Tuesday, January 26, 2016

JAWABAN NOVEP SBE BAB 1 - 5

Bab 1: Kalaulah Engkau Mengerti
     Setelah penat berlatih bola jaring untuk bertanding dengan pelajar tingkatan enam rendah, Dahlia berbual-bual dengan Siti Wangi, rakan karibnya mengenai kertas kerja yang disuruh oleh Cikgu Hisyam. Dahlia memberitahu Siti Wangi, isi telah dicari tetapi fakta-fakta masih tidak lengkap. Kemudian, Kavita datang menemui Dahlia dengan membawa pesanan seorang lelaki mahu bertemunya di kantin. Dahlia pergi bertemu dengan lelaki itu yang bernama Azhari. Lelaki itu memberitahu Dahlia, dia telah habis belajar dan akan mendapat segulung ijazah pada bulan Ogos nanti.  Azhari juga memaklumkan keluarganya akan datang ke rumah Dahlia untuk tujuan merisik.  Dahlia meminta Azhari mengerti bahawa dia masih belajar dan ingin membantu keluarganya kerana dia merupakan anak sulung.

Bab 2: Detik-detik Hati Tersentuh
     Pada petang itu, Azhari menghantar Dahlia pulang ke kampungnya tetapi sehingga ke jambatan sahaja. Jirannya yang bernama Aton telah menegurnya semasa dia turun dari kereta Azhari.  Aton juga menyindir Dahlia yang selalu balik dengan mengatakan bahawa dia tidak suka tinggal di asrama.  Dahlia membalas sindiran Aton dengan mengatakan bahawa orang tuanya masih ada.  Dahlia tidak suka akan Aton kerana Aton mengatakan emaknya “tak betul”.
     Sewaktu sampai di rumahnya, Dahlia terdengar adiknya, Anggerik menangis kelaparan.  Melati memberitahu emak mereka telah keluar rumah dan belum pulang lagi.  Dahlia terus mendapatkan Anggerik dan memarahi Melati kerana membuat susu yang terlalu cair.  Sebenarnya, susu telah habis. Dahlia telah menyiapkan makan malam manakala Melati disuruh pergi ke kedai Tauke Lim untuk membeli susu dan gula pasir sekilo secara hutang.

     Selepas itu, Dahlia pergi mencari emaknya di kebun getah. Dahlia terdengar emaknya bercakap sendirian dan tidak mempedulikan panggilannya. Hati Dahlia benar-benar tersentuh apabila melihat ibunya sebegitu. Emaknya juga tidak mengenalinya menyebabkan Dahlia menangis. Tiba-tiba, abahnya Embong muncul dan bertanyakan sebab Dahlia di situ kerana sudah masuk waktu Maghrib. Dahlia menuding ke arah emaknya. Embong cuba memujuk Saleha balik ke rumah tetapi Saleha mengatakan rumahnya di tengah kebun getah itu dan dia tidak mahu diganggu. Dahlia mencadangkan abahnya supaya mendapatkan bantuan orang kampung sebelum emaknya pergi lebih jauh ke dalam kebun. 
Bab 3 : Jangan Tinggalkan Kami
     Selepas solat Isyak, Dahlia asyik befikir tentang penyakit emaknya itu. Dia tertanya-tanya sama ada emaknya terkena buatan orang. Akan tetapi, Dahlia tidak tahu orang yang berhasad dengki dengan keluarganya. Akhirnya, Dahlia pasrah dan mengakui bahawa semua yang berlaku itu adalah ketentuan Allah. Dahlia berdoa agar Allah menguatkan imannya, memberi ketabahan dan kekuatan untuk melalui hari-hari yang mendatang. Dia juga berdoa agar emaknya pulih seperti sediakala. Setelah habis berdoa, Dahlia terdengar suara Nek Kiah, ibu kepada emaknya.   
     Nek Kiah memarahi Embong kerana mengikat Saleha. Abah Dahlia memberitahu, beliau terpaksa berbuat sedemikian kerana takut Saleha lari. Nek Kiah memang tidak suka akan keluarga Dahlia kerana mereka hidup dalam kemiskinan. Nek Kiah membandingkan keluarga Dahlia dengan anak-anaknya yang lain yang semuanya hidup senang-lenang. Haji Sulaiman selaku Ketua Kampung Parit Haji Rais datang membawa orang dari Hospital Batu Pahat. Tujuan kedatangan mereka adalah untuk membawa Saleha mendapatkan rawatan. Walaupun anak-anak dan Nek Kiah melarang Saleha untuk dibawa ke hospital namun Embong serba salah menghadapi situasi itu.

Bab 4: Dibuai Kenangan Indah
     Dahlia menyelesaikan kerja rumah, kerja sekolah dan membantu Melati menyiapkan latihan Matematik.  Dahlia merebahkan dirinya di sebelah Anggerik. Dahlia mengimbas kembali pantun yang diungkapkan oleh Azhari sewaktu menghantarnya pulang pada hari Khamis yang lalu. Dahlia tidak sanggup untuk melukakan hati sesiapa. Dia meminta agar Azhari mengerti keadaan keluarganya yang belum sempurna. Dahlia juga meminta izin Azhari untuk membaiki diri sendiri dan keluarganya.  
     Pada petang Khamis itu, dia dihantar oleh Azhari pulang ke kampung tetapi Dahlia meminta Azhari memberhentikan keretanya jauh dari rumahnya untuk mengelakkan salah faham orang kampung. Pada keesokan paginya, Dahlia dikejutkan oleh abahnya yang menyuruhnya pergi ke sekolah. Embong memberitahu Dahlia bahawa beliau akan menguruskan hal berkaitan adik-adik Dahlia walaupun sebenarnya beliau sendiri tidak tahu akan cara untuk menyelesaikan masalah tersebut kerana beliau terpaksa bekerja mencari nafkah keluarga. Perkara inilah yang menjadi punca beliau tidak mahu menghantar isterinya ke hospital. Embong pasrah memikirkan masalah tersebut, beliau menyerahkan segalagalanya kepada Tuhan.   
     Embong megimbas kembali perbualannya dengan Saleha mengenai ibu mentuanya, Nek Kiah yang tidak suka akan keluarga mereka. Nek Kiah tidak suka keluarga mereka disebabkan mereka hidup miskin tidak seperti anak-anaknya yang lain. Anak-anak Saleha dan Embong tidak diumpamakan sebagai cucu oleh Nek Kiah. Embong juga  teringat semula peristiwa isterinya pernah memberitahu bahawa sejak kebelakangan ini beliau terasa ada bayang-bayang mengejarnya. Telinganya juga sering terdengar suara yang pelik-pelik. Badannya juga terasa lemah.   
     Embong dikejutkan oleh suara Dahlia yang disangkakan isterinya. Embong memberitahu Dahlia doktor memaklumkan emaknya hanya runsing, Embong tidak menceritakan perkara sebenar yang berlaku kepada Saleha di bilik kurungan di hospital itu kerana bimbang Dahlia tidak dapat menumpukan perhatian terhadap pelajarannya. Embong juga memberitahu bahawa beliau akan memetik buah kelapa sawit Haji Sulaiman pada keesokannya. Mereka dikejutkan oleh Abu Bakar, adik Dahlia yang sudah tiga hari tidak balik ke rumah dan rela menjadi gelandangan setelah mendapat gred tiga dalam SPM.

Bab 5: Kata Setajam Pedang
     Dahlia menaiki bas JMBC berjalur merah yang sarat dengan penumpang untuk ke sekolah. Dia yang sepatutnya pulang pada hari Sabtu ke asrama tidak berbuat demikian kerana adiknya, Anggerik asyik menangis. Dahlia tidak rela dituduh  mementingkan diri sendiri oleh sebab itu dia pergi ke sekolah pada pagi Ahad itu dari rumahnya. Dahlia sampai lewat ke Sekolah Menengah Kebangsaan Temenggong Ibrahim iaitu lima minit pukul lapan pagi. Pintu pagar telah berkunci. Dahlia ternampak Cikgu Salwani, warden asramanya sedang menuju ke bilik guru. Dahlia ditanya oleh Cikgu Salwani punca kelewatannya dan meminta Dahlia berjumpa dengannya pada petang itu.
     Dahlia tidak dapat menumpukan perhatiannya di dalam kelas kerana asyik teringat akan emak, Anggerik dan abahnya. Siti Wangi mengingatkan Dahlia, mereka ada janji temu pada pukul 2.00 petang untuk membincangkan kertas kerja yang akan dibentangkan pada hari Khamis. Dahlia memberitahu dia tidak bersedia dan pada petang itu dia hendak melawat emaknya di hospital.  Pada petang itu, Dahlia tidak bertemu dengan Cikgu Salwani kerana dia risau akan ditanya banyak perkara. Dahlia telah keluar dari asrama tanpa kebenaran wardennya dan terus pergi ke hospital untuk berjumpa emaknya. Di hospital, Dahlia terserempak dengan Haji Sulaiman. Haji Sulaiman memaklumkan emaknya telah dibawa ke Hospital Permai, Johor Bahru.  


1 comment:

  1. Info yang sangat menarik dan sangat menyenangkan untuk dibaca
    Solusi Terbaik Menjadi Cerdas Thanks for your nice article.

    ReplyDelete