Saturday, February 20, 2021

NOVEL SBE DAN JMJ

Novel Jendela Menghadap Jalan dan Songket Berbenang Emas: Panduan Jawapan

1. Berdasarkan sebuah novel yang telah anda pelajari, huraikan dua keistimewaan watak utama sehingga menimbulkan perasaan kagum dalam diri pembaca.


          Novel yang saya kaji ialah Songket Berbenang Emas karya Khairuddin Ayip. Watak utama dalam novel ini ialah Dahlia.

          Keistimewaan watak utama sehingga menimbulkan perasaan kagum dalam diri pembaca ialah Dahlia seorang yang berhemah tinggi. Contohnya, Dahlia tidak membalas dengan kata-kata yang kasar atau kesat apabila Mak Aton memaki hamun dan memfitnahnya sebagai perempuan yang tidak baik.

          Keistimewaan watak utama yang seterusnya ialah Dahlia seorang yang bertanggungjawab. Dahlia bersedia untuk menjaga adik bongsunya , Anggerik dan adik-adiknya yang lain sepanjang ibunya menerima rawatan di hospital kerana dia sedar akan tanggungjawabnya sebagai anak sulung dalam keluarga.

          Keistimewaan watak utama yang lain ialah Dahlia seorang yang gigih. Contohnya, Dahlia gigih mengulang kaji pelajaran sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan STPM walaupun berhadapan dengan berbagai-bagai cabaran seperti  masalah emaknya yang sakit dan peristiwa tragis ayahnya yang dipatuk ular tedung.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

2. Pengarang sering mengemukakan pelbagai nilai kemanusiaan dalam novel untuk dijadikan penduan kepada pembaca.

Berdasarkan sebuah novel yang telah anda pelajari, huraikan dua nilai kemanusiaan yang boleh dijadikan panduan kepada pembaca.


          Novel yang saya kaji ialah Songket Berbenang Emas karya Khairuddin Ayip. Banyak nilai kemanusiaan yang diutarakan oleh pengarang dalam novel ini.

          Dua nilai kemanusiaan yang boleh dijadikan panduan kepada pembaca ialah nilai belas kasihan. Contohnya, Tauke Lim bersimpati terhadap nasib Embong yang berhadapan dengan pelbagai masalah, iaitu masalah kesihatan isterinya, masalah anak lelaki tunggalnya yang menjadi kutu rayau, dan masalah ibu mentuanya yang bersikap prejudis terhadap dirinya sekeluarga.

          Nilai kemanusiaan seterusnya yang boleh dijadikan panduan kepada pembaca ialah nilai keberanian. Contohnya, Dahlia bertindak berani dengan terjun ke dalam sungai yang berarus deras dan berkeladak semata-mata untuk menyelamatkan Said yang lemas.

     Nilai kemanusiaan seterusnya ialah nilai bertanggungjawab. Contohnya, Dahlia bertanggungjawab menjaga adik-adiknya sepanjang ibunya mendapat rawatan di hospital dan semasa ayahnya keluar bekerja mencari nafkah.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

3. Berdasarkan dua buah novel yang anda kaji, huraikan satu persoalan kasih sayang yang terdapat dalam setiap novel tersebut.


          Novel yang saya kaji ialah Jendela Menghadap Jalan karya Ruhaini Matdarin dan Songket Berbenang Emas karya Khairuddin Ayip. Banyak persoalan kasih sayang yang dikemukakan oleh pengarang dalam kedua-dua buahnovel tersebut.

          Persoalan kasih sayang yang terdapat dalam novel Jendela Menghadap Jalan ialah kasih sayang seorang anak terhadap ibunya. Contohnya, Lili hanya menurut kemahuan ibunya yang meminta dia bercuti di kampung halaman ibunya di Kampung Sentosa walaupun pada awalnya Lili agak keberatan.

             Persoalan kasih sayang yang terpat dalam novel Songket Berbenang Emas pula ialah kasih sayang seorang kakak terhadap adik-adiknya. Contohnya, Dahlia sanggup keluar dari asrama untuk menjaga adik-adiknya sepanjang ibunya mendapat rawatan di hospital. Dahlia juga bersedia mendengar keluhan Melati dan Mawar tentang perkara yang berlaku di sekolah mereka.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

4. Berdasarkan dua buah novel yang anda kaji, huraikan satu perwatakan watak utama yang terdapat dalam setiap novel tersebut.


Novel yang saya kaji ialah Jendela Menghadap Jalan karya Ruhaini Matdarin dan Songket Berbenang Emas karya Khairuddin Ayip.

          Watak utama dalam novel Jendela Menghadap Jalan ialah Lili. Lili merupakan seorang remaja yang baik hati. Contohnya, Lili telah memaafkan perbuatan Rafiq dan Haziq yang telah menculik dan mengurungnya di rumah usang berlantaikan buluh. Lili juga tidak mengambil sebarang tindakan terhadap mereka yang telah menculik dan menjadikannya sebagai tebusan.

          Watak utama dalam novel Songket Berbenang Emas ialah Dahlia. Dahlia merupakan seorang remaja yang sangat bertanggungjawab terhadap keluarganya. Dahlia bertanggungjawab menjaga makan minum ayah dan adik-adiknya sepanjang emaknya mendapat rawatan di hospital. Dahlia juga mengambil keputusan untuk keluar dari asrama dan menjaga adik-adiknya sementara ayahnya keluar bekerja mencari nafkah.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

5. Berdasarkan dua buah novel yang anda kaji, huraikan satu persoalan tanggungjawab   yang terdapat dalam setiap novel tersebut.


