Wednesday, October 12, 2016

KEBAIKAN INTERNET

KEBAIKAN INTERNET

Pada zaman revolusi teknologi telekomunikasi dan multimedia tanpa limitasi ini, Internet menjadi salah satu kewajiban yang perlu ada di setiap rumah. Melalui Dana 1Malaysia, kerajaan telah berjaya mengedarkan kira-kira 500000 unit ‘netbook’ kepada pelajar sekolah menengah di seluruh Malaysia, dengan inisiatif ini diharapkan pelajar dapat memanfaatkan teknologi yang ada untuk membantu dalam proses pelajaran dan pembelajaran di samping meningkatkan kadar celik IT di kalangan pelajar. Selain itu, Telekom Malaysia juga bekerjasama dalam program jalur lebar dengan menawarkan Internet pada harga RM38 sebulan dengan kelajuan 384 kbps(kilobyte per second) kepada keluarga yang berpendapatan rendah untuk membolehkan rakyat menikmati pelbagai manfaat daripada pengunaan Internet dalam memudahkan urusan harian sebagai seorang pelajar mahupun sebagai ibu bapa. Selain itu juga Pusat Jalur Lebar yang telah ditubuhkan juga banyak memberikan manfaat kepada rakyat untuk melayari Internet secara percuma. Begitulah bukti mununjukkan betapa komitednya kerajaan dalam membantu rakyatnya hidup lebih berkualiti demi merealisasikan aspirasi negara dalam melahirkan lebih banyak modal insan kelas pertama seiring dengan wawasan 2020. Dengan ini, golongan yang kurang berkemampuan mampu untuk menikmati perkembangan teknologi sekaligus memenuhi tuntutan semasa yang memerlukan seseorang itu menguasi ilmu IT dengan baik untuk diaplikasikan dalam kerja untuk menjadikannya lebih sistematik dan teratur. walau bagaimanapun, banyak suara-suara sumbang yang menentang hasrat kerajaan untuk memajukan rakyat menggunakan alasan pengunaan Internet terdapat banyak kesan buruk terhadapat pemikiran rakyat. Mereka mempersoalkan kebaikan Internet dalam kehidupan seharian, dan terus mendesak untuk meminta penjelasan berkaitan perkara ini, berikut merupakan antara kebaikan Internet dalam kehidupan seharian.
Antara kebaikan Internet dalam kehidupan seharian, terutamanya bagi seorang pelajar, sama ada di peringkat sekolah mahupun universiti, ialah kebanjiran ilmu pengetahun, yang membolehkan pelajar mendapat apa sahaja maklumat yang diingini dengan menggunakan enjin carian google,yahoo dan sebagainya tanpa perlu bersusah untuk pergi ke perpustakaan dan dalam masa yang sama mampu menjimatkan masa. Dengan menaip tajuk yang berkaitan, enjin carian ini akan mencadangkan beberapa puluh laman sesawang yang membincangkan tajuk yang berkaitan. Pelajar juga boleh memuat turun buku elektronik secara percuma ataupun berbayar dilaman sesawang yang berkenaan dan boleh mendapatkan sampel tugasan untuk dijadikan rujukan, maklumat kini hanya berada di hujung jari. Tambahan pula, pelajar boleh menambah ilmu pengetahuan mengenai dunia luar dan tidak hanya bergantung kepada silibus pelajaran di sekolah sahaja. Terbuktilah Internet mampu meberikan manfaat kepada golongan pelajar. Ibu bapa juga boleh menggunakan manfaat ini untuk mecari tips menarik di Internet seperti tips keibubapaan, resepi masakan dan sebagainya untuk diaplikasikan di dalam kehidupan. Semestinya untuk seorang guru Internet sangat penting untuk mereka, kerana boleh mengakses dan  menyelitkan sedikit informasi tambahan yang menarik dalam setiap topik pembelajaran untuk dikongsi bersama anak didik mereka semasa mengajar dan dalam masa yang sama mampu menarik perhatian pelajar dan mampu meningkatkan kualiti pembelajaran di sekolah dan tidak hanya bergantung sumber yang ada dalam buku teks dan rujukan semata-mata. Dapat dirumuskan di sini bahawa Internet membekalkan pelbagai ilmu pengetahuan yang berguna untuk dibaca dan diamalkan dalam kehidupan semasa.
