Saturday, November 3, 2012

PERANAN IBU BAPA

Peranan Ibu Bapa

1. Peranan Ibu bapa Mendidik Anak-anak


Pernyataan ‘keluarga bahagia tunjang kemakmuran negara’ jelas menunjukkan bahawa keluarga memang memainkan peranan yang penting dalam membentuk keperibadian mulia kanak-kanak. Remaja kini sering melibatkan diri dalam masalah sosial yang telah mencetuskan isu polemik dalam kalangan media massa yang saban hari meniti dari bibir ke bibir. Siapakah yang harus dipersalahkan dalam hal ini? Sudah tentu, sesuatu perkara berlaku tentu ada sebab-sebab yang mendorongnya kerana pepohon pokok tidak akan berliuk-lintuk jika tidak ditiup angin. Pembentukan keperibadian mulia anak-anak bermula daripada institusi keluarga. Sesebuah keluarga dibentuk dengan peranan ibu bapa masing-masing.
Ibu bapa seharusnya mementingkan zuriat mereka sendiri daripada kerjaya. Malangnya, kebanyakan ibu bapa kini yang terlalu mementingkan kerjaya sehingga menyebabkan anak-anak mereka di rumah berasa tersisih seperti anak kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Oleh hal yang demikian, ibu bapa haruslah mengimbangkan kerjaya dan kehidupan seharian mereka agar anak-anak dapat mendapat didikan yang baik dari segi fizikal dan mental. Ibu bapa sewajarnya tahu bahawa mujtamak yang kaya dalam kebendaan tetapi muflis dari segi keperibadian akan secara tidak langsung mendampakkan kesan negatif terhadap anak-anak mereka. Oleh itu, keluarga terutamanya ibu bapa memainkan peranan yang penting untuk membentuk keperibadian anak-anak.
Selain itu, ibu bapa haruslah memberi didikan dan asuhan yang baik sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Anak-anak tentunya dapat mengimplimentasikan nilai-nilai murni dan sikap positif ini dalam kehidupan seharian, seterusnya membentuk sanubari yang baik. Ibu bapa merupakan uswah hasanah kepada anak-anak di rumah, oleh hal yang demikian, mereka mestilah sentiasa bersikap penyayang dan berbudi pekerti mulia dan jangan sesekali menjadi seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus, sedangkan diri sendiri berjalan mengiring. Sudah terang lagi bersuluh bahawa jati diri anak-anak dapat dibentuk melalui institusi keluarga khususnya ibu bapa yang memainkan peranan yang penting.
Di samping itu, anak-anak yang berfikiran suci akan sentiasa mencontohi kelakuan ibu bapa mereka kerana bapa borek, anak rintik. Ibu bapa merupakan tempat luahan isi hati dan penyimpan rahsia yang paling dipercayai anak-anak. Lantaran itu, ibu bapa sewajarnya mengindoktrinasikan pucuk-pucuk hijau dengan nilai-nilai murni ini bagai menatang minyak yang penuh kerana anak-anak remaja kini sering melibatkan diri dalam kebejatan sosial dan budaya hedonisme yang begitu cepat merebak bagai virus epidemik. Melalui nasihat dan ajaran yang baik, sudah tentu anak-anak akan tahu cara-cara untukmembezakan antara intan dengan kaca kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi. Institusi keluarga memang merupakan salah satu langkah yang signifikan dalam membentuk keperibadian anak-anak.
 
Dalam nada yang berbeza, keluarga yang marem dan sakinah turut merupakan tempat yang paling baik agar proses pengajaran dan pembelajaran dilakukan dalam kalangan anak-anak. Sikap-sikap yang positif haruslah disemai dalam jiwa anak masing-masing bentuk menjamin kesejahteraan hidup dan pembentukan keperibadian mulia mereka. Anak-anak yang berusia setahun jagung, berdarah setampuk pinang ini mesti diberi penekanan dari segi mental dan fizikal supaya kelak dapat menjadi tunggak negara.
           Intihanya, keluarga merupakan mercu tanda kemakmuran negara dan menggalas tanggungjawab yang berat untuk mendidik anak-anak. Ibu bapa mestilah menjalankan obligasi masing-masing dengan tidak melepaskan batuk di tangga. Jikalau anak-anak kini berjaya membentuk keperibadian yang mulia, sudah tentu anak remaja yang merupakan pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara ini dapat menjadi pemimpin yang berkaliber kelak. Impian mantan Perdana Menteri kita iaitu Pak Lah untuk membentuk sebuah negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang dapat dimakbulkan, sekali gusmenjadikan negara Malaysia berdiri gah di persada dunia.
 
