Tuesday, February 19, 2013

CIRI-CIRI PERENGGAN ISI


CIRI-CIRI PERENGGAN ISI KARANGAN YANG BAIK

 Setiap perenggan hendaklah mengandungi 4 unsur ;
a.       Ayat topik/isi utama.
• Mesti menjawab tugasan yang diberikan dalam soalan.
• Gunakan ayat yang mudah.
b.      Huraian (ayat huraian)
•Pengembangan isi berdasarkan isi utama.
• Boleh merangkumi aspek persoalan bagaimana dan mengapa.
 •Menggunakan penanda wacana yang sesuai.
• Gunakan kosa kata, ungkapan atau frasa menarik.
c.       Contoh (ayat contoh)
•Bukti penyokong kepada isi utama dalam bentuk data statistik, pendapat orang yang sangat dikenali ramai dan dihormati, dan penemuan atau kajian sains.
d.      Kesimpulan (ayat penegas)
• Penutup kepada perenggan dan menegaskan

Contoh Perenggan 4 Unsur

Contoh 1
Skop soalan : Punca kesesakan jalan raya

(Ayat 1) Punca selanjutnya yang menyebabkan berlakunya kesesakan jalan raya ialah disebabkan oleh sikap pengguna jalan raya yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya. (Ayat 2)Kebanyakan mereka terutamanya pemandu kenderaan memandu kenderaan mereka dengan mengikut hati sendiri tanpa mematuhi undang-undang jalan raya dan menghormati hak pengguna jalan raya yang lain. Pengguna jalan raya seperti ini menganggap jalan raya hak mereka sendiri. Tindakan yang dilakukan oleh mereka ini telah mengundang berlakunya kesesakan di jalan-jalan raya. (Ayat 3)Keadaan ini menyebabkan mereka melakukan pelbagai kesalahan jalan raya seperti memotong barisan kenderaan, melanggar lampu isyarat merah, memotong di garisan berkembar, dan berhenti di petak kuning. (Ayat 4) Hal ini jelas menunjukkan bahawa sikap pengguna jalan raya yang tidak bertanggungjawab mengundang berlakunya kesesakan di jalan raya.
Ayat 1 : Ayat utama/ayat topik
Ayat 2 :Ayat Huraian
Ayat 3 :Ayat contoh
Ayat 4 :Ayat penegas

Contoh 2
Soalan karangan :
Masalah sosial dalam kalangan remaja di negara kita sudah menjadi semakin serius sejak akhir-akhir ini. Pada pendapat anda, bagaimanakah kita hendak membendung masalah ini daripada menjadi semakin buruk?

(Ayat 1) Salah satu cara untuk membendung masalah sosial dalam kalangan remaja ialah peranan institusi keluarga. (Ayat 2) Institusi keluarga merupakan elemen yang rapat dengan remaja. Sehubungan itu, hubungan yang rapat ibarat isi dengan kuku membolehkan institusi keluarga mengenali, mengawasi dan menasihati remaja. Selain itu, institusi keluarga juga hendaklah mewujudkan suasana harmoni di rumah kerana rumah merupakan asas kepada kehidupan berkeluarga. (Ayat 3) Sebarang bentuk pertengkaran hendaklah dihindarkan, sebaliknya ketua keluarga mengambil langkah untuk merancang sesuatu yang membina kepada ahli keluarganya seperti bersembahyang dan makanbersama. Pakar motivasi Datuk Dr. Mohd Fadhilah Kamsah menyatakan institusi keluarga merupakan entiti penting bagimengatasi masalah sosial dalam kalangan remaja.(Ayat 4) Sejajar dengan itu, remaja sememangnya memerlukan perhatian maka, adalah penting bagi institusi keluarga untuk memainkan peranan yang utama agar masalah sosial dalam kalangan remaja dapat dibendung. Oleh itu, memang tidak dinafikan bahawa peranan institusi keluarga merupakan satu cara bagi membendung masalah sosial remaja.

Ayat 1 : Ayat topik
Ayat 2 : Ayat huraian
Ayat 3 : Ayat contoh
Ayat 4: Ayat penegas

Contoh 3
Soalan Karangan :
Sambutan bulan kemerdekaan, sekolah anda telah menganjurkan pidato kemerdekaan. Anda berminat untuk menyertai pidato tersebut. Tajuk pidato tersebut ialah cara-cara memupuk semangat patriotik dalam kalangan pelajar. Tuliskan pidato tersebut selengkapnya.

