, di mana akan mendapat sagunya.

Kesimpulan
Banyak kebaikan perpustakaan yang perlu dimanfaatkan oleh masyarakat, khususnya remaja.
Semua pihak hendaklah mengambil peluang untuk memantapkan pengetahuan dengan mengunjungi perpustakaan.
Remaja yang tidak mengunjungi perpustakaan akan ketinggalan dalam pelbagai aspek kehidupan.
Remaja yang berpengetahuan dapat bersaing dengan semangat 1 Malaysia.

LAMAN SOSIAL - BAIK DAN BURUK

Pendahuluan


       Pada masa ini, penggunaan laman sosial melalui internet amat popular di Malaysia. Laman sosial seperti “Facebook”, “My Space”, “Frienster”, “Twitter” dan sebagainya mendapat perhatian masyarakat di negara ini terutamanya golongan remaja. Laman sesawang rangkaian sosial tersebut telah menjadi satu trend dalam kehidupan masyarakat masa kini. Remaja kini telah menjadikan penggunaan laman sosial di internet ini sebagai medium untuk mengisi kekosongan waktu mereka. Hal ini disebabkan oleh aplikasi yang terdapat di laman sosial yang canggih dapat menarik perhatian masyarakat di Malaysia. Secara tidak langsung, penggunaan laman sosial ini telah memberikan kesan positif dan negatif terhadap gaya hidup para remaja. 

Isi Kandungan:

Kebaikan (2 isi)

Keburukan (2 isi)

Kebaikan
Isi Pertama :

       Sebagaimana yang kita ketahui,penggunaan laman sosial dapat menambah kenalan yang baru di samping hubungan yang telah lama terputus dapat dieratkan semula. Apabila seseorang itu telah menamatkan sesuatu pengajian di sekolah menyebabkan mereka telah terputus hubungan antara satu sama lain. Laman sosial ini digunakan sebagai suatu medium utama untuk mencari kenalan lama yang telah terputus. Mereka dapat mengetahui kerjaya yang telah diceburi oleh rakan dan dapat berinterasi antara satu sama lain. Gambar yang telah diletakkan di dalam profil juga boleh dilihat dan dikomen oleh semua rakan. Mereka juga dapat menyampaikan maklumat seperti mengadakan satu perjumpaan di sesuatu tempat dengan mengumpulkan guru-guru dan rakan-rakan. Perkara ini menjadi mudah kerana dapat menjimatkan masa dan tenaga dengan cara menggunakan kemudahan yang sedia ada. Jadi jelaslah bahawa penggunaan laman sesawang sosial boleh menambahkan kenalan yang baru.

Isi Kedua :

Selain itu,ramai remaja juga menghabiskan masa mereka dengan laman sosial. Dengan adanya laman sesawang sosial, mereka dapat mengisi masa lapang mereka dengan melayari facebook. Bagi mereka yang bijak, di samping mengisi masa lapang ada antara mereka membuat bisnes dan membuat promosi melalui laman sesawang sosial seperti Facebook dan Twitter. Mereka juga dapat menjadikan laman sesawang sosial tersebut sebagai alternatif untuk menambahkan pendapatan bulanan mereka. Orang ramai boleh membeli dengan mengklik di laman sesawang dan barangan tersebut akan dihantar melalui pos laju. Siapa sahaja yang berminat untuk membeli barangan tersebut hanya membayar dengan memasukan wang ke dalam bank yang telah ditetapkan oleh penjual. Oleh itu, medium ini dapat menjimatkan masa dan tidak perlu bersesak-sesak di pusat membeli belah untuk membeli sesuatu barangan.


Keburukan
Isi Pertama :

Penggunaan laman sosial bukan sahaja mendatangkan kesan yang positif malah mendatangkan kesan negatif iaitu penggunaan laman sosial melalui internet menyebabkan berlakunya banyak penipuan atau pemalsuan. Hal ini demikian kerana, terdapat banyak kes penipuan yang berlaku terutamanya dalam kalangan remaja perempuan. Perkara ini disebabkan oleh mereka yang baru dikenalinya melalui laman sosial. Mereka biasanya akan mengikut semua kemahuan yang diminta oleh rakan dalam laman sosial tersebut. Sebagai contohnya, perkara ini berlaku apabila pasangan dalam laman sosial menghantar sistem pesanan ringkas(sms) untuk membuat temu janji dengan menyatakan tempat dan masanya. Seterusnya, remaja perempuan tersebut akan pergi ke tempat yang telah dinyatakan tanpa berfikir panjang. Namun demikian, setibanya di tempat yang dinyatakan oleh kenalan laman sosial itu, mereka mungkin ditipu dan ada juga yang telah menjadi mangsa rogol.

