JENIS-JENIS KESALAHAN BAHASA
(a) EJAAN
1. Penulisan Kata Berimbuhan
KESALAHAN
|
SEBAB KESALAHAN
|
PEMBETULAN
|
mengabungkan
|
Kata dasar ialah ‘gabung’ yang telah diberi imbuhan apitan ‘meN-...-kan’, tidak boleh digugurkan satu daripada huruf ‘g’ apabila awalan ‘meng-’ digunakan.
|
menggabungkan
|
mengelakan
|
Kata dasar ialah ‘elak’ yang telah diberi imbuhan apitan ‘meN-...-kan’, tidak boleh digugurkan huruf ‘k’ apabila kata dasar yang berakhir dengan huruf ‘k’ menerima apitan yang berakhir ‘-kan’.
|
mengelakkan
|
kebanyakkan
|
Kata dasar ialah ‘banyak’ yang telah diberi imbuhan apitan kata nama ‘ke-...-an’, tiada imbuhan apitan kata nama ‘ke-...-kan’.
|
kebanyakan
|
pertunjukkan
|
Kata dasar ialah ‘tunjuk’ yang telah diberi imbuhan apitan kata nama ‘peR-...-an’, tiada imbuhan apitan kata nama ‘peR-...-kan’.
|
pertunjukan
|
penggunan
|
Kata dasar ialah ‘guna yang telah menerima imbuhan apitan ‘peN-...-an’, tidak boleh digugurkan huruf ‘a’ apabila kata dasar yang berakhir dengan huruf ‘a’ menerima apitan berakhirna ‘-an’.
|
penggunaan
|
mengategorikan
|
Kata dasar ialah ‘kategori’ ialah kata pinjaman bahasa asing. Huruf konsonan pertama kata dasar tidak berubah bentuk sengau setelah menerima imbuhan apitan ‘meN-...-kan’.
|
mengkategorikan
|
mempaparkan
|
Kata dasar ‘papar’ ialah kata asli bahasa Melayu. Huruf konsonan pertama perkataan digugurkan dan diganti oleh bentuk sengau yang dilafazkan di tempat yang sama daerah sebutan dengan bunyi pertama dalam kata dasar iaitu huruf ‘m’.
|
Memaparkan
|
ketidak adilan
|
Kata dasar iaitu frasa ‘tidak adil’ perlu ditulis bercantum setelah diberi imbuhan apitan ‘ke-...-an’.
|
ketidakadilan
|
di minta
|
Imbuhan awalan ‘di’ perlu ditulis serangkai dengan kata dasar.
|
diminta
|
ke dua puluh
|
Imbuhan awalan ‘ke’ perlu ditulis serangkai dengan kata dasar.
|
kedua puluh
|
se tanding
|
Imbuhan awalan ‘se’ perlu ditulis serangkai dengan kata dasar.
|
setanding
|
2. Penulisan Kata Majmuk
KESALAHAN
|
SEBAB KESALAHAN
|
PEMBETULAN
|
kerja sama
|
‘kerja sama’ ialah kata majmuk berbentuk mantap, jadi dua kata dasarnya harus ditulis bercantum.
|
kerjasama
|
ambilalih
|
‘ambilalih’ ialah kata majmuk bukan berbentuk mantap, jadi dua kata dasarnya harus ditulis terpisah.
|
ambil alih
|
penguat kuasaan
|
Kata dasar ‘kuat kuasa’ iaitu kata majmuk bukan berbentuk mantap harus ditulis bercantum setelah menerima imbuhan apitan ‘peN-...-an’.
|
penguatkuasaan
|
mengulangkaji
|
Kata dasar ‘ulang kaji’ ialah kata majmuk bukan berbentuk mantap, jadi harus ditulis terpisah setelah menerima imbuhan awalan ‘meN-‘.
|
mengulang kaji
|
bertanggung jawab
|
Kata dasar ‘tanggungjawab’ ialah kata majmuk berbentuk mantap, jadi tetap ditulis bercantum setelah menerima imbuhan awalan ‘beR-‘.
|
bertanggungjawab
|
dicampur adukkan
|
Kata dasar ‘campur aduk’ iaitu kata majmuk bukan berbentuk mantap harus ditulis bercantum setelah menerima imbuhan apitan ‘di-...-kan’.
|
dicampuradukkan
|
jalan raya-jalan raya
|
‘Jalan raya’ bukan kata majmuk benbentuk mantap, hanya kata dasar pertama sahaja diulang untuk membentuk kata ganda.
|
jalan-jalan raya
|
kaki-kaki minum
|
‘Kaki minum’ ialah kata majmuk kiasan, seluruh kata majmuk itu perlu diulang untuk membentuk kata ganda.
|
kaki minum-kaki minum
|
setia-setiausaha
|
‘setiausaha’ ialah kata majmuk berbentuk mantap, seluruh kata majmuk itu perlu diulang untuk membentuk kata ganda.
|
setiausaha-setiausaha
|
3. Penulisan Kata Ganda
KESALAHAN
|
SEBAB KESALAHAN
|
PEMBETULAN
|
saudara mara
|
Kata ganda harus ditulis dengan membubuh tanda sempang (-) di antara dua kata dasar.
|
saudara-mara
|
bergotong royong
|
Kata dasar ‘gotong-royong’ ialah kata ganda, jadi perlu dibubuh tanda sempang (-) setelah menerima imbuhan awalan ‘beR-’
|
bergotong-royong
|
tolong menolong
|
Kata terbitan yang kata dasarnya ‘tolong’ diulang/ digandakan di bahagian hadapan perlu dibubuh tanda sempang (-) di antara bahagian-bahagian kata yang diulang itu.
|
tolong-menolong
|
berlari lari
|
Kata terbitan yang kata dasarnya ‘lari’ diulang/ digandakan di bahagian belakang perlu dibubuh tanda sempang (-) di antara bahagian-bahagian kata yang diulang itu.
|
berlari-lari
|
mengasihi-mengasihi
|
Penggandaan pada kata dasar yang berimbuhan hanya menggandakan kata dasar utama ‘kasih’ dan tidak melibatkan imbuhan.
|
kasih-mengasihi
|
mencuri-mencuri
|
Penggandaan pada kata dasar yang berimbuhan hanya menggandakan kata dasar utama ‘curi’ dan tidak melibatkan imbuhan.
|
mencuri-curi
|
memporakperandakan
|
Kata dasar ‘porak peranda’ ialah kata ganda dan harus ditulis dengan menggunakan tanda sempang (-) setelah menerima imbuhan apitan ‘meN-...-kan’.
|
memporak-perandakan
|
mengata-kata
|
Sekiranya kata dasar yang mengalami peluluhan huruf pertama pada perkataan yang diberikan imbuhan, bahagian kata yang digandakan juga mengalami peluluhan
|
mengata-ngata
|
mengurut-ngurut
|
Sekiranya kata dasar tidak mengalami peluluhan huruf pertama pada perkataan yang diberikan imbuhan, bahagian kata yang digandakan juga tidak mengalami peluluhan
|
mengurut-urut
|
4. Penulisan Kata Sendi Nama ‘di’ dan ‘ke’
KESALAHAN
|
SEBAB KESALAHAN
|
PEMBETULAN
|
ditepi
|
Kata sendi nama ‘di’ harus ditulis terpisah daripada kata arah yang mengikutinya.
|
di tepi
|
keatas
|
Kata sendi nama ‘ke’ harus ditulis secara terpisah daripada kata arah yang mengikutinya.
|
ke atas
|
disekolah
|
Kata sendin nama ‘di’ harus ditulis secara terpisah daripada kata nama/ frasa nama yang mengikutinya.
|
di sekolah
|
kepasar
|
Kata sendi nama ‘ke’ harus ditulis secara terpisah daripada kata nama/frasa nama yang mengikutinya.
|
ke pasar
|
5. Penulisan Kata Ganti Nama Singkat
KESALAHAN
|
SEBAB KESALAHAN
|
PEMBETULAN
|
kau tulis
|
Kata ganti nama singkat ‘kau’ yang berfungsi sebagai awalan penanda pasif harus ditulis serangkai dengan kata dasar yang mengikutinya.
|
kautulis
|
buku ku
|
Kata ganti nama singkat ‘ku’ sebagai akhiran harus ditulis serangkai dengan kata yang mendahuluinya.