(Ayat 1)
 Antara langkah yang boleh dijalankan untuk memupuk semangat patriotik dalam kalangan pelajar adalah dengan mengajar mata pelajaran Sejarah di sekolah. (Ayat 2) Hal ini demikian kerana dengan adanya mata pelajaran Sejarah, semangat patriotik dapat disebarkan secara menyeluruh dengan lebih mendalam mengenai sejarah negara kita. (Ayat 3) Sebagai contoh, pelajar dapat mengetahui peristiwa-peristiwa penting semasa negara hendak mencapai kemerdekaan dan menyelami pelbagai kesengsaraan yang dialami oleh pejuang-pejuang negara dalam usaha untuk mencapai kemerdekaan. (Ayat 2) Dengan ini, semangat patriotik dapat diterapkan dalam diri setiap pelajar untuk mempertahankan kebebasan yang telah kita perolehi pada hari ini apabila mengetahui betapa tingginya nilai kemerdekaan sesebuah negara. Bak kata pepatah Melayu, 'tak kenal, maka tak cinta'. Selain itu, dengan mempelajari mata pelajaran Sejarah, pelajar juga dapat mengenali dengan lebih mendalam tentang tokoh-tokoh terkemuka yang telah banyak berjasa kepada negara. Hal ini akan membangkitkan semangat untuk mencontohi jasa-jasa yang telah ditaburkan. Aspek ini dapat dilihat dalam diri pelajar seperti pelajar akan mempunyai semangat yang lebih kental dan tidak mudah goyah dalam menegakkan sesuatu perkara demi keadilan negara. (Ayat 4) Oleh itu, mempelajari mata pelajaran Sejarah amat penting bagi melahirkan pelajar yang berjiwa patriotik dan mempunyai semangat cinta akan tanah air.

Ayat 1: Ayat topik/ayat utama
Ayat 2 : Ayat huraian
Ayat 3 : Ayat contoh
Ayat 4: Ayat penegas

LATIHAN TATABAHASA


LATIHAN 01
Membetulkan Kesalahan Ayat :
Ayat-ayat di bawah mengandungi beberapa kesalahan. Betulkan kesalahan dan tulis semula ayat-ayat itu.
1. Maria bersuamikan dengan seorang jutawan ternama di bidang koperat.
2. Perutnya sakit bila memakan makanan yang basi itu.
3. Pak Abu membeli banyak buah rambutan dari penjaja yang datang berjaja di rumahnya.
4. Surat yang datang dari Dewan Bahasa dan Pustaka itu belum lagi ayah jawab.
5. Dia membaca sambil berbaring.
6. Tidak banyak yang mengetahui susu lembu banyak khasiatnya.
7. Saya bukan berlakon dalam filem yang telah Yusof Haslam arahkan tempoh hari.
8. Beberapa kawasan di daerah ini telah dekenali sebagai sarang penagih-penagih dadah.
9.Keadaan cuaca di negeri Kelantan diramalkan hujan, sedangkan di lain-lain negeri diramalkan
cuaca baik sepanjang hari.
10.  Berpuluh hektar tanah terbiar di kampung itu telah diusaha oleh pihak FELCRA.
LATIHAN02
Betulkan susunan ayat-ayat di bawah:
 
1. Bersenam menyihatkan kegiatan badan.
2. Para belia kurang menarik pekerjaan perhatian bersawah padi.
3. Buah nangka untuk isterinya dia mencari.
4. Menonton sudah wayang gambar itu mereka.
5. Murid itu kepada ibunya akan menulis surat.
6. Dia sebagai saya menganggap lawannya.
7. mengakui memenangi peraduan bahawa pemuda itu dia telah mengarang cerpen.
LATIHAN 03
Lengkapkan ayat-ayat yang berikut:
1. Sekiranya dia tidak datang
2. Mereka tidak dapat mengenal pasti
3. Mereka kelihatan sibuk untuk menyiapkan
4. Kita perlu bertindak segera sebelum
5. Kemalangan itu berlaku kerana
6. Tidak ada sesiapa pun yang tahu bagaimana
7. Dengan tergesa-gesa
8. Sekiranya dia terlambat
9. Walaupun dia sudah berusaha
10. Dia merantau
LATIHAN 04
Betulkan pelbagai kesalahan yang terdapat dalam perenggan yang berikut:
Keadaan bandar kita yang dipenuhkan dengan sampah dan sarap didapati telah mendapatkan per-hatian pihak media. Keadaan ini dikatakan berlaku sebab terdapat segelintir ahli masyarakat kita sendiri yang tidak mempunyai kesedaran sibik. Mereka pentingkan diri sendiri dan mengaggap kerja-kerja pembersih kawasan bandar itu sebagai tanggung jawab pihak pekerja Majlis Perbanda-ran semata.
Namun begitu kita tahu, sekiranya perkara ini dibiarkan. Oleh itu, pihak kerajaan telah berkali melancarkan kempen kebersihan untuk menyedari masyarakat tentang kepentingan mengekalkan alam sekitar yang bersih dan cantik. Masalah ini didapati telah jejaskan industri pelancungan tetapi sekali gus menjejaskan ekonomi negara kita.
 
Kalau sekiranya, kempen ini mendapat sambutan saya yakin imeg negara kita yang tergugat akan dapat dipulihkan semula. Dalam hal ini kerjasama semua pihak sangat diperlukan.
 

