ULANGKAJI KOMSAS NOVEL TINGKATAN 5- PERSEDIAAN PPT 2015
ULANGKAJI KOMSAS NOVEL TINGKATAN 5
Setiap kali proses pengajaran dan pembelajaran novel, saya sering menasihatkan pelajar peri pentingnya pemahaman diutamakan semasa mempelajari novel yang dikaji. Pelajar tingkatan lima perlu menguasai dan memahami novel Azfa Hanani dan Novel Kembara Amira. Justeru, fokus yang perlu pelajar fahami ialah pemahaman komponen komsas yang telah dipelajari di dalam kelas.
Pelajar tingkatan lima perlu menguasai komponen komsas yang telah dipelajari iaitu:-
i. Tema.
ii. Persoalan.
iii. Watak dan perwatakan.
iv. Peristiwa penting yang berlaku dalam novel ( khusus kepada sinopsis atau perkembangan plot)
v. Gaya bahasa.
vi. Latar ( Masyarakat, Masa, Tempat)
vii. Nilai
viii. Pengajaran.
Justeru, untuk novel Azfa Hanani semua soalan di atas kemungkinan keluar kerana pelajar telah mempelajari novel ini di tingkatan empat. Sementara soalan untuk novel tingkatan lima ( Kembara Amira) , empat komponen komsas novel telah dikaji iaitu:-
i. Tema.
ii. Persoalan.
iii. Watak dan perwatakan.
iv. Peristiwa penting yang berlaku dalam novel ( khusus kepada sinopsis atau perkembangan plot)
Justeru, semasa menjawab soalan pelajar perlu memahami fokus atau kata kunci soalan, selain pelajar perlu memahami definisi komponen komsas yang disoal. Sebagai contoh, untuk soalan tingkatan empat, fokus soalan yang boleh keluar dalam peperiksaan berdasarkan empat komponen komsas yang telah dipelajari seperti di atas. Pelajar harus menjawab soalan berdasarkan pemahaman mereka terhadap fokus atau kata kunci soalan. Oleh sebab itu, jawapan pelajar perlu berdasarkan pemahaman sendiri, dan juga jenis soalan iaitu sama ada soalan tersebut soalan 4 (a) atau soalan 4 (b). Hal ini kerana soalan berkenaan berdasarkan markah yang diperuntukkan:-
Soalan
|
Markah
|
Isi
|
Bahasa
|
Jumlah isi perlu ditulis
|
4 (a)
|
7 markah
|
4 markah
|
3 markah
|
Dua isi dan tambah satu ( “backup”)
Isi yang sepatutnya dijawap tiga isi
|
Soalan
|
Markah
|
Isi
|
Bahasa
|
Jumlah isi perlu ditulis
|
4 (b)
|
6 markah
|
6 markah
|
2 markah
|
Tiga isi dan tambah satu ( “backup”)
Isi yang sepatutnya dijawap empat isi
|
Cara untuk menjawab berkenaan, formatnya ialah seperti di bawah.
Soalan berfokus tema tingkatan empat: Berdasarkan Novel Kembara Amira karya Amir Hamzah L Kadir, tema novel berkenaan ialahpengembaraan seorang remaja perempuan mematangkan kehidupannya.
Isi
|
Huraian
|
Contoh
|
Dalam pengembaraan Amira di Bukit Mat Raya semasa menyertai ibunya iaitu Profesor Zaidah dalam ekskavasi menjejak kewujudan tamadun manusia melalui cari gali bahan erkeologi terdapat beberapa peristiwa yang dialami telah mematangkan kehidupannya.
|
Antaranya, Amira telah melihat suasana keluarga yang tragis akibat tindakan seorang isteri meninggalkan anak dan suami sehingga menyebabkan keluarga berkenaan terpisah antara satu sama lain
|
Contohnya, keluarga Tau dan Ipah (Jenifer) telah berpisah apabila Ipah mengambil keputusan melarikan diri bersama Johnny. Ipah telah meninggalkan anaknya yang baru dilahirkan (Itai) dan membawa Sabi (Malique) bersamanya menyebabkan terjadinya perpecahan keluarga. Akhirnya, Amira berjaya merungkaikan masalah keluarga berkenaan.
|
Peringatan:-
Cara menghurai dan menulis jawapan berbeza antara pelajar. Justeru, cara menulis jawapan soalan berdasarkan kreativiti pelajar. Paling utama anda menjawab soalan berkenaan dengan baik.
