Sunday, May 5, 2019

LATIHAN PROSA TRADISIONAL 2

Syahadan, pada suatu hari, maka Tun Perak datang menghadap, duduk di tanah samasama orang banyak. Maka kata bentara yang bergelar Seri Amerta kepada Tun Perak, “Tuan Tun Perak, segala orang Kelang ini menghadap baginda mengadukan halnya kepada Duli Yang Dipertuan. Adapun orang teluk rantau yang lain semuanya menghadap laki-laki juga; adapun orang Kelang ini menghadap bahawa Tun Perak dengan membawa perempuan sekali. Mengapakah maka demikian fiil tuan?”
Maka tiada disahut oleh Tun Perak kata itu. Sekali lagi Seri Amerta berkata, itu pun tiada disahuti oleh Tun Perak. Genap tiga kali Seri Amerta berkata itu, maka barulah disahuti oleh Tun Perak, katanya, “Hai Seri Amerta, tuan hamba dengan pedang tuan hamba sebilah itu juga, hendaklah baik baik tuan hamba peliharakan, jangan diberi berkarat, jangan kemakanan matanya. Akan pekerjaan kami orang bekerja ini, di mana tuan hamba tahu? Adapun akan sekarang Duli Yang Dipertuan di dalam negeri ini dengan perempuan anak isteri dan segala perkakas. Maka benarkah pada fikir tuan hamba, kami sekalian datang dengan laki-laki juga, dengan begini jauh Selat Kelang? Jikalau satu hal negeri ini, apa hisab pada kami sekalian? Sebab itulah maka segala orang Kelang ini hamba suruh bawa dengan anak isterinya sekali. Nescaya berperang dengan bersungguh-sungguh hatinya; kurang-kurang ia berlawankan Duli Yang Dipertuan lebih ia berlawankan anak isterinya bersungguh-sungguh.”
Dipetik daripada ‘Burung Terbang Dipipiskan Lada’ Dalam antologi Sejadah Rindu.
i. Berikan maksud rangkai kata jangan kemakanan matanya.
Maksud rangkai kata jangan kemakanan matanya ialah usah dibiarkan rosak.

ii.  Tun Perak memberikan beberapa peringatan kepada Seri Amerta. Nyatakan peringatan-peringatan tersebut.
Antara peringatan Tun Perak kepada Seri Amerta adalah supaya dia menjaga pedangnya baik-baik agar tidak berkarat dan tidak tumpul.
——————————-
iii.  Pada pendapat anda, wajarkah Tun Perak menyuruh orang Kelang datang ke Melaka untuk berperang dengan membawa anak dan isteri mereka?
Pada pendapat saya, Tun Perak wajar menyuruh orang Kelang datang ke Melaka untuk berperang dengan anak dan isteri mereka supaya orang lelaki Kelang akan bersungguh-sungguh mempertahankan negeri Melaka kerana anak dan isteri mereka berada di situ.  Orang lelaki Kelang juga tidak akan risau jika orang Siam mengubah taktik menyerang negeri jajahan Melaka yang lain dahulu sebelum menyerang Melaka.

No comments:

Post a Comment