TIPS TATABAHASA - BINA AYAT

1. JENIS SOALAN UNTUK MEMBINA AYAT - Soalan 4a-
a) Membina ayat daripada kata ganda, misalnya: baring-baring, agar-agar, jejentik, desas-desus, mati-matian, dan sebagainya.
b) Membina ayat daripada kata  yang hampir sama maknanya, misalnya: merebus, menggoreng, menanak, memanggang, menjerang, mengukus, dan sebagainya.
c) Membina ayat daripada kata dan kata berimbuhan, misalnya: hati, berhati-hati, memperhatikan, perhatian, pemerhatian, pemerhati, dan sebagainya.
d) Membina ayat daripada pasangan kata dan kata ganti seluruh, misalnya: tua-tua, jarang-jarang, angkut-angkut.
e) Membina ayat daripada pasangan kata homograf, misalnya: bela, rendang, semak, sepak, dan sebagainya.
f) Membina ayat daripada pasangan kata berimbuhan, misalnya: perjawatan, menjawat, penjelasan, menjelaskan,
g) Membina ayat daripada pasangan kata dan kata majmuk, misalnya: gulung, gulung tikar, pecah, pecah rumah, lalu, lalu lintas.
h) Membina ayat daripada pasangan kata ganda dan kata berimbuhan, misalnya: bulat-bulat, membulatkan, rata-rata, meratakan, dan sebagainya.
i) Membina ayat daripada pasangan kata yang berbeza maknanya tetapi hampir sama bunyinya, misalnya: belot, belut, cocok, cucuk, menonton, menuntun, suluruh, seloroh, dan sebagainya.
j) Membina ayat daripada kata banyak makna, misalnya: dahaga (kasih sayang/untuk minum air), keras (suara/objek)
 
 
PERHATIAN
1. Jangan bina ayat yang tidak dapat membezakan makna kata yang diberikan. Sekiranya ayat anda tidak menunjukkan perbezaan makna, markah tidak akan diberikan.
2. Jangan gunakan pasangan kata yang diberikan dalam satu ayat sahaja. Markah tidak akan berikan untuk jawapan yang sedemikian.
3. Jangan melakukan kesalahan ejaan atau kesalahan tatabahasa. Jika kesalahan seperti itu dilakukan anda tidak akan mendapat markah penuh.
4. Jangan letakkan sebarang imbuhan pada kata yang diberikan ketika membina ayat. Jika hal ini dilakukan, 0 markah.
5. Jangan gandakan kata yang diberikan ketika anda membina ayat. Jika dilakukan - 0 markah.
6. Jangan bentuk ungkapan, kiasan, cogan kata, nama khas, atau simpulan bahasa daripada kata yang diberikan. Jika hal ini anda lakukan, markah tidak akan diberikan.
7. Jangan gunakan kata majmuk bagi kata tunggal dalam ayat yang anda bina. Anda tidak akan diberi markah untuk pembinaan ayat seperti itu.
8. Anda tidak akan diberi markah sekiranya anda menulis ayat yang tidak menunjukkan anda faham akan maknanya, misalnya: Saya tidak tahu membina ayat daripada perkataan kawat.
 
         


 
TEKNIK MEMBINA AYAT DARIPADA PERKATAAN BERIMBUHAN
1. Cuba gantikan perkataan dasar dengan perkataan lain yang segolongan dengannya.
Contoh:
Membungakan –( Kata Nama benda) sekiranya digantikan dengan perkataan buku  maka terhasillah perkataan yang lebih mudah difahami iaitu membukukan yang bermaksud menjadikan sesuatu itu seperti buku. Misalnya :
Dia membukukan semua surat teman wanitanya untuk dijadikan kenang-kenangan.
Oleh itu kita dapat faham bahawa imbuhan mem…..kan  itu membawa makna menjadikan sesuatu seperti kata dasar. Jadi kita boleh membina ayat seperti berikut:
Dia membungakan kertas-kertas kecil yang berwarna-warni itu untuk dijadikan hiasan di meja makan.
INGAT : anda mesti gantikan perkataan yang segolongan dengan kata dasar yang diberikan. Untuk itu anda perlulah mengenal pasti golongan kata bagi perkataan tersebut sama ada Kata Kerja atau Kata Nama, atau Kata Adjektif.
Untuk itu cuba anda sebutkan 5 berkataan (dasar) yang termasuk dalam setiap golongan kata tersebut:
1. Kata Kerja : tidur, ……..
2. Kata Adjektif : tinggi,…..
3. Kata Nama: meja,……
 
