Tuesday, April 9, 2019

KARANGAN - PERANAN ANAK MERINGANKAN BEBAN IBU BAPA

Peranan Anak-Anak Untuk Meringankan Beban Kewangan Keluarga          
                   Semua pihak telah maklum, bahawa sepanjang tahun 2008 hingga hari ini kos sara hidup keluarga adalah terlalu getir. Kegetiran tersebut berpunca daripada suasana ekonomi dunia yang suram. Peningkatan mendadak harga minyak, perubahan suhu dunia, bencana alam, dan krisis bahan makanan cukup menakutkan banyak pihak. Hingga ke hari ini suasana ekonomi dunia masih dalam suasana yang tidak menentu. Banjir besar yang melanda negara-negara pengeluar pertanian seperti Australia, India, dan Cina amat menakutkan kita. Walaupun Malaysia tidak begitu teruk terjejas, namun bahangnya mula dirasakan terutama sekali kepada keluarga yang berada pada garis kemiskinan dengan pendapatan isi rumah di bawah RM2500. Beban kewangan adalah antara fenomena yang teruk dirasai oleh golongan berkenaan. Sehubungan dengan itu, anak-anak hendaklah memahami akan susah payah ibu bapa dengan cara melakukan pelbagai prakarasa agar dapat mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggung.
Budaya berjimat cermat ialah senjata yang paling ampuh digunakan apabila berada dalam situasi begini. Langkah tersebut amatlah pragmatik dalam menghadapi suasana darurat dalam rumah tangga. Anak-anak diharap dapat memahami keadaan berat ringan yang ditanggung oleh ibu dan ayah. Prakarsa berjimat yang perlu dilakukan hendaklah bermula dengan amalan yang mudah-mudah terlebih dahulu seperti mengawal penggunaan keperluan asas terutama elektrik dan air. Rata-rata ibu bapa merungut tentang sikap anak-anak mutakhir ini yang dengan sewenang-wenangnya mencurahkan air sesuka hati dan membiarkan lampu dan kipas terpasang ketika tidak diperlukan. Memang benar budaya berjimat cermat itu lunak dibicarakan sebaliknya tidak mudah untuk dipraktikkan, namun segala-galanya adalah berpunca daripada sikap. Contoh yang paling mudah, jikalau kuasa elektrik dijimatkan dan utilitinya di bawah daripada paras RM20 justeru penggunaan domestik tersebut adalah percuama. Inilah sebenarnya hakikat amalan sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit.
Anak-anak yang baik adalah yang prihatin terhadap ibu bapa mereka. Setiap anak tentulah maklum akan kedudukan kewangan keluarga. Oleh itu, anak-anak perlulah menunjukkan rasa simpati terhadap jerih payah ibu bapa bekerja mencari rezeki. Fahamilah akan beratnya tanggungan bak kata peribahasa, seberapa berat mata memandang beratlah lagi bahu yang memikul. Anak-anak seperti ini sudah pasti akan mengamalkan sikap bersederhana dalam hal makan minum, pakaian dan berbelanja sekadar yang perlu sahaja. Amatlah malang sekali apabila ada anak-anak pada era sekarang seakan-seakan tidak mempunyai sikap belas kasihan kepada ibu bapa. Mereka mudah terdorong untuk menuruti gaya hidup rakan-rakan yang lebih mewah. Mereka mendesak dan meminta-meminta sesuatu yang diluar upaya ibu bapa seperti inginkan pakaian yang berjenama dan berselera untuk makan ditempat-tempat yang eksklusif. Sepatutnya, anak-anak hendaklah mengelak daripada sebarang pengaruh dan budaya bermewah-mewah kerana resam hidup, pipit sama pipit dan enggang sesama enggang masakan dapat terbang bersama.
