Sunday, July 20, 2014

KARANGAN CEMERLANG

Contoh Karangan Cemerlang Bahagian A dan B


Contoh Karangan Bahagian A

JAWAPAN CONTOH

Bahagian A

Karangan berpandu : Berdasarkan pelbagai bahan rangsangan

Markah                          : 30 markah

Masa                               : 45 minit

 
PERENGGAN 1 : PENDAHULUAN

Dalam meniti arus modenisasi yang kian rancak, masyarakat pada zaman millenium ini sudah semakin ‘ketagih’ mengejar kemewahan duniawi sehinggakan mereka alpa terhadap kesihatan tubuh badan mereka. Senario ini jika dibiarkan menular dalam kalangan masyarakat kita akan mengakibatkan hasrat kerajaan untuk menjayakan dan merealisasikan Wawasan 2020 hatta gagasan 1Malaysia sekalipun terbantut. Apakah peranan kita sebagai rakyat yang prihatin terhadap kemajuan negara dalam mengatasi kemelut ini? Usaha yang dapat kita lakukan bagi menyelesaikan krisis ini adalah dengan menjalani kehidupan yang sihat. Belakangan ini, banyak adpertensi disiarkan oleh pihak media bagi memaparkan cara-cara mengemudikan kehidupan agar sihat dan sejahtera.

PERENGGAN 2 : ISI UTAMA

Amalan mendapatkan tidur dan rehat yang mencukupi merupakan antara cara yang unggul bagi menjalani hidup yang sihat (Apa : isi utama). Rehat dan tidur yang mencukupi amatlah diperlukan bagi mendapatkan tubuh badan yang sihat. (BAGAIMANA : CARA). Kita tidak mahu nanti keadaannya bak nasi sudah menjadi bubur atau sudah terhantuk baru terngadah. Kita memerlukan rehat dan tidur sekurang-kurangnya 8 jam sehari bagi memastikan otak dan fizikal kita dapat digunakan semula(BAGAIMANA : CARA). Sebagai tamsilnya, kita kerap kali melihat berita di rubrik akhbar yang melaporkan calon-calon peperiksaan awam masih gah menjawab kertas peperiksaan walaupun mengambil masa yang agak lama (CONTOH). Oleh yang demikian, kita haruslah mengamalkan gaya hidup sihat iaitu mendapatkan rehat dan tidur yang mencikupi (AYAT PENEGASAN)

PERENGGAN 3 : ISI KEDUA

                Selain itu, metode lain yang harus kita cakna dan asimilasikan dalam kehidupan kita adalah menjalani pemeriksaan kesihatan. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liew Tiong Lai mengajak rakyat Malaysia agar tidak berat tulang untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di pusat-pusat kesihatan yang berdekatan kerana tindakan ini akan ‘menyelamatkan’ kita daripada menghidap penyakit-penyakit kronik bak kata orang tua-tua , mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Setiap individu seharusnya menjalani pemeriksaan setiap enam bulan bagi mengetahui kondisi kesihatan diri. Masyarakat pada masa ini sering menghidap penyakit kronik walaupun pada usia yang muda iaitu sekitar 30 hingga 40 tahun. Tegasnya, seyogialah kita mengamalkan budaya menjalani pemeriksaan kesihatan agar tubuh badan kita sentiasa berada dalam keadaan baik.

PERENGGAN 4 : ISI KEEMPAT

                Amalan cara hidup sihat adalah tidak sukar sekiranya kita mengikut garis panduan yang betul. Langkah terpenting yang menjadi faktor perdana atau tunjang kepada amalan hidup sihat adalah mempraktikkan pemakanan seimbang diperlukan oleh badan mengikut sukatan yang betul. Keadaan ini dapat dilihat melalui piramid makanan yang menempatkan karbohidrat di lapisan terbawah yang bererti nutrisi tersebut diperlukan oleh badan dalam kuantiti yang banyak. Pengambilan nutrisi secara berkurangan ataupun berlebihan akan menyebabkan seseorang itu menghidap penyakit-penyakit tertentu. Sebagai contohnya, terdapat penyakit yang melanda masyarakat di negara miskin seperti Haiti disebabkan kurangnya protein dalam badan. Oleh yang demikian, amalan pemakanan seimbang adalah sangat penting dalam kita menjalani kehidupan yang sihat.