Sekarang cuba bina ayat daripada perkataan-perkataan yang berikut:
1. meletihkan (Adjektif)
2. merapatkan (Adjektif)
3. menidurkan (Kerja)
4. mendudukkan (kerja)
5. pengeboman (nama)
6. pengecatan (nama)
Di samping itu, jangan lupa, binalah ayat yang dapat menjelaskan makna dan penggunaan yang betul. Elakkan penggunaan Kata Nama Khas, simpulan bahasa atau kiasan, dan cuba elakkan juga Kata Majmuk.
Misalnya:
Berita itu diisytiharkan melalui media elektronik di seluruh negara ( 1 markah)
Sejak peraturan yang baru itu diisytiharkan oleh Pengetua, semua pelajar tidak mematuhinya. (2 markah)
Cuba gunakan Kata Hubung dalam ayat-ayatayat yang anda bina seperti: supaya, untuk, oleh sebab, agar, dan  sebagainya.
LATIHAN: Bina ayat daripada perkataan yang berikut supaya jelas menunjukkan anda faham akan maknanya.
Lanjut, berlanjutan, melanjutkan, selanjutnya, lanjutan, kelanjutan(ekoran), terlanjut(terlajak), melanjut(berlarutan), berlanjut-lanjut(bersambung-sambung), perlanjutan (persambungan).
 

2/99 :TEKNIK MENJAWAB SOALAN TATABAHASA
BAHASA MELAYU SPM
Soalan 4a : Membina Ayat
Anda mungkin diminta membina ayat-ayat seperti berikut:
1.  Membina 1 ayat bagi setiap kata yang diberikan untuk menunjukkan bahawa anda faham akan makna dan penggunaannya.
Contoh:
rendang - Oleh sebab cuaca terlalu panas, kami singgah sebentar untuk berteduh di bawah pokok yang rendang itu.
Anda mungkin tidak diberikan markah penuh sekiranya anda menghasilkan ayat-ayat yang tidak menunjukkan anda faham akan makna perkataan tersebut  seperti yang berikut:
Contoh:
rendang - Pokok kelapa di tepi sungai itu sangat rendang.
2. Membina 1 ayat bagi setiap kata dalam pasangan kata yang diberikan untuk menunjukkan penggunaan dan perbezaan maknanya.
Contoh:
Kebolehan - membolehkan
i. Oleh sebab  Zainol mempunyai kebolehan yang luar biasa dalam bidang sukan, dia telah diterima bekerja sebagai jurulatih pasukan bola sepak negara.
ii. Surat rayuan yang dikemukakan oleh peguam itu telah membolehkan Hasyim dibebaskan dengan ikat jamin.
3. Membina 2 ayat bagi satu kata untuk membezakan maknanya.
Contoh:
melarat
i.  Hidup mereka melarat sejak ibu- bapa mereka meninggal dunia sehingga mereka terpaksa mengemis.
ii. Kebakaran itu telah melarat ke beberapa buah rumah yang berdekatan dengan tempat kejadian itu.
Perhatian
1.  Jangan lakukan kesalahan tatabahasa atau ejaan. ( potongan setengah markah )
2.  Jangan letakkan sebarang imbuhan pada kata yang diberikan. ( 0 markah )
3.  Jangan gandakan kata yang diberikan. ( 0 markah )
4.  Jangan bentuk Kata Nama Khas daripada kata yang diberikan. ( 0 markah )
5.  Jangan gunakan kata yang diberikan sebagai simpulan bahasa atau cogan kata. ( 0 markah )
6.  Jangan bentuk kata yang diberikan sebagai kata majmuk. ( 0 markah )
 
 
Untuk mengelakkan penggunaan imbuhan anda bolehlah:
i.  Meletakkan perkataan tersebut di permulaan ayat.
“Sentuh kulitnya perlahan-lahan dan cuba pujuk dengan suara yang lembut.” Kata Dr Rendra.
ii. Menggunakan ayat larangan.
“Jangan sentuh apa-apa sehingga menerima arahan daripada ketua kita.” Kata Sobri kepada Samad.
iii. menggunakan ayat pasif bagi Kata Ganti Nama Orang Pertama atau Kedua.
Makanan itu saya sentuh setelah mendapat kebenaran daripada pengawal tersebut.
 
LATIHAN 1
Membina ayat daripada perkataan yang hampir sama bunyi tetapi berlainan makna.
1. beradat/ beradab
Sudin dikatakan tidak beradat kerana berkahwin dengan Salmah secara senyap-senyap.
Orang yang beradab ialah orang yang bersopan santun dan tidak biadab.
2. hempas/ hampas
Dengan perasaan marah buku itu saya hempas dan saya pijak-pijak.
Setelah isi kelapa diperah untuk mendapatkan santan, hampas yang tinggal itu dibuang ke dalam sebuah beg plastik yang besar.
3. golongan/ gulungan
Tetamu yang hadir dalam majlis itu terdiri daripada golongan pegawai-pegawai kerajaan.
Gulungan dawai itu disimpan untuk kegunaan membaiki pagar rumah Pak Samad.
4. lengan/ lengang
Lengan Abu luka kerana terkena paku ketika cuba membaiki tingkap rumahnya.
Bandar Kuala Lumpur menjadi lengang menjelang tahun baru kerana banyak orang telah pulang ke kampung.
5. resmi/ rasmi
Sudah menjadi resmi penduduk di sini bekerja secara bergotong royong setiap kali tiba musim menuai.
Bangunan itu telah dibuka secara rasmi oleh Perdana Menteri sejak bulan lalu.
 
