NOVEL AZFA HANANI (TINGKATAN EMPAT)
SINOPSIS BAB DEMI BAB
1. Takut:
Ketika rakan-rakannya menumpukan perhatian terhadap
pembelajaran Kimia, Azfa Hanani diburu rasa takut sekiranya namanya dipanggil
pengetua kerana mencuri buku dari perpustakaan. Padanya, dia bukan bertujuan
untuk mencuri sebaliknya hanya "meminjam" untuk mengulang kaji
pelajaran kerana tidak mampu untuk membeli buku rujukan tersebut. Dia takut
dibuang sekolah kerana perbuatannya mencuri, sekali gus namanya akan tercemar.
Semua terjadi disebabkan kemiskinan keluarga pak long yang memeliharanya sejak
kedua-dua ibu dan bapanya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Dia
semakin takut apabila pengetua mahu menemuinya.
2. Siapa Mereka?:
Di bilik pengetua, terdapat tetamu yang begitu asing
baginya, iaitu Tengku Mazran, Syafinaz dan Syarifah Rozan. Mereka memberitahu
dirinya kembar seiras Tengku Murni, seorang remaja yang meninggal dunia dalam
suatu kemalangan empat bulan lalu. Tengku Mazran dan Syafinaz memberitahu
bahawa dia berkunjung ke rumah Syarifah Rozan semalam dan ternampak gambarnya
dalam album. Gambarnya seiras wajah adiknya, Tengku Murni. Azfa Hanani
ditawarkan menjadi anak emas keluarga kaya dan menyamar sebagai Tengku Murni
kerana wajah mereka seiras, umpama kembar.
Datin Maziah tidak dapat menerima hakikat bahawa anak
gadis tunggalnya telah meninggal dunia. Dia menuduh anak-anak lelakinya telah
melarikan Tengku Murni. Oleh sebab itu, mereka bercadang untuk mengambil Azfa
Hanani menggantikan Tengku Murni bagi menenangkan hati Datin Maziah. Azfa
Hanani agak risau untuk menerima tawaran itu walaupun dijanjikan dengan
pelbagai kemewahan. Namun begitu, dia akan mencuba jika diizinkan oleh pak long
dan mak longnya.
3. Kerana
Terdesak:
Tengku
Mazran dan Syafinaz yang ditemani oleh Abang Norman dan Pak Haji Arshad tiba di
rumah pak long untuk berbincang dengan pak long dan mak long. Pak Haji Arshad
menjadi orang tengah dalam perbincangan itu. Tengku Mazran menceritakan
kemalangan yang menimpa adiknya, Tengku Murni. Menurut Tengku Mazran, apabila
ibunya, Datin Maziah tersedar daripada koma, yang ditanya ialah Tengku Murni. Puas mereka berdalih dengan mengatakan Tengku Murni
mengikuti program pertukaran pelajar di Jepun. Dia tidak mampu berterusan
menipu dan tidak mahu ibunya menghadapi tekanan jiwa. Tengku Mazran meminta
keizinan pak long dan mak long untuk membawa Azfa Hanani ke Kuala Lumpur.
Sebagai balasan, sekiranya Azfa Hanani mahu menggantikan tempat "Tengku
Murni", kos perubatan anak pak longnya, Zuraini yang hampir lumpuh akan
ditanggung. Azfa Hanani berfikir, sekiranya dia masih kekal di Sekolah Menengah
Sri Dian, dia akan dibuang sekolah kerana mencuri buku di perpustakaan. Selain
itu, bila-bila masa sahaja pak longnya akan memberhentikan persekolahannya
kerana kesempitan hidup. Setelah memikirkan masalah dirinya dan penyakit
Zuraini boleh disembuhkan, akhirnya dia menerima tawaran Tengku Mazran.
