Sunday, May 5, 2019

LATIHAN PROSA TRADISIONAL SPM 3

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian jawab soalan yang diberi dengan menggunakan ayat anda sendiri.

 Dan telah sudah lepas edah, maka Seri Nara Diraja pun bernikah dengan Tun Kudu.  Maka jadi maufakatlah Seri Nara Diraja dan Paduka Raja, menjadi berkasih-kasihan seperti saudara sejalan jadi.  Maka sembah Seri Nara Diraja kepada Sultan Muzaffar Syah, "Tuanku, baiklah Paduka Raja dijadikan bendahara, kerana ia sedia anak bendahara."

Maka titah baginda, "Baiklah."
Maka Paduka Raja pun dijadikan bendahara.

Syahadan, Bendahara Paduka Raja itulah yang dikatakan orang bijaksana, kerana pada zaman itu tiga buah negeri yang sama besarnya,  pertama Majapahit, kedua Pasak, ketiga Melaka.  Di dalam negeri tiga buah itu ada tiga orang yang bijaksana, di Majapahit, Patih Aria Gajah Mada, dan di Pasak, Orang Kaya Kayanan, dan di Melaka, Bendahara Paduka Raja, dan Seri Nara Diraja menjadi penghulu bendahari.


1. Beri maksud rangkai kata di bawah: [2 markah]
i. berkasih-kasihan - berkasih-sayang/ berbaik-baik
ii. sejalan sejadi - sehati sejiwa/ bersefahaman

2. Siapakah orang yang dianggap bijaksana oleh penulis dalam ketiga-tiga negeri tersebut? 
[4 markah]
Orang yang dianggap bijaksana di ketiga-tiga negeri tersebut ialah Patih Aria Gajah Madja di Majapahit dan Orang Kaya Kayanan di Pasak. Di Melaka pula, mereka yang dianggap bijaksana ialah Bendahara Paduka Raja dan Seri Nara Diraja.
3. Dalam petikan di atas, Paduka Raja yang dilantik sebagai bendahara merupakan seorang yang berkualiti tinggi. Pada pendapat anda mengapakah rakyat yang berkualiti tinggi amat diperlukan oleh sesebuah negara? [4 markah]
Rakyat yang berkualiti tinggi seperti Paduka Raja amat diperlukan oleh sesebuah negara kerana mereka dapat memimpin sesebuah negara sehingga negara menjadi kuat. Rakyat yang berkualiti juga diperlukan bagi menjaga keselamatan negara daripada dijajah oleh kuasa luar. Selain itu, rakyat yang berkualiti tinggi akan dapat membentuk rakyat supaya bersatu-padu dan keamanan negara akan terjamin. Akhir sekali, Rakyat yang berkualiti tinggi amat diperlukan bagi membangunkan ekonomi dan bidang sosial di negara tersebut.
4. Pada pendapat anda, apakah yang perlu kita lakukan untuk menjadi rakyat yang berkualiti tinggi seperti bendahara Paduka Raja? [4 markah]
Untuk melahirkan rakyat yang berkualiti tinggi, kita perlu memastikan orang ramai mendapatkan pendidikan yang berkualiti supaya rakyat berilmu pengetahuan tinggi. Kita juga perlu menyediakan latihan kepada rakyat agar mereka dapat menjadi tenaga kerja mahir yang boleh memajukan ekonomi negara. Selain itu, kita juga perlu menanamkan semangat patriotisme kepada mereka supaya mereka berani mempertahankan negara daripada serangan musuh. Akhir sekali, kita perlu memastikan perpaduan sentiasa terjaga supaya dapat melahirkan rakyat yang berkualiti tinggi.
5. Berdasarkan petikan di atas, huraikan dua latar masyarakat yang terdapat dalam petikan tersebut. [4 markah]
Latar masyarakat yang terdapat dalam petikan di atas ialah masyarakat bangsawan. Mereka adalah terdiri daripada pemerintah negara seperti Paduka Raja yang memegang jawatan sebagai bendahara. Latar masyarakat yang lain ialah askar Siam. Mereka telah diperintahkan oleh Paduka Bubunya untuk menyerang Melaka kerana ingin menakluki Melaka yang pada masa itu sangat maju.
6. Huraikan satu pengajaran yang terdapat dalam petikan di atas dan satu lagi pengajaran yang terdapat dalam keseluruhan cerita tersebut. [4 markah]
Pengajaran yang terdapat dalam petikan di atas ialah kita perlu bijak menggunakan strategi untuk mendapatkan kemenangan dalam sesuatu yang kita lakukan. Contohnya, Paduka Raja meletakkan unggun api pada pokok bakau untuk menakutkan askar Siam pada waktu malam. Pengajaran lain yang terdapat dalam keseluruhan cerita ini ialah kita mesti menghargai pengorbanan dan jasa yang telah disumbangkan oleh orang lain. Contohnya, Sultan Muzaffar menghargai jasa askarnya yang telah mengalahkan askar Siam dengan memberi persalinan baru.

No comments:

Post a Comment