Monday, February 11, 2013

BINA AYAT

Tulis ayat dengan menggunakan perkataan yang di bawah dengan menunjukkan maksud yang jelas. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan, dan menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.
1. Penambahbaikan
Maksud : perihal (proses, perbuat­an, tindakan ) menjadikan bertambah baik
Contoh Ayat
Laman web ini secara keseluruhannya masih dalam proses penambahbaikan dan banyak lagi bahan yang akan dimuatnaik dari
masa ke masa.
2. Penyatupaduan
Maksud : perbuatan atau proses menyatupadukan
Contoh Ayat  
Melalui penetapan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan penyatuanpaduan kaum di negara kita berjaya dilakukan oleh pihak kerajaan.
3. Pengenalpastian
Maksud :perihal usaha me­ngenal pasti
Contoh Ayat
Maklumat itu dapat membantu pihak pentadbiran dalam proses pengenalpastian  pelajar yang memerlukan kelas pemulihan dalam bahasa Malaysia.
4. Pengubahsuaian
Maksud : perbuatan atau hal mengubah suai.
Contoh Ayat
Kerja-kerja pengubahsuaian rumah itu akan dibuat pada masa cuti sekolah nanti.
5. Penguatkuasaan
Maksud :perihal menguatkuasakan sesuatu
Contoh Ayat
Melalui penguatkuasaan undang-undang yang tegas , kemalangan jalan raya akan  dapat  dikurangkan semasa musim cuti perayaan.
6. Pengantarabangsaan
      Maksud :perihal atau usaha mengantarabangsakan
Contoh Ayat
Pengantarabangsaan bahasa Malaysia perlukan dilakukan melalui pelbagai cara dengan  penuh iltizam.
7. Keibubapaan
Maksud : sifat atau hal yg berkaitan dengan ibu bapa
Contoh  Ayat
Kemahiran keibubapaan adalah kemahiran asas dan utama yang perlu dimiliki oleh setiap insan yang bergelar ibu dan bapa.
8. Ketatabahasaan
Maksud :hal yang berkaitan dengan tatabahasa
Contoh Ayat
Aspek ketatabahasaan perlu ditekankan semasa membina ayat agar ayat yang dibina akan   menjadi lebih gramatis.
9. Kewarganegaraan
Maksud :kerakyatan sesebuah negara
Contoh Ayat
Kewarganegaraan seseorang itu akan dilucutkan jika didapati dia mempunyai kerakyatan  negara lain.
10. Kedayaserapan
Maksud :Keupayaan suatu bahan menyerap bahan lain atau menyerap tenaga.
Contoh Ayat
Lampin pakai buang kanak-kanak perlulah mempunyai kedayaserapan yang tinggi agar kanak-kanak berasa selesa semasa memakainya.
11. Kesukarelaan
Maksud :sikap sukarela
Contoh Ayat
Seseorang yang bergiat aktif dalam pertubuhan kebajikan mestilah mempunyai semangat  kesukarelaan yang tinggi.
12. Keantarabangsaan
Maksud :keadaan sesuatu yang bersifat antarabangsa.
Contoh Ayat
Sikap keantarabangsaan pemimpin negara kita telah memudahkan hubungan negara  Malaysia ke seluruh dunia.

No comments:

Post a Comment