Selain itu, antara kebaikan Internet yang lain ialah mampu meningkatkan penguasaan bahasa inggeris. Kita sudah sedia maklum bahawa bahasa inggeris, yakni bahasa paling banyak digunakan di dunia, dan menjadi ‘lingua franca’ di zaman melinium ini. Sangatlah penting bagi seseorang yang ingin berjaya dalam apa jua bidang untuk menguasai bahasa ini dengan sebaik mungkin kerana bahasa ini secara tidak langsung dijadikan bahasa ‘rasmi’ dalam pelbagai urusan yang dijalankan samada di dalam negara mahupun luar negara, sesuai dengan kata-kata seorang tokoh barat yang bermaksud ‘untuk menjadi yang terbaik, anda mesti menguasai apa yang terbaik’ yakni menguasai bahasa yang utama mampu menjadikan kita lebih berjaya. Seperti sedia maklum, kebanyakan laman sesawang di Internet menggunakan bahasa inggeris sebagai bahasa pengantar dan membolehkan si pembaca boleh belajar secara tidak langsung mengenai cara penyusunan ayat,teknik mengarang dan dalam masa yang sama mampu menambah perkataan-perkataan baru yang boleh digunakan. Untuk pengguna lama sesawang sosial seperti facebook, twitter dan sebagainya, kebanyakan pengkemaskinian status banyak dibuat dalam bahasa inggeris dan pengguna boleh belajar sedikit sebanyak tentang tatabahasa dan mampu memerikan keberanian kepada pengguna untuk menggunakan bahasa inggeris dalam kehidupan seharian. Bagi pengguna yang mempunyai blog, amat digalakkan untuk mengemas kini entri anda dalam bahasa inggeris mampu untuk meningkatkan teknik penulisan anda sedikit sebanyak kerana pengunjung yang membaca blog anda patinya akan menegur setiap kesalahan membolehkan anda mendapat ilmu dan teknik penulisan yang betul untuk masa yang akan datang, melalui Internet, banyak perubahan dalam bahasa inggeris yang dapat dilihat. Peningkatan ini boleh dibuktikan dengan peningkatan keputusan gred purata bahasa inggeris keseluruhan bagi SPM 2011 dan kajian mendapati ramai pelajar yang menulis jawapan dalam bahasa inggeris berbanding tahun-tahun sebelumnya dalam subjek-subjek sains yang menyediakan ayat secara dwibahasa untuk soalan dan jawapan. Dengan itu, Internet antara medium terbaik untuk meningkatkan penguasaan bahasa inggeris di kalangan  pengguna.