PERENGGAN 5 : PENUTUP

                Akhirulkalam, jelaslah kepada kita bahawa kehidupan manusia dan kesihatan memang tidak dapat dipisahkan. Seluruh rakyat Malaysia dinasihatkan oleh Perdana Menteri Malaysia. Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak agar sentiasa menjaga kesihatan dan mengamalkan gaya hidup sihat agar misi Malaysia untuk mencapai status negara maju dan menjadi contoh kepada negara lain tercapai. Maka secara realitinya menunjukkan bahawa betapa penting cara atau langkah dalam menjana kehidupan yang lebih sihat. Sediakan payung sebelum hujan merupakan peribahasa yang amat bersesuaian dengan maaduk cara menjaga kesihatan, jadi di sini mencegah adalah lebih baik daripada mengubatinya. Secara kesinambungannya, pelbagai usaha mestilah diimplementasikan oleh semua pihak kerana ‘kehidupan yang bermakna adalah kehidupan yang sihat’.

Markah                 :               28/30          

Ulasan
Takrif                     :               Menepati dan menjawab tugasan

Bahasa                  :               Gramatis, luas & tepat penggunaan kosa kata,

Pengolahan          :               Menarik, berkesan,huraian isi jelas dan matang


Contoh Karangan Bahagian B
Soalan 1

Dalam meladeni arus pascamodenisme yang semakin mencabar dari semasa ke semasa ini, nusa yang kita cintai ini semakin utuh dan terkenal di persada antarabangsa. Jelas bahawa pembangunan negara kita semakin rancak dan selaras dengan negara-negara maju yang lain bak aforisme yang sering diperkatakan, ‘duduk sama rendah berdiri sama tinggi’. Namun begitu, dari segi pembangunan atau pembinaan jati diri murid yang berdisiplin, negara kita masih belum berjaya sepenuhnya. Semakin negara kita berusaha mencapai status negara maju, semakin meningkat peratus pelajar sekolah yang terlibat dengan gejala-gejala yang tidak sihat. Hal ini telah diakui oleh Datuk Ahmad Fuad Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran dalam satu program temu bual tv. Usaha telah dilakukan oleh pelbagai pihak untuk mengatasi kemelut yang semakin meruncing ini. Saya sebagai seorang pengawas yang telah diberikan mandat oleh pihak sekolah, mempunyai cara yang tersendiri untuk membentuk murid yang berdisiplin. Izharnya, seseorang individu yang bergelar pengawas berperanan penting dalam membantu pihak sekolah dalam membentuk murid yang berdisiplin.

                Peranan utama saya untuk membantu pihak sekolah dalam membentuk murid yang berdisiplin adalah menguatkuasakan undang-undang dan peraturan sekolah dengan sebaik mungkin. Hal ini saya anggap afdal kerana pengawas telah diklasifikasikan sebagai orang kedua selepas guru dalam membentuk peribadi murid yang mulia dan mengharmonikan sekolah. Soal membentuk dan melahirkan murid yang berdisiplin amat penting kerana Khalifah Umar Al-Khattab pernah berkata, ‘Jika kamu ingin mengetahui masa depan sesebuah negara, lihatlah generasi muda yang berada di hadapan anda’. Maka,kata-kata ini menunjukkan bahawa generasi muda yang berdisiplin, berdedikasi dan beriltizam dalam setiap aspek amat penting kepada negara dan jatuh bangun sesebuah negara bergantung kepada generasi muda itu. Jadi, saya sebagai pengawas akan menguatkuasakanundang-undang dan peraturan sekolah dengan melakukan beberapa tindakan yang sewajarnya diimplementasikanoleh seorang pengawas sekolah seperti menegur pelajar-pelajar yang berambut panjang, memantau mereka yang berpakaian tidak mengikut spesifikasi yang sepatutnya dan meleraikan pergaduhan antara mana-mana pelajar sekiranya difikirkan tindakan itu tidak membahayakan nyawa. Tindakan-tindakan seperti ini penting atau adiwarna diambil demi memastikan keadaan sekolah aman, sesi pembelajaran (P&P) berjalan lancar dan perhubungan pelajar sentiasa terkawal. Tuntasnya, penguatkuasaan peraturan sekolah merupakan elemen yang penting dalam membentuk modal insan yang madani dan syumul.

