Wednesday, February 3, 2016

PEMERDAGANGAN MANUSIA



ARTIKEL : Usaha Malaysia menghapuskan Akitviti Pemerdagangan Manusia


Pemerdagangan manusia adalah masalah global yang kian meningkat jumlah kesnya sejak seabad lepas. Mengikut laporan Amnesty International; pada tahun 2004 sahaja dianggarkan 700;000 orang diperdagang setiap tahun bagi tujuan seks. Bagaimanapun, amat malang sekali kerana Malaysia dilihat sebagai tempat menarik oleh sindiket pemerdagangan manusia untuk menjalankan aktMti mereka.
REKOD MALAYSIA DALAM PEMERDAGANGAN MANUSIA
Ini telah menjejaskan reputasi negara dan usaha telah dijalankan oleh pihak berkuasa untuk menjaga imej negara. Langkah serius kerajaan menangani isu pemerdagangan manusia telah menaikkan taraf Malaysia ke Tahap (Tier) 2 daripada Tahap 3 dalam Laporan Senarai Pemerhatian Pemerdagangan Malaysia (TIP) 2010. Laporan TIP adalah senarai kedudukan negara-negara dunia berdasarkan tahap pematuhan standard minimum dalam memerangi pemerdagangan manusia. Pada tahun 2009; kedudukan Malaysia merosot dari Tahap 2 pada 2008 ke Tahap 3 pada 2009.
Pencapaian TIP adalah berdasarkan kepatuhan negara menerusi Akta Perlindungan Pemerdagangan dan Keganasan (TVPA) Amerika Syarikat. Menurut klasifikasi antarabangsa, Tahap Satu merujuk kepada negara yang melakukan pematuhan sepenuhnya dan Tahap Dua bagi usaha signifikan untuk mematuhi TVPA. Manakala Tahap Tiga pula bermaksud sebagai negara yang tiada usaha untuk mematuhi standard minimum TVPA.
MUDAH TERDEDAH
Perkembangan ekonomi dan kemakmuran Malaysia menjadi tarikan utama kepada ramai warga asing dari seluruh dunia dan ini membuka peluang kepada kerancakkan aktiviti penyeludupan dan pemerdagangan manusia. Kedatangan pelancong dan pekerja asing di Malaysia menambahkan lagi sindiket pelacuran yang membawa masuk secara sah ataupun haram gadis seperti dari China, Indonesia, Thailand, negara-negara Balkan dan India untuk memenuhi permintaan pelanggan.
Tidak ketinggalan juga di bandar kecil yang terdapat ramai buruh asing di sektor perladangan, perindustrian dan pembinaan juga terdapat aktiviti kurang sihat ini yang melibatkan pemerdagangan manusia.
Pada masa yang sama, lambakan sarang pelacuran, pusat hiburan dan rumah urut di seluruh negara memberi gambaran permintaan yang tinggi terhadap perniagaan tersebut hingga meningkatkan juga permintaan dan kemasukan wanita muda oleh sindiket pemerdagangan manusia yang sama.
Selain itu, kedudukan Malaysia di tengah-tengah negara Asean, menjadikannya antara lokasi stategik sama ada sebagai negara destinasi atau transit bagi penyeludupan dan pemerdagangan manusia.
Menyedari masalah itu, Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 telah diluluskan namun ia masih belum cukup kuat untuk menghalang kemasukan sindiket yang membawa wanita dan gadis muda bagi tujuan pelacuran dan buruh domestik. Lagipun, modus operandi sindiket membawa masuk mangsa adalah sukar dikesan pihak berkuasa disebabkan mereka ini memasukki negara secara
sukar dikesan pihak berkuasa disebabkan mereka ini memasukki negara ini menggunakan pas lawatan sosial atau pun pas pelajar.
LELAKI DAN KANAK-KANAK TIDAK TERKECUALI
Bukan hanya wanita, lelaki dewasa turut diperdagangkan terutama untuk pengeksploitasian buruh atau dijadikan buruh paksa. Kebanyakan mereka yang datang dari Indonesia, Bangladesh, Nepal dan Vietnam menjadi mangsa selepas dijanjikan pekerjaan dengan bayaran lumayan sedangkan semuanya palsu. Malah lebih menyedihkan mereka turut dipaksa bekerja untuk tempoh panjang sehingga lebih 18 jam sehari tanpa dibayar upah.
Kanak-kanak dan bayi juga mendapat permintaan yang tinggi untuk diperdagangkan terutama bagi aktiviti meminta sedekah atau dijadikan anak angkat kepada pasangan yang tidak mempunyai zuriat sendiri. Menurut statistik Majlis Anti Pemerdagangan Orang (MAPO), sejak 28 Feb 2008 hingga 21 Dis 2010, sebanyak 304 kes dilaporkan membabitkan pelbagai jenis eksploitasi dan 434 orang ditahan kerana terbabit dalam jenayah berkenaan.
