Soalan 2 (d) – Puisi Latihan 1
Baca sajak di bawah ini dengan teliti kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
HARGA REMAJA
Berapakah sebenarnya harga remaja
yang bersih
dari gelodak kecewa
bagai kehijauan daun
bagai kesegaran pohon
di pinggir perjalanan ini?
Dengan apakah akan kaupenuhi
piala remajamu
adakah cuka kesangsian
dari cinta murah
atau madu ajaran
dari ilmu susah?
Remaja amat mahal
sesungguhnya
tiada terbeli oleh perjanjian
harga remaja adalah
pendirian
keberanian dan ilmu
Penuhilah remajamu
dengan ketentuan tuju
Rahman Shaari
Antologi Harga Remaja
Dewan Bahasa dan Pustaka
(i) Berdasarkan rangkap pertama, nyatakan dua ciri remaja?
[2 markah]
(ii) Berikan tiga cadangan untuk mengelakkan remaja terjebak dalam gejala sosial.
[3 markah]
(iii) Huraikan dua pengajaran yang terdapat dalam sajak tersebut.
[4 markah]
Soalan 2 (d) – Puisi – Latihan 2
Baca sajak di bawah ini dengan teliti kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
DI PERPUSTAKAAN
Melangkah ke ruangmu
Satu pertukaran yang kontras
Dari kehangatan merata
Ke kedinginan yang menerpa
Terlalu hening di sini
Gua pendeta bersemadi
Di puncak sepi
Di sana sini
Kepala-kepala runduk meneliti
Mata dan fikir bersebati
Maju ke ruang buku
Terlalu kerdil aku di sini
Terapung di laut ilmu
Tercurah berzaman
Dalam tak terselam
Betapapun kulayari
Bahtera ilmu di sini
Tak teroka
Yang akan kucatat
Hanya setitik tinta
Yang akan kupetik
Hanya sebiji dari mutiara
Engkau adalah pusaka moyang
Gedung peradaban insan
Terhimpun berzaman
Bersemadi di sini
Aku adalah pelayar yang dahaga
Di dada samudera
Tak berpantai
Betapapun kuteguk darinya
Dahaga tak pernah langsai
Shafie Abu Bakar
Antologi Harga Remaja
Dewan Bahasa dan Pustaka
(i) Nyatakan dua keadaan yang dialami oleh penyajak apabila berada di perpustakaan
seperti yang digambarkan dalam rangkap pertama.
[2 markah]
(ii) Apakah usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk menarik minat murid-murid mengunjungi perpustakaan?
[3 markah]
(iii) Huraikan dua nilai murni yang terdapat dalam sajak tersebut.
[4 markah]
Soalan 2 (d) – Puisi – Latihan 3
Baca sajak di bawah ini dengan teliti kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
DIRGAHAYU BAHASAKU
Tempatmu di singgahsana
hati nurani bangsaku
warga yang berbudi
setia dan amanah
Bahasa itu maruah bangsa
yang mesti dipelihara martabatnya
agar tetap kukuh dan ampuh
melayari lautan bijaksana
salam ikatan mesra dan teguh
Cekal dan waja semangat pejuangku
hak bangsaku memilikimu
hak bangsaku mendaulatkanmu
di bumi bertuah ini
merentas dunia tak bertepi
Sejarah bangsa mencatatkan kegemilangan
ke barat dan ke timur menjalin persaudaraan
gagah pelautku membelah lautan
ke utara dan ke selatan bahasaku mencengkam
dari pulau ke pulau menggilap mutiara silam
Dirgahayu bahasaku
di arena antarabangsa suaramu tumbuh
menusuk kalbu lagu bahasamu
bahasamu bahasa minda
mudah akrab dan bertatatsusila
daripada bangsa yang bernama Melayu
menempa kejayaan di alaf baru
Ahmad Sarju
Antologi Dirgahayu Bahasaku
Dewan Bahasa dan Pustaka
(i) Berikan maksud merentas dunia tak bertepi.
[2 markah]
(ii) Pada pandangan anda, apakah usaha-usaha yang dapat dilakukan untuk menyuburkan semangat cinta akan bahasa kita dalam kalangan masyarakat?