Di samping itu, penggunaan Internet juga mampu menjimatkan kos . sesuai untuk pelajar, ibu bapa yang bertugas di luar negara, kini mereka mampu tersenyum lebar kerana dengan menggunakan aplikasi berbual secara talian seperti skype, yahoo messenger dan sebagainya, anda mampu untuk mebuat panggilan video, panggilan suara dan “berchatting” dengan sanak saudara dengan percuma! Dengan ini, pelajar, mahupum ibu bapa yang belajar mahupun bekerja di luar negara mampu untuk berhubung dengan saudara mara ketika berada di perantauan tanpa perlu bimbang soal bil telefon dan sebagainya kerana bil Internet adalah tetap untuk setiap bulan.  Kos yang diperuntukkan untuk berhubung dengan keluarga mampu dikurangkan secara lebih berkesan kerana meraka bukan saja boleh berjimat, tetapi dalam masa yang sama mampu mengeratkan hubungan kekluargaan dan tidak menjadikan jarak beribu batu sebagai alasan untuk tidak berhubung dengan ahli keluarga sekerap yang boleh. Malah ada sahaja pelajar yang berkahwin di luar negara mampu untuk  “membawa” keluarga mereka untuk melihat majlis perkahwinan mereka tanpa perlu mengeluarkan belanja untuk tiket penerbangan serta penginapan kerana mereka boleh melihat perkahwinan anak mereka secara langsung menggunakan skype, dan boleh berkongsi saat-saat gembira bersama keluarga walau dimana jua anda berada. Sudah semestinya penjimatan seperti ini sangat diperlukan oleh para pelajar mahupun pekerja kerana peningkatan taraf hidup semakin mendesak dan dengan penjimatan ini mampu meredakan kebimbangan mereka. Perkembangan teknologi perhubungan yang menggunakan Internet sebagai medium penggerak utama ternyata mampu membawa kebaikan yang postif. Sesungguhnya, penggunan Internet mampu membawa pengjimatan kepada penggunanya.
Seterusnya, memudahkan urusan juga antara kebaikan penggunaan Internet keatas semua pihak. Jika dahulu, sering kali melihat ibu bapa kita ke bank untuk mebayar bil-bil air, eletrik dan sebagainya, sekarang tidak lagi, dengan menggunakan Internet dan menggunakan khidmat perbankan melalui Internet, anda boleh mengkakses terus ke akaun bank anda dan boleh membuat pembayaran secara online, dengan hanya berada di depan komputer, anda sudah mampu untuk menjelaskan segala bayaran dan tidak lagi perlu bersusah payah beratur untuk mebayar bil –bil dan lain-lain. Untuk bakal pelajar yang bakal bergelar pelajar universiti , sudah semestinya mereka akan berpusu-pusu mengisi borang-borang biasiswa secara talian dengan menggunakan aplikasi yang di bangunkan oleh kerajaan mahupun badan swasta, untuk permohonan ke matirukulasi mahupun Institusi Pengajian Tinggi Awam(IPTA) , memerlukan pelajar untuk memperlengkapkan butiran peribadi mereka secara talian dan di hantar terus ke unit kemasukan pelajar, dan pada masa yang sama, pekerja tidak perlu lagi mengasingkan surat-surat butiran peribadi yang dahulunya dipos kepada Kementerian Pelajaran Tinggi. Malah, kebanyakan maklumat mula disebarkan melalui laman sesawang sosial facebook sahaja tentang pembatalan kuliah, jemputan ke majlis-majlis tertentu tanpa melalui surat-surat jemputan lagi, malah ada yang menggunakan facebook untuk menjemput untuk menghadiri majlis perkahwinan mereka tanpa perlu pergi rumah ke rumah untuk menjemput datang ke majlis mereka. Pendek kata, kebanyakan urusan permohonan kerja, semakan gaji mula menggunakan Internet sebagai medium penyemakan dan penyebaran maklumat tertentu berikutan bilangan penggunaan Internet semakin bertambah hari demi hari bak cendawan tumbuh selepas hujan. Para usahawan juga dilihat semakin giat mempromosikan produk mereka di facebook yang dilihat mampu memikat hati pelanggan global sama ada dalam Malaysia mahupun luar negara. Dapat dirumuskan disini bahawa penggunaan Internet mampu untuk memudahkan banyak urusan.