Isi Kedua :

Selain itu,penggunaan laman sosial menyebabkan golongan remaja menjadi lalai dalam melakukan sesuatu tugasan. Kepelbagaian aplikasi yang menarik seperti permainan yang terdapat dalam laman sosial mampu menarik minat pengguna laman sosial tersebut. Hal ini menyebabkan pengguna akan berasa seronok sehingga leka dan lalai untuk menyempurnakan urusan mereka. Tambahan pula, penggunaan laman sosial juga memberikan kesan kepada prestasi pelajaran dalam kalangan remaja. Hal ini akan menyebabkan mereka mengabaikan pelajaran kerana tiada masa yang diperuntuk untuk mengulang kaji pelajaran.Apabila berlangsungnya sesuatu peperiksaan markah yang diperolehi merosot dari peperiksaan sebelum ini menyebabkan mereka tercari-cari kesilapan yang telah dilakukan untuk diperbetulkan. Golongan pelajar yang menjadi tunjang kecemerlangan negara tidak dapat dilahirkan ekoran penggunaannya yang melalaikan masyarakat. Oleh itu, penggunaan laman menyebabkan seseorang itu membazir masa.     

Penutup

Kesimpulannya, penggunaan laman sosial ini mendatangkan pelbagai kebaikan dan keburukan kepada golongan remaja. Namun impak negatif yang wujud harus diberi perhatian yang serius oleh pihak berkuasa untuk mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap laman sesawang sosial yang tidak bertanggungjawab. Sebagai manusia yang berakal pastinya kita perlu menangkis setiap perkara yang buruk. Pepatah ada mengatakan bahawa “mencegah itu lebih baik daripada mengubati".

KARANGAN - BARANGAN BUATAN MALAYSIA- KEBAIKAN

KARANGAN BERPANDU :KEBAIKAN MEMBELI BARANGAN BUATAN TEMPATAN

 Slogan Belilah Barang Buatan Malaysia merupakan slogan yang sering kita dengar sama ada di televisyen atau di radio. Barang buatan Malaysia ialah barang yang dihasilkan di dalam negara. Antara barang buatan Malaysia adalah seperti kereta Proton Saga, barangan tembikar, batik lukis dan perabot rotan. Banyak kilang yang didirikan untuk menghasilkan barangan tempatan. Oleh yang demikian , rakyat perlulah menjadi pengguna yang bijak dengan membeli barangan tempatan. Pada hemat saya , terdapat banyak kebaikan membeli barangan buatan tempatan .
           Sebagai lontaran idea yang pertama , kebaikan membeli barangan buatan Malaysia dapat menjimatkan perbelanjaan keluarga. Kita dapat menjimatkan perbelanjaan jika kita membeli barangan tempatan. Harga barangan tempatan lebih murah berbanding barangan import. Sebagai contoh harga motosikal buatan tempatan, iaitu Kriss lebih murah berbanding motosikal import. Oleh itu, dengan membeli barangan buatan tempatan, kita dapat menjimatkan perbelanjaan untuk membeli barangan lain. Dalam hal ini, kita dapat menabung untuk masa depan, bak kata peribahasa sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit.
          Seterusnya , dengan membeli barangan buatan tempatan , kita dapat menyemai semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia .Pihak kerajaan sepatutnya mengadakan Kempen Sokonglah Jenama Malaysia secara berterusan . Dengan cara ini , kita dapat menggalakkan rakyat membeli barangan buatan Malaysia dan seterusnya memupuk perasaan cinta akan negara , bak kata pepatah , tak kenal maka tak cinta .
          Tambahan pula , kebaikan membeli barangan buatan tempatan dapat memajukan industri tempatan . Pada era globalisasi ini , terdapat banyak industri desa  yang muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan . Antara contoh industri desa yang terkenal di Malaysia ialah industri batik , kraf tangan , songket , dan tembikar . Industri ini dapat membantu rakyat hidup dengan lebih selesa. Oleh itu , rakyat dapat membantu perkembangan industri tempatan .
          Dalam pada itu, kebaikan membeli barangan buatan tempatan dapat meningkatkan imej negara . Barangan buatan tempatan merupakan barangan yang bermutu di negara kita . Mutu barangan buatan tempatan sama dengan mutu barangan import . Sebagai contoh barangan daripada kulit , seperti kasut , beg , dan dompet menjadi buah tangan pelancong yang datang di negara kita . Malaysia dikenali dalam kalangan pelancong kerana menghasilkan barangan yang berkualiti sekaligus dapat menambah pendapatan negara .
          Justifikasinya , industri barangan tempatan memberi banyak kebaikan kepada pelbagai pihak. Kita perlu bekerjasama untuk memajukan industri barangan tempatan. Kita juga bertanggungjawab untuk memastikan Malaysia duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju. Belilah barangan buatan Malaysia kerana barang buatan Malaysia merupakan kebanggaan kita bersama.