Walaupun bebanan kos hidup semakin meningkat, tetapi dalam sebuah negara seperti Malaysia, peluang untuk memperoleh pendapatan tambahan sentiasa terbuka. Peluang-peluang kerja sambilan seperti pembantu kedai dan berniaga secara kecil-kecilan mudah diperoleh di mana-mana jua. Anak-anak yang baik sudah tentu dapat menghidu peluang tersebut dengan cara melakukan kerja sambilan sewaktu lepas sekolah dan lebih-lebih lagi dalam musim cuti sekolah. Perkara yang penting ialah ketepikan perasaan malu dan malas. Sebenarnya telah banyak teladan yang dapat dikuti daripada ikon-ikon tersohor seperti Tan Seri Syed Mokhtar Al Bukhary, Tan Seri Loh Boon Siew dan Dato Seri Tony Fernandez yang berjaya menjadi konglomerat dengan memulakan peniagaan dari bawah. Oleh itu, langkah yang terpenting setiap anak perlulah mempunyai wawasan dan jiwa yang cekal untuk berjaya ibarat kata tokoh tersohor Sukarno, “Gantunglah cita-citamu di bintang yang tinggi sekalipun kakimu masih mencecahi perlimbahan”.
Bak kata peribahasa, daun boleh melayang jauh getah tetap mengalir ke perdu ialah peribahasa yang menerangkan bahawa, anak-anak yang baik sentiasa kembali kepada induknya. Hal demikian amatlah mustahak dijadikan pedoman oleh anak-anak yang telah menginjak usia dewasa. Mereka ini hendaklah memperlihatkan sikap membalas budi dan bertanggungjawab terhadap ibu bapa. Setelah bertahun-tahun ibu bapa mendidik dan menjaga, apabila sayap sudah penuh kembalilah kepada induk untuk melihat susah payah mereka. Bantulah ibu bapa atas kadar yang terdaya. Janganlah apabila telah besar panjang, ibu bapa langsung tidak dijengah. Adik-adik yang masih kecil perlu dibantu. Malanglah sangat apabila kedapatan anak-anak yang sudah besar remaja tetapi masih bergantung kepada ibu bapa. Oleh itu, berpada-padalah dan sedarlah bahawa setiap kita mempunyai tanggungjawab untuk dilaksanakan. Janganlah bersikap kacang lupakan kulit, ibarat gemuk membuang lemak, cerdik membuang saudara.
Kaya atau miskin, susah mahupun senang adalah menjadi sunnatullah. Semuanya adalah sebahagian daripada ujian Tuhan terhadap hamba-Nya agar tidak mengenal putus asa. Demi berhadapan dengan cabaran kesusahan dan beban hidup, semua orang digalakkan berusaha dengan lebih gigih. Hidup ibarat roda, hari ini di bawah mungkin esok ke atas. Prakara yang paling penting ialah keinginan untuk berusaha dan tidak berputus asa. Peribahasa menyatakan, di mana-mana ada kemahuan di situ ada jalan. Sebagai anak yang sudah besar panjang perlulah mengorak langkah untuk memikirkan sebarang kerja yang dapat meringankan beban ibu bapa. Dalam pada itu, sebagai insan yang tidak putus daripada khaliq-Nya, kita perlu berdoa, bermuhasabah dan bermunajat agar diberikan taufik dan hidayah oleh Allah sehingga terbuka jalan dan ikhtiar. Yakinlah akan firman Allah dengan mafhumnya, “Tuhanmu tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan kaum itulah yang mengubah nasib mereka sendir”i. Insya-Allah jikalau kita gigih dan tidak putus memohon petunjuk-Nya, nescaya limpah kurnia dan restu Allah akan tetap bersama-sama kita.
Kesimpulannya, ketika berdepan dengan pelbagai cabaran sebagai kesan daripada krisis kewangan, setiap keluarga tidak boleh mati akal. Ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak dengan penuh tanggungjawab, manakala anak-anak perlu faham akan tanggungjawab mereka terhadap ibu bapa. Sikap saling menyokong dan saling memerlukan boleh menjadi jambatan untuk menzahirkan impian, “Rumahku Syurgaku”. Semoga dengan sikap yang sentiasa positif segala masalah akan usai juga akhirnya, ibarat sepanjang-panjang jalan berliku ada penghujungnya.