Daripada jumlah itu, 1,930 mangsa mendapat perintah perlindungan sementara (IPO) manakala 708 lagi perintah perlindungan yang mana kebanyakan mangsa terbabit terlibat dalam eksploitasi seks (189 mangsa), perkhidmatan paksa (58), penyeludupan manusia (24)dan penjualan bayi (11).
MASIH KURANG KESEDARAN
Kesedaran masyarakat Malaysia tentang isu pemerdagangan manusia masih lagi rendah malah masih ramai yang tidak memahami definisi sebenar yang dimaksudkan dengan pemerdagangan orang. Selain skopnya yang luas, aktiviti pemerdagangan orang adalah lanskap jenayah yang masih dianggap baru yang menyebabkan pemahamannya masih kurang.
Kurang pemahaman itu bukan sahaja di kalangan orang ramai, malah ia berlaku di kalangan penguatkuasa sendiri. Istilah penyeludupan dan pemerdagangan manusia juga membawa dua maksud yang berbeza walaupun kedua-duanya kelihatan sama. Pemerdagangan orang membawa maksud merekrut, pengangkutan, pemindahan, perlindungan, penyediaan atau penerimaan seseorang bagi maksud eksploitasi di mana modus operandinya termasuk penggunaan ancaman atau penggunaan bentuk tekanan lain, penculikan, penipuan, kecurangan, penyalahgunaan kuasa, kedudukan berisiko atau rawan dan memberi atau menerima pembayaran. Ia digunakan untuk tujuan mengeksploitasi pelacuran, eksploitasi seksual, buruh paksaan atau khidmat layanan paksa dan perhambaan.
Manakala penyeludupan membawa maksud mengatur, memudahkan atau merancang secara langsung atau tidak langsung, kemasukan seseorang secara tidak sah ke dalam atau melalui atau pengeluaran seseorang secara tidak sah dari mana-mana negara yang orang itu bukan warga negara atau pemastautin tetap sama ada dengan mengetahui atau mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa kemasukan atau pengeluaran orang itu tidak sah. Ini juga membawa maksud mengangkut, memindahkan, menyembunyikan, melindungi atau menyediakan apa-apa bantuan atau perkhidmatan bagi tujuan melaksanakan perkara di atas.
Namun begitu tidak dinafikan aktiviti penyeludupan orang menjadi punca kepada akiviti pemerdagangan manusia kerana kebiasaannya penyeludupan orang berpotensi menjadi sebahagian aktiviti pemerdagangan orang.
Berikutan itu, Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 telah dipinda bagi memasukkan kesalahan penyeludupan migran untuk dijadikan akta baru yang kini dikenali sebagai Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Pemerdagangan Migran 2007 yang dikuatkuasakan pada MAC 2011 lepas.
Pindaan itu bagi menangani sindiket antarabangsa yang menjadikan negara ini sebagai negara transit pemerdagangan dan penyeludupan manusia untuk membawa mangsa ke negara ketiga terutama Australia.Kebanyakan mangsa adalah dari Afganistan, Pakistan dan Myanmar yag dibawa masuk ke Malaysia terlebih dahulu sebelum ke Indonesia dan seterusnya ke Australia.
Pengarah Jabatan siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Mohd Bakri Zinin memberi jaminan polis akan mengambil langkah berterusan memerangi pemerdagangan manusia dengan mengadakan lebih banyak operasi dalam usaha menyelamatkan mangsa sindiket.
Lebih ramai anggota polis akan ditempatkan di kawasan panas sindiket itu seperti di perairan negara di Selat Melaka dan Laut China Selatan yang dikenal pasti sebagai laluan masuk utama sindiket itu sebelum mangsa diperdagangkan ke negara destinasi.
Kerajaan juga turut mengambil tindakan yang lebih teratur melalui Pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan Orang yang menetapkan hala tuju dan fokus dalam usaha mencegah dan membanteras gejala pemerdagangan orang.Pelan yang dirangka bagi tempoh lima tahun (2010-2015) itu adalah antara usaha dan komitmen kerajaan dalam membanteras masalah pemerdagangan orang. Aktiviti jenayah ini yang mempunyai jaringan dan sindiket profesional harus dilihat secara menyeluruh dan jika tidak dibanteras secepat mungkin boleh menjejaskan imej; prestasi dan nama baik negara di mata dunia terutama imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh.

No comments:

Post a Comment