SYARAHAN - DADAH MUSUH NEGARA
Yang saya Muliakan Tuan Pengerusi Majlis,Yang Berusaha Puan Syuhada Binti Ismail,Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Merah,Yang Dihormati Puan Rohani Binti Abdullah,Guru Penolong Kanan,Puan Aisyah Binti Ghani,Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid,barisan panel hakim yang sentiasa berteraskan panji-panji keadilan,guru-guru yang dikasihi serta rakan-rakan sekalian.
Assalamualaikum dan selamat pagi saya ucapkan.
Terlebih dahulu saya ingin memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnianya serta keizinanNya dapat saya berdiri di sini bagi menyampaikan syarahan saya dalam suasana yang sakinah pada pagi ini.Saya,Nur Humaira dari Tingkatan Lima Ceria telah memilih tajuk 'Dadah Musuh Negara'.Tajuk syarahan saya pada pagi ini sangatlah bersesuaian dengan isu penyalahgunaan dadah yang tidak berkesudahan dan semakin banyak menghiasi lembaran akhbar pada masa ini.
Hadirin yang saya muliakan,
Pada abad ke-21 ini,Malaysia merupakan negara yang pesat membangun dan bersedia menongkah arus pemodenan dalam dunia maju ini.Kini,Malaysia sangat terkenal pada mata dunia malah mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara lain yang telah turut mengukir nama pada mata dunia.Namun,di sebalik kegemilangan ini,masyarakat Malaysia masih dihantui satu penyakit sosial yang sudah lama bersarang dalam kalangan masyarakat Malaysia iaitu penyalahgunaan dadah.Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) telah mencatatkan bahawa dari tahun 1988 sehingga tahun 2005 terdapat seramai 289,763 orang penagih dadah.Bilangan tersebut sudah pasti membimbangkan banyak pihak.
Menurut Kamus Dewan,Edisi Keempat,dadah boleh ditakrifkan sebagai ubat-ubatan atau bahan seperti ganja,heroin,marijuana,dan sebagainya yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada orang yang menggunakannya.Dari segi perspektif Islam pula,dadah dikategorikan sebagai sejenis khamar.Khamar merupakan istilah yang digunakan di dalam kitab suci Al-Quran yang membawa maksud arak.Dadah dianggap sebagai khamar kerana fungsi kedua-duanya yang boleh menyebabkan kemabukan atau menjejaskan kewarasan akal fikiran.Apabila berbicara mengenai isu penyalahgunaan dadah,kenyataan yang pahit untuk diterima adalah hakikat bahawa remaja merupakan antara golongan yang terjerumus ke dalam gejala ini.Sememangnya dadah wajar dikatakan sebagai musuh negara kerana dadah mampu mengheret remaja ke kancah penghinaan dan kehancuran sekaligus meranapkan masa depan negara yang mempertaruhkan nasibnya di tangan remaja.Tidak dinafikan,pelbagai usaha telah diambil bagi membendung masalah yang bersifat global ini.Namun begitu,sehingga kini gendang kemenangan masih belum kedengaran. Persoalannya,pernahkah kita renungkan nasib bangsa pada masa akan datang sekiranya masalah ini berlanjutan tanpa titik noktahnya?
Hadirin sekalian,
Sememangnya tidak dapat disangkal lagi bahawa dadah mengundang banyak kesan negatif kepada individu yang menyalahgunakannya.Perubahan yang ketara dapat dilihat dari segi fizikal penagih dadah.Dadah akan bertindak mengubah fungsi biologi pada sistem tubuh seseorang.Misalnya,individu yang ketagihan dadah akan menghadapi masalah pernafasan iaitu kadar pernafasan akan menjadi pendek dan perlahan.Justeru,keadaan ini secara langsung akan menjejaskan bekalan oksigen kepada sel-sel di dalam badan.Selain itu,sistem saraf,jantung,metabolisme,dan otot-otot badan turut terjejas dengan pengambilan dadah yang berterusan.Kadar degupan jantung akan berkurangan malah tubuh penagih dadah akan menggigil akibat penurunan kadar metabolisme.Otot-otot badan penagih dadah juga akan mengecut dan akhirnya menyebabkan tubuh menjadi lesu dan tidak bermaya.Individu yang menghambakan diri kepada najis dadah mempunyai risiko yang sangat tinggi menghidap penyakit seperti meningitis,tetanus,endokarditis,AIDS,dan Hepatitis B.Secara keseluruhannya,tubuh badan seseorang yang menagih dadah akan mengalami implikasi yang sangat teruk akibat daripada perbuatan individu itu sendiri.Hal ini sangat bertentangan dengan perintah Allah S.W.T. dalam Surah Al-Baqarah,ayat 195 yang bermaksud,"Janganlah kamu lemparkan diri ke dalam kebinasaan dan berbuat baiklah.Sesungguhnya,Allah S.W.T. mengasihi orang-orang yang berbuat baik".Dalil ini jelas menunjukkan pengharaman ke atas manusia menganiayai dan melakukan sesuatu perkara yang membawa kebinasaan kepada tubuh badan mereka sendiri.Justeru,setiap individu wajib menjauhi dadah untuk kebaikan diri mereka sendiri.
