Amalan berjimat cermat merupakan sikap yang mulia dan
seharusnya dipraktikkan sepenuhnya oleh masyarakat Malaysia apatah lagi
dengan keadaan harga barangan yang semakin meningkat kesan daripada
kenaikan harga bahan bakar di pasaran dunia. Sikap boros ketika
berbelanja haruslah ditangani agar tidak menyusahkan diri dan keluarga.
Oleh itu, langkah-langkah yang sewajarnya perlu diambil untuk menanamkan
sikap berjimat cermat dalam kalangan masyarakat.
-
............Antara langkah efektif
yang telah diambil oleh kerajaan untuk mengalakkan rakyat Malaysia
mengamalkan sikap mulia ini adalah dengan menanmkan sikap rajin
menabung. Kerajaan telah mengambil inisiatif bagi memupuk semangat
menabung dalam kalangan pengguna. Pengenalan Kumpulan Wang Simpanan
Pekerja (KWSP) ialah contoh kesungguhan kerajaan untuk menyedarkan
masyarakat akan pentingnya perancangan masa depan kerana kita perlu menyediakan payung sebelum hujan.
............Ibu bapa juga seharusnya
memupuk sikap suka menabung kepada anak-anak sejak dari kecil lagi.
Anak-anak harus dididik mempunyai tabungan sendiri di rumah iaitu
menabung wang lebihan perbelanjaan sekolah mereka dan menggunakan
simpanan mereka apabila ingin membeli barangan keperluan sendiri. Ibu
bapa juga boleh membuka akaun simpanan anak-anak di bank-bank tempatan
seperti Bank Simpanan Nasional , bank Rakyat dan sebagainya kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Institusi perbankan hendaklah dimanfaatkan sebagai tempat menyimpan
wang yang selamat dan hasil daripada tabungan ini dapat digunakan untuk
keperluan masa depan yang lebih gemilang.
............Masyarakat juga hendaklah
prihatin akan peranan skim-skim saham amanah. Kementerian Perdagangan
dan Hal Ehwal Pengguna telah menjayakan Minggu Saham Amanah bagi memupuk
kesedaran melabur dalam kalangan pengguna. Oleh itu, masyarakat
hendaklah sedar akan peluang yang terbuka luas untuk melabur dan
seterusnya mendapat dividen yang diagihkan pada setiap tahun. Hal ini
pasti akan mendatangkan kebahagiaan kepada masyarakat kerana masyarakat
yang bahagia mempunyai masa depan yang terjamin.
...........Sebelum membeli barangan,
perancangan yang teliti hendaklah dilakukan terlebih dahulu.
Barang-barang yang mahu dibeli perlu disenaraikan. Perbelanjaan berhemat
ini wajar dipraktikkan bagi mengelakkan sebarang pembaziran dan
masyarakat hendaklah membeli barangan mengikut keperluan, bukan mengikut
nafsu. Ketika berbelanja, penggunaan kad kredit juga patut dielakkan
kerana akan menambah beban tanggungan hutang dan lama kelamaan pengguna
akan mengalami masalah kewangan. Justeru, mayarakat wajar berpegang pada
peribahasa berjimat sebelum terlambat, beringat sebelum terkena.
............Kesimpulannya, amalan
berjimat cermat sudah pasti akan melahirkan masyarakat yang bijak dan
progresif kerana mempunyai sumber kewangan yang mencukupi dan sudah
tentu untuk jaminan masa hadapan yang lebih cerah, seperti kata tokoh
Mahatma Gandhi, berfikirlah untuk hari esok, namun bertindaklah hari ini.
Oleh yang demikian, pelbagai pihak wajar memainkan peranan agar amalan
berjimat cermat menjadi budaya masyarakat kita setiap masa tanpa mengira
peringkat umur.
No comments:
Post a Comment