USAHA MAJUKAN INDUSTRI KRAF TANGAN

Industri kraftangan seperti anyaman bakul, ukiran tangan dan membuat wau bukan sahaja dapat meningkatkan pendapatan pengusaha kraftangan tetapi mampu menarik kehadiran pelancong ke negara kita.
Bincangkan usaha-usaha yang dijalankan oleh pelbagai pihak untuk memajukan industri  kraftangan di Malaysia.


Pendahuluan
-kraftangan merupakan satu cabang seni yang unik dan mempunyai nilai yang tersediri.
-kraftangan boleh menjadi lambing sesuatu negeri dan tradisi seperti wau yang terkenal di Kelantan dan anyaman tikar Sarawak.


Isi Pertama
AT :peranan kerajaan dalam mempromosikan barangan kraftangan di mata dunia.
AH :
-mengadakan promosi meluaskan pasaran kraftangan secara besar-besaran bagi menarik minat ramai pengusaha kraftangan.
-mengadakan minggu kraftangan peringkat antarabangsa untuk menggalakkan pengusaha kraftangan bergiat lebih aktif selain kerajaan dapat menyelam sambil minum air dengan menarik lebih ramai pelancong.
AC :
-mempromosikan barangan kraftangan ketika mengadakan pelancaran Tahun Melawat Malaysia yang diadakan di negara-negara luar.
-Kementerian Seni dan Budaya mengadakan minggu kraftangan bagi menghargai seni dan dan nilai keaslian barangan kraftangan yang dibuat ekslusif untuk minggu tersebut.
AP :
Jelaslah bahawa kerajaan memainkan peranan yang lebih dominan dalam mempromosikan barangan kraftangan.
UM :


Isi Kedua
AT : Kerajaan dan swasta memberikan sokongan dan dorongan.
AH :
-          Memberikan pinjaman modal bagi pengusaha yang ingin meluaskan sayap pengusahaan kraftangan.
-          Memberikan tumpuan dan dorongan terhadap industri kraftangan dengan merancang perkembangan semasa industri.
-          Mengadakan bengkel kraftangan bagi mengajar dan memantapkan kemahiran seni kraftangan.
AC :
-          Jabatan-jabatan seperti MARA memberikan pinjaman modal kepada pengusaha untuk memajukan lagi pengusahaan kraftangan.
-          Kerajaan membuka peluang yang cerah dengan berusaha mencari pasaran di peringkat global.
AP :
-          Galakan dan dorongan dapat menarik minat pengusaha dalam memajukan lagi industri kraftangan.
UM :


Isi Ketiga
AT :peranan media massa dalam menerapkan minat terhadap seni kraftangan.
AH :
-menarik minat masyarakat terhadap seni kraftangan.
-membantu meningkatkan permintaan orang ramai terhadap barangan kraftangan.
AC :
-Menyiarkan artikel menarik mengenai seni kraftangan.
-menarik minat orang awam dan sekaligus membantu memajukan industri kraftangan.
AP :
-Konklusinya, pihak media massa turut membantu memajukan industry kraftangan Malaysia.
UM :tak kenal maka tak cinta.