6. padan/ pandan
Warna baju itu tidak padan dengan warna kulitnya.
 Pandan ialah sejenis tumbuhan yang boleh digunakan untuk membuat kuih dan minyak wangi.
7. tabik/ tabib
Tabik merupakan satu perlakuan untuk menunjukkan kita menghormati pegawai atasan kita.
Penyakit itu telah dapat disembuhkan oleh seorang tabib dari negeri Jepun.
 

Monday, February 18, 2013

LATIHAN PUISI TRADISIONAL

SELOKA EMAK SI RANDANG

SET 1

Baca seloka berikut dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Seloka Emak Si Randang

Baik budi Emak Si Randang,
Dagang lalu ditanakkan,
Tiada kayu rumah diruntuhkan,
Anak pulang kelaparan,
Anak di pangku diletakkan,
Kera di hutan disusui,
Dagang pergi awak terhutang,
Beras habis padi tak jadi.

Md. Ali Bachik (Penyelenggara)
(Antologi Harga Remaja,
Dewan Bahasa dan Pustaka, 2009.)


(i) Nyatakan tindakan-tindakan yang tidak wajar dilakukan oleh Emak Si Randang.
[2 markah]

(ii) Pada pendapat anda, apakah yang perlu dilakukan oleh seseorang jika didatangi
tetamu? 
[4 markah] 

(iii) Nyatakan tiga pengajaran yang terdapat dalam seloka tersebut. 
[3 markah]




SET 2

Baca seloka berikut dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


Seloka Emak Si Randang

Baik budi Emak Si Randang,
Dagang lalu ditanakkan,
Tiada kayu rumah diruntuhkan,
Anak pulang kelaparan,
Anak di pangku diletakkan,
Kera di hutan disusui,
Dagang pergi awak terhutang,
Beras habis padi tak jadi.

Md. Ali Bachik (Penyelenggara)
(Antologi Harga Remaja,
Dewan Bahasa dan Pustaka, 2009.)


(i) Berikan maksud
Anak dipangku diletakkan,
Kera di hutan disusui, 
[2 markah]

(ii) Seloka di atas menyentuh tentang sikap negatif Emak Si Randang. 
Pada pendapat anda, apakah kesan yang timbul sekiranya Emak Si Randang
berterusan bersikap sedemikian? 
[3 markah]

(iii) Huraikan dua persoalan yang terdapat dalam seloka tersebut. 
[4 markah]





SET 3

Baca seloka berikut dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Seloka Emak Si Randang
Baik budi Emak Si Randang,
Dagang lalu ditanakkan,
Tiada kayu rumah diruntuhkan,
Anak pulang kelaparan,
Anak di pangku diletakkan,
Kera di hutan disusui,
Dagang pergi awak terhutang,
Beras habis padi tak jadi.

Md. Ali Bachik (Penyelenggara)
(Antologi Harga Remaja,
Dewan Bahasa dan Pustaka, 2009.)


(i) Apakah masalah yang dihadapi oleh Emak Si Randang berdasarkan seloka tersebut.
[2 markah]

(ii) Pada pendapat anda, mengapakah sesetengah orang terjebak dalam kancah hutang? [3 markah] 

(iii) Nyatakan tiga nilai kemanusiaan yang terdapat dalam seloka tersebut. 
[4 markah] 






JAWAPAN SELOKA EMAK SI RANDANG

SET 1

(i) Tindakan-tindakan yang tidak wajar dilakukan oleh Emak Si Randang:
- meruntuhkan rumah kerana tiada kayu
- anak dipangku diletakkan, kera di hutan disusui
- dagang pergi awak menanggung hutang


(ii) Yang perlu dilakukan oleh seseorang jika didatangi tetamu:
- memberikan layanan yang baik
- bersifat ikhlas dengan menunjukkan muka yang manis
- menyediakan jamuan dan kemudahan mengikut kemampuan
- menjaga suasana rumah supaya tidak mengganggu tetamu
- memakai pakaian yang bersih, kemas dan menutup aurat 

(iii) Tiga pengajaran yang terdapat dalam seloka: 
- kita mestilah menghormati tetamu yang berkunjung ke rumah
- kita mestilah menjaga harta benda milik kita agar tidak mengalami kerugian
- kita mestilah mengutamakan tanggungjawab terhadap keluarga terlebih dahulu
berbanding orang lain
- kita seharusnya bijak membuat pertimbangan
- kita hendaklah berpada-pada membantu orang lain
- kita hendaklah mengenang jasa orang lain 





SET 2

(i) Maksud:
- Emak Si Randang lebih mementingkan orang luar daripada ahli keluarga sendiri


(ii) Kesan yang timbul sekiranya Emak Si Randang berterusan bersikap sedemikian: - menyusahkan diri sendiri dan keluarga
- menyebabkan hubungan antara ahli keluarga menjadi tegang
- terpaksa menanggung pelbagai kerugian


