Monday, September 3, 2018

Karangan Syarahan


Anda  mengambil  bahagian dalam suatu pertandingan syarahan. Tajuk syarahan ialah “Ke Arah Melahirkan Masyarakat Yang Berilmu Dan Berdisiplin.” Sediakan teks syarahan anda itu selengkapnya.


           Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis. Salam 1Malaysia, salam perpaduan, salam sayangi Malaysiaku, dan salam Pulau Pinang Maju Jaya saya ucapkan kepada panel hakim yang arif berpegang teguh pada panji-panji keadilan serta rakan-rakan seperjuangan yang dikasihi.
            Pertama-tamanya saya ingin memanjakkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia dan inayat-Nya dapat kita berkumpul di sini untuk mendengarkan syarahan yang berbunyi “Ke Arah Melahirkan Masyarakat Yang Berilmu Dan Berdisiplin
            Sidang hadirin,
            Secara keseluruhannya, topik syarahan pada malam yang permai ini menyentuh tentang suatu usaha ataupun ikhtiar untuk mewujudkan golongan yang berpengetahuan tinggi dan seterusnya mempunyai sifat patuh kepada segala peraturan yang diberi. Pengertian ini dalam konteks syarahan pada malam ini merangkumi suatu aspek yang luas, meliputi kepandaian dan pengetahuan yang melibatkan keduniaan dan keakhiratan.
            Tuan-tuan dan puan-puan,
            Ilmu umpama bintang-bintang yang bergemerlapan, memberi sinar paduan kepada manusia; disiplin pula diibaratkan umpama tabir hitam yang menampakkan seri kerlipan bintang-bintang yang menerangi kegelapan malam. Ikatan mesra antara  dua perkataan itu adalah bagaikan aur dengan tebing; tak mungkin berpisah kerana kedua-duanya saling  berperanan dalam memajukan manusia. Berkat ilmu dan disiplin, pembesar suara ini tercipta, Dewan Seri Cahaya ini indah bercahaya, penonton pula tersenyum ria semoga pertandingan syarahan pada malam ini dapat dijalankan dengan lancar dan jayanya.
            Hadirin dan hadirat,
            Apa yang dipertekankan dalam konteks syarahan pada malam ini ialah  mewujudkan golongan berilmu dan berdisiplin di samping memperlihatkan dan mendedahkan kesan-kesan langsung atau tidak langsung yang akan timbul daripadanya. Sesungguhnya kesedaran           merupakan benih utama yang mencambahkan keutuhan ilmu dan disiplin di kalangan    masyarakat, di mana kita harus bersama-sama memelihara dan menanam dalam sanubari kita. Golongan pertama yang memainkan peranan ialah institusi keluarga. Setiap anak yang dilahirkan umpama tabula rasa  -  kosong tiada isi. Justeru, ibu bapalah selaku rabbi yang akan mencorakkan rasa kesedaran ini di kalangan anak-anak mereka. Pendidikan secara tidak     langsung yang diterima di rumah melalui pembentukan rohani, emosi dan jasmani ternyata jelas membentuk satu asas ilmu dan disiplin di kalangan anak-anak yang  menjadi harapan mereka.
            Setelah generasi kecil ini menjadi dewasa dan mula mengenali alam persekolahan, institusi pendidikan akan meneruskan peranannya . Dalam usaha ini, Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kebijaksanaannya telah melengkapkan KBSR dan KBSM, malah kini Sekolah Bestari sudah mula diperkenalkan di seluruh negara.  Selain itu, Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) yang merupakan nadi dalam merangka, menyusun, menyemak semula dan melaksanakan  kurikulum, akan memperkenalkan kurikulum baharu. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 pula bercirikan futuristik dengan harapan melahirkan modal insan yang dapat bersaing dengan generasi luar negara. Hal ini penting berdasarkan cabaran yang akan dihadapi dalam era globalisasi.
            Di samping itu, kerajaan juga memainkan peranannya. Selepas merdeka, didapati   bahawa sistem  penddikan negara hanya menekankan kecemerlangan dari segi ilmu sedangkan keunggulan disiplin dan amalan dianaktirikan. Apabila menyedari akan hakikat ini, kerajaan Malaysia dengan tradisi membela rakyatnya cuba mewujudkan msyarakat yang berpengetahuan dan berdisiplin dengan melaksanakan berbagai-bagai dasar seperti Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam, Cintailah Bahasa Kita, dan  Dasar Pandang Ke Timur  yang meliputi etika kerja dan kawalan mutunya ternyata berupaya melahirkan masyarakat yang berilmu dan berdisiplin. Selain itu, kerajaan kita juga merangka dan menjalankan program-program pembangunan diri seperti Rumahku Syurgaku, Rakan Muda, Wawasan 2020, Koridor Raya Multimedia, dan   internet. Sesungguhnya usaha murni ini harus dipertingkatkan; janganlah dinanti-nanti,  janganlah ditangguh-tangguh sehingga masyarakat kita kembali teraba-raba dalam kegelapan, kembali ketandusan moral dan pendirian sehingga rambut mereka terpacak, baju terangkat,  seluar terencat, wujud kumpulan “Black Metal”, “Hip-Hop” hingga mata naik terbeliak.
