Masalah juvenil perlu
diatasi dengan bijaksana kerana remaja hari ini adalah pemimpin pada hari
esok.
Bincangkan IMPLIKASI-IMPLIKASI yang timbul
daripada masalah juvenil yang berlarutan sehingga
menjadi masalah negara.
Marcapada,
kita acap kali tersentak dengan peningkatan drastik kes juvenil atau
delinkuensi yang melibatkan golongan remaja yang masih berada di bangku
sekolah. Kes juvenil didefinisikan sebagai maslah sosial yang dilakukan
oleh remaja yang berumur di bawah 18 tahun. Statistik dan kajian Ibu Pejabat
Polis Bukit Aman menunjukkan kes juvenil yang merangkumi pecah rumah, merempit,
penyalahgunaan dadah, meragut, merompak, bergaduh dan vandalisme telah
mencapai tahap kritikal dan menunjukkan kecenderungan untuk terus menular
sekiranya tidak dibendung dengan segera. Hal ini amat membimbangkan
segenap lapisan masyarakat keranan peranan remaja sebagai pemimpin pelapis
negara yang bakal mengisi tampuk pemerintahan negara akan terjejas ekoran
terjebak dalam kebejatan sosial. Maka, prakarsa yang menyeluruh dan
efektif harus diambil dengan segera untuk mengatasi demoralisasi remaja yang mendorong
peningkatan kes juvenil. Sebelum ini, kita harus menimbang kewajaran
membanteras kes juvenil menerusi pemerhatian terhadap kesan-kesan yang timbul
daripada masalah juvenil. Persoalan yang berlegar-legar dalam kotak minda
kita , apakah kesan-kesan yang timbul daripada masalah juvenil yang dibiarkan
berlarutan, lebih-lebih lagi kesan jangka panjang terhadap negara.
Pada
hemat peribadi saya, masalah juvenil akan
menjejaskan usaha melahirkan modal insan berkualiti. Pihak kerajaan (cakerawati)
amat menitikberatkan peranan yang dimainkan oleh remaja dalam pembangunan
negara dengan mengatur dan menyusun menjalankan pelbagai usaha untuk melahirkan
modal insan yang berkualiti. Modal insan yang seimbng dari segi jasmani,
emosi, rohani, intelek dan sosial menjadi kayu ukur untuk menjadi
pemimpin. Namun, perbuatan remaja yang terlibat dalam kes juvenil secara
terang-terangan semakin bertambah. Hal ini menggagalkan usaha murni
pihak kerajaan untuk membentuk modal insan kelas pertama. Penyediaan
kemudahan prasarana pendidikan dan pelancaran Program Latihan Khidmat Negara
(PLKN) untuk memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan remaja dan melahirkan
pelajar cemerlang tidak mencapai matlamat yang disasarkan ibarat mencurahkan
air ke daun keladi sekiranya remaja terus melibatkan diri dalam kelangsungan
atau keganasan. Usaha melahirkan modal insan yang berkemahiran turut
terbantut kerana remaja mudah terjebak dalam kegiatan vandalisme dan
gangsterime untuk mengisi masa senggangnya berbanding dengan memanfaatkan masa
tersebut untuk menimba ilmu menerusi pembacaan mahupun membabitkan diri secara
aktif dalam aktiviti kokurikulum. Remaja yang mengejar keseronokan dan
mengutamakan gaya hidup hedonisme tentunya tiada keinginan
untuk mengasah bakat sedia ada untuk menguasai kemahiran tertentu apabila menjejaki
alam pekerjaan yang penuh dengan pancaroba. Remaja merupakan aset negara
yang begitu berharga dan menjadi penentu kepada masa depan sesebuah negara, bak
kata pepatah, pemuda harapan bangsa,
pemudi tiang negara. Sekiranya kes juvenil kian meruncing
dan tidak mendapat perhatian serius anggota masyarakat, usaha melahirkan
modal insan yang berkualiti akan gagal sepenuhnya. Tidak syak lagi,
fenomena inilah yang membuktikan bahawa masalah juvenil telah menjadi masalah
negara.
Sementelahan
itu, penularan kes juvenil
akan meningkatkan gejala sosial dalam negara tercinta ini. Hal ini secara tidak
langsung akan menggugat keharmonian masyarakat. Bayangkan kita harus
berwaspada dan sentiasa memegang erat beg tatkala berjalan di kawasan yang
sesak dengan orang ramai. Mata pula harus ligat memerhatikan persekitaran
dari semasa ke semasa. Mengapakah kita harus berbuat begitu? Hal ini
demikian kerana kita takut dirompak, disamun atau menjadi mangsa ragut.
