Sebagai pegawai di Jabatan Pengajian Tinggi, anda telah dijemput untuk menyampaikan ceramah kepada sekumpulan pelajar tingkatan lima di sebuah sekolah dalam majlis pelancaran Minggu Kerjaya. Fokus ceramah itu menekankan kepentingan pendidikan yang berkualiti di negara kita. Sediakan teks ceramah anda selengkapnya.
Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Pegawai Pendidikan Daerah Sepang, guru-guru dan pelajar-pelajar yang dikasihi sekalian. Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Sebagai pegawai kanan di Jabatan Pengajian Tinggi, saya akan menyampaikan ceramah yang berfokus kepada kepentingan pendidikan yang berkualiti di negara kita.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Walaupun negara kita mementingkan aspek pendidikan, namun universiti terbaik tempatan iaitu Uniersiti Malaya masih berada di tangga ke-169 dunia berbanding dengan kedudukan Universiti Nasional Singapura yang berada di tangga ke-24 dunia. Perkara ini jelas menunjukkan bahawa pendidikan kita masih belum setanding dengan pendidikan di negara maju yang lain. Ekoran daripada itu, pihak kerajaan perlulah memainkan peranan bagi meningkatkan taraf pendidikan di negara kita. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat banyak kepentingan pendidikan yang berkualiti di negara kita.
Pendidikan berkualiti mampu menjadikan Malaysia sebagai hab atau pusat pendidikan serantau. Hal ini demikian kerana hab pendidikan serantau dapat memajukan negara kita standing dengan negara maju yang lain. Sebagai contoh, beberapa buah universiti penyelidikan di negara kita bertungkus lumus untuk menjalankan penyelidikan dalam pelbagai aspek untuk meningkatkan taraf pendidikan negara. Hasil daripada penyelidikan tersebut, banyak sektor tempatan dapat dimajukan dari semasa ke semasa. Oleh itu, terbuktilah bahawa pendidikan yang berkualiti berupaya untuk menjadikan negara kita sebagai hab pendidikan serantau sekali gus dapat memajukan pendidikan negara.
Seterusnya, ekonomi negara dapat ditingkatkan hasil daripada pendidikan yang berkualiti. Perkara ini dikatakan demikian kerana pelajar-pelajar dari luar negara akan memilih universiti tempatan untuk menyambung pengajian mereka. Hal ini seterusnya dapat meningkatkan pengaliran wang asing ke negara kita. Sebagai contohnya, kebanyakan kolej swasta di negara kita dapat menarik banyak pelajar asing untuk melanjutkan pengajian di negara kita kerana kualiti pendidikan yang baik. Hal ini seterusnya dapat meningkatkan ekonomi negara kita.
Hadirin sekalian,
Selain itu, pendidikan yang berkualiti juga dapat melahirkan banyak tenaga pakar di negara kita. Pendidikan berkualiti dapat memberikan banyak kemahiran dan taraf pendidikan yang baik setanding dengan pendidikan yang disediakan di negara-negara yang maju. Sebagai contohnya, penyediaan kemudahan dan prasarana yang lengkap berupaya untuk memberikan banyak teknik pengajaran kepada para pelajar seterusnya dapat meningkatkan kemahiran mereka. Melalui kemahiran yang dimiliki, mereka boleh menjadi golongan pakar yang dapat membangunkan banyak sektor di negara kita. Oleh itu, jelaslah bahawa pendidikan berkualiti mampu melahirkan banyak tenaga pakar.
Di samping itu, pendidikan yang berkualiti dapat menjadikan sesebuah negara itu diiktiraf dan dihormati oleh negara-negara lain. Hal ini demikian kerana pendidikan yang berkualiti mampu menyediakan banyak keperluan yang penting kepada para pelajar untuk belajar. Selain itu, pendidikan yang berkualiti juga berupaya untuk melahirkan banyak pelajar yang cemerlang di mata dunia. Disebabkan hal ini, negara-negara lain tidak mampu bersuara dan mempersoalkan kebolehan serta kemampuan negara tersebut. Oleh itu, jelaslah bahawa pengiktirafan dan penghormatan daripada negara-negara lain dapat diperoleh jika sesebuah negara itu menyediakan taraf pendidikan yang berkualiti.
Hadirin yang dihormati,
Akhir sekali, pendidikan yang berkualiti dapat mewujudkan persaingan yang sihat antara negara kita dengan negara maju yang lain. Hal ini demikian kerana pendidikan berkualiti mampu menyediakan pendidikan yang baik setaraf dengan mutu pendidikan negara maju. Sebagai contoh, negara kita telah mengadakan program pertukaran pelajar tempatan dengan pelajar dari United Kingdom. Melalui program ini, para pelajar dapat melibatkan diri mereka dengan pelbagai bentuk perkongsian pintar yang lain. Hasilnya, akan wujudlah daya saing yang baik antara Malaysia dengan negara tersebut. Tegasnya, pendidikan yang berkualiti dapat mewujudkan persaingan antara negara kita dengan negara-negara maju yang lain.
Kesimpulannya, mutu pendidikan sangat penting bagi kemajuan sesebuah negara. Oleh hal yang demikian, pihak kerajaan dan pihak yang bertanggungjawab perlulah berusaha untuk mewujudkan pendidikan yang berkualiti di negara kita.Sekiranya mutu pendidikan kita tidak ditingkatkan maka negara kita akan menghadapi masalah untuk membangunkan negara pada masa hadapan. Oleh itu, marilah kita bersama-sama menyokong tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk meningkatkan kualiti pendidikan yang sedia ada ke tahap yang lebih baik.
Setakat ini sahaja ceramah saya kali ini dan saya ingin memohon maaf sekiranya terdapat kesilapan tutur bicara semasa saya menyampaikan ceramah tadi.
Setakat ini sahaja ceramah saya kali ini dan saya ingin memohon maaf sekiranya terdapat kesilapan tutur bicara semasa saya menyampaikan ceramah tadi.
Sekian, terima kasih.
(642 perkataan)
No comments:
Post a Comment