KEPENTINGAN SEMANGAT KEJIRANAN
Nusa
tercinta kita Malaysia merupakan negara yang mempunyai anak watan berbilang
kaum dan hidup secara bersama sehati sejiwa ibarat seikat bak sirih serumpun bak serai. Sehubungan dengan itu, kebanyakan anggota masyarakat hidup berjiran di kawasan
bandar ataupun di kawasan luar bandar dan mereka saling berhubung, bertemu dan
berurusan antara satu sama lain. Namun ada lakaran suram yang menyelubungi kita
bahawa ada pandangan yang menyatakan bahawa semangat kejiranan dalam kalangan
masyarakat Malaysia pada masa ini dikatakan semakin terhakis ibarat hidup segan mati tak mahu. Banyak
kempen dan usaha telah dijalankan oleh
pelbagai pihak untuk merapatkan kembali hubungan dalam kalangan jiran kerana
semangat kejiranan begitu penting dalam kehidupan bermasyarakat.
Sebenarnya
semangat kejiranan dapat memupuk
kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat di sesuatu tempat . Kerjasama
ini boleh dipupuk melalui penglibatan anggota masyarakat dalam pelbagai
aktiviti yang diadakan di kawasan tempat mereka tinggal. Aktiviti
kemasyarakatan seperti gotong-royong, majlis sambutan perayaan atau perjumpaan bulanan komuniti dapat
mempertemukan semua jiran, saling berkenalan dan merapatkan hubungan . Mereka
akan lebih mesra, saling membantu bagai
aur dengan tebing tanpa membezakan warna kulit, bangsa atau kepercayaan.
Hal ini menunjukkan bahawa semangat kejiranan yang dipupuk dapat membentuk
kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat seterusnya membentuk ukhuwah yang
kukuh dan ampuh.
Selain itu
semangat kejiranan juga penting kerana dapat membentuk semangat kekitaan dan melahirkan masyarakat yang bersatu
padu. Mengimbas kembali Peristiwa 13 Mei 1969 menunjukkan bahawa jika
masyarakat tidak bersatu padu dan berpecah-belah, negara akan musnah dan
kehidupan anggota masyarakat tidak akan selesa dan aman. Tuntasnya, semangat kejiranan membolehkan semua anggota masyarakat
memahami antara satu sama lain. Masyarakat yang berbilang kaum ini boleh
mempelajari perbezaan budaya dan sistem
sosial masyarakat lain seterusnya memahami sensitiviti mereka agar dapat
bertoleransi, bekerjasama dan saling menghormati. Tegasnya semangat kejiranan penting
dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu dan seterusnya dapat memacu
pembangunan negara ke arah kegemilangan.
Di
samping itu, semangat kejiranan juga penting kepada negara kerana memudahkan kerajaan melaksanakan pelbagai
program pembangunan dan membawa kemajuan kepada rakyat. Slogan Negara Maju Rakyat Sihat menunjukkan
apabila rakyat hidup dalam keadaan sihat sejahtera maka pelbagai rancangan
pembangunan dapat diatur, dirancang dan dilaksanakan secara lancar tanpa
sebarang kekangan. Jika masyarakat dapat hidup bersama dalam suasana yang aman
dan harmoni maka segala kemajuan yang disediakan oleh kerajaan di seluruh
pelosok tanah air akan dapat dinikmati bersama-sama secara adil dan saksama.
Sebagai contohnya, kerajaan telah berupaya membina pelbagai kemudahan dan infrastrukutr
di kawasan taman-taman perumahan seperti dewan orang ramai, balai raya, taman
permainan kanak-kanak mahupun pusat komuniti atas inisiatif, semangat kejiranan
dan perpaduan yang ditunjukkan oleh anggota masyarakat di sesetengah kawasan
tempat tinggal. Jelaslah semangat kejiranan penting bagi membantu anggota
masyarakat dalam suatu kawasan kejiranan menikmati pelbagai kemudahan awam yang
disediakan oleh pihak kerajaan.
Negara yang cemerlang lahir daripada rakyatnya yang berhemah
tinggi dan hidup bersatu padu seia sekata . Jika masyarakat dapat berganding
bahu dan saling mengekalkan kehidupan yang harmoni maka negara akan melakar
kejayaan gemilang. Semangat kejiranan merupakan salah satu elemen penting dan
vital yang membantu melahirkan anggota
masyarakat yang harmoni, mempunyai jati diri dan semangat cinta akan negara .
Melalui
hubungan kejiranan, pelbagai aktiviti berbentuk pemupukan nilai-nilai
patriotisme
dapat diimplimentasikan. Sebagai contoh, mengibarkan jalur gemilang,
mengadakan
pameran sempena ulang tahun kemerdekaan negara ataupun menyertai
perarakan
dalam sesebuah pesta. Datuk Azhar Bin Mansor merupakan contoh paling
jelas, dan atas sokongan rakyat Malaysia membolehkan beliau melakukan
pelayaran solo mengelilingi dunia sambil mengibarkan jalur gemilang
dengan
penuh kejayaan. Hal Ini jelas menunjukkan keharmonian kehidupan rakyat
Malaysia
membolehkan mereka melakukan sesuatu hal
dan perkara yang amat hebat bagi melaonjakkan Malaysia di persada
antarabangsa.
Semangat
kejiranan yang wujud dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum
juga penting sebagai produk pelancongan.
Sesungguhnya, kedatangan pelancong asing ke negara ini banyak disebabkan
kehidupan masyarakat Malaysia yang unik, mempunyai pelbagai seni budaya yang
menarik dan hidup secara harmoni dalam komuniti kejiranan. Sesungguhnya, perpaduan
masyarakat banyak membantu menarik kehadiran pelancong terutamanya ketika musim
perayaan besar. Sebagai contohnya pada sambutan Hari Kemerdekaan, Majlis Rumah
Terbuka dan sambutan pesta-pesta tertentu menampilkan perpaduan masyarakat
berbilang kaum di negara kita yang amat disukai oleh para pelancong asing tersebut .
Selain di kawasan bandar, produk pelancongan seperti Program Homestay atau Inap
Desa di kawasan luar bandar juga dapat menunjukkan semangat hidup berjiran
dalam kalangan masyarakatnya . Maka sememangnya semangat kejiranan dalam
kalangan masyarakat Malaysia sangat berfaedah dan membawa pulangan ekonomi yang
begitu memberangsangkan kepada negara.
Intihanya,
semangat kejiranan merupakan sebahagian daripada amalan dan menjadi budaya
masyarakat di Malaysia yang menjadikan negara kita unik pada pandangan
masyarakat di luar sana malah dikenali di seluruh dunia. Tuntasnya, Semangat
kejiranan bukan sahaja penting dalam mengekalkan suasana harmoni dalam kalangan
rakyat di negara kita malah sumbangannya cukup besar terutamanya bagi memastikan
Malaysia terus cemerlang dan mampu berdaya saing pada masa akan datang
kerana rakyatnya yang bersahsiah terpuji
bagi melahirkan modal insan berminda kelas pertama yang dapat memacu negara tercinta
ke arah kegemilangan di puncak jagat.
No comments:
Post a Comment