Kepekaan sedemikian telah menjadi elemen asas untuk mengelakkan diri daripada
menjadi mangsa kes juvenil dan tidak mahu berasa menyesal setelah tragedi menimpa
kerana sesal dahulu pendapatan,
sesal kemudian tidak berguna. Memandangkan kejadian ragut yang semakin
berleluasa, kita sering berasa sangsi terhadap orang lain, malah sentiasa
berprasangka buruk terhadap remaja berdasarkan perspektif sendiri. Namun,
dapatkah kita menghalang diri daripada ditimpa musibah dan mampukah kita
berjaga-jaga pada setiap masa? Jawapannya, tentulah tidak kerana mungkin
pada suatu ketika kita alpa dan malang tidak berbau. Hidup dalam keadaan
ini sudah tentu akan meningkatkan tahap stres kerana kita tidak bebas bergerak,
mempunyai prejudis terhadap orang lain atau bimbang akan keselamatan diri
setiap masa, baik ketika berada di rumah apatah lagi ketika berada di luar
rumah. Maka, keamanan hidup bermasyarakat terjejas ekoran maslah juvenil yang
semakin menjadi-jadi.
Tambahan
pula, masalah juvenil akan meninggalkan kesan yang
ketara kepada industri pelancongan. Industri pelancongan
merupakan antara penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Industri ini bukan sahaja menjana ekonomi negara, malahan menyediakan peluang
pekerjaan kepada kebanyakan penduduk negara kita yang berjumlah lebih 28 juta
orang. Masalah juvenil menjadi faktor yang boleh merencat kedatangan pelancong
ke negara kita. Meskipun pelancong dari seluruh pelosok dunia tertarik
akan kecantikan alam semula jadi negara kita seperti Gua Mulu, Tanah Tinggi
Genting dan pusat beli-belah seperti KLCC dan Megamall, mereka akan
teragak-agak membuat keputusan untuk melancong di negara kita setelah berfikir
tentang keselamatan diri mereka. Sebagai contoh pemberontakan rakyat yang
berlaku di Libya dan Mesir baru-baru ini untuk menuntut pemimpin veteran
mereka, Muammar Gaddafi dan Hosni Mubarak untuk meletak jawatan, telah
menyebabkan rakyat asing di negara-negara tersebut segera pulang ke tanah air
masing-masing kerana bimbang keselamatan diri. Begitu juga halnya dengan
masalah juvenil, walaupun tidak mendatangkan implikasi sebesar negara-negara
yang goyah itu, namun turut mendatangkan impak yang sama jika melibatkan kes pembunuhan.
Sebagai contoh masalah juvenil yang melibatkan buli sehingga membawa kematian
secara sengaja mahupun tidak sengaja sebagaimana kes Mohd Farid yang
menemui ajalnya setelah dibuli di salah sebuah sekolah si negeri Sembilan dan
kes seorang pelajar Tingkatan 3 yang dibuli oleh 9 orang pelajar di asrama
sekolah di Oya, Sarawak, tentunya akan menakutkan pelancong. Keadaan
keselamatan yang tidak terjamin ini, akan menyebabkan pelancong membatalkan
niat mereka untuk berkunjung ke negara kita. Hal ini akan mengurangkan
pendapatan negara dan tidak mustahil akan membantut hasrat untuk mencapai
status negara maju berdasarkan visi kudsi Wawasan 2020 yang dicanangkan oleh
mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad.
Jika
ditinjau dari mandala kenegaraan, imej negara Malaysia di
seantero dunia akan tercalar ekoran dibelenggu masalah juvenil. Pelaburan Langsung
Asing (FDI) dan Pelaburan Langsung Domestik (DDI) akan berkurangan kerana
pelabur yakin pelaburan mereka tidak akan mendatangkan pulangan yang
lumayan. Mereka tidak dapat menjamin atau menjangka keselamatan
pelaburan mereka di negara kita memandangkan kebejatan akhlak para remaja yang
mungkin akan menganggu gugat keselamatan negara secara keseluruhannya.
Kejadian juvenil yang mungkin berlaku di depan mata pelabur asing, akan
menghapuskan tanggapan baik mereka terhadap Malaysia. Mereka akan
menganggap Malaysia hanya indah khabar dari rupa. Natijahnya,
kurangnya kemasukan pelabur asing akan menjejaskan pembangunan negara dan
produktiviti negara kerana kekurangan modal untuk menjalankan projek yang
berimpak tinggi yang memerlukan kos yang tinggi. Malahan, imej
negara yang terjejas kerana berleluasanya masalah juvenil dalam kalangan
masyarakat turut menjejaskan hubungan diplomatik negara kita dengan negara
serantau seperti Singapura, Brunei, Thailand dan negara lain kerana kurang
kepercayaan mereka terhadap negara kita. Sudah pasti, keadaan inilah yang
menjadi masalah negara yang perlu diberi perhatian segera.
Akhirulkalam,
sudah terang lagi bersuluh bahawa usaha yang konsisten perlu dijalankan oleh
pihak kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagai aur dengan tebing untuk membanteras kes
juvenil selepas meneliti implikasi-implikasinya terhadap negara. Menurut
Henry Thoreau, “manusia dilahirkan untuk meraih kejayaan, bukan untuk mengalami
kegagalan.” Oleh itu, usaha mengatasi masalah juvenil akan berjaya dengan
kerjasama semua pihak secara konsisten dan bukan sekadar bermusim sahaja kerana bulat air kerana
pembuluh, bulat kata kerana muafakat.
No comments:
Post a Comment