          Novel yang saya kaji ialah Jendela Menghadap Jalan karya Ruhaini Matdarin dan Songket Berbenang Emas karya Khairuddin Ayip. Terdapat banyak persoalan tanggungjawab dalam kedua-dua buah novel tersebut.

     Persoalan tanggungjawab yang terdapat dalam novel Jendela Menghadap Jalan ialah tanggungjawab terhadap seorang rakan. Contohnya, Danel seorang yang bertanggungjawab kerana telah menyelamatkan rakannya, iaitu Lili yang diculik dan dijadikan tebusan oleh Haziq dan Rafiq di sebuah pondok buruk di hujung kampung.

        Persoalan tanggungjawab yang terdapat dalam novel Songket Berbenang Emas pula ialah tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Contohnya, Embong yang hidup dalam kemiskinan tetap bertanggungjawab  menyara kehidupan keluarganya dengan mengambil upah menoreh getah dan memetik buah kelapa sawit. Dia juga sentiasa bertanggungjawab memastikan anak-anaknya mendapat pendidikan yang sempurna.


 -------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

6. Berdasarkan dua buah novel yang anda kaji, huraikan satu peristiwa yang menunjukkan permasalahan masyarakat   yang terdapat dalam setiap novel tersebut.


          Novel yang saya kaji ialah Jendela Menghadap Jalan karya Ruhaini Matdarin dan Songket Berbenang Emas karya Khairuddin Ayip. Terdapat beberapa peristiwa yang menunjukkan permasalahan masyarakat dalam kedua-dua buah novel tersebut.

          Berdasarkan novel Jendela Menghadap Jalan, peristiwa yang menunjukkan permasalahan masyarakat ialah masyarakat yang tidak bertanggungjawab. Contohnya, suami Cik Jah iaitu Pak Seman sering memukul Cik Jah. Dia juga sering berjudi sehingga melupakan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga.

           Sementara dalam novel Songket Berbenang Emas, peristiwa yang menunjukkan permasalahan masyarakat ialah masyarakat yang suka menghina orang lain. Buktinya, Mak Aton yang suka menghina Dahlia dan keluarganya disebabkan kemiskinan mereka. Mak Aton juga suka menabur fitnah tehadap Dahlia dengan mengatakan bahawa Dahlia sudah ditebuk tupai kerana lelaki datang ke rumahnya silih berganti.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

7. Berdasarkan dua buah novel yang anda kaji, huraikan satu pengajaran  yang terdapat dalam setiap novel tersebut.


Novel yang saya kaji ialah Jendela Menghadap Jalan karya Ruhaini Matdarin dan Songket Berbenang Emas karya Khairuddin Ayip. Banyak pengajaran yang dikemukakan oleh pengarang dalam kedua-dua buah novel tersebut

          Satu pengajaran yang terdapat dalam novel Jendela Menghadap Jalan ialah kita hendaklah mengamalkan kasih sayang dalam kehidupan seharian. Contohnya, Lili amat mengasihi ibu dan bapanya. Dia tidak membantah cadangan ibunya yang akan menghantarnya bercuti ke kampung kelahiran ibunya di Dungun, Terengganu walaupun hatinya begitu berat untuk berbuat demikian.

           Satu pengajaran yang terdapat dalam novel Songket Berbenang Emas pula ialah kita mestilah gigih dan tekun dalam menuntut ilmu. Contohnya, Dahlia gigih belajar tanpa mengenal erti jemu dan penat sebagai persediaannya untuk menghadapi peperiksaan STPM walaupun terpaksa berkorban masa, tenaga, dan tempat menuntut ilmu.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

8. Berdasarkan dua buah novel yang anda kaji, jelaskan satu peristiwa yang meninggalkan kesan mendalam kepada anda  yang terdapat dalam setiap novel tersebut.


          Novel yang saya kaji ialah Jendela Menghadap Jalan karya Ruhaini Matdarin dan Songket Berbenang Emas karya Khairuddin Ayip.

           Dalam novel Jendela Menghadap Jalan, peristiwa yang meninggalkan kesan mendalam kepada saya ialah sikap memaafkan kesalahan orang lain. Peristiwa ini memberikan kesan yang mendalam kepada saya kerana Lili sanggup memaafkan kesalahan yang dilakukan oleh Haziq dan Rafiq yang telah bertindak mengurung dan menjadikannya tebusan. Malahan Lili juga bersimpati terhadap nasib mereka berdua dan berharap agar mereka akan berubah.   

        Dalam novel Songket Berbenang Emas pula, peristiwa yang meninggalkan kesan mendalam kepada saya ialah sikap bertanggungjawab seorang bapa terhadap anak-anaknya. Peristiwa ini memberikan kesan yang mendalam kepada saya kerana Embong tetap tidak membenarkan anaknya, Dahlia berhenti sekolah untuk menjaga adik-adiknya. Sebagai bapa, Embong bertanggungjawab menyediakan pendidikan kepada mereka demi masa depan mereka yang cemerlang.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

9. Terdapat pelbagai masalah kehidupan yang ditonjolkan dalam novel yang anda pelajari.

Berdasarkan dua masalah kehidupan dalam sebuah novel yang anda kaji, berikan cara masalah tersebut dapat diselesaikan.


          Novel yang saya kaji ialah Jendela Menghadap Jalan karya Ruhaini Matdarin. Banyak masalah kehidupan yang dikemukakan oleh pengarang dalam novel ini.

               Antara masalah kehidupan yang terdapat dalam novel ini ialah masalah keganasan rumah tangga. Contohnya, Seman, iaitu suami Che Jah merupakan suami dan ayah yang tidak bertanggungjawab. Seman suka berjudi, berhutang, memukul anak dan minum arak. Masalah ini berjaya diselesaikan apabila Che Jah membuat laporan polis dan Seman berjaya ditangkap oleh pihak polis.