Format jawapan yang dicadangkan:-
Perenggan Pertama : Definisi komponen komsas ditanya.
Peranggan Kedua : Isi
Perenggan Ketiga : Isi seterusnya.
1. Contoh soalan dan jawapan.
Huraikan tema yang terdapat dalam novel yang anda kaji di tingkatan lima. ( Novel Kembara Amira )
Tema bermaksud persoalan pokok atau idea utama yang disampaikan oleh pengkarya dalam karyanya seperti novel, cerpen dan karya sastera yang lain. Berdasarkan Novel Kembara Amira Karya Amer Hmzah L.Kadir, temanya tema novel berkenaan ialah pengembaraan seorang remaja perempuan yang mematangkan kehidupannya. Hal ini jelas melalui pengalaman yang diterima oleh Amira apabila menghabiskan masa cuti persekolahannya dengan menyertai ibunya iaitu Profesor Zaidah dalam ekskavasi menjejak kewujudan tamadun manusia melalui cari gali bahan erkeologi di Bukit Mat Raya.
Semasa pengembaraan berkenaan Amira telah berjumpa dengan Malique dan Itai. Amira juga telah berjaya merungkai masalah keluarga yang tragis dihadapi oleh mereka dan menyatukan semula hubungan kekeluargaan antara mereka. Hal ini berlaku apabila isteri Tau, Ipah (Jenifer) meninggalkan Itai dan membawa Sabi (Malique) iaitu abang kepada Itai bersamanya. Ipah mengambil tindakan berkenaan apabila masyarakat orang asli tidak menerima kehadirannya kerana Ipah tidak diterima oleh masyarakatnya kerana kulitnya putih dan matanya biru. Perbezaan kulit dan warna matanya menyebabkan rakan-rakan sebaya dalam kalangan masyarakat Orang Asli memulaunya.
Selain itu, pengembaraan berkenaan juga telah menyebabkan telah Amira mengenali Jachinta dengan lebih dekat setelah dia berjaya mengesan masalah rakannya yang menghadapi masalah apabila bapanya berkahwin lagi. Hubungan Jachinta dan ibu tirinya tidak begitu baik dan dia menolak perkahwinan bapanya. Justeru, Jachinta mengikuti Amira menyertai expedisi ibunya di Bukit Mat Raya kerana tidak mahu pulang ke rumah akibat masalah tersebut.
Bahkan juga, Amira juga berjumpa dengan masyarakat orang asli yang cuba untuk mempertahankan hutan mereka daripada dicerobohi oleh masyarakat yang rakus untuk mengaut keuntungan daripada khazanah alam di kawasan mereka. Mereka ke Bukit Mat Raya untuk mencari emas yang dikatakan terdapat di kawasan bukit tersebut. Hal ini terbukti dengan kehadiran John O’Hara berusia setengah abad ke Bukit Mat Raya untuk membuktikan bahawa kawasan tersebut mengandungi emas atau tidak. Sekiranya terbukti kawasan tersebut mengandungi emas sudah pasti kawasan tersebut akan diterokai dan kawasan hutan di tempat berkenaan akan musnah apabila usaha cari gali emas dijalankan di kawasan tersebut. Oleh sebab itu, tindakan berkenaan ditentang oleh Tau dan Itai.
Selain itu, melalui pengembaraan tersebut, Amira mengetahui kehebatan perubatan tradisonal mampu mengubati mengatasi masalah keretakan tulang tangan ibunya. Ini digambarkan melalui watak Ludin yang menggunakan cara perubatan tradisional untuk menyembuhkan Prof. Zaidah yang mengalami keretakan tulang tangannya. Akhirnya, dengan perubatan menggunakan buluh yang sudah dibelah kecil, daun-daun seperti daun kunyit, dan bungkusan kecil, keretakan tulang tangan Prof Zaidah dapat disembuhkan oleh Tai dan Ludin.
