Kata-kata kiasan akan menjadi penyeri karangan. Hal ini akan menjadikan lenggang-lenggok bahasa kita menarik untuk dibaca. Perhatikan contoh di bawah dan introspek diri sendiri:
TANGGUNGJAWAB GOLONGAN REMAJA DALAM PEMBANGUNAN NEGARA
Lebih separuh dasawarsa kita menghela nafas kemerdekaan, namun
remaja yang merupakan bakal tunjang negara masih terbelenggu oleh
pelbagai kemelut sosial.
Ternyata mentaliti remaja di negara kita belum lagi
mengalami anjakan paradigma selaras dengan arus pembangunan perdana negara
kita. Menurut kata mutiara sarjana, “Jika ingin melihat masa hadapan
sesebuah negara, lihatlah remajanya pada hari ini.” Presiden
Soekarno pernah mengungkap, “Berikan saya 10 orang belia
waja, nescaya akan saya gegarkan dunia.”Ternyatalah di sini bahawa
remaja yang berkualiti dapat memperkasakan
kegemilangan nusa dan bangsa. Oleh itu, setiap remaja perlu
memainkan peranan mereka dengan penuh tanggungjawab untuk merencanakan
pembangunan negara.
Peranan
signifikan remaja ialah mereka perlu belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan
dari aspek akademik. Kecemerlangan akademik merupakan salah satu elemen yang maslahat
untuk melahirkan remaja yang berkualiti demi kepentingan negara. Intelek
merupakan faktor perdana untuk menjana kecemerlangan tamadun
bangsa. Sehubungan dengan itu, remaja kita perlu proaktif menimba ilmu bukan sahaja di dalam kelas tetapi juga
menuntut segala pengetahuan, terutamanya ilmu Sains dan Matematik melalui
pelbagai wahana, seperti membaca buku, melayari lebuh raya
maklumat di dunia maya dan sebagainya. Ketekunan dan
inisiatif merupakan prasyarat untuk mencapai kecemerlangan akademik dan akan
menjauhi gelaran katak di bawah tempurung. Remaja juga tidak
harus terbuai dalam dunia yang mengalpakan, iaitu terlalu khusyuk dalam
dunia hiburan atau mengamalkan hedonisme. Ingatlah kata mutiara leluhur kita, ikut
hati mati, ikut rasa binasa. Izharlah,
tanpa remaja yang bijak pandai maka pembangunan negara akan terbantut.
Walau
bagaimanapun, kecemerlangan akademik semata-mata tidak dapat menjamin
pembangunan negara jika remaja kita tidak memiliki kesihatan fizikal dan
mental. Remaja yang ingin membangunkan negaea perlu memiliki kekuatan fizikal dan
mental untuk menempuhi segala kekangan. Pada alaf baharu yang penuh
dengan kompetitif, remaja kita perlu memiliki kecergasan fizikal
dan bersemangat waja diri tanpa mengenal istilah putus asa supaya dapat berdiri
sama tinggi, duduk sama rendah dengan remaja di negara maju. Untuk
mencapai kesihatan fizikal dan mental, remaja kita patut mengamalkan pemakanan
seimbang, menjaga kebersihan diri dan persekitaran, bersenam, bersukan,
beriadah dan tidak terlibat dalam pelbagai kebejatan
sosial seperti minum arak, merokok, kegiatan maksiat, najis dadah dan
lain-lain lagi kerana terlajak perahu boleh diundur, terlajak laku
buruk padahnya. Remaja kita harus sedar bahawa kesihatan
merupakan aset yang tidak ternilai. Tanpa kesihatan,
segala-galanya tidak lagi membawa makna. Hal ini sangat bertepatan dengan
sloganrakyat sihat, negara maju. Jadi, remaja yang sihat dan
mempunyai jati diri yang mapan baru dapat melaksanakan
pembangunan negara.
Selain itu,
remaja juga mestilah memiliki etika atau personaliti yang luhur.