Keadaan mental dan emosi turut menerima kesan negatif akibat penyalahgunaan dadah.Kesan ke atas mental dan emosi lazimnya dikenali sebagai kesan psikologi,iaitu kesan pengaruh dadah pada otak dan minda.Ini termasuklah rasa seronok dan khayal atau euforia yang dialami penagih dadah.Mereka seakan-akan tidak berpijjak di alam nyata.Pada masa yang sama,sesesorang itu akan hilang kawalan diri dan pemikiran.Perwatakan seseorang penagih dadah turut akan berubah.Mereka juga tidak akan berasa segan silu untuk melakukan perkara yang aib serta tidak mempunyai rasa tanggungjawab.Mereka akan terus berada dalam keadaan yang sebegini selagi dadah masih terdapat di dalam badan mereka.Malah semakin lama seseorang itu menagih dadah,lebih banyak pula jumlah dadah yang diperlukan untuk mendapatkan kesan euforia.Fenomena ini disebut sebagai toleran atau keadaan lali yang mana kesan euforia daripada dadah berkurangan apabila digunakan secara berulangkali.Inilah yang menyebabkan seseorang itu tidak putus mencari dan meningkatkan penggunaan dadah.Sekiranya bekalan dadah tidak diperoleh,mereka akan berasa gelisah,tidak dapat memberi tumpuan,dan amat menderita.Mereka cenderung untuk bertindak ganas dan hilang kawalan diri.Natijahnya,mereka boleh melakukan sesuatu yang bertentangan dengan tatasusila dan peradaban masyarakat.Keadaan mental seseorang penagih dadah sangat sukar untuk dipulihkan seperti sedia kala.Bertunjangkan lontaran fikiran yang telah saya utarakan,kita dapat melihat sebab pengharaman dadah menurut Islam.Imam Ahmad Bin Hanbal telah meriwayatkan dalam musnadnya bahawa Rasulullah S.A.W. melarang segala sesuatu yang memabukkan dan mengkhayalkan.Justeru,jelaslah kepada kita bahawa dadah boleh merosakkan kewarasan akal fikiran sekaligus mengaburi kemuliaan diri sendiri sebagai manusia di muka bumi ini.
Hadirin sekalian,
Penyalahgunaan dadah bukan sahaja membawa kesan buruk kepada penagih dadah itu sendiri,malah juga kepada keluarga.Individu yang menagih dadah akan mengabaikan tanggungjawab kepada keluarga.Mereka tidak akan menghiraukan keadaan di sekeliling mereka termasuk keluarga sendiri.Akibatnya nilai-nilai kasih sayang antara ahli keluarga akan semakin terhakis dan akhirnya keluarga akan berpecah-belah.Selain itu,keluarga juga akan melalui tekanan yang berat,konflik,dan kebimbangan kerana ingin melindungi ahli keluarga daripada kemudaratan dan kerosakan yang dibawa oleh ahli keluarga yang terjerumus ke dalam gejala dadah.Lebih teruk lagi,penyalahgunaan dadah akan lebih menjejaskan golongan kanak-kanak dalam keluarga.Misalnya,ibu atau bapa yang ketagihan dadah akan menyebabkan anak-anak terbiar.Anak-anak juga tidak akan dapat merasai belaian kasih sayang dan dakapan mesra daripada ibu bapa mereka.Akibatnya,mereka akan berasa terpinggir dan cenderung untuk melakukan aktiviti yang tidak sihat.Hal ini sekaligus meranapkan harapan negara yang beraspirasi untuk melahirkan generasi yang berwawasan.Walaupun institusi keluarga merupakan agen sosial yang terkecil dalam masyarakat,namun impak negatif yang diterima mampu menghancurkan sesebuah negara.Oleh itu,masalah yang menjadi kudis dalam masyarakat ini tidak wajar dipandang enteng malah sebaliknya perlu dibendung dengan segera.
