Sunday, June 10, 2012

KARANGAN CONTOH ++


Kesan pelajar terlibat dengan industri hiburan


...............Dewasa ini, industri hiburan tanah air semakin berkembang maju. Kemajuan industri ini dapat dilihat melalui monopoli media massa tempatan baik media cetak mahupun media elektronik yang lebih cenderung pada berita-berita bercorak keseronokan berbanding dengan berita bercorak pengetahuan. Namun apa yang amat dikesali, ada juga golongan yang cuba meraih keuntungan mudah dengan mengeksploitasi para remaja khususnya golongan pelajar agar melibatkan diri dalam dunia hiburan biarpun sepatutnya mereka perlu menggalas wadah memajukan diri dalam bidang pendidikan. Lantaran budaya berhibur melebihi keutamaan menuntut ilmu, situasi kini sudah pasti memberi impak yang negatif kepada generasi akan datang. Justeru, apakah kewajaran yang membolehkan golongan pelajar melibatkan diri dalam dunia hiburan dan apakah pula kesannya?




...............Antara kesan negatif yang bakal timbul ialah kesukaran pelajar untuk membahagikan waktu di antara melibatkan diri dalam dunia hiburan dengan tugas utama mereka iaitu menuntut ilmu. Dalam usia yang masih terlalu muda, dunia pelajar seharus ditumpukan sepenuhnya untuk memperoleh ilmu sebagai menggalas aspirasi menjadi insan yang berilmu dan berpengetahuan. Namun jika mereka terlibat dengan dunia hiburan, masa yang ada terpaksa dibahagikan pula dengan tanggungjawab mereka untuk memajukan diri dalam bidang hiburan. Hal ini sudah tentu akan menjejaskan keupayaan mereka meluangkan waktu pada pelajaran dan kesannya bakal memberi impak yang tidak baik kepada pelajar itu sendiri. Sekiranya seseorang pelajar terlibat secara langsung dalam bidang nyanyian atau lakonan, mereka memerlukan masa yang panjang bukan sahaja untuk mengikuti penggambaran atau pertunjukan yang diadakan malah masa untuk berlatih juga perlu diambil kira. Justeru, kesannya akan menyebabkan kesukaran kepada mereka untuk memperuntukan waktu yang secukupnya pada pelajaran.




...............Pada masa yang sama, penglibatan pelajar dalam Program Realiti Hiburan seperti yang kerap kita lihat di kaca televisyen akan menjejaskan peluang pelajar bergiat dalam aktiviti yang dijalankan di sekolah. Penglibatan mereka juga menyebabkan pelajar terpaksa mengambil cuti untuk melaksanakan kehendak penganjur hiburan mengadakan pertunjukan di mana-mana juga. Akibat terikat dengan kontrak bersama dengan syarikat hiburan, para pelajar terpaksa melupakan tugas utama mereka dalam usia muda iaitu melaksanakan aspek pembelajaran dan mengikuti aktiviti kokurikulum yang telah ditetapkan. Hal seperti ini akan menyebabkan para pelajar yang terbabit ketinggalan dalam pelajaran dan menjejaskan prestasi mereka dalam peperiksaan. Bayangkanlah, apa yang bakal berlaku kepada generasi kita pada masa depan jika rakyatnya tidak berilmu lantaran memilih bidang hiburan dan mengetepikan ilmu pengetahuan. Janganlah pula sampai ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran’.




...............Realiti hidup sebagai seniman sebenarnya adalah terlalu kompleks dan penuh dengan tipu muslihat. Persoalannya, mampukah golongan remaja seperti pelajar mengharungi kehidupan dan menyahut cabaran dalam dunia artis yang penuh cabaran? Bakat yang dimiliki sahaja mungkin tidak mencukupi jika ilmu di dada tidak seberapa. Menyertai bidang hiburan memerlukan seseorang yang mampu mendepani segala rintangan, apatah lagi dunia hiburan masa kini berdepan dengan pelbagai saingan yang terlalu rumit. Dalam usia setahun jagung, kemungkinan untuk menempa nama dalam dunia hiburan adalah terlalu kecil, lantas mereka berdepan pula dengan kemungkinan menghadapi kegagalan. Mampukah golongan semuda ini berdepan dengan kegagalan? Kita amat bimbang, kegagalan akan menjerumuskan golongan pelajar dalam gejala sosial yang tidak sihat seperti penyalahgunaan dadah, sek bebas dan sebagainya. Justeru, sebelum menceburi bidang hiburan, remaja khususnya pelajar perlulah bijak menilai dan memilih sebelum membuat keputusan.




...............Selain itu, dunia hiburan dan pendidikan dilihat sebagai dua dunia yang begitu berbeza. Lihat sahaja pertuturan seorang artis, pergaulan bebas sesame peminat, pakaian malah keseluruhan gaya hidup mereka. Hal ini amat berbeza sama sekali dengan objektif pendidikan yang berperanan melahirkan insan yang seimbang dari segi rohani, emosi dan jasmani. Ambil sahaja contoh rambut seorang artis, bergaya, panjang dan berwarna. Hal ini amat bertentangan dengan kehendak didiplin yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Persoalannya nanti, mahukah golongan golongan pelajar yang telah masuk dalam golongan artis berpakaian kemas, berambut pendek dan menggayakan perlakuan sopan di khalayak ramai? Mampukah mereka merendahkan rasa ego mereka apabila berada di sekolah bersama rakan-rakan mereka yang lain? Kesannya lebih menjurus pada keburukan dan boleh mewujudkan konflik dalam diri pelajar terbabit. Hal inilah yang perlu difikirkan dengan serius sebelum mengambil pendirian untuk menyertai bidang hiburan.




...............Ada pula pandangan yang mengatakan bahawa mereka yang menyertai bidang hiburan adalah individu yang mementingkan ‘glamour’ dan bersifat meterialistik. Kenyataan ini mungkin ada kebenarannya jika dilihat dari situasi industry hiburan kita pada hari ini. Kejayaan seseorang pelajar dalam dunia hiburan mungkin bakal melahirkan pelajar yang bersifat bongkak, sombong dan memandang rakan dan guru sebagai manusia yang tidak patut dihargai. Lihat sahaja perlakuan seorang artis remaja ketika bercakap dengan seorang jururawat di sebuah hospital. Apa pula pandangan anda jika seorang artis remaja mengherdik seorang pengawal di sebuah lapangan terbang di Sepang? Sikap bongkak ini lahir apabila mereka merasakan diri mereka terlalu ‘glamour’ sehingga memandang rendah orang lain yang bukan golongan artis. Natijahnya, sikap negatif sebegini lahir disebabkan kurangnya nilai-nilai moral yang sepatutnya mereka pelajari di sekolah. Malangnya, oleh sebab terlalu banyak waktu digunakan untuk dunia hiburan, nilai-nilai moral sebegini terus dilupakan.

...............Intiharnya, dunia hiburan masa kini bukanlah dunia seorang pelajar. Sebagai pelajar, mereka perlu mempunyai acuan sendiri iaitu menyahut cabaran mendepani bidang ilmu yang terlalu luas dan tidak bertepi. Menuntut ilmu memerlukan komitmen yang menyeluruh dan bukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Andai terbuka hati untuk menyertai industri hiburan, berilah ruang untuk memenuhi ilmu di dada terlebih dahulu kerana hanya ilmu yang mampu membina impian masa depan gemilang.

Kepentingan bahasa Inggeris


Menjelang tahun 2003, bahasa Inggeris telah mula digunakan dalam pendidikan di Malaysia. Sistem ini dimulakan apabila bahasa Inggeris dijadikan bahasa penghantar untuk mata pelajaran sains dan matematik. Pelaksanaannya dijalankan secara berperingkat-peringkat yang dimulakan kepada pelajar tahun 1 serta pelajar tingkatan 1. Beberapa tahun kemudian, semua pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah telah menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pendidikan sains dan matematik. Biarpun program ini diliputi dengan pelbagai kontravesi namun tindakan kerajaan melaksanakan dasar penggunaan bahasa Inggeris dalam pendidikan memberi pelbagai kebaikan.

............Antara faedah menguasai bahasa Inggeris dalam pendidikan adalah bagi membolehkan pelajar menguasai isi pelajaran yang kebanyakannya bersumberkan bahasa Inggeris. Sebagai contohnya, memandangkan beberapa mata pelajaran penting seperti sains, matematik, teknologi maklumat dan sebagainya menggunakan bahasa Inggeris maka kegagalan pelajar menguasai bahasa ini akan melemahkan penguasaan pelajar dalam mata pelajaran yang disebutkan tadi. Pepatah Melayu pernah menyebut, “kalau tidak dipecahkan ruyung, masakan dapat sagunya”. Begitulah juga halnya, jika penggunaan bahasa Inggeris tidak dimulai dari sekarang, selagi itulah para pelajar akan ketinggalan dalam mata pelajaran tersebut. Justeru, penggunaan bahasa Inggeris adalah amat perlu dikuasai agar para pelajar dapat memperoleh ilmu npengetahuan yang kebanyakannya hanya dapat diperoleh melalui kemahiran berbahasa Inggeris.

............Selain itu, bahasa Inggeris juga penting dalam pendidikan di negara kita selaras dengan objektif pendidikan yang ingin melahirkan individu yang mampu bersaing dalam dunia global. Penguasaan bahasa inggeris yang dimulakan dari sekolah mampu melahirkan individu yang dapat berkomunikasi dengan berkesan dengan individu lain dari seluruh dunia. Sebagai contohnya, kemahiran berbahasa Inggeris amat penting apabila seseorang individu ditugaskan di luar Negara atau membawa misi negara di luar negara. Kegagalan berkomunikasi dengan berkesan menggunakan bahasa Inggeris akan menjejaskan pelbagai peluang baik berupa peluang ekonomi mahupun sosial. Jelasnya, pendidikan bahasa Inggeris di peringkat sekolah mampu melahirkan individu yang “berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah” dengan masyarakat lain di seluruh dunia.

............Penggunaan bahasa Inggeris dalam pendidikan juga penting kerana dengan penguasaan bahasa tersebut para pelajar yang mendapat keputusan peperiksaan baik dapat berpeluang untuk melanjutkan pelajaran di luar Negara. Memandangkan bahasa Inggeris telah diterima sebagai bahasa antarabangsa, kebanyakan universiti teragung di seluruh dunia menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar. Jika seseorang pelajar dapat menguasai bahasa tersebut dengan baik maka peluang mereka untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara adalah lebih cerah. Sebagai contohnya, institusi pendidikan swasta seperti kebanyakan institusi pendidikan swasta di negara kita juga telah mengimplementasi penggunaan bahasa inggeris sebagai bahasa penghantar mereka di institusi pendidikan tinggi swasta. Oleh yang demikian, para pelajar yang bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pendidikan tinggi perlulah menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

............Pada masa yang sama, penggunaan bahasa Inggeris juga penting kepada para pelajar bagi tujuan mendapatkan pekerjaan pada masa depan. Perlu diingat bahawa majikan akan lebih tertarik untuk mengambil pekerja yang mampu berkomunikasi dalam pelbagai bahasa termasuklah berbahasa Inggeris. Sebagai contohnya, pekerjaan dalam bidang telekomunikasi, penyiaran, teknologi maklumat dan sebagainya amat memerlukan penggunaan bahasa Inggeris. Oleh itu, lepasan sekolah atau universiti yang mahir berbahasa Inggeris lebih mudah mendapat pekerjaan berbanding dengan mereka yang kurang menguasai bahasa Inggeris. Tambahan pula, mereka yang mahir berbahasa Inggeris lebih diminati oleh majikan dari syarikat-syarikat besar yang biasanya menawarkan pendapatan lebih lumayan. Jelasnya, bahasa Inggeris amat penting dipelajari di sekolah demi memanfaatkan pelajar bagi tujuan membina kerjaya pada masa yang akan datang.

______Sementara itu, kemajuan ekonomi negara yang telah melepasi sempadan negara, mengakibatkan Malaysia memerlukan penduduk yang mampu berbahasa Inggeris dengan baik agar dapat bersaing dengan mereka dari seluruh dunia. Pendidikan bahasa Inggeris amat penting bagi melahirkan masyarakat yang dapat berkomunikasi dengan masyarakat antarabangsa. Sebagai contohnya, perkongsian dalam bidang ekonomi, sosial mahupun bidang teknologi memerlukan mereka yang mahir berbahasa Inggeris. Umumnya, mereka yang gagal menguasai bahasa ini akan berdepan dengan pelbagai rintangan yang dapat mengganggu komunikasi serta boleh menggagalkan peluang yang tersedia pada peringkat antara bangsa. Justeru, pendidikan bahasa Inggeris di sekolah berperanan membina masyarakat yang lebih berdaya saing pada peringkat global suatu hari nanti.

______Intihanya, bahasa Inggeris merupakan bahasa yang amat perlu dipelajari dan dikuasai oleh semua pelajar. Seseorang yang dapat menguasai bahasa ini akan lebih berkeyakinan dan mampu merebut peluang yang tersedia sama ada pada peringkat nasional atau pada peringkat antara bangsa. Namun begitu, biar bagaimana penting sekalipun bahasa Inggeris ini digunakan oleh masyarakat antarabangsa namun penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara amat perlu dipertahankan dan dipertingkatkan martabatnya. Kita tidak mahu bahasa rasmi kita pupus akibat kelalaian kita mengagungkan bahasa Inggeris umpama kata pepatah Melayu “yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran”.

