LANGKAH-LANGKAH MENGATASI BEBANAN
EKONOMI KELUARGA
Semua pihak telah maklum, bahawa sepanjang tahun 2008
hingga hari ini kos sara hidup keluarga adalah terlalu getir. Kegetiran
tersebut berpunca daripada suasana ekonomi dunia yang suram. Peningkatan
mendadak harga minyak, perubahan suhu dunia, bencana alam, dan krisis bahan
makanan cukup menakutkan banyak pihak. Hingga ke hari ini suasana ekonomi dunia
masih dalam suasana yang tidak menentu. Banjir besar yang melanda negara-negara
pengeluar pertanian seperti Australia, India, dan Cina amat menakutkan kita.
Walaupun Malaysia tidak begitu teruk terjejas, namun bahangnya mula dirasakan
terutama sekali kepada keluarga yang berada pada garis kemiskinan dengan
pendapatan isi rumah di bawah RM2500. Beban kewangan adalah antara fenomena
yang teruk dirasai oleh golongan berkenaan. Sehubungan dengan itu,
anak-anak hendaklah memahami akan susah payah ibu bapa dengan cara melakukan
pelbagai prakarasa agar dapat mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggung.
Budaya berjimat cermat ialah senjata yang paling
ampuh digunakan apabila berada dalam situasi begini. Langkah tersebut amatlah
pragmatik dalam menghadapi suasana darurat dalam rumah tangga. Anak-anak
diharap dapat memahami keadaan berat ringan yang ditanggung oleh ibu dan ayah. Prakarsa
berjimat yang perlu dilakukan hendaklah bermula dengan amalan yang mudah-mudah
terlebih dahulu seperti mengawal penggunaan keperluan asas terutama elektrik
dan air. Rata-rata ibu bapa merungut tentang sikap anak-anak mutakhir ini yang
dengan sewenang-wenangnya mencurahkan air sesuka hati dan membiarkan lampu dan
kipas terpasang ketika tidak diperlukan. Memang benar budaya berjimat cermat
itu lunak dibicarakan sebaliknya tidak mudah untuk dipraktikkan, namun
segala-galanya adalah berpunca daripada sikap. Contoh yang paling mudah,
jikalau kuasa elektrik dijimatkan dan utilitinya di bawah daripada paras RM20
justeru penggunaan domestik tersebut adalah percuama. Hal inilah
sebenarnya hakikat amalan sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit.
Anak-anak
yang baik adalah yang prihatin terhadap ibu bapa mereka. Setiap anak
tentulah maklum akan kedudukan kewangan keluarga. Oleh itu, anak-anak perlulah
menunjukkan rasa simpati terhadap jerih payah ibu bapa bekerja mencari rezeki.
Fahamilah akan beratnya tanggungan bak kata peribahasa, seberapa berat mata
memandang beratlah lagi bahu yang memikul. Anak-anak seperti ini sudah pasti
akan mengamalkan sikap bersederhana dalam hal makan minum,
pakaian dan berbelanja sekadar yang perlu sahaja. Amatlah malang sekali apabila
ada anak-anak pada era sekarang seakan-seakan tidak mempunyai sikap belas
kasihan kepada ibu bapa. Mereka mudah terdorong untuk menuruti gaya hidup
rakan-rakan yang lebih mewah. Mereka mendesak dan meminta-meminta sesuatu yang
diluar upaya ibu bapa seperti inginkan pakaian yang berjenama dan berselera
untuk makan ditempat-tempat yang eksklusif. Sepatutnya, anak-anak hendaklah
mengelak daripada sebarang pengaruh dan budaya bermewah-mewah kerana resam
hidup, pipit sama pipit dan enggang sesama enggang masakan dapat terbang
bersama.
Walaupun
bebanan kos hidup semakin meningkat, tetapi dalam sebuah negara seperti
Malaysia, peluang untuk memperoleh pendapatan tambahan sentiasa
terbuka. Peluang-peluang kerja sambilan seperti pembantu kedai
dan berniaga secara kecil-kecilan mudah diperoleh di mana-mana jua. Anak-anak
yang baik sudah tentu dapat menghidu peluang tersebut dengan cara melakukan
kerja sambilan sewaktu lepas sekolah dan lebih-lebih lagi dalam musim cuti
sekolah. Perkara yang penting ialah ketepikan perasaan malu dan malas.