|
bukuku
|
6. Penulisan Partikel (kah, lah, tah)
KESALAHAN
|
SEBAB KESALAHAN
|
PEMBETULAN
|
siapa kah
|
Partikel ‘kah’ harus ditulis serangkai dengan kata dasar yang mendahuluinya.
|
siapakah
|
tolong lah
|
Partikel ‘lah’ harus ditulis serangkai dengan kata dasar yang mendahuluinya.
|
tolonglah
|
bagaimana pun
|
Sebagai partikel penegas, kata ‘pun’ harus ditulis serangkai dengan kata yang mendahuluinya kerana telah mantap.
|
bagaimanapun
|
kalaupun
|
Sebagai partikel penegas, kata ‘pun’ tidak boleh ditulis serangkai dengan kata yang mendahuluinya kerana belum mantap.
|
kalau pun
|
7. Penulisan Kata Pinjaman
KESALAHAN
|
SEBAB KESALAHAN
|
PEMBETULAN
|
ejenda
|
Huruf ‘g’ yang disebut sebagai [j] dalam kata bahasa Inggeris diterima dan ditulis sebagai huruf ‘g’ juga dalam bahasa Melayu.
|
agenda
|
agen
|
Perkataan bahasa Inggeris yang mengandungi huruf ‘g’ yang diucapkan sebagai [j] menurut sebutan bahasa Inggeris dikekalkan sebagai huruf ‘j’ dalam bahasa Melayu.
|
ajen
|
calun
|
Penulisan kata pinjaman dikecualikan daripada pola keselarasan vokal.
|
calon
|
(b) TANDA BACA
1. Penulisan Huruf Besar
KESALAHAN
|
SEBAB KESALAHAN
|
PEMBETULAN
|
malaysia
|
Huruf pertama kata nama khas tempat harus ditulis dengan huruf besar.
|
Malaysia
|
jabatan kerja raya
|
Huruf pertama kata nama khas institusi harus ditulis dengan huruf besar.
|
Jabatan Kerja Raya
|
Masalah pencemaran Bahasa semakin ketara
|
Huruf pertama kata nama am tidak perlu ditulis dengan huruf besar.
|
Masalah pencemaran bahasa semakin ketara
|
Radio Dan Televisyen Malaysia
|
Huruf pertama kata hubung ‘dan’ dalam kata nama khas tidak perlu ditulis dengan huruf besar.
|
Radio dan Televisyen Malaysia
|
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu
|
Huruf pertama setiap kata nama khas institusi termasuk dalam bentuk kata ganda perlu ditulis dengan huruf besar.
|
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
|
Dia berbangsa cina
|
Huruf pertama kata nama khas bangsa perlu ditulis dengan huruf besar.
|
Dia berbangsa Cina.
|
Pada minggu lepas, datuk Abdul Kadir telah melawat kawasan rancangan itu.
|
Huruf pertama kata nama gelaran perlu ditulis dengan huruf besar.
|
Pada minggu lepas, Datuk Abdul Kadir telah melawat kawasan rancangan itu.
|
‘pulau rahsia’ ialah sebuah buku cerita
|
Huruf pertama setiap kata bagi kata nama khas buku perlu ditulis dengan huruf besar.
|
‘Pulau Rahsia’ ialah sebuah buku cerita
|
Ya allah, berikanlah rezeki ke atas diri hamba
|
Huruf pertama kata nama kebenaran Tuhan perlu ditulis dengan huruf besar.
|
Ya Allah, berikanlah rezeki ke atas diri hamba
|
2. Penggunaan Tanda Noktah (.)
KESALAHAN
|
SEBAB KESALAHAN
|
PEMBETULAN
|
Allahyarham P Ramlee
|
Tanda noktah perlu ada pada kependekan nama.
|
Allahyarham P. Ramlee
|
En Kassim
|
Tanda noktah perlu ada pada singkatan gelaran/ panggilan.
|
En. Kassim
|
Prof Hassan
|
Tanda noktah perlu ada pada singkatan gelaran jawatan.
|
Prof. Hassan
|
Mohd Abdullah
|
Tanda noktah perlu ada pada kependekan nama.
|
Mohd. Abdullah
|
3. Penggunaan Tanda Sempang (-)
KESALAHAN
|
SEBAB KESALAHAN
|
PEMBETULAN
|
dwi-bahasa
|
Imbuhan ‘dwi’ harus ditulis serangkai dengan kata dasar yang mengikutinya tanpa menggunakan tanda sempang (-).
|
dwibahasa
|
seMalaysia
|
Tanda sempang (-) perlu digunakan untuk merangkaikan awalan ‘se’ dengan kata nama khas yang mengikutinya.
|
Se-Malaysia
|
antiAmerika
|
Tanda sempang (-) perlu digunakan untuk merangkaikan awalan ‘anti’ dengan kata nama khas yang mengikutinya.
|
anti-Amerika
|
anti komunis
|
Imbuhan awalan ‘anti’ harus ditulis serangkai dengan kata nama am.
|
antikomunis
|
abad ke20
|
Tanda sempang (-) perlu digunakan untuk merangkaikan awalan ‘ke-’ dengan angka yang mengikutinya.
|
abad ke-20
|
tahun 90an
|
Tanda sempang (-) perlu digunakan untuk merangkaikan angka yang menunjukkan tahun dengan akhiran ‘-an’ yang mengikutinya.
|
tahun 90-an
|
kurniaNya
|
Tanda sempang (-) harus digunakan untuk merangkaikan kata ganti nama singkatan ‘Nya’ bagi merujuk Tuhan dengan kata yang mendahuluinya.
|
kurnia-Nya
|
buku-nya
|
Kata ganti nama singkatan ‘-nya’ sebagai akhiran harus ditulis serangkai dengan kata yang mendahuluinya tanpa menggunakan tanda sempang (-).
|
Bukunya
|
maklum-balas
|
Kata majmuk ‘maklum balas’ tidak perlu ditulis dengan tanda sempang (-) di antara dua kata dasarnya.
|
maklum balas
|
ibu-bapa
|
‘ibu bapa’ ialah frasa nama, tidak perlu ditulis dengan tanda sempang (-) di antara dua kata dasarnya.
|
ibu bapa
|
4. Penggunaan Tanda Koma
KESALAHAN
|
SEBAB KESALAHAN
|
PEMBETULAN
|
Dasar-dasar kerajaan iaitu Dasar Penswastaan meningkatkan ekonomi negara.
|
Tanda koma perlu ada sebelum keterangan tambahan di akhir ayat yang bermula dengan ‘iaitu’.
|
Dasar-dasar kerajaan, iaitu Dasar Penswastaan meningkatkan ekonomi negara.
|
Oleh itu rakyat harus bekerjasama untuk mengatasi masalah inflasi.
|
Tanda koma perlu ada selepas penanda wacana ‘oleh itu’.
|
Oleh itu, rakyat harus bekerjasama untuk mengatasi masalah inflasi.
|
Dia pelajar di USM bukan di UKM
|
Tanda koma perlu ada sebelum keterangan tambahan di akhir ayat yang membawa unsur penafian.
|
Dia pelajar di USM, bukan di UKM
|
Sekiranya saya lapang saya akan datang ke rumah awak
|
Tanda koma perlu ada selepas klausa keterangan dalam ayat songsang.
|
Sekiranya saya lapang, saya akan datang ke rumah awak
|
Adik ke sekolah ayah ke pejabat
|
Tanda koma perlu ada untuk memisahkan dua ayat setara yang digabungkan dalam satu ayat.
|
Adik ke sekolah, ayah ke pejabat
|
Emak membeli sayur ikan dan buah-buahan
|
Tanda koma perlu digunakan untuk memisahkan dua unsur atau lebih yang berurutan dalam ayat gabungan.
|
Emak membeli sayur, ikan, dan buah-buahan.
|
(c) KOSA KATA
1. Penggunaan Kata Ganti Nama
KESALAHAN
|
SEBAB KESALAHAN
|
PEMBETULAN
|
Kasut ini mahal kerana ia diimport dari England.
|
Kata ganti nama diri orang ketiga ‘ia’ tidak boleh digunakan untuk merujuk benda.
|
Kasut ini mahal kerana kasut ini diimport dari England.
|
Beruk ini jinak betul kerana ia dipelihara sejak kecil.