Kepentingan memulihara dan mengekalkan bangunan bersejarah



……….Pembangunan di negara kita semakin hari semakin maju dan pesat seiring dengan nama Malaysia yang kini berjaya menempa nama di persada antarabangsa. Banyak kilang perindustrian, pusat beli-belah dan perumahan dibina bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Senario ini telah menggunakan ruang yang luas sehingga memakan tanah yang berhektar-hektar. Antara isu yang hangat yang telah dibincangkan adalah sama ada Stadium Merdeka patut dirohohkan untuk pembangunan kerana bangunan itu tidak lagi berfungsi sebagai tapak akvtiviti sukan lagi. Isu tersebut pernah menjadi polemik pelbagai lapisan masyarakat kita. Mengapakah ada kejadian seperti ini berlaku? Adakah perlu bangunan tersebut diruntuhkan? Tepuk dada tanyalah selera. Sebenarnya, terdapat pelbagai kepentingannya kita perlu mengekalkan bangunan bersejarah yang terdapat di negara kita.
.
……….Satu daripada kemaslahatan bangunan bersejarah perlu dikekalkan ialah bangunan bersejarah dapat dijadikan sebagai bukti yang kukuh kepada sesuatu era atau peristiwa sejarah yang telah berlaku. Monumen, mengikut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat bermaksud bangunan yang dibina untuk memperingati seseorang atau peristiwa penting. Walaupun Malaysia telah mencapai kemerdekaan selama 52 tahun, kesan yang ditinggalkan oleh penjajah kolonial seperti British, Belanda dan Portugis masih dapat dilihat dan perlu dijaga dan bukanlah untuk dimusnahkan. Di samping itu, bangunan bersejarah amat penting untuk generasi kini dan juga generasi yang akan datang kerana dengan kewujudan bangunan bersejarah, kita dapat membuktikan bahawa sejarah Malaysia yang telah dicatat merupakan sesuatu yang realistik dan bukanlah cerita-cerita dongeng, mitos atau legenda. Sebagai contohnya, zaman kegemilangan bandar pelabuhan Melaka pada abad ke-15 dan abad ke-16 dapat dirasai dengan wujudnya Pintu Gerbang Porta de Santiago, Gereja Christ, Bangunan Stadhuys dan Gereja St.Paul. Selain itu, Kota Cornwallis, Masjid Kling, Gereja St.George di Georgetown, Pulau Pinang dapat mengimbas kembali detik-detik sejarah negara yang pernah suatu masa dahulu dijajah dan juga dapat membuktikan bahawa berlakunya penjajahan awal pemerintahan British di Semenanjung Tanah Melayu pada akhir abad ke-18. Tegasnya, usaha meruntuhkan bangunan bersejarah dan monuman negara tidak wajar dilaksanakan.
.
……….Pendapat sesetengah pihak yang mengatakan bahawa bangunan bersejarah perlu diruntuhkan adalah tidak berasas kerana bangunan bersejarah dan monumen lama dapat memberikan teladan dan iktibar kepada masyarakat terutamanya remaja kini yang mempunyai semangat patriotisme yang semakin menipis. Walaupun ada antara bangunan bersejarah yang hanya menggambarkan sejarah hitam negara, namun jika kita menghayati sejarah di sebalik bangunan tersebut semula serta mengambil pengajaran daripada peristiwa yang telah berlaku, maka kita dapat terus mara ke hadapan tanpa mengulangi kesilapan yang telah dilakukan oleh masyarakat terdahulu. Sebagai contohnya, Kota A Famosa di Melaka yang merupakan sebuah kubu pertahanan yang kukuh telah dibina oleh Portugis setelah mereka berjaya menakluki Melaka dapat dijadikan iktibar. Penaklukan ini terjadi kerana terdapatnya masalah perpaduan, kelemahan kepemimpinan dan juga kelemahan tentera pada zaman Kesultanan Melaka. Negara kita jugamampu menjadi negara yang setaraf dengan negara-negara maju yang lain bagai berdiri sama tinggi duduk sama rendah sekiranya kita tidak mengambil mudah dan mengambil iktibar daripada sejarah negara. Oleh itu, bangunan bersejarah di negara kita sememangnya tidak perlu diruntuhkan kerana yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.
.
……….Bukan itu sahaja, dari sudut pelancongan pula, bangunan bersejarah dan monumen dapat menarik pelancong baik pelancong domestik mahupun pelancong dari luar negara untuk melawat ke negara kita. Bangunan ini juga menjadi salah satu faktor dominan pelancong bercuti di negara kita selain menyaksikan pemandangan alam yang indah. Oleh itu, bangunan bersejarah tidak perlu diruntuhkan sebaliknya dipulihara dan diubah suai. Sebagai contohnya, bangunan lama hendaklah diubah suai untuk dijadikan muzium, galeri seni lukis dan pusat pelancongan. Fenomena ini sudah menjadi suatu perkara biasa di beberapa buah negara Eropah seperti di England, Perancis, Itali, dan Belanda. Bandar-bandar bersejarah seperti York, Bath, Oxford, dan Cambridge di England telah berjaya melindungi sebahagian besar daripada bangunan bersejarah mereka dengan baik. Usaha seperti ini dapat menarik lebih ramai pelancong dari seluruh dunia dan dapat menjadi sumber pendapatan negara. Di samping itu, pelancong juga dapat melawat bangunan bersejarah dan melihat monumen-monumen yang terdapat di sekitar bangunan selain menikmati keindahan alam semula jadi negara kita dan artifak-artifak di dalam muzium dan galeri seni lukis bagai menyelam sambil minum air. Oleh itu, bangunan dan monumen ini secara tidak langsung dapat membantu industri pelancongan negara.
.
……….Di samping itu, bangunan dan monumen lama juga memainkan peranan yang penting dalam pendidikan di negara kita khususnya para pelajar dan penyelidik. Pelbagai ilmu yang dapat dipelajari dengan memahami dan mengkaji bangunan dan monumen lama. Sebagai contohnya, dengan terdapatnya bangunan dan pancutan air Horse di sekitar Dataran Merdeka dan Masjid Jamek di pertemuan Sungai Gombak dan Klang di Kuala Lumpur, seseorang dapat mengetahui bukan sahaja kepentingan Kuala Lumpur dalam era kolonial British tetapi juga kehidupan dan kebudayaan masyarakat penjajah dan tempatan pada ketika itu. Bangunan Kelab Di Raja Selangor dan Dataran Merdeka telah dibina bagi kemudahan sosial dan rekreasi khasnya kepada rakyat British dan Eropah yang berkhidmat di Tanah Melayu pada akhir abad ke-19. Begitu juga halnya dengan kepentingan pancutan air Horse yang telah dibina di persimpangan Jalan Raja dan Jalan Raja Laut pada tahun 1897. Pancutan air Horse dibina sebagai memperingati seorang inspektor polis negeri Selangor, iaitu Encik Steve Harper. Pemuliharaan dan penghayatan kemaslahatan bangunan bersejarah persis peribahasa, yakni “tak kenal maka tak cinta”. Oleh itu, bangunan bersejarah dan monumen sememangnya mempunyai nilai yang tersendiri.
.
……….Secara tuntas, bangunan bersejarah amat penting dalam pembentukan minda generasi muda negara terutamanya ke arah penghayatan warisan dan khazanah negara. Bangunan dan monumen yang bersejarah merupakan aset yang patut dipelihara dan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi. Dengan terdapatnya bangunan bersejarah, generasi baharu akan lebih menghargai dan peka akan perkembangan sejarah negara. Hal ini akan membentuk sebuah masyarakat yang sensitif terhadap sebarang perobohan atau pemusnahan bangunan bersejarah. Sesungguhnya, pihak kerajaan pula perlulah mewartakan bangunan bersejarah sebagai bangunan yang perlu dikekalkan dan dilestarikan, bak kata pepatah “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”. Oleh hal yang demikian, mana-mana pihak yang merobohkan atau memusnahkan bangunan bersejarah, mereka perlulah dikenakan tindakan undang-undang.

Faktor memajukan pelancongan Malaysia


............Malaysia merupakan salah satu destinasi pelancongan utama di dunia. Saban tahun, jumlah pelancong yang direkodkan semakin bertambah bukan sahaja pelancong dari negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Indonesia malah turut menjadi tumpuan pelancong asing dari Asia Barat, Eropah dan Amerika Syarikat. Industri pelancongan ini juga mempunyai potensi besar dan mampu dijadikan sumber ekonomi baharu yang menguntungkan. Justeru, banyak syarikat besar yang tumbuh “bak cendawan selepas hujan” mahupun agensi kerajaan yang giat melaksanakan usaha bagi menarik pelancong berkunjung ke Malaysia. Sebenarnya terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan Malaysia menjadi tumpuan pelancong.

............Antara faktor tersebut adalah kerana Malaysia mempunyai banyak tempat menarik untuk dilawati. Tempat menarik tersebut lazimnya menjadi tumpuan pelancong asing yang berkunjung ke negara kita. Sebagai contohnya, Malaysia memiliki kawasan rekreasi di tanah tinggi yang mempunyai suhu sejuk seperti Cameron Highlands dan Genting Highlands. Di kawasan ini, para pelancong dapat menikmati keindahan alam semula jadi yang unik di samping melihat pelbagai tanaman hawa sederhana iaitu sayur-sayuran serta buah-buahan tropika. Malaysia juga mempunyai hutan semula jadi iaitu hutan hujan Khatulistiwa yang berusia lebih dua juta tahun. Di kawasan hutan semula jadi ini pelancong dapat menjalankan aktiviti riadah sambil menikmati keindahannya mahupun menjalankan kajian tentang flora dan fauna yang terdapat di situ. Justeru, kewujudan kawasan reakrasi seperti ini dapat menarik pelancong dari dalam dan dari luar negara.

............Selain itu, perkembangan industri pelancongan di negara kita juga disebabkan oleh keadaan iklim semula jadinya yang panas sepanjang tahun. Corak iklim seperti ini amat digemari oleh pelancong asing khususnya pelancong dari negara-negara barat seperti negara Eropah dan Amerika Syarikat. Ramai pelancong barat yang mengambil kesempatan bercuti di Malaysia untuk berjemur di bawah sinaran matahari terik terutamanya di kawasan pantai yang terdapat di Malaysia. Hal ini disebabkan juga oleh keadaan pantai yang terdapat di Malaysia amat cantik, bersih dan berpasir putih. Di kawasan pantai ini juga disediakan pelbagai aktiviti untuk para pelancong seperti berkayak, berperahu layar mahupun mandi-manda. Oleh itu, keistimewaan tersebut berjaya menambat hati para pelancong untuk terus berkunjung ke negara kita.

............Di samping itu, perkembangan industri pelancongan di negara kita juga turut disebabkan oleh kewujudan banyak pulau yang indah dan menarik. Di antara pulau yang menjadi tumpuan para pelancong di negara kita termasuklah Pulau redang, Pulau Kapas dan Pulau Tioman. Kemudahan prasarana di kawasan ini dijaga dengan rapi bagi memastikan kawasan ini sentiasa bersih dan selesa untuk kunjungan para pelancong. Para pelancong juga akan dapat merasai “syurga dunia” dengan melakukan aktiviti skuba di kawasan batu karang yang terletak di Pulau Kapas sehingga diakui sebagai satu daripada tujuh keajaiban dunia. Bagi memastikan pelancong dapat menikmati keindahan semula jadi di kawasan pulau tersebut, kerajaan telah mewartakan kawasan itu sebagai Taman Laut. Jadi, dengan adanya keistimewaan tersebut, Malaysia dapat menarik lebih ramai pelancong yang sekaligus dapat menjana kemajuan industri pelancongan negara.

.............Pada masa yang sama, kemajuan industri pelancongan tanah air dibantu oleh wujudnya keunikan budaya di negara kita. Memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara yang memiliki masyarakat majmuk maka pelbagai budaya menarik terdapat di sini. Gabungan budaya masyarakat Melayu, Cina dan India telah berjaya meningkatkan kunjungan pelancong asing ke Malaysia. Kaum Melayu umpamanya terkenal dengan tarian inang dan zapin manakala kaum Cina pula terkenal dengan tarian naga. Selain itu, Malaysia juga kaya dengan pelbagai makanan tradisional yang dapat dinikmati oleh para pelancong. Masyarakat Melayu misalnya terkenal dengan makanan seperti Sate, ketupat dan rendang manakala kaum India pula terkenal dengan masakan kari, tosei, idali dan lain-lain. Justeru keunikan budaya masyarakat di Malaysia telah berjaya menjadi daya tarikan kepada para pelancong untuk berkunjung ke negara kita.

.............Peranan pihak kerajaan dan agensi kerajaan yang berkaitan dengan pelancongan juga turut memajukan sektor pelancongan di Malaysia. Sebagai contohnya, Kementeria Pelancongan telah mengadakan pelbagai pertunjukan kebudayaan dan destinasi pelancongan Malaysia ke beberapa buah negara sebagai usaha mempromosikan Malaysia kepada pelancong asing. Tumpuan promosi bukan sahaja terhad ke negara-negara Eropah atau Amerika Syarikat malah meliputi semua negara di dunia termasuk di Asia Barat dan di Asia Timur. Pada masa yang sama, kerajaan juga turut mengadakan pelbagai aktiviti tahunan bagi menarik lebih ramai pelancong seperti mengadakan Pesta Flora Kuala Lumpur, Pesta Makanan Tradisional Malaysia, sukan Le Tour De Langkawi dan sebagainya. Malaysia juga turut memperkenalkan konsep pelancongan baru seperti “ekopelancongan”, “agrotourism”, pelancongan perubatan, pelancongan pendidikan dan lain-lain. Dengan usaha yang berterusan ini maka sektor pelancongan di Malaysia semakin berkembang maju.

.............Intihanya, sektor pelancongan merupakan sektor baru yang berpotensi untuk menyumbang pada ekonomi negara. Industri ini masih perlu diterokai kerana “kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”. Justeru, peranan kerajaan dan agensi pelancongan berserta dengan kerjasama daripada semua masyarakat adalah amat diperlukan. Semoga melalui keprihatianan dan rasa bertanggungjawab dan cinta akan negara, nama Malaysia akan menjadi sebutan dan tumpuan utama seluruh penduduk dunia untuk berkunjung sambil merehatkan minda mereka.

Penderaan kanak-kanak


............Anak-anak merupakan anugerah Allah yang amat berharga kepada setiap pasangan suami isteri. Mereka merupakan penyambung zuriat dan pewaris sesebuah keluarga. Adanya anak justeru bertambahlah rezeki yang Allah berikan kepada setiap pasangan yang telah berkahwin. Mereka juga sebagai penghibur di dalam rumah tangga dengan hilai tawa dan tangisan yang senantiasa memerlukan belaian kasih sayang secukupnya daripada ibu bapa. Namun, sekarang kita telah mendengar pelbagai keg penderaan kanak-kanak berlaku di sana sini yang semakin berleluasa sebagaimana yang telah disiarkan di dalam akhbar dan berita di televisyen. Pendera-pendera ini boleh dikategorikan sebagai tidak berhati perut kerana ada antara pendera-pendera itu ialah ibu bapa kandung kepada mangsa.


............Terdapat banyak faktor atau punca berlakunya kes-kes penderaan kanak-kanak ini. Antaranya ialah, bagi ibu bapa yang bekerja mungkin mereka menghadapi tekanan di tempat kerja. Masalah dan tekanan di tempat kerja dibawa balik ke rumah dan mereka melepaskan tekanan tersebut kepada anak- anak yang tidak berdosa. Tabiat anak-anak yang masih kecil memang stika merengek kerana mereka perlukan perhatian daripada ibu bapa. Tindakan ibu bapa yang melepaskan geram dan tekanan mereka kepada anak-anak yang merengek kerana perlukan sesuatu adalah merupakan satu tindakanyang tidak masuk akal. Ibu bapa yang tidak berfikiran matang ini mungkin akan memukul, menerajang, mencucuk putung rokok, atau sebagainya. Apalah dosa mereka sehingga diperlakukan sebegitu.


............Faktor lain yang menjadi punca penderaan kanak-kanak adalah kerana masalah kewangan yang dihadapi oleh sesebuah keluarga itu. Masalah kewangan yang melanda sesebuah keluarga akan menyebabkan mereka bertindak ganas terhadap anak-anak. Jika anak-anak meminta duit belanja atau keperluan lain, sudah semestinya anak akan menjadi mangsa sepak terajang mereka. Keadaan sebegini amat menyedihkan kerana anak-anak tidak sepatutnya diperlakukan sebegitu pada usia mereka yang masih memerlukan kasih sayang dan perlindungan. Jika masalah kewangan melanda sesebuah keluarga janganlah dilepaskan kepada anak-anak dan fikirlah cara yang terbaik untuk menyelesaikan masalah. Mintalah pertolongan daripada Allah supaya hati kita lebih tenang.


............Ada juga antara ibu bapa yang mendera anak-anak mereka kerana krisis rumah tangga yang berlaku seperti pergaduhan antara suami isteri dan mungkin disebabkan gangguan pihak luar. Contohnya, suami akan menjadi lebih garang dan mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga kerana mempunyai kekasih barn. Hasilnya pergaduhan antara suami isteri sering berlaku dan anak-anak pastinya menjadi mangsa pergaduhan.


............Selain itu, faktor paling utama berlakunya masalah penderaan anak-anak ini ialah kurangnya pendidikan agama di kalangan ibu bapa. Ilmu agama amat penting di dalam rumah tangga kerana ia boleh memberi panduan yang terbaik dalam menguruskan keluarga. Setiap masalah yang berlaku pasti ada penyelesaiannya jika berlandaskan kepada al-Quran dan al-Sunnah. Islam telah menerapkan sikap yang baik yang perlu dicontohi oleh setiap umatnya seperti tahap kesabaran yang tinggi terutamanya dalam melayan kerenah anak-anak. AI-Quran juga telah menjelaskan kepada kita iaitu azab yang pedih bagi sesiapa yang tidak menjaga amanahnya dengan baik seperti juga anak-anak yang merupakan amanah Allah kepada kita.


............Masalah penderaan kanak-kanak ini perlulah dibendung dan diatasi dengan segera. Antara cara untuk mengatasinya adalah dengan mengadakan kempen “Keluarga Bahagia” bagi menyedarkan ibu bapa tentang tanggungjawab mereka. Semestinya setiap orang mengimpikan keluarga yang bahagia kerana keluarga adalah segala-galanya bagi kita. Tanpa keluarga tercinta hidup pasti tidak bermakna. Sesungguhnya kita memerlukan insan-insan tersayang di samping kita. Jadi, dengan adanya kempen ini sedikit sebanyak boleh mengelakkan daripada berlakunya kespenderaan anak-anak.


