Monday, October 1, 2012

KARANGAN DIMENSI ANTARABANGSA



Pelaburan asing memainkan peranan yang penting dalam proses pembangunan sesebuah negara. Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang perlu dijalankan bagi menggalakkan pelaburan asing di negara ini?

                Pelaburan asing merupakan nadi penggerak sesebuah negara. Faktor utama yang menyebabkan peranan pelaburan asing kian penting dewasa ini ialah keupayaan kegiatan ini meningkatkan pendapatan negara. Pelaburan asing bukan sahaja menjana pertumbuhan ekonomi negara, tetapi juga meningkatkan guna tenaga dalam kalangan para pekerja. Tambahan pula, pelaburan asing merupakan salah satu cara yang paling mudah dan menjimatkan pembiayaan penghantaran rakyat ke luar negara untuk memperoleh kepakaran serta kemahiran. Hal ini disebabkan pelaburan asing sebenarnya mempercepat pemindahan teknologi dan kepakaran dalam pelbagai aktiviti ekonomi. Negara-negara pelabur lazim di negara kita ialah Amerika Syarikat, Jepun, Jerman, Taiwan, Singapura, dan Hong Kong.    Buktinya pelabur asing Jepun menyumbangkan lebih daripada RM300 billion kepada pendapatan negara kita.   Rentetan itu, kerajaan Malaysia amat menggalakkan pelaburan asing secara langsung di negara ini.   Persoalannya, apakah langkah yang perlu dijalankan oleh negara Malaysia bagi menarik pelaburan asing ?

                Kestabilan politik merupakan kunci utama dalam usaha menggalakkan pelaburan asing. Kestabilan politik Malaysia sejak 1970-an masih terpelihara hingga sekarang.     Meskipun tanah Indonesia adalah murah bahkan terdapat bekalan kerja yang murah belaka, namun Indonesia sentiasa huru-hara disebabkan oleh rusuhan kaum.    Rakyat Indonesia berpecah-belah berbanding  rakyat Malaysia yang bersatu-padu walhal terdiri daripada berbilang kaum.    Pemimpin negara-negara sedang membangun yang lain seperti Indonesia dan Filipina sentiasa bertukar tetapi keadaan politik mereka tetap sama seperti asal.    Sistem pemerintahan demokrasi Malaysia mengamalkan dasar terbuka bagi para pengilang.    Semasa kegawatan ekonomi melanda dunia pada tahun 1997, Malaysia masih berjaya mengadakan Sukan Komanwell dengan jayanya pada tahun 1998.    Kemampuan bekas Perdana Menteri Malaysia yakni Tun Dr. Mahathir Mohammad mengawal ekonomi negara amat dikagumi masyarakat Malaysia dan seantero dunia.    Beliau telah menetapkan RM3.50 kepada satu dolar Amerika Syarikat dan langkah tersebut telah berjaya menyelamatkan Malaysia daripada turut berhutang dengan International Monetary Fund (IMF).     Kebolehan Malaysia melalui tempoh kegawatan ekonomi malah menjadi negara sedang membangun yang paling maju di seluruh dunia meyakinkan para pelabur asing tentang potensi Malaysia sebagai pusat pelaburan mereka.

                Di samping itu, hubungan bilateral dan multilateral harus dieratkan bagi mewujudkan hubungan perdagangan antara Malaysia dengan negara lain.    Hubungan bilateral diperkukuh melalui lawatan diplomatik sama ada oleh Yang Dipertuan Agong, Perdana Menteri atau Menteri Perdagangan Antarabangasa ke negara-negara lain.    Contohnya baru-baru ini  Perdana Menteri Malaysia telah mengadakan lawatan  ke Arab Saudi untuk membaharui hubungan diplomatik.     Dalam suatu lawatan Perdana Menteri ke Dubai, rakyat Dubai akan membuka kilang di Malaysia manakala rakyat Malaysia akan membuka kilang di Dubai juga.     Usaha turut sama dijalankan oleh pelabur Indonesia dengan pelabur Malaysia di kedua-dua buah negara dengan tujuan mendapatkan keuntungan.    Oleh itu, jelaslah bahawa hubungan diplomatik antara Malaysia dengan negara-negara lain sejak Malaysia menjadi negara berkecuali hingga sekarang amat berkesan untuk meningkatkan pelaburan asing di negara kita.