Sebenarnya telah banyak teladan yang dapat dikuti daripada ikon-ikon tersohor
seperti Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary, Tan Seri Loh Boon Siew dan Dato Seri
Tony Fernandez yang berjaya menjadi konglomerat dengan memulakan peniagaan dari
bawah. Oleh itu, langkah yang terpenting setiap anak perlulah mempunyai wawasan
dan jiwa yang cekal untuk berjaya ibarat kata tokoh tersohor Soekarno, “Gantunglah
cita-citamu di bintang yang tinggi sekalipun kakimu masih mencecahi perlimbahan”.
Bak
kata peribahasa, daun boleh melayang jauh getah tetap mengalir ke perdu ialah
peribahasa yang menerangkan bahawa, anak-anak yang baik sentiasa kembali kepada
induknya. Hal demikian amatlah mustahak dijadikan pedoman oleh anak-anak yang
telah menginjak usia dewasa. Mereka ini hendaklah memperlihatkan sikap
membalas budi dan bertanggungjawab terhadap ibu bapa. Setelah
bertahun-tahun ibu bapa mendidik dan menjaga, apabila sayap sudah penuh
kembalilah kepada induk untuk melihat susah payah mereka. Bantulah ibu bapa
atas kadar yang terdaya. Janganlah apabila telah besar panjang, ibu bapa
langsung tidak dijengah. Adik-adik yang masih kecil perlu dibantu. Malanglah
sangat apabila kedapatan anak-anak yang sudah besar remaja tetapi masih
bergantung kepada ibu bapa. Oleh itu, berpada-padalah dan sedarlah bahawa
setiap kita mempunyai tanggungjawab untuk dilaksanakan. Janganlah bersikap
kacang lupakan kulit, ibarat gemuk membuang lemak, cerdik membuang saudara.
Kaya
atau miskin, susah mahupun senang adalah menjadi sunnatullah. Semuanya adalah
sebahagian daripada ujian Tuhan terhadap hamba-Nya agar tidak mengenal putus
asa. Demi berhadapan dengan cabaran kesusahan dan beban hidup, semua orang digalakkan
berusaha dengan lebih gigih. Hidup ibarat roda, hari ini di bawah mungkin
esok ke atas. Prakara yang paling penting ialah keinginan untuk berusaha dan
tidak berputus asa. Peribahasa menyatakan, di mana-mana ada kemahuan di situ
ada jalan. Sebagai anak yang sudah besar panjang perlulah mengorak langkah
untuk memikirkan sebarang kerja yang dapat meringankan beban ibu bapa. Dalam
pada itu, sebagai insan yang tidak putus daripada khaliq-Nya, kita perlu
berdoa, bermuhasabah dan bermunajat agar diberikan taufik dan hidayah oleh
Allah sehingga terbuka jalan dan ikhtiar. Yakinlah akan firman Allah dengan
mafhumnya, “Tuhanmu tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan
kaum itulah yang mengubah nasib mereka sendir”i. Insya-Allah jikalau kita gigih
dan tidak putus memohon petunjuk-Nya, nescaya limpah kurnia dan restu Allah
akan tetap bersama-sama kita.
Kesimpulannya,
ketika berdepan dengan pelbagai cabaran sebagai kesan daripada krisis kewangan,
setiap keluarga tidak boleh mati akal. Ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak
dengan penuh tanggungjawab, manakala anak-anak perlu faham akan tanggungjawab
mereka terhadap ibu bapa. Sikap saling menyokong dan saling memerlukan boleh
menjadi jambatan untuk menzahirkan impian, “Rumahku Syurgaku”. Semoga dengan
sikap yang sentiasa positif segala masalah akan usai juga akhirnya, ibarat
sepanjang-panjang jalan berliku ada penghujungnya.
No comments:
Post a Comment