Tuesday, February 19, 2013

TIPS TATABAHASA - BINA AYAT

1. JENIS SOALAN UNTUK MEMBINA AYAT - Soalan 4a-
a) Membina ayat daripada kata ganda, misalnya: baring-baring, agar-agar, jejentik, desas-desus, mati-matian, dan sebagainya.
b) Membina ayat daripada kata  yang hampir sama maknanya, misalnya: merebus, menggoreng, menanak, memanggang, menjerang, mengukus, dan sebagainya.
c) Membina ayat daripada kata dan kata berimbuhan, misalnya: hati, berhati-hati, memperhatikan, perhatian, pemerhatian, pemerhati, dan sebagainya.
d) Membina ayat daripada pasangan kata dan kata ganti seluruh, misalnya: tua-tua, jarang-jarang, angkut-angkut.
e) Membina ayat daripada pasangan kata homograf, misalnya: bela, rendang, semak, sepak, dan sebagainya.
f) Membina ayat daripada pasangan kata berimbuhan, misalnya: perjawatan, menjawat, penjelasan, menjelaskan,
g) Membina ayat daripada pasangan kata dan kata majmuk, misalnya: gulung, gulung tikar, pecah, pecah rumah, lalu, lalu lintas.
h) Membina ayat daripada pasangan kata ganda dan kata berimbuhan, misalnya: bulat-bulat, membulatkan, rata-rata, meratakan, dan sebagainya.
i) Membina ayat daripada pasangan kata yang berbeza maknanya tetapi hampir sama bunyinya, misalnya: belot, belut, cocok, cucuk, menonton, menuntun, suluruh, seloroh, dan sebagainya.
j) Membina ayat daripada kata banyak makna, misalnya: dahaga (kasih sayang/untuk minum air), keras (suara/objek)
 
 
PERHATIAN
1. Jangan bina ayat yang tidak dapat membezakan makna kata yang diberikan. Sekiranya ayat anda tidak menunjukkan perbezaan makna, markah tidak akan diberikan.
2. Jangan gunakan pasangan kata yang diberikan dalam satu ayat sahaja. Markah tidak akan berikan untuk jawapan yang sedemikian.
3. Jangan melakukan kesalahan ejaan atau kesalahan tatabahasa. Jika kesalahan seperti itu dilakukan anda tidak akan mendapat markah penuh.
4. Jangan letakkan sebarang imbuhan pada kata yang diberikan ketika membina ayat. Jika hal ini dilakukan, 0 markah.
5. Jangan gandakan kata yang diberikan ketika anda membina ayat. Jika dilakukan - 0 markah.
6. Jangan bentuk ungkapan, kiasan, cogan kata, nama khas, atau simpulan bahasa daripada kata yang diberikan. Jika hal ini anda lakukan, markah tidak akan diberikan.
7. Jangan gunakan kata majmuk bagi kata tunggal dalam ayat yang anda bina. Anda tidak akan diberi markah untuk pembinaan ayat seperti itu.
8. Anda tidak akan diberi markah sekiranya anda menulis ayat yang tidak menunjukkan anda faham akan maknanya, misalnya: Saya tidak tahu membina ayat daripada perkataan kawat.
 
         


 
TEKNIK MEMBINA AYAT DARIPADA PERKATAAN BERIMBUHAN
1. Cuba gantikan perkataan dasar dengan perkataan lain yang segolongan dengannya.
Contoh:
Membungakan –( Kata Nama benda) sekiranya digantikan dengan perkataan buku  maka terhasillah perkataan yang lebih mudah difahami iaitu membukukan yang bermaksud menjadikan sesuatu itu seperti buku. Misalnya :
Dia membukukan semua surat teman wanitanya untuk dijadikan kenang-kenangan.
Oleh itu kita dapat faham bahawa imbuhan mem…..kan  itu membawa makna menjadikan sesuatu seperti kata dasar. Jadi kita boleh membina ayat seperti berikut:
Dia membungakan kertas-kertas kecil yang berwarna-warni itu untuk dijadikan hiasan di meja makan.
INGAT : anda mesti gantikan perkataan yang segolongan dengan kata dasar yang diberikan. Untuk itu anda perlulah mengenal pasti golongan kata bagi perkataan tersebut sama ada Kata Kerja atau Kata Nama, atau Kata Adjektif.
Untuk itu cuba anda sebutkan 5 berkataan (dasar) yang termasuk dalam setiap golongan kata tersebut:
1. Kata Kerja : tidur, ……..
2. Kata Adjektif : tinggi,…..
3. Kata Nama: meja,……
 
Sekarang cuba bina ayat daripada perkataan-perkataan yang berikut:
1. meletihkan (Adjektif)
2. merapatkan (Adjektif)
3. menidurkan (Kerja)
4. mendudukkan (kerja)
5. pengeboman (nama)
6. pengecatan (nama)
Di samping itu, jangan lupa, binalah ayat yang dapat menjelaskan makna dan penggunaan yang betul. Elakkan penggunaan Kata Nama Khas, simpulan bahasa atau kiasan, dan cuba elakkan juga Kata Majmuk.
Misalnya:
Berita itu diisytiharkan melalui media elektronik di seluruh negara ( 1 markah)
Sejak peraturan yang baru itu diisytiharkan oleh Pengetua, semua pelajar tidak mematuhinya. (2 markah)
Cuba gunakan Kata Hubung dalam ayat-ayatayat yang anda bina seperti: supaya, untuk, oleh sebab, agar, dan  sebagainya.
LATIHAN: Bina ayat daripada perkataan yang berikut supaya jelas menunjukkan anda faham akan maknanya.
Lanjut, berlanjutan, melanjutkan, selanjutnya, lanjutan, kelanjutan(ekoran), terlanjut(terlajak), melanjut(berlarutan), berlanjut-lanjut(bersambung-sambung), perlanjutan (persambungan).
 