                Selain itu, kerajaan Malaysia juga perlu terus menghantar rombongan penggalak pelaburan ke luar negara dengan matlamat mempertingkatkan pelaburan asing.   Berpandukan misi pelaburan ini, rombongan terbabit  biasanya diketuai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang akan berperanan berucap dan menyatakan kelebihan Malaysia kepada para pelabur asing di luar negara.    Ekspo perdagangan dan pameran akan diadakan di luar negara bagi menonjolkan faktor-faktor tarikan Malaysia yang sesuai dijadikan tempat pelaburan. Seminar pelaburan turut diadakan oleh rombongan tersebut. Tambahan pula, seminar dan mesyuarat tentang kelebihan melabur di Malaysia juga diadakan di luar negara. Laporan dan promosi tentang insentif terbaru melabur di Malaysia juga harus diadakan oleh pihak media massa antarabangsa .  Oleh itu, jelaslah penghantaran rombongan penggalak pelaburan  ke negara kita mampu meningkatkan pelabur asing di Malaysia
    
                Bukan itu sahaja, zon perdagangan yang sesuai dan lengkap dengan segala kemudahan infrastruktur perlu diperbanyakkan oleh kerajaan Malaysia.    Tapak perusahaan yang strategik juga harus diperbanyakkan.    Prasarana seperti sistem pengangkutan yang sistematik, bekalan elektrik dan air yang berterusan, serta sistem telekomunikasi yang cekap harus disediakan untuk kemudahan kilang-kilang beroperasi.   Zon perdagangan ini haruslah dekat dengan sumber bahan mentah agar bahan mentah terutamanya hasil pertanian seperti kelapa sawit tidak busuk sebelum sampai ke destinasi.     Contoh zon perdagangan ialah di Shah Alam, di Batu Berendam, di Alor Gajah, di Gurun dan di Senawang. Lebih banyak kawasan harus dijadikan zon perdagangan bebas (FTZ) seperti di Bayan Lepas Pulau Pinang untuk menarik minat pelabur asing.     Rumusannya, pelabur baru amat mengutamakan zon perdagangan yang lengkap dengan segala infrastruktur yang terancang.

                Sementelahan itu, faktor tenaga buruh turut memainkan peranan penting menarik pelabur asing ke negara kita.     Daya produktiviti sesebuah kilang akan meningkat dengan adanya banyak tenaga kerja yang mahir dan pakar.    Oleh itu, jumlah rancangan latihan kepakaran harus ditingkatkan oleh kerajaan Malaysia dengan bantuan agensi-agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN).    Kerajaan juga perlu memastikan latihan vokasional adalah cukup untuk memenuhi keperluan guna tenaga dan tuntutan seazaman.     Pekerja-pekerja juga harus mempunyai etika kerja yang murni dan tidak menyeleweng wang syarikat serta mengamalkan gejala rasuah seperti pekerja negara dunia ketiga yang lain terutamanya Bangladesh dan Indonesia, demi memelihara maruah negara kita yang berdaulat ini.    Rentetan itu, para pekerja haruslah sentiasa diberikan latihan agar kepakaran mereka sejajar dengan perkembangan semasa.


                Tuntasnya, kita tidak harus terlalu ghairah menggalakkan pelaburan asing sehingga membebankan kerajaan.    Syarat pelaburan asing haruslah sama dengan syarat pelaburan tempatan agar pelaburan tempatan tidak tergugat.     Janganlah bersikap seperti ‘kera di hutan disusui, anak di pangkuan dilepaskan’ dalam menentukan syarat-syarat pelaburan asing sebaliknya sikap ‘menarik rambut di dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak’, harus diamalkan.    Rakyat tempatan sewajarnya menganggap pelabur asing sebagai pesaing dan turut sama melabur dengan bijak.     Kerajaan pula patut berhati-hati memilih pelabur asing agar pelaburan tersebut dapat menguntungkan sekali gus keunggulan Malaysia semakin menyerlah di arena antarabangsa.     Semoga pelaburan ini menjadi pembuka laluan kepada masa depan negara yang gemilang.

No comments:

Post a Comment