Karangan bahan rangsangan - Cara-cara untuk mengekalkan permainan tradisional dalam kalangan remaja di Malaysia.
Tiada penyakit yang tiada penawarnya. Pelbagai usaha yang efektif dan drastik boleh dilaksanakan bagi memastikan warisan terunggul permainan tradisional ini lestari terpelihara. Bertitik tolak daripada itu, ibu bapa perlulah memainkan peranan penting dalam menyemai sikap cinta akan permainan tradisional dalam diri anak-anak. Amnya, pendidikan bermula dari rumah. Sejajar dengan itu, ibu bapalah yang perlu mencorak anak-anak yang diibaratkan seperti kain putih itu kerana bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Di samping itu, ibu bapa perlulah membelikan peralatan permainan tradisional seperti congkak dan wau sekali gus mengajar anak-anak mereka bermain permainan tersebut. Pendedahan awal sangat penting bagi tunas negara ini kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Secara tidak langsung, minat terhadap permainan ini akan dapat disemai dalam diri generasi muda dewasa ini.
Seterusnya, pihak sekolah juga tidak terlepas dalam usaha menjayakan hasrat murni ini. Hal ini kerana sekolah adalah rumah kedua bagi pelajar yang rata-ratanya daripada golongan remaja. Pihak sekolah perlulah melancarkan minggu permainan tradisional. Secara tidak langsung pelbagai pertandingan akan dianjurkan. Contohnya pertandingan permainan gasing, congkak atau permainan galah panjang. Selain itu, acara-acara permainan sebegini juga boleh diselitkan dalam majlis-majlis tertentu seperti kejohanan olahraga sekolah dan majlis sambutan Hari Guru. Bak kata pepatah, sambil menyelam minum air. Pendekatan sebegini hakikatnya lebih efektif. Sesi pengajaran dalam kelas juga perlu diberi perhatian. Tajuk permainan tradisional juga boleh dijadikan tugasan kepada golongan pelajar contohnya bagi mata pelajaran sivik. Secara tidak langsung, para pelajar akan mengkaji dan menyelidik tentang sesuatu permainan tradisional hingga ke akar umbi. Oleh itu, mereka tidak akan cetek informasi dan hal ini dapat mendaulatkan permainan tradisional dalam kalangan remaja.
Selain itu, media massa seperti stesen televisyen, radio dan akhbar seharusnya turun padang. Hal ini kerana menerusi media massa suatu perkhabaran akan dapat dicanag atau diuar-uarkan secara cepat dan tepat. Oleh itu, pihak yang terlibat sewajarnya berkempen dengan menyiarkan iklan-iklan berkaitan permainan tradisional yang kian dipinggirkan. Sebagai contoh, langkah beberapa stesen televisyen menyiarkan produk pelancongan di Malaysia menunjukkan betapa komitmennya kementerian pelancongan untuk menarik pelancong datang ke sesebuah tempat. Langkah pragmatik sebegini boleh diguna pakai untuk mempromosikan permaiana tradisional di negara kita. Umum juga mengetahui bahawa media dan kerajaan mempunyai pertalian yang erat. Media massa merupakan medium perantara antara rakyat dan kerajaan. Hal ini secara langsung mempermudah untuk mengangkat martabat permainan tradisional gah di seluruh dunia.
Sebagai intiha, pelbagai inisiatif boleh dilaksanakan demi memastikan visi kudsi warisan bangsa ini tidak hilang ditelan arus modenisasi. Resmi manusia habis madu sepah dibuang perlulah dikikis untuk menjulang warisan leluhur bangsa ini. Tiada dahulu, tiadalah sekarang. Warisan terunggul permainan tradisional perlulah dipelihara sebaik-baiknya agar warisan gemilang zaman ini tidak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan dalam meniti arus globalisasi ini.
[512 patah perkataan]
Tq banyak².membantu
ReplyDelete