4. Seawal
Kehadiran:
Di Hotel Universe, Tengku Mazran dan isterinya, Syafinaz
mengajar cara-cara bertutur, makan dan bergaul dengan Datin Maziah. Apabila
tiba di banglo yang dimaksudkan, dia dibawa ke bilik Tengku Murni ketika
hayatnya dahulu. Tengku Mazran dan Syafinaz memujuk Azfa Hanani akan sikap
kasar Tengku Muzaffar yang mengungkapkan kata-kata menyakitkan hatinya. Azfa
Hanani kemudian berehat di dalam bilik itu. Ketika itu, dia teringat akan
kata-kata Nordin sebelum dia bertolak ke sini, bahawa bukan dia yang dituduh
mencuri buku, sebaliknya yang mencari beberapa orang pelajar lelaki. Apabila
Datin Maziah sudah terjaga daripada tidur, Azfa Hanani dibawa bertemu. Dia mengikut arahan seperti yang diajar oleh Tengku
Mazran dan Syafinaz.
5. Sebagai
Murid Baharu:
Azfa
Hanani dihantar belajar di Sekolah Menengah Taman Sari. Di sekolah itu, dia
berkenalan dengan saudara dua pupu Tengku Murni, iaitu Tengku Ellina. Dia juga
berkenalan dengan rakan-rakan Tengku Murni yang lain seperti Adriani, Ekran,
selain 'musuh' Tengku Murni, iaitu Laili, Syafikah, dan Fauziana yang dipanggil
Budak Glamor. Tengku Ellina menyatakan kehairanannya kerana sehingga kini kad
pengenalan, kad ATM dan dompet Tengku Murni belum ditemukan lagi.
6. Imbalan
Budi:
Sekembalinya Azfa Hanani dari
sekolah, dia telah disambut oleh Datin Maziah. Dia makan bersama-sama dengan
Datin Maziah dan Kak Finaz. Dia kekok makan menggunakan sudu dan garpu. Azfa
Hanani bertanyakan tentang dompet Tengku Murni yang hilang itu kepada Kak
Finaz. Kak Finaz menyatakan mungkin dompet itu telah diambil orang. Azfa Hanani
bimbang rahsianya terbongkar. Kak Finaz meyakinkannya bahawa mayat yang dikebumikan
itu memang mayat Tengku Murni. Di dalam bilik, Azfa Hanani menemukan diari
Tengku Murni dan dibaca diari itu untuk mengetahui peribadi Tengku Murni.
Tengku Datuk Makmur datang menemui Azfa Hanani di biliknya.
Dia akan membayar RM500 sebulan kepada Azfa Hanani sebagai upah kerana menyamar
sebagai Tengku Murni. Azfa Hanani tidak menyangka budinya akan dibalas dengan
wang ringgit. Namun dia
terpaksa menerima wang itu demi membantu pak long di kampung.
7. Kerenah Laili:
Azfa Hanani
ke sekolah untuk menghadiri majlis perjumpaan pelajar tingkatan 5 bagi
membincangkan projek Hari Sumbangsih. Program yang diatur meliputi
pasar ria, kejohanan sukan terbuka, dan pameran. Pada tahun lalu program tersebut telah berjaya
mengumpul wang sebanyak RM 16 ribu. Laili tidak berpuas hati dan mendakwa
kononnya terdapat ketidakadilan dalam pengagihan slot. Dia tidak
berpuas hati kerana tidak diberikan slot mengendalikan Malam Bakat Sumbangsih.
Laili turut mempertikaikan kejujuran dan keikhlasan jawatankuasa yang terlibat.
Dakwaan Laili dibantah oleh Ekran dengan menjelaskan bahawa agihan slot dibuat
melalui undian. Setiap ketua tingkatan mengambil bahagian dalam undian tersebut
dan seharusnya soal ketidakadilan tidak sepatutnya ditimbulkan.
8. Tertanya-tanya:
Azfa Hanani tertanya-tanya mengapa dia tidak dapat berbual panjang dengan
Ekran. Lidahnya menjadi kelu kala berhadapan dengan Ekran. Dia juga
tertanya-tanya mengapa Ekran menjual burger berhampiran dengan Plaza Cahaya
sedangkan gayanya tidak membayangkan kesusahan hidupnya. Di perpustakaan,
Fauziana dan Syafikah menawarkan Azfa Hanani sebagai pengacara Malam Bakat
Sumbangsih kerana suaranya sesuai. Azfa Hanani tahu bahawa majlis itu diuruskan
oleh pelajar Tingkatan 5 Sastera II, jadi dia menganggap tidak perlu masuk campur.