Isi-isi tambahan:-
Memahami Kepentingan sejarah dalam ketamadunan manusia. Contohnya, Prof. Zaidah dan Dr. Zawawi, dan pelajar tahun akhir universiti membuat kajian tentang arkeologi bagi mencari bahan bukti kewujudan manusia beribu-ribu tahun dahulu yang terdapat di negara ini.
Memahami kecintaan masyarakat orang asli terhadap alam sekitar. Contoh digambarkan melalui sikap dingin Tau terhadap kehadiran orang luar ke kawasan Bukit Mat Raya kerana risau kawasan hutan Bukit Mat Raya akan musnah serta menyebabkan roh-roh nenek moyang mereka.
2. Huraikan persoalan yang terdapat dalam novel tingkatan empat yang anda kaji.
Persoalan merupakan idea sampingan yang digarapkan oleh perkarya dalam karyanya untuk mengukuhkan tema yang disampaikan. Berdasarkan Novel Azfa Hanani karya Halis Azhan Mohd Hanafiah beliau telah memaparkan beberapa persoalan untuk memastikan perkembangan vovel berkenaan manarik.
Antara persoalan yang dipaparkan ialah persoalan Persoalan ketabahan seorang gadis remaja menghadapi kehidupan yang penuh ranjau dan duri. Azfa Hanani dibesarkan oleh Pak Long Madi yang kurang berada, namun dia menerima keadaan kemiskinan berkenaan selama 16 tahun tinggal bersama keluarga paklongnya. Selain itu, Azfa Hanani juga tabah menghadapi liku – liku hidup di rumah banglo milik keluarga baharunya semasa menyamar menjadi Tengku Murni terutamanya dalam menghadapi sikap Tengku Datuk Makmur dan anaknya, Tengku Muzaffar yang begitu ego dengan status mereka sebagai golongan elit. Mereka merendahkan martabat Azfa Hanani yang dianggap cuba untuk mengambil kesempatan untuk membolot kekayaan mereka dengan menyamar sebagai Tengku Murni.
Selain persoalan di atas, pengkarya juga menggarapkan persoalan keberanian menghadapi risiko. Hal ini dapat dilihat melalui watak Azfa Hanani, seorang gadis yang baru berumur 17 tahun tetap berani mengambil risiko menyamar sebagai Tengku Murni untuk membantu sepupunya Zuraini yang memerlukan kos yang tinggi untuk rawatan lumpuh yang dihadapinya. Tambahan pula, penyamarannya tersebut amat sukar kerana dia terpaksa berlakon sebagai Tengku Murni dalam kalangan keluarga elit sedangkan dia hanya seorang gadis miskin. Namun, dengan pertolongan dan bantuan Tengku Mazran dan Kak Shafinaz, Azfa Hanani cuba melakukan penyamaran tersebut dengan sebaik mungkin.
Halis Azhan Mohd Hanafiah juga menggarapkan persoalan kegigihan menimba ilmu pengetahuan dalam novel Azfa Hanani. Sikap ini ditonjolkan melalui perwatakan Azfa Hanani, walaupun dia berasal daripada keluarga miskin tetapi dia gigih belajar dengan tujuan untuk membaiki masa depan keluarga paklongnya dan hidupnya apabila mengambil kesempatan belajar bahasa Inggeris dan bahasa Jepun di Institut Lingua Franca untuk memahirkan lagi penguasaannya dalam bahasa tersebut semasa menyamar menjadi Tengku Murni dan tinggal dengan keluarga Datin Maziah.
Bahkan juga, Halis Azhan Mohd Hanafiah memaparkan persoalan sikap mementingkan darjat atau pangkat dalam kehidupan masyarakat. Sikap mementingkan darjat diperlihatkan melalui perwatakan Tengku Datuk Makmur dan anaknya, Tengku Muzaffar begitu ego dengan status mereka sebagai golongan elit. Mereka memandang hina terhadap Azfa Hanani dengan anggapan penyamaran Azfa Hanai bertujuan untuk membolot harta mereka. Di sekolah pula, rakan-rakan Azfa Hanani seperti Laili, Syafikah, dan Fuziana juga memandang rendah kepadanya kerana dia berasal dari kampung dan hidup miskin.