            Ya, tuan-tuan dan puan-puan,
            Seterusnya golongan yang memainkan peranan paling besar ialah masyarakat -  ya  termasuklah saya, panel hakim dan anda semua. Oleh yang demikian, apakah yang harus kita lakukan? Ya, dengan mencelikkan mata jiran tetangga, menyedarkan saudara-mara dengan semangat cintakan negara agar kita dapat melahirkan masyarakat yang berilmu dan berdisiplin. Seterusnya dapat mewujudkan rasa cinta mereka kepada ilmu dan disiplin  - bagaimana cintanya Dewi Sita kepada Dewa Rama dalam Hikayat Seri Rama.
            Dengan adanya ilmu dan disiplin, rakyat Malaysia dapat menghindarkan dakyah-dakyah beracun yang boleh menimbulkan konfrontasi. Suasana konflik dan suasana kritikal ini akan mencemarkan status negara kita yang berdaulat dan meredeka. Demikianlah sidang hadirin dan hadirat, betapa pentingnya peranan dan peraturan dalam mewujudakan manusia yang  berpengetahuan dan berdisiplin.
            Sidang hadirin,
            Setelah mengetahui peripentingnya peranan dan peraturan ini, marilah bersama-sama mengkaji apakah kesan-kesan yang diperlihatkan hasil daripada perancangan ini. Ilmu dan disiplin tidak mudah terpisah dalam perkembangan politik tanahair. Berkat kecekapan dan kepandaian pemimpin kita dengan sifat Besih, Cekap, dan Amanah yang ditunjukkan, YAB Dato Seri Mohd Najib Bin Tun Razak dengan Barisan Nasionalnya telah membentuk suatu pakatan yang utuh, dengan benteng yang kukuh bersama-sama MCA dan MIC. Pembentukan ini akhirnya membawa kepada penyatuan rakyat yang menjurus kepada kemajuan negara.
            Keutuhan ilmu dan disiplin dalam kalangan perwira merupakan tonggak kekuatan  pertahanan negara. Berbekalkan ilmu pertahanan di dada, diperteguhkan lagi dengan disiplin yang sedia ada, diperkuatkan lagi dengan tiupan semangat Kanang Anak Langkau “Agi Hidup Agi Ngelaban” dapat menjinakkan seteru-seteru negara. Bayangkanlah sidang hadirin bayangkanlah perwira negara kita yang cetek pemikiran dan goyah pendirian, terpengaruh dan terjebak dalam kancah dadah, terhoyong-hayang, tidak mampu memegang senapang  di perbatasan, mampukah, terdayakah mereka mempertahankan negara sidang hadirin sekalian?
            Saudara dan saudari,
            Begitu jugalah dalam bidang sukan dan rekreasi. Dengan berbekalkan ilmu dalam mendaki gunung dan disiplin semasa menjalani latihan, pasukan pendaki Gunung Everest telah berjaya menawan puncak Gunung Everest yang merupakan gunung tertinggi di dunia dan wira negara kita telah mengharumkan nama negara. Mereka juga membuktikan kepada dunia  bahawa MALAYSIA BOLEH.
            Sidang hadirin yang dihormati,
            Dahulu nenda berpelita, kini cahaya dari kaca; dahulu bonda terpaksa mengambil air di perigi, kini hampir semua ini tiada lagi, air di pili menjadi pengganti. Di samping itu, berkat ilmu dan disiplin dalam pembuatan kereta, negara kita telah berjaya mengeluarkan kereta  nasional kita, iaitu kereta Proton. Kini kita boleh berbangga dengan pencapaian kereta nasional kerana telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa.
            Sebagai rumusan, dapatlah dikatakan bahawa ilmu dan disiplin merupakan khazanah yang tidak ternilai harganya. Marilah kita bersama-sama melahirkan masyarakat yang berilmu dan berdisiplin.
                                   
                                                Kalau ada sawah bendang,
                                                Dapat kita menuai padi;
                                                Kalau ada umur panjang,
                                                Dapat kita berjumpa lagi.

Sekian, terima kasih.


No comments:

Post a Comment