Akhirnya, kebaikan Internet yang lain ialah sebagai medium untuk rakyat bersuara, yakni melalui laman-laman sesawang sosial seperti facebook untuk bersuara melalui saluran yang betul seperti laman sesawang Perdana Menteri ataupun menghantar aduan kepada stesyen-stesyen televisyen untuk menyalurkan maklumat yang berkaitan atau aduan tentang sesuatu masalah yang sedang berlaku dan memerlukan pemantauan pihak berkuasa. Jika aduan atau cadangan yang dilontarkan berasas, pihak-pihak berkuasa akan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menangani masalah yang sedang berlaku, cara ini mungkin akan lebih berkesan kerana wakil-wakil rakyat mula menggunakan laman sesawang sosial sebagai medium untuk mendekatkan diri dengan rakyat dan mendengar semua keluhan dan aduan rakyat yang perlu diambil berat. Menggunakan laman sesawang sosial pemimpin boleh berkongsi pendapat dan pelan tindakan yang yang dirancangya serta boleh meminta pandangan rakyat sama ada sesuai untuk diserapkan dalam pentadbiran masing-masing. Dengan ini, pemimpin tidak lagi hanya boleh mendengar aduan rakyat jika turun untuk melakukan khidmat masyarakat, tetapi mampu untuk mengetahui banyak masalah yang berlaku hanya dengan melalui laman sesawang. Melalui Internet juga, individu yang tidak mempunyai keberanian untuk bersuara secara berdepan dengan pemimpin juga mampu untuk tampil membuat cadangan atau kritikan secara lebih sihat tanpa melalui demonstrasi jalanan yang dianjurkan pihak tertentu untuk tampil bersuara. Namu kerjasama dari pihak pemimpin juga amat diperlukan untuk menjayakan lagi pendekatan ini supaya mampu meberikan peluang kepada rakyat untuk membuat penambahbaikan dalam sistem-sistem tertentu untuk memperkasakan lagi corak pentadibiran negara dalam proses untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020. Justeru, terbukti Internet mampu untuk menjadi medium untuk rakyat bersuara demi kemajuan negara bangsa tercinta.
Konklusinya, Internet mampu membawa kepada kebaikan yang ketara kepada pengguna jika digunakan secara betul, justeru, ibu bapa mahupun penjaga haruslah memantau anak mereka ketika mereka melayari Internet untuk memastikan mereka tidak melayari laman-laman sesawang yang berunsur lucah yang mampu merosakkan minda si anak. Oleh itu, ibu bapa seharusnya memasang aplikasi untuk menyekat akses kepada laman sesawang yang tidak mempunyai moral untuk melindungi mereka daripada agen propaganda barat yang mahu merosakkan pemikiran remaja seluruh dunia memalui muzik dan fesyen yang keterlaluan serta penyebaran unsur black metal yang semakin mendapat tempat di hati remaja di Malaysia dan pengguna juga harus lebih berhati-hati ketika berurusan secara talian dan tidak mededahkan maklumat diri anda sewenang-wenangya kerana kadar jenayah di Internet telah meningkat sejak akhir-akhir ini dan telah menelan kerugian jutaan ringgit. Di harapkan semua pihak tampil untuk  bekerja sama dalam memastikan Internet sentiasa digunakan di jalan yang betul dan kerajaan seharusnya memperbanyakkan lagi Pusat Jalur Lebar tertutamanya di kawasan pedalaman supaya anak-anak disana mampu untuk menikmati kebaikan Internet seperti rakyat bandar yang banyak mendahului mereka dari segi kemahiran dalam bidang IT dan dalam masa sama aspirasi untuk mengurangkan jurang antara bandar dan luar bandar dapat dilaksanakan dengan jayanya! Begitu juga peranan guru dalam mendedahkan laman-laman sesawang pendidikan serta menerapkan nilai-nilai murni dikalangan pelajar supaya mereka mengetahui baik dan buruk melayari Internet. Slogan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan sangatlah sesuai untuk dipraktikkan oleh pemimpin dalam menyebarkan dan memperkenalkan kebaikan Internet kepada rakyat supaya kebaikan ini dapat memberikan kesan postif kepada mereka dan mampu meningkatkan kualiti hidup kearah yang lebih baik pada masa yang akan datang..


No comments:

Post a Comment