          Seterusnya, masalah kehidupan yang terdapat dalam  novel ini ialah masalah sosial yang menimpa remaja. Contohnya, Haziq dan Rafiq merupakan anak-anak Che Jah yang terlibat dengan masalah sosial akibat tersalah memilih kawan. Hal ini menyebabkan mereka diberhentikan sekolah. Namun, masalah Haziq dan Rafiq ini berjaya diselesaikan apabila mereka berdua kembalike sekolah untuk menduduki peperiksaan PMR.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

10. Terdapat pelbagai masalah kehidupan yang ditonjolkan dalam novel yang anda pelajari.

Berdasarkan dua masalah kehidupan dalam sebuah novel yang anda kaji, berikan cara masalah tersebut dapat diselesaikan.



Novel yang saya kaji ialah Songket Berbenang Emas karya Khairuddin Ayip. Banyak masalah kehidupan yang dikemukakan oleh pengarang dalam novel ini.

            Antara masalah kehidupan yang terdapat dalam novel ini ialah masalah kemiskinan hidup sebuah keluarga. Contohnya, Embong sekeluarga hidup dalam kemiskinan. Hal ini menyebabkan Embong menghadapi masalah untuk membeli bekalan makanan bagi menampung keluarganya. Masalah ini dapat diselesaikan apabila Tauke Lim membenarkan Embong berhutang di kedainya. Tauke Lim juga menghulurkan RM300 kepada Dahlia kerana dapat melanjutkan pelajaran ke Jepun.

         Seterusnya, masalah kehidupan yang terdapat dalam novel ini ialah masalah penghinaan terhadap orang lain. Contohnya, Nek Kiah sangat membenci keluarga Dahlia. Dia juga sering menghina keluarga Dahlia. Masalah ini dapat diselesaikan apabila Nek Kiah terlantar sakit sehingga menimbulkan keinsafan kepada Nek Kiah atas sikapnya selama ini.


PROSA TRADISIONAL 1

 

Soalan 2(c) - Petikan Prosa Tradisional

 

Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

 

Maka titah Seri Betara, “Hai Patih Gajah Mada, segeralah suruh hantar ke Melaka.” Maka Patih Gajah Mada pun berlengkap sebuah perahu dengan sepuluh orang sertanya yang pergi. Setelah sudah lengkap maka Kertala Sari pun belayarlah.

Berapa lamanya maka Kertala Sari pun sampailah ke Melaka. Maka ia pun singgah di luar kota pada kampung segala Jawa. Maka Kertala Sari pun menyamarkan dirinya kepada segala Jawa yang banyak itu. Maka Kertala Sari pun sedia kala berjalan keluar masuk bermain-main segenap kampung orang kaya-kaya dan saudagar.

Setelah diketahuinya, maka Kertala Sari pun masuk menyamar pada orang Patih Kerma Wijaya. Tatkala itu Kertala Sari pun masuk seorangnya mengikut Patih Kerma Wijaya pergi menghadap sama dengan Jawa yang banyak itu. Maka oleh Kertala Sari segala hulubalang yang menghadap sama-sama itu dilihatnya seorang kepada seorang. Maka Kertala Sari pun pandang pada Laksamana; maka ia pun fikir dalam hatinya, “Dialah gerangan hulubalang Ratu Melaka yang bernama Laksamana itu. Jikalau demikian lakunya, sungguhlah ia dapat membunuh bapaku, kerana ia penjurit besar lagi kepetangan.”

 

 

 (Dipetik daripada “Kepimpinan Melalui Teladan”

dalam antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul, Tingkatan 4

Dewan Bahasa dan Pustaka)

 

 

 

 

 

 

 

(i)                                   Berikan maksud rangkai kata singgah di luar kota.                                     [2 markah]

                                                                                                     

(ii)                    Apakah tindakan Kertala Sari setelah sampai ke Melaka?

                                                                                                                       [3 markah]  

       

 

(iii)                  Laksamana ialah orang yang membunuh bapa Kertala Sari.

Jika anda Kertala Sari, bagaimanakah anda mahu mengalahkan Laksamana?   

                                                                                                                                        [3 markah] 

 

Friday, February 12, 2021

TEKNIK MENJAWAB SOALAN RUMUSAN 2020

 


Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang faedah-faedah hidup berjiran dan cara-cara memupuk semangat kejiranan. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Kemakmuran sesebuah negara amat bergantung pada kemantapan dan kutuhan hubungan dalam setiap lapisan masyarakat. Hubungan yang erat antara jiran dalam masyarakat merupakan ciri masyarakat yang berkualiti. Semngat kejiranan dapat memainkan peranan yang amat penting dalam menjana kehidupan setempat yang aman dan harmoni.

Jiran ialah orang yang tinggal paling hampir dengan tempat kediaman kita. Segala perkara yang berlaku pada diri kita terlbih dahulu diketahui oleh jiran. Oleh itu, jiran merupakan orang yang paling mudah memberikan petolongan pada saat kita ditimpa bencana. Pertolongan seperti inilah yang amat diperlukan pada masa kecemasan sementara menunggu bantuan pihak berwajib atau sanak-saudara. Jiran yang berbeza latar belakang pekerjaan, pendidikan, agama dan budaya akan memberikan manfaat yangbbesar kepada kita. Hal ini kerana mereka memiliki pengetahuan dan kemahiran yang boleh kita kongsi bersama-sama. Di samping itu, jiran yang sepakat dan bersatu padu mampu menjamin keselamatan setempat daripada sebarang ancaman seperti kecurian, penyalahgunaan dadah dan budaya samseng.

