Saturday, November 3, 2012

USAHA MENGEKALKAN PERMAINAN TRADISIONAL



Usaha bagi Mengekalkan Permainan Tradisional

           Dalam era globalisasi ini, permainan tradisional mula dilupakan. Hal ini terjadi kerana pengaruh permainan moden seperti permainan video, permainan komputer, dan sebagainya berleluasa di pasaran. Mungkin ramai orang tidak tahu bahawa permainan tradisional membawa banyak kebaikan jika permainan ini dipraktikkan oleh generasi muda hari ini. Permainan tradisional bukan sahaja memberi hiburan, malah ia memberi manfaat terhadap kecerdasan rohani dan jasmani sewaktu bermain, terutama di luar rumah. Oleh itu, usaha-usaha tertentu perlu diambil untuk mempopularkan permainan ini, terutamanya kepada generasi muda.
             Usaha bagi mengekalkan permainan tradisional adalah peranan sekolah agar mengadakan kegiatan kokurikulum yang berkaitan permainan tradisional. Contoh permainan tradisional ialah permainan congkak, mencipta wau sobek atau bermain sepak raga. Bukan sahaja mengadakan pertandingan, tetapi langkah mewajibkan permainan ini di sekolah turut mampu memupuk minat dalam jiwa remaja kita. Tindakan ini bertujuan memastikan semua pelajar di sekolah akan menyertai satu permainan tradisional sebagai aktiviti kokurikulum mereka.  Hal ini demikian kerana jiwa para pelajar yang ingin mencuba perkara baru akan tertarik perhatiannya untuk menyertai kegiatan kokurikulum berdasarkan permainan tradisional ini kerana mereka kurang terdedah dengan permainan-permainan tersebut. Dengan ini, generasi muda terutamanya pelajar sekolah dapat mengenal permainan tradisional dan boleh mengetahui cara-cara bermain permainan ini. Oleh itu, tindakan mengadakan kegiatan kokurikulum berdasarkan permainan tradisional di sekolah berupaya mengekalkan kewujudan permainan ini pada saat masa yang panjang.
           Selain itu, usaha yang dapat dilakukan adalah peranan pihak Kementerian Kesenian, Kebudayaan, dan Warisan agar mengadakan pesta permainan tradisional di peringkat negeri atau kebangsaan serta memberi sijil penghargaan kepada sesiapa yang menyertainya. Hal ini dapat menarik perhatian para pelajar sekolah untuk menyertai pesta tersebut dengan ganjaran sijil penghargaan yang sedikit sebanyak dapat membantu mereka dalam melanjutkan pelajaran. Langkah ini berupaya untuk mencungkil bakat-bakat baru yang pada masa yang sama menggalakkan remaja meminati permainan ini. Dengan memperluas permainan tradisional hingga ke peringkat angtarabangsa seperti permainan wau dan permainan sepak raga juga membantu dalam mengekalkan kewujudan permainan tradisional. Usaha memperkenalkan kepada para pelancong melalui program pelancongan “tak kenal maka tak cinta” dapat menjadikan permainan tradisional berada dalam taraf angtarabangsa. Oleh itu, jelaslah bahawa peranan pihak Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan amat penting dalam mengekalkan kewujudan permainan tradisional.
          Di samping itu, kerajaan juga perlu membina lebih banyak kemudahan untuk permainan tradisional. Pembinaan kawasan padang dan gelanggang khas membolehkan lebih banyak rakyat negara ini turut melibatkan diri dalam permainan tradisional yang memberi banyak kesan positif kepada rakyat Malaysia seperti manyatupadukan dan mengeratkan silaturahim sesama masyarakat. Suasana yang meriah sebegini pasti memberikan impak positif kepada masyarakat. Mereka melihat permainan ini sebagai sesuatu yang penting dalam kehidupan harian mereka.. Sesungguhnya, lebih banyak kawasan khas permainan ini disediakan semakin bertambahlah minat masyarakat kita untuk bermain permainan tradisional. Malah, satu kempen yang terancang tentang permainan ini perlu diadakan oleh pihak berkuasa. Dalam kempen itu dipamerkan kepentingan permainan tradisional dibekalkan bersama-sama dengan sejarah permainan, tokoh dan sebagainya. Semua informasi ini memberikan satu pengetahuan baru kepada masyarakat yang mungkin boleh menimbulkan minat dan penghargaan mereka terhadap permainan tradisional.
            Akhir sekali, berkaitan dengan pembinaan gelanggang, pihak kerajaan boleh memajukan permainan tradisional dengan turut menyediakan jurulatih yang terlatih dan mahir di setiap gelanggang yang telah disediakan itu. Dengan adanya jurulatih ini memastikan masyarakat menerima latihan yang betul tentang sesuatu permainan tradisional itu dan berupaya mengajarkan pengetahuan mereka itu kepada anak-anak mereka pula. Langkah ini memastikan berlakunya kesinambungan dalam memainkan permainan tradisional yang semakin dilupakan kerana tiadanya tunjuk ajar yang tepat tentang permainan tersebut. Jelaslah, permainan tradisonal ini akan terus dimainkan jika ada jurulatih yang bertauliah untuk mengajar masyarakat kita. Peranan media massa dalam menyiarkan program yang memaparkan permainan tradisional dan sukaneka berteraskan permainan tradisional seperti program ‘telematch’ yang disiarkan oleh media massa Eropah juga menjadi satu langkah efektif untuk menjadikan permainan tradisional mendapat tempat di hati rakyat Malaysia terutamanya generasi muda.
             
           Kesimpulannya, dalam usaha untuk mengekalkan permainan tradisional, pihak yang berkenaan haruslah mengambil langkah yang sesuai untuk memperkembangkan dan memajukannya. Hal ini demikian kerana permainan tradisional membawa banyak kebaikan kepada masyarakat dan negara. Dalam bidang pelancongan misalnya permainan tradisional dapat dijadikan daya tarikan pelancong. Khazanah permainan tradisional, sekiranya tidak dikekalkan akan melenyapkan identiti bangsa.


671 perkataan

18 comments: