Sunday, September 23, 2018

SPM - CONTOH SOALAN

Soalan 1 : Rumusan
[ 30 markah ]

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang usaha-usaha memulihara permainan tradisional dan halangan-halangan untuk memajukannya. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

         Permainan tradisional merupakan permainan yang dicipta oleh masyarakat tradisional, iaitu merujuk permainan budaya yang sudah diamalkan oleh masyarakat itu untuk satu tempoh yang tertentu. Permainan tradisional ini juga sebagai pelengkap alam kanak-kanak pada masa silam untuk berkongsi keriangan dan kegembiraan. Mereka cuma perlu berkawan, namun bukan lagi resam kepada kanak-kanak masa ini yang begitu terdedah kepada peralatan telekomunikasi yang amat mengasyikkan dan menenggelamkan beberapa jenis permainan tradisional yang tersohor pada suatu ketika dahulu. Ekoran daripada itu, permainan tradisional semakin dilupakan, namun masih terdapat prakarsa untuk terus melestarikan sekali gus mengembalikan nostalgia warisan budaya ini.
        Permainan tradisional ini bukanlah semata-mata mengisi masa lapang, tetapi juga meningkatkan daya kreativiti, memupuk semangat berpasukan dan melatih kekuatan mental dan fizikal. Secara tegasnya, permainan tradisional memang wajar diketengahkan pada peringkat negara dan serantau. Minat yang mendalam terhadap permainan tradisional seperti wau, layang-layang, sepak raga dan gasing tidak cukup sekiranya tiada kemudahan untuk permainan ini. Bagi menangani isu ini, kerajaan haruslah menyediakan lebih banyak tempat atau gelanggang permainan tradisional. Berkaitan dengan pembinaan gelanggang, kerajaan boleh memajukan permainan ini dengan menyediakan jurulatih di setiap gelanggang yang telah disediakan. Pada masa yang sama, masyarakat tempatan juga boleh berganding bahu mewujudkan tapak permainan tradisional di kawasan perumahan atau kampung mereka. Hal ini secara tidak langsung dapat menarik perhatian penduduk sekitar untuk beriadah bagi mengeratkan silaturahim sesama mereka.

        Di samping itu, hotel tempatan dan pusat peranginan yang terkemuka di negara kita juga patut menyediakan ruang dan tapak serta alat permainan tradisional kepada pelancong asing. Sempena Tahun Melawat Malaysia, setiap negeri perlu mengetengahkan permainan tradisional dalam acara yang disusun bagi menyerlahkan warisan seni budaya yang penuh nilai estetika bagi menggamit pelancong. Sebagai contoh, kerajaan Kedah merancang menganjurkan program sukan, Eagle Cup Sepak Takraw bersempena Tahun Melawat Kedah 2016. Selain itu, Festival layang-layang Sedunia Pasir gudang yang dianjurkan setiap tahun perlu diteruskan untuk menarik lebih banyak pengunjung dari dalam dan luar negara.
       Usaha menghidupkan kembali permainan tradisional boleh dilakukan oleh pihak sekolah dengan menganjurkan Kelab Permainan Tradisional dalam aktiviti kokurikulum. Permainan ini amat penting untuk kehidupan generasi muda kerana dapat membantu perkembangan diri. Melalui permainan tradisional mereka mempelajari cara mematuhi peraturan, menyesuaikan diri dan menyelesaikan masalah. Dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut memperuntukkan seni, warisan dan budaya dalam aktiviti kokurikulum. Seni, warisan dan budaya bangsa Malaysia yang dimaksudkan termasuklah tarian, muzik, kraf, tulisan jawi syair, permainan tradisional dan seni pertahanan diri. Penyebaran maklumat tentang permainan tradisional kepada masyarakat melalui media massa juga tidak harus dipandang remeh. Hal ini kerana media merupakan saluran utama dalam pencarian maklumat terutama dalam kalangan remaja. Jabatan Warisan Negara atau kerajaan negeri perlulah lebih kerap menganjurkan festival, pertandingan dan kempen bagi mengetengahkan permainan tradisional kepada masyarakat agar dapat menanamkan rasa cinta terhadap warisan negara kepada generasi muda.

Dipetik dan diubah suai daripada
“Melestarikan Permainan Tradisional Warisan Negara”
Oleh Samat Buang
Dewan Siswa, Jun 2015


Soalan 2 : Pemahaman
[ 35 markah ]

Soalan 2(a) – Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i)  Berikan maksud rangkai kata mengembalikan nostalgia.
[ 2 markah ]


(ii) Pengarang mengemukakan beberapa kepentingan permainan tradisional.
      Nyatakan kepentingan-kepentingan permainan tradisional dalam kehidupan.
[ 3 markah ]
(iii) Permainan tradisional mampu merangsang perkembangan minda kanak-kanak.
       Nyatakan peranan ibu bapa bagi menggalakkan anak-anak melibatkan diri dalam permainan
       tradisional.
[ 4 markah ]
Soalan 2 (b) – Cerpen
Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Seorang remaja  kurus datang menghampiriku. Di tangannya terdapat sebuah beg plastik hitam yang besar. Matanya melingas ke kanan kiri. Dia bercakap separuh berbisik.
 “ Black market, black market. Good price.”Aku teringat akan pesanan Encik Yuksel tentang bahaya membeli barang di tepi jalan. Aku menggelengkan kepala tanda tidak berminat. Remaja itu menghampiri Kak Chah dan Shahmeem. “Perfume. Wallet. Jacket. Please!”
Belum sempat Kak Chah dan Shahmeem menjawab, seorang lelaki dewasa bertubuh gelap, berbaju –T dan berseluar panjang hitam serta berwajah serius, datang dan memegang beg plastik remaja kurus itu. Remaja itu cuba lari, tetapi lelaki bertubuh tegap itu berjaya menendangnya sehingga tersungkur. Aku begitu terkejut sehingga terlupa menjerit. Seorang lelaki dewasa Turki  datang dan mengambil beg plastik hitam yang terjatuh.
“We are police.They all sell black market things,” ujar lelaki Turki kedua.
Aku sempat melihat air mata merembas dari pipi remaja kurus tadi.Barangkali ketakutan, barangkali kesakitan. Puisi Mevlana Celaleddin Ar-Rumi tentang kemanusian sekali lagi bergema di hatiku.Nampaknya, tiada belas kasihan terhadap perjuangan meneruskan hidup jika melanggar peraturan.
( Dipetik daripada cerpen `Jaket Kulit Kijang dari Istanbul`
Dalam Antalogi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul,
Dewan Bahasa dan Pustaka)


(i) Berdasarkan petikan cerpen, mengapakah remaja kurus itu menitiskan air matanya?
[ 2 markah ]
(ii) Pada pendapat anda, mengapakah kita perlu mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan dalam sesebuah  negara?
                                                                                                                                 [ 3 markah ]
(iii) Huraikan satu persoalan  yang terdapat dalam petikan di atas dan satu persoalan  lain daripada cerpen tersebut yang tidak terdapat dalam petikan.
         [ 4 markah ]






Soalan 2 (c)-Petikan Prosa Tradisional
Baca petikan prosa tradisional di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anada sendiri.
Sebermula maka Laksamana pun memakai pakaian penjurit. Maka Laksamana pun berjalanlah. Pada malam itu kelam-kabut dan hujan pun rintik-rintik. Maka Kertala Sari pun masuklah ke dalam kota. Maka Laksamana pun tidur di tengah pasar itu. Maka didengar oleh Laksamana kaki Kertala Sari itu terlalu gemuruh bahananya.Maka Laksamana pun tahulah akan Kertala Sari datang itu. Maka Kertala Sari pun berjalanlah ke tengah pasar itu. Maka tertendang kakinya pada tubuh Laksamana.
Maka Kertala Sari pun berdirilah atas kepala Laksamana itu, katanya, “Teririk bangkai pula aku ini!”
Adapun akan Laksamana tidur itu kerisnya sudah terhunus, lalu ia bangun melompat menikam dada Kertala Sari terus ke belakangnya.
Maka Laksamana pun berkata ,”Ceh, mati engkau olehku!”
Setelah Kertala Sari merasai luka itu, maka dihunusnya kerisnya pula mengusir Laksamana. Dua tiga langkah maka ia pun rebah terjerumus lalu mati. Maka oleh Laksamana dihirisnya syahwatnya diambilnya lalu ia kembali ke rumahnya.
Dipetik daripada`Kepimpinan Melalui Teladan`
Dalam antalogi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul,
Dewan Bahasa dan Pustaka.

(i) Berikan maksud rebah terjerumus.                                          
                                                                                                                [ 2 markah ]

(ii) Nyatakan strategi-strategi yang dilakukan  Laksamana untuk membunuh Kertala Sari.
         [ 3 markah ]
(iii) Pada pendapat anda mengapakah kita perlu mengatur strategi untuk mencapai sesuatu matlamat?
         [ 3 markah ]
 Soalan 2(d) - Sajak
Baca sajak di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Erti Hidup Bererti
Aku selalu didatangi,
malam sepi
bagai kalung
yang melingkari leherku
tidak berubah keesokan hari
siapa yang akan datang menjengukku
keluhan seoang tua sunyi.