............Pihak yang berkuasa juga haruslah mengambil tindakan yang lebih tegas seperti mengenakan hukuman yang berat bagi ibu bapa atau sesiapa sahaja yangmendera kanak-kanak. Mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang boleh menyebabkan pendera-pendera berasa takut akan hukuman yang bakal mereka hadapi akibat perbuatan sendiri yang tidak berperikemanusiaan.


............Pihak-pihak yang berwajib juga perlulah mengadakan kelas-kelas bimbingan bagi memberikan pendidikan keibubapaan kepada setiap pasangan yang akan mendirikan rumah tangga. Pendidikan ini amat penting kepada setiap pasangan bagi menyedarkan mereka akan tanggungjawab yang besar harus dipikul setelah berumah tangga. Mereka aka:n lebih jelas tentang cara-cara untuk mendidik anak-anak dan kaedah untuk melayan suami atau isteri dengan baik. Dengan itu, masalah penderaan kanak-kanak akan dapat diatasi.

............Kesimpulannya, penderaan kanak-kanak merupakan perbuatan keji yang dilarang keras oleh agama. Hal ini kerana perbuatan sebegitu seolah-olah bertujuan untuk menjahanamkan aset penting negara pada masa akan datang dan memusnahkan keturunan kita sendiri. Ingatlah, anak-anak merupakan amanah Allah yang sangat suci dan bersih. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk membentuknya menjadi seorang yang baik atau sebaliknya. Jika mereka selalu diperlakukan dengan tindakan negatif semasa kecilnya, tidak mustahil mereka akan menjadi lebih ganas apabila meningkat dewasa. Jadi, sayangilah anak-anak dan jauhilah kes penderaan kanak-kanak kerana ia tidak menguntungkan mana-mana pihak malah dosa yang akan kita dapat di akhirat nanti.


Semangat kejiranan


Semangat kejiranan merujuk semangat membantu masyarakat setempat terutama jiran bersebelahan dalam kehidupan seharian mereka. Sememangnya semangat kejiranan ini semakin hilang dalam masyarakat kita sehingga menimbulkan pelbagai isu semasa pula. Jadi, ada banyak kaedah yang boleh dilaksanakan untuk memastikan semangat ini berterusan kerana memang ada kepentingannya.

.............Langkah awal ialah masyarakat menghidupkan semua konsep rukun tetangga di kawasan perumahan mereka. Rukun tetangga berfungsi untuk mengawal keselamatan kawasan perumahan terutama pada malam hari. Aktiviti ini memerlukan pembabitan semua pihak tanpa mengira kaum yang mampu menanam semangat kejiranan ketika melakukan rondaan bersama-sama. Oleh itu, hubungan rapat yang terjalin melalui rukun tetangga ini mengeratkan lagi perhubungan antara jiran.

.............Selain itu, semangat ini mampu dipupuk dengan mengadakan pelbagai majlis yang bercorak setempat. Majlis perkahwinan, rumah terbuka dan hari keluarga mampu menghidupkan semula semangat yang murni ini. Semua jiran akan beramah mesra dan mengenali satu sama lain melalui majlis seperti ini. Sesungguhnya, semangat kejiranan berupaya tumbuh dengan subur berdasarkan majlis sebegini.

.............Kerajaan turut mampu memainkan peranan dengan mengadakan kempen kesedaran semangat kejiranan ini. Penggunaan media massa seluas mungkin dengan iklan yang menarik sudah pasti berupaya menarik perhatian masyarakat terhadap isu ini. Masyarakat akan mula mempersoal tahap semangat kejiranan mereka dan berusaha ke arah mengekalkan serta meningkatkan semangat itu di kawasan mereka. Sememangnya kerajaan berperanan penting dalam memulakan usaha memupuk semangat mulia ini.

.............Dalam masa yang sama sikap dan persepsi masyarakat perlu berubah. Masyarakat hendaklah memandang semangat kejiranan ini sebagai satu perkara penting dalam kehidupan bermasyarakat. Semangat ini perlulah diutamakan dalam sebarang tindakan yang ingin dilaksanakan oleh masyarakat. Jelaslah, paradigma yang baru ini memastikan semangat kejiranan akan terus mekar dalam masyarakat kita.

.............Kepentingan semangat ini sudah pasti dalam mewujudkan semangat perpaduan. Dalam masyarakat berbilang kaum yang wujud di negara ini pemupukan konsep perpaduan amat strategik. Sesuatu masyarakat sesebuah negara itu terbentuk daripada individu yang saling berjiran sebelum berkembang menjadi satu umah. Oleh itu, semangat kejiranan menjadi titik tolak pembentukan konsep perpaduan nasional.

............Kesimpulannya, semangat kejiranan memang boleh dicapai melalui beberapa kaedah yang dijelaskan tadi. Semua pihak perlulah berusaha untuk memastikan semangat ini terus diamalkan oleh masyarakat di negara ini. Mungkin kita semua harus bertanya diri sendiri "siapakah jiran kita?


Amalan gaya hidup sihat


..........Gaya hidup sihat bolehlah ditakrifkan sebagai satu amalan kehidupan yang membawa impak positif kepada diri seseorang, keluarganya dan masyarakat. Antara contoh kehidupan yang sihat ialah individu tersebut hidup dengan penuh ceria tanpa mengalami sebarang masalah yang boleh menjejaskan kehidupannya untuk satu tempoh tertentu pula. Sudah pasti dalam kehidupan era moden yang begitu banyak tekanan ini gaya hidup sihat menjadi satu matlamat yang perlu dicapai segera. Oleh itu, terdapat pelbagai tindakan yang boleh dilakukan untuk mencapai matlamat ini.
.
..........Tindakan awal ialah seseorang itu perlu mengamalkan satu bentuk pemakanan yang seimbang dalam kehidupannya. Dalam keadaan kehidupan sebenar, orang ramai lebih suka mengambil makanan yang bersifat mudah seperti mengamalkan pengambilan makanan ringan ataupun makanan segera. Tidak kurang juga masyarakan kita hari ini yang lupa kesan pengambilan makanan berlemak ataupun makanan yang mempunyai kandungan garam, gula atau sodium glutamit yang tinggi. Hal ini boleh mendatangkan pelbagai penyakit kronik seperti sakit jantung, darah tinggi ataupun kencing manis yang juga menjadi punca kematian tertinggi di negara kita. Orang ramai juga mesti menjauhi amalan buruk seperti merokok atau meminum arak kerana kesannya amat membahayakan. Jelaslah, diet yang seimbang membolehkan kita semua mencapai kehidupan yang ceria kerana semua nutrien yang diperlukan oleh badan diperoleh menerusi pemakanan yang seimbang.
.
..........Selain itu, aktiviti senaman yang berkala mampu menjadikan kehidupan yang dijalani oleh seseorang itu lebih sihat dan menceriakan. Kita boleh menjalankan aktiviti seperti bersukan, berekreasi, berjalan atau berlari bersendirian atau bersama-sama keluarga ketika hujung minggu. Aktiviti senaman seperti ini diakui oleh pakar perubatan mampu menjadikan sistem peredaran darah manusia lebih baik serta menjadikan sistem imunisasi mereka tinggi. Mereka yang gemar bersukan biasanya memiliki badan yang sihat dan minda yang cerdas berbanding dengan orang yang jarang bersukan. Jelasnya, semakin kerap senaman dilakukan maka semakin tinggilah tahap kesihatan seseorang itu kerana minda yang cerdas datangnya daripada badan yang cergas.

.
..........Orang ramai juga perlu mengutamakan kebersihan diri pada setiap masa bagi memastikan mereka terhindar daripada sebarang penyakit. Keperluan asas seperti menggosok gigi, mandi, berpakaian bersih, waktu tidur dan rehat yang cukup juga perlu dijadikan amalan hidup seharian. Bagi mengelakkan jangkitan kuman atau penyakit, mereka juga perlulah mengamalkan budaya mendisiplinkan diri dengan asas-asas kebersihan seperti mencuci tangan dengan bersih sebelum makan, menutup makanan dengan baik agar tidak diharung lalat mahupun memilih gerai atau tempat makan yang bersih semasa menjamu selera. Sikap sambil lewa masyarakat dalam aspek berkenaan mungkin boleh membawa padah. Justeru, amalan sebegini harus diutamakan agar dapat membentuk gaya hidup yang sihat dalam kalangan masyarakat.
.

..........Pada masa yang sama selain mengutamakan kesihatan diri dan makanan, masyarakat juga perlu menjaga kebersihan persekitaran mereka. Persekitaran yang bersih perlu dijadikan amalan dan gaya hidup agar kita terhindar daripada sebarang penyakit. Umpamanya, orang ramai digalakkan mengadakan gotong-royong untuk membersihkan kawasan taman perumahan dengan membersihkan sampah-sarap atau memastikan kawasan persekitaran mereka sentiasa bersih. Amalan seperti ini dapat mengelakkan pembiakan agen-agen pembawa penyakit seperti nyamuk, lipas, lalat dan sebagainya. Tempat-tempat pembiakan nyamuk di dalam atau di luar rumah seperti pelapik pasu bunga ataupun tempat takungan air mestilah kerap dibersihkan ataupun ditukar. Dengan cara demikian, orang ramai akan dapat menjauhkan diri mereka daripada pelbagai penyakit serta membentuk kehidupan yang sihat.
.
..........Gaya hidup yang sihat juga melibatkan aspek psikologi dan sosial seseorang itu. Mereka yang lebih terbuka dan bersedia untuk berkongsi masalah dengan orang lain didapati lebih bermakna kehidupannya berbanding dengan individu yang suka bersendirian atau menyimpan masalah mereka. Sikap berkawan dan menghabiskan masa bersama-sama mereka menjadikan keperluan psikologi manusia dipenuhi dengan efektif. Masyarakat digalakkan menjalin hubungan komunikasi yang mesra bersama-sama rakan atau jiran tetangga. Hubungan baik yang berkekalan biasanya dapat melahirkan satu bentuk kehidupan yang ceria dan menggembirakan. Sesungguhnya, aspek psikologi dan sosial manusia perlu dipenuhi bagi memperoleh gaya hidup yang sihat ini.
.
..........Pada masa yang sama sikap atau mentaliti positif penting untuk dimiliki oleh seseorang itu bagi menangani tekanan kehidupan dalam era moden ini. Pemikiran yang positif menjadikan seseorang itu mampu menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda kehidupannya dengan baik tanpa tertekan. Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran terutama tekanan di pejabat memerlukan satu persepsi positif daripada ahli masyarakat kita. Kepada mereka yang menghadapi tekanan hidup, mereka mungkin boleh mendapatkan bantuan daripada pakar motivasi ataupun rakan-taulan di sekeliling mereka. Hal ini perlu kerana tekanan yang dialami boleh menjuruskan seseorang pada perlakuan negatif seperti mendera, menagih dadah atau melakukan sesuatu perkara di luar jangkaan. Jadi, semakin positif minda seseorang itu maka semakin tinggilah gaya hidup sihat yang mampu dicapainya kelak.
.
..........Kesimpulannya, gaya hidup yang sihat ini boleh diperoleh menerusi semua amalan yang dipaparkan tadi. Gaya hidup sihat hanya boleh dicapai sekiranya masyarakat mengamalkan semua aspek kehidupan berlandaskan ciri-ciri manusia sihat. Cuma sikap masyarakat yang masih memandang rendah kepentingan gaya hidup sebeginilah yang menyebabkan pelbagai masalah kesihatan timbul kelak. Kita semua perlulah memahami bahawa mencegah lebih baik daripada mengubatinya.

Masalah pengangkutan awam di negara kita


..........Dalam sistem perhubungan, pengangkutan awam menjadi pilihan orang ramai untuk bergerak dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain. Sistem pengangkutan ini turut menjadi pilihan golongan marhaen khususnya bagi mereka daripada golongan masyarakat pertengahan dan yang kurang berkemampuan. Rangkaian pengangkutan awam di negara kita adalah seperti pengangkutan bas awam, teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT), monorel dan sebagainya. Memang sudah banyak usaha yang dilakukan untuk menyatukan semua perkhidmatan ini tetapi kejayaannya masih jauh lagi. Oleh itu, pelbagai kemelut yang melanda sistem pengangkutan awam negara kita harus difahami untuk menangani masalah yang sudah berlanjutan sekian lama.
.

..........Sudah pasti dilema utama yang dihadapi oleh masyarakat terhadap sistem pengangkutan awam kita ialah kos atau tambangnya yang agak mahal. Kadar tambang terutamanya bagi penumpang teksi dan LRT adalah dianggap mahal terutamanya bagi mereka yang berpendapatan rendah serta menghalang mereka daripada menggunakan sistem pengangkutan itu dengan lebih kerap. Kadaan ini menyebabkan jumlah pengguna pengangkutan awam terutama LRT agak kurang dan tidak menyeluruh. Kebanyakan daripada mereka hanya menggunakan pengangkutan awam hanya apabila terdesak atau hanya untuk ke pejabat sahaja. Jadi, kemelut utama ini harus diselesaikan oleh kerajaan jika mereka mahu melihat rakyat negara ini berduyun-duyun menggunakan pengangkutan awam tersebut.
.

...........Selain itu, kemelut pengangkutan awam ini turut dikaitkan dengan amalan pengurusannya yang tidak cekap. Masyarakat menganggap sistem pengangkutan awam terutamanya bas awam tidak boleh diharap dari segi ketepatan waktu operasinya. Kelewatan bas kerap berlaku dan tidak mengikut jadual perjalanan yang ditetapkan. Hal ini menyebabkan masyarakat sukar untuk merancang dan menjangka tempoh perjalanan yang bakal mereka hadapi. Masalah kelewatan sampai ke tempat kerja menjadi isu utama akibat kegagalan pihak pengurusan mengatasi masalah tersebut. Masalah penjagaan bas awam, LRT dan teksi turut dikatakan termasuk dalam kategori yang mengecewakan kerana penyelenggaraannya yang tidak menyeluruh. Oleh itu, masyarakat bukan sahaja kecewa melihat kegagalan pengangkutan awam mematuhi jadual perjalanan malah pada masa yang sama kegagalan untuk menjaga kualiti perkhidmatan pengangkutan awam turut dirasai.
.

..........Kita juga sering terdengar rungutan orang awam yang mengatakan bahawa tumpuan perkhidmatan awam di negara kita tidak menyeluruh. Kemudahan stesen LRT umpamanya hanya terletak di kawasan tertentu yang kadang-kala menyukarkan orang ramai tiba ke pejabat. Hal ini bertambah rumit kerana masalah kekurangan pengangkutan tambahan atau “fider bus” di kawasan itu. Kalau anda sering menggunakan pengangkutan awam sudah pasti anda akan menghadapi masalah untuk menukar sistem pengangkutan, contohnya di antara stesen monorel dengan stesen LRT atau di antara stesen bas dengan tesen monorel. Hal ini menyebabkan penjalanan penumpang terganggu kerana terpaksa beratur untuk membeli tiket sebelum menaiki pengangkutan awam yang lain pula. Dalam era globalisasi yang mengutamakan kepantasan, sudah pasti keadaan ini dianggap merumitkan kehidupan masyarakat. Maka, satu sistem tiket yang bersepadu harus diadakan oleh kerajaan sebelum kemelut ini menjadi semakin rumit untuk diselesaikan.
..

..........Malah, pengangkutan awam turut turut terjejas akibat tindakan segelintir pekerja mereka seperti pemandu teksi dan pemandu bas yang tidak sopan ketika memandu. Sering kali masyarakat mengadu kerakusan pemandu pengangkutan awam di jalan raya yang dibuktikan oleh meningkatkan kemalangan yang melibatkan pengangkutan awam ini. Sikap tidak prihatin mereka ini telah memberi satu imej negatif kepada semua pekerja yang bekerja dalam sistem pengangkutan awam negara kerana seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit. Ada di antara mereka yang masih mengamalkan sikap ingin menjadi sang juara di jalan raya. Hal ini bukan sahaja membahayakan penumpang kenderaan tersebut malah pada masa yang sama turut membahayakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain. Justeru, semua pekerja pengangkutan awam harus diberi satu kursus untuk memastikan mereka lebih mesra pelanggan dan bukannya dibenci oleh pelanggan serta masyarakat awam yang lain.
.

