Friday, October 25, 2013

RAMALAN NOVEL


Novel Azfa Hanani & Kembara Amira: Peristiwa menarik

SOALAN 1
Terdapat pelbagai peristiwa yang dipaparkan dalam sesebuah novel. Huraikan peristiwa yang menarik dalam sebuah novel yang anda pelajari.


Novel yang saya kaji ialah novel Azfa Hanani karya Halis Azhan Mohd. Hanafiah. Novel ini memaparkan beberapa peristiwa yang menarik.
Antara peristiwa yang menarik dalam novel ini ialah peristiwa Azfa Hanani ditawarkan oleh Abang Mazran dan Kak Finaz untuk menyamar sebagai Tengku Murni. Peristiwa ini menarik kerana Azfa Hanani tidak perlu risau lagi memikirkan kepayahannya  untuk meneruskan pelajaran dan dalam masa yang sama Abang Mazran berjanji untuk membantu mengubati Zuraini, anak pak longnya yang lumpuh. 
Peristiwa menarik yang kedua ialah peristiwa Datin Maziah menghalau Azfa Hanani dari rumahnya selepas identiti sebenarnya terbongkar. Peristiwa ini menarik kerana telah dapat membongkar rahsia tentang Datuk Tengku Makmur  yang bertanggungjawab menyebabkan kedua-dua ibu bapa Azfa Hanani meninggal dunia dalam kemalangan.
Peristiwa menarik yang seterusnya ialah, peristiwa Azfa Hanani menolak pelawaanIskandar untuk membonceng motosikal berkuasa tingginya. Peristiwa ini menarik kerana Azfa Hanani merupakan seorang  gadis yang tahu menjaga   maruah dirinya, tambahan pula dia tidak mengenali Iskandar.   
Peristiwa menarik yang lain ialah, peristiwa Azfa Hanani bertengkar dengan AbangMuzaffar yang melarangnya  berkawan dengan Ekran. Peristiwa ini menarik kerana tanpa memikirkan kedudukan Tengku Muzaffar, Azfa Hanani berani bertengkar dengannya semata- mata ingin menegakkan kebenaran.    
Peristiwa menarik yang lain ialah peristiwa Azfa Hanani membaca diari Tengku Murni kerana ingin mencari nama yang telah terpadam yang mempunyai hubungan dengan Tengku Murni. Peristiwa ini menarik kerana menunjukkan kebijaksanaan Azfa Hanani merungkai misteri orang yang menghalang hubungan Ekran dengan Tengku Murni.

          Novel yang saya kaji ialah novel Kembara Amira karya Amer Hmzah L. Kadir. Novel ini memaparkan beberapa peristiwa yang menarik.
Antara peristiwa yang menarik dalam novel ini ialah peristiwa Amira tergelincir di Air Terjun Angin lalu hanyut dibawa arus sungai yang deras dan diselamatkan oleh Itai.Peristiwa ini menarik kerana menunjukkan kebaikan  orang asli suku Semai  menyelamatkan seorang gadis seperti Amira.
Peristiwa menarik yang kedua ialah peristiwa Itai mengetahui Tau bapanya.Peristiwa ini menarik kerana  Itai menganggap Tau bapa saudaranya tetapi sebenarnya Tau ialah bapa kandungnya sendiri.
Peristiwa menarik yang seterusnya ialah peristiwa Amira memberi seketul emas kepada Jacinta. Peristiwa ini menarik kerana memaparkan semangat setia kawan Amira yangingin menggembirakan sahabatnya.        
Peristiwa menarik yang lain ialah peristiwa Amira menemukan mobile disk di lantai gua. Peristiwa ini menarik kerana dapat membongkar misteri kehilangan Malique dan   penemuan mobile disk ini dapat membantu memberitahu mereka di mana Malique berada.

SOALAN 2

Azfa Hanani & Kembara Amira: Latar masyarakat

Cerita dalam novel sememangnya memaparkan latar masyarakat sezaman. Nyatakan tiga latar masyarakat yang terdapat dalam novel yang telah anda baca.