|
Kata ganti nama diri orang ketiga ‘ia’ tidak boleh digunakan untuk merujuk haiwan.
|
Beruk ini jinak betul kerana beruk ini dipelihara sejak kecil.
|
Semangat kejiranan harus dipupuk dalam masyarakat supaya ia terus diamalkan oleh generasi akan datang.
|
Kata ganti nama diri orang ketiga ‘ia’ tidak boleh digunakan untuk merujuk konsep.
|
Semangat kejiranan harus dipupuk dalam masyarakat supaya semangat ini terus diamalkan oleh generasi akan datang.
|
Perompak itu telah ditangkap dan beliau akan dihadap ke mahkamah.
|
Kata ganti nama diri ketiga ‘beliau’ yang merujuk orang yang dihormati tidak sesuai digunakan dalam konteks ayat ini.
|
Perompak itu telah ditangkap dan dia akan dihadap ke mahkamah.
|
Perdana Menteri tiba pada jam 10.00 pagi. Dia terus merasmikan bangunan itu.
|
Kata ganti nama diri orang ketiga ‘dia’ tidak sesuai digunakan untuk merujuk orang yang dihormati.
|
Perdana Menteri tiba pada jam 10.00 pagi. Beliau terus merasmikan bangunan itu.
|
Jika tidak dirawat dengan segera, ianya akan lumpuh.
|
Kata ganti nama ‘ia’ dan ‘nya’ tidak boleh digabungkan menjadi ‘ianya’.
|
Jika tidak dirawat dengan segera, ia akan lumpuh.
|
2. Penggunaan Kata Pemeri
KESALAHAN
|
SEBAB KESALAHAN
|
PEMBETULAN
|
Bapanya adalah guru.
|
Kata pemeri ‘adalah’ tidak boleh hadir di depan frasa nama.
|
Bapanya ialah guru.
|
Hadiah itu ialah untuk ibu.
|
Kata pemeri ‘ialah’ tidak boleh hadir di depan frasa sendi nama.
|
Hadiah itu adalah untuk ibu.
|
Rumah itu ialah sangat besar.
|
Kata pemeri ‘ialah’ tidak boleh hadir di depan frasa adjektif.
|
Rumah itu adalah sangat besar.
|
Pelajar-pelajar adalah digalakkan untuk menyertai aktiviti kokurikulum.
|
Kata pemeri ‘adalah’ tidak boleh hadir di depan frasa kerja pasif.
|
Pelajar-pelajar digalakkan untuk menyertai aktiviti kokurikulum.
|
Salah satu langkah yang dijalankan adalah mendirikan sekolah baru.
|
Kata pemeri ‘adalah’ tidak boleh hadir di depan frasa kerja aktif
|
Salah satu langkah yang dijalankan adalah dengan mendirikan sekolah baru.
|
Dia adalah bukan pegawai kerajaan.
|
Kata pemeri ‘adalah’ tidak boleh hadir bersama dengan kata nafi ‘bukan’ dalam konteks ayat ini yang tidak menunjukkan unsur pertentangan maksud.
|
Dia bukan pegawai kerajaan.
|
3. Penggunaan Kata Nafi
KESALAHAN
|
SEBAB KESALAHAN
|
PEMBETULAN
|
Bapanya bukan pergi ke sawah pada hari ini.
|
Kata nafi ‘bukan’ tidak boleh digunakan untuk menafikan frasa kerja dalam konteks ayat yang tidak mempunyai unsur pertentangan fakta.
|
Bapanya tidak pergi ke sawah pada hari ini.
|
Kenyataan ini bukan benar.
|
Kata nafi ‘bukan’ tidak boleh digunakan untuk menafikan frasa adjektif dalam konteks ayat yang tidak mempunyai unsur pertentangan fakta.
|
Kenyataan itu tidak benar.
|
Makanan itu tidak untuk dia.
|
Kata nafi ‘tidak’ tidak boleh digunakan untuk menafikan frasa sendi nama.
|
Makanan itu bukan untuk dia.
|
Projek itu tidak usaha saya.
|
Kata nafi ‘tidak’ tidak boleh digunakan untuk menafikan frasa nama.
|
Projek itu bukan usaha saya.
|
4. Penggunaan Kata Penguat
KESALAHAN
|
SEBAB KESALAHAN
|
PEMBETULAN
|
Dia amat menentang fahaman komunis.
|
Kata penguat tidak boleh hadir di hadapan kata kerja yang kata dasarnya tidak terdiri daripada kata adjektif yang menerangkan perasaan.
|
Dia amat kuat menentang fahaman komunis.
|
5. Penggunaan Kata Bantu
KESALAHAN
|
SEBAB KESALAHAN
|
PEMBETULAN
|
Pelajar itu boleh mencapai keputusan yang cemerlang dalam STPM.
|
Kata bantu ragam ‘boleh’ yang menyatakan kebenaran/ keizinan tidak sesuai digunakan dalam konteks ayat ini.
|
Pelajar itu dapat mencapai keputusan yang cvemerlang dalam STPM.
|
Jalan itu tidak dapat dilalui kerana perintah berkurung.
|
Kata bantu ragam ‘dapat’ yang menyatakan keupayaan/ kesanggupan tidak sesuai digunakan dalam konteks ayat ini.
|
Jalan itu tidak boleh dilalui kerana perintah berkurung.
|
Peperangan mesti berlaku kalau timbul perbalahan.
|
Kata bantu ragam ‘mesti’ bermaksud pasti tidak sesuai digunakan dalam konteks ayat ini.
|
Peperangan akan berlaku kalau timbul perbalahan.
|
6. Penggunaan Kata Hubung
KESALAHAN
|
SEBAB KESALAHAN
|
PEMBETULAN
|
Dia terkejut bila melihat kejadian itu.
|
Kata ‘bila’ ialah kata tanya, tidak boleh digunakan sebagai kata hubung.
|
Dia terkejut apabila melihat kejadian itu.
|
Amerika Syarikat menyerang Iraq sebab Iraq menyerang Kuwait.
|
Kata ‘sebab’ ialah kata nama, tidak boleh digunakan sebagai kata hubung. Jika perkataan ‘sebab’ hendak digunakan, kata itu perlu didahului oleh kata sendi nama ‘oleh’.
|
Amerika Syarikat menyerang Iraq oleh sebab Iraq menyerang Kuwait.
|
Para belia lebih suka bekerja daripada terus belajar kesan daripada dasar itu.
|
Kata nama ‘kesan’ tidak boleh digunakan sebagai kata hubung. Jika perkataan ‘kesan’ hendak digunakan, kata itu perlu didahului oleh kata sendi nama ‘sebagai’.
|
Para belia lebih suka bekerja daripada terus belajar sebagai kesan daripada dasar itu.
|
Harga saham di BSKL merosot akibat aktiviti jualan.
|
Kata nama ‘akibat’ tidak boleh digunakan sebagai kata hubung. Jika perkataan ‘akibat’ hendak digunakan, kata itu perlu didahului oleh kata sendi nama ‘sebagai’.
|
Harga saham di BSKL merosot sebagai akibat aktiviti jualan.
|
Abangnya berperangai baik, malahan adiknya berperangai buruk.
|
Kata hubung ‘malahan’ tidak boleh digunakan untuk menggabungkan dua ayat yang membawa unsur pertentangan fakta.
|
Abangnya berperangai baik, tetapi adiknya berperangai buruk.
|
Mesyuarat jawatankuasa itu dibatalkan apabila pengerusi tidak dapat hadir pada petang itu.
|
Kata hubung ‘apabila’ digunakan untuk unsur keterangan waktu, sedangkan ayat ini mempunyai unsur keterangan musabah.
|
Mesyuarat jawatankuasa itu dibatalkan kerana pengerusi tidak dapat hadir pada petang itu.
|
Anda perlu berakhlak mulia agar supaya anda dihormati orang.
|
Penggunaan kata hubung ‘agar’ dan ‘supaya’ yang mendukung makna yang sama secara berurutan dalam ayat inin dianggap lewah.
|
Anda perlu berakhlak mulia agar anda dihormati orang.
atau
Anda perlu berakhlak mulia supaya anda dihormati orang.
|
Jika sekiranya ada duit, saya akan ke Tokyo.
|
Penggunaan kata hubung ‘jika’ dan ‘sekiranya’ yang mendukung makna yang sama secara berurutan dalam ayat ini dianggap lewah.