..........Banyak juga aduan yang sering kita baca di dada-dada akhbar mengenai rungutan orang awam tentang kekurangan tempat letak kereta di stesen LRT dan komuter. Hal ini berlaku kerana kurangnya perancangan yang teliti sebelum projek tersebut dilaksanakan. Kelemahan ini bukan sahaja menyukarkan orang ramai meletakkan kenderaan mereka malah menghalang orang ramai untuk menaiki kemudahan awam tersebut. Di beberapa buah stesen komuter dan LRT di ibu kota Kuala Lumpur umpamanya, kekurangan tempat untuk meletakkan kenderaan menyebabkan orang ramai meletakkan kenderaan mereka sesuka hati atau di tepi-tepi jalan. Hal ini bukan sahaja menyebabkan berlakunya kesesakan malah kadang-kala boleh menyebabkan berlakunya kemalangan. Lebih malang pula, ada sebahagian kenderaan tersebut turut di saman oleh pihak polis biarpun masalah ini timbul akibat kelemahan pengurusan terbabit. Jelasnya, rungutan pengguna pengangkutan awam tersebut perlu ditangani dengan baik agar pengangkutan awam di negara kita tidak menjadi “indah khabar dari rupa”.
.

..........Kesimpulannya, masalah pengangkutan awam di negara kita amat perlu diambil berat oleh pihak yang terbabit. Sekiranya perkara tersebut masih terus didiamkan tanpa sebarang tindakan, kita bimbang hasrat kerajaan untuk menjadikan pengangkutan awam sebagai salah satu pengangkutan utama di negara kita akan terkubur. Kesungguhan pihak kerajaan untuk mengambil langkah awal dalam menangani masalah ini amat ditagih dan pihak berwajib tidak harus bertindak hanya apabila isu itu menjadi tatapan masyarakat dalam media massa negara. Mungkin sudah sampai masanya kerajaan bertindak tegas dalam kemelut ini dan bukan bersikap “sudah terhantuk baru terngadah”.


Langkah menggalakkan orang ramai menaiki pengangkutan awam.


..........“Zaman beralih, musim bertukar”, selepas tamat penjajahan asing selama 446 tahun yang telah lama menghantui rakyat, Malaysia telah menjejakkan kaki ke satu ambang yang rancak sekali. Untuk menyesuaikan diri di mata dunia dan memenuhi kehendak rakyat, Malaysia telah mengalami pelbagai anjakan paradigma. Kerajaan telah berusaha menyediakan prasarana yang mencukupi untuk memastikan sistem pengangkutan awam berjalan lancar. Rangkaian pengangkutan awam di negara kita boleh dikategorikan sebagai pengangkutan bas, teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT), Kereta api, komuter dan monorel. Jikalau bukan kita sebagai warganegara Malaysia yang menyokong pengangkutan awam, siapakah lagi yang mesti menyokongnya? Lantaran itu, langkah-langkah yang proaktif dan drastik hendaklah diimplementasi untuk menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam.
.
..........Menurut satu kajian yang dibuat dalam kalangan rakyat, banyak pihak mengatakan bahawa kepelbagaian sistem tiket untuk menggunakan rangkaian perkhidmatan awam yang berlainan telah mengurangkan minat mereka untuk bergerak dari tempat asal ke destinasi lain dengan penukaran rangkaian perkhidmatan awam. Oleh itu, kerajaan haruslah melaksanakan sistem tiket bersepadu dengan harga yang mampu dibeli oleh orang ramai khususnya mereka yang berpendapatan rendah supaya dapat menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam. Kerajaan haruslah menubuhkan sebuah Lembaga Pengangkutan Awam (PTA) untuk menguruskan pengangkutan awam di negara kita. Pertubuhan tersebut dapat mempercepat proses perlaksanaan sistem tiket bersepadu yang masih dalam peringkat kajian. Selain itu, kerajaan juga harus mengambil contoh pelaksanaannya di negara barat seperti di Melbourne, Australia. Di Melborune penumpang hanya perlu membeli satu tiket pada kos yang rendah untuk menaiki kereta api atau menaiki bas. Hal ini bertepatan dengan peribahasa “serampang dua mata”. Pendekataan ini bukan sahaja dapat menjimatkan wang golongan yang kurang berupaya tetapi juga dapat memudahkan rakyat untuk mengatur pejalanan laluan harian mereka. Jadi jikalau sistem tiket bersepadu ini dapat direalisasikan, jumlah penumpang pastilah dapat mencapai sasaran yang telah diramalkan oleh pengendali pengangkutan awam.
.
..........Langkah seterusnya yang dapat menarik perhatian rakyat untuk menaiki pengangkutan awam ialah meningkatkan kuantiti dan kualiti pengangkutan awam. Bilangan kereta api atau bas awam haruslah dipertingkatkan jumlahnya bagi memenuhi kehendak rakyat serta mengatasi masalah kekurangan pengangkutan awam di sesetengah kawasan yang menjadi rungutan orang ramai. Selain itu, KTM (Kereta Api Tanah Melayu) haruslah mencontohi perkhidmatan kereta api di negara Jepun yang telah menggunakan kuasa elektrik seprti shinkansen (bullet train) sehingga mencapai kelajuan melebihi 200 kilometer sejam. Dengan menggunakan lokomotif berkuasa elektrik, kekerapan KTM di negara kita pasti dapat ditingkatkan. Kekerapan pengangkutan awam adalah salah satu unsur untuk menarik perhatian penumpang terutamanya mereka yang memandu kereta atau menunggang motosikal. Dengan kekerapan perjalanan pengangkutan awam yang tinggi, penumpang tidak akan membazirkan masa untuk menunggu ketibaan pengangkutan awam tersebut. Hal ini dapat mengurangkan masa perjalanan orang ramai secara keseluruhannya. Dalam era globalisasi yang mengutamakan kepantasan, kelemahan perkhidmatan dan kelewatan jadual perjalanan pengangkutan awam akan merumitkan kehidupan masyarakat dan menyebabkan mereka kurang berkeyakinan terhadap pengakutan awam di negara kita. Lantaran itu, cara ini haruslah dilaksanakan untuk mendapatkan semula keyakinan rakyat terhadap sistem perkhidmatan pengangkutan awam.
.
..........Pada masa yang sama, langkah kerajaan menggalakkan pemasangan televisyen di dalam bas ekspres mendapat banyak komen yang baik daripada orang ramai. Hal ini kerana langkah ini dapat menghiburkan rakyat dalam perjalanan mereka. Para penumpang berpeluang untuk menonton pelbagai siaran televisyen ketika berada dalam perjalanan mereka dan menjadikan perjalanan lebih menarik. Perkara ini haruslah diperluaskan dalam pengangkutan awam yang lain seperti Komuter dan LRT untuk menarik lebih banyak penumpang menaiki pengangkutan awam. Selain menghiburkan para penumpang ketika dalam perjalanan, siaran televisyen juga mampu menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat dengan menyiarkan rancangan cinta akan negara, rancangan yang mengimbas kembali detik-detik bersejarah di negara kita dan sebagainya. Kemudahan seperti alat pendingin udara juga perlu dipertingkatkan bagi menjadikan penumpang berasa lebih selesa apabila menaiki pengangkutan tersebut. Kemudahan-kemudahan sampingan seperti ini pasti akan dapat meningkatkan bilangan penumpang pengangkutan awam kerana orang ramai boleh mendapatkan perkhidmatan yang berkualiti dengan banyaran yang minimum. Manisfestasinya, langkah memasang televisyen memang dapat menarik perhatian para penumpang untuk menaiki pengangkutan awam.
.
..........Bagi mengatasi masalah pekerja pengangkutan awam yang kurang berdisiplin, sistem perakam perlu dipasang di semua kenderaan awam di negara kita. Pemasangan alat perakam ini dapat merakamkan bukan sahaja perkara yang berlaku di sepanjang perjalanan malah dapat merakamkan kelajuan pengangkutan awam tersebut. Hal ini akan dapat mengurangkan masalah kenderaan awam seperti bas yang dipandu terlalu laju sehingga melebihi had yang dibenarkan. Pada masa yang sama, pemasangan alat ini dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya khususnya bas yang sering diperkatakan oleh orang ramai. Kerajaan juga perlu lebih kerap mengadakan pemeriksaan bagi memastikan pemandu pengangkutan benar-benar mereka yang berkelayakan atau bebas daripada sebarang penyalahgunaan dadah. Tindakan kerajaan menyenaraihitamkan pemandu yang kurang berdisiplin akan dapat mengatasi masalah pekerja pengangkutan awam yang tidak bersopan sekali gus melenyapkan pekerja yang tidak berkualiti. Pemeriksaan oleh pihak berwajib seperti Jabatan Pengangkutan Jalan atau pihak polis juga perlu menyeluruh bukan sahaja kepada kakitangan pengangkutan awam tetapi perlu juga melihat pada keadaan dan keselamatan pengangkutan awam yang digunakan bagi memastikan keselamatan pengguna pengangkutan tersebut terjamin. Dengan cara itu, keyakinan orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam di negara kita akan meningkat.
.
..........Pihak pengurusan atau pengendali pengangkutan awam juga perlulah lebih peka untuk menyediakan kemudahan hiliran bagi mereka yang menggunakan perkhidmatan ini. Di kawasan stesen komuter atau LRT umpamanya, tempat meletakkan kenderaan perlu ditambah bagi mengelakkan orang ramai meletak kenderaan mereka di tepi-tepi jalan atau di tempat lain yang tidak sesuai. Hal ini sentiasa menjadi rungutan orang ramai kerana bukan sahaja boleh mengakibatkan kesesakan malah pada masa yang sama turut menjadi punca berlakunya kemalangan jalan raya. Begitu juga halnya dengan pengangkutan tambahan atau “bas fider” yang dikatakan menjadi masalah kepada pengguna komuter dan LRT. Kekurangan pengangkutan bas tambahan ini telah menyukarkan pengguna pengangkutan tersebut jika kawasan stesen tersebut jauh dari pejabat. Justeru adalah penting sekiranya bas-bas tambahan ditambah bilangannya bagi memudahkan dan mempercepat perjalanan seseorang dari rumah ke destinasi yang dituju. Jarak atau lokasi pengangkutan awam seperti komuter dan LRT juga perlu ditambah dari semasa ke semasa agar lingkungan pengguna yang dapat menaiki kemudahan awam tersebut turut meningkat. Biarpun langkah ini memerlukan biaya yang agak tinggi namun kesannya pada sistem perhubungan di negara kita adalah amat besar. Oleh itu langkah-langkah menyediakan kemudahan tambahan bagi meningkatkan kualiti pengangkutan awam tersebut perlu dilaksanakan agar pengangkutan awam di negara kita tidak dianggap “indah khabar dari rupa”.
.
..........Seperti kata peribahasa Melayu yang berbunyi “melentur buluh biarlah dari rebungnya”, pendidikan sejak kecil juga merupakan salah satu langkah untuk menggalakkan rakyat tempatan menaiki pengangkutan awam. Pihak sekolah dicadangkan supaya memberi penerangan tentang kebaikan-kebaikan menggunakan perkhidmatan awam dan keselamatan menggunakan pengangkutan awam supaya dapat menanam konsep yang mendalam kepada fikiran pelajar agar menaiki perkhidmatan awam. Usaha ini bukan sahaja perlu ditumpukan kepada para pelajar, tetapi harus juga diperluas kepada mereka yang dewasa untuk mengubah imej dalam hati mereka apabila menaiki pengangkutan awam. Melalui pendidikan, kita dapat melahirkan golongan yang bergantung pada perkhidmatan awam seperti kereta api dan bas sebagai pengangkutan utama mereka.Hal ini dapat meningkatkan bilangan penumpang untuk menaiki pengangkutan awam. Walaupun mereka memiliki kendera sendiri, tetapi mereka tetap akan menggunakan perkhidmatan awam sebagai pengangkutan utama mereka jika konsep kebaikan menggunakan pengangkutan awam tertanam dalam jiwa mereka.
.
..........Kesimpulannya, pengangkutan awam banyak membawa kemaslahatan kepada masyarakat di negara kita seperti dapat mengurangkan kesesakan dan kemalangan, mengurangkan pencemaran udara, menjimatkankan masa malah mengurangkan kos kehidupan kita sehari-hari. Oleh itu, sebagai pengguna jalan raya yang bijak, kita perlulah menyahut seruan kerajaan agar menggunakan pengangkutan awam sebagai kaedah untuk bergerak dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain. Kita juga berharap agar dengan langkah-langkah yang telah dan sedang dilaksanakan ini maka pengangkutan awam di negara kita akan menjadi lebih maju setanding dengan pengangkutan awam di negara-negara lain seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Australia.

Semangat kejiranan


Karangan : Gambar Bersiri
Lihat gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda berdasarkan gambar tersebut. Panjang huraian anda antara 200 hingga 250 patah perkataan.
.....................................................Semangat Kejiranan
Sumber grafik : Buku Aktiviti Pendidikan Moral 5,
oleh Mohd. Ali Abd. Hamid, Berita Publishing Sdn. Bhd. 1986.

Contoh Jawapan

............Jiran ialah sekelompok masyarakat setempat yang tinggal berhampiran antara satu dengan lain. Jiran diibaratkan sebagai saudara kandung tempat kita mengadu tatkala berada dalam kesusahan atau hendak mengadakan majlis keramaian. Jiran yang baik ibarat cubit peha kiri peha kanan pun terasa amat sukar ditemui.

.............Semangat kejiranan wajar dipupuk kerana melaluinya kita dapat mewujudkan masyarakat yang bersatu padu. Hal ini dapat dilaksanakan melalui budaya ziarah-menziarahi semasa perayaan besar seperti Sambutan Hari Raya, Tahun Baru Cina atau Deepavali. Selain itu kita juga boleh berkunjung ke rumah jiran ketika mereka mendapat musibah atau sakit. Kunjungan kita ke rumah jiran mungkin dapat melegakan penderitaan yang mereka alami dan secara tidak langsung mengeratkan hubungan silaturahim.

.............Semangat kejiranan juga berupaya mewujudkan masyarakat yang prihatin. Hal ini boleh terjadi seandainya jiran tetangga saling mengambil berat di antara satu dengan lain. Hubungan yang terjalin akan memudahkan kita untuk meminta bantuan ketika dalam kesusahan. Selain itu, kita juga boleh mengharapkan jiran memerhatikan rumah kita semasa kita pulang ke kampung atau pergi melancong. Pada masa yang lain mungkin kita pula akan dipinta oleh mereka untuk berbuat perkara yang serupa.

.............Semangat kejiranan yang dipupuk juga memudahkan tugas yang besar dilaksanakan secara bergotong-royong. Apabila hubungan sesama jiran sudah menjadi akrab sesuatu tugas yang berat dan besar seperti membersihkan kawasan kampung atau perumahan dapat dilaksanakan secara bersama-sama tanpa sebarang masalah. Justeru, tugas yang berat menjadi mudah laksana hati kuman sama dicecah hati gajah sama dilapah. Lantas suasana yang harmoni dapat dibentuk dalam masyarakat.

.............Kesimpulannya, semangat kejiranan wajar dipupuk dalam masyarakat kita agar masyarakat dapat hidup dalam keadaan harmoni. Sekiranya hal ini dapat dilakukan maka akan tercapailah cita-cita negara untuk membentuk masyarakat yang bersatu padu dan penyayang. ...............