AZFA HANANI
Novel yang saya kaji ialah novel Azfa Hanani karya Halis Azhan Mohd. Hanafiah. Terdapat beberapa latar masyarakat yang dipaparkan oleh penulis di dalam novel ini.
 Latar masyarakat yang pertama ialah masyarakat yang berhati mulia kerana sanggup berkorban untuk membantu orang lain. Contohnya, Azfa Hanani yang sanggup menyamar sebagai Tengku Murni semata-mata untuk mengubati penyakit sepupunya. Hal ini demikian kerana, Tengku Mazran telah berjanji untuk membiayai kos perubatan Zuraini di Indonesia jika Azfa Hanani menerima tawarannya untuk menyamar sebagai Tengku Murni.
            Latar masyarakat yang kedua ialah masyarakat elit yang bongkak dan sombong kerana statusnyaContohnya, Tengku Datuk Makmur yang memandang hina terhadap Azfa Hanani kerana berasal dari kampung dan miskin. Beliau telah melemparkan wang RM500.00 kepada Azfa Hanani kerana menganggap Azfa Hanani sanggup menyamar sebagai Tengku Murni semata-mata kerana wang.
            Latar masyarakat yang ketiga ialah masyarakat yang berpegang pada janji.Contohnya, Tengku Mazran berusaha sedaya upaya membantu sepupu Azfa Hanani mendapatkan rawatan bagi menyembuhkan penyakit lumpuhnya dengan menghantar Zuraini ke Indonesia. Hal ini demikian kerana, dia telah berjanji dengan Azfa Hanani untuk membantu membiayai kos perubatan Zuraini.
KEMBARA AMIRA
            Berdasarkan novel Kembara Amira yang saya kaji terdapat beberapa latar masyarakat . Latar masyarakat yang pertama ialah masyarakat yang berpendidikan tinggi dan komited terhadap kerjayanya. Contohnya, Profesor Zaidah yang rajin dan bersungguh-sungguh dalam melakukan cari gali artifak walaupun cuba diganggu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. 
            Latar masyarakat yang kedua ialah masyarakat yang saling membantu. Contohnya, Amira dan penduduk di situ membantu mengesan Malique yang hilang di dalam hutan.
            Latar masyarakat yang ketiga ialah masyarakat yang mempertahankan corak kehidupan nenek moyang. Contohnya, masyarakat orang Asli daripada suku Semai yang tinggal di Bukit Mat Raya mempertahankan masyarakat mereka

SOALAN 3

Huraikan peristiwa yang menyedihkan dalam novel yang anda pelajari

Novel yang saya kaji ialah novel Azfa Hanani karya Halis Azhan Mohd. Hanafiah. Novel ini memaparkan beberapa peristiwa yang menyedihkan.
Peristiwa yang pertama ialah peristiwa Pak Long Madi tidak mampu membeli pakaian sekolah yang baru untuk Azfa Hanani. Kemiskinan Pak Long menyebabkan Azfa Hanani memakai  pakaian sekolah yang lama.
Peristiwa yang kedua ialah peristiwa Azfa Hanani menolak jawatan pengawaskerana tidak mampu membeli pakaian pengawas sekolah. Azfa Hanani tidak mahu menyusahkan Pak Longnya untuk membeli pakaian pengawas yang mahal harganya kerana kemiskinan Pak Long dan terpaksa pula menanggung kos rawatan anaknya, Zuraini yang lumpuh.
Peristiwa yang ketiga ialah peristiwa kemalangan jalan raya 16 tahun yang lalu yang menyebabkan kematian ibu bapa Azfa Hanani akibat kecuaian Tengku Makmur. Azfa Hanani tercampak keluar melalui tingkap teksi dan ibu bapanya meninggal dunia di tempat kejadian. Datin Maziah yang berasa kasihan melihat Azfa Hanani yang masih bayi dan sedang menangis lalu menyusukannya di tempat kejadian.
Peristiwa yang keempat ialah peristiwa ketika Azfa Hanani makan makanan yang sedap di rumah Datin Maziah lalu teringat akan keluarga Pak Longnya yang tidak pernah merasai makanan sedemikian. Ketika Azfa Hanani makan tengah hari di rumah Datin Maziah, dia terpandang ayam goreng. Hatinya sayu kerana teringat akan sepupunya di kampung yang sekali-sekala sahaja dapat menikmati ayam goreng.
Peristiwa yang kelima ialah peristiwa Azfa Hanani dihalau oleh Datin Maziah apabila rahsia penyamarannya terbongkar. Semasa Azfa Hanani bertengkar dengan Tengku Muzaffar, Datin Maziah telah mendengar pertengkaran tersebut dan mengetahui penyamaran Azfa Hanani. Datin Maziah telah menampar Azfa Hanani dan memaksanya menunjukkan bukti bahawa dia ialah Tengku Murni. Datin Maziah menghalau Azfa Hanani apabila dia tidak dapat membuktikan dirinya ialah Tengku Murni.

