Wednesday, October 8, 2014

RAMALAN KARANGAN SPM 2014


Perosolan:  Bencana alam sering berlaku di merata-rata. Mangsa bencana telah kehilangan harta benda dan ahli keluarga. Sebagai negara penyayang, negara kita sering menghulurkan bantuan untuk menolong negara yang dilanda  bencana alam. Huraikan sumbangan yang dapat kita berikan untuk membantu negara yang dilanda bencana alam.
Bencana alam merupakan fitrah alam yang tidak dapat kita halang bak kata pepatah, geruh tak berbunyi, malang tidak berbau.Tamsilnya, tsunami yang melanda Jepun pada 11 Mac 2011 telah menggemparkan seluruh dunia.  Rakyat Malaysia patut bersyukur kerana Malaysia sering terlepas daripada pelbagai bencana alam seperti gempa bumi, letupan gunung berapi, tsunami, ribut taufan dan sebagainya.  Sebagai masyarakat yang mempunyai sifat kemanusiaan , kita sepatutnya bersimpati dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan bantuan ibarat hulurkan tangan, ringankan beban. Persoalan yang terus melanda ruang legar fikiran kita, apakah bantuan yang dapat kita hulurkan kepada negara yang terlibat dalam malapetaka?
Tidak dapat dipertikaikan lagi, sumbangan kewangan merupakan bantuan yang afdal untuk membantu mangsa bencana. Khalayak ramai boleh menyalurkan bantuan dengan kutipan derma.  Badan-badan NGO dan media perlu menyeru orang ramai supaya memberikan sedekah dan derma kerana mangsa bencana yang  amat memerlukan dan mendambakan bantuan kewangan bagi meneruskan kehidupan di alam  fana ini.  Mangsa bencana alam memerlukan wang kerana segala harta mereka telah dimusnahkan. Makanan, susu dan pakaian juga perlu diderma untuk membantu mangsa bencana yang hidup sehelai sepinggang dan tengah kelaparan.  Untuk mencapai hasrat murni ini, pelbagai peringkat kutipan derma sering dijalankan oleh badan NGO, terutamanya Persatuan Bulan Sabit Merah  dan pihak berkenaan supaya dapat meringankan beban mangsa seperti peribahasa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Semua umat tidak harus lokek atau kedekut dalam menghulurkan sumbangan kerana cubit paha kiri, paha kananya pun sakit juga agar mangsa bencana dapat pulih seperti sedia kala.
Tambahan pula, kita perlu menghulurkan sumbangan dalam bentuk tenga dan kepakaran  kepada negara yang menghadapi bencana untuk menyelamatkan mangsa. Negara kita boleh menghantar pasukan sukarela dan pasukan penyelamat yang profesional untuk mencari mangsa-mangsa yang tertimbus dan hilang. Ketika tertimbus dalam gempa bumi, setliap mangsa hanya mempunyai “72 jam” untuk diselamatkan sebelum menemui maut.  Proses penyelamatan mangsa memerlukan perancangan yang sistematik, saintifik dan efektif.  Pasukan Gerakan Cepat dan Pasukan SMART di negara kita telah mempunyai segala kelengkapan yang canggih  dan kemahiran yang cekap untuk memberikan bantuan pada bla-bila dan di mana-mana sahaja. Sumbangan tenaga penyelamatan  boleh menjadi platform untuk menyalurkan bantuan dalam melaksanakan usaha murni dengan menyedari pepatah, hari tidak selamanya panas.