|
Jika sekiranya ada duit, saya akan ke Tokyo.
atau
Sekiranya ada duit, saya akan ke Tokyo.
|
Dia menyatakan yang dia sakit.
|
Kata hubung pancangan relatif ‘yang’ tidak boleh digunakan sebagai penanda dalam ayat komplemen dalam bahasa tulisan.
|
Dia mengatakan bahawa dia sakit.
|
Saya tidak tahu yang dia anak hartawan.
|
Kata hubung pancangan relatif ‘yang’ tidak boleh digunakan sebagai penanda ayat kompleman bahasa tulisan.
|
Saya tidak tahu bahawa dia anak hartawan.
|
7. Penggunaan Kata Sendi Nama
KESALAHAN
|
SEBAB KESALAHAN
|
PEMBETULAN
|
Dia berjalan kaki daripada Kota Tinggi ke Johor Bahru.
|
Kata sendi nama ‘daripada’ tidak boleh digunakan di hadapan frasa nama yang menyatakan tempat.
|
Dia berjalan kaki dari Kota Tinggi ke Johor Bahru.
|
Saya menantinya daripada pukul tiga petang.
|
Kata sendi nama ‘daripada’ tidak boleh digunakan di hadapan frasa nama yang menyatakan masa.
|
Saya menantinya dari pukul tiga petang.
|
Angin kencang itu datang daripada utara
|
Kata sendi nama ‘daripada’ tidak boleh digunakan di hadapan frasa nama yang menyatakan arah.
|
Angin kencang itu datang dari utara
|
Rumah itu lebih besar dari rumah ini.
|
Kata sendi nama ‘dari’ tidak boleh digunakan di hadapan frasa nama yang menyatakan perbandingan.
|
Rumah itu lebih besar daripada rumah ini.
|
Kain ini dibuat dari sutera.
|
Kata sendi nama ‘dari’ tidak boleh digunakan di hadapan frasa nama yang menyatakan asal kejadian.
|
Kain ini dibuat daripada sutera.
|
Surat itu saya terima dari ibu saya.
|
Kata sendi nama ‘dari’ tidak boleh digunakan di hadapan frasa nama yang menyatakan manusia sebagai punca datangnya sesuatu.
|
Surat itu saya terima daripada ibu saya.
|
Kumpulan ini terdiri dari tiga orang pelajar.
|
Kata sendi nama ‘dari’ tidak boleh digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan sumber atau asal.
|
Kumpulan ini terdiri daripada tiga orang pelajar.
|
Surat itu dari Jabatan Pendidikan.
|
Kata sendi nama ‘dari’ tidak boleh digunakan di hadapan frasa nama yang menyatakan institusi yang ada kaitan dengan manusia.
|
Surat itu daripada Jabatan Pendidikan.
|
Banyak maklumat didapati dari syarahannya.
|
Kata sendi nama ‘dari’ tidak boleh digunakan di hadapan frasa nama yang menyatakan punca bagi manusia atau benda, termasuk unsur mujarad.
|
Banyak maklumat didapati daripada syarahannya.
|
Dia tidak bersekolah di hari ini.
|
Kata sendi nama ‘di’ tidak boleh digunakan di hadapan frasa nama yang menyatakan masa.
|
Dia tidak bersekolah pada hari ini.
|
Anjing itu ditambat di sebatang pokok.
|
Kata sendi nama ‘di’ tidak boleh digunakan di hadapan frasa nama yang menyatakan tempat bagi perbuatan sesuatu kata kerja.
|
Anjing itu ditambat pada sebatang pokok.
|
Buku itu ada dengan Cikgu Ahmad
|
Kata sendi nama ‘dengan’ tidak boleh digunakan di hadapan frasa nama yang menyatakan benda yang bernyawa apabila didahului perkataan ‘ada’.
|
Buku itu ada pada Cikgu Ahmad
|
Dalam pendapat saya, rancangan itu kurang menarik.
|
Kata sendi nama ‘dalam’ tidak boleh digunakan di hadapan frasa nama yang merujuk sesuatu yang abstrak.
|
Pada pendapat saya, rancangan itu kurang menarik.
|
Ibu pergi kepada pasar dengan menaiki bas.
|
Kata sendi nama ‘kepada’ tidak boleh digunakan di hadapan frasa nama yang menyatakan tempat.
|
Ibu pergi ke pasar dengan menaiki bas.
|
Pinggan itu dihempasnya kepada lantai.
|
Kata sendi nama ‘kepada’ tidak boleh digunakan di hadapan frasa nama yang menyatakan tempat.
|
Pinggan itu dihempasnya ke lantai.
|
Ujian itu akan dijalankan dari semasa kepada semasa.
|
Kata sendi nama ‘kepada’ tidak boleh digunakan di hadapan frasa nama yang menyatakan masa.
|
Ujian itu akan dijalankan dari semasa ke semasa.
|
Surat itu dihantar ke Pengarah Pendidikan.
|
Kata sendi nama ‘ke’ tidak boleh digunakan di hadapan frasa nama yang menyatakan manusia.
|
Surat itu dihantar kepada Pengarah Pendidikan.
|
Buku tersebut diserahkan ke sekolah.
|
Kata sendi nama ‘ke’ tidak boleh digunakan di hadapan frasa nama yang menyatakan institusi yang ada kaitan dengan manusia.
|
Buku tersebut diserahkan kepada sekolah.
|
Pelajar dibahagikan ke lima kumpulan
|
Kata sendi nama ‘ke’ tidak boleh digunakan di hadapan frasa nama yang menyatakan pecahan atau agihan.
|
Pelajar dibahagikan kepada lima kumpulan.
|
Perangainya berubah daripada jahat ke baik.
|
Kata sendi nama ‘daripada’ digunakan secara berpadanan dengan kata sendi nama ‘kepada’ untuk menyatakan perubahan tahap.
|
Perangainya berubah daripada jahat kepada baik.
|
Saya tertarik dengan keindahan lukisan itu.
|
Kata sendi nama ‘dengan’ tidak boleh digunakan selepas kata kerja pasif yang berimbuhan awalan ‘di-‘ atau ‘ter-‘.
|
Saya tertarik oleh keindahan lukisan itu.
|
Lawatan ke Kuala Lumpur dibatalkan oleh kerana tidak mendapat kelulusan dariopada pengetua.
|
Untuk membentuk frasa sendi nama, kata sendi nama perlu diikuti oleh frasa nama. Kata ‘kerana’ ialah kata hubung, tidak boleh digunakan selepas kata sendi nama ‘oleh’.
|
Lawatan ke Kuala Lumpur dibatalkan oleh sebab tidak mendapat kelulusan dariopada pengetua.
atau
Lawatan ke Kuala Lumpur dibatalkan kerana tidak mendapat kelulusan dariopada pengetua.
|
Pelajar itu risau dengan keputusan peperiksaannya.
|
Kata sendi nama ‘dengan’ tidak boleh digunakan di hadapan frasa nama yang menyatakan manusia selepas kata adjektif yang bersifat emotif.
|
Pelajar itu risau akan keputusan peperiksaannya.
|
Dia takutkan hantu.
|
Kata sendi nama’akan’ tidak boleh disingkatkan menjadi akhiran ‘-kan’ dan digabungkan dengan kata adjektif sebelumnya dalamn penulisan bahasa formal.
|
Dia takut akan hantu.
|
Kerajaan sentiasa memberi perhatian terhadap kesejahteraan rakyat.
|
Kata sendin nama ‘terhadap’ tidak boleh digunakan di hadapan frasa nama untuk menyatakan unsur yang membawa maksud rujukan umum atau mujarad.
|
Kerajaan sentiasa memberi perhatian tentang kesejahteraan rakyat.
|
Mereka berbincang mengenai masalah kemiskinan.
|
Kata ‘mengenai’ ialah kata kerja yang membawa maksud tepat pada sasaran, tidak boleh digunakan untuk menggantikan kata sendi nama ‘tentang’.
|
Mereka berbincang tentang masalah kemiskinan.
|
Perhimpunan itu diadakan dalam dewan.
|
Kata sendi nama ‘di’ perlu digunakan di hadapan kata nama arah untuk menunjukkan tempat yang mempunyai ruang fizikal yang nyata dan konkrit.
|
Perhimpunan itu diadakan di dalam dewan.
|
Kita perlu fasih bertutur di dalam bahasa Inggeris.
|
Penggunaan kata ‘dalam’ sebagai kata sendi nama di hadpan frasa nama yang menyatakan tempat yang tidak mempunyai ruang dan jarak tidak boleh didahului oleh kata sendi nama ‘di’.
|
Kita perlu fasih bertutur dalam bahasa Inggeris.
|
Perkara itu telah dibincangkan di dalam mesyuarat itu.
|
Penggunaan kata ‘dalam’ sebagai kata sendi nama di hadapan frasa nama yang menyatakan tempat yang tidak mempunyai ruang dan jarak tidak boleh didahului oleh kata sendi nama ‘di’.
|
Perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat itu.
|
Kalim duduk antara Farid dan Lokman.
|
Kata sendi nama ‘di’ perlu digunakan di hadapan kata nama arah untuk menyatakan kedudukan yang mempunyai ruang fizikal dan jarak yang nyata dan konkrit.
|
Kalim duduk di antara Farid dan Lokman.
|
Di antara mereka berdua, Ali yang lebih bijak.
|
Penggunaan kata ‘antara’ sebagai kata sendi nama di hadapan frasa nama untuk menyatakan perbandingan tidak perlu didahului oleh kata sendi nama ‘di’.
|
Antara mereka berdua, Ali yang lebih bijak.
|
Sejarah adalah di antara mata pelajaran yang diminatinya.
|
Penggunaan kata ‘antara’ sebagai kata sendi nama di hadapan frasa nama yang menyatakan tempat yang tidak mempunyai ruang dan jarak tidak perlu didahului oleh kata sendi nama ‘di’.
|
Sejarah adalah antara mata pelajaran yang diminatinya.
|
Perundingan damai di antara Palestin dan Israel itu tidak berjaya.
|
Penggunaan kata ‘antara’ sebagai kata sendi nama di hadapan frasa nama yang menyatakan tempat yang tidak mempunyai ruang dan jarak tidak perlu didahului oleh kata sendi nama ‘di’.
|
Perundingan damai antara Palestin dan Israel itu tidak berjaya.
|
Mak Jah telah meninggalkan tiga ekor tanah bagi anaknya.
|
Penggunaan kata sendi nama ‘untuk’ tidak boleh bertukar ganti dengan kata sendi nama ‘bagi’ untuk menyatakan maksud bahagian yang ditentukan atau diperuntukkan.
|
Mak Jah telah meninggalkan tiga ekor tanah untuk anaknya.
|
Kita perlu berusaha demi untuk masa depan yang cemerlang.
|
Kata sendi nama ‘demi’ dan ‘untuk’ secara berurutan dalam ayat ini dianggap lewah kerana ‘demi’ sudah membawa maksud tujuan.
|
Kita perlu berusaha demi masa depan yang cemerlang.
|
Sejak dari pagi tadi, dia di dalam hutan.
|
Kata sendi nama ‘sejak’ dan ‘dari’ yang mendukung maksud yang sama secara berurutan dalam ayat ini dianggap lewah.
|
Sejak pagi tadi, dia di dalam hutan.
atau
Dari pagi tadi, dia di dalam hutan.
|
Jabatan Bekalan Air Selangor memohon maaf di atas kesulitan ini.
|
Penggunaan ‘atas’ sebagai kata sendi nama di hadapan kata nama/ frasa nama untuk menyatakan maksud ‘sebab’ tidak perlu didahului oleh kata sendi nama ‘di’.
|
Jabatan Bekalan Air Selangor memohon maaf atas kesulitan ini.
|
Letakkan bungkusan itu atas meja.
|
Kata sendi nama ‘di’ perlu digunakan di hadapan kata nama arah untuk menunjukkan tempat yang mempunyai ruang fizikal yang nyata dan konkrit.
|
Letakkan bungkusan itu di atas meja.
|
Pegawai keselamatan menjalankan pemeriksaan ke atas setiap kenderaan yang memasuki kawasan itu.
|
Penggunaan ‘atas’ sebagai kata sendi nama di hadapan frasa nama untuk menyatakan maksud ‘terhadap’ tidak perlu didahului oleh kata sendi nama ‘ke’.
|
Pegawai keselamatan menjalankan pemeriksaan atas setiap kenderaan yang memasuki kawasan itu.
|
Pelajar-pelajar yang ibu bapanya berpendapatan seribu atas tidak layak untuk mendapat buku pinjaman kerajaan.
|
Penggunaan ‘atas’ sebagai kata sendi nama di hadapan frasa nama untuk menyatakan maksud ‘lebih daripada itu’ perlu didahului oleh kata sendi nama ‘ke’.
|
Pelajar-pelajar yang ibu bapanya berpendapatan seribu ke atas tidak layak untuk mendapat buku pinjaman kerajaan.
|
8. Penggunaan Kata Bilangan
KESALAHAN
|
SEBAB KESALAHAN
|
PEMBETULAN
|
Saya bersenam tiap pagi.
|
Kata bilangan pisahan ‘tiap’tiap’ tidak boleh disingkatkan menjadi ‘tiap’.
|
Saya bersenam tiap-tiap pagi.
|
Remaja menghadapi berbagai masalah.
|
Kata bilangan himpunan ‘berbagai-bagai’ tidak boleh disingkatkan menjadi ‘berbagai’.
|
Remaja menghadapi berbagai-bagai masalah.
|
Kedua orang banduan itu telah berjaya diberkas.
|
Kata bilangan himpunan ‘kedua’dua’ tidak boleh disingkatkan menjadi ‘kedua’ yang merupakan kata bilangan ordinal (tingkat), tidak sesuai digunakan dalam konteks ayat ini.
|
Kedua-dua orang banduan itu telah berjaya diberkas.
|
Para-para peserta dikehendaki melaporkan diri.
|
Kata bilangan tidak tentu ‘para’ yang bermaksud ‘semua’ tidak boleh diulang manjdi ‘para’para’ yang bermaksud ‘rak’.
|
Para peserta dikehendaki melaporkan diri.
|
Setengah orang tidak suka akan kucing.
|
Kata bilangan tidak tentu ‘setengah-setengah’ tidak boleh disingkatkan menjadi kata bilangan pecahan ‘setengah’ yang bermaksud ‘separuh’ kerana tidak sesuai digunakan dalam konteks ayat ini.
|
Setengah-setengah (sesetangah) orang tidak suka akan kucing.
|
9. Penggunaan Pen jodoh Bilangan
KESALAHAN
|
SEBAB KESALAHAN
|
PEMBETULAN
|
sebahagian orang penduduk
|
Kata bilangan tidak tentu ‘sebahagian’ tidak perlu diikuti oleh penjodoh bilangan.
|
Sebahagian penduduk
|
seluruh buah negeri
|
Kata bilangan tidak tentu ‘seluruh’ tidak perlu diikuti oleh penjodoh bilangan.
|
seluruh negeri
|
semua orang gadis
|
Kata bilangan tidak tentu ‘semua’ tidak perlu diikuti oleh penjodoh bilangan.
|
semua gadis
|
para orang pelajar
|
Kata bilangan tidak tentu ‘para’ tidak perlu diikuti oleh penjodoh bilangan.
|
para pelajar
|
segala ekor binatang
|
Kata bilangan tidak tentu ‘segala’ tidak perlu diikuti oleh penjodoh bilangan.
|
segala binatang
|
setengah-setengah orang peserta
|
Kata bilangan tidak tentu ‘setengah-setengah’ tidak perlu diikuti oleh penjodoh bilangan.
|
setengah-setengah peserta
|
setiap orang warganegara
|
Kata bilangan tidak pisahan ‘setiap’ tidak perlu diikuti oleh penjodoh bilangan.
|
setiap warganegara
|
Perpaduan perlu dipupuk dalam sebuah masyarakat.
|
Penjodoh biolangan tidak diperlukan untuk menghitung kata nama abstrak.
|
Perpaduan perlu dipupuk dalam masyarakat.
|
Dia harus bertindak segera untuk mencapai sebuah impiannya.
|
Penjodoh biolangan tidak diperlukan untuk menghitung kata nama abstrak.
|
Dia harus bertindak segera untuk mencapai impiannya.
|
Ahli sukan itu mempunyai sebuah cita-cita untuk mengharumkan nama negara.