Berdasarkan novel Kembara Amira karya Amer Hmzah L. Kadir, peristiwa yang menyedihkan dipaparkan olah pengarang melalui  peristiwa pesawat Cesna terhempas dan menyebabkan kematian ibu bapa Samantha. Apabila Pesawat Cesna terhempas dan terjunam di perkampungan orang asli suku Semai, api merebak di bahagian enjin. Ibu bapa Samantha, Ridley dan Brenda tersepit. Badan mereka berlumuran darah, sementara Samantha tercampak semasa pesawat itu meletup. Ludin dan Tau menangis kerana belum pernah melihat api yang sebegitu besar.
Peristiwa yang menyedihkan seterusnya ialah peristiwa masyarakat orang asli memulaukan atau meminggirkan kehadiran Samantha dalam kalangan mereka.Jidin membawa pulang seorang kanak-kanak berambut merah dan bermata biru. Kehadiran Samantha dianggap pelik. Penduduk hutan menolak kehadiran Samantha atau Ipah kerana dianggap menghilangkan semangat hutan. Ada cadangan daripada penduduk orang asli di situ supaya Ludin menyerahkan Ipah ke hutan semula. Ludin terpaksa berhadapan dengan cabaran besar untuk mempertahankan tindakannya.
      Peristiwa yang seterusnya ialah peristiwa Amira bersedih apabila Jacinta hilang di hutan kerana ingin mencarinya yang terjatuh dari Air Terjun Angin lalu dihanyutkan oleh arus sungai. Amira rasa bersalah apabila mengetahui Jacinta hilang dan pengsan di hutan kerana ingin mencarinya yang dihanyutkan oleh arus deras setelah jatuh dari Air Terjun Angin.

SOALAN 4

Watak utama dalam sesebuah novel banyak menghadapi cabaran. Nyatakan cabaran watak utama dalam novel yang anda baca.

AZFA HANANI
Novel yang saya kaji ialah Azfa Hanani karya Halis Azhan Mohd Hanafiah. Dalam novel ini, terdapat beberapa beberapa cabaran yang terpaksa dilalui oleh watak utama iaitu Azfa Hanani.
Cabaran yang dihadapi oleh watak utama dalam novel ini ialah cabaran dalam menjalani cara hidup yang baharu. Hal ini dapat dilihat apabila Azfa Hanani terpaksa menyamar sebagai Tengku Murni. Dia terpaksa mempelajari segala perwatakan dan gerak-geri Tengku Murni agar penyamarannya dapat meyakinkan Datin Maziah bahawa dirinya ialah Tengku Murni.
Cabaran yang kedua ialah cabaran bagi meneruskan pelajaran. Azfa Hanani terpaksa mencuri buku rujukan di perpustakaan memandangkan kesempitan hidup yang dialaminya sehinggakan tidak mampu untuk membeli buku-buku rujukan. Selain itu, dia terpaksa berulang-alik sejauh 30 kilometer setiap hari untuk ke sekolah bagi mendapatkan ilmu.
Cabaran yang berikutnya, ialah cabaran bagi menyesuaikan diri di sekolah baharu. Azfa Hanani terpaksa menghadapi sikap buruk Budak Glamour yang tidak suka akan dirinya kerana seiras dengan Tengku Murni. Dia tetap bersikap tenang dan merendah diri walaupun mereka tidak suka akan dirinya.

KEMBARA AMIRA
Novel yang saya kaji ialah novel Kembara Amira karya Amer Hmzah L. Kadir. Dalam novel ini, terdapat beberapa beberapa cabaran yang terpaksa dilalui oleh watak utama iaitu Amira.
Cabaran yang pertama ialah cabaran semasa mencari orang hilang. Amira yang begitu risau dengan kehilangan Malique telah meminta bantuan Itau untuk mencari Malique. Dia sanggup menempuh cabaran semasa mencari Malique yang hilang setelah kenderaannya dihanyutkan lumpur dan jatuh ke dalam gaung. Pencarian mereka melalui mobile disk yang dijadikan petunjuk telah membawa mereka ke puncak Gunung Gua Gajah. Di sana Amira, Itau dan beberapa orang lain telah berhadapan dengan makhluk berkaki dua dan berbulu lebat sebagaimana yang diceritakan oleh Itai kepadanya.
Cabaran yang kedua ialah cabaran untuk menghadapi hukum adat masyarakat Orang Asli. Hal ini berlaku apabila Amira mengikut Itai mendapatkan ketulan emas untuk diberikan kepada Jacinta. Perbuatan Itai telah melanggar adat masyarakat Orang Asli. Itai telah mengingatkan Amira bahawa mereka terpaksa menerima apa sahaja hukuman yang akan dikenakan atas mereka.
Cabaran yang seterusnya ialah cabaran ketika hampir lemas di sungai. Amira telah  terjatuh ke dalam sungai yang mengalir deras semasa menunggu Malique. Nasibnya baik apabila diselamatkan oleh Itai, seorang remaja orang Asli yang baik hati. Cabaran dan pengalaman itulah yang menyebabkan dia mengenali Itai dan Tau.

