Tuesday, September 4, 2018

KARANGAN SYARAHAN / CERAMAH

Haiwan liar merupakan khazanah negara yang patut dipulihara. Sebagai wakil Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), anda telah diundang ke sebuah sekolah untuk menyampaikan ucapan tentang langkah-langkah yang diambil untuk mengelakkan kepupusan haiwan liar. Tulis teks ucapan anda itu selengkapnya.

        Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis. Yang Berusaha Tuan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist, Tanjong Malim, barisan pentadbir, guru-guru dan murid-murid yang disayangi sekalian. Salam sejahtera dan salam 1Malaysia saya ucapkan. ‘Langkah-langkah yang Diambil untuk Mengelakkan Kepupusan Haiwan Liar’, merupakan tajuk yang akan saya perkatakan pada hari yang mulia lagi istimewa ini.
        Hadirin yang dirahmati sekalian,

        Sebelum saya mulakan ucapan saya, izinkan saya memberitahu tuan dan puan tentang perkembangan alam sekitar kita pada hari ini. Mutakhir, alam sekitar kita telah mula tercemar oleh pelbagai jenis bahan kimia yang berbahaya kepada kehidupan manusia seperti karbon monoksida, sulfur dioksida dan CFC. Bahan-bahan seumpama ini pasti akan membawa kesan buruk yang berkekalan bukan sahaja kepada manusia tetapi juga kepada alam flora dan fauna di jagat raya ini. Oleh itu, langkah “mencegah adalah lebih baik daripada merawat” perlu diutamakan dan dijadikan amalan dalam kehidupan kita sehari-hari.

        Para hadirin sekalian,

        Ketidakseimbangan ekosistem berlaku seiring dengan pemburuan haiwan secara haram leluasa lebih-lebih lagi hasil buruan telah diperdagangkan dengan harga yang tinggi lantaran adanya permintaan yang tinggi. Pemburuan hidupan liar secara haram merupakan antara isu global yang sedang diperkatakan dan dihadapi oleh kebanyakan negara dunia, terutamanya negara yang mempunyai sumber biodiversiti yang tinggi seperti negara-negara Asia yang berhutan hujan tropika. Oleh sebab terdapat permintaan yang tinggi di pasaran gelap tempatan mahupun di peringkat pasaran antarabangsa, gejala pemburuan hidupan liar secara haram dijangka akan berterusan. Walau bagaimanapun, ‘setiap penyakit pasti ada ubat penawarnya’. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang harus diambil untuk membanteras kepupusan haiwan liar di sarwajagat ini?
        Pertama-tama, Jabatan PERHILITAN perlu bertindak proaktif dan tegas menjalankan usaha-usaha pemantauan dan penguatkuasaan untuk memastikan aktiviti pemburuan haiwan liar ini terkawal. Dalam tempoh lima tahun, yakni 2005 – 2010, hasil daripada tindakan dan daya usaha pegawai-pegawai jabatan menjalankan penguatkuasaan, sebanyak 348 kes pemburuan haram telah berjaya dikesan dan ditangani. Pihak jabatan telah mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap pesalah-pesalah jenayah hidupan liar ini. Pemburuan haram secara khususnya bertujuan untuk memperoleh dan memperdagangkan kulit dan pelbagai anggota hidupan liar dek nilai komersial yang amat tinggi, terutamanya di pasaran gelap. Untuk memastikan haiwan liar ini selamat dan terpelihara, langkah dari segi pengawalan pemberian lesen pemburuan disusuli tindakan tegas, berat dan penjara mandatori terhadap pemburu-pemburu haram perlu dikuatkuasakan tanpa sebarang kompromi. Anggota penguat kuasa dan pegawai Jabatan Perhutanan juga perlu ditambah agar langkah pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang dapat dipertahankan.

        Selain itu, langkah kerajaan untuk mewartakan hutan-hutan simpan di seluruh negara harus dijalankan secara meluas. Hutan-hutan simpan harus digazetkan agar tiada sebarang tindakan pembalakan leluasa dijalankan sehingga merosakkan atau menghapuskan habitat flora dan fauna. Hutan simpan di tanah kerajaan perlu diisytiharkan sebagai langkah pemantauan dari semasa ke semasa. Tanah-tanah persendirian perlu diperoleh terlebih dahulu melalui Seksyen 13, Enakmen Hutan 1968, sebelum dikategorikan sebagai kawasan hutan simpan. Pengisytiharaan hutan simpan tersebut mesti mengkategorikan kelas hutan simpan dan tujuh kelas sedia ada, yakni merangkum perlindungan, perdagangan, domestik, lipur, hutan bakau dan hutan simpan Bara. Pengemaskinian enakmen hutan pada tahun 1984 di negara kita, memperuntukkan seluas 132, 653 hektar sebagai Hutan Perlindungan Hidupan Liar (Kelas 7). Dengan mewartakan hutan–hutan simpan seumpama ini, maka tempat pembiakan haiwan-haiwan tempatan dapat dipelihara dan dilindungi di samping sumber makanan berkekalan. Contohnya, penggazetan hutan simpan di Taman Negara Endau-Rompin di Pahang perlu diluaskan ke seluruh negeri di negara kita, Malaysia.