                 Selain itu, modus operandi lain yang sepatutnya saya lakukan adalah menunjukkan teladan yang baik kepada semua pihak terutama rakan murid dalam semua aspek termasuk pemakaian, pertuturan, pembelajaran dan yang paling penting, sikap dan perwatakan. Hal ini demikian kerana para pelajar atau murid merupakan insan yang baru sahaja mengenali dunia sebenar. Ramai pelajar atau murid yang masih ‘mentah’ dan mudah terpengaruh dengan sesuatu perkara terutama. Jika persekitarannya baik, maka baiklah seseorang itu. Jika persekitaran sebaliknya pula muncul, natijah yang membawa impak negatif akan ‘menjuarai’ tindakan seseorang. Jadi, para pengawas seharusnya berupaya menjadi suri teladan kepada orang lain dan seharusnya memantapkan diri lagi dengan sifat-sifat yang mulia dan berkarisma. Keupayaan untuk melakukan pengawasan dan pengawalan secara berhikmah merupakan aset berharga seorang pengawas. Saya yakin dan percaya bahawa para pengawas yang mempunyai keperibadian mulia seperti ini sentiasa didambakan oleh para murid justeru menjadikan para pengawas ini sebagai kawan. Jadi, kita seharusnya mendekati para murid itu dengan harapan agar mereka akan menjadi seperti diri kita sendiri. Dengan itu, murid yang berdisiplin dapat dibentuk manakala beban sekolah untuk memastikan semua murid berdisiplin dapat dikurangkan. Senario ini persis slogan ,’Hulurkan tangan ringankan beban’. Oleh itu, melalui peranan ini, saya berharap agar dapat membantu sekolah membentuk murid yang berdisiplin di samping mengekalkan nama baik sekolah.

                Di samping itu, prakarsa ataupun peranan lain yang dapat saya laksanakan adalah sentiasa bersama dengan para murid yang bermasalah dengan nawaitu ingin memberi nasihat dan panduan kepada mereka. Langkah turut serta ini menurut seorang motivator terkenal , Dr. Hushim Yahaya merupakan langkah ‘turun padang’ yang akan merapatkan dan memantapkan hubungan pemimpin dengan pihak yang dipimpin. Nabi Muhammad S.A.W. pernah bersabda, ‘Anak-anak yang dilahirkan ibarat sehelai kain putih yang bersih lagi suci. Maka, terpulanglah kepada ibu bapa untuk membentuk akhlak anak-anak sama ada menjadi Yahudi, Majusi atau Nasrani’. Melalui sabda Rasulullah S.A.W. ini, dapatlah kita simpulkan bahawa anak-anak ataupun para murid merupakan manusia yang memerlukan bimbingan dan dorongan daripada semua pihak. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi anak-anak. Sesetengah murid yang mempunyai masalah tidak mendapat perhatian daripada ibu bapa yang sibuk bekerja akan melepaskan perasaan tidak puas hati mereka itu di sekolah dengan melanggar peraturan sekolah bermotifkan dendam untuk menyakitkan hati kedua ibu bapa. Saya berpendapat bahawa dengan cara mendekati para murid serta bertanyakan masalah mereka, akan mengurangkan rasa ingin memberontak dalam diri mereka. Dengan memberi nasihat dan menyelesaikan masalah mereka melalui kaedah yang betul, hal ini secara tidak langsung akan menarik minat mereka untuk menjadi murid-murid yang berdisiplin dan berwawasan. Oleh itu, peranan seperti ini perlulah dimainkan agar masyarakat kamil dapat diwujudkan.