SOALAN 5
        Bincangkan kepincangan masyarakat atau kritikan sosial yang dipaparkan oleh pengarang dalam novel yang anda pelajari.

Novel Azfa Hanani:
a.         Masyarakat yang mementingkan darjat.
            Tengku Muzaffar menghalang hubungan adiknya Tengku Murni dengan Ekran kerana menyangka Ekran berasal daripada keluarga miskin.

b.         Masyarakat yang buruk sangka.
            Datuk Tengku Makmur menghina Azfa Hanani dengan mengatakan Azfa Hanani hanya bekerja menyamar sebagai Tengku Murni untuk mendapatkan upah. Beliau telah mencampakkan wang berjumlah RM500.00 kepada Azfa Hanani sebagai upah.

c.         Masyarakat yang terlalu mengikut perasaan.
            Datin Maziah bertindak mengikut perasaan dengan menampar Azfa Hanani dan menghalaunya keluar dari rumah tanpa memberi peluang kepada Azfa Hanani untuk menjelaskan hal sebenar.

d.         Masyarakat yang mementingkan diri sendiri.
            Iskandar mendesak Azfa Hanani agar menaiki motosikal bersamanya kerana dia mahu menghantar Azfa Hanani pulang ke rumah sedangkan perbuatan itu dianggap kurang wajar kerana berlaku pergaulan bebas.

e.         Masyarakat yang melakukan perbuatan mencuri.
            Azfa Hanani telah mencuri buku rujukan dari perpustakaan Sekolah Menengah Sri Dian kerana menghadapi masalah kewangan.

Novel Kembara Amira:
a.         Sikap masyarakat yang tidak menjaga perasaan orang lain.
            Jacinta tidak menjaga perasaan bapanya Baba Teck. Dia tidak mahu bercuti ke Eropah walaupun bapanya telah mengirimkan tiket kapal terbang kepadanya sebagai protes terhadap bapanya yang berkahwin lain setelah ibunya meninggal.

b.         Sikap ibu bapa yang terlalu mementingkan kerja sehingga mengabaikan perasaan anak.
            Profesor Zaidah terlalu memberi perhatian kepada kerjayanya iaitu sibuk menjalankan kerja cari gali arkeologi di Desa Karpus sehingga anaknya Amira hampir lemas dibawa arus sungai. Sikap Profesor Zaidah ini mendapat teguran Pak Lias.

c.         Masyarakat yang mudah percaya kata-kata dan pujukan orang lain.
            Ludin membenarkan Johnny meneroka gua yang begitu disayangi oleh Tau. Ludin termakan dengan kata-kata manis Johnny sehingga akhirnya Johnny membawa lari Ipah dan Sabi.

d.         Masyarakat yang tidak bertanggungjawab terhadap keluarga.
            Ipah sanggup meninggalkan suaminya Tau dan anak kecilnya Itai kerana mengikut Johnny setelah sekian lama tinggal bersama-sama masyarakat Orang Asli. Tindakannya ini menyebabkan Tau tinggal kesunyian dan hidup menyendiri di dalam hutan.  


SOALAN 6


Soal Jawab Novel:

1.         Kepercayaan kepada takdir Tuhan turut digarap oleh pengarang dalam novel yang dihasilkan.
Berdasarkan novel yang anda pelajari, jelaskan peristiwa yang menunjukkan Tuhan amat berkuasa untuk menentukan sesuatu kejadian.

Contoh Jawapan:

Novel Azfa Hanani:
a.         Peristiwa motosikal yang ditunggang oleh Iskandar terlibat dalam kemalangan jalan raya dan Iskandar telah terbunuh. Laili yang membonceng motosikal tersebut telah cedera parah dan berada di wad kecemasan. Tragedi ini menunjukkan bahawa takdir Tuhan telah menentukan nasib yang dialami oleh insan yang melakukan perbuatan salah.

b.         Peristiwa Azfa Hanani telah diterima kembali untuk tinggal bersama keluarga Datin Maziah setelah dia dihalau keluar dari rumah. Tuhan telah menentukan takdir yang lebih berpihak kepada orang yang benar dan mempunyai hati yang baik. Golongan yang bersalah akhirnya akan insaf dan kembali ke pangkal jalan setelah mendapat petunjuk daripada Tuhan. Tuhan berhak memberikan hidayah dan petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki oleh-Nya.

Bovel Kembara Amira:
a.         Peristiwa Tau menemui anaknya Sabi atau Malique semula setelah berpisah hampir 20 tahun. Tuhan berkuasa menemukan semua ahli keluarga yang telah berpisah. Peristiwa di puncak Gunung Gua Gajah apabila Itai dapat mengetahui bahawa Tau ialah ayah kandungnya dan Ludin yang membesarkannya selama ini ialah bapa saudaranya.

b.         Peristiwa kapal terbang Cessna 310 yang dipandu oleh Ridley bersama isterinya Brenda telah terhempas. Kedua-dua mereka telah berkorban. Anak mereka Samantha yang sepatutnya menjalani kehidupan sebagai orang Inggeris Australia akhirnya ditakdirkan hidup dalam keluarga masyarakat Orang Asli suku Semai dan berkahwin dengan Tau.





2.         Jelaskan konflik dalaman yang dialami oleh watak-watak dalam novel yang anda pelajari.

Novel Azfa Hanani:
a.         Azfa Hanani mengalami konflik apabila memikirkan kesalahannya mencuri buku rujukan dari perpustakaan Sekolah Menengah Sri Dian. Dia bimbang jika kesalahannya dapat dikesan oleh pihak sekolah dan hukuman yang bakal dikenakan terhadapnya.

b.         Azfa Hanani mengalami konflik apabila baru saja sampai di rumah Datin Maziah. Dia memikirkan reaksi dan perkara yang akan berlaku kerana disuruh menyamar sebagai Tengku Murni.

c.         Azfa Hanani mengalami konflik apabila memikirkan sikap Tengku Muzaffar dan Datuk Tengku Makmur yang menghina dan memandang rendah terhadap dirinya.

d.         Azfa Hanani mengalami konflik apabila kembali semula ke rumah Pak Longnya di Kampung Merpati setelah dihalau keluar dari rumah oleh Datin Maziah. Dia memikirkan masa depan persekolahan dan cita-citanya yang terpaksa berubah arah.

e.         Datin Maziah mengalami konflik kerana tidak dapat menerima hakikat bahawa anak perempuannya Tengku Murni telah meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya sehingga hidupnya tidak sempurna, murung dan berasa sedih.

Novel Kembara Amira:
a.         Jennifer mengalami konflik apabila masyarakat Orang Asli masih tidak dapat menerima dirinya yang berlainan warna kulit dengan mereka. Hal ini menyebabkan dia melarikan diri dengan mengikut Johnny.

b.         Tau mengalami konflik apabila memikirkan anaknya Sabi yang telah dilarikan oleh Ipah. Tau amat tertekan apabila Ipah melarikan diri bersama Johnny dengan membawa Sabi dan meninggalkan Itai. Akibat malu dan tertekan, Tau hidup seorang diri di hutan dan mengasingkan diri daripada masyarakatnya.

c.         Amira mengalami konflik apabila memikirkan lelaki berkulit putih yang sering kelihatan bersama Malique. Amira ingin mengetahui siapa sebenarnya lelaki itu.

d.         Jacinta mengalami konflik apabila memikirkan tindakan bapanya Baba Teck yang telah berkahwin semula setelah kematian ibunya empat tahun yang lalu. Jacinta tidak dapat menerima hakikat bahawa bapanya seperti sudah melupakan ibunya yang telah tiada.

e.         Malique mengalami konflik apabila memikirkan tindakan seseorang yang mengurungnya di puncak Gunung Gua Gajah. Malique tidak tahu siapa dan tujuan dia dikurung di tempat yang gelap itu. Orang itu hanya menghulurkan bantuan makanan melalui lubang kecil di bawah pintu dan tidak pernah melihat orang yang telah menyelamatkannya.

2 comments: