Perasaan
saling menyayangi dan hormat-menghormati sesama ahli keluarga dapat
membentuk keluarga penyayang. Berikan pendapat anda tentang peranan ibu bapa dalam melahirkan individu yang penyayang.
FOKUS JAWAPAN: HANYA PERANAN IBU BAPA SAHAJA YANG PERLU DIBINCANGKAN
Nama pelajar : Ng Wan Yi
Tingkatan : 5 Amal
Anak –anak diibaratkan kain putih yang suci dan kudus manakala ibu bapa merupakan pencoraknya.
Ibu bapa merupakan orang yang terdekat kepada anak-anak. Justeru itu,
ibu bapa harus mengemudi amanah yang mustahak dalam menentukan kehidupan
anak-anak yang sewarna pelangi atau semalap gelap. Kesedaran tentang
kepentingan masyarakat penyayang terhadap sesebuah negara yang sedang
membangun atau sudah membangun terpahat dalam sanubari kita. Hal ini
demikian kerana perasaan saling menyayangi dan hormat menghormati dalam
masyarakat dapat menjamin perpaduan yang mengundang kemajuan dan
kemakmuran negara. Tanpa masyarakat penyayang, negara Jalur Gemilang
mempunyai kemungkinan besar tercetus peperangan yang dahsyat. Dengan
ini, rakyat akan hidup dalam kesengsaraan dan kehimpitan daripada segi
fizikal dan emosi. Persoalan yang menerjah benak kita, apakah peranan
ibu bapa dalam melahirkan masyarakat penyayang.
Sebagai
mukadimah dan lontaran idea dominan, peranan ibu bapa dalam menzahirkan
anak-anak yang penuh dengan kasih sayang adalah dengan menjadi suri teladan kepada anak-anak. Ibu bapa hendaklah mengimplementasikan tingkah-laku yang berunsur positif di dalam rumah mahupun di luar rumah kerana bapa borek anak rintik. Anak-anak akan mengikut jejak dan mencontohi gelagat ibu bapa kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Ibu bapa yang bersikap ganas mustahil dapat menzahirkan zuriat yang kamil dan soleh.
Sebagai tamsilannnya, ibu bapa haruslah menyayangi ahli keluarga
termasuklah datuk dan nenek yang uzur, saudara-mara dan anak-anak yang
diibaratkan sebagai mutiara ibu bapa. Semasa berborak atau bercakap
dengan orang tua mereka, ibu bapa haruslah menggunakan nada yang lembut.
Ibu bapa juga perlulah menghormati dan dan menuruti arahan serta
suruhan orang tua mereka.Ibu bapa janganlah menghantar ibu bapa mereka
ke rumah orang-orang tua dan janganlah meminggirkan mereka. Ironinya,
ibu bapa haruslah tinggal bersama-sama dan berusaha memberikan
kehidupan yang paling selesa untuk mereka. Jika tidak, anak-anak juga
akan membuang ibu bapa ke rumah orang-orang tua dan mengalpakan jasa ibu
bapa mereka.Sikap kacang lupakan kulit
mestilah dikikis. Selain itu, ibu bapa juga perlulah bermesra dengan
jiran tetangga dan saudara mara dengan cara sering bertegur sapa. Dengan
ini tali silaturahim sesama tetangga dan keluarga dapat dipererat.
Secara ringkasnya, ibu bapa haruslah menjadi suri teladan kepada
anak-anak agar dapat melahirkan individu yang penyayang.
Sebagai
meniti perbincangan di atas, idea tentang tanggungjawab ibu bapa dalam
melahirkan anak-anak yang mempunyai sifat penyayang adalah dengan mencurahkan belaian kasih sayang terhadap anak-anak. Anak-anak haruslah dipelihara seperti menatang minyak yang penuh iaitu ibu bapa memberi kasih sayang yang mencukupi kepada anak-anak. Hal ini demikian kerana anak-anak bukanlah haiwan
robotik yang tidak mempunyai perasaan. Mereka memerlukan perhatian
daripada ibu bapa kerana tiadalah sesiapa yang tidak asyik manja dengan
ibu bapa. Malangnya, ibu bapa pada masa ini hanya mengejar kemewahan dan
kebendaan duniawi sehingga mengabaikan tanggungjawab hakiki iaitu
menjaga anak-anak. Mereka menganggap kewangan dan status masyarakat
sebagai priority dalam kehidupan. Ibu bapa patutlah sentiasa meluangkan
masa untuk mendampingi anak-anak. Ibu bapa haruslah menjadi pendengar
cerita anak-anak yang paling setia. Ibu bapa haruslah memberikan bantuan
kepada anak-anak apabila berdepan dengan masalah seperti masalah
pertelingkahan dengan rakan. Ibu bapa mestilah memberi nasihat dan
mengajar mereka tentang kepentingan sifat penyayang dalam masyarakat.
Selanjutnya ibu bapa juga hendaklah mengelakkan diri daripada
pertelingkahan dan perselisihan faham dengan anak-anak. Hal ini kerana
anak-anak akan mudah terpengaruh. Lazimnya anak-anak yang bermasalah
terbabit dalam vandalisme, kongsi gelap dan pergaduhan dilahirkan dalam
keluarga yang porak-peranda. Kepincangan keluarga diibaratkan sebagai
neraka. Tuntasnya, ibu bapa haruslah menggalas tanggungjawab mereka
untuk memberikan kasih saying kepada anak-anak. Ingatlah, kebahagiaan
hidup anak-anak terletak di telapak kaki ibu bapa.
Sementelahan pula, ibu bapa mestilah memberikan didikan agama dan moral kepada anak-anak sejak mereka bertatih lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Didikan agama dan moral dapat menentukan hala tuju anak-anak. Tanpa
didikan agama dan moral yang kukuh, kehidupan anak-anak diibaratkan kapal tanpa nakhoda.
Didikan agama dan moral memang mustahak dalam kehidupan seseorang
kerana Tuhan yang kita sanjungi tidak akan menyuruh hamba-Nya melangkah
ke kancah maksiat seperti lari dari rumah, bergaduh, gangtersisme dan
tindak-tanduk yang berunsur negatif. Sebaliknya, Tuhan menyuruh
hamba-Nya kearah kesusilaan dan ketertiban. Sebagai contohnya, Nabi
Muhammad saw merupakan pesuruh Tuhan yang mempunyai sifat-sifat mulia
lagi terpuji seperti bertoleransi, bersopan santun dan berfikiran
panjang. Baginda amat disanjungi oleh masyarakat kerana menekankan
kedamaian dan keamanan hidup. Dengan wujudnya didikan agama yang utuh,
teladan-teladan Nabi Muhammad saw akan dicontohi oleh anak-anak.
Selanjutnya anak-anak terutamanya remaja mudah terpengaruh dan tergoda
oleh persekitaran mereka. Ibu bapa haruslah memberi didikan agama dan
moral kepada anak-anak. Dengan ini anak-anak akan berakhlak mulia dan
menyebati sifat penyayang dalam sanubari. Ibu bapa juga perlu rajin
mengajar anak-anak untuk menunaikan solat dan berdoa agar keselesaan
serta kebahagiaan hidup terjamin. Konklisinya, didikan agama dan moral
haruslah diberikan kepada anak-anak untuk membajai sifat penyayang dalam
jiwa mereka.
Memang tidak dapat ditepiskan, pengawasan ibu bapa terhadap anak-anak
merupakan amanah ibu bapa yang afdal dalam melahirkan individu yang
penyayang. Ibu bapa haruslah memerhatikan gerak-geri anak-anak. Mereka
boleh memperoleh maklumat tentang gelagat anak-anak daripada
saudara-mara, guru-guru serta jiran tetangga. Ibu bapa juga perlu
mengenali rakan-rakan anak supaya anak-anak tidak dieksplotasi oleh
rakan-rakan yang negatif. Ibu bapa juga boleh membimbing anak-anak untuk
memilih rakan sebaya yang baik kerana hanya jauhari yang mengenal manikam. Anak-anak mestilah pandai memilih sahabat kerana bergaul dengan orang jadi orang, bergaul
dengan hantu jadi hantu. Anak-anak canda terpengaruh oleh rakan-rakan.
Mereka menganggap rakan-rakan mereka sebagai pendengar paling setia. Hal
ini demikian remaja memang kecetekan pengalaman hidup. Di samping itu,
ibu bapa harus mengawasi anak-anak semasa mereka melayari laman web.
Laman web yang berunsur pornografi akan menyebabkan remaja terjebak
dalam kancah negatif dan menjadikan remaja seorang yang ganas. Ibu bapa
juga boleh menggalakkan anak-anak menonton rancangan yang mengandungi
unsur kasih sayang seperti program-program
kekeluargaan yang disiarkan di kebanyakan saluran televisyen.
Deduksinya, pengawasan ibu bapa terhadap anak-anak memang penting dalam
melahirkan anak-anak yang saling menyayangi.
Seterusnya ibu bapa juga perlu melibatkan anak-anak dalam program-program kemasyarakatan. Ibu
bapa sewajarnya membawa anak-anak bersama-sama dalam program
kemasyarakatan yang disertai oleh mereka. Semua program kemasyarakatan
bertujuan mendidik masyarakat agar prihatin akan kesusahan orang
lain.Program kemasyarakatan tidak hanya menjurus kepada kebajikan sesama
manusia tetapi juga kepada haiwan dan alam sekitar. Ibu bapa boleh juga
melibatkan anak-anak menyertai program kemasyarakatan tanpa perlu
keluar dari rumah. Sebagai contoh mengajak anak-anak bersama-sama
menonton rancangan-rancangan berkonsepkan kemanusiaan seperti Bersamamu
anjuran TV3 mampu mengusik jiwa anak-anak untuk menghulurkan bantuan
dengan hanya menekan butang telefon bimbit untuk memberi sumbangan.
Persis peribahasa Melayu iaitu berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul, dengan bantuan yang sedikit dapatlah kita membantu mereka yang di dalam kesusahan. Selain itu, ibu bapa yang menganggotai pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan seperti Aman Palestin boleh
meminta bantuan anak-anak untuk bersama-sama mendapatkan sumbangan bagi
membantu masyarakat yang tertindas di negara tersebut. Sesungguhnya,
penglibatan dalam aktiviti kemasyarakatan dapat mendidik jiwa anak-anak
menjadi prihatin dan peka akan keadaan sekeliling dan menjadi insan yang
suka membahagiakan semua orang.
Sudah
tibanya masa untuk mata pena berakhir disini, peranan ibu bapa dalam
menzahirkan anak-anak yang penyayang tidak dapat dinafikan. Hal ini
demikian kerana ibu bapa merupakan orang yang paling berpengaruh dalam
kehidupan anak-anak. Oleh itu, ibu bapa haruslah menjadikan diri mereka
sebagai suri teladan yang terbaik kepada anak-anak. Ibu bapa juga
wajiblah mencurahkan kasih sayang kepada anak serta memantau anak-anak.
Ingatlah tangan yang menghayun buaian itu mampu melahirkan anak-anak
yang penyayang. Masyarakat penyayang pada hari muka bergantung kepada
remaja pada masa ini persis kata-kata Nelson Mandela iaitu “ jika ingin melihat kemajuan sesebuah negara pada masa akan datang maka lihatlah pada pada generasi muda yang mereka miliki”.
No comments:
Post a Comment