PELAYARAN YANG PENUH PERISTIWA
Kisah ini
bermula dengan perjalanan geliung panjang (kapal layar yang besar dijadikan
kapal perang atau kapal dagang) Tuan Puteri Dayang Seri Jawa meredah lautan
untuk pulang ke Tanah Jawa. Geliung yang terlalu laju itu menyebabkan semua
anak kapalnya muntah-muntah dan mabuk kecuali Tuan Puteri Dayang Seri Jawa yang
menjadi jurumudi, (jurumudi yang asal turut mabuk) Si Kembang Cina dan
Awang Sulung Merah Muda. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa menyuruh Si Kembang
Cina memanggilkan Awang Sulung untuk menggantikannya yang keletihan. Awang
Sulung tidak mahu menuruti perintah Tuan Puteri Dayang Seri Jawa. Tuan Puteri
Dayang Seri Jawa menyuruh Si Kembang Cina memujuk Awang untuk menggantikannya
dengan bahasa yang lembut. Sebelum menggantikan tempat Tuan Puteri Dayang Seri
Jawa, Si Kembang Cina telah menghidangkan makanan kepada Awang Sulung kerana
dia kelihatan letih.
Selepas makan,
Awang Sulung menggantikan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa untuk menjaga kemudi
kapal. Awang Sulung tidak menjaga kemudi geliung itu malah membiarkan
geliung tersebut belayar mengikut tiupan angin. Tuan Puteri Dayang Seri
Jawa yang keletihan tidak mahu berehat kerana Tuan Puteri sebenarnya mahu
berdua-duaan dengan Awang Sulung. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa sudah
jatuh hati kepada Awang Sulung sehinggakan bau busuk Awang Sulung yang seperti
belacan itu dibaunya harum.
Setelah tiga
hari belayar, mereka tiba di Pulau Tapai. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa mengajak
Awang Sulung berlabuh di situ untuk mengambil kayu dan air yang kehabisan.
Namun begitu, geliung mereka tidak dapat berlabuh kerana air laut yang
bergelora. Awang Sulung mencampakkan bungkusan tulang pelanduk putih yang
diikat dengan benang lima warna ke dalam laut. Air laut menjadi tenang.
Setelah
beberapa lama mereka berlabuh, orang-orang yang mabuk tadi mulai tersedar. Ada
yang terpinga-pinga kerana tidak tahu lokasi mereka berada pada waktu itu.
Jurumudi geliung juga tersedar dan dengan segera dia mencabut kerisnya dan
menikam seekor ayam. Jurumudi itu berjumpa dengan Tuanku Nakhoda Tua dan
mengaku bahawa dialah yang menyelamatkan geliung tersebut daripada amukan Tuan
Puteri Dayang Nuramah. Tuanku Nakhoda Tua yang baru tersedar daripada pengsan
membelek-belek keris jurumudi yang berdarah itu. Tuanku Nakhoda Tua mempercayai
kata-kata jurumudi itu kerana pada waktu amukan berlaku baginda telah pengsan.
Geliung itu
berlabuh di Pulau Tapai selama tiga hari tiga malam. Anak-anak geliung itu
bergembira dengan pelbagai jamuan. Tuanku Nakhoda Tua berjanji akan
mengahwinkan puterinya dengan sesiapa yang dapat menyelamatkan pelayaran itu
sehingga ke Tanah Jawa. Jurumudi menyatakan kesanggupannya untuk memastikan
perjalanan mereka selamat. Tuanku Nakhoda Tua meminta jurumudi bersabar kerana
mereka masih berada dalam keadaan bahaya. Hal ini demikian kerana mereka akan
menempuhi kawasan yang dipenuhi bajak laut (lanun laut).
Pada suatu
hari, jurumudi terlihat Awang Sulung hanya duduk dan makan. Awang Sulung tidak
melakukan kerja seperti mengambil air dan kayu seperti anak-anak geliung yang
lain. Dia menanyakan hal itu kepada Tuan Puteri Dayang Seri Jawa. Tuan Puteri
Dayang Seri Jawa amat murka dengan pertanyaan jurumudi itu. Tuan Puteri Dayang
Seri Jawa terfikir untuk menguji kecekapan Awang Sulung. Tuan Puteri Dayang
Seri Jawa menyuruh Si Kembang Cina mengambilkan buyung suasa dan meminta Awang
Sulung mengambil air. Perkara yang aneh berlaku apabila anak-anak geliung
mencari air di pulau, Awang Sulung pula mengambil air di tengah laut di tempat
arus yang paling kuat. Awang Sulung diberikan sebilah parang untuk mencari
kayu. Namun begitu, orang lain mengambil pokok bakau dan temu laut (sejenis
herba laut yang berumbi untuk dijadikan ubat) Awang Sulung mengambil
batang nipah. Jurumudi meluahkan perasaan tidak puas hatinya terhadap sikap
Awang Sulung itu di hadapan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa.
Sewaktu jamuan
kenduri diadakan, jurumudi bersubahat dan berpakat dengan Si Kembang Cina untuk
memberikan sisa-sisa nasi di dalam tempurung berbulu kepada Awang Sulung. Tuan
Puteri Dayang Seri Jawa telah mengetahui perkara itu lalu baginda memarahi Si
Kembang Cina. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa menyuruh Si Kembang Cina menyediakan
makanan istimewa yang diletakkan di atas talam yang beralaskan kain
kuning. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa merasa air laut yang diambil oleh Awang
Sulung. Air yang masin itu telah bertukar menjadi manis seperti serbat (minuman
daripada air gula). Tuan Puteri Dayang Seri Jawa menyuruh Si Kembang Cina
merasa air masin itu juga. Si Kembang Cina berasa hairan dan kagum akan
kemanisan air tersebut. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa mengingatkan Si Kembang
Cina agar tidak mengulangi perbuatan seperti itu lagi kepada Awang Sulung.
Tuanku Nakhoda
Tua memanggil kesemua anak geliung sebaik-baik sauh diangkat untuk meneruskan
pelayaran. Baginda menerangkan bahawa perjalanan mereka akan menempuhi kawasan
Laut Sekona Lingga yang dipenuhi oleh bajak-bajak laut dan ketua masing-masing,
iaitu Sekona Lingga, Panglima Helang Laut, Panglima Kecil Muda Teruna, Panglima
Kecil Muda Suara. Baginda berjanji akan mengahwinkan sesiapa yang dapat
menyelamatkan baginda dan puteri baginda dengan puteri baginda, iaitu Tuan
Puteri Dayang Seri Jawa. Seluruh anak geliung itu terpegun dan berasa kecut
perut apabila mendengar jumlah lanun yang banyak di laut itu. Namun begitu,
jurumudi mengatakan bahawa dialah yang akan berlawan dengan bajak-bajak laut
itu kesemuanya.
Apabila mereka
melintasi perairan Pulau Salah Nama, kumpulan lanun telah menyerang geliung
itu. Anak-anak geliung itu lari ke bawah untuk menyelamatkan nyawa
masing-masing termasuklah jurumudi itu sendiri. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa
memerintahkan Si Kembang Cina memanggil Awang Sulung untuk menentang bajak laut
itu. Awang Sulung memberikan alasan bahawa tangan dan kakinya sakit-sakit.
Apabila mendengar alasan Awang Sulung, Tuan Puteri Dayang Seri Jawa mengetahui
barang yang perlu diberikan kepada Awang Sulung. Si Kembang Cina disuruhnya
untuk memberikan limau selimpat pagar dan sabun wangi kepada Awang Sulung.
Selepas mandi, terjelmalah rupa sebenar Awang Sulung yang kacak dan
berseri-seri. (Sebelum ini hitam dan comot). Awang Sulung memakai pakaian pusaka
warisan bondanya, mengenakan keris dan pedang sakti sebelum keluar
menghadapi pihak lanun laut.
Pada waktu itu,
44 orang lanun sedang mencangkuk alat tempat mengikat tali kapal. Awang Sulung
menyeru nama ketua-ketua lanun. Lanun-lanun yang mendengar suara Awang Sulung
berasa gementar kerana mengecam suaranya. Dengan tubuh yang gementar,
lanun-lanun laut tersebut memohon ampun kerana tidak mengetahui bahawa
penghulu mereka, iaitu Awang Sulung turut berada di dalam geliung yang
diserang oleh mereka itu. Awang Sulung menjelaskan bahawa baginda tidak
memberitahu pelayaran baginda kepada mereka kerana baginda menemani Tuan Puteri
Dayang Seri Jawa kembali ke Tanah Jawa. Awang Sulung turut menyatakan bahawa
baginda juga telah berhutang rial batu (wang) dan emas dengan Tuan Puteri
Dayang Seri Jawa untuk melangsaikan hutang baginda kepada Datuk Batin Alam.
Lanun-lanun tersebut telah berjanji untuk melangsaikan hutang baginda jika
Awang Sulung hendak pulang ke Bandar Mengkalih. Awang Sulung telah menyatakan
hasrat baginda untuk pulang ke Bandar Mengkalih Tuan Puteri Dayang Seri Jawa
kerana hutangnya telah langsai. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa ingin terjun ke
laut apabila mendengar hasrat Awang Sulung tetapi segera dihalang oleh
hulubalangnya. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa jatuh pengsan namun sedar kembali
apabila mendengar Awang Sulung berpantun.
Sementara itu,
semua ketua lanun dan pengikut-pengikut mereka dijamu makanan dan minuman
bersama-sama dengan anak geliung di atas dek itu. Ketua-ketua lanun itu telah
mengisikan wang dinar emas ke dalam geliung itu. Setelah kumpulan lanun itu
pergi, jurumudi sekali lagi telah menikam seekor ayam. Dengan membawa keris
yang berdarah itu, jurumudi menghadap Tuanku Nakhoda Tua dan mengaku bahawa dia
telah menyelamatkan geliung itu daripada dirampas oleh lanun. Dengan tidak
berfikir panjang, Tuanku Nakhoda Tua percaya akan pembohongan jurumudi itu
lantas menitahkan Mualim Cik Mas mengahwinkan puterinya dengan jurumudi
itu. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa sangat marah dengan tindakan ayahandanya itu
yang tidak mengetahui hal yang sebenarnya. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa
menyuruh ayahandanya melihat seseorang di tengah geliung itu. Tuanku Nakhoda
Tua ternampak seorang pemuda yang sangat tampan dengan wajah yang berseri-seri.
Tuan Puteri Dayang Seri Jawa menerangkan bahawa pemuda itu ialah Awang Sulung
Merah Muda anak tuanku Si Helang Laut, cucu Tuanku Si Helang Mawai. Sebelum ini
Awang Sulung menyamar menjadi budak yang hitam dan comot. Tuan Puteri
Dayang Seri Jawa menjelaskan bahawa Awang Sulung yang telah menyelamatkan
geliung mereka dan memenuhkannya dengan dinar emas pemberian bajak laut.
Apabila mengetahui perkara yang sebenar, Tuanku Nakhoda Tua memohon maaf kepada
Awang Sulung lalu mengahwinkan Awang Sulung dengan puterinya. Jurumudi yang
berbohong itu melarikan diri daripada majlis tersebut dan terus mengemudi
geliung dengan perasaan malu dan marah.
Setelah
meraikan majlis perkahwinan, geliung tersebut meneruskan pelayaran ke
Tanah Jawa. Pelayaran mereka merentasi beberapa buah pulau sebelum tiba di
Negeri Pati Talak Terengganu. Awang Sulung dijemput naik ke darat oleh raja
Negeri Pati Talak Terengganu. Semasa naik ke darat, Awang Sulung ditemani oleh
jurubatu dan Bujang Selamat yang mengepit Kinantan Suci, iaitu seekor ayam
laga. Apabila sampai di negeri tersebut, Awang Sulung ingin bersabung ayam
dahulu. Pada mulanya, Kinantan Suci hampir tewas. Namun begitu, selepas
mendengar tuannya berseru-seru memberikan semangat, Kinantan Suci menaji
lawannya sehingga putus kepala. Selepas bersabung ayam, Awang Sulung naik ke
balairung dan disambut oleh pembesar dan rakyat di negeri itu.
No comments:
Post a Comment