|
Penjodoh biolangan tidak diperlukan untuk menghitung kata nama abstrak.
|
Ahli sukan itu mempunyai cita-cita untuk mengharumkan nama negara.
|
10. Penggunaan Kata
KESALAHAN
|
SEBAB KESALAHAN
|
PEMBETULAN
|
Seekor kupu hinggap di tangkai bunga.
|
‘kupu-kupu’ yang merujuk sejenis serangga ialah kata ganda semu, tidak boleh disingkatkan menjadi ‘kupu’.
|
Seekor kupu-kupu hinggap di tangkai bunga.
|
Kanak gemar bermain layang-layang.
|
‘kanak-kanak’ yang bermaksud budak lelaki ataun perempuan yang masih kecil ialah kata ganda semu, tidak boleh disingkatkan menjadi ‘kanak’.
|
Kanak-kanak gemar bermain layang-layang.
|
Pendapat nelayan merosot pada musim tengkujuh.
|
Kata ‘pendapat’ bermaksud buah fikiran tidak tepat digunakan dalam konteks ayat ini.
|
Pendapatan nelayan merosot pada musim tengkujuh.
|
Pada pendapatan saya, projek itu sungguh berjaya.
|
Kata ‘pendapatan’ bermaksud hasil daripada usaha tidak tepat digunakan dalam koteks ayat ini.
|
Pada pendapat saya, projek itu sungguh berjaya.
|
Rukiah menyambar majalah di kedai itu lalu menyerahkan wang kepada penjualnya.
|
Kata ‘menyambar’ yang bermaksud merampas dengan cepat tidak sesuai digunakan dalam konteks ayat ini.
|
Rukiah mengambil majalah di kedai itu lalu menyerahkan wang kepada penjualnya.
|
Ada terdapat banyak jenis bunga di taman itu.
|
Kata ‘ada’ dan ‘terdapat’ membawa maksud yang sama secara berurutan dalam ayat ini dianggap lewah.
|
Ada banyak jenis bunga di taman itu.
atau
Terdapat banyak jenis bunga di taman itu.
|
Kita perlu saling bantu-membantu dalam kehidupan seharian.
|
Kata kerja ‘bantu-membantu’ sudah membawa maksud perbuatan yang bersalingan, jadi perkataan ‘saling’ tidak diperlukan. Sekiranya perkataan ‘saling’ hendak digunakan, kata kerja yang mengikutinya tidak perlu digandakan.
|
Kita perlu bantu-membantu dalam kehidupan seharian.
atau
Kita saling membantu dalam kehidupan seharian.
|
Dia tiada ada duit.
|
Kata ‘tiada’ bermaksud ‘tidak ada’. Jadi tidak perlu diikuti oleh kata ‘ada’.
|
Dia tiada duit.
atau
Dia tidak ada duit.
|
Pemohon yang layak saja akan dipilih.
|
Unsur kependekan tidak boleh digunakan dalam penulisan bahasa formal.
|
Pemohon yang layak sahaja akan dipilih.
|
Hanya segelintir sahaja pelajar yang hadir.
|
Kata penegas ‘hanya’ dan ‘sahaja’ membawa maksudn yang sama, salah satu daripada kata itu dibunakan.
|
Hanya segelintir pelajar yang hadir.
atau
Segelintir sahaja pelajar yang hadir.
|
(d) IMBUHAN
KESALAHAN
|
SEBAB KESALAHAN
|
PEMBETULAN
|
Pelumbaan kereta itu akan diadakan pada minggu depan.
|
Kata nama terbitan yang menggunakan apitan ‘peN-...-an’ berasal daripada kata kerja yang menggunakan imbuhan ‘meN-...-i/kan’, manakala kata nama terbitan yang menggunakan ‘peR-...-an’ berasal daripada bentuk kata kerja yang menggunakan imbuhan ‘beR-’. Kata dasar ‘lumba’ tidak menerima imbuhan awalan ‘meN-‘, iaitu ‘melumba’ tetapi menerima imbuhan awalan ‘beR-’ iaitu ‘berlumba’, jadi imbuhan apitan ‘peR-...an’ perlu digunakan.
|
Perlumbaan kereta itu akan diadakan pada minggu depan.
|
Masakkan ibu sangat sedap.
|
Imbuhan akhiran kata kerja ‘-kan’ pada kata dasar ‘masak’ tidak tepat. Ayat ini memerlukan kata dasar berakhiran kata nama ‘-an’ yang bermaksud benda hasil daripada melakukan maksud yang terkandung dalam kata dasar.
|
Masakan ibu sangat sedap.
|
Nelayan asing mencerobohi pengairan Malaysia.
|
Imbuhan apitan kata nama ‘peN...-an’ pada kata dasar ‘air’ bermaksud proses mengerjakan maksud yang terkandung dalam kata dasar itu, tidak sesuai digunakan dalam konteks ayat ini.
|
Nelayan asing mencerobohi perairan Malaysia.
|
Badan budak itu lecur.
|
Perkataan ‘lecur’ perlu diberi imbuhan awalan ‘meN-‘ yang bermaksud ‘menjadi’ untuk membentuk kata kerja tak transitif aktif.
|
Badan budak itu melecur.
|
Orang itu senyum kepada saya.
|
Perkataan ‘senyum’ perlu diberi imbuhan awalan ‘teR-‘ untuk membentuk kata kerja tak transitif aktif.
|
Orang itu tersenyum kepada saya.
|
Anda perlu cari jalan keluar setiap kali anda menghadapi masalah.
|
Perkataan ‘cari’ perlu diberi imbuhan awalan ‘meN-’ untuk membentuk kata kerja transitif aktif
|
Anda perlu mencari jalan keluar setiap kali anda menghadapi masalah.
|
Dia merasa gembira setelah berjaya dalam peperiksaan itu.
|
Imbuhan awalan ‘meN-’ pada kata dasar ‘rasa’ yang bermaksud ‘melakukan sesuatu’, tidak sesuai digunakan dalam konteks ayat ini. Kata dasar ini perlu diberi imbuhan awalan ‘beR-’ yang bermaksud ‘mempunyai’
|
Dia berasa gembira setelah berjaya dalam peperiksaan itu.
|
Amalan merokok merbahaya kepada kesihatan badan.
|
Tidak ada bentuk imbuhan ‘meR-’ dalam bahasa Melayu.
|
Amalan merokok berbahaya kepada kesihatan badan.
|
Kakak menjahit saya baju.
|
Imbuhan awalan ‘meN-’ pada kata dasar ‘jahit’ yang bermaksud melakukan sesuatu adalah tidak tepat vkerana ayat ini memerlukan kata kerja transitif aktif berimbuhan apitan ‘meN-...-kan’ yang bermaksud melakukan perbuatan untuk manfaat seseorang.
|
Kakak menjahitkan saya baju.
|
Dia menghadiahkan saya sebuah buku.
|
Imbuhan apitan ‘meN-...-kan’ pada kata dasar ‘hadiah’ yang bermaksud ‘menyebabkan jadi/ kausatif’ adalah tidak tepat kerana ayat ini memerlukan kata kerja transitif aktif berimbuhan apitan ‘meN-...-i’ untuk menandakan ‘lokatif’.
|
Dia menghadiahi saya sebuah buku.
|
Hakim menjatuhi hukuman gantung kepada pengedar dadah itu.
|
Imbuhan apitan ‘meN-...-i’ pada kata dasar ‘jatuh’ yang menandakan ‘lokatif’ adalah tidak tepat kerana ayat ini memerlukan kata kerja transitif aktif berimbuhan apitan ‘meN-...-kan’ yang bermaksud melakukan perbuatan yang terkandung dalam kata kerja dasar..
|
Hakim menjatuhkan hukuman gantung kepada pengedar dadah itu.
|
Rumah-rumah mendereti di sepanjang jalan.
|
Imbuhan apitan ‘meN-...-i’ pada kata dasar ‘deret’ membentuk kata kerja transitif aktif yang perlu diikuti oleh objek/ penyambut yang terbina daripada frasa nama adalah tidak tepat kerana ayat ini memerlukan kata kerja transitif yang berimbuhan awalan ‘beR-’ yang diikuti oleh frasa sendi nama sebagai unsur keterangan.
|
Rumah-rumah berderet di sepanjang jalan.
|
Dia menyerah wang itu kepada guru.
|
Imbuhan apitan ‘meN-’ pada kata dasar ‘serah’ membentuk kata kerja tak transitif adalah tidak tepat kerana ayat ini memerlukan kata kerja transitif aktif yang berimbuhan apitan ‘meN-...-kan’ dengan diikuti oleh objek, iaitu kata nama ‘wang’.
|
Dia menyerahkan wang itu kepada guru.
|
Kerajaan sedang memperluaskan jalan raya ke kampung itu.
|
Imbuhan apitan ‘mempeR-...-kan’ digunakan pada kata kerja dan kata nama, manakala awalan ‘mempeR-’ digunakan untuk menjadikan kata adjektif ‘luas’ sebagai kata kerja transitif.