Azfa Hanani menolak dengan baik kerana menyedari niat mereka tidak ikhlas. Penolakannya
itu membuatkan mereka begitu marah.
9. Ekran:
Azfa Hanani mengikuti kelas bahasa Inggeris dan bahasa Jepun di Institut Lingua
Franca. Dia pergi ke Institut untuk meminjam beberapa buah buku. Sebenarnya dia
cuma beralasan untuk keluar rumah. Hasrat hatinya adalah untuk menemui Ekran.
Ketika berada di tempat tersebut, Iskandar mahu menghantarnya pulang dengan
menaiki motorsikal. Azfa Hanani menolak kerana dia tidak mengenali lelaki itu.
Azfa Hanani berpeluang bertemu Ekran yang menjual burger pada hari itu.Ekran
menjelaskan minatnya untuk menjadi akauntan.
10. Meluah Rasa:
Azfa Hanani meluahkan perasaannya kepada Ekran dan menjelaskan bahawa dia bukan
Tengku Murni. Dia hanya
seorang budak kampung yang hidup dalam serba kekurangan. Dia bukan anak manja
Tengku Datuk Makmur dan Datin Maziah. Azfa Hanani hanya menyamar sebagai Tengku
Murni untuk memenuhi janjinya kepada Abang Mazran dan Kak Finaz. Dia
juga menerima tawaran mereka kerana tidak mahu keciciran dalam pelajaran. Selain itu dia ingin membalas budi
pak long dan mak longnya. Abang Mazran dan Kak Finaz telah berjanji untuk
menanggung segala kos rawatan Zuraini yang lumpuh.
11. Bukan Dirancang:
Azfa Hanani tidak merancang untuk ke rumah Tengku Ellina. Tengku Ellina
mengajaknya ke rumah kerana pasukan Forum Remaja Sekolah Menengah Taman Sari
akan mengadakan sesi perbincangan dan latihan. Datin Maziah memberikan
persetujuan akan hasrat Azfa Hanani ke rumah rakannya, Tengku Ellina. Azfa
Hanani berasa bersalah kerana berbohong kepada Datin Maziah. Datin Maziah
mengingatkan Azfa Hanani agar memberikan fokus terhadap SPM supaya memperoleh
keputusan cemerlang seperti "abang-abangnya". Tengku Muzaffar
menghantar Azfa Hanani dengan menaiki motosikal berkuasa tinggi. Setibanya di
rumah Tengku Ellina, rakan-rakannya telah sedia menunggu. Tengku Ellina meminta
Azfa Hanani menggantikan tempatnya sebentar sebagai Pengerusi Forum Remaja,
sementara dia mengendalikan mesyuarat sekretariat pameran luar untuk Hari
Sumbangsih. Setelah ahli-ahli pasukan Forum Remaja melihat kepetahan dan
kelancaran Azfa Hanani sebagai pengerusi, mereka memutuskan bahawa Azfa Hanani
akan kekal mempengerusikan Forum Remaja.
12. Melulu:
Pertandingan Forum Remaja yang akan diadakan di dewan besar sekolah bakal
berlangsung sebentar lagi. Azfa Hanani membuat persiapan; memakai
tali leher dan menghafal skrip. Azfa Hanani mendapat khabar gerai burger Ekran
telah dibakar orang menyebabkan dia bergegas ke bilik persatuan untuk
mendapatkan penjelasan daripada Ekran. Ekran tidak ditemui sebaliknya dia
bertemu dengan Laili yang tidak berpuas hati akan sikapnya menarik diri sebagai
pengacara Malam Bakat Sumbangsih. Kata-kata menghina yang diucapkan Laili telah
menggetarkan perasaan Azfa Hanani sebelum melangkah ke pertandingan Forum
Remaja.