KARANGAN - PERANAN PELBAGAI PIHAK

Peranan Yang Perlu Dimainkan Untuk Melahirkan Remaja Yang Bersahsiah Mulia

Peranan Yang Perlu Dimainkan Untuk Melahirkan Remaja Yang Bersahsiah Mulia
Anak-anak ramaja atau lebih dikenali sebagai Gen Y mampu membangunkan sesebuah negara jika mereka mempunyai sahsiah yang mulia dalam diri mereka.Inilah kata-kata tokoh pemikir negara H.M. Tuah dalam majalah Dewan Masyarakat (Ogos 2018).  Perkara ini sering menjadi bahan diskusi dalam kalangan ibu bapa dan pemimpin negara. Pada era milineum yang kian mencabar ini, pelbagai episod sedih dan malang terpapar di dada-dada akhbar malah sering kita terdengar di corong-corong radio. Acap kali kita tersentak dengan masalah kebejatan akhlak remaja yang berlaku di negara kita. Ada yang sanggup merogol remaja wanita kerana perasaan cemburu butanya sehingga remaja malang tersebut meninggal dunia akibat dikelar oleh manusia yang bersifat kebinatangan ini. Isu-isu seumpama ini sudah tentu akan merencatkan ketamadunan bangsa malah akan turut mencemarkan imej negara di mata dunia. Masalah ini tidak seharusnya dipandang enteng. Langkah-langkah pencegahan perlu diambil demi kesejahteraan hidup sejagat dan menjamin pembangunan negara. Oleh itu, semua pihak haruslah memainkan peranan masing-masing kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi.
Salah peranan yang harus dilaksanakan oleh ibu bapa adalah dengan menjadi suri teladan kepada anak-anak kerana ibu bapa yang mencerminkan sahsiah peribadi anak-anak. Seseorang ibu bapa itu haruslah menunjukkan sikap yang positif kepada anak-anak. Sebagai contoh, ibu bapa perlulah bertutur dengan bahasa yang sopan, tidak bergaduh antara suami isteri di hadapan anak-anak, tidak merokok di hadapan anak-anak dan sebagainya. Dengan berbuat demikian, anak-anak pasti akan mengikut dan menjadikan ibu bapa mereka sebagai suri teladan kepada mereka. Hal ini persis dengan kata pepatah, “bagaimana acuan, begitulah kuihnya” yang membawa maksud seseorang anak akan meniru perangai dan kelakuan ibu bapa mereka. Dengan ini, usaha untuk merealisasikan pembangunan negara dapat dijayakan dengan lahirnya remaja yang bersahsiah mulia. Tegasnya, sahsiah mulia anak-anak dapat dibentuk melalui sahsiah ibu bapa. Jika ibu bapa itu bersikap baik anak-anak juga akan menjadi baik, manakala jika ibu bapa itu bersikap buruk, anak-anak juga akan turut bersikap buruk.
Jika ditinjau dari perspektif lain, ibu bapa juga dapat memainkan peranan mereka dengan memberikan dirikan agama yang mantap kepada golongan remaja. Allahyarham Tan Sri P. Ramli ada menegaskan bahawa irama dan lagu tidak dapat dipisahkan. Jika dipisahkan maka pincanglah karya tersebut. Hal ini bertepatan dengan konsep remaja dan didikan agama. Mereka akan pincang sekiranya ibu bapa memandang  soal memberikan didikan agama kepada remaja dengan sebelah mata. Pembentukan sahsiah remaja ini akan telus dan lancar jika mereka diberi didikan agama yang sempurna. Hal ini dikatakan demikian kerana dengan didikan agama yang utuh, anak-anak akan dapat membezakan antara intan dengan kaca, antara batu dengan permata serta mampu untuk menangkis segala hasutan manusia yang bertopengkan syaitan. Sebagai contoh, remaja akan sentiasa mengamalkan akhlak terpuji dan bertindak mengikut hukum syariat Islam mahupun mengikut kefahaman agama masing-masing tanpa paksaan atau menerima tempias masalah sosial yang kian membarah seperti kes pembuangan bayi. Sekiranya remaja memiliki nilai kegamaan yang teguh maka teguhlah pembangunan sesebuah negara itu. Jelaslah bahawa suntikan didikan agama ke dalam jiwa setiap remaja kerana kedangkalan didikan agama akan melahirkan remaja yang bersikap negatif dan tersasar dari landasan ibarat kapal hilang nakhoda, karam di tengah laut. izharlah bahawa ibu bapa memainkan peranan yang signifikan dalam membentuk sahsiah anak-anak.