Kata dasar ‘luas’ ialah kata adjektif hanya memerlukan imbuhan awalan ‘mempeR-’ tanpa akhirna ‘-kan’ yang bermaksud menjadikan lebih atau bertambah untuk membentuk kata kerja transitif.
|
Kerajaan sedang memperluas jalan raya ke kampung itu.
|
Ali memberikan kucing makanan.
|
Imbuhan apitan ‘meN-...-kan’ lazimnya menerima objek tidk bernyawa.
|
Ali memberi kucing makanan.
atau
Ali memberikan makanan kepada kucing.
|
(e) FRASA
1. Frasa Nama
(a) Hukum DM
KESALAHAN
|
SEBAB KESALAHAN
|
PEMBETULAN
|
lain-lain perkataan
|
Frasa nama menyalahi Hukum D-M iaitu unsur diterangkan perlu mendahului unsur yang menerangkan.
|
Perkataan lain-lain.
|
mini bas
|
Frasa nama menyalahi Hukum D-M iaitu unsur diterangkan perlu mendahului unsur yang menerangkan.
|
bas mini
|
Lim Perabot
|
Frasa nama menyalahi Hukum D-M iaitu unsur diterangkan perlu mendahului unsur yang menerangkan.
|
Perabot Lim
|
lain-lain hal
|
Frasa nama menyalahi Hukum D-M iaitu unsur diterangkan perlu mendahului unsur yang menerangkan.
|
hal lain-lain
|
(b) Penggunaan Jamak
KESALAHAN
|
SEBAB KESALAHAN
|
PEMBETULAN
|
para pelajar-palajar
|
Kata bilangan tidak tentu ‘para’ sudah menunjukkan jamak, kata nama yang mengikutinya tidak perlu digandakan.
|
para pelajar
|
setiap peraturan-peraturan
|
Kata bilangan pisahan ‘setiap’ sudah menunjukkan jamak, kata nama yang mengikutinya tidak perlu digandakan.
|
setiap peraturan
|
kebanyakan negara-negara
|
Kata bilangan ‘kebanyakan’ sudah menunjukkan jamak, kata nama yang mengikutinya tidak perlu digandakan.
|
kebanyakan negara
|
dua buah lori-lori
|
Kata bilangan tentu ‘dua’ sudah menunjukkan jamak, kata nama yang mengikutinya tidak perlu digandakan.
|
dua buah lori
|
ketiga-tiga orang pegawai-pegawai pejabat itu
|
Kata bilangan himpunan ‘ketiga-tiga’ sudah menunjukkan jamak, kata nama yang mengikutinya tidak perlu digandakan.
|
ketiga-tiga orang pegawai pejabat itu
|
Pelajar-pelajar diminta bersedia di tempat masing-masing.
|
Kata bilangan pisahan ‘masing-masing’ yang menyatakan maksud pisahan sudah menunjukkan jamak, subjeknya iaitu kata nama tidak perlu digandakan.
|
Pelajar diminta bersedia di tempat masing-masing.
|
mereka-mereka
|
Kata ganti nama diri orang ketiga ‘mereka’ sudah menunjukkan jamak, tidak perlu digandakan.
|
mereka
|
senarai nama-nama
|
Kata ‘senarai’ sudah menunjukkan jamak, kata nama yang mengikutinya tidak perlu digandakan.
|
senarai nama
|
rombongan pelajar-pelajar
|
Kata ‘rombongan’ sudah menunjukkan jamak, kata nama yang mengikutinya tidak perlu digandakan.
|
rombongan pelajar
|
Persatuan Pengetua-Pengetua Sekolah
|
Kata ‘persatuan’ sudah menunjukkan jamak, kata nama yang mengikutinya tidak perlu digandakan.
|
Persatuan Pengetua Sekolah
|
rakyat-rakyat Malaysia
|
Kata ‘rakyat’ sudah menunjukkan jamak, tidak perlu digandakan.
|
rakyat Malaysia
|
penduduk-penduduk kampung
|
Kata ‘penduduk’ sudah menunjukkan jamak, tidak perlu digandakan.
|
penduduk kampung
|
Bangunan-bangunan itu tinggi-tinggi.
|
Kata adjektif ‘tinggi-tinggi’ sudah membawa maksud banyak, subjeknya (kata nama) tidak perlu digandakan atau sekiranya subjeknya (kata nama) digandakan, kata adjektif yang mengikutinya tidak perlu digandakan.
|
Bangunan itu tinggi-tinggi.
atau
Bangunan-bangunan itu tinggi.
|
Serpihan-serpihan kaca bertaburan.
|
Kata kerja berimbuhan apitan ‘beR-...-an’ sudah menunjukkan perbuatan yang menunjukkan jumlah subjek yang banyak, jadi subjeknya (kata nama) tidak perlu digandakan.
|
Serpihan kaca bertaburan.
|
2. Frasa Adjektif
KESALAHAN
|
SEBAB KESALAHAN
|
PEMBETULAN
|
paling terbesar
|
Kata adjektif yang berawalan ‘ter-’ sudah menunjukkan darjah penghabisan, tidak boleh didahului oleh kata penguat ‘paling’.
|
paling besar
atau
terbesar
|
terlalu terbesar
|
Kata penguat ‘terlalu’ sudah menunjukkan darjah penghabisan, kata adjektif yang mengikutinya tidak perlu diberi imbuhan awalan ‘ter-’.
|
terlalu besar
|
paling besar sekali
|
Kata penguat ‘paling’ sudah menunjukkan darjah penghabisan, kata adjektif yang mengikutinya tidak perlu diikuti kata penguat ‘sekali’.
|
paling besar
|
terlalu besar sekali
|
Kata penguat ‘terlalu’ sudah menunjukkan darjah penghabisan, kata adjektif yang mengikutinya tidak perlu diikuti oleh kata penguat ‘sekali’.
|
terlalu besar.
|
terbesar sekali
|
Imbuhan awalan ‘ter-’ pada kata adjektif sudah menunjukkan darjah penghabisan, kata adjektif yang mengikutinya tidak perlu disertakan oleh kata penguat ‘sekali’
|
terbesar
atau
besar sekali
|
amat tercantik
|
Kata adjektif yang berawalan ‘ter-’ sudah menunjukkan darjah penghabisan, tidak perlu didahului oleh kata penguat ‘amat’.
|
tercantik
|
Saya suka durian.
|
Kata adjektif hanya boleh diperluas dengan frasa sendi nama.
|
Saya suka akan durian.
|
3. Frasa Kerja
KESALAHAN
|
SEBAB KESALAHAN
|
PEMBETULAN
|
Ayah sudah pergi pejabat.
|
Kata kerja tak transitif ‘pergi’ tidak boleh diikuti oleh frasa nama tetapi boleh diikuti oleh frasa sendi nama sebagai unsur keterangan.
|
Ayah sudah pergi ke pejabat.
|
Meja itu beralaskan dengan sehelai kain.
|
Kata kerja tak transitif berapitan “beR-...-kan’ perlu diikuti oleh pelengkap yang terbina daripada frasa nama, bukan frasa sendi nama.
|
Meja itu beralaskan sehelai kain.
|
Dia belum mengetahui tentang hal itu.
|
Kata kerja transitif ‘mengetahui’ perlu diikuti oleh objek/penyambut yang terbina daripada frasa nama, bukan frasa sendi nama.
|
Dia belum mengetahui hal itu.
|
Keruntuhan institusi keluarga menyebabkan timbul masalah sosial remaja.