(iii) Dua persoalan yang terdapat dalam seloka: 
- persoalan mengutamakan orang lain lebih daripada keluarga sendiri
Cth: Emak Si Randang menolong orang lain hingga mengabaikan anak/keluarga sendiri
- persoalan mengalami kerugian akibat sikap orang yang dibantu tidak mengenang
budi
Cth: Emak Si Randang menolong orang sehingga berasnya habis dan banyak hutang 




SET 3

(i) Masalah yang dihadapi oleh Emak Si Randang:
- menanggung hutang
- beras habis
- padi yang ditanam tidak menjadi


(ii) Sebab sesetengah orang terjebak dalam kancah hutang: 
- berbelanja melebihi had kemampuan diri sendiri
- berbelanja secara boros
- tidak membuat perancangan sebelum berbelanja
- tidak membuat simpanan untuk digunakan semasa menghadapi kecemasan 
atau masalah


(iii) Tiga nilai kemanusiaan yang terdapat dalam seloka: 
- nilai bertanggungjawab iaitu menyediakan keperluan, seperti makanan, pakaian
dan sebagainya untuk keluarga
- nilai rasional iaitu tidak mengabaikan keluarga semata-mata kerana membantu
orang lain
- nilai berhemat iaitu tidak berbelanja terlalu boros sehingga terpaksa menanggung
hutang
- baik hati iaitu membantu orang yang memerlukan pertolongan
- nilai kesederhanaan iaitu bersederhana dalam membuat amalan sedekah

Wednesday, February 13, 2013

SANTAI KEJAP


Pasai apa tah dah aku ambik topik ni, Sapa yang tak kenal perangai lelaki kan, kreatif dalam menyelesaikan masalah dan tak suka harap kat orang lain..Ini kalau tersilap sikit, memang melibatkan nyawa punya laa..




























Monday, February 11, 2013

HUKUM NAHU

HUKUM-HUKUM TATABAHASA POPULAR
Bagi menjawab soalan pada bahagian ini, anda perlu mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang pelbagai hukum tatabahasa. Sebenarnya hukum-hukum ini bukan sahaja penting bagi menjawab soalan tatabahasa tetapi juga bagi menjawab kesemua soalan lain dalam subjek Bahasa Melayu.

Berikut merupakan beberapa hukum tatabahasa yang sering diuji dalam bahagian ini.

---------------------------------------------------------------------------

1. Dua unsur jamak (plural) tidak boleh hadir dalam frasa yang sama.

Contoh
Semua guru-guru dijemput ………. (Salah)
Semua guru dijemput ………. (Betul)
Sebahagian pelajar-pelajar di sekolah itu …. (Salah)
Sebahagian pelajar di sekolah itu …. (Betul)

------------------------------------------------------------------------------

2. Penggunaan kata pemeri (ialah/adalah)

“Ialah” hanya boleh mendahului kata nama atau objek

Contoh
…….. ialah guru (Betul)
…...... ialah rumah (Betul)
…….. ialah masalah (Betul)
…….. adalah guru (Salah)
…...... adalah rumah (Salah)
…….. adalah masalah (Salah)

“Adalah” pula digunakan dalam dua situasi iaitu

----------------------------------------------------------------------------

i. di hadapan kata hubung/sendi

Contoh
….. adalah untuk
….. adalah kerana
….. adalah seperti

ii. di hadapan kata adjektif

Contoh
…… adalah cantik
…… adalah besar
…… adalah pandai

----------------------------------------------------------------------------

3. Penggunaan antara / di antara

“Antara” digunakan bagi menunjukkan hubungan manakala “di antara” digunakan bagi menunjukkan lokasi.

Contoh - Hubungan

Kasih sayang di antara ibu dengan anak itu mengharukan kami. (Salah)
Kasih sayang antara ibu dengan anak itu mengharukan kami. (Betul)
Permusuhan di antara kedua-dua buah negara itu berakhir dengan perjanjian tersebut. (Salah)
Permusuhan antara kedua-dua buah negara itu berakhir dengan perjanjian tersebut.(Betul)

Contoh – Lokasi
Ipoh terletak antara Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. (Salah)
Ipoh terletak di antara Kuala Lumpur dan Pulau Pinang (Betul)
Ismail duduk antara Kumar dan Swee Lan. (Salah)
Ismail duduk di antara Kumar dan SweeLan. (Betul)

----------------------------------------------------------------------

4. Penggunaan Sendi Nama (Dari/Daripada)

“Dari” digunakan untuk tiga situasi:

a. Masa
Contoh
Dia menebang pokok itu dari pagi hingga tengah hari.

b. Tempat
Contoh
Pemuda itu datang dari Johor.

c. Arah
Contoh
Batu itu jatuh dari atas bumbung.

----------------------------------------------------------------------

Sementara itu, “daripada” pula digunakan untuk dua situasi:

a. Perbandingan
Contoh
Meja ini lebih besar daripada meja itu.

b. Sumber
Kerusi ini diperbuat daripada kayu jati.