Faktor menggalakkan pelancongan di Malaysia

Soalan: Perhatikan gambar rajah di atas. Beri pendapat anda tentang gambar rajah tersebut. Panjang karangan anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

Jawapan:

............Kini, sektor pelancongan memainkan peranan penting dari sudut ekonomi negara kita. Pada tiap-tiap tahun, dianggarkan jumlah pelancong yang berkunjung ke negara kita adalah melebihi 6 juta orang. Kebanyakan pelancong adalah terdiri daripada pelancong asing seperti pelancong Singapura, Amerika Syarikat, Jepun dan sebagainya selain daripada pelancong tempatan. Terdapat pelbagai faktor yang telah menggalakkan kedatangan mereka ke negara kita.
............Antara faktor utama pelancong berkunjung ke Malaysia adalah disebabkan negara kita mempunyai pelbagai tempat menarik. Malaysia banyak memiliki kawasan rekreasi yang sesuai untuk dikunjungi oleh para pelancong. Antaranya ialah kawasan pantai yang bersih, cantik dan berpasir putih seperti yang terdapat di pantai Desaru, pantai Cahaya Bulan dan sebagainya. Hal ini menggalakkan pelancong bertumpu di kawasan tersebut untuk mandi-manda sambil menikmati keindahan alam.
............ Selain itu, Malaysia juga mempunyai banyak tempat menarik untuk di kunjungi oleh pelancong. Para pelancong dapat menikmati bangunan-bangunan tinggi mencakar langit atau bangunan bersejarah yang sentiasa terpelihara. Di ibu kota Kuala Lumpur umpamanya terdapat bangunan canggih iaitu bangunan KLCC yang sentiasa menjadi daya tarikan pelancong. Hal ini telah menyebabkan jumlah pelancong ke negara kita sentiasa bertambah.
............Pada masa yang sama, kedatangan pelancong ke negara kita adalah disebabkan oleh kepelbagaian jenis budaya yang terdapat di Malaysia. Memandangkan Malaysia mempunyai masyarakat majmuk, pelbagai jenis makanan terdapat di sini. Pelancong dapat menikmati makanan kaum Melayu seperti sate, ketupat dan rendang mahupun makanan kaum India seperti tosei dan maruku. Mereka juga boleh menikmati tarian pelbagai kaum seperti tarian zapin dan tarian inang bagi kaum Melayu dan tarian singa dari kaum Cina. Keunikan budaya ini telah menggalakkan kunjungan pelancong ke negara kita.
............Di samping itu, kemudahan pengangkutan awam turut menggalakkan kemajuan dalam sektor pelancongan negara. Kerajaan telah membina jalan raya untuk menghubungkan kawasan pelancongan agar dapat dikunjungi dengan mudah. Kerajaan juga meningkatkan kekerapan penerbangan ke negara-negara lain untuk menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke Malaysia. Hal ini terbukti berkesan apabila jumlah pelancong yang berkunjung ke Malaysia sentiasa bertambah dari setahun ke setahun.
............Faktor terakhir yang menggalakkan pelancong berkunjung ke Malaysia ialah terdapatnya kemudahan membeli-belah yang disediakan untuk para pelancong. Dengan wujudnya kemudahan ini, mereka dapat berbelanja atau mendapatkan cenderamata untuk dibawa pulang ke negara mereka. Barang-barang yang terdapat di situ juga dijual dengan harga yang berpatutan. Hal ini menggalakkan pelancong untuk terus berkunjung ke negara kita.
............Intihanya, sektor pelancongan di Malaysia semakin meningkat maju kerana disebabkan oleh pelbagai faktor. Justeru, rakyat jelata perlulah sentiasa menunjukkan sikap mesra pelancong dan bersopan-santun bagi menggalakkan kehadiran mereka ke negara kita.


Modal Insan Berkualiti


FOKUS KARANGAN: PERANAN INDIVIDU/REMAJA
FORMAT KARANGAN: TIADA/UMUM
                   Golongan remaja, tidak dapat dinafikan, merupakan modal insan ataupun aset berharga kepada nusa dan bangsa. Demi pembangunan negara, negara berhasrat untuk melahirkan modal insan yang berkualiti, yakni berpendidikan, berwawasan, berdedikasi, berkaliber dan berdisiplin. Oleh hal yang demikian, dalam RMK-9, sebanyak 20.6 peratus diperuntukkan untuk meningkatkan kualiti modal insan dengan meningkatkan keupayaan dan penguasaan ilmu. Dalam konteks ini, sasaran modal insan ialah remaja atau tenaga muda kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Golongan mudalah yang dapat menyumbangkan idea dan tenaga demi pembangunan negara dalam segala bidang, khususnya dari aspek iktisad. Jadi, bagaimanakah remaja dapat memainkan peranan dalam usaha merealisasikan visi kudsi kerajaan, yakni melahirkan modal insan yang berkualiti.
                   
                    Sebagai bakal modal insan yang berkualiti, seseorang remaja hendaklah berbekalkan pendidikan formal yang sempurna. Maksud saya, setiap remaja haruslah memerah otak sehingga mencapai ijazah kelas pertama, sarjana muda, dan jika diizinkan Allah sehingga falsafah kedoktoran. Kita boleh mencapai kemuncak dalam bidang pendidikan dengan berbekalkan semangat yang kental dan usaha yang gigih. Demi mencapai kejayaan yang cemerlang, ruyung perlulah dipecahkan untuk menikmati sagunya. Malangnya, remaja dewasa ini bersemangat rapuh dan mudah putus asa apabila menempuh onak dan duri; genggam-genggam bara, terasa hangat dilepaskan. Senario ini amat ketara dalam kalangan pemuda pemudi kita kerana rata-rata melepaskan batuk di tangga. Apabila memperoleh diploma, mereka sudah puas dan berhijrah ke bandar-bandar besar untuk mencari pekerjaan. Yang bernasib baik dapat bekerja sebagai jururawat di hospital swasta yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Yang bernasib malang pula bergelandangan di perut kota dengan segulung diploma dari sebuah pejabat ke sebuah pejabat. Kata orang tua-tua, asal sabut terapung, asal besi tenggelam. Tuntasnya, demi menjadi modal insan yang berguna kepada tanah air, remaja perlulah bertungkus lumus untuk memperoleh pendidikan yang setinggi mungkin. Bukankah genggam bara api biar sampai jadi arang?
                  
                  Selain melengkapkan diri dengan pendidikan, remaja hendaklah mengamalkan gaya hidup sihat. Saya katakan demikian oleh sebab kesihatan menjamin kecergasan dan kecerdasan seseorang individu sejajar dengan kata hikmat badan cergas, otak cerdas. Dunia ini dunia stres tidak dapat dinafikan kerana siapa cepat, dia dapat. Demi mengejar pangkat dan pendapatan yang tinggi, kesihatan diabaikan. Oleh sebab terlalu ghairah akan kertas hijau dan merah, mereka kesuntukan waktu untuk bersenam, beriadah, dan bersantai. Apabila sudah terlantar di hospital seperti kura-kura terlentang kerana hipertensi, segala-galanya sudah terlambat; kuman menjadi barah; belukar menjadi rimba. Menurut berita di Utusan Melayu baru-baru ini, seorang mekanik motor berkuas tinggi (superbike) yang berusia 38 tahun dikejarkan ke hospital bahana serangan sakit jantung. Sesampainya di Hospital Daerah Seberang Jaya, dia pun disahkan sudah berpindah ke balik papan. Persoalannya, bolehkah generasi muda yang berpenyakit dapat menyumbangkan tenaga ke arah pembangunan negara? Jadi sebagai generasi muda yang berpendidikan, kita haruslah mengambil inisiatif untuk melakukan senaman secara konsisten, seperti bersenam di gim ataupun beriadah di taman rekreasi. Selain itu, kita perlu menjaga pemakanan setiap masa; kita perlu makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan. Seperkara lagi, rokok, najis dadah dan arak sewajarnya dihindari kerana mengundang pelbagai komplikasi. Tegasnya, gaya hidup sihat hendaklah menjadi agenda perdana dalam kamus hidup kita jika hendak menjadi modal insan yang berkualiti.
                 
                 Di samping gaya hidup sihat, remaja hendaklah mempunyai jati diri yang unggul demi menjadi modal insan yang dapat menyumbang kepada nusa dan bangsa. Antara keperibadian unggul termasuklah tingkah laku yang sopan dan mempunyai darjah kesusilaan yang tinggi berpaksikan prinsip kelima Rukun Negara, yakni kesopanan dan kesusilaan. Hal ini dapat memandu dan memimpin generasi muda agar tidak terbabas dari landasan yang benar lalu terjerumus ke dalam lembah laknatullah, seperti berjinak-jinak dengan najis dadah, yang menghancurkan wawasan negara, iaitu Wawasan 2020. Menurut pakar motivasi yang tersohor dan disegani masyarakat Melayu, Datuk Haji Dr. Fadzilah Kamsah, banyak anak muda yang terperosok ke dalam kancah maksiat, seperti sumur di tepi jalan, siapa haus boleh minum (perempuan sundal), ekoran terhakisnya nilai-nilai moral. Sehubungan ini, remaja haruslah menyemaikan nilai-nilai kemanusiaan dan kerohaniaan, seperti amanah, tulus ikhlas, toleransi dan bertimbang rasa, dalam lubuk kalbu mereka agar menjadi modal insan yang bersahsiah mulia serta menjaga imej tanah air yang tercinta ini. Apa gunanya anak gadis yang cantik tetapi tidak bersopan santun laksana bunga dedap, sungguh merah berbau tidak. Anak gadis yang tidak bermoral bukan sahaja dianggap sebagai cacing di pelimbah malahan dilabelkan sebagai sampah masyarakat. Jadi, anak-anak muda kita haruslah mematuhi adat dan peraturan di mana-mana sahaja mereka berada; di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Pendek kata, modal insan yang berkeperibadian mulia bukan sekadar dapat menyumbang ke arah pembangunan negara malahan dapat mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.
                 Tidak ketinggalan juga, generasi muda haruslah menghayati ajaran al-Quran. Hal ini dikatakan demikian kerana remaja yang mematuhi ajaran al-Quran, bangsa Malaysia yang budiman dan disegani dapat dilahirkan. Dalam konteks ini, remaja dapat membezakan yang mana intan, yang mana kaca. Remaja yang beriman dan berpaksikan akidah tidak akan menjadi hamba kepada hawa nafsu. Mereka mengetahui siapa yahudi, siapa nasrani, dan siapa majusi. Dengan berbekalkan usuluddin ataupun ilmu tauhid, yakni ilmu yang membicarakan akidah agama Islam yang berhubung dengan ketuhanan, kenabian, dan perkara-perkara yang ghaib seperti qadak dan qadar, hari akhirat, syurga, dan neraka, mereka akan menjauhi angkara dan maksiat. Anak gadis yang soleh, misalnya, akan menjaga gerak-geri apabila berinteraksi dengan kaum lelaki. Tutur kata dan tingkah laku akan dijaga agar tidak mencemari imej keluarga. Kata orang, biar buruk kain dipakai, asal pandai mengambil hati. Ajaran agama Islam juga mencelikkan mata remaja bahawa dari telaga yang jernih, tak akan mengalir air yang keruh dan dari telaga yang keruh, tak akan mengalir air yang jernih. Dengan adanya kesedaran ini, tumbuk rusuk ataupun rasuah yang dapat menghancurkan negara dapat dihindarkan. Tuntasnya, nilai-nilai keagamaan hendaklah disemaikan dan disuburkan dalam lubuk sanubari setiap remaja untuk menjadi modal insan yang berkualiti.
               Akhirulkalam, modal insan yang menjadi harapan negara ialah generasi muda yang berpendidikan formal, berjati diri mulia, sihat wal afiat dan beriman. Demi mendukung cita-cita dan hasrat negara ini, remaja hendaklah melakukan aktiviti-aktiviti yang dapat membentuk jati diri yang unggul, bukannya membilang buah kerayung seperti melepak di kompeks beli-belah, berlumba haram dan berjudi. Sebagai warganegara yang berjiwa patriotik, remaja haruslah mengetepikan aliran politik yang sempit yang berorientasikan komunalisme (fahaman perkauman) demi kepentingan nusa dan bangsa. Seperkara lagi, nilai-nilai negatif hendaklah dikikis sama sekali kerana memang susah untuk mengikis tabiat buruk. Bukahkah ayam pulang ke lombong, itik pulang ke pelimbahan? Remaja juga sewajarnya berfikir dengan semasak-masaknya sebelum bertindak dalam apa-apa juga aspek kehidupan kerana ingat sebelum kena, jimat sebelum habis. Tiada gunanya kita menyesali sesuatu tindakan yang sudah menimpa diri kerana sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna. Dengan kesedaran ini, remaja bukan sahaja akan menjadi modal insan kelas pertama bahkan dapat memperkasakan bangsa Malaysia sebagai bangsa yang maju yang dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain.
DIKARANG/DITULIS OLEH CIKGU KAY SEVEN


Kehidupan Bermasyarakat (Karangan Gred A+)

1.PERENGGAN INTRODUKSI JENIS GABUNGAN (Pendapat tokok dan Peribahasa)
[Ayat Rangsangan] Dato’ Dr. Fadzilah Kamsah pernah menekankan bahawa kehidupan bermasyarakat merupakan satu ciri signifikan dalam kamus hidup rakyat Malaysia. [Ayat Huraian 1] Malangnya, semangat kehidupan bermasyarakat dan nilai-nilai kemasyarakatan, terutamanya konsep jiran sepakat membawa berkat, dalam kalangan masyarakat kita semakin terhakis. [Ayat Huraian 1] Menurut beliau, mereka hidup berkonsepkan enau dalam belukar melepaskan pucuknya masing-masing. [Ayat Huraian 2] Saya memang menyetujui pandangan beliau kerana rakyat kita tidak merasakan diri mereka bertanggungjawab untuk mengetahui keadaan sekitar rumah mereka sama ada rumah jiran dimasuki pencuri, anak jiran menghidu gam, isteri jiran curang, anak jiran menjadi mangsa penderaan ataupun anak gadis jiran lari dari rumah. [Ayat Arahan] Jadi, langkah-langkah proaktif dan pragmatik haruslah diambil dalam usaha menghidupsuburkan semangat kehidupan bermasyarakat sebelum kudis menjadi tokak.

2. PERENGGAN ISI 2 (JENIS DEDUKTIF)
[Ayat Judul] Kehidupan bermasyarakat, tidak dapat disangkal, dapat diamalkan menerusi semangat kejiranan. [Pengembangan: Ayat Huraian 1] Antaranya termasuklah amalan bertegur sapa sesama jiran, meluangkan masa untuk bertandang ke rumah jiran, menghulurkan bantuan kepada jiran, aktiviti bergotong-royong seperti berderau, perkelahan keluarga, dan aktiviti riadah. [Pengembangan: Ayat Huraian 2]Semangat ini dapat menjalin persaudaraan, mewujudkan keharmonian, memupuk perpaduan, dan melahirkan masyarakat yang prihatin. [Pengembangan: Ayat Contoh 1]Apabila jiran tetangga ditimpa nasib malang, seperti mangsa kebakaran, kita bukan sahaja perlu menyumbangkan wang ringgit malah memberikan sokongan moral. Dengan ini, konsep berat mata memandang, berat lagi bahu memikul terpupuk dalam lubuk kalbu masyarakat. [Pengembangan: Ayat Contoh 2] Apabila tanah sawah diusahakan secara berderau, kerja yang berat dapat diringankan bak kata pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Lebih-lebih lagi, bertandang ke rumah jiran tetangga pada hari perayaan mahupun kenduri perkahwinan dapat menjalin tali persahabatan yang erat. [Ayat Penyimpul]Dengan erti kata lain, semangat kejiranan dalam pelbagai aspek kehidupan dapat mewujudkan kehidupan bermasyarakat.

3. PERENGGAN ISI 3 (JENIS DEDUKTIF)
[Ayat Judul]Sistem hidup bermasyarakat juga dapat dihidupsuburkan melalui majlis-majlis sosial dan perayaan. [Pengembangan: Ayat Huraian 1] Kegiatan-kegiatan sosial dapat memupuk konsep bulat air dek pembetung, bulat manusia dek muafakat dan ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni dalam kalangan penduduk setempat. [Pengembangan: Ayat Huraian 2] Antara aktiviti kemasyarakatan yang menekankan konsep hidup bermasyarakat termasuklah Hari Keluarga, Rumah Terbuka, dan sebagainya. [Pengembangan: Ayat Huraian 3] Dalam hal ini, masyarakat tidak seharusnya melibatkan ahli-ahli keluarga sahaja, sebaliknya haruslah meluaskan skopnya dengan membabitkan seluruh masyarakat setempat, sanak saudara, dan sahabat handai. [Pengembangan: Ayat Contoh Dalam menjayakan majlis-majlis tersebut, semua anggota masyarakat berganding bahu menyediakan juadah dan minuman, mendirikan tenda, dan menyusun atur kerusi meja untuk tetamu. [Pengembangan: Ayat Huraian 4] Dalam situasi inilah, rakyat dapat berinteraksi dan berkomunikasi sekali gus mempererat tali silaturahim antara satu sama lain tanpa mengira warna kulit, budaya, agama, adat, dan kepercayaan, di samping memeriahkan suasana majlis ataupun perayaan lagi. [Ayat Penyimpul] Pendek kata, aktiviti-aktiviti sosial perlu diperbanyak dan dipergiat demi memupuk budaya bermasyarakat dalam kalangan warga desa mahupun warga bandar.