Bukan itu sahaja, bantuan perubatan dan rawatan kesihatan harus disumbangkan kepada negara yang dilanda musibah. Negara kita perlu memberikan bantuan ubat-ubatan, terutama ubat pelali, vaksin dan sebagai. Pasukan perubatan yang terdiri daripada pegawai Jabatan Kesihatan, doktor dan jururawat harus dihantar ke  negara yang dilanda malapetaka untuk memberikan rawatan kecemasan . Tidak dapat dinafikan bahawa nasib mangsa bagai sudah jatuh ditimpa tangga kerana pelbagai penyakit berjangkit akan merebak selepas bencana alam. Hal ini demikian kerana mayat yang bergelimpangan tidak dikebumikan  dengan baik. Bekalan air bersih turut tercemar.  Lazimnya mangsa bencana akan cirit-birit, demam dan muntah malah sistem imuniti mereka turut terjejas.  Penyakit taun, kepialu dan batuk kering akan menular di tapak bencana alam.  Oleh itu, pasukan perubatan kita perlu mendirikan pusat rawatan atau hospital sementara untuk menjalankan pembedahan dan memberikan rawatan kepada mangsa yang sakit atau cedera memandangkan kebanyakan hospital dan klinik tempatan  telah musnah atau sarat dengan pesakit.
Selain keperluan fizikal, keperluan rohani tidak  kurang pentingnya kepada mangsa bencana  alam.  Pakar psikologi dan ahli kaunseling negara kita juga perlu dihantar ke negara yang dilanda bencana alam.  Lazimnya mangsa bencana alam akan menjadi trauma, iaitu sentisasa cemas, takut, kesiangan dan fikiran sentisa bercelaru.  Mereka hidup dalam penderitaan dan kesedihan akibat kehilangan ahli keluarga yang disayangi. Dalam konteks ini, bimbingan dan kaunseling perlu disalurkan kepada mangsa bencana alam. Sokongan moral daripada negara kita amat penting untuk merawati hati mereka yang telah remuk-redam.  Pemimpin dan artis yang terkemuka boleh menziarahi mangsa untuk memberikan semangat kepada mereka supaya mereka memperoleh   nur harapan   selepas menempuhi dugaan Tuhan. Lantas,  mangsa dapat menghadapi masa depan yang lebih berprestij dan penuh keyakinan.
Setelah ditimpa malapetaka, segala infrastrutur di negara kita akan binasa, bagai padang jarak, padang terkukur.  Walhasilnya, sekolah, hospital , klinik, jalan raya, rumah dan sebagai telah musnah. Lebih-lebih lagi, ekonomi  negara berkenaan telah lumpuh. Sehubungan dengan itu, kerajaan negara kita patut menghantar pegawai-pegawai perancang ekonomi bersama-sama dengan ahli korporat tempatan untuk menghidupkan aktiviti ekonomi yang telah lumpuh di kawasan bencana itu.  Saranan tentang pelan induk pembinaan dan pembangunan sosioekonomi boleh dicadangkan agar ekonomi dan masyarakat terbabit  dapat pulih dengan secepat mungkin.  Sebagai contoh, negara kita telah berjaya mendirikan lebih daripada 3 ribu buah rumah kos rendah yang dilengkapi dengan pelbagai prasarana di Aceh , Sumatera Indonesia selepas dilanda tsunami pada tahun 2004.  Oleh itu , bantuan membina prasranan dan infrastrutur yang rosak patut dihulurkan oleh negara kita terhadap mangsa bencana alam.
Secara tuntasnya,  sebagai makhluk ciptaan Tuhan ,  semua umat bagai saudara  yang tidah harus dibezakan  atas batasan geografi  untuk bantu-membantu. Kita tidak harus bersikap ego, bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.  Kata orang tua-tua, di sebalik malapetaka ada hikmatnhya,  iaitu seluruh dunia memperlihatkan  perikemanusiaan  dengan menghulurkan bantuan kepada negara yang ditimpa musibah. Amat wajarnya kita membudayakan sikap tolong-menolong  sesama manusia tanpa mengira bangsa, agama dan negeri lantaran buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.  Seluruh dunia akan bermuafakat sehingga melahirkan dunia utopia yang aman sentosa.