---------------------------------------------------------------------

5. Penggunaan Sendi Nama (di / pada)

“Di” menunjukkan tempat/lokasi manakala “pada” menunjukkan masa atau pemilikan.

Contoh
Di pagi yang mulia ini…. (Salah)
Pada pagi yang mulia ini … (Betul)
Mereka berhenti pada tempat itu. (Salah)
Mereka berhenti di tempat itu. (Betul)
Buku itu ada di guru. (Salah)
Buku itu ada pada guru. (Betul)

----------------------------------------------------------------------

6. Penggunaan Kata Penguat (sungguh, amat, sangat, paling, ter-, sekali dll)

Dua kata penguat boleh hadir dalam ayat yang sama:

Contoh
Buku itu sungguh cantik sekali. (Betul)
Budak itu amat pandai sekali, (Betul)

Namun begitu, hal yang sama tidak boleh dilakukan untuk kata penguat “Paling” dan “Ter-“. Hal ini disebabkan paling dan termerupakan kata penguat darjah penghabisan. Oleh itu kedua-dua kata penguat ini tidak boleh diikuti dengan kata penguat belakang.

Contoh
Baju itu paling cantik sekali. (Salah)
Baju itu paling cantik. (Betul)
Budak itu terpandai sekali. (Salah)
Budak itu terpandai. Betul)

-------------------------------------------------------------------------------

7. Dua kata sendi nama atau dua kata hubung tidak boleh hadir dalam frasa yang sama

Contoh
Demi untuk mencapai hasratnya , dia telah …….. (Salah)
Demi mencapai hasratnya, dia telah ………… (Betul)
Selain daripada belajar muzik, dia juga ….. (Salah)
Selain belajar muzik, dia juga ………… (Betul)

-------------------------------------------------------------------------------

8. Penggunaan Kata Sengkang (-)

Terdapat lima situasi yang melibatkan penggunaan kata sengkang

a. Kata ganda

Contoh
Kanak-kanak
Gula-gula
Huru-hara

b. Tahun yang ditulis dengan angka

Contoh
Lagu-lagu P. Ramlee amat terkenal pada ahun 60-an.

c. Kedudukan yang ditulis dengan angka

Contoh
Dia mendapat tempat ke-2 dalam pertandingan itu.

d. “Tuhan” yang ditulis dengan kata ganti nama “Nya”

Contoh
Ayah berdoa kepada-Nya agar mengampunkan segala dosanya

e. Imbuhan pinjaman (pro-, anti-,uni-, pra-, ko-, sub- dll) yang diikuti dengan kata nama khas.

Contoh
Pro-Amerika
Anti-Israel

-----------------------------------------------------------------------------

9. Kata sendi “akan” mesti diletakkan di antara kata adjektif yang menunjukkan perasaan dan objek.

Contoh
Dia suka durian . (Salah)
Dia suka akan durian. (Betul)
Ayah amat sayang anak-anaknya. (Salah)
Ayah amat sayang akan anak-anaknya. (Betul)

----------------------------------------------------------------------------

10. Sekiranya kata adjektif dalam ayat telah digandakan, maka kata nama yang diterangkan tidak perlu digandakan.

Contoh
Buku-buku di perpustakaan itu tebal-tebal. (Salah)
Buku di perpustakaan itu tebal-tebal (Betul)
Pelajar-pelajar di kelas itu pandai-pandai semuanya. (Salah)
Pelajar di kelas itu pandai-pandai semuanya. (Betul)

----------------------------------------------------------------------------

11. Kata adjektif tidak boleh menerima imbuhan 2+1 (memper – kan atau diper –kan).

Contoh
Mempercantikkan (Salah)
Diperluaskan (Salah)
Memperindahkan (Salah)
Memperluaskan (Salah)

Kata adjektif hanya boleh menerima imbuhan apitan biasa (me-kan, di-kan dll), imbuhan gabungan di hadapan (memper-, diper-) atau imbuhan hadapan atau imbuhan belakang.

Contoh:
Memperluas (Betul)
Meluas (Betul)
Luaskan (Betul)
Meluaskan (Betul)
Diluaskan (Betul)

-----------------------------------------------------------------------------

12. Ayat dengan kata ganti nama diri pertama (saya, aku, hamba, beta, kami dll) tidak boleh dipasifkan dengan menukarkan imbuhan pada kata kerjanya menjadi imbuhan di-kan

Contoh.
Saya menyiram pokok. – Ayat Aktif
Sekiranya dipasifkan, ayat ini harus ditulis seperti ini:
Pokok saya siram. – Ayat Pasif
dan bukannya:
Pokok disiram oleh saya. (Salah)

Perhatikan satu lagi contoh
Kami menebang pokok kelapa di hadapan rumah. - Ayat aktif
Jika dipasifkan, ayat itu harus ditulis seperti ini:
Pokok kelapa di hadapan rumah kami tebang - Ayat Pasif
dan bukannya
Pokok kelapa di hadapan rumah ditebang oleh kami. (Salah)