3. PERENGGAN ISI 3 (JENIS DEDUKTIF)
[Ayat Judul]Selain itu, budaya hidup bermasyarakat dapat dipupuk melalui didikan agama dan moral. [Pengembangan: Ayat Huraian 1] Dalam masyarakat Melayu tradisional, umpamanya, fungsi dan tanggungjawab jiran dianggap penting dari segi agama. [Pengembangan: Ayat Huraian 2] Hal ini demikian kerana agama menegaskan keperluan yang dipikul bersama oleh semua anggota masyarakat bagi menunaikan sesuatu ibadat. [Pengembangan: Ayat Contoh] Ketika menyambut Hari Raya Aidiladha ataupun Hari Raya Korban, umat Islam menggembleng tenaga untuk menyembelih korban untuk disedekahkan kepada fakir miskin. [Pengembangan: Ayat Huraian 2] Dari perspektif yang lain pula, semangat kejiranan dapat diterapkan melalui didikan moral. [Pengembangan: Ayat Huraian 2] Dalam konteks ini, pihak sekolah memainkan peranan yang penting dalam memupuk dan menyemaikan semangat bekerjasama dan bertolak ansur dalam kalangan warga sekolah. [Pengembangan: Ayat Contoh] Melalui kempen gotong-royong, warga sekolah bukan sahaja akan membantu menceriakan pekarangan sekolah malah menjalin tali ukhuwah antara satu sama lain. [Ayat Penyimpul] Dengan ini, kehidupan bermasyarakat akan menjadi sebati atau menjadi darah daging masyarakat kita.

5. PERENGGAN INTIHA
[Ayat Kesimpulan] Sebagai intiha, kehidupan bermasyarakat dapat menjadi realiti sekiranya langkah-langkah yang dibincangkan dipraktikkan oleh segenap lapisan masyarakat. [Ayat Penilaian] Semangat ini dapat mendorong terjalinnya hubungan baik antara kaum dan mewujudkan integrasi kaum. [Ayat Penilaian]Perpaduan kaum akan membolehkan rakyat Malaysia hidup harmoni dan sejahtera, bak kata pepatah bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. [Ayat Cadangan]Jadi, semua pihak sewajarnya menjadikan kehidupan bermasyarakat sebagai agenda kehidupan demi menikmati kebahagiaan, kemakmuran, keamanan, dan kemajuan. [Ayat Harapan 2]Dengan ada kesedaran ini, bunga-bunga kesejahteraan, kegemilangan dan keharmonian akan mekar di empat pojok di tanah tumpah darah kita. [Ayat Harapan 2]Tidak ketinggalan juga, konsep 1Malaysia dan Wawasan 2020 akan menjadi kenyataan dan kita dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa maju yang lain di persada antarabangsa


Masalah Kemalangan Jalan Raya


Selamat dan salam sejahtera kepada Tuan Pengerusi Majlis, tuan-tuan dan puan-puan, serta para pelatih yang saya kasihi sekalian. Terlebih dahulu saya merakamkan ucapan ribuan terima kasih kerana diberi kesempatan untuk menyampaikan ceramah sempena Kempen Keselamatan Jalan Raya yang dijalankan pada pagi ini. Sekalung tahniah saya ucapkan kepada pengusaha Pusat Latihan Memandu Seri Mawar kerana mengambil inisiatif mengadakan kempen bagi memupuk kesedaran orang ramai terhadap aspek keselamatan di jalan raya. Pada pagi yang ceria ini, saya akan menggunakan kesempatan yang diberikan untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk “Punca dan Cara Mengatasi Kemalangan Jalan Raya”.

Tuan-tuan dan puan-puan,
Isu kecelakaan jalan raya tidak lekang di bibir, terutamanya pada musim perayaan. Kata orang, jika tiada angin, masakan pokok bergoyang. Walhasil, pihak kerajaan telah mengambil langkah-langkah proaktif dan konstruktif, seperti Ops Sikap dan Ops Raya 2011, untuk mencegah kemalangan jalan raya. Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dikerah dalam dua operasi berasingan bagi mengawal lalu lintas dan mengawasi keselamatan pengguna pengguna jalan raya sempena sambutan Aidilfitri baru-baru ini. Ironinya, kadar kemalangan jalan raya tetap meningkat. Dalam senario ini, siapakah yang harus dipersalahkan? Adakah kerajaan kita kurang prihatin terhadap keselamatan para pengguna jalan raya? Adakah nyawa kita begitu murah? Adakah rakyat kita menjadi hamba kepada hawa nafsu? Adakah rakyat kita tidak rasional ketika berada di jalan raya? Tepuk dada tanyalah selera! Realitinya, terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada berlakunya peningkatan kes kemalangan jalan raya di negara kita. Ada angin, ada pokoknya!
Kecuaian ataupun kealpaan pengguna jalan raya antara penentu perdana tidak dapat dinafikan. Baik disedari mahupun tidak, dari perspektif etika, kelalaian merupakan suatu kesalahan kerana mengundang pelbagai komplikasi, yakni kehilangan nyawa, kemusnahan harta benda, dan penderitaan. Ghalibnya, kecuaian memandu berlaku disebabkan oleh tiga faktor, iaitu tekanan jiwa, tidak menumpukan perhatian terhadap pemanduan, dan di bawah pengaruh arak ataupun dadah. Tekanan jiwa boleh menjejaskan tumpuan terhadap pemanduan kerana mindanya bercelaru manakala jiwanya pula berkecamuk gara-gara pelbagai masalah mengundang padah, bak kata pepatah geruh tidak berbunyi, malang tidak berbau! Misalnya, desakan kerjaya dan rumah tangga, sementelahan kesesakan lalu lintas menggangu gugat konsentrasi pemandu sehingga melanggar kereta di depan ataupun terbabas di selekoh tajam. Sementara itu, ada pemandu yang tidak prihatin membaca atau menghantar SMS seraya memandu, kononnya sambil menyelam minum air. Natijahnya, tumpuan terhadap pemanduan terjejas dan tanpa diduga, kemalangan boleh terjadi. Lebih teruk lagi apabila kes kemalangan berlaku bahana pemandu yang mabuk, terutamanya pada musim perayaan, hari libur, dan tengah malam. Tegasnya, punca kemalangan jalan raya tidak lain dan tidak bukan kealpaan para pengguna jalan raya, bukannya pihak kerajaan.

Para hadirin sekalian,
Sudah terang lagi bersuluh, baik jalan raya ataupun lebuh raya kita menjadi sungai maut berpokok pangkal daripada kegagalan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas. Mereka, terutamanya generasi muda, beraja di mata, bersultan di hati. Ada yang terlalu mengikut perasaan tanpa mengendahkan musibah kemalangan, kata orang turutkan rasa binasa, turutkan hati mati, turutkan mata leta. Peraturan yang ditetapkan, misalnya kelajuan maksimum 110 kilometer sejam, seolah-olah hanya wujud di atas kertas dan peringatan daripada PDRM ataupun JPJ bagaikan masuk ke telinga kanan, keluar dari telinga kiri. Pemandu bas ekspres ataupun treler, tamsilnya, bermaharajela di lebuh raya dengan memperlarikan kenderaan serta memotong kenderaan sewenang-wenang seolah-olah dirasuk syaitan. Remaja pula berlumba haram di jalan raya seolah-oleh jalan raya kepunyaan orang tua mereka. Demi pengetahuan kalian, gejala mat rempit yang kian leluasa dalam kalangan generasi muda dan memudaratkan keselamatan orang ramai berlaku di negara kita sahaja. Fenomena ini memanifestikan bahawa rakyat Malaysia sudah ketandusan ataupun kegersangan nilai-nilai etika ataupun moral. Tuntasnya, kegagalan pengguna jalan raya mematuhi peraturan lalu lintas menjadi pokok pangkal peningkatan kes kecelakaan jalan raya di negara kita.

Para pelatih yang dihormati,
Setiap penyakit ada penawarnya, setiap permasalahan ada penyelesaiannya. Penawar yang mustajab untuk masalah sikap pengguna jalan raya sekali gus mengatasi kemelut kemalangan jalan raya ialah pendidikan. Pada hakikatnya, pendidikan memainkan peranan yang terpenting untuk membentuk sikap pengguna yang terpuji sekali gus mengelakkan berlakunya salah laku jalan raya. Pengguna jalan raya perlu dididik supaya mempunyai kesedaran tentang keselamatan di jalan raya dan mempunyai sahsiah diri yang betul sebagai pengguna jalan raya. Kesedaran ini seelok-eloknya disemaikan sejak di bangku sekolah lagi kerana masa lagi rebunglah hendak dilentur, jangan dinantikan sudah menjadi aur. Pendidikan yang berterusan mestilah disuntik ke dalam jiwa pengguna jalan, dan bukannya melepaskan batuk di tangga ataupun hangat-hangat tahi ayam. Tiga saluran pendidikan boleh digunakan yakni melalui sekolah, misalnya dalam mata pelajaran Pendidikan Moral, melalui sekolah memandu, dan melalui saluran komunikasi awam seperti radio dan televisyen. Saluran komunikasi, misalnya, mestilah menjadi wadah penyebaran maklumat yang dapat memainkan tanggungjawab sosial untuk mencelikkan mata orang ramai peri pentingnya mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya dan bukannya menjadi medan untuk meraih keuntungan semata-mata. Tamsilnya, kehadiran filem genre remaja dan sosial di pawagam seperti KL Menjerit 1, Remp-it, Anak Halal, KL-Drift, Haru-Biru, Impak Maksima, dan yang terbaharu Bohsia seharusnya mampu mendidik pengguna jalan raya khususnya dalam kalangan generasi muda dan bukannya bertujuan menyogokkan unsur hiburan semata-mata. Realitinya, pendidikan merupakan instrumen yang paling efektif bagi mengubah sikap pengguna jalan raya agar lebih berhemah ketika memandu kerana ingat sebelum kena, hemat sebelum habis sekali gus menurunkan kadar kemalangan jalan raya di negara kita.
Akhirulkalam, saya ingin mengingatkan semua pihak bahawa kemalangan jalan raya sebenarnya bukan sahaja mengundang maut malahan kemalangan jalan raya turut menyebabkan negara mengalami kerugian. Oleh itu, marilah bersama-sama mengorak langkah sederap untuk mengurangkan kes kemalangan jalan raya di negara kita. Kata orang, berat sepikul, ringan sejinjing! Semoga adik-adik yang hadir di pusat latihan memandu pada hari ini akan menjadi pemandu yang berhemah di jalan raya apabila telah mendapat lesen memandu kelak. Ingatlah, usaha menangani kemalangan jalan raya tidak boleh dipandang enteng. Usaha yang pragmatik dan konstruktif sahaja tidak memadai jika tiada iltizam dan komitmen golongan muda. Akhir kalam, janganlah terhantuk baru tengadah!
Sekian, terima kasih.
...........................


Kesan Pemanasan Global


Pemanasan global telah menyebabkan bumi mengalami “demam panas” yang turut menjadi penyebab utama iklim dunia menjadi semakin kucar-kacir. Bagi kebanyakan orang, perubahan iklim dan pemanasan global lebih banyak mengganggu sistem ekonomi berbanding dengan kesihatan diri. Walau bagaimanapun, kesan pemanasan global jauh lebih mendalam dan akan meninggalkan kesan kepada semua penduduk dunia. Mungkin juga ada antara kita yang melihat mereka yang terbunuh akibat bencana alam seperti taufan, banjir dan cuaca panas sebagai nasib malang semata-mata.

Namun, bagi yang terselamat, mereka sebenarnya terdedah kepada ancaman kesihatan selepas terselamat daripada lemas, mati kesejukan atau dehidrasi. Percaya atau tidak, peningkatan suhu bumi telah membunuh lebih satu juta orang di seluruh dunia sejak tahun 2000 sama ada secara langsung ataupun tidak. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mengeluarkan perangkaan tersebut menjelaskan separuh daripada jumlah kematian itu berlaku di Asia Pasifik, benua yang paling padat penduduk. Selain itu, jumlah berkenaan belum ditambah dengan ribuan mangsa yang terbunuh akibat pencemaran udara setiap tahun ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.

Pemanasan global yang berpunca daripada pencemaran udara akan menyumbang kepada peningkatan jumlah gas karbon iaitu gas rumah hijau di ruang atmosfera bumi. Haba matahari yang pada kebiasaannya dapat dipantulkan ke permukaan bumi kembali ke angkasa lepas kemudiannya terperangkap dan menyebabkan suhu bumi semakin meningkat. Akibatnya, ais di kutub-kutub mula mencair dan meningkatkan paras air laut sehingga menenggelamkan sesetengah pulau kecil dan menghakis permukaan tanah besar.

Selain itu, suhu tinggi turut meninggalkan kesan pada aliran angin yang akan membawa kepada pembentukan lebih banyak ribut taufan serta hujan monsun yang lebih teruk daripada biasa. Contoh terbaik dapat dilihat berdasarkan kepada gelombang haba di Eropah yang menyebabkan angka kematian meningkat sejak tahun 2000. Gelombang “kepanasan” ini telah menyebabkan suhu ketika musim panas dan musim sejuk kini jauh lebih tinggi. Malah, ada negara seperti Amerika Syarikat telah dilanda ribut salji dan ribut taufan yang teruk seperti Taufan Katrina pada tahun 2005.

Kesan masalah ini akan terus berpanjangan dan akan semakin serius jika terus diabaikan atau gagal dikawal. Akibatnya, generasi seterusnya yang akan menanggung kesan penuh kerakusan generasi kini dalam mencemarkan alam sekitar semata-mata untuk kekayaan dan kemajuan ekonomi kerana sifat tamak haloba. Sebarang bentuk perubahan melampau pasti akan memberi kesan paling buruk kepada bayi, kanak-kanak, dan warga emas yang merupakan golongan paling mudah terdedah menjadi mangsa pertama bencana alam.

Rakyat Malaysia mungkin dapat menyesuaikan diri dengan suhu yang tinggi dan panas terik memandangkan sudah biasa dengan iklim tropika bak kata pepatah, “alah bisa tegal biasa”. Walau bagaimanapun, penduduk yang biasa hidup dengan iklim sejuk mungkin tidak dapat menyesuaikan diri dan kini mencatatkan peningkatan kematian akibat strok haba. Strok haba akan menyebabkan kegagalan semua organ badan berfungsi, sama seperti yang berlaku kepada pesakit demam panas. Begitu juga dengan penyakit radang paru-paru yang berpunca daripada penyebaran meluas bakteria yang menyerang paru-paru berikutan cuaca panas dan lembap serta beberapa faktor lain.

Kesukaran untuk mendapatkan bekalan air bersih akan mendedahkan orang ramai kepada air yang dicemari pelbagai jenis kuman. Kesihatan diri sudah pasti akan terancam jika air tercemar digunakan sebagai air minuman, memasak, membasuh atau membersihkan diri. Bilangan kes cirit-birit , taun dan pelbagai penyakit bawaan air dilihat meningkat dengan mendadak ketika musim banjir. Situasi ini diburukkan lagi dengan peningkatan penyakit bawaan nyamuk akibat pembiakan nyamuk di dalam tompokan air bertakung yang ditinggalkan arus banjir. Takungan air ini menjadi tempat strategik untuk kuman yang pantas membiak kerana mendapat bekalan makanan yang cukup dari tumbuhan dan bangkai haiwan yang mereput.