Segala perkara yang mencemarkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat dapat dicegah dengan semangat kerjasama dan keprihatinan sesama jiran. Gejala sosial seperti khalwat, penderaan kanak-kanak dan kes-kes jenayah dapat dibendung jika jiran memainkan peranan dan mengambil inisiatif melaporkannya kepada pihak berkuasa. Kita perlu bertindak sekalipun gejala tersebut tidak menimpa ahli keluarga sendiri. Setiap ahli masyarakat seharusnya beringat sebelum terjadi sesuatu yang buruk, bak kata pepatah, ‘sediakan payung sebelum hujan’. Jiran yang hidup dalam suasana bekerjasama dan mengambil berat antara satu sama lain sudah semestinya dapat menjana program yang menyumbang kebajikan kepada masyarakat setempat. Rahsia kejayaan program ini terletak pada persepakatan dan persefahaman yang mantap sesama jiran.

Perpaduan ialah kunci kemakmuran dan kesejahteraan negara. Tanpa perpaduan, negara akan berada dalam keadaan kucar-kacir dan masyarakat tidak lagi dapat hidup dalam keadaan aman dan damai. Perpaduan dapat dilahirkan melalui hubungan baik sesama jiran. Jiran yang baik ialah jiran yang berjaya memupuk semangat tolenrasi, saling mempercayai dan mengamalkan perkongsian pintar sesama mereka. Sekiranya hal ini diabaikan, maka lambat-laun akan tercetuslah bibit-bibit permusuhan yang akhirnya membawa kepada perbalahan dan perpecahan.

Kesimpulannya, jelaslah kepada kita betapa penting dan besarnya peranan jiran dalam menentukan kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara. Hanya negara yang makmur dan sejahtera sahaja yang akan dapat meneruskan agenda pembangunan yang lebih gemilang pada masa akan datang.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada Kejiranan, Cara Kekalkan

Hubungan Baik, oleh Ahmad Tarmizi Zakaria,

Utusan Malaysia, Jun 2003)

 

A: STRATEGI MENGHASILKAN ISI TERSURAT

STRATEGI 1

Baca dan fahamkan petikan rumusan yang diberi sekurang-kurangnya 2 kali,

· Bacaan kali pertama untuk dapatkan gambaran keseluruhan petikan.

(masa dicadangkan 2 minit)

· Bacaan kali kedua untuk dapatkan pemahaman

(masa dicadangkan 5 minit)

 

STRATEGI 2 :

Tentukan kata tugas dalam soalan (Fokus 1 dan Fokus 2) dan gariskan perkataan-perkataan tersebut.

· Fokus 1 = Isi tersurat

· Fokus 2 = Isi tersirat

 

Sebagai contoh dalam petikan contoh 1 Fokus 1 iaitu faedah-faedah hidup berjiran merupakan fokus untuk isi tersurat manakala Fokus 2 iaitu cara-cara memupuk semangat kejiranan pula merupakan fokus untuk isi tersirat.

CONTOH 1

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang faedah-faedah hidup berjiran [ISI TERSURAT] dan cara-cara memupuk semangat kejiranan.

[ISI TERSIRAT] Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

STRATEGI 3

Baca perenggan 1 petikan yang diberi sekali lagi dan gariskan isi-isi tersurat untuk menjawab Fokus 1 . Kata tugas yang diberikan dalam arahan soalan iaitu faedah-faedah hidup berjiran.

Kemakmuran sesebuah negara amat bergantung pada kemamtapan dan keutuhan hubungan dalam setiap lapisan masyarakat. Hubungan yang erat antara jiran dalam masyarakat merupakan ciri masyarakat yang berkualiti. Semangat kejiranan dapat memainkan peranan yang amat penting dalam (menjana kehidupan setempat yang aman dan harmoni).

[ISI 1]

Baca perenggan 2 petikan yang diberi sekali lagi dan gariskan isi-isi tersurat untuk menjawab Fokus 1 . Kata tugas yang diberikan dalam arahan soalan iaitu faedah-faedah hidup berjiran.

Jiran ialah orang yang tinggal paling hampir dengan tempat kediaman kita. Segala perkara yang berlaku pada diri kita terlebih dahulu diketahui oleh jiran. Oleh itu, jiran merupakan orang yang paling (mudah memberikan pertolongan pada saat kita ditimpa bencana) [ISI 2]. Pertolongan seperti inilah yang amat diperlukan pada masa kecemasan sementara menunggu bantuan pihak berwajib atau sanak-saudara. (Jiran yang berbeza latar belakang) pekerjaan, pendidikan, agama dan budaya akan (memberikan manfaat yang besar kepada kita)[ISI 3]. Hal ini kerana (mereka memiliki pengetahuan dan kemahiran yang boleh kita kongsi bersama-sama).[ISI 3-PILIHAN 2] Di samping itu, jiran yang sepakat dan bersatu padu (mampu menjamin keselamatan setempat) [ISI 4] daripada sebarang ancaman seperti kecurian, penyalahgunaan dadah dan budaya samseng.

Baca perenggan 3 petikan yang diberi sekali lagi dan gariskan isi-isi tersurat untuk menjawab Fokus 1 . Kata tugas yang diberikan dalam arahan soalan iaitu faedah-faedah hidup berjiran.

(Segala perkara yang mencemarkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat dapat dicegah)[ISI 5] dengan semangat kerjasama dan keperihatinan seama jiran. (Gejala sosial) seperti khalwat, penderaan kanak-kanak dan kes-kes jenayah (dapat dibendung)[ISI 6] jika jiran memainkan peranan dan mengambil inisiatif melaporkannya kepada pihak berkuasa. Kita perlu bertindak sekalipun gejala tersebut tidak menimpa ahli keluarga sendiri. Setiap ahli masyarakat seharusnya beringat sebelum terjadi sesuatu yang buruk, bak kata pepatah, ‘sediakan payung sebelum hujan’. Jiran yang hidup dalam suasana bekerjasama dan mengambil berat antara satu sama lain sudah semestinya (dapat menjana program yang menyumbang kebajikan kepada masyarakat setempat).[ISI 7] Rahsia kejayaan program ini terletak pada persepakatan dan persefahaman yang mantap sesama jiran.