Jika dilihat dari dimensi yang berbeza, pihak kerajaan juga berperanan dengan mengadakan satu kempen kesedaran yang efektif. Kempen kesedaran ini boleh menggunakan kecanggihan media massa yang wujud di negara ini untuk mencapai tahap keberksanan yang sebaik mungkin. Kempen seperti ‘Kami Prihatin’ dan ‘Budi Bahasa Budaya Kita’ haruslah dilakukan secara berterusan dan janganlah sekadar hangat-hangat tahi ayam kerana akan menyebabkan kerugian kepada negara kita sendiri. Kempen yang dirangka dengan baik dan dilaksanakan sepanjang tahun berupaya untuk membentuk satu kesedaran dalam  naluri masyarakat kita terutamanya remaja yang sememangnya dahaga akan kesedaran sejati itu. Kerajaan perlu mengadakan kempen-kempen kesedaran kepada masyarakat sama ada di desa ataupun di bandar-bandar besar yang sedang mengalami proses pembangunan ekonomi. Jika inisiatif untuk memupuk nilai-nilai murni dalam diri masyarakat tidak dilakukan oleh pihak kerajaan maka masyarakat pada hari ini akan terus hanyut dalam dunia modenisasi ini. Oleh itu, peranan pihak kerajaan untuk mengadakan kempen ini dapat memastikan golongan yang disandarkan harapan  pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara ini akan terus dibasahi sahsiah-sahsiah yang mulia segali gus dapat membangunkan negara pada masa hadapan.
Seperkara lagi, guru juga memainkan peranan yang penting dalam usaha melahirkan remaja yang bersahsiah mulia untuk membangunkan negara. Kebanyakan remaja kita merupakan golongan pelajar. Mereka banyak menghabiskan masa di sekolah selain di rumah. Guru juga merupakan ibu bapa mereka di sekolah. Jadi, tidak hairanlah jika dikatakan guru mampu membentuk sahsiah seseorang remaja itu. Guru perlu mengajar murid tentang kepentingan bersahsiah mulia. Guru tidak seharusnya leka dalam menjalankan obligasi mereka sebagai pendidik yang berkesan kerana setiap ajaran guru akan melekat dalam sukma pelajar dan akan diaplikasikan dalam kehidupan mereka. Sehubungan dengan itu, guru perlu menitikberatkan aspek pembentukan insan yang kamil dan holistik di dalam kelas di samping menekankan kepentingan berperibadi mulia untuk membangunkan  negara. Mata pelajaran Pendidikan Moral dan Pendidikan Agama Islam perlu diajar oleh guru-guru dengan pengisian aktiviti pembelajaran yang menarik dan berkesan supaya objektif yang dirancang tidak tersasar. Izharlah bahawa peranan yang dijalankan dengan penuh istiqamah ini sudah pasti dapat melahirkan remaja yang bersahsiah mulia.
Bukan itu sahaja, sebagai anggota masyarakat,  kitajuga  tidak harus mengambil langkahlepas tangan untuk memainkan peranan dalam pembentukan sahsiah remaja yang syumul. Kita seharusnya peka terhadap keruntuhan akhlak yang berlaku seperti gejala lepak, ponteng, penagihan dadah yang dilakukan oleh remaja kita. Ada masanya kita harusmenjaga tepi kain orang dalam  usaha untuk mewujudkan golongan remaja yang lebih baik seperti menegur tingkah laku yang kurang memuaskan serta melaporkan gejala sosial yang serius kepada pihak yang sepatutnya agar  hal ini tidak menjadi kudis yang seterusnya bernanah dalam masyarakat kita. Sifat ambil peduli masyarakat merupakan penawar kepada masyarakat yang mendokong nilai-nilai murni. Seterusnya, usaha menerapkan nilai-nilai murni seperti menghormati orang tua, menjaga kesopanan di khalayak ramai, mengunjungi rumah jiran, dan berinteraksi antara kaum mampu melahirkan satu bangsa Malaysia yang moden tetapi penuh budaya tersendiri. Usaha ini harus diteruskan kerana generasi muda sering berubah dan keadaan turut berubah tetapi nilai murni akan terus kekal seperti tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan. Ringkasnya, dengan adanya sokongan dan kerjasama daripada pihak komuniti maka golongan remaja kita dapat membangunkan negara sekiranya mereka memiliki sahsiah yang mulia.
Sebagai intihanya, bayang kian jelas bahawa semua pihak berwajib perlulah memikul dan melaksanakan obligasi masing-masing dengan sempurna. Hal ini kerana usaha daripada satu pihak sahaja tidak akan mendatangkan apa-apa hasil, seperti kata pepatah bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Kerjasama dan usaha bersungguh-sungguh perlulah dilakukan secara bersungguh-sungguh, bukannya sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja. Tanpa kerjasama yang menyeluruh, usaha untuk melahirkan remaja yang bersahsiah mulia akan menjadi sia-sia seperti membuang garam ke laut. Oleh itu, setiap lapisan rakyat perlu bersinergi bagai aur dengan tebing dan mengamalkan sikap berat sama dipikul, ringan sama dijinjinguntuk membangunkan negara.  Sesungguhnya, kita mampu untuk melakukannya kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Pelbagai pihak perlulah memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing kerana kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Ayuh, singkirkan semua bicara, kumpulkan tenaga raksasa, tiba saat berbunga merah, serentak kita bersama ke arah masyarakat yang mendokong nilai-nilai murni.