Isi Keempat
AT :kreativiti pengusaha barangan kraftangan
AH :
-memvariasikan hasil barangan kraftangan agar lebih menarik.
-mempromosikan barangan kraftangan dengan cara yang tersendiri.
AC :
-pengusaha barangan kraftangan Sarawak mempelbagaikan hasil kraftangan dari rotan, anyaman dan peralatan hiasan rumah.
AP :
-kreativiti pengusaha juga memberikan impak yang besar dalam memajukan industry kraftangan di Malaysia.


Isi Kelima
AT :sokongan masyarakat terhadap industry kraftangan itu sendiri.
AH :
-kebanyakan individu tidak menghargai nilai kesenian barangan kraftangan.
-menunjukkan perasaan kagum dan menghargai barangan kraftangan yang merupakan hasil karya terunik yang tidak semua pihak dapat menghasilkannya.
AC :
-masyarakat tidak memandang enteng terhadap usaha memajukan industri kraftangan serta memberikan sokongan yang berterusan.
AP :
-secara amnya, masyarakat juga turut membantu dalam memajukan industry kraftangan di Malaysia.
UM :


Penutup :
-          Secara intihannya, pelbagai pihak perlulah berganding bahu bersama-sama untuk memajukan industri kraftangan di Malaysia supaya tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas, tidak hilang ditelan zaman agar industri kraftangan ini terus maju seiring dengan pembangunan negara dan sekaligus menarik minat pelancong untuk bertandang ke negara kita.

PERNIAGAAN ONLINE

Perniagaan "ONLINE" semakin popular dan mendapat sambutan hangat daripada masyarakat  pada era globalisasi ini.


Huraikan kelebihan dan kekurangan perniagaan Internet pada masa ini.

Perniagaan internet merupakan salah satu aktiviti perniagaan yang menggunakan teknologi yang canggih atau lebih dikenali sebagai e-dagang iaitu melakukan urusan jual beli antara peniaga dengan pengguna melalui internet. Di Malaysia, aktiviti perniagaan internet semakin terkenal dan mendapat sambutan pada masa ini, selaras dengan kemajuan pembangunan dan ekonomi di peringkat globalisasi. Di samping itu, perniagaan internet bukan sahaja untuk syarikat-syarikat besar, tetapi juga untuk syarikat kecil. Walaupun mereka mempunyai pekerjaan tetap, mereka juga boleh menjalankan perniagaan ini bagi memperoleh pendapatan sampingan. Hal ini menunjukkan bahawa perniagaan internet semakin mendapat sambutan hangat dan memberikan kebaikan kepada peniaga dan pengguna. Walau bagaimanapun, perniagaan internet juga mempunyai keburukan yang tidak dapat dielakkan.

Perniagaan internet memberikan kelebihan iaitu urusan jual beli dapat dijalankan dengan lebih mudah dan cepat di samping menjimatkan kos. Hal ini dikatakan demikian kerana pihak peniaga tidak perlu mempromosikan produk mereka di luar seperti mengadakan promosi di tepi-tepi jalan, pasar raya dan tempat-tempat awam yang lain. Para peniaga juga boleh membuat promosi dengan mudah iaitu mengiklankan setiap produk mereka dengan menggunakan kemudahan internet. Kerja-kerja promosi bukan sahaja dapat dijalankan dengan mudah, malahan kosnya juga dapat dikurangkan, antaranya kos pengangkutan dan tenaga kerja dalam aktiviti promosi. Keadaan ini turut memudahkan pelanggan dalam urusan pembelian barang. Pelanggan tidak perlu membuang masa untuk membuat tempahan di kedai tetapi mereka boleh membuat tempahan melalui internet sahaja.

Di samping itu, pasaran bagi perniagaan internet dapat dikembangkan di serata dunia. Produk dari Malaysia seperti pencuci muka berjenama murah bukan sahaja tertumpu di dalam negara sahaja tetapi juga boleh diluaskan pasarannya ke luar negara seperti Indonesia, Filipina, Singapura, India, dan Amerika Syarikat. Penjualan barang di luar negara bukan sahaja memperkenalkan jenama produk Malaysia tetapi juga memberikan keuntungan besar di samping meningkatkan ekonomi negara. Hal ini berlaku demikian kerana wujudnya pertukaran mata wang asing dalam aktiviti jual beli antara peniaga dari negara ini dengan negara luar mula berminat terhadap barangan dari Malaysia dan mula menyebarkan berita tersebut kepada rakan-rakan mereka.