 
2.  Peranan Ibu Bapa dalam Mengatasi Masalah Sosial

Remaja,
Ingatlah masa depanmu,
Kenanglah,
Jasa ibu dan ayahmu,
Susah payah mereka membesarkan kita.
          Lirik lagu di atas cukup jelas memanifestasikan satu mesej kepada para remaja supaya sentiasa menghargai ibu dan bapa mereka. Umum mengetahui, para remaja marcapada ini terlalu lalai dan leka dibuai arus modenisasi. Penglibatan mereka dalam delinkuen social sudah menjadi buah mulut dan mauduk utama perbualan orang mutakhir ini. Jadi, ibu bapa dilihat sebagai satu komponen paling utama malah turut dianggap formula yang cukup mujarab bagi mengatasi masalah dalam kalangan remaja.
           Pertama, ibu bapa perlu menghulurkan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada anak-anak. Hal ini dikatakan demikian kerana remaja merupakan golongan yang sangat menginginkan perhatian. Naluri mereka yang mudah memberontak sudah pasti dapat ditenangkan menerusi perasaan cinta ibu bapa terhadap anak-anak. Api kemarahan dan benteng keegoan yang menebal di dada mereka pasti mudah diruntuhkan dengan kasih sayang ibarat menatang minyak yang penuh kepada anak-anak. Andai kata remaja ketandusan kasih sayang, sudah pasti mereka akan mecari haluan lain untuk melepaskan diri dari kepompong ketidakselesaan. Natijahnya, mereka akan mula berjinak-jinak dengan najis dadah dan tidak mustahil akan terjerumus dalam kancah kemaksiatan. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, kadar remaja lari dari rumah kian meningkat sebanyak 5.7 peratus dari tahun 2007 ke 2008. Jadi, sebelum nasi sudah menjadi bubur, ibu bapa perlu mengutamakan anak-anak mereka berbanding hal-hal lain.
           Selain itu, ibu bapa juga perlu meluangkan masa bersama anak-anak. Hal ini cukup bertepatan dengan langkah Kementerian Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat yang telah mengisytiharkan cuti pada hari Sabtu dan Ahad kepada semua pegawai kerajaan. Perkara ini cukup membuktikan keprihatinan kerajaan Malaysia dalam menyediakan ruang dan peluang kepada ibu bapa untuk bersama anak-anak. Percayalah, anak-anak akan berasa lebih dihargai apabila ibu bapa menghabiskan masa berkualiti bersama mereka. Tamsilannya, ibu bapa boleh membawa anak-anak melancong, beriadah bersama-sama malahan menjalankan aktiviti kerohanian secara berjemaah. Melihat kepada senario masyarakat kontemporari, ibu bapa lebih cenderung untuk mengejar materialistik dan menjadikan pejabat sebagai rumah kedua mereka. Sikap ibarat enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing ini perlu dikikis segera bagi memastikan para remaja tidak terlibat dalam gejala sosial. Maka, jelaslah anak-anak remaja perlu dijadikan prioriti utama dalam usaha membendung kemelut ini.
               Di samping itu, ibu bapa perlu menyediakan pendidikan yang secukupnya kepada anak-anak. Pendidikan ini merangkumi pendidikan formal mahupun pendidikan tidak formal. Tindakan kerajaan Malaysia mewajibkan keseluruhan kanak-kanak di negara ini mendapat pendidikan di sekolah amatlah wajar dan perlu disokong. Sehubungan dengan itu, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak mereka memperoleh pendidikan sewajarnya, selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sementelahan itu, ibu bapa juga perlu menerapkan pendidikan berbentuk tidak formal kepada anak-anak. Pengajaran ilmu-ilmu agama dan nilai-nilai murni selaras dengan norma masyarakat pada hari ini amat penting bagi memastikan kerohanian yang mantap dalam diri anak-anak. Ingatlah, “segala-galanya bermula di rumah”. Begitulah ungkapan kalimah tokoh filsuf terkenal, Franklin D. Roosevelt. Maka, ibu bapalah yang bertindak sebagai agen pencorak utama karakter anak-anak agar mereka tidak mencetuskan cangkaliwang pada hari muka. Justeru, penerapan pendidikan yang sempurna pasti dapat menangani masalah ini.