Langkah-langkah untuk memajukan sektor pertanian.
Ketika mengharungi arus globalisasi dan modenisasi, negara kita telah mengalami pembangunan yang pesat, terutamanya dalam sektor perindustrian. Rentetan daripada itu, sektor pertanian telah dikesisikan dalam arus pembangunan sejak 1980-an.  Bagaimanapun di bawah Misi Nasional,  kerajaan telah meningkatkan kedudukan sektor ini semula dalam pelan pembangunan negara kita iaitu Rancangan Malaysia Kesembilan. Hal ini demikian kerana ketika dilanda kegawatan ekonomi pada tahun 1997 dan1998,  minyak kelapa sawit bertindak sebagai “penyelamat” ekonomi  negara kita. Selain itu kerajaan juga  mendapati bahawa negara kita memperuntukkan berbilion-bilion ringgit untuk mengimport makanan sehingga meningkatkan defisit ekonomi negara kita. Sesungguhnya,  banyak makanan dapat dihasilkan di negara kita melalui sektor pertanian. Persoalan, bagaimanakah kita dapat meningkatkan sektor pertanian? Kata orang tua-tua, “genggam bara api biarlah sampai jadi arang”,  semua pihak yang terbabit perlu menggembleng tenaga untuk menjanakan sektor pertanian di tanah air.
Untuk memajukan sektor  pertanian,  kaum petani kita perlu memiliki prakarsa untuk membuat perubahan atau sedia membuat reformasi  terhadap sektor pertanian. Jika kaum petani masih mengekalkan cara tradisional untuk mengusahakan petanian, nescaya  hasil tanaman atau ternakan mereka hanya sekadar sara diri. Mereka akan terus dibelenggu oleh kemiskinan. Untuk mengikut rentak perkembangan sektor industri,  petani moden kita perlu menggunakan ilmu sains dan teknologi yang canggih  demi meningkatkan produktiviti, iaitu menjimatkan penggunaan tenaga dan meninggikan hasil tanaman yang berkualiti dan berkuantiti. Sebagai contoh, ilmu genetik perlu digunakan untuk mencari baka benih yang dapat menjamin hasil tanaman yang bermutu, seperti “padi hibird” dapat menjamin penghasilan padi yang banyak dan berkualiti. Secara holistiknya, kaum petani perlu disuntik semangat transformasi untuk menggunakan bioteknologi dalam sektor pertanian.
Tidak dapat dinafikan bahawa Kementerian Pertanian dan sektor swasta perlu menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) terhadap sektor pertanian kita. Jurusan Pertanian di Pusat Pengajian Tinggi (IPT) dan pakar pertanian perlu berkomitmen untuk mengkaji penggunaan ilmu sains dan teknologi dalam sektor pertanian dan penternakan. Mereka hendak memastikan bahawa industri hilir dalam pertanian dapat dimajukan untuk meningkatkan pendapatan kaum petani seperti lada dapat dijadikan sos cili, ubat pelangsing dan ubat kesakitan sendi. Sengkuang telah diproses sebagai bahan kosmetik  dan sebagainya.  Hal ini selaras dengan peribahasa Melayu, “di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.” Pegawai Kementerian Pertanian terutamanya MARDI (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia ) sewajarnya menawarkan bengkel atau kursus untuk memberikan khidmat nasihat  serta membekalkan baka benih yang bermutu kepada petani kita untuk menggunakan bioteknologi yang canggih.