Wednesday, March 6, 2019

BEBERAPA PETUA HIDUP

Maksud Gurindam GURINDAM BEBERAPA PETUA HIDUP (Za’ba)
Rangkap 1
Peringatan kepada pembaca sekiranya kurang berfikir dan kurang menyelidik terlebih dahulu, pasti akan menyebabkan hidup menjadi sesat.

Rangkap 2
Saranan agar berfikir dahulu sebelum berkata-kata untuk mengelakkan sebarang salah faham dan sengketa sesama manusia.

Rangkap 3
Kata-kata yang kesat dan kurang sopan jika dituturkan boleh memudaratkan hidup masyarakat.

Rangkap 4
Sekiranya seseorang berbicara dengan kata-kata yang pedas dan kurang sopan boleh menyebabkan dia mengalami masalah yang besar.

Rangkap 5
Seseorang yang gemar hidup bermusuh akan sentiasa bermasalah
Rangkap 6
Saranan agar pembaca tidak menimbulkan persengketaan tetapi jika perkara itu berlaku perlulah diterima dengan tabah.

Rangkap 7
Ilmu yang tidak dipelajari dengan sempurna kurang lengkap dan kurang sesuai untuk diamalkan.

Rangkap 8
Ilmu pengetahuan dan kemahiran boleh dituntut selagi rajin untuk menuntut ilmu.

Rangkap 9
Saranan agar bijak memilih sahabat dan taulan di dunia yang di dalamnya mengandungi berbagai-bagai kerenah dan sifat manusia.

Rangkap 10
Sifat budi pekerti seseorang boleh dikenal melalui rakan taulan yang didampinginya.

Rangkap 11
Lazimnya, seseorang akan memilih dan mencari kawan yang sama sifat dan fiilnya untuk memudahkan mereka bekerjasama dan bergaul mesra.

Rangkap 12
Seseorang yang bersifat budiman akan sentiasa dipandang dan disanjung tinggi.

Rangkap 13
Seseorang yang bersifat dermawan akan dapat melawan hati orang di sekelilingnya.

Rangkap 14
Seseorang yang bersifat pemurah akan memudahkannya untuk mendapat bantuan dan pertolongan.