Masalah ini juga memberi kesan yang buruk kepada mereka yang gemar bersenam dan beriadah di luar. Hal ini demikian kerana gas rumah hijau seperti karbon monoksida kini semakin banyak dalam udara terutamanya di kawasan bandar dan kawasan yang mempunyai bilangan kenderaan yang banyak. Apabila gas ini disedut terlalu banyak, ketika bersenam atau beriadah, menyebabkan kandungan oksigen darah jatuh mendadak dan kandungan gas karbon monoksida yang banyak boleh memberi kesan kepada badan dan jantung.
Pemuliharaan alam sekitar perlu dipikul bersama dan bukannya bergantung kepada kerajaan atau pertubuhan-pertubuhan dunia semata-mata bak kata kata pepatah, “ringan sama dijinjing, berat sama dipikul”. Rakyat turut memainkan peranan penting dengan mengambil berat akan kesejahteraan sejagat dan tidak hanya mementingkan kemajuan sendiri tanpa mengambil kira akibat kerakusan mengejar kekayaan dunia kerana sememangnya orang yang tamak selalu rugi. Walaupun hanya dengan sumbangan kecil seperti tidak membuat pembakaran terbuka dan mengurangkan penggunaan kenderaan bermotor oleh sebanyak mungkin individu, setidak-tidaknya kita dapat membantu mengawal pemanasan global. Sayangi dan cintailah bumi kita demi kesejahteraan dan keharmonian kehidupan generasi akan datang.

Disiplin Asas Kejayaan

Pada era globalisasi ini , pencapaian yang cemerlang dan seimbang dalam bidang akademik serta kokurikulum oleh anak anak merupakan harapan ibu bapa sebagai langkah untuk menjamin masa depan anak-anak yang cerah . Hal ini menyebabkan ramai anak yang mengalami tekanan kerana ingin memuaskan kehendak ibu bapa mereka .Oleh itu , remaja yang terlibat dalam masalah disiplin ibarat cendawan tumbuh selepas hujan .Hal ini menyebabkan remaja mencari jalan untuk menghilangkan stress. Contohnya, membuli , merokok dan berlumba haram. Akhirnya , masalah disiplin pelajar menjadi lebih serius dan mereka terjebak ke dalam kancah kebinasaan .Oleh itu , pelajar harus belajar untuk menjadi disiplin kerana disiplin asas kejayaan .
Sebagaimana yang kita tahu, seseorang yang mempunyai disiplin diri dapat membina jati diri .Remaja sekarang mempunyai jati diri yang lemah .Hal ini disebabkan oleh pengaruh media massa dan pengaruh kawan yang kuat. Kesannya , remaja tidak berminat dalam pelajaran kerana terlalu berminat dalam pelajaran dan menumpukkan perhatian dan masa kepada media massa atau kawan . Sekolah harus mengadakan kelas intensif untuk membantu pelajar yang lemah dan membaiki kelemahan pelajar. Dengan itu , pencapaian akademik pelajar akan meningkat . Apabila pemikiran pelajar menjadi matang , jati diri pelajar akan turut meningkat .Selain itu , sikap disiplin dalam seseorang dapat meningkatkan kesedaran remaja dalam pelbagai perkara .Remaja kini tidak menyedari kepentingan akademik dan suka hidup dalam mimpi .Mereka suka melepak ,merokok dan hidup dalam alam fantasi mereka .Akhirnya , mereka lupa daratan dan hilang arah tuju.Oleh itu, para guru disiplin sekolah harus sentiasa tegas dalam mengatasi masalah disiplin pelajar dan menguatkuasakan peraturan sekolah sebelum nasi menjadi bubur. Sebuah sekolah yang berada dalam keadaan yang erkawal akan dapat melahirkan tempat yang kondusif kepada pelajar-pelajar .Seterusnya , disiplin yang ada pada seseorang remaja dapat menetapkan masa depan seorang remaja .Remaja alaf baharu ini mudah hilang arah tujuan kerna mereka tiada motivasi diri .Contohnya , mereka tidak membuat jadual belajar dan mereka malas untuk berusaha . Oleh itu , guru sekolah harus mendidik murid untuk menjadi disiplin .Dengan teknik pembelajaran yang disiplin . remaja dapat mengetahui perkara yang sedang dibuatnya dengan jelas dan tahu mencari cara untuk memajukan diri mereka .Dengan itu , remaja akan menghargai masa dan mereka akan sentiasa melakukan aktiviti yang berfaedah .Sementara itu, sikap disiplin yang ada pada seseorang dapat meningkatkan imej diri .Pada masa ini , masalah remaja seperti berpakaian selekeh dan berambut panjang sudah menjadi perkara yang umum . Budaya Punk dan Barat dipraktikkan dalam kehidupan mereka.Contohnya , mereka mewarnakan rambut dan berseluar ketat . Pepatah Melayu pernah mengatakan melentur buluh biarlah dari rebungya ,ibu bapa harus menunjukkan cara berpakaian yang kemas dan menjadi suri telada kepada anak sejak kecil kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya.Sebagaimana yang kita tahu , anak-anak yang dididik dengan baik dari rumah sentiasa mempunyai sikap disiplin dan perkara-perkara yang dilakukan oleh mereka tidak menconteng arang di muka ibu bapa.Di samping itu , disiplin merupakan kunci kejayaan diri . Anak muda pada masa kini antikokurikulum dan antipeperiksaan kerana mereka tidak dapat mencari keseronokan yang mereka kira seronok . Misalnya , mereka ponteng sekolah semasa dikehendaki untuk menghadiri aktiviti kokurikulum dan hanya hadir pada hari peperiksaan sahaja. Pengetua sekolah haruslah memberikan nasihat dan teguran untuk menyedarkan remaja bahawa pentingnya kokurikulum dan akademik dalam dunia ini . Pengetua juga harus member kata-kata yang dapat memotivasikan pelajar supaya pelajar lebih yakin akan diri sendiri . Pelajar haruslah menunjukkan muhasabah disiplin diri yang tinggi dan harus memperbaik sikap yang buruk kerana buang yang keruh , ambil yang jernih .
Tuntasnya , masalah disiplin pelajar dapat dikawal tetapi memerlukan usaha yang pragmatik dan kerjasama bagai aur dengan tebing oleh semua pihak . Pepatah Melayu sentiasa berbunyi ‘pemuda harapan bangsa , pemudi tiang negara , remaja harus diasuh untuk menjadi pemimpim negara yang berketerampilan dan berwibawa .Kesimpulannya ,sikap disiplin merupakan penentu kejayaan untuk memastikan masa depan negara cerah dan sejahtera . Saya yakin bahawa remaja ialah aset negara dan mereka akan menerajui dan mendukung cita-cita negara pada masa depan dengan sikap disiplin yang utuh dalam diri mereka .


Disiplin Asas Kejayaan

oleh: Lim Siew Feng

Langkah Melestarikan Permainan Tradisional

Permainan tradisional merupakan warisan bangsa yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas walaupun popularitinya semakin berkurangan. Generasi muda hari ini tidak mengenali permainan tradisional dengan mendalam kerana kemajuan teknologi yang begitu pesat. Pelbagai pihak telah berusaha untuk mengembalikan populariti permainan tradisional masyarakat kita. Namun begitu, belum ada tanda-tanda permainan tradisional akan kembali diminati. Jadi, beberapa langkah yang sesuai wajar dilaksanakan untuk menghidupkan kembali warisan budaya bangsa ini.

Kerajaan wajar menganjurkan pertandingan-pertandingan permainan tradisional di semua peringkat sosial. Langkah ini bertujuan untuk menarik minat masyarakat untuk bergiat cergas dalam bidang sukan tradisional yang semakin dilupakan. Pelbagai hadiah yang menarik wajar disediakan keranaada gula ada semutnya. Permainan tradisional seperti wau, gasing, galah panjang, congkak, dan sebagainya sesuai untuk dipertandingkan. Pertandingan ini wajar dijadikan acara bulanan atau tahunan agar pendedahannya lebih kerap dan bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam. Jadi, penganjuran pertandingan akan dapat mengembalikan populariti permainan tradisional bangsa kita.

Selain itu, pihak berwajib perlu menjadikan permainan tradisional sebagai satu acara untuk menarik pelancong kerana jika tidak dipecahkan ruyung, manakan mendapat sagunya. Kebanyakan pelancong mancanegara sudah tentu berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang permainan tradisional Malaysia yang pelbagai jenis. Kementerian Pelancongan wajar melatih generasi muda untuk menjadi duta kecil untuk memperkenalkan permainan tradisional kepada pelancong asing. Untuk menjadikan permainan tradisional lebih popular, konsep inap desa turut memasukkan permainan tradisional sebagai acara wajib dalam program berkenaan. Oleh yang demikian, permainan tradisional dapat diperkenalkan kepada pelancong asing dengan lebih berkesan

Satu lagi langkah untuk memperkenalkan permainan tradisional adalah dengan memasukkan permainan tradisional sebagai satu aktiviti kokurikulum di peringkat sekolah atau institusi pengajian tinggi. Malahan, kanak-kanak di peringkat prasekolah juga wajar didedahkan dengan permainan tradisional kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kelab-kelab permainan tradisional hendaklah ditubuhkan dan murid-murid diwajibkan menjadi ahli mana-mana kelab permainan tradisional yang digemari oleh mereka. Tambahan pula, pertandingan permainan tradisional antara sekolah-sekolah akan menyemarakkan lagi semangat murid untuk memahirkan diri dengan permainan-permainan tradisional tertentu. Langkah ini sudah tentu dapat menghidupkan kembali kegemilangan permainan tradisional dalam kalangan generasi muda di negara kita

Kesimpulannya, permainan tradisional memang wajar dikembalikan kegemilangannya dalam kalangan generasi muda. Semua pihak hendaklah berganding bahu untuk mempopularkan kembali warisan bangsa yang tidak ternilai harganya ini. Bak kata pepatah, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Jika tidak permainan tradisional warisan berzaman ini hanya tinggal nama sahaja pada suatu masa nanti. Kerjasama dan iltizam semua pihak akan dapat mempopularkan kembali warisan bangsa kita sampai bila-bila.

Sumber: Dr. Ghazali Lateh

BANTUAN KEMANUSIAAN MALAYSIA KEPADA MANGSA BENCANA ALAM

Ketika dunia hari ini merentasi arus teknologi yang semakin canggih, bencana alam pula sering melanda dan menunjukkan belang. Pada realitinya, bencana alam seperti banjir, letusan gunung berapi dan ribut taufan ialah satu fenomena alam yang tidak dapat kita halang bak kata pepatah, geruh tidak berbunyi, malang tidak berbau. Hadirnya bencana alam tanpa kita minta lantaran bencana alam ini berlaku atas kehendak Tuhan, pencipta segala kehidupan. Bencana alam ini berlaku tidak kira tempat ataupun waktu. Pada abad ini, walaupun teknologi semakin berkembang dan tumbuh dengan pantas bagai belut diketil ekor, kemajuan ini tidak dapat menghalang bencana alam yang ganas melanda. Pada tanggal 26 Disember 2004, satu peristiwa telah menggemparkan dunia apabila semua berita melaporkan berlakunya ombak besar iaitu tsunami di Acheh yang telah mengorbankan beratus ribu nyawa. Kejadian dahsyat itu masih meninggalkan kesannya hingga kini malah masih menjadi mimpi ngeri buat semua yang terlibat. Memang tidak dapat kita nafikan bahawa semenjak belakangan ini banyak bencana alam yang berlaku di seluruh dunia termasuk negara kita dan juga negara-negara jiran seperti gempa bumi di Pakistan dan di China, taufan Nargis di Myanmar dan tanah runtuh yang dahsyat di Filipina. Fenomena yang terbaharu ialah letupan Gunung Merapi di Yogyakarta, Indonesia. Sebagai masyarakat yang mempunyai sifat kemanusiaan keranaberat mata memandang, berat lagi bahu memikul, kita sepatutnya bersimpati dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan ibarat hulurkan tangan, ringankan beban.

Sebagai insan yang sedar tentang kesusahan orang lain, kita boleh menyalurkan bantuan dengan kutipan derma. Derma yang dihulurkan akan disalurkan kepada mangsa bencana alam yang amat memerlukan dan mendambakannya bagi meneruskan kehidupan di bumi ciptaan Tuhan ini. Bantuan yang disumbangkan tidaklah hanya berfokuskan wang ringgit, tetapi bantuan lain seperti ubat-ubatan, pakaian dan makanan juga diperlukan. Setelah bencana berlaku, pastinya mangsa bencana tidak memiliki kelengkapan yang sempurna untuk hidup kerana semua harta mereka telah dimusnahkan oleh bencana alam yang di luar jangka ini. Pada masa ini, pelbagai peringkat kutipan derma telah dijalankan oleh pihak berwajib sama ada pihak swasta ataupun pihak kerajaan yang berasa bertanggungjawab untuk membantu sesama manusia. Contohnya dapat dilihat apabila pihak TV3 telah mengadakan Karnival Jom Heboh untuk membantu mangsa-mangsa tragedi yang menyayat hati di seluruh negara ini. Mantan Menteri Belia dan Sukan pernah menyatakan bahawa kita seharusnya bersyukur dengan nikmat yang diberikan Tuhan dan harus berkongsi nikmat yang kita ada dengan orang lain yang memerlukan supaya Tuhan akan melipatgandakan nikmat tersebut. Jelaslah di sini bahawa kita tidak harus lokek dalam menghulurkan sumbangan kerana cubit paha kiri, paha kanan pun sakit juga agar mangsa dapat hidup sempurna seperti kita.

Menganggotai pasukan penyelamat dan pencari juga merupakan peranan kita dalam membantu dan mencari mangsa yang terperangkap dalam runtuhan bangunan atau mencari mangsa yang hilang selepas kejadian bencana alam. Muktahir ini, banyak pasukan penyelamat Malaysia diterbangkan ke negara-negara jiran yang mengalami bencana alam untuk memberikan bantuan yang semampu boleh. Namun, tidak semua daripada kita yang berani menjadi penyelamat kerana takut berlakunya kejadian susulan di tempat bencana terbabit. Bagi mereka yang berani, mereka ibarat wira dari Malaysia yang datang untuk menjalankan tanggungjawab mereka sebagai penghuni di muka bumi ini. Pasukan yang terdiri daripada Pasukan Gerak Cepat dan Pasukan SMART di samping pasukan bomba sentiasa dihantar sebagai kumpulan awal untuk turut sama dalam kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa. Mereka membantu bukan untuk balasan atau ganjaran, namun membantu atas dasar kemanusiaan demi menginsafi diri bahawa mereka perlu bersyukur dengan segala keselesaan dan telah terselamat daripada bencana alam ini. Rentetan itu, sudah terang lagi bersuluh bahawa menyumbangkan tenaga boleh menjadi satu platform untuk menyalurkan bantuan dalam melaksanakan usaha murni ini lantaran kita berpegang pada kata pepatah, hari tidak selamanya panas.

Membuat keputusan untuk menjadi sukarelawan bukanlah sesuatu yang mudah. Hal ini disebabkan apabila menjadi salah seorang ahli sukarelawan, kita akan meninggalkan keluarga yang tersayang dalam tempoh yang agak lama untuk memberikan bantuan kepada negara-negara jiran. Bantuan rawatan, membina rumah mangsa yang telah musnah semula dan mententeramkan emosi mangsa adalah antara tugas sukarelawan. Pada masa ini, sukarelawan bergerak dalam kumpulan ataupun persatuan. Para sukarelawan ini kebanyakannya dianggotai oleh golongan doktor iaitu golongan bijak pandai untuk merawat mangsa yang mengalami kecederaan sekali gus menyelamatkan nyawa mangsa. Kini, Mercy Malaysia yang dipimpin oleh Dato Dr. Jamilah semakin mendapat tempat dalam hati masyarakat setempat kerana perkhidmatan cemerlang mereka. Ketika mengadakan operasi menyelamat mangsa dalam tragedi gempa bumi di Pakistan, Mercy Malaysia telah menerima pujian hasil kepakaran dan disiplin yang tinggi para pengamal perubatan dari Malaysia. Konklusinya, kemurnian hati para sukarelawan ini amat bernilai dan bererti kepada mangsa untuk mereka terus menjalani kehidupan seperti manusia lain. Para sukarelawan yang berilmu pengetahuan, berakal, rajin dan berkemahiran ini dapat dikatakan sebagai empat bersimpul satu dalam usaha tulus suci ini.