Keheningan tasik
kehijauan rumput
hanya menjadi bayangan
di penjuru ruang zaman
cinta dalam rahim dilupai
dari sulung ditendang ke bongsu
dari angah ditendang ke sulung balik
kucari erti hidup
menderita mengerang sakit
berdiri tanpa ruang

Aku bagi mereka
tiada makna
anakku bakaku
baik setia mahupun derhaka
semoga disirami benih keinsafan
menjadi penawar dalam hati
embun cinta atasi angin dingin
jangan terpegun
ada yang mati
ada yang hidup
tiada yang kekal kecuali Tuhan

Teo Wei Sing
Antologi Sejadah Rindu,
Kementerian Pendidikan Malaysia








    (i)
Berdasarkan rangkap pertama, nyatakan keadaan hidup seorang tua dalam sajak tersebut.                                                                                         [2 markah]

(ii)
Anak-anak merupakan permata hati ibu bapa. Pada pendapat anda, apakah tindakan yang wajar dilakukan oleh anak-anak  untuk membahagiakan ibu bapa sekiranya mereka tinggal berjauhan?                                                     [3 markah]

(iii)

Jelaskan dua pengajaran yang terdapat dalam sajak di atas.                 [4 markah]


Soalan 3: Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa
[30 markah]
Jawab semua soalan

(a) Tulis satu ayat bagi setiap kata ganda di bawah  untuk menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan, menukarkan atau menggugurkan imbuhan atau menggunakan rangkai kata itu sebagai peribahasa atau kata nama khas.
(i)    enak-enak
(ii)   patah-patah
(iii)  jejari
(iv)  remuk-redam
(v)   pindah- randah
(vi)  besar-besaran
[ 6 markah]





(b) Cerakinkan ayat majmuk di bawah kepada dua ayat tunggal tanpa mengubah maksud
    asalnya.
(i)   Penyanyi yang tersohor itu sangat anggun dan bergaya ketika membuat persembahan.
(ii)  Ada perniaga yang menyalahgunakan  premis  perniagaan  mereka  untuk  pelbagai   
       kegiatan yang bertentangan dengan undang-undang
(iii)  Silat merupakan sejenis seni mempertahankan diri yang digemari oleh masyarakat
       Melayu di Malaysia.
[ 6 markah]

(c) Dalam setiap ayat di bawah, terdapat satu Kesalahan ejaan dan  satu kesalahan  dari
     segi imbuhan. Senaraikan dan betulkan  kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap  ayat, anda
     tidak  boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan dari
     segi  imbuhan. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.

(i)  Gerakan Cintailah Bahasa Kita telah dilancarkan untuk mendokong usaha      
       kemasyarakatan  Bahasa Melayu.

(ii) Semua peserta ekspidisi meredah hutan itu digalakan supaya memakai stoking tebal untuk
       menjaga keselamatan.

(iii)  Sejarah sesebuah negara hendaklah ditulis dengan berdasarkan fakta dan intrepretasi
        yang tepat selain diambil kira konteks tempatan.

[ 6 markah ]

(d) Dalam petikan di bawah terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat,  anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Anda tidak perlu menyalin petikan itu semula.
(i) Pekerja-pekerja Syarikat Anita yang telah berjaya mencapai sasaran jualan akan menerima intensif sebanyak seribu ringgit dari majikan mereka.

(ii) Para pelajar diarahkan supaya berkumpul di padang untuk melihat demokrasi kebakaran yang pihak bomba lakukan.

(iii) Abu dan Ali tidak jadi menyertai pasukan kompang malahan menyertai kumpulan zikir barat sekolah.
(e) Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian kemukakan tiga peribahasa yang menggambarkan situasi yang terdapat dalam petikan ini.
Sepuluh tahun lalu, Shah meninggalkan kampung halaman kerana kehidupan yang susah dan berlaku perselisihan dengan adik-beradiknya. Kini dia di perantauan dan dapat menikmati hidup yang agak selesa. Tetapi ingatan kepada kampung halaman masih membara. Dia meminta maaf daripada adik-beradiknya di kampung atas kesalahannya yang lalu. Kini hubungannya dengan adik-beradik semakin baik.

[ 6 markah ]




Soalan 4 : Novel

[ 15 markah ]

Jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan novel-novel yang berikut:

(i) Leftenan Adnan Wira Bangsa karya Abdul Latip bin Talib
(ii) Di Sebalik Dinara karya Dayang Noor
(iii) Jendela Menghadap Jalan karya Rohaini Matdarin
(iv) Pantai Kasih karya Azmah Nordin
(v) Songket Berbenang Emas karya Khairuddin Ayip
(vi) Tirani karya Beb Sabariah
(vii) Bimasakti Menari karya Sri Rahayu Mohd Yusop
(viii) Silir Daksina karya Nizar Parman

(a) Latar tempat merupakan salah satu aspek penting dalam sesebuah novel.

Berdasarkan sebuah novel yang anda kaji, huraikan dua latar tempat yang terdapat dalam     novel tersebut.
[7 markah]
(b) Isu kepincangan masyarakat sering dipaparkan oleh pengarang dalam sesebuah novel.

Berdasarkan dua buah novel yang anda kaji, jelaskan peristiwa yang menggambarkan kepincangan masyarakat dalam novel-novel tersebut.
    [ 8 markah]

No comments:

Post a Comment