        Hadirin sekalian,

        Negara kita mempunyai pelbagai undang-undang kawalan dan pencegahan untuk menangani masalah kepupusan habitat liar. Oleh itu, langkah penguatkuasaaannya perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa untuk melindungi hidupan liar. Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 perlu dikuatkuasakan  sepenuhnya agar kawalan terhadap aktiviti pembalakan dan jaminan hidupan liar dapat ditingkatkan. Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 (Akta 76) merupakan akta yang menyatukan undang-undang berhubung dengan hidupan liar di samping peruntukan untuk memberikan perlindungan kepada hidupan liar dan bagi maksud-maksud yang berkaitan dengannya. Jabatan PERHILITAN juga harus menyumbangkan idea bernas selain sumber kepakaran dalam merealisasikan akta ini agar dikuatkuasakan sepenuhnya. Tindakan pemulihan seperti penanaman semula hutan difikirkan amat perlu untuk menjamin kesinambungan habitat haiwan liar di negara kita.
        Di samping itu, usaha penyelidikan dan penbangunan merupakan antara tindakan yang wajar dijalankan secara tekal untuk menjamin hidupan liar kekal di bumi ini. Kajian dan penyelidikan perlu dijalankan dari semasa ke semasa agar haiwan-haiwan tropika ini terus membiak dan mempunyai ketahanan dalam menyesuaikan diri dengan perubahan-perubahan alam dan persekitaran. Pelbagai  pelalian dan hormon perlu dicipta untuk menjamin haiwan-haiwan ini terus hidup. Usaha-usaha juga perlu dijalankan untuk mewujudkan habitat melalui kajian. Contohnya, penempatan Orang Utan di Sarawak. Tambahan pula, aktiviti pembangunan yang melibatkan habitat hidupan liar seperti pembinaan empangan, perumahan dan pertanian perlu dirancang dengan teliti dan mampan serta kajian kesan ke atas ekosistem habitat fauna dan flora perlu dijalankan secara mendalam agar habitat haiwan liar dapat dipelihara dan dipulihara kekal di dunia ini.

        Kempen-kempen kesedaran tentang kepentingan mengelakkan kepupusan haiwan liar perlu diadakan secara berterusan dan global. Contohnya , Earth Hour. Kempen-kempen seumpama ini dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan dan peranan haiwan dalam konteks penjagaan dan pemuliharaan keseimbangan ekosistem dan biodiversiti. Setiap strata masyarakat perlu sedar bahawa jika sesuatu spesies pupus, maka kesan yang besar akan mengganggu gugat sistem kitaran dan kestabilan ekosistem kita. Pada hari ini, banyak kepincangan telah berlaku terhadap ekosistem kita. Lantaran sikap kita yang terlalu memandang enteng akan kepentingan setiap ciptaan Tuhan kepada kita tanpa sebarang keinsafan, kesedaran dan kesyukuran. Biarpun ada banyak tanda amaran dan peringatan daripada Pencipta, namun manusia moden pada hari ini tetap tamak  sehingga  mengabaikan kepentingan ekosistem demi keuntungan duniawi semata-mata yang akhirnya akan merugikan manusia sejagat seluruhnya.


Para hadirin sekalian,

        Sebagai kesimpulannya, barangkali masih belum terlambat untuk kita, sama-sama mensyukuri nikmat Tuhan dan bermuhasabah diri dengan penuh kesedaran dan keinsafan untuk memelihara dan memulihara habitat flora dan fauna, termasuklah haiwan liar agara tidak pupus ditelan arus kemodenan dan globalisasi. Yang jelas, kepupusan haiwan liar bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada negara tetapi juga kepada warga dunia sarwajagat amnya. Kesedaran tentang usaha-usaha pemeliharaan dan pemuliharaan haiwan liar melalui pendidikan penting agar tindak-tanduk manusia yang tidak berperikemanusiaan dapat dikawal dan dibanteras. Sesungguhnya, habitat haiwan liar patut diberi tempat untuk menjalani kehidupan bersama dengan manusia di bumi Tuhan yang fana ini. Bertindaklah sebelum semuanya terlambat bak kata peribahasa Melayu ‘nasi sudah menjadi bubur’. Izinkan saya menutup bicara ucapan saya dengan serangkap pantun.
Terbenam mentari pada waktu senja,
        Indah sekali dipandang mata;
Menyusun jari pada akhir bicara,
        Silap dan salah maaf dipinta.

No comments:

Post a Comment