                Dalam pada itu, mengajak dan mendorong rakan-rakan melakukan kebaikan merupakan satu tanggungjawab yang sepatutnya saya lakukan bersama dengan murid-murid yang lain. Allah swt. amat menyukai hamba-Nya melakukan kebaikan dengan penuh ketakwaan. Justeru kita boleh memberi panduan, bimbingan dan dorongan serta perangsang kepada para murid yang ingin melakukan kebaikan dengan harapan mereka akan seronok dan teruja melakukan amalan murni ini kerana ada orang atau pihak yang menyokong setiap perbuatan yang dilakukan mereka di samping mereka mendapat ganjaran daripada Allah swt. Selain itu, saya akan berusaha sedaya upaya untuk sentiasa menanamkan sifat-sifat mahmudah dalam diri mereka. Ramai pemikir termashyur seperti Confucius dan Socrates juga amat menekankan penyemaian nilai-nilai moral dalam diri setiap manusia. Jadi, dengan langkah itu, para murid akan lebih tertarik untuk melakukan kebaikan berbanding keburukan. Izharnya, modus operandi seperti ini seharusnya saya lakukan demi memastikan murid yang berdisiplin dapat dibentuk bak kata pepatah, ‘Di mana ada kemahuan, di siru ada jalan’.

                Peranan saya yang terakhir adalah memastikan bahawa saya berfungsi sebagai perantara yang berkesan antara para murid dengan pihak sekolah. Saya seharusnya berupaya menyampaikan maklumat yang jelas kepada murid tentang pelaksanaan peraturan dan undang-undang sekolah agar murid memahami dan menerima perkara tersebut dengan sebaik mungkin. Manakala pihak sekolah yang terdiri daripada pengetua dan lembaga disiplin sekolah serta kaunselor akan saya dan rakan-rakan pengawas yang lain nyatakan permasalahan murid dengan penuh hikmah dan sempurna. Saya merasakan bahawa kemampuan berkonikasi secara berkesan dengan rakan murid dan guru merupakan suatu aset penting. Apabila bercakap dengan murid yang nakal, seharusnya saya menunjukkan sikap yang tegas. Apabila menyampaikan pengumuman semasa perhimpunan, saya akan berusaha menyampaikan informasi dengan jelas. Dengan ini, mesej pihak sekolah akan dapat difahami oleh semua pihak. Jelasnya, peranan ini akan memantapkan hubungan murid dengan pihak sekolah yang akhirnya membentuk disiplin murid.

                Kesimpulannya, tiada penyakit yang tiada ubatnya, dan tiada racun yang tiada penawarnya. Maka, modus operandi yang konkrit, sistematik dan pragmatik perlu diimplementasikan secara berterusan agar murid yang berdisiplin dapat dibentuk. Saya dan beberapa pihak yang lain seperti badan pengawas dan pihak sekolah akan sentiasa menacri jalan atau alternatif untuk memastikan murid yang berdisiplin dapat dibentuk dan hasrat kerajaan untuk melihat ‘sifar masalah disiplin’ dapat direalisasikan pada tahun 2020. Hasrat kerajaan untuk memperkukuh gagasan 1Malaysia akan tercapai dengan terbentuknya murid yang berdisiplin berteraskan nilai perpaduan dan ketaatan. Saya berharap agar peranan yang saya kemukakan tadi akan dapat saya realisasikan dan diadaptasi oleh rakan pengawas yang lain serta pihak-pihak yang lain.

Markah                 :               89/100        

Ulasan
Takrif                     :               Menepati dan menjawab tugasan

Bahasa                  :               Gramatis, luas & tepat penggunaan kosa kata,

Pengolahan          :               Menarik, berkesan,huraian isi jelas dan matang Wacana lengkap.

                                                Ada kesinambungan idea yang jelas antara perenggan

 

No comments:

Post a Comment