Untuk menjalankan pertanian secara besar-besaran dan komersial, skim pinjaman yang berkadar faedah rendah perlu disediakan oleh bank, terutamanya Bank Agro  untuk  pekebun kecil . Dengan modal yang mencukupi,  pekebun kita baru dapat membeli mesin yang canggih dan bahan racun serangga serta baja kimia  untuk menjalankan pertanian mereka.  Sebagai contoh, Bank Agro telah menawarkan Modal Usahawan 1 Malaysia kepada petani kita untuk mengusahakan industri kecil dan sederhana (IKS) yang berasaskan pertanian. Bak kata peribahasa, “ada padi semua kerja jadi; ada beras semua kerja deras,” oleh itu,  dengan pinjaman skim mikro, pekebun kecil kita dapat mengusahakankan pertanian atau penternakan secara komersial dan saintifik malah berupaya menjalankan IKS. Walhasilnya, kaum petani tidak akan digelar sebagai golongan miskin tetapi akan berperanan sebagai usahawan.
Selain itu, sistem pengagihan yang kamil perlu disediakan oleh pihak berkuasa supaya kaum petani kita tidak lagi dianiayai oleh orang tengah yang bersikap tamak haloba.  Penubuhan koperasi  peladang digalakkan untuk memainkan  peranan sebagai pemborong dan pembekal kepada kaum petani. Petani kita juga digalakkan menyertai Pasar Tani untuk meningkatkan pendapatan mereka. Sehubungan dengan itu,  pengguna juga dapat membeli hasil tanaman dan ternakan yang segar dengan harga yang berpatutan. Tindakan ini  dapat memberikan manfaat kepada pihak petani dan pengguna, seperti peribahasa  “serampang dua mata.” Rentetan daripada itu, pihak FAMA(Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) harus mengaturkan strategi yang bersepadu dan bijaksana bagai menarik rambut dalam tepung untuk menjamin pemasaran produk pertanian kita.  Sistem pengagihan yang teratur dapat  memantapkan harga  produk pertanian. Antaranya Kementerian Kebudayaan telah mengadakan laman web tentang harga borong produk pertanian supaya kaum petani tidak lagi ditipu oleh pemborong yang tidak bertanggungjawab.
Sementelahan, agropelancongan merupakan bidang yang patut dikembangkan dalam sektor pertanian. Kaum petani seyogianya memperkasakan kemudahan yang tersedia dalam ladang mereka untuk memajukan sektor pelancongan. Tindakan dapat menjamin pendapatan yang lumayan.  Penginapan yang lengkap seperti bilik yang selesa perlu disediakan kepada pelancong, khasnya dari bandar. Selain menghayati penghidupan kaum petani,  pelancong dapat menikmati buah-buahan tempatan yang lazat, memancing ikan dalam kolam ikan ternakan, menikmati lauk ala kampung  serta berpeluang untuk mencucuk tanah di samping melegakan fikiran yang kusut. Hal ini  bagai menyelam sambil minum air. Bagaimanapun, pakej agropelancongan perlu mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan Malaysia,  seperti menyeranaikan pengusaha agropelancongan yang beramanah dalam laman web kementerian berkenaan. Secara realitinya, inap desa semakin menarik perhatian pelancong domestik dan luar negara.
Natijahnya,  sektor pertanian perlu mengalami revolusi supaya sektor ini berprestij  kepada generasi muda.  Pembangunan sektor dapat mengurangkan import makanan dari luar negeri dan dapat mengelakkan penduduk kampung berhijrah ke bandar. Tampaknya, perkembangan pertanian mengundang seribu satu kebaikan kepada negara kita. Masyarakat kita juga perlu menyedari sumbangan,  jasa dan pengorbanan kaum petani kita. Sebaliknya kaum petani kita perlu mengalami transformasi untuk menjanakan 1 Malaysia.