|
Frasa kerja ayat ini tidak tepat kerana kata kerja transitif ‘menyebabkan’ harus diikuti oleh frasa nama sebagain objek/ penyambut. Oleh itu, kata pembenda ‘nya’ perlu hadir serangkai dengan perkataan ‘timbul’ untuk membentuk frasa nama.
|
Keruntuhan institusi keluarga menyebabkan timbulnya masalah sosial remaja.
|
4. Frasa Sendi Nama
KESALAHAN
|
SEBAB KESALAHAN
|
PEMBETULAN
|
Mereka akan melancong ke Australia atau Indonesia?
|
Kata sendi nama ‘ke’ pada kedudukan unsur kedua tidak boleh digugurkan dalam frasa sendi nama setara yang menggunakan kata hubung ‘atau’.
|
Mereka akan melancong ke Australia atau ke Indonesia?
|
Saya berjalan kaki dari rumah pekan.
|
Kata sendi nama pada kedudukan unsur yang kedua tidak boleh digugurkan dalam frasa sendi nama setara yang tidak menggunakan kata hubung.
|
Saya berjalan kaki dari rumah ke pekan.
|
Pembangunan negara akan dijalankan dari semasa ke masa.
|
Dalam binaan frasa sendi nama yang menggunakan kata sendi nama ‘dari’ dan ‘ke’, bentuk ‘se-’ yang terkandung dalam frasa nama tidak boleh digugurkan secara berasingan untuk memelihara keseimbangannya. Sekiranya bentuk ‘se-’ pada satu bahagian frasa nama digugurkan, bentuk ‘se-’ pada frasa nama kedua juga perlu digugurkan.
|
Pembangunan negara akan dijalankan dari semasa ke semasa.
atau
Pembangunan negara akan dijalankan dari masa ke masa.
|
(f) KLAUSA / AYAT
1. Struktur Binaan Ayat
KESALAHAN
|
SEBAB KESALAHAN
|
PEMBETULAN
|
Malaysia ialah negara yang terdiri daripada berbilang bangsa di mana rakyatnya hidup saling membantu.
|
Penggunaan ‘di mana’ dalam struktur ayat bahasa Melayu yang terpengaruh oleh struktur ayat dalam bahasa Ibnggeris, iaitu ‘where’ tidak boleh digunakan.
|
Malaysia ialah negara yang terdiri daripada berbilang bangsa yang rakyatnya hidup saling membantu.
|
Bunga raya ialah bunga kebangsaan yang mana banyak ditanam di sekeliling rumah kita.
|
Penggunaan ‘yang mana’ dalam struktur ayat bahasa Melayu yang terpengaruh oleh struktur ayat dalam bahasa Ibnggeris, iaitu ‘in which’ tidak boleh digunakan.
|
Bunga raya ialah bunga kebangsaan yang banyak ditanam di sekeliling rumah kita.
|
Satu pertiga daripada jumlah tersebut dijangka akan meninggal dunia disebabkan oleh penyakit hati.
|
Bagi ayat yang sudah sempurna subjek dan predikatnya, maklumat tambahan yang diberikan perlu dalam bentuk frasa sendi nama, bukan frasa nama.
|
Satu pertiga daripada jumlah tersebut dijangka akan meninggal dunia kerana penyakit hati.
|
Mengetahui hal itu, saya membatalkan rancangan.
|
Unsur keterangan waktu dalam ayat ini harus didahului dengan kata hubung pancangan keterangan.
|
Setelah mengetahui hal itu, saya membatalkan rancangan.
|
Turut menghadiri upacara itu ialah tuan pengetua dan guru-guru.
|
Frasa kerja tidak boleh menjadi subjek ayat yang predikatnya menyebut sesuatu atau orang.
|
Yang turut menghadiri upacara itu ialah tuan pengetua dan guru-guru.
|
Pusat Ilmu Falak Sheikh Tahir diserahkan kepada USM untuk ditadbir selama 30 tahun oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.
|
Ayat tersebut kabur dan sukar difahami kerana susunan perkataan dalam ayat itu tidak tepat.
|
Pusat Ilmu Falak Sheikh Tahir diserahkan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang kepada USM untuk ditadbir selama 30 tahun.
|
Mereka dikehendaki dalam masa seminggu menyiapkan kerja itu.
|
Ayat tersebut kabur dan sukar difahami kerana susunan perkataan dalam ayat itu tidak tepat.
|
Mereka dikehendaki menyiapkan kerja itu dalam masa seminggu.
|
Raja sering mempunyai kedudukan tertentu dalam sistem agama. Walaupun ada golongan tertentu seperti ulama dan rahib yang menjadi kelas penting dalam sistem agama itu.
|
Klausa keterangan ialah klausa tidak bebas, iaitu tidak dapat berdiri sendiri sebagai satu ayat yang gramatis.
|
Raja sering mempunyai kedudukan tertentu dalam sistem agama, walaupun ada golongan tertentu seperti ulama dan rahib yang menjadi kelas penting dalam sistem agama itu.
|
2. Ayat Tergantung
KESALAHAN
|
SEBAB KESALAHAN
|
PEMBETULAN
|
Untuk mendapat keputusan yang cemerlang mesti berusaha.
|
Ayat ini tergantung kerana tidak ada subjek.
|
Untuk mendapat keputusan yang cemerlang, pelajar-pelajar mesti berusaha.
|
Dengan kehadiran tuan akan menyerikan majlis kami.
|
Ayat ini tergantung kerana frasa sendi nama tidak boleh menjadi subjek ayat.
|
Kehadiran tuan akan menyerikan majlis kami.
|
Mewujudkan undang-undang yang lebih ketat untuk menangani masalah rasuah bola sepak.
|
Ayat ini tergantung kerana tidak ada subjek.
|
Kerajaan mewujudkan undang-undang yang lebih ketat untuk menangani masalah rasuah bola sepak.
|
Dia yang memainkan peranan penting dalam pembangunan kampung itu.
|
Ayat ini tergantung kerana tidak ada predikat dengan kehadiran kata hubung ‘yang’.
|
Dia memainkan peranan yang penting dalam pembangunan kampung itu.
|
Perindustrian Malaysia yang amat pesat.
|
Ayat ini tergantung kerana tidak ada predikat dengan kehadiran kata hubung ‘yang’.
|
Perindustrian Malaysia amat pesat.
|
3. Struktur Ayat Pasif
KESALAHAN
|
SEBAB KESALAHAN
|
PEMBETULAN
|
Meja itu mereka susun.
|
Kata kerja berimbuhan ‘di-’ perlu digunakan bagi ayat pasif yang mempunyai frasa nama objek kata ganti nama diri orang ketiga.
|
Meja itu disusun oleh mereka.
|
Meja itu disusun oleh awak
|
Kata kerja berimbuhan ‘di-’ tidak boleh digunakan bagi ayat pasif yang mempunyai frasa nama objek kata ganti nama diri orang kedua.
|
Meja itu awak susun.
|
Meja itu disusun oleh kami.
|
Kata kerja berimbuhan ‘di-’ tidak boleh digunakan bagi ayat pasif yang mempunyai frasa nama objek kata ganti nama diri orang pertama.
|
Meja itu kami susun.
|
Tempat itu saya belum kunjungi.
|
Bagi frasa kerja pasif kata ganti nama diri orang pertama, kata-kata lain tidak boleh disisipkan di antara kata ganti diri tersebut dengan kata kerja pasif.
|
Tempat itu belum saya kunjungi.
|
4. Ayat Gabungan
KESALAHAN
|
SEBAB KESALAHAN
|
PEMBETULAN
|
Zeki mewakili USM, manakala UKM diwakili oleh Jusuh.
|
Ayat ini tidak gramatis kerana ayat-ayat yang digabungkan dengan kata hubung ‘manakala’ adalah tidak sama jenis, iaitu ayat aktif dan ayat pasif.
|
Zeki mewakili USM, manakala Jusuh mewakili UKM.
|
Hadiah untuk pemenang pertama bernilai RM 1,000 manakala RM 500 untuk pemenang hadiah kedua.
|
Ayat ini tidak gramatis kerana ayat-ayat yang digabungkan dengan kata hubung ‘manakala’ adalah tidak setara.
|
Hadiah untuk pemenang pertama bernilai RM 1,000 manakala hadiah untuk pemenang kedua bernilai RM 500.
|
CIKGU NANCY 2013
No comments:
Post a Comment