Remaja kita harus disuntikkan ajaran
agama dan nilai moral sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah
dari rebungnya. Lantaran itu, ibu bapa dan pihak sekolah memainkan
peranan yang penting untuk mendidik remaja menjadi modal insan kelas pertama yang berakhlak mulia dan berjati diri
unggul. Selain menitikberatkan tarbiah
agama dan pendidikan moral, remaja kita harus dibimbing supaya melakukan
kerja amal dan memberikan khidmat sosial, misalnya bergotong-royong, menziarahi
rumah kebajikan orang-orang tua dan kanak-kanak yatim, mengutip derma untuk
membantu mangsa bencana alam serta terlibat dalam pelbagai aktiviti sukarela.
Remaja yang imannya senipis kulit bawang sudah pasti akan
terjerumus ke dalam kebejatan sosial. Dengan kata lain, remaja
berkepemimpinan harus bersahsiah mulia, berinsaniah, berbudi bahasa dan
berkasih sayang agar dapat melahirkan negara yang maju sama ada secara
luarannya dan dalamannya pada suatu hari nanti.
Seperkara
lagi, remaja juga perlu kreatif dan inovatif untuk memacu
pembangunan negara yang gemilang. Hal ini terjadi demikian kerana
hanya mereka yang sentiasa berani berkreatif dan mempelopori bidang yang baharu
dapat mengecapi kejayaan yang terbilang. Dalam industri
teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), umat yang gigih dan berani mencuba
sesuatu yang baharu akan menikmati buah kejayaan yang manis. Rentetan daripada
itu, remaja kita harus dilatih supaya berani berimaginasi dan berkhayal tetapi
disusuli dengan aplikasi yang teratur. Ibu bapa harus memberikan sokongan yang
padu dan galakan yang tidak terhingga jika anak mereka melontarkan impian
mereka. Namun demikian, impian itu bukan rekaan Mat Jenin yang
tidak berasas tetapi perlu disokong dengan praktikalnya. Dalam konteks ini,
penglibatan remaja dalam pelbagai bidang sama ada kebudayaan, sukan, kepimpinan
atau keusahawanan berupaya menjanakan kreativiti dan inovasi remaja. Pendek
kata, pembangunan negara akan tercapai jika negara kita mempunyai barisan
pelapis negara yang kreatif dan inovatif.
Akhir
sekali, remaja juga dapat memainkan peranan mereka untuk membangunkan negara
dengan memiliki sikap keterbukaan. Hal ini kerana apabila golongan ini
mempunyai sifat sedemikian, mereka lazimnya dapat menerima teguran dan
pandangan orang lain. Dalam nada yang serupa, remaja seumpama ini dapat memberi
kesan kepada negara kita. Mereka dapat menjamin kestabilan politik, ekonomi dan
sosial negara. Mereka akan menjadi pendukung untuk mencapai
perpaduan negara atau integrasi nasional demi mewujudkan kesejahteraan sosial.
Mereka sentiasa mengamalkan sikap toleransi dan bertolak ansur untuk mencapai
misi dan visi negara iaitu semua rakyat perlu bersatu padu di bawah satu
bumbung yakni, satu bangsa satu bahasa dan satu negara. Maka, sifat keterbukaan
remaja sudah pasti dapat memudahkan mereka menjadi pemimpin yang mampu
membangunkan negaranya dengan penuh komited dengan dipayungi perpaduan antara
rakyatnya.
Intihanya, semua remaja
mempunyai tanggungjawab dan obligasi masing-masing untuk menjana pembangunan
negara kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.
Remaja sebagai tunjang yang bakal menerajui kepimpinan negara kita haruslah
merdeka daripada belenggu angkara sosial. Hanya remaja yang
berkualiti akan memangkinkan kecemerlangan negara. Jika remaja
kita tidak diasuh, dibimbing dan dididik dengan kamil, tidak
mustahil segala aspirasi negara hanya sekadar imaginasi
semata-mata dan tidak dapat menjadi realiti. Oleh itu, remaja kita perlu
terjaga daripada lena dan keasyikan serta melengkapkan diri dengan ciri-ciri
yang mulia supaya dapat menempatkan diri sebagai modal insan yang
cemerlang, gemilang dan terbilang. Semoga negara kita dapat berdiri
dengan gah di pentas antarabangsa bergandingan dengan negara
maju yang lain dan terkenal di seantero dunia.
No comments:
Post a Comment