 

Baca perenggan 4 petikan yang diberi sekali lagi dan gariskan isi-isi tersurat untuk menjawab Fokus 1 . Kata tugas yang diberikan dalam arahan soalan iaitu faedah-faedah hidup berjiran.

Perpaduan ialah kunci kemakmuran dan kesejahteraan negara. Tanpa perpaduan, negara akan berada dalam keadaan kucar-kacir dan masyarakat tidak lagi dapat hidup dalam keadaan aman dan damai. (Perpaduan dapat dilahirkan melalui hubungan baik sesama jiran).[ISI 8] Jiran yang baik ialah jiran yang berjaya (memupuk semangat toleransi, saling mempercayai dan mengamalkan perkongsian pintar sesama mereka).[ISI 9] Sekiranya hal ini diabaikan, maka lambat-laun akan tercetuslah bibit-bibit permusuhan yang akhirnya membawa kepada perbalahan dan perpecahan.

Baca perenggan 5 petikan yang diberi sekali lagi dan gariskan isi-isi tersurat untuk menjawab Fokus 1 . Kata tugas yang diberikan dalam arahan soalan iaitu faedah-faedah hidup berjiran.

Kesimpulannya, jelaslah kepada kita betapa penting dan besarnya peranan jiran dalam (menentukan kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara)[ISI 10] Hanya negara yang makmur dan sejahtera sahaja yang akan dapat meneruskan agenda pembangunan yang lebih gemilang pada masa akan datang.

STRATEGI 4

Senaraikan FOKUS 1 (isi-isi tersurat) yang terdapat dalam petikan tersebut dan kira jumlah perkataannya.

Isi Tersurat : faedah-faedah hidup berjiran

1. Dapat menjana kehidupan setempat yang aman dan harmoni [ 8 ]

2. Mudah memberikan pertolongan pada saat kita ditimpa bencana. [ 8 ]

3. Jiran yang berbeza latar belakang memberikan manfaat yang besar kepada kita. [ 11 ]

Atau

Dapat berkongsi pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki mereka [ 8 ]

4. Mampu menjamin keselamatan setempat. [ 4 ]

5. Dapat mencegah perkara yang mencemarkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat. [ 9 ]

6. Gejala sosial dapat dibendung. [4 ]

7. Dapat menjana program yang menyumbang kabijakan kepada masyarakat setempat. [ 9 ]

8. Melahirkan perpaduan sesama jiran. [ 4 ]

9. Memupuk semangat toleransi, saling mempercayai dan mengamalkan perkongsian pintar sesama mereka. [ 11 ]

10. Menentukan kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara. [ 6 ]

STRATEGI 5

Tulis isi-isi tersurat tersebut menjadi sebuah perenggan yang lengkap.

PERINGATAN:

1. Maksimum isi untuk fokus 1 ialah 6 isi. Oleh itu anda tidak perlu memasukkan kesemua isi kerana jumlah perkataan yang agak terhad. Adalah dicadangkan jumlah perkataan untuk fokus 1 ialah 60 – 65 patah perkataan

2. Anda perlu menulis kata tugas untuk Fokus 1 dalam ayat pertama perenggan isi tersurat.

CONTOH:

Antara faedah hidup berjiran ialah dapat menjana kehidupan setempat yang aman dan harmoni. Selain mudah memberikan pertolongan pada saat kita ditimpa bencana, kita dapat berkongsi pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki mereka. Hidup berjiran mampu menjamin keselamatan setempat, dapat membendung gejala sosial serta melahirkan perpaduan sesama jiran. [ 46 patah perkataan ]

B : STRATEGI MENGHASILKAN ISI TERSIRAT

STRATEGI:

1. Isi tersirat dibina berdasarkan Fokus 2 soalan. Isi ini tidak terdapat dalam petikan

yang diberikan. Contoh dalam Petikan 1 Fokus 2 ialah: cara-cara memupuk semangat

kejiranan.

 

2. Isi tersirat dibina melalui tafsiran dan analisis yang mendalam berdasarkan isi tersurat

dan fokus 2 dalam arahan soalan.

 

3. Binalah perenggan isi tersirat dengan memasukkan sekurang-kurangnya 2 isi tersirat.

4. Kata tugas untuk Fokus 2 perlu dimasukkan dalam ayat pertama perenggan isi tersirat.

STRATEGI 1

Kenal pasti dan senaraikan isi tersirat berdasarkan fokus 2 iaitu cara-cara memupuk semangat kejiranan.

CONTOH :

1. Mengadakan majlis gotong royong / aktiviti kemasyarakatan / bersedia memberi

pertolongan / tolong menolong [ konsep: bekerjasama ]

 

2. Mengadakan rumah terbuka / majlis keraian / ziarah menziarahi / perihatin atau ambil

berat hal ehwal jiran / bertanya kabar / pelihara hubungan kejiranan / bertegur sapa /

saling mengenali [ konsep : Interaksi tidak formal ]

 

3. Membuat rondaan bersama pada waktu malam / rukun tetangga.

4. Mengadakan tabung kebajikan / kursus/ kempen kejiranan / tabung khairat .

5. Mengadakan jawatankuasa kejiranan setempat / tubuhkan sektor rukun tetangga /

persatuan belia / JKKK [ Konsep : Interaksi formal ]

 

6. Mengadakan hari keluarga / sukaneka / riadah / pertandingan

7. Mengikis sikap negatif dalam diri individu / jangan mementingkan diri / tidak sombong /

berbaik sangka dengan jiran .