Rangkap 15
Nama seseorang yang membuat jasa akan disanjung pada setiap masa.
Rangkap 16
Saranan agar pembaca memperbaik kelemahan diri terlebih dahulu sebelum menolong sesama manusia

Rangkap 17
Perbuatan mengadu domba dan membuat fitnah boleh menyebabkan hubungan sesama manusia tidak harmoni.

Rangkap 18
Peringatan agar tidak melakukan perbuatan khianat sesama manusia kerana Tuhan pasti akan melaknati orang yang berbiat demikian


Tema
Gurindam “Beberapa Petua Hidup” bertemakan nilai-nilai murni yang dapat dijadikan pegangan dalam kehidupan manusia sehari-hari.  Nilai-nilai murni yang positif serta diamalkan ini nescaya dapat melahirkan insan yang bersahsiah dan berdisiplin.

Persoalan
1.      Kegigihan dalam membudayakan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian manusia.
2.      Kesungguhan dalam mengamalkan nilai-nilai murni.
3.      Rasional dalam membuat sebarang tindakan.
4.      Ketekunan dalam menuntut ilmu.
5.      Sanjungan masyarakat terhadap orang yang berjasa dan berhati mulia.
6.      Kerjasama dan budaya tolong-menolong sesama manusia.
7.      Keadilan Tuhan terhadap setiap tindak-tanduk manusia.

Bentuk Gurindam
1.      Gurindam “Beberapa Petua Hidup” ialah puisi terikiat/tidak bebas.
2.      Gurindam ini terdiri daripada lapan belas rangkap.
3.      Bilangan baris dalam setiap rangkap adalah sama, iaitu dua baris serangkap.  Baris pertama ialah syarat dan baris kedua pula ialah jawab.
4.      Bilangan kata dalam setiap baris hampir sama, iaitu antara tiga hingga enam patah perkataan dalam sebaris.
5.      Bilangan suku kata dalam setiap baris terdiri daripada sembilan hingga dua belas suku kata.
6.      Rima akhir gurindam ialah aa.

Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi
1.      Antara unsur gaya bahasa yang terdapat dalam gurindam ”Beberapa Petua Hidup” termasuklah :
a)     Kata arkaik (kata klasik).  Contohnya: upas
b)     Kata pinjaman bahasa Arab.  Contohnya: khianat; laknat
c)     Perulangan atau repetisi.  Contohnya: Kurang fikir, kurang siasat,
d)     Peribahasa.  Contohnya: Telunjuk lurus kelengkeng berkait
e)     Simile.  Contohnya: Ibarat beringin, racun dan upas.
f)       Metafora.  Contohnya: mulut tajam dan kasar; taman pergaulan
g)     Inversi.  Contohnya: Tentu dirimu kelak tersesat.

2.      Antara unsur keindahan bunyi yang digunakan termasuklah:
a)     Asonansi.  Contohnya:
                                     i.          Perulangan vokal a:  Perkataan tajam jika dilepas
Dalam contoh ini, terdapat pengulangan bunyi vokal sebanyak tujuh kali.

                                    ii.          Perulangan vokal iManusia dikenal sifat budinya
Dalam contoh ini, terdapat perulangan bunyi vokal sebanyak empat kali.
b)     Aliterasi.  Contohnya:
                                     i.          Perulangan konsonan sSupaya terelak silang sengketa
Dalam contoh ini, terdapat perulangan bunyi konsonan s sebanyak dua kali.
                                    ii.          Perulangan konsonan tTetapi tolonglah dirimu dahulu.
Dalam contoh ini, terdapat perulangan bunyi konsonan t sebanyak dua kali.

Nilai
1.      Nilai kebijaksanaan.  Contohnya, kita perlu bijak dalam memilih sahabt dan taulan di dunia yang diibaratkan sebagai sebuah taman pergaulan.
2.      Nilai rasional.  Contohnya, kita dinasihatkan agar berfikir dahlu sebelum berkata-kata untuk mengelakkan sebarang salah faham dan sengketa sesama manusia.
3.      Nilai kesopanan.  Contohnya, kita dituntut agar menjaga tutur kata supaya tidak menggores hati orang lain.
4.      Nilai kerajinan.  Contohnya, kita dinasihatkan agar rajin belajar untuk menambahkan ilmu dan kemahiran.
5.      Nilai mengenang jasa.  Contohnya, seseorang yang berjasa akan dikenang sepanjang masa.
6.      Nilai kerjasama.  Contohnya, sifat suka membantu dan menolong sesama insan perlu diamalkan.
7.      Nilai baik hati.  Contohnya, kita dituntut agar sentiasa berbudi sesama manusia.
8.      Nilai setia kawan.  Contohnya, seorang sahabat yang baik akan sentiasa mendorong rakannya ke arah kebaikan.