13. Hadiah Bererti:
Pasukan
yang disertai oleh Azfa Hanani dalam pertandingan Forum Remaja telah berjaya
menjadi johan dan Azfa Hanani diumumkan sebagai Pengerusi Forum Terbaik. Ramai
yang memuji suara Azfa Hanani amat lunak dan sesuai menjadi pengacara
televisyen. Seterusnya, Datin Maziah telah mengadakan majlis ulang tahun yang
ke-17 untuk Tengku Murni. Azfa Hanani, walaupun mengambil peranan sebagai
Tengku Murni, tetapi berasa terharu kerana diraikan dalam majlis yang begitu
meriah. Ekran datang lewat dan hanya menyerahkan hadiah melalui pintu pagar
rumah. Azfa Hanani meluahkan perasaan rindunya terhadap pak long sekeluarga di
kampung kepada Abang Mazran. Abang Mazran berjanji akan membawa Azfa Hanani
pulang bertemu dengan keluarganya di kampung. Abang Mazran juga meminjamkan
telefon bimbitnya kepada Azfa Hanani agar dia dapat menghubungi kawan-kawannya
di kampung.
14. Misteri Yang Tersimpan:
Azfa Hanani memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan oleh Abang
Mazran untuk menghubungi rakan-rakannya di kampung. Azfa Hanani mengimbau
perbualannya dengan rakan-rakan sekampungnya, Falina dan Aini. Kak Finaz
memberitahu Azfa Hanani bahawa Abang Mazran bersetuju untuk memasang talian
telefon di rumah pak long. Abang Mazran juga akan membelikan Azfa Hanani
telefon bimbit yang baharu. Azfa Hanani membuka hadiah yang diberikan oleh
Ekran. Azfa Hanani terkejut apabila mendapati hadiah itu berupa dompet milik
arwah Tengku Murni dan di dalamnya terdapat sejumlah wang, beberapa keping kad,
dan sehelai kertas catatan.
15 Kunjungan Mengejut:
Azfa Hanani menyuarakan hasratnya kepada Kak Finaz untuk menyambut kepulangan
pak long dan Zuraini daripada menjalani rawatan di Indonesia. Kak Finaz
berjanji untuk membawa Azfa Hanani pulang ke kampung semasa cuti semester
pertama nanti. Sekembalinya daripada mengikuti kelas bahasa di Institut Lingua
Franca, Azfa Hanani terkejut melihat pak long dan Zuraini berada di rumah Datin
Maziah. Kerinduan Azfa
Hanani terubat kerana dapat berbual-bual dengan pak long dan Zuraini. Menurut
Zuraini, Tengku Datuk Makmur seakan-akan sudah mengenali keluarga mereka
sebelum ini.
16. Hari Sumbangsih:
Hari ini berlangsungnya Hari Sumbangsih di Sekolah Menengah Taman
Sari. Sambutan Hari Sumbangsih pada tahun ini lebih meriah. Ekran yang menjadi
pengerusi persatuan pelajar tingkatan lima
sibuk mengendalikan program sempena Hari Sumbangsih. Ada khabar angin yang mengatakan bahawa Malam
Bakat Sumbangsih akan dipulaukan oleh pelajar yang tidak berpuas hati. Azfa
Hanani mengambil kesempatan untuk berjumpa dengan Ekran di bilik persatuan.
Azfa Hanani mendesak Ekran untuk berterus-terang tentang punca dia menjauhkan
diri daripadanya. Akhirnya Ekran membuat pengakuan yang mengejutkan. Ekran mengakui
mempunyai hubungan istimewa dengan Tengku Murni. Namun hubungan itu terpaksa
diputuskan atas sebab-sebab tertentu. Pada pertemuan terakhir sebelum
kemalangan itu, dompet Tengku Murni tertinggal dan dia menyimpan dompet
tersebut.
17. Terusir:
Azfa Hanani masih lagi tertanya-tanya tentang hubungan antara Ekran dengan
Tengku Murni. Azfa Hanani membuat tekaan bahawa Datin Maziahlah punca hubungan
Tengku Murni dengan Ekran terputus. Dengan menggunakan teknik yang tertentu,
Azfa Hanani berjaya membaca rahsia yang terkandung di dalam diari Tengku Murni.
Azfa Hanani lantas bersemuka dengan Tengku Muzaffar untuk mendapatkan
kepastian. Tengku Muzaffarlah rupa-rupanya yang menjadi dalang yang merosakkan
hubungan yang terjalin antara Tengku Murni dengan Ekran. Tengku Muzaffar
memberitahu bahawa dia menghalang hubungan antara Tengku Murni dengan Ekran
kerana ingin menjaga nama baik keluarga disebabkan Ekran daripada keluarga
miskin. Azfa Hanani berasa terhina kerana dirinya juga daripada keluarga
miskin. Azfa Hanani tidak berpuas hati kerana kini Tengku Muzaffar melarangnya
berkawan dengan Ekran pula. Akhirnya berlakulah pertengkaran antara mereka dan
didengari pula oleh Datin Maziah. Datin Maziah amat marah apabila mendapati
Azfa Hanani selama ini menyamar sebagai Tengku Murni. Azfa Hanani ditampar,
kemudian dihalau keluar dari rumah itu.
18 Hakikat:
Azfa Hanani mahu terus pulang ke kampung, tetapi Tengku Muzaffar meletakkan
Azfa Hanani di rumah Tengku Ellina. Akhirnya, Azfa Hanani dapat kembali tinggal
di rumah pak longnya di Kampung Merpati. Namun, pak long dan mak longnya masih
belum mengetahui bahawa Azfa Hanani sebenarnya telah diusir keluar dari rumah
Datin Maziah. Sebelum ini, Abang Mazran dan Kak Finaz berjanji untuk memujuk
Datin Maziah untuk menerima Azfa Hanani kembali. Namun, Azfa Hanani telah
membuat keputusan untuk terus tinggal di kampung. Azfa Hanani terkejut apabila
keluarga Tengku Datuk Makmur datang mencarinya di kampung. Akhirnya terbongkar
rahsia apabila Tengku Datuk Makmur menceritakan bahawa dialah yang telah
melanggar teksi yang dinaiki oleh Azfa Hanani sekeluarga sehingga mengakibatkan
kematian ibu dan bapa Azfa Hanani. Datin Maziah tidak sampai hati apabila
melihat Azfa Hanani yang ketika itu masih bayi menangis kelaparan lalu
menyusuinya. Selama 16 tahun, Tengku Datuk Makmur berusaha untuk menjejaki Azfa
Hanani. Pencariannya berhasil setelah berbual-bual dengan pak long yang
kebetulan berkunjung ke rumahnya sekembalinya daripada menemani anaknya,
Zuraini yang mendapatkan rawatan di Indonesia.
19. Segala-galanya Berakhir:
Azfa Hanani kembali tinggal di banglo Tengku Datuk Makmur dan Datin Maziah.
Kali ini dia mahu dikenali dengan identiti sebenar, bukan sebagai Tengku Murni
lagi. Tengku Muzaffar pula semakin mendekatkan diri dengan agama. Aktiviti Hari
Sumbangsih telah berjaya mengumpul sebanyak RM16,655.00. Syafikah dan Fauzana
bersikap baik terhadap Azfa Hanani. Motosikal yang ditunggang oleh Iskandar
terlibat dalam kemalangan jalan raya dan Iskandar telah terbunuh. Manakala Laili yang membonceng
motosikal tersebut telah cedera parah dan kini di wad ICU.
Pasukan yang menyertai Forum Remaja telah menjadi johan peringkat negeri dan
Azfa Hanani telah diumumkan sebagai Pengerusi Forum Terbaik. Pada
suatu hari, Azfa Hanani menaiki teksi ke rumah Ekran. Ketika Azfa Hanani tiba,
dia melihat Tengku Muzaffar sedang membantu Ekran menyiapkan sebuah gerai.
Akhirnya Azfa Hanani mengetahui kedudukan perkara yang sebenar iaitu, Tengku
Muzaffarlah yang membakar gerai burger Ekran. Sementara itu, Ekran bukanlah
daripada keluarga yang susah. Ayah dan ibuny bekerja sebagai pensyarah
Universiti Kebangsaan Malaysia yang kini sedang melanjutkan pelajaran di
peringkat doktor falsafah di Amerika Syarikat. Adik-adik perempuannya ikut
serta manakala adik lelakinya menuntut di sebuah sekolah asrama penuh. Dia selesa tinggal dengan datuk dan
neneknya.
No comments:
Post a Comment