 

 

 

 

STRATEGI 2

Membina perenggan isi tersirat.

CONTOH PERENGGAN ISI TERSIRAT

Antara cara memupuk semangat kejiranan ialah dengan mengadakan majlis gotong-royong dan mengadakan jawatankuasa kejiranan setempat. Selain itu, budaya ziarah-menziarahi juga mampu memupuk semangat kejiranan. [ 23 patah perkataan ]

C : STRATEGI MENGHASILKAN PENDAHULUAN RUMUSAN.

STRATEGI :

1. Fahami maksud keseluruhan petikan yang diberikan.

2. Kenal pasti fokus 1 petikan tersebut kerana berdasarkan fokus 1 itulah penfahuluan rumusan karangan dapat kita hasilkan.

3. Anda perlu melakukan pengubahsuaian supaya ayat yang anda bina itu menjadi ayat anda sendiri.

4. Tulis pendahuluan rumusan dalam satu ayat sahaja.

5. Mulakan ayat pendahuluan dengan ; Petikan membincangkan / membicarakan …….

 

CONTOH PENDAHULUAN:

Fokus 1 : Faedah-faedah hidup berjiran

Pendahuluan:

Petikan membincangkan peranan jiran dalam kehidupan bermasyarakat di negara kita.

atau

Petikan membincangkan kebaikan / kepentingan / kelebihan / manfaat / hidup berjiran dalam masyarakat

D : STRATEGI MENGHASILKAN KESIMPULAN RUMUSAN.

1. Kaji semula fokus soalan sama ada Fokus 1 dan Fokus 2.

2. Kesimpulan rumusan hendaklah berdasarkan fokus soalan tersebut.

3. Kesimpulan merupakan cadangan / harapan anda terhadap fokus tersebut berserta kesan atau akibat cadangan / harapan tersebut.

4. Anda juga perlu menghubungkan antara cadangan / harapan dengan kesan atau akibat cadangan dengan menggunakan kata hubung, ‘agar, supaya, demi’.

5. Gunakan penanda wacana atau rangkai kata, frasa yang menunjukkan bahawa ayat tersebut merupakan ayat kesimpulan.

Contoh : Kesimpulannya, ….Justeru, …

 

 

 

 

CONTOH KESIMPULAN:

1. Kesimpulannya, semua pihak perlu menghargai jiran agar kehidupan yang sejahtera dapat diwujudkan

Atau

 

2. Justeru, semua pihak perlu menjalankan tanggung jawab mereka dalam masyarakat dengan berkesan agar sebuah komuniti yang sejahtera dapat diwujudkan.

CONTOH PETIKAN RUMUSAN YANG LENGKAP

Petikan membincangkan kebaikan hidup berjiran dalan sesebuah masyarakat.

Antara faedah hidup berjiran ialah dapat menjana kehidupan setempat yang aman dan harmoni. Selain mudah memberikan pertolongan pada saat kita ditimpa bencana, kita dapat berkongsi pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki mereka. Hidup berjiran mampu menjamin keselamatan setempat, serta dapat membendung gejala sosial dan melahirkan perpaduan sesama jiran. Hidup berjiran juga dapat mencegah perkara yang mencemarkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat.

Antara cara memupuk semangat kejiranan ialah dengan mengadakan majlis gotong-royong dan mengadakan jawatankuasa kejiranan setempat. Selain itu, budaya ziarah-menziarahi juga mampu memupuk semangat kejiranan.

Kesimpulannya, semua pihak perlu menghargai jiran agar kehidupan yang sejahtera dapat diwujudkan.

[ 100 patah perkataan]

SOALAN KBAT BM KOMSAS RAMALAN 2020

 

Cerpen Jaket Kulit Kijang(Tingkatan 4)

1. Langkah-langkah pihak kerajaan untuk mengatasi masalah warga emas yang hidup gelandangan?

........................................................................................................................................................

 

2.Cara untuk menaikkan nama negara dalam bidang pelancongan

........................................................................................................................................................


3.Langkah-langkah yang patut dilakukan sebelum melancong ke luar negara.

........................................................................................................................................................


 

Cerpen Munsyi

1. Cara-cara untuk meningkatkan semangat jati diri remaja sekarang?

........................................................................................................................................................


2.Langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengelakkan Peristiwa 13 Mei  berulang kembali?

........................................................................................................................................................


 

Drama Bukan Gila(Tingkatan 5)

1.Tindakan-tindakan menangani masalah kemurungan dalam kalangan murid sekolah?

........................................................................................................................................................


 

2.Cara-cara membantu rakan yang sakit di sekolah

........................................................................................................................................................


 

3. Ciri-ciri ibu bapa yang bertanggungjawab

........................................................................................................................................................

 

4. Cadangkan untuk menangani tekanan yang dihadapi oleh mereka dan alasannya.   

........................................................................................................................................................


2.Langkah-langkah pihak sekolah bagi menangani masalah ponteng?

........................................................................................................................................................


Prosa Tradisional Kepimpinan Melalui Teladan (Tingkatan 4)

1.Perbuatan ibu Kertala Sari menceritakan kisah kematian suaminya kepada Kertala Sari adalah wajar.

........................................................................................................................................................


 

2. Kita perlu melakukan perancangan sebelum melaksanakan sesuatu pekerjaan?

........................................................................................................................................................


 

3.Langkah yang boleh dilakukan untuk mengelakkan masalah kecurian daripada berleluasa?