Pengajaran
1.      Kita hendaklah berfikir secara rasional dan mendalam terlebih dahulu sebelum menuturkan kata-kata untuk mengelakkan salah faham.
2.      Kita mestilah bijak memilih sahabat yang dapat memimpin kita ke jalan yang lurus dan benar.
3.      Kita perlulah menjaga tutur kata apabila berbicara dengan orang lain untuk mengelakkan sengketa. 
4.      Kita mestilah rajin belajar dengan bersungguh-sungguh untuk menambahkan pengetahuan.
5.      Janganlah kita mengadu domba dan membuat fitnah sehingga boleh menjejaskan hubungan baik sesama manusia.
6.      Janganlah kita berlebih-lebihan menolong orang lain sedangkan pada waktu itu sendiri berada dalam kesusahan.
7.      Kita hendaklah sentiasa berbudi sesama manusia agar dikenang orang.

Friday, February 22, 2019

SEJARAH HARI DALAM SEMINGGU

Maksud Nama-nama Hari dalam Kalender Barat

Orang-orang Yunani (Greek) menamakan hari-hari dalam seminggu sempena nama matahari, bulan dan lima planet yang diketahui, yang pada gilirannya dinamakan sempena para dewa Ares, Hermes, Zeus, Aphrodite, dan Cronus. Mereka memanggil hari-hari minggu tersebut Theon hemerai (hari-hari para Dewa).

Orang-orang Rom menggantikan dewa-dewa mereka yang sama untuk dewa-dewa Yunani, iaitu Marikh (Mars), Utarid (Mercury), Musytari (Jove / Jupiter), Kejora (Venus), dan Zuhal (Saturn). (Dua pantheon adalah sangat mirip.) Orang-orang Jerman secara amnya menggantikan dewa-dewa serupa dengan dewa-dewa Rom, iaitu Tiu (Twia), Woden, Thor, Freya (Fria), tetapi tidak menggantikan Saturn.


Sunday - Sun's Day (Hari Matahari)

Bahasa Inggeris Lama = sunnandæg "hari matahari"
Jerman = sunnon-dagaz "hari matahari"
Latin = dies solis "hari matahari"
Yunani kuno = hemera heli (o) u, "hari matahari"

Apollo adalah dewa matahari bagi orang Rom kuno.

Ra adalah dewa matahari bagi orang Mesir kuno. Begitu juga dengan Horus kemudiannya.

Helios adalah dewa matahari bagi orang Yunani.

Sól adalah dewa matahari bagi orang Norse.


Monday - Moon's Day (Hari Bulan)

Bahasa Inggeris Lama = mon (an) dæg "hari bulan"
Latin = dies lunae "hari bulan"
Yunani kuno = hemera selenes "hari bulan"

Diana adalah dewi bulan bagi orang Rom kuno.

Khonsu adalah dewi bulan bagi orang Mesir kuno.

Selene adalah dewi bulan bagi orang Yunani.

Máni adalah dewi bulan bagi orang Norse. 


Tuesday - Tiu's Day (Hari Tiu)

Bahasa Inggeris Lama =  tiwesdæg "hari Tiw (Tiu)"
Latin = dies Martis "hari Marikh"
Yunani kuno = hemera Areos "hari Ares"

Mars adalah dewa perang Rom kuno.

Ares adalah dewa perang Yunani.

Tiu (Twia) adalah dewa perang dan langit bagi orang Inggeris / Jerman. Dia dikenali sebagai dewa Tyr bagi orang Norse.