Seterusnya, ibu bapa perlu mengawasi perilaku anak-anak. Peribahasa Melayu ada menyebut,” kalau tiada angin masakan pokok akan bergoyang”. Setiap perbuatan yang dilakukan oleh anak-anak pasti ada penyebabnya. Sehubungan dengan itu, adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk sentiasa mengikuti perkembangan diri anak-anak remaja mereka. Pergaulan bebas anatara lelaki dan perempuan sudah sinonim dengan masyarakat. Seluar ketat, baju singkat hingga menampakkan pusat ibarat suatu adat. Maka, di sinilah ibu bapa perlu memainkan peranannya iaitu meninjau perubahan sikap anak-anak mereka. Serbuan pihak polis di kota metropolitan Kuala Lumpur iaitu di kelab-kelab malam di sana mendapati hampir 15 peratus anak-anak remaja di bawah umur ditahan positif dadah. Perkara ini jelas menunjukkan andai ibu bapa membiarkan anak-anak mereka tanpa tempat bergantung, mereka akan mudah terlibat dalam kebejatan sosial pada masa ini. Maka, ibu bapa perlu bertindak proaktif dan pragmatik dalam usaha membasmi gejala sosial dalam kalangan anak-anak remaja.
          Akhir sekali, ibu bapa perlu melengkapkan keperluan asas anak-anak. Sekali air bah, sekali pantai berubah. Begitu juga dengan perkembangan dunia yang kian ekstrem menjengah kita. Oleh itu, dalam kita mengharung arus modenisasi, sudah tentu anak remaja tidak mahu dihimpit dengan ketidakselesaan dan pemikiran yang jumud. Maka, sebagai ibu bapa, mereka perlu menyediakan keperluan asas anak-anak bagi menjamin keselesaan. Tempat tinggal yang kondusif, pakaian yang bersesuaian serta makanan dan minuman yang berkhasiat perlu disediakan. Hal ini amat penting bagi memastikan anak-anak berasa seronok berada di rumah lantas tidak terlibat dalam gejala sosial. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh sekumpulan mahasiswa Fakulti Sains Kemasyarakatan, Universiti Malaya, anak-anak remaja daripada golongan miskin lebih cenderung untuk terlibat dalam penagihan najis dadah. Hal ini pastinya akan dapat dibendung andai segala keperluan asas remaja dilengkapkan walaupun ibu bapa tidak melambakkan kemewahan kepada mereka.
         Intihanya, ibu bapa perlu memantapkan kemahiran keibubapaan mereka lagi dalam mendidik anak-anak. Contohilah ketokohan Luqmanul Hakim yang cukup hebat mendidik anak-anaknya berorientasikan Al-quran dan al-Hadis. Kita tidak mahu remaja-remaja yang bobrok dan kaya dengan pidana dihasilkan. Sebaliknya, kita inginkan barisan remaja yang berkaliber, cukup syumul dan utopia hasil didikan kedua-dua ibu bapa mereka. Marilah kita berubah, “sebelum padi di tangan menjadi lalang” dan “ayam ditambat disambar helang”, ayuhlah ibu bapa, berkorbanlah demi masa depan anak-anak tercinta.
Berkorban apa sahaja,
Harta ataupun nyawa,
Itulah kasih mesra,
Sejati dan mulia.
Ingatlah, ibu bapa cemerlang, anak-anak gemilang!

No comments:

Post a Comment