KEBAIKAN PENGANJURAN SUKAN ANTARABANGSA

          Negara kita pernah diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah kepada sukan bertaraf dunia. Tahun 1998 merupakan detik bersejarah kepada Malaysia dan Asia kerana Sukan Komanwel yang ke-16 telah berlangsung dari 11 hingga 21 September di negara kita. Sukan SEA juga dianjurkan di Malaysia pada tahun 2001. Penganjuran sukan bertaraf dunia merupakan langkah ke arah merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020 yang merupakan inspirasi dan wawasan pembangunan negara yang dapat melahirkan masyarakat yang maju, penyayang, demokratik dan sejahtera. Negara kita amat bertuah kerana telah terpilih menjadi tuan rumah bagi acara sukan yang bertaraf dunia. Hal ini merupakan satu peluang keemasan bagi negara kita untuk menonjolkan imej dan kewibawaan Malaysia di arena antarabangsa. Selain Sukan Komanwel, negara kita juga pernah menjadi penganjur perlawanan bola sepak, Piala Thomas, Le Tour de Langkawi, dan sebagainya. Persoalannya sekarang apakah faedah penganjuran sukan bertaraf dunia kepada rakyat dan negara kita?

            Kemaslahatan penganjuran sukan bertaraf dunia kepada negara ialah pendapatan negara akan meningkat sekiranya berjaya menjadi tuan rumah sukan antarabangsa. Hal ini dikatakan demikian kerana pertandingan sukan seumpama ini akan membawa pelancong dan peminat sukan yang banyak untuk melawat ke negara kita. Secara tidak langsung, kedatangan mereka ini akan memajukan industri pelancongan dan perhotelan negara. Industri pelancongan dapat memberikan pulangan yang lumayan kepada negara. Biar kita imbas kembali Sukan Olimpik yang diadakan di Atlanta. Negara Amerika telah mendapat keuntungan sebanyak US20 bilion dalam penganjuran temasya sukan berprestij ini. Memang benar kata mantan Perdana Menteri Malaysia, iaitu penganjuran Sukan Komanwel dapat membantu negara mengatasi masalah kegawatan ekonomi yang semakin melarat pada masa itu. Para pelancong dan peminat sukan bukan sahaja membeli tiket sukan, tetapi mereka turut membeli cenderamata dan hasil kraf tangan yang dihasilkan oleh penduduk Malaysia. Maka, industri kecil dan industri hiliran dapat berkembang dengan lebih maju lalu ekonomi negara dapat dijana.

            Penganjuran sukan bertaraf dunia merupakan instrumen perpaduan yang berkesan untuk mencapai integrasi nasional. Perpaduan yang dipupuk bukan sahaja dalam kalangan rakyat tetapi juga mendorong rakyat yang berbilang bangsa, etnik dan budaya menggemblengkan semangat berbakti dan berkorban untuk negara. Sebagai contoh, pihak badan bukan kerajaan berganding bahu dengan pihak kerajaan untuk menjayakan Sukan Komanwel secara sukarela. Bukan itu sahaja, hal ini juga dapat mengukuhkan nilai perpaduan seperti toleransi, kerjasama, meletakkan kepentingan kebangsaan melebihi kepentingan peribadi. Dengan memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat, mereka akan memberikan sokongan yang padu kepada atlet negara kita untuk memenangi sesuatu perlawanan. Penganjuran sukan dapat melahirkan semangat kekitaan dalam sesuatu pasukan untuk meraih kejayaan kerana bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Lantaran itu, tanpa muafakat amat sukar untuk sesuatu pasukan itu mencapai kejayaan. Jadi, perpaduan antara kaum dapat dilahirkan melalui penganjuran sukan bertaraf antarabangsa.

            Dengan menganjurkan sukan seumpama ini, mutu sukan negara kita pasti bertambah baik. Melalui sukan bertaraf antarabangsa, kita dapat meniru teknik-teknik latihan yang digunakan dan kelengkapan yang disediakan oleh negara tersebut. Tamsilnya, dalam sukan badminton dan bola sepak, kita boleh mempelajari teknik pengurusan dan melihat kelengkapan prasarana sukan. Dengan cara ini, atlet kita akan mengetahui punca kegagalan mereka dan membaiki kelemahan mereka. Oleh itu, mereka akan berlatih dengan lebih giat lagi demi mencapai tahap yang diharapkan. Mereka juga akan berlatih dengan berdisiplin demi mencapai prestasi yang diharapkan. Pendek kata, prestasi sukan dan atlet negara akan meningkat jika kita sering menganjurkan sukan bertaraf antarabangsa.

            Sebagai konklusinya, penganjuran sukan yang bertaraf dunia akan membawa negara kita ke era kecemerlangan yang lebih membanggakan. Semua pihak sama ada pihak kerajaan, badan bukan kerajaan mahupun rakyat jelata yang lain harus berganding bahu dan menggembleng tenaga ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni untuk menjayakan pertandingan sukan yang diadakan dan menolong membuat persiapan sepenuhnya. Dengan kerjasama daripada pelbagai pihak, acara sukan yang diadakan di negara kita akan dapat berjalan dengan lancar. Penganjuran sukan bertaraf dunia merupakan salah satu cara pemodenan sukan yang dapat memperbaik prestasi sukan yang diidamkan oleh setiap negara. Dengan ini, diharapkan agar manfaat-manfaat yang tidak ternilai harganya semasa penganjuran sukan bertaraf dunia harus dihayati dan dapat dinikmati oleh semua rakyat di nusa yang tercinta ini.



2 comments:

  1. i come across your ramalan, is so correct for your speculation, bingo, amazing

    ReplyDelete
  2. Well the last essay was copied from cg anelyza.

    ReplyDelete