Wednesday - Woden's Day (Hari Woden)

Bahasa Inggeris lama = wodnesdæg "hari Woden"
Latin = dies Mercurii "hari Mercury"
Yunani kuno = hemera Hermu "hari Hermes"

Merkuri adalah dewa perdagangan, perjalanan, pemikiran, kefasihan dan sains Rom kuno. Dia adalah utusan dewa-dewa yang lain.

Hermes adalah dewa perdagangan, ciptaan, licik, dan pencurian Yunani. Dia adalah utusan dan pemberontak dewa-dewa yang lain. Dia berfungsi sebagai pelindung pengembara dan penyangak, dan sebagai pembawa orang mati kepada Hades.

Woden adalah ketua dewa Anglo-Saxon / Teutonik. Woden adalah pemimpin Wild Hunt. Woden adalah dari kata wod "kegilaan yang gila" + en "kepimpinan". Dia dikenali oleh orang Norse sebagai Odin.

Thursday - Thor's Day (Hari Thor)

Bahasa Inggeris Lama =  thursdæg "hari Thur"
Bahasa Norse Lama =  thorsdagr "hari Thor"
Latin = dies Jovis "hari Musytari"
Yunani kuno = hemera Dios "hari Zeus"

Jupiter (Jove) adalah dewa Rom tertinggi dan penaung negara Rom kuno. Beliau terkenal kerana mencipta guruh dan kilat.

Zeus adalah dewa langit orang Yunani dan dewa Yunani yang tertinggi.

Thor adalah dewa petir kepada orang Norse. Dia digambarkan sebagai menunggang kenderaan yang ditarik oleh kambing dan menggunakan tukul Miölnir. Dia adalah pembela orang-orang Aesir, yang ditakdirkan untuk membunuh dan dibunuh oleh Ular Midgard.

Friday - Freya's Day (Hari Freya)

Bahasa Inggeris Lama =  frigedæg "hari Freya"
Jerman = frije-dagaz "hari Freya (atau Frigg)"
Latin = dies Veneris "hari Venus"
Yunani kuno = hemera Aphrodites "hari Aphrodite"

Venus adalah dewi cinta dan kecantikan Rom kuno. Planet Venus adalah yang ketiga cerah di langit selepas matahari dan bulan.

Hathor adalah dewi cinta kepada orang Mesir kuno. Hathor adalah isteri kepada dewa Ra.

Aphrodite (Cytherea) adalah dewi cinta dan kecantikan Yunani.

Freo adalah sama dengan freo, yang bermaksud percuma. Ia berasal dari bahasa Jerman iaitu frijaz yang bermaksud "kekasih, milik orang yang tersayang, bukan dalam perbudakan, bebas".

Freya (Fria) adalah dewi Teutonic cinta, kecantikan, dan fecundity (prolific proreation). Dia dikenali sebagai dewa Freya oleh orang Norse. Dia adalah pemimpin Valkyries dan salah seorang Vanir. Dia dikelirui di Jerman dengan panggilan Frigg.

Frigg (Frigga) adalah dewi Teutonic awan, langit, dan suami isteri (berkahwin). Dia dikenali sebagai Frigg, dewi cinta dan langit orang Norse, dan isteri kepada Odin. Dia adalah salah seorang daripada Aesir. Dia dikelirui di Jerman dengan panggilan Freya.

Saturday - Saturn's Day (Hari Saturn)

Bahasa Inggeris Lama = sæter (nes) dæg "hari Saturn"
Latin = dies Saturni "hari Saturn"
Yunani kuno = hemera Khronu "hari Cronus"

Saturn adalah dewa pertanian dan permaisuri Ops bagi orang Rom dan Itali. Dia dipercayai telah memerintah bumi semasa zaman kebahagiaan dan kebajikan.

Cronus (Kronos, Cronos) adalah dewa Yunani (Titan) yang memerintah alam semesta sehingga diketepikan oleh anaknya Zeus.


Rujukan:

1 - Lawrence A. Crowl - https://www.crowl.org/Lawrence/time/days.html
2 - Wikipedia
3 - The Complete Gods and Goddesses of Ancient Egypt, Wilkinson