[3 markah]
(iii) Huraikan dua persoalan dalam sajak ini.
[4 markah]
SKEMA JAWAPAN
Soalan 2 (d) – Puisi : Sajak Harga Remaja
(i) Berdasarkan rangkap pertama, dua ciri remaja ialah :
- bersih daripada gelodak jiwa
- masih muda / mentah
- bertenaga
(ii) Tiga cadangan untuk mengelakkan remaja terjebak dalam gejala sosial ialah :
- Memberikan pendidikan agama/moral/taat perintah agama
- Menggalakkan remaja meibatkan diri dalam aktiviti berpersatuan/bersukan/berekreasi
- Mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah/sihat/selamat
- Menjaga batas-batas pergaulan/tidak bergaul dengan rakan-rakan yang buruk akhlak/perangai
- Mengamalkan nilai-nilai murni sepanjang masa
(iii) Dua pengajaran yang terdapat dalam sajak ialah:
- Remaja harus menghargai zaman remajanya agar tidak melakukan
perkara yang sia-sia
- Kita janganlah mengisi usia remaja dengan perkara-perkara yang
melalaikan/sia-sia agar hidup lebih bermakna
- Kita hendaklah mempunyai pendirian hidup agar sentiasa dihormati.
- Setiap remaja perlu memiliki sifat-sifat keberanian agar mampu
menghadapi cabaran hidup
- Kita hendaklah menjadi insan yang berilmu agar menjadi insan yang
berguna.
- Setiap remaja perlu mempunyai hala tuju/matlamat hidup agar masa
depannya terjamin
Soalan 2(d) – Puisi : Sajak Di Perpustakaan
(i) Dua keadaan yang dialami oleh penyajak apabila berada di perpustakaan ialah :
- Berasakan dingin
- Suasana di perpustakaan tenang dan sepi
(ii) Usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk menarik minat murid-murid mengunjungi perpustakaan ialah :
- Menyediakan suasana yang kondusif serta selesa
- Mempelbagaikan kemudahan di perpustakaan seperti kemudahan internet
- Mengadakan pelbagai pertandingan atau aktiviti yang menarik
- Mempelbagaikan koleksi bahan bacaan yang terkini
(iii) Dua nilai murni yang terdapat dalam sajak ialah :
- Kerajinan – sikap rajin seseorang akan memperoleh dan memahami pelbagai ilmu pengetahuan
- Ketekunan – tekun dalam mempelajari ilmu pengetahuan
- Bertanggungjawab – berminat untuk mendalami ilmu pengetahuan
Soalan 2(d) – Puisi : Sajak Dirgahayu Bahasaku
(i) Maksud merentas dunia tak bertepi
- Tersebar ke seluruh pelosok / buana / benua / bumi / jagat
(ii) Usaha-usaha yang dapat dilakukan untuk menyuburkan semangat cinta akan bahasa kita dalam kalangan masyarakat :
- Menggalakkan anak berbahasa Melayu sejak kecil
- Mengadakan Kempen Cintai Bahasa kita dengan lebih berkesan
- Mengadakan pelbagai pertandingan yang berkaitan dengan bahasa Melayu seperti pertandingan menulis esei, mencipta puisi, dan seumpamanya.
- Pihak berkuasa mewajibkan penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda, iklan, drama, filem, dan seumpamanya.
- Menggalakkan anggota masyarakat berbahasa Melayu dengan betul dalam pelbagai situasi.
(iii) Dua persoalan dalam sajak ini :
- Status bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Contohnya, bahasa Melayu digunakan secara rasmi dan dijadikan bahasa pertuturan utama rakyat di negara ini.
- Persoalan semangat cinta akan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda yang tiada bandingnya.
- Peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan alat wahana perpaduan masyarakat serantau
- Kecekalan hati pejuang bahasa. Contohnya, pejuang-pejuang bahasa begitu cekal dalam mendaulatkan bahasa Melayu di Malaysia dan menyebarkannya ke seluruh dunia.
- Memartabatkan bahasa – Perjuangan memartabatkan bahasa dipertanggungjawabkan kepada semua rakyat
No comments:
Post a Comment