Contoh isi lain:-
Ø Persoalan kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya, Datin Maziah terlalu menyayangi Tengku Murni
sehingga dia tidak dapat menerima kenyataan bahawa anaknya telah meninggal dunia.
Ø Persoalan memutuskan perhubungan antara dua insan kerana perbezaan darjat. Tengku Muzaffar begitu benci akan Ekran iaitu kawan baik Tengku Murni kerana perbezaan darjat. Justeru, Tengku Mazran menjadi punca hubungan Tengku Murni terputus dengan Ekran kerana Tengku Muzaffar beranggapan Tengku Murni tidak layak untuk berkawan dengan Ekran kerana dia seorang pelajar miskin dan menjual burger untuk menampung kehidupannya. Sedangkan Ekran sebenarnya bukanlah seorang pelajar miskin sebagaimana tanggapan Tengku Muzaffar kerana ibu bapanya bertugas sebagai pensyarah dan sedang malanjutkan pelajaran di peringkat PHD. Tujuan Ekran menjual burger adalah untuk mengaplikasi bidang pengajiannya dalam jurusan perakaunan.
Ø Persoalan wang dan kekayaan mampu mengubati penyakit kronik. Buktinya, Tengku Mazran dan keluarganya mampu membiayai perubatan Zuraini dengan menghantarnya ke Indonesia untuk memperoleh perubatan yang terbaik dan akhirnya dengan izin Allah Zuraini berjaya diubati dan dapat hidup seperti orang biasa.
3. Huraikan watak perwatakan utama novel yang anda kaji di tingkatan 4 ( Azfa Hanani)
Watak merupakan pelaku yang memegang watak dalam sesebuah karya sastera sementara perwatakan merupakan gambaran atau sifat pelaku tersebut. Berdasarkan Novel Azfa Hanani karya Halis Azhan Mohd Hanafiah, beliau telah memaparkan Azfa Hanani sebagai watak utama.
Huraikan isi di bawah dengan ayat yang gramatis.
· Gadis cantik berusia 17 tahun dan berwajah lembut . Air mukanya yang jernih mengambarkan sifat penyayangya.
· Ibu bapanya berkahwin muda ketika berusia 19 tahun tetapi malangnya kedua ibu bapanya itu telah meninggal dunia apabila kereta yang dipandunya mengalami kemalangan jalan raya akibat terjunam ke dalam gaung. Semasa kejadian Azfa Hanani masih bayi. Di akhir novel cerita kemalangan tersebut terbongkar dan punca kemalangan berlaku akibat Datuk Tengku Makmur. Diceritkan juga, Datin Maziah menyusukan Azfa Hanani selepas kemalangan berlaku.
· Dibesarkan oleh Pak Long Madi dan Mak Long Diah dalam serba kekurangan setelah kematian ibu bapanya yang terlibat dalam kemalangan jalan raya tersebut.
· Dia bersekolah dalam Tingkatan Lima Kenanga di Sekolah Menengah Sri Dian dalam aliran sains setelah mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan PMR. Namun, dia menghadapi masalah kerana lemah dalam subjek bahasa Inggeris.
· Baik hati dan sanggup berkorban. Contohnya Azfa sanggup untuk menyamar menjadi Tengku Murni kerana dia tahu bahawa dengan cara tersebut Zuraini Anak Pak Longnya, juga sepupunya akan mendapat rawatan menyembuh masalah lumpuh yang dihadapi apabila Tengku Mazran dan isterinya Syafinaz bersetuju untuk menanggung kos rawatan Zuraini sebagai imbal balas kesudian Azfa Hanani menyamar menjadi Tengku Murni.
· Tabah mengharungi dugaan hidup. Azfa Hanani dibesarkan oleh Pak Long Madi yang kurang berada.Dia juga tabah menghadapi liku – liku hidup di rumah angle milik keluarga baharunya semasa menyamar menjadi Tengku Murni terutamanya dalam menghadapi Tengku Datuk Makmur dan anaknya, Tengku Muzaffar begitu ego dengan status mereka sebagai golongan elit. Mereka merendahkan martabat Azfa Hanani yang dianggap cuba untuk mengambil kesempatan untuk membolot kekayaan mereka dengan menyamar sebagai Tengku Murni.
