Wednesday, October 12, 2016

KARANGAN RAMALAN DIMENSI DUNIA

Keamanan sejagat merupakan tanggungjawab masyarakat dunia. Oleh itu, setiap negara wajar melakukan sesuatu untuk mengekalkan keamanan negara dan antarabangsa. Bincangkan langkah-langkat yang boleh diambil untuk mengekalkan keamanan sejagat.

            Sejarah membuktikan bahawa penduduk dunia tidak pernah lekang dengan peperangan. Perang Salib, perang Uhud, Perang Dunia Pertama dan Kedua telah menjadi sejarah yang masih segar dalam ingatan kita. Pertelingkahan politik dalam negara seperti di Syria, konflik antara kaum yang masih melanda Sri Lanka dan pembunuhan etnik yang  pernah terjadi di Bosnia Herzergovina serta Rwanda memberikan bayangan bahawa keamanan di dunia amat goyah ibarat buih-buih di lautan. Malah, saban hati media massa menyiarkan berita kematian, pengeboman, gencatan senjata dan sebagainya. Oleh yang demikian, usaha mewujudkan keamanan dunia menjadi agenda perdana Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Walau bagaimanapun, setiap negara tidak boleh bergantung semata-mata kepada badan dunia itu, malah setiap negara perlu mengambil inisiatif untuk mengekalkan keamanan dalam negara mahupun antarabangsa.
            Sebagai pembuka tirai perbincangan yang pertama, perpaduan antara rakyat merupakan kunci keamanan sesebuah negara terutamanya di negara yang berbilang bangsa dan agama seperti Malaysia. Oleh itu, usaha mewujudkan semangat bersatu padu dalam kalangan rakyat hendaklah dilaksanakan secara serius dan berterusan. Peristiwa hitam 13 Mei 1969 yang pernah mencalar sejarah Malaysia membuktikan bahawa ikatan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum sangat rapuh. Mainan sentimen perkauman yang keterlaluan ibarat percikan api telah menyemarakan gelombang kebencian antara kaum. Impaknya, peristiwa berkenaan  telah meninggalkan parut walaupun lukanya sudah sembuh kepada mangsanya. Atas dasar tidak mahu pisang berbuah dua kali kerajaan Rukun Negara telah ditubuhkan bagi membentuk kerjasama pintar antara rakyat pelbagai kaum. Tegasnya, pertelingkahan dalam kalangan rakyat hanya akan merugikan negara kerana pihak yang kalah menjadi abu tetapi pihak yang menang menjadi arang.
            Jika ditinjau dari dimensi yang lebih halus,  keamanan sejagat juga mampu diwujudkan dengan cara menjalin hubungan kerjasama antara negara serantau. Impak daripada kerjasama antara negara dapat memupuk persefahaman antara negara serantau ibarat aur dan tebing  Sehubungan itu, Malaysia telah menganggotai beberapa pertubuhan antarabangsa seperti Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), Pertubuhan Negara-negara Berkecuali (NAM), dan Pertubuhan Kerjasama Negara-negara Islam (OIC) di samping menjalin hubungan diplomatik dengan setiap negara di dunia kecuali Israel. Penglibatan Malaysia dalam pertubuhan-pertubuhan berkenaan adalah untuk menjalin kerjasama dari aspek politik, ekonomi, dan sosial serta membincangkan usaha untuk menyelesaikan konflik antara negara anggota. Intihanya, hubungan baik antara negara mampu menjadikan planet Bumi ini sebagai sebuah petempatan untuk manusia yang aman dan makmur.
            Marcapada, perbalahan antara negara seakan-akan sukar untuk dielakkan apabila masing-masing cuba mengeksploitasi sumber kekayaan yang terdapat di muka bumi ini demi kelangsungan ekonomi negara masing-masing. Apabila keadaan ini terjadi maka meja rundingan ialah platform yang paling ampuh untuk menyelesaikan konflik yang timbul dan bukannya dengan mengangkat senjata. Dalam hal ini, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda telah banyak berjasa dalam menyelesaikan pertikaian antara negara seperti perebutan Pulau Ligitan dan Sipadan oleh Malaysia dan Indonesia serta Pulau Batu Putih antara Malaysia dan Singapura. Tuntasnya, setiap perumitan yang timbul hendaklah diselesaikan dengan penuh berhemah ibarat menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus, manakala tepung pula tidak berselerak.
            Holistiknya, keamanan negara mahupun antarabangsa boleh dikekalkan jika layanan yang adil dan saksama diberikan kepada semua pihak. Tamsilannya, di Malaysia, kerajaan telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan untuk memastikan setiap kaum mendapat hak yang adil dan saksama untuk menikmati kemakmuran negara. Begitulah yang seharusnya berlaku di peringkat antarabangsa. Kuasa-kuasa besar dunia sewajarnya memberikan layanan yang adil kepada semua negara tanpa melabelkan negara-negara yang tertentu sebagai sekutu ataupun seteru. Buktinya, peristiwa 11 September 2001 dikatakan berpunca daripada kebencian puak militan terhadap Amerika Syarikat yang bersikap pilih kasih dalam isu-isu antarabangsa yang memberikan keuntungan kepada rakan sekutunya, khususnya Israel. Kempen memerangi keganasan tajaan Amerika Syarikat juga ternyata telah gagal untuk mengekalkan keamanan dunia malah negara ‘Uncle Sam’ itu ibarat tikus membaiki labu apabila keamanan dunia bertambah buruk lantaran polisi pilih bulu pemimpin negara berkenaan. Rumusannya, keadilan dan kesaksamaan layanan antara semua pihak merupakan kunci keamanan sesebuah negara dan buana.

            Deduksinya, prakarsa untuk mewujudkan keamanan dalam negara dan antarabangsa tidak boleh dipandang sebelah mata sahaja. Perpaduan dalam kalangan rakyat harus dipupuk sejak kecil, ibarat melentur buluh biarlah dari rebungnya. Selain itu, hubungan kerjasama antara negara harus dipererat dan budaya bermusyawarah hendaklah diamalakan untuk menyelesaikan sesuatu perbalahan. Tambahan lagi, semua pihak harus dilayan secara adil dan saksama untuk mewujudkan keamanan sejagat. Sesungguhnya, umat manusia harus sedar bahawa planet ini adalah untuk semua makhluk ciptaan-Nya dan manusia sebagai khalifah-Nya harus memastikan dunia terus makmur dan aman.

No comments:

Post a Comment