Selain itu, perniagaan internet juga memberikan impak kepada ekonomi negara, lebih-lebih lagi dari aspek pelancongan. Dalam sektor pelancongan, kebiasaannya setiap hotel dan pusat pelancongan akan menjual produk pelancongan mereka iaitu dengan membuat promosi mereka melalui internet supaya pasaran akan lebih luas sehingga ke luar negara. Keadaan ini dapat menarik pelancong yang lebih banyak untuk datang dan bercuti ke Malaysia. Pendapatan negara melalui pertukaran mata wang asing bukan sahaja meningkat tetapi juga persaingan antara negara maju yang lain juga dapat ditingkatkan. Keadaan ini menunjukkan bahawa negara Malaysia juga mampu memberikan saingan yang hebat dalam sektor pelancongan melalui penggunaan alatan yang canggih dan berteknologi tinggi.

Terdapat juga beberapa kesan negatif apabila peniaga menceburkan diri dalam perniagaan internet, antaranya ialah peniaga terpaksa menghadapi pelbagai kerenah pelanggan. Sebagai contohnya, walaupun Malaysia semakin maju, terdapat banyak lagi anggota masyarakat yang tidak biasa menggunakan teknologi maklumat. Di samping itu, terdapat juga pengguna yang terlalu cerewet dan menyusahkan peniaga atau usahawan internet. Oleh itu, peniaga terpaksa bersabar dengan kerenah pelanggan yang sering tidak berpuas hati dengan produk yang dipasarkan atas alasan hanya membuat pilihan melalui iklan dalam internet sahaja. Keadaan ini juga memberikan impak kepada peniaga yang terpaksa mengeluarkan kos yang lebih tinggi untuk menghantar barang yang diganti itu semula demi kepuasan pengguna. Keadaan ini berlaku kepada peniaga yang mengamalkan konsep bayar, terima dan guna iaitu pembeli terpaksa membayar harga barangan tersebut terlebih dahulu sebelum mereka menerima dan boleh menggunakannya.

Di samping itu, pengguna atau pelanggan juga perlu berhati-hati kerana pelbagai risiko perlu dihadapi oleh peniaga. Risiko yang dimaksudkan itu seperti produk atau perkhidmatan yang dipasarkan hanya indah khabar daripada rupa, contohnya bagi sesetengah produk, terutamanya makanan dan produk kesihatan. Hal ini dikatakan demikian kerana ditakuti produk tersebut berbahaya untuk kesihatan pengguna. Dalam sektor pelancongan pula, kebanyakan pelanggan membuat aduan bahawa tempat-tempat percutian yang telah ditempah melalui iklan dalam internet tidak secantik seperti yang ditunjukkan melalui iklan dalam internet. Keadaan ini tentunya akan memberikan kesan negatif kepada negara lebih-lebih lagi dalam sektor pelancongan. Hal ini menyebabkan berlakunya tanggapan negatif daripada pelancong asing yang kebanyakannya tertipu oleh promosi daripada pihak yang tidak bertanggungjawab dan hanya mementingkan keuntungan tanpa mengira kepuasan dan keselesaan pelanggan.

Sebagai kesimpulannya, perniagaan internet bukan sahaja memberikan manfaat kepada pengguna tetapi juga memberikan kemudahan dan kebaikan kepada peniaga. Di samping itu, kita bukan sahaja menerima kebaikan dan faedahnya, malahan hal ini turut memberikan impak yang besar juga kepada negara. Keadaan ini menunjukkan bahawa negara Malaysia kini mampu bersaing dengan negara-negara maju yang lain. Walau bagaimanapun, pengguna harus berhati-hati kerana terdapat beberapa risiko yang akan dihadapi oleh mereka. Oleh hal yang demikian, pihak berkuasa dan kerajaan haruslah mengawal dan memantau aktiviti perniagaan melalui internet ini supaya bentuk perniagaan dan kemudahan ini tidak disalahgunakan oleh pihak ynag bertanggungjawab kerana kita tidak mahu sudah terhantuk baru nak tengadah.