........................................................................................................................................................


4.Kesan wujudnya keamanan di dalam negara?

........................................................................................................................................................


 

5.Baginda menitahkan kegiatan kecurian itu diatasi dengan segera?

........................................................................................................................................................


6.Tidakan yang wajar dilakukan oleh Temenggung untuk menangani masalah kecurian .

........................................................................................................................................................


7.Sebab seseorang itu sanggup menggadaikan nyawanya untuk kebahagiaan orang lain?

........................................................................................................................................................


 

8.Sebab Patih Gajah Mada menyempurnakan pesanan ayah Kertala Sari kepada Kertala Sari.

........................................................................................................................................................


 

9. Adakah anda akan bertindak membahagikan harta tersebut kepada orang lain

........................................................................................................................................................


........................................................................................................................................................


10.Maka segala harta itu pun habislah, suatu pun tiada diambil oleh Laksamana.” Pada pendapat anda, mengapakah Laksamana berbuat demikian

........................................................................................................................................................


 

11. Kelebihan bersedekah :

........................................................................................................................................................


 

12 Cara mahu mengalahkan Laksamana:

........................................................................................................................................................


 

Prosa Tradisional Burung Terbang Dipipiskan Lada (Tingkatan 5)

1.Tindakan Tun Perak mengarahkan orang-orangnya membawa anak isteri bersama-sama untuk berperang?

........................................................................................................................................................


........................................................................................................................................................


 

2.Tindakan-tindakan untuk membalas jasa Sidi Arab yang telah berjaya membunuh Cau Pandan?

........................................................................................................................................................


3.Kesan-kesan buruk kepada negara sekiranya pemimpin tidak bermuafakat?

........................................................................................................................................................



 

4.Kepentingan khidmat pakar dalam sistem pertahanan sesebuah negara?

........................................................................................................................................................


 

5.Tindakan sesuai yang boleh diambil jika rakyat mengadukan pelbagai masalah kepada anda.

........................................................................................................................................................


6.Ikhtiar seseorang perintah untuk mengelakkan negaranya terlibat dalam peperangan.

........................................................................................................................................................


 

7.Sesebuah negara perlu mempunyai pemimpin yang bijaksana dan adil?

........................................................................................................................................................


 

8.Kesan buruk jika berlakunya peperangan dalam sesebuah negara?

........................................................................................................................................................


 

9. Sikap bertanya wajar diamalkan.

........................................................................................................................................................


 

10.Cara-cara yang perlu dilakukan untuk mengukuhkan ikatan perkahwinan setiap     pasangan

........................................................................................................................................................


11.Raja sering diagung-agungkan oleh rakyat.

........................................................................................................................................................


 

12.Terima atau tidak tawaran untuk membunuh Laksamana

........................................................................................................................................................


........................................................................................................................................................


 

2.Segelintir remaja kini tidak menggunakan bahasa Melayu yang betul semasa berkomunikasi

........................................................................................................................................................


3. Peranan anda mengelakkan kemusnahan alam sekitar

........................................................................................................................................................


 

Sajak Sang Gembala Kuda

 

1.Langkah-lanhkah untuk memajukan sukan berkuda

........................................................................................................................................................



 

SAJAK SEJADAH RINDU

1.Kesan-kesan positif apabila seseorang itu menginsafi kesalahan yang telah dilakukan?


 

2.Taubat wajar dilakukan dalam kadar segera?


 


SAJAK KUDUP PERANG

1. Kita perlu menghargai jasa-jasa pahlawan.


 

SYAIR BIDASARI

1.Sebagai rakyat yang prihatin, apakah sumbangan anda kepada mangsa yang ditimpa bencana?


2. Persediaan yang perlu dilakukan untuk menghadapi musibah tidak disangka-sangka.


GURINDAM Puisi Tradisional(Gurindam Dua Belas) Fasal yang Ketiga

1. -Kebaikan-kebaikan memelihara tutur kata:

 

SYAIR BERBUAT ISTANA ZAMAN DAHULU

1.Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang dapat dilakukan


2. Ciri-ciri rumah yang selesa


 

3. Sesebuah istana dibina dalam keadaan yang mewah dan indah.


 

4.Apakah kepentingan-kepentingan memelihara bangunan lama


 

5.Punca-punca seni ukir kurang diminati oleh generasi muda:


 

 

RAMALAN BAHASA MELAYU 2020


TEMA & TAJUK-TAJUK PILIHAN SOALAN PERCUBAAN 2020 KERTAS 2

 ━━━━━━━━━━━━━━━━━━━

RUMUSAN

 

1. MELESTARIKAN PERMAINAN TRADISIONAL

2. REMAJA BERHEMAH TINGGI

3. MODAL INSAN YANG BERGUNA

4. USAHAWAN BERJAYA

5. PERANTI ELEKTRONIK

6. USAHA MENINGKATKAN SEMANGAT PATRIOTIK

7. KEBAIKAN BERSARAPAN 

8. BULI SIBER

9. MENINGKATKAN PRESTASI AKADEMIK

10. KELEBIHAN MENGUASAI LEBIH DARIPADA SATU BAHASA

━━━━━━━━━━━━━━━━━━━

CERPEN / DRAMA (2b)

 

1. MUNSYI

2. GERHANA MANUSIA

3. JAKET KULIT KIJANG

4. KADUK, AYAM DAN RAJA

━━━━━━━━━━━━━━━━━━━

PROSA KLASIK (2c)

 

1. BURUNG TERBANG DIPIPISKAN LADA

2. KEPIMPINAN MELALUI TELADAN

 ━━━━━━━━━━━━━━━━━━━

PUISI TRADISIONAL / SAJAK (2d)

 