2/99 :TEKNIK MENJAWAB SOALAN TATABAHASA
BAHASA MELAYU SPM
Soalan 4a : Membina Ayat
Anda mungkin diminta membina ayat-ayat seperti berikut:
1.  Membina 1 ayat bagi setiap kata yang diberikan untuk menunjukkan bahawa anda faham akan makna dan penggunaannya.
Contoh:
rendang - Oleh sebab cuaca terlalu panas, kami singgah sebentar untuk berteduh di bawah pokok yang rendang itu.
Anda mungkin tidak diberikan markah penuh sekiranya anda menghasilkan ayat-ayat yang tidak menunjukkan anda faham akan makna perkataan tersebut  seperti yang berikut:
Contoh:
rendang - Pokok kelapa di tepi sungai itu sangat rendang.
2. Membina 1 ayat bagi setiap kata dalam pasangan kata yang diberikan untuk menunjukkan penggunaan dan perbezaan maknanya.
Contoh:
Kebolehan - membolehkan
i. Oleh sebab  Zainol mempunyai kebolehan yang luar biasa dalam bidang sukan, dia telah diterima bekerja sebagai jurulatih pasukan bola sepak negara.
ii. Surat rayuan yang dikemukakan oleh peguam itu telah membolehkan Hasyim dibebaskan dengan ikat jamin.
3. Membina 2 ayat bagi satu kata untuk membezakan maknanya.
Contoh:
melarat
i.  Hidup mereka melarat sejak ibu- bapa mereka meninggal dunia sehingga mereka terpaksa mengemis.
ii. Kebakaran itu telah melarat ke beberapa buah rumah yang berdekatan dengan tempat kejadian itu.
Perhatian
1.  Jangan lakukan kesalahan tatabahasa atau ejaan. ( potongan setengah markah )
2.  Jangan letakkan sebarang imbuhan pada kata yang diberikan. ( 0 markah )
3.  Jangan gandakan kata yang diberikan. ( 0 markah )
4.  Jangan bentuk Kata Nama Khas daripada kata yang diberikan. ( 0 markah )
5.  Jangan gunakan kata yang diberikan sebagai simpulan bahasa atau cogan kata. ( 0 markah )
6.  Jangan bentuk kata yang diberikan sebagai kata majmuk. ( 0 markah )
 
 
Untuk mengelakkan penggunaan imbuhan anda bolehlah:
i.  Meletakkan perkataan tersebut di permulaan ayat.
“Sentuh kulitnya perlahan-lahan dan cuba pujuk dengan suara yang lembut.” Kata Dr Rendra.
ii. Menggunakan ayat larangan.
“Jangan sentuh apa-apa sehingga menerima arahan daripada ketua kita.” Kata Sobri kepada Samad.
iii. menggunakan ayat pasif bagi Kata Ganti Nama Orang Pertama atau Kedua.
Makanan itu saya sentuh setelah mendapat kebenaran daripada pengawal tersebut.
 
LATIHAN 1
Membina ayat daripada perkataan yang hampir sama bunyi tetapi berlainan makna.
1. beradat/ beradab
Sudin dikatakan tidak beradat kerana berkahwin dengan Salmah secara senyap-senyap.
Orang yang beradab ialah orang yang bersopan santun dan tidak biadab.
2. hempas/ hampas
Dengan perasaan marah buku itu saya hempas dan saya pijak-pijak.
Setelah isi kelapa diperah untuk mendapatkan santan, hampas yang tinggal itu dibuang ke dalam sebuah beg plastik yang besar.
3. golongan/ gulungan
Tetamu yang hadir dalam majlis itu terdiri daripada golongan pegawai-pegawai kerajaan.
Gulungan dawai itu disimpan untuk kegunaan membaiki pagar rumah Pak Samad.
4. lengan/ lengang
Lengan Abu luka kerana terkena paku ketika cuba membaiki tingkap rumahnya.
Bandar Kuala Lumpur menjadi lengang menjelang tahun baru kerana banyak orang telah pulang ke kampung.
5. resmi/ rasmi
Sudah menjadi resmi penduduk di sini bekerja secara bergotong royong setiap kali tiba musim menuai.
Bangunan itu telah dibuka secara rasmi oleh Perdana Menteri sejak bulan lalu.
 
6. padan/ pandan
Warna baju itu tidak padan dengan warna kulitnya.
 Pandan ialah sejenis tumbuhan yang boleh digunakan untuk membuat kuih dan minyak wangi.
7. tabik/ tabib
Tabik merupakan satu perlakuan untuk menunjukkan kita menghormati pegawai atasan kita.
Penyakit itu telah dapat disembuhkan oleh seorang tabib dari negeri Jepun.
 

1 comment: