Huraikan
pendapat anda tentang langkah-langkah untuk membanteras penggunaan rokok
elektronik. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah
perkataan
A= pendidikan di sekolah
B= kesedaran masyarakat
C= penguatkuasaan undang-undang
Merokok membahayakan kesihatan. Belakangan
ini, penggunaan rokok elektronik semakin popular dalam kalangan masyarakat.
Banyak pengguna rokok tegar beralih kepada penggunaan rokok elektronik,
terutama pengguna yang berhasrat untuk berhenti merokok. Mereka beranggapan
bahawa penggunaan rokok elektronik mampu untuk mengawal ketagihan rokok. Namun
begitu, belum ada kajian terperinci yang mengatakan bahawa penggunaan rokok
elektronik adalah selamat. Oleh itu, pelbagai langkah harus diambil bagi
membanteras penggunaan rokok elektronik.
Antara langkah untuk membanteras penggunaan
rokok elektronik adalah melalui
pendidikan di sekolah.
Murid-murid perlu lebih awal didedahkan tentang bahaya rokok dan rokok
elektronik. Pihak sekolah boleh mengadakan ceramah motivasi untuk murid-murid.
Penceramah jemputan haruslah terdiri daripada pihak polis atau pihak jabatan
kesihatan yang sememangnya arif tentang bahaya rokok elektronik. Dengan itu,
murid-murid akan mempunyai pengetahuan sekali gus menjauhi tabiat ini.
Selain itu, kesedaran masyarakat juga penting dalam
membanteras penggunaan rokok elektronik. Banyak artikel tentang penggunaan
rokok elektronik yang disiarkan dalam media cetak mahupun media elektronik yang
boleh dijadikan sumber pengetahuan. Masyarakat harus tahu dan sedar akan kesan
buruk penggunaan rokok elektronik kepada kesihatan. Rokok elektronik turut
mengandungi bahan kimia seperti nikotin yang boleh menyebabkan ketagihan. Oleh
itu, masyarakat haruslah banyak membaca tentang penggunaan rokok ini kerana
khuatir akan menyumbang kepada masalah kesihatan untuk jangka masa panjang.
Seterusnya, penguatkuasaan undang-undang juga merupakan
langkah untuk membanteras penggunaan rokok elektronik. Pihak kerajaan perlu
mengehadkan umur minimum pengguna yang boleh menggunakan rokok elektronik,
misalnya golongan remaja. Hukuman dan denda yang tinggi harus dikenakan kepada
peniaga yang ingkar dan menjual rokok elektronik kepada remaja bawah umur.
Dengan itu, rakyat akan lebih berjaga-jaga dan tidak sewenang-wenangnya
menggunakan rokok tersebut, sekali gus membanteras penggunaan rokok elektronik
ini.
Kesimpulannya, cegah sebelum parah kerana merokok boleh
memudaratkan kesihatan. Kajian mengenai penggunaan rokok elektronik masih pada
peringkat awal. Oleh itu, para pengguna disarankan agar mencari alternatif lain
sekiranya mahu berhenti rokok dan mengawal ketagihan. Berjumpalah dengan pakar
perubatan untuk mendapatkan rawatan yang betul.
No comments:
Post a Comment