1. SEJADAH RINDU

2. KUDUP PERANG

3. GURINDAM DUA BELAS

4. BEBERAPA PETUA HIDUP

 ━━━━━━━━━━━━━━━━━━━

TATABAHASA (3b)


1. POLA AYAT

2. CERAKINKAN AYAT

3. BINA AYAT TANYA

4. JENIS AYAT PERINTAH

5. LENGKAPKAN AYAT

6. SUBJEK PREDIKAT

━━━━━━━━━━━━━━━━━━━

TATABAHASA - peribahasa (3e)


1. SAMA MAKSUD @ HAMPIR SAMA

2. SESUAI DENGAN MAKNA YANG DIBERI

3. TIGA PERIBAHASA YANG MENGGAMBARKAN SITUASI DALAM PETIKAN

4. BERDASARKAN SITUASI DALAM SETIAP AYAT

━━━━━━━━━━━━━━━━━━━

NOVEL (4a)


1. 2 NILAI KEMANUSIAAN

2. TEMA

3. 2 PERISTIWA SEBAGAI BUKTI KETABAHAN WATAK UTAMA

4. TEKNIK PERCERITAAN

5. 2 UNSUR SUSPENS

6. 2 CONTOH KECEKALAN DAN KEGIGIHAN

7. 2 NILAI KASIH SAYANG

8. 2 PERISTIWA YANG MENIMBULKAN KEKAGUMAN PEMBACA

9. SINOPSIS

━━━━━━━━━━━━━━━━━━━

NOVEL (4b)


1. 1 PERISTIWA YANG MENJADI IKTIBAR

2. 1 PERISTIWA YANG MENGGAMBARKAN KASIH SAYANG KELUARGA

3. 1 PERISTIWA MENARIK DALAM PERKEMBANGAN CERITA (PLOT)

4. KONFLIK

5. 1 PERISTIWA BERKAITAN TEMA

6. 1 CONTOH AMANAH

7. WAJARKAH PENGARANG MENGAKHIRI CERITA SEPERTI YANG TERDAPAT DALAM SETIAP NOVEL? BERIKAN ALASAN ANDA.

8. PLOT PELERAIAN

9. 1 NILAI BERKAITAN SIKAP BERTANGGUNGJAWAB

10. 1 PERISTIWA MENARIK PADA BAHAGIAN PERMULAAN. BERIKAN ALASAN ANDA.

11. 1 PERISTIWA BERKAITAN PENGAJARAN KEGIGIHAN TERHADAP PEMBACA

━━━━━━━━━━━━━━━━━━━



Tuesday, February 2, 2021

KARANGAN 1 - ROKOK ELEKTRONIK

 

Huraikan pendapat anda tentang langkah-langkah untuk membanteras penggunaan rokok elektronik. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan

A= pendidikan di sekolah

B= kesedaran masyarakat

C= penguatkuasaan undang-undang

Merokok membahayakan kesihatan. Belakangan ini, penggunaan rokok elektronik semakin popular dalam kalangan masyarakat. Banyak pengguna rokok tegar beralih kepada penggunaan rokok elektronik, terutama pengguna yang berhasrat untuk berhenti merokok. Mereka beranggapan bahawa penggunaan rokok elektronik mampu untuk mengawal ketagihan rokok. Namun begitu, belum ada kajian terperinci yang mengatakan bahawa penggunaan rokok elektronik adalah selamat. Oleh itu, pelbagai langkah harus diambil bagi membanteras penggunaan rokok elektronik.

Antara langkah untuk membanteras penggunaan rokok elektronik adalah melalui pendidikan di sekolah. Murid-murid perlu lebih awal didedahkan tentang bahaya rokok dan rokok elektronik. Pihak sekolah boleh mengadakan ceramah motivasi untuk murid-murid. Penceramah jemputan haruslah terdiri daripada pihak polis atau pihak jabatan kesihatan yang sememangnya arif tentang bahaya rokok elektronik. Dengan itu, murid-murid akan mempunyai pengetahuan sekali gus menjauhi tabiat ini.

Selain itu, kesedaran masyarakat juga penting dalam membanteras penggunaan rokok elektronik. Banyak artikel tentang penggunaan rokok elektronik yang disiarkan dalam media cetak mahupun media elektronik yang boleh dijadikan sumber pengetahuan. Masyarakat harus tahu dan sedar akan kesan buruk penggunaan rokok elektronik kepada kesihatan. Rokok elektronik turut mengandungi bahan kimia seperti nikotin yang boleh menyebabkan ketagihan. Oleh itu, masyarakat haruslah banyak membaca tentang penggunaan rokok ini kerana khuatir akan menyumbang kepada masalah kesihatan untuk jangka masa panjang.

Seterusnya, penguatkuasaan undang-undang juga merupakan langkah untuk membanteras penggunaan rokok elektronik. Pihak kerajaan perlu mengehadkan umur minimum pengguna yang boleh menggunakan rokok elektronik, misalnya golongan remaja. Hukuman dan denda yang tinggi harus dikenakan kepada peniaga yang ingkar dan menjual rokok elektronik kepada remaja bawah umur. Dengan itu, rakyat akan lebih berjaga-jaga dan tidak sewenang-wenangnya menggunakan rokok tersebut, sekali gus membanteras penggunaan rokok elektronik ini.

Kesimpulannya, cegah sebelum parah kerana merokok boleh memudaratkan kesihatan. Kajian mengenai penggunaan rokok elektronik masih pada peringkat awal. Oleh itu, para pengguna disarankan agar mencari alternatif lain sekiranya mahu berhenti rokok dan mengawal ketagihan. Berjumpalah dengan pakar perubatan untuk mendapatkan rawatan yang betul.