Di Samping itu,jenayah akan terus bermaharajalela akibat penyalahgunaan dadah.Masyarakat tidak lagi akan dapat menikmati suasana kehidupan yang harmoni sekiranya dikelilingi manusia yang menjadi hamba kepada dadah.Individu yang menagih dadah tidak akan dapat berhenti daripada menggunakan dadah dan akan terus berusaha mencari dadah walau dengan apa cara sekalipun.Mereka sanggup mencederakan orang lain asalkan mereka dapat memiliki dadah dan terus berada di dalam dunia mereka sendiri.Banyak kes jenayah yang melibatkan penagih dadah telah dilaporkan oleh pihak berkuasa.Jenayah seperti merompak,mencuri,meragut,mahupun membunuh sanggup dilakukan oleh mereka.Lebih menyedihkan lagi,ada anak yang sanggup membunuh ibu sendiri hanya semata-mata kerana gagal mendapat wang untuk membeli dadah.Justeru,masalah yang dicetuskan oleh penagih dadah ini menjadikan masyarakat terpaksa hidup dalam ketakutan.Akibatnya masyarakat akan menjadi semakin mundur kerana tidak dapat meluaskan horizon pemikiran dan bersatu ke arah membangunkan masyarakat.Oleh itu,masalah penyalahgunaan dadah perlu turut diberi perhatian oleh masyarakat supaya dapat membanteras dadah dalam masyarakat.
Hadirin yang saya muliakan,
Pada masa yang sama,negara turut menerima implikasi yang negatif akibat penyalahgunaan dadah.Kini,banyak pusat pemulihan penagih dadah yang telah ditubuhkan di Malaysia.Sudah semestinya kerajaan telah memperuntukkan jumlah wang yang sangat besar untuk membantu mereka yang telah terjebak ke dalam gejala dadah supaya pulih daripada ketagihan dadah.Sememangnya sukar bagi penagih dadah untuk melepaskan diri daripada belenggu dadah dan menjalani kehidupan seperti biasa.Justeru,boleh dikatakan bahawa negara terpaksa memikul tugas yang berat di samping menanggung kerugian kerana terpaksa mengeluarkan jumlah wang yang sangat besar dalam usaha melahirkan negara yang bebas dadah.Selain itu,negara juga akan kehilangan sumber tenaga kerja yang produktif.Sebagaimana yang kita ketahui,seseorang yang ketagihan dadah tidak akan mempunyai rasa tanggungjawab.Oleh itu,sudah pasti mereka tidak akan dapat memberikan komitmen dalam melaksanakan tugas atau kerja yang telah diamanahkan kepada mereka.Akhirnya,negara akan kekurangan tenaga kerja yang produktif yang pada hakikatnya sangat diperlukan dalam membangunkan ekonomi negara.Justeru,jelaslah kepada kita bahawa negara turut menerima impak negatif yang tercetus akibat daripada penyalahgunaan dadah.
Akhir sekali,sememangnya banyak kesan buruk yang dibawa oleh masalah penyalahgunaan dadah kepada individu,keluarga,masyarakat,mahupun negara.Semua pihak sewajarnya berganding bahu bagi memastikan gejala ini dapat dibendung agar tidak menjadi satu wabak yang terus bernanah dalam masyarakat.Isu penyalahgunaan dadah ini sememangnya boleh ditangani andainya terdapat sinergi daripada semua pihak kerana di mana ada kemahuan di situ ada jalan.Sebagai anak bangsa yang menjadi aset penting dan kebanggaan negara,kita seyogianya merealisasikan misi untuk mencipta peradaban baru yang sudah pasti akan disanjung tinggi dan diagung-agungkan oleh masyarakat dunia.Ayuh,kita bangkit bersama-sama ke arah hidup yang sejahtera tanpa terlibat dengan najis dadah yang boleh mencemarkan diri,keluarga,dan bangsa.Jangan kita abaikan peringatan Nabi Muhammad S.A.W. kepada umatnya agar sentiasa melakukan kebaikan dan menjauhi perkara yang boleh memberi kemudaratan.Walaupun usaha bagi mencapai matlamat Malaysia sebuah negara yang mempunyai masyarakat yang berbudaya penyayang,masyarakat yang berjiwa bebas daripada cengkaman anasir-anasir jahat,tenteram,dan berkeyakinan hanyalah prakarsa kecil ke arah menangani masalah sosial,namun natijahnya mampu mengembalikan imej dan jati diri sesebuah bangsa itu sendiri.
Sekian,terima kasih.
Sekian,terima kasih.
No comments:
Post a Comment