· Mengenang budi. Azfa Hanani dibesarkan oleh Pak Long Madi yang kurang berada setelah kematian kedua-dua orang tuanya yang terlibat dalam kemalangan jalan raya. Sebagai balasan pengorbanan Pak Longnya memeliharanya semenjak kecil, dia sanggup menerima tawaran Tengku Mazran dan Kak Syafinaz untuk menyamar sebagai Tengku Murni. Hal ini kerana mereka telah berjanji kepada Azfa Hanani untuk merawat sepupunya Zuraini iaitu anak Pak Longnya yang mengalami masalah lumpuh.
· Berjaya menerima anugerah Pengerusi Terbaik Forum Remaja peringkat daerah.
· Sanggup menyamar sebagai Tengku Murni supaya Datin Maziah pulih daripada masalah tekanan perasaan.
3. Huraikan pengajaran yang anda peroleh setelah mengkaji novel tingkatan empat yang anda pelajari.
Pengajaran merupakan kesan perlakuan atau nilai-nilai baik atau tidak yang boleh menjadi tauladan kepada kita atau pembaca apabila membaca sesebuah karya sastera. Berdasarkan Novel Azfa Hanani karya Halis Azhan Mohd Hanafiah terdapat beberapa pengajaran yang disampaikan.
Antara pengajaran yang terdapat dalam Novel Azfa Hanani ialah kita hendaklah berkorban demi kebahagiaan orang lain. Contohnya, Azfa Hanani sanggup menerima tawaran Abang Mazran dan Kak Finaz untuk menyamar sebagai Tengku Murni semata-mata kerana tidak mahu Datin Maziah terus tertekan akibat kehilangan anaknya tersebut sehingga mengganggu kesihatannya.
Selain itu, dalam novel berkenaan kita hendaklah gigih bersusaha untuk mencapai kejayaan dan tidak boleh mudah berputus asa. Contohnya, Azfa Hanani sanggup berulang alik sejauh 30 kilometer semata-mata ingin melanjutkan pelajarannya dalam aliran sains. Selain itu, bukti nilai kerajinan boleh dilihat daripada kesungguhan Azfa Hanani merebut peluang belajar bahasa Inggeris dan bahasa Jepun di Institut Lingua Franca untuk memahirkan bahasa Inggeris semasa menyamar sebagai Tengku Murni. Tambahan pula, dia memang menghadapi masalah dalam penguasaan bahasa Inggeris semenjak di kelas menengah rendah lagi iaitu dalam Peperiksaan Menengah Rendah lagi.
Bahkan juga, kita mestilah jangan bersikap sombong atas kekayaan dan pangkat yang kita ada. Contohnya, Tengku Muzaffar tidak dapat menerima hubungan adiknya, Tengku Murni dengan Ekran kerana menyangka Ekran berasal daripada keluarga yang miskin. Sebaliknya, kita perlu mencotohi Tengku Mazran begitu sederhana sifatnya walaupun berasal daripada keluarga elit.
Isi-isi tambahan:-
i) Kita hendaklah bersedia membantu orang yang memerlukan pertolongan. Contohnya, Abang Mazran bersusah payah mendapatkan rawatan bagi Zuraini yang lumpuh, sehingga akhirnya Zuraini dapat berjalan semula.
ii) Kita hendaklah sentiasa bersikap sederhana dan merendah diri. Contohnya, Azfa Hanani sentiasa bersederhana dalam segala hal walaupun keluarga angkatnya adalah golongan yang elit dan berada.
iii) Kita hendaklah sedar akan asal usul kita. Contohnya, Azfa Hanani tidak pernah melupakan asal usulnya yang datang dari kampung serta berasal daripada sebuah keluarga yang miskin. Dia tidak pernah mengambil kesempatan atas kebaikan Abang Mazran ataupun Datin Maziah.
SELAMAT MENJAWAB
Sila rujuk nota ekpres untuk rujukan dan ulangkaji anda untuk menghadapi PPT 2015.
No comments:
Post a Comment