---------------------------------------------------------------------------

13. Semua kata majmuk atau frasa yang ditulis terpisah akan menjadi satu perkataan apabila diberikan imbuhan apitan.

Contoh
Putar belit + imbuhan apitan (me-kan) memutarbelitkan
Salah tafsir + imbuhan apitan (di-kan) disalahtafsirkan
Surat khabar + imbuhan apitan (per-an) persuratkhabaran

---------------------------------------------------------------------------

14. Kata nama yang mengikuti kata bilangan pisahan (setiap, tiap-tiap) tidak perlu diberikan penjodoh bilangan.

Contoh
Tiap-tiap buah rumah. (Salah)
Tiap-tiap rumah. (Betul)
Setiap orang pelajar. (Salah)
Setiap pelajar. (Betul)

---------------------------------------------------------------------------

15. Penggunaan Imbuhan

Kata kerja dengan imbuhan apitan me-kan harus diikuti objek dan bukannya manusia.

Contoh
Ayah menghadiahkan adik sebuah basikal. (Salah)
Ayah menghadiahkan basikal kepada adik. (Betul)
Hakim menjatuhkan pesalah itu hukuman gantung. (Salah)
Hakim menjatuhkan hukuman gantung kepada pesalah itu. (Betul)

Kata kerja dengan imbuhan apitan me – i harus diikuti orang dan bukannya objek.

Contoh
Ayah menghadiahi basikal kepada adik. (Salah)
Ayah menghadiahi adik basikal. (Betul)
Hakim menjatuhi hukuman gantung kepada pesalah itu. (Salah)
Hakim menjatuhi pesalah itu hukuman gantung. (Betul)

PENGGUNAAN PERIBAHASA DALAM PENULISAN

Penggunaan peribahasa dalam karangan akan memberi impresi positif kepada pemeriksa bahawa anda mempunyai pengetahuan bahasa yang luas termasuk peribahasa. Oleh itu, saya berharap anda menggunakan sekurang-kurangnya lima peribahasa dalam setiap karangan.

PEPATAH


1. Ada air adalah ikan
– rezeki terdapat di mana-mana sahaja.
2. Ada asap ada api
– persahabatan yang tidak dapat dipisahkan.
3. Ada padi semua kerja jadi, ada beras semua kerja deras
– bagi orang yang mampu, segala kehendaknya mudah tercapai.
4. Ada rotan ada duri
– dalam kesenangan tentu ada kesusahannya.
5. Ada ubi ada batas, ada masa boleh balas
– perbuatan yang jahat akan mendapat balasan juga.
6. Air sama air bersatu, sampah ke tepi juga
– tiada guna mencampuri perselisihan orang yang bersaudara kerana kita akan disisihkan apabila mereka berbaik-baik semula.
7. Akal tak sekali datang, runding tak sekali tiba
– sesuatu usaha tidak akan menjadi sempurna dengan serta-merta.
8. Alah sabung, menang sorak
– sudah kalah tetapi masih bercakap besar.
9. Alang-alang berdakwat biar hitam / alang-alang berminyak biar licin / alang-alang mandi biar basah
– sesuatu kerja hendaklah diusahakan dengan sempurna, jangan separuh jalan.
10. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan
– kalau sudah terlanjur membuat sesuatu perbuatan jahat, biarlah sampai beroleh hasilnya.
11. Anak kera di hutan disusui, anak sendiri di rumah mati kelaparan
– menguruskan hal orang lain sedangkan hal sendiri diabadikan.
12. Antan patah lesung hilang
– kemalangan yang datang bertimpa-timpa.
13. Ayam terlepas, tangan bau tahi
– melakukan perbuatan yang dilarang akhirnya mendapat malu
14. Baik berjagung-jagung sementara padi belum masak
– lebih wajar membuat pekerjaan yang kurang baik sementara menunggu pekerjaan yang lebih baik.
15. Banyak udang banyak garamnya, banyak orang banyak ragamnya
– kehendak, kegemaran, fikiran, dan lain-lain setiap orang adalah berbeza.
16. Bapa borek, anak rintik
– anak menurut baka bapanya.
17. Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian
– biarlah bersusah payah dahulu asalkan mendapat kesenangan pada kemudian hari.
18. Berani kerana benar, takut kerana salah
– orang yang benar akan mempertahankan kebenarannya dan orang yang bersalah akan berasa takut.
19. Berapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul
– betapa susah orang yang melihat penderitaan orang lain, lebih susah lagi orang yang mengalami penderitaan itu.
20. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
– bermuafakat dalam melakukan sesuatu pekerjaan sama ada susah atau senang.
21. Bercakap siang pandang-pandang, bercakap malam dengar-dengar
– berhati-hati apabila menceritakan sesuatu hal.
22. Berdiri sama tinggi, duduk sama rendah
– sama taraf.
23. Berpatah arang berkerut rotan
– tali persahabatan yang putus sama sekali.