Di samping bantuan derma dan tenaga, kita juga boleh mendoakan mangsa-mangsa kejadian bencana alam ini. Doa yang dipohonkan adalah agar mereka tabah menghadapi dugaan daripada Tuhan Yang Maha Mengetahui. Semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama boleh mendoakan kesejahteraan hidup mangsa bencana yang masih hidup atau yang telah terkorban mengikut kepercayaan agama masing-masing. Paparan akhbar harian seperti Berita Harian, Utusan Malaysia dan Harian Metro telah melaporkan bahawa solat hajat dan bacaan Yasin secara besar-besaran telah diadakan di Masjid Putra, Putrajaya yang telah dihadiri oleh lebih daripada 2000 orang rakyat prihatin dan turut disertai oleh menteri-menteri dan Yang di-Pertuan Agong. Berdasarkan senario ini, terbuktilah di sini bahawa setelah menghulurkan bermacam-macam bantuan. doa adalah pengakhiran bantuan yang diberikan lantaran kita sedar bahawa apa-apa yang berlaku adalah ketentuan Tuhan. Tuntasnya, doa dapat kita hadiahkan kepada mangsa kerana Tuhan itu Maha Adil lagi Maha Mengasihi. Doa ini juga secara tidak langsung boleh melahirkan rasa simpati dan insaf supaya kita sekali tersengat selalu beringat.

Di pihak kerajaan pula, bantuan pascabencana terus dihulurkan. Antara bantuan yang diberikan seperti sumbangan modal dan kepakaran untuk membangunkan kawasan yang telah tejejas teruk semula. Sebagai negara berjiran yang dapat merasakan rintihan dan suara hati saudara serantau, Malaysia telah membantu kerajaan Indonesia dalam usaha membangunkan semula sistem pendidikan di wilayah Acheh dan Yogyakarta di Indonesia yang terjejas teruk dalam peristiwa gempa bumi dan Tsunami. Dengan sokongan yang diberikan itu telah dapat mengurangkan sedikit beban yang ditanggung oleh mangsa-mangsa. Anak-anak dapat meneruskan semula pelajaran, sementara hidup baru dapat dimulakan sedikit demi sedikit. Sokongan dan bantuan kepakaran yang dihulurkan, sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka di samping dapat memberikan sinar kehidupan yang baharu kepada mereka selepas diuji dengan musibah yang tidak diduga itu.

Intihanya, semua orang seharusnya melupakan batasan geografi dalam menghulurkan bantuan dan tidak menjadi enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Walau di mana-mana jua kita berada, kita harus sedar bahawa manusia semuanya sama iaitu menginginkan kehidupan yang sempurna. Amat wajar membudayakan sikap saling membantu selagi kita termampu lantaranbuat baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat, malah buat baik berpada-pada buat jahat jangan sekali. Semua pihak haruslah bersama-sama menghulurkan bantuan dengan apa-apa cara sekalipun kerana ada pepatah mengatakan hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Rasulullah juga pernah bersabda, “Tidak sempurna iman seseorang kamu, selagi kamu masih belum mengasihi saudara kamu seperti kamu menyayangi diri kamu sendiri”. Semoga sumbangan yang kita salurkan dapat menyempurnakan iman kita dan dapat membantu mangsa meneruskan kehidupan seharian mereka seperti sediakala.

SUMBER: CIKGU ANELYZA

ISU TABIAT MEROKOK

............
Dalam menongkah era dunia tanpa sempadan, pelbagai masalah timbul selaras dengan kemajuan Malaysia di persada global. Masyarakat masih disogokkan dengan gejala merokok yang membimbangkan. Laporan Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2000 dalam Modul Berhenti Merokok (2001) membuktikan 20 peratus perokok di Malaysia terdiri daripada golongan remaja dan statistik ini meningkat setiap tahun. Dianggarkan 50 hingga 60 orang remaja di Malaysia memulakan tabiat merokok setiap hari. Siapakah yang perlu dipersalahkan apabila generasi pewaris kepimpinan negara terlibat dengan gejala merokok? Tidak sedarkah para remaja bahawa merokok ibarat perjalanan bahaya menempah maut? Sesungguhnya, gejala merokok yang kian kronik perlu diberi perhatian serius oleh segenap lapisan masyarakat agar rakyat Malaysia kekal sihat dan berupaya menyumbangkan tenaga ke arah kecemerlangan negara.

Hari Tanpa Tembakau merupakan inisiatif proaktif Pertubuhan Kesihatan Sedunia secara global, bertujuan mengingatkan masyarakat tentang wabak tembakau yang meracuni gaya hidup masyarakat sedunia serta membunuh empat juta penduduk dunia setiap tahun. Angka ini dijangka meningkat kepada 10 juta orang pada tahun 2030. Statistik daripada Sufean (2004) menunjukkan 49 peratus lelaki dewasa di Malaysia, merokok, dan jumlah ini melebihi peratusan perokok di negara maju, iaitu 38% di Britain, 35% di Amerika Syarikat dan 30% di Sweden. Setiap hari, antara 14,000 hingga 15,000 remaja mula menjadi penagih tembakau di negara maju. Di negara-negara membangun dan di negara mundur, perokok remaja meningkat antara 68,000 hingga 84,000 orang. Tegasnya, masyarakat perlu sedar akan bahaya merokok agar tidak menjerumuskan diri sendiri ke lembah maut.


Sebatang rokok yang dinyalakan oleh perokok mengeluarkan lebih 4000 bahan kimia beracun yang boleh membawa maut. Bahan kimia dalam asap rokok termasuklah ammonia (pencuci lantai dan tandas), arsenik (racun tikus), aseton (peluntur warna kuku), asid asetik (cuka), asid stearik (lilin), butana (cecair pemetik api), DDT (racun serangga), etanol (alkohol), heksamin (pencucuh barbeku), hidrogen sianida (gas beracun yang digunakan di "kamar gas maut" bagi pesalah yang menjalani hukuman mati), karbon monoksida (asap kenderaan bermotor), metana (gas paya), metanol (minyak roket), naftalena (ubat gegat dan kapur barus), nikotin (dadah yang menagihkan), tar, toluena (pelarut industri) dan vinil klorida (bahan untuk membuat PVC). Sekiranya perokok benar-benar menyayangi dirinya, mengapakah dia sanggup membinasakan dirinya sendiri dengan merokok? Hargailah kesihatan dan nyawa, kerana mencegah lebih baik daripada mengubati.


Racun paling berbahaya dalam sebatang rokok ialah tar, karbon monoksida dan nikotin. Tar mengandungi sekurang-kurangnya 43 bahan kimia penyebab kanser. Kajian perubatan mengesahkan "benzopyrene" iaitu sejenis "polycyclic aromatic hydrocarbon" merupakan agen yang memulakan proses kejadian kanser. Justeru, tidak hairanlah, statistik di Malaysia membuktikan merokok menyumbang kepada lebih 10,000 kes kematian setahun; 30 peratus daripadanya disebabkan oleh 10 jenis kanser, iaitu kanser paru-paru, mulut, esofagus, tekak, pankreas, pundi kencing, buah pinggang, serviks, kolon dan perut. 50 peratus kematian pula berpunca daripada sakit jantung dan strok. Setiap tahun, lebih 100,000 perokok dimasukkan ke hospital kerajaan di seluruh negara akibat kanser, sakit jantung dan penyakit sekatan pulmonari kronik. Hampir satu per empat mangsa pesakit jantung berpunca dari tabiat merokok. Di Malaysia, sakit jantung merupakan penyebab utama kematian perokok, manakala strok merupakan pembunuh keempat. Lebih menyedihkan, negara kerugian kira-kira RM20 bilion setahun bagi menanggung kos rawatan penyakit akibat gejala merokok. "Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna."

Karbon monoksida di dalam rokok pula, merupakan gas beracun yang dikeluarkan oleh ekzos kenderaan. Gas tersebut menjejaskan bekalan oksigen ke tisu-tisu sehingga tisu-tisu terencat dan akhirnya mengakibatkan maut sekiranya paras karbon monoksida di dalam badan melebihi 60%. Apabila racun rokok memasuki tubuh manusia, racun berkenaan menyebabkan kerosakan pada setiap organ di sepanjang laluannya, bermula dari hidung, mulut, tekak, saluran pernafasan, paru-paru, saluran penghadaman, saluran darah, jantung, organ pembiakan, sehinggalah ke saluran kencing dan pundi kencing. Asap akan melalui saluran pernafasan ke dalam paru-paru dan merosakkan saluran bronkus, sehingga menyebabkan bronkitis di bahagian paru-paru. Racun rokok turut merosakkan pundi udara dalam paru-paru dan menyebabkan penyakit emfisima.


Selain mendatangkan implikasi kronik terhadap diri perokok, asap rokok yang dihembus oleh perokok, atau asap rokok basi (istilah saintifiknya, merokok secara pasif) turut menjejaskan kesihatan orang di sekelilingnya. Profesor Dato' Dzulkifli Abd. Razak, mantan naib canselor Universiti Sains Malaysia dalam rencananya, "Asap Rokok Basi: Dedahkan Faktanya" menjelaskan, asap rokok basi mengandungi lebih banyak bahan beracun seperti nikotin, formaldehid dan benzene, berbanding asap rokok yang disedut oleh perokok. Asap ini lebih berbahaya kerana asap berkenaan terapung di udara beberapa ketika.


Asap rokok yang dihidu akan melalui saluran penghadaman dan pencernaan, serta menyebabkan pelbagai penyakit di bahagian esofagus, perut dan pankreas. Racun dalam asap rokok yang larut air, akan memasuki sistem saluran darah dan dibawa ke seluruh badan. Bahan nikotin bukan sahaja mendatangkan ketagihan, malah menyebabkan saluran darah arteri menjadi sempit. Nikotin turut merosakkan dinding arteri dan akan memudaratkan organ-organ yang berkaitan. Kesan ini, dalam jangka masa panjang, akan menyebabkan simptom kebas pada kaki, kebas pada jari, migrain, sakit kepala, pedih ulu hati, kekejangan otot kaki dan serangan penyakit jantung. Racun rokok akhirnya disaring dalam buah pinggang dan dihapuskan dari badan menerusi air kencing. Dalam proses ini pula, berlaku satu lagi keracunan hasil penguraian kimia asap rokok yang turut merosakkan buah pinggang. Racun dalam air kencing juga menyebabkan kerosakan pundi kencing. Tegasnya, sudah terang lagikan bersuluh, perbuatan merokok membawa beratus-ratus masalah kesihatan yang tiada noktah penghujung.


Tuntasnya, semua pihak perlu bekerjasama "bagai aur dengan tebing" memperkasakan usaha untuk menyedarkan masyarakat bahawa perbuatan merokok akan mendatangkan implikasi negatif kepada diri sendiri, masyarakat sekeliling dan juga negara. Ibu bapa wajar menjadi teladan terbaik bagi anak-anak dan menasihati anak-anak agar menghindari tabiat merokok. Kementerian Kesihatan, pihak sekolah dan pihak media massa juga perlu memainkan peranan signifikan untuk memastikan bilangan perokok dapat dikurangkan, bak kata peribahasa, "di mana ada kemahuan, di situ ada jalan." Aktiviti bersempena Kempen Antimerokok wajar diteruskan dengan berkesan agar maklumat tentang bahaya merokok berupaya menginsafkan masyarakat. "Rokok Tiada, Kehidupan Bahagia." Bersama-samalah kita berpadu tenaga mewujudkan suasana Satu Malaysia yang lebih sihat dan ceria, bebas daripada kepulan asap rokok yang menjerumuskan kita ke lembah maut. "Kesihatan Cemerlang, Masyarakat Gemilang, Negara Terbilang."

Terima kasih kepada CIKGU TAN CL


Usaha-usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita

............
Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan masyarakat di negara kita pada masa ini seperti yang didakwa oleh banyak pihak. Hal ini berlaku demikian kerana masing-masing sibuk dengan urusan sendiri yang menyebabkan mereka tidak menghiraukan perkara lain. Pada pendapat mereka, perkara yang penting dalam hidup ialah mereka perlu berusaha untuk mencari kekayaan dan hendak mencari wang untuk menambahkan pendapatan semata-mata. Oleh itu, mereka tidak menitikberatkan semangat patriotik dan tidak tidak mempedulikan sambutan hari kebangsaan, contohnya anggota masyarakat kita tidak mengibarkan bendera Malaysia ketika sambutan ulang tahun kemerdekaan negara dijalankan. Jadi, kita berharap agar semangat patriotik dalam kalangan masyarakat dapat ditingkatkan.
Sebenarnya terdapat banyak cara yang boleh dijalankan untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita. Satu daripada caranya adalah dengan memberikan penekanan tentang proses pemupukan semangat patriotik dari bangku sekolah lagi. Perkara ini membolehkan semangat patriotik sebati dalam diri pelajar seperti kata peribahasa Melayu, “melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Sekiranya semangat patriotik dapat dipupuk sejak kecil, sudah tentulah semangat patriotik akan terus diamalkan dan dikekalkan hingga dewasa. Tambahan pula, amalan ini penting kerana kita dapat melahirkan masyarakat yang sentiasa cinta akan negara dan tidak melakukan perkara-perkara yang akan memburukkan nama negara.
Cara lain yang boleh dijalankan adalah dengan membuat pengubahsuaian dan memberikan penekanan tentang aspek semangat patriotik ini dalam kurikulum di sekolah dan di institusi pengajian tinggi. Sekiranya perkara ini dilakukan, murid-murid akan memahami dan menghayati semangat patriotik kerana aspek tersebut dipelajari dalam mata pelajaran tertentu. Dengan perkataan lain, perkara itu akan dipelajari secara formal di dalam kelas, diuji dalam peperiksaan dan seterusnya diamalkan dalam kehidupan seharian. Oleh hal yang demikian, semangat patriotik itu akan terus subur dalam sanubari murid-murid hinggalah selepas mereka menamatkan persekolahan atau pendidikan mereka di institusi pengajian tinggi.
Pihak yang bertanggungjawab hendaklah menjalankan kempen secara besar-besaran melalui media massa. Kempen-kempen yang berkaitan dengan semangat patriotik ini akan memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita Oleh itu, Kementerian Penerangan Malaysia, di samping media elektronik seperti televisyen dan radio memang berkesan untuk menyuburkan dan meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. Dengan perkataan lain, televisyen dan radio hendaklah menyiarkan rancangan atau program yang dapat meningkatkan semangat patriotik seperti menyiarkan rencana tentang pejuang-pejuang kemerdekaan negara. Selain itu media elektronik itu juga hendaklah menayangkan filem seperti “Bukit Kepong”, “Paloh”, dan drama-drama yang berkaitan dengan semangat cinta akan negara.
Agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab pula perlulah menjalankan aktiviti yang bersesuaian dengan usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat agar dapat memupuk semangat ini. Aktiviti tersebut boleh dijalankan di kampung-kampung dan juga di kawasan perumahan. Oleh itu, aktiviti seperti sambutan hari kemerdekaan pada peringkat taman perumahan dan kampung perlulah digalakkan. Di samping itu, Jabatan Penyiaran atau stesen televisyen juga perlu mengadakan forum tentang semangat patriotik dengan menjemput tokoh-tokoh akademik daripada pelbagai bangsa dan juga tokoh masyarakat yang memperjuangkan semangat kebangsaan suatu masa dahulu. Aktiviti tersebut bukan sahaja dapat memupuk semangat patriotik malahan dapat mengeratkan perpaduan antara kaum di negara kita.
Semangat patriotik juga dapat dipupuk melalui contoh dan teladan daripada pemimpin-pemimpin negara dan pemimpin masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Dengan cara itu, anggota masyarakat akan mencontohi pemimpin-pemimpin mereka yang memiliki semangat patiotik yang tinggi. Para pemimpin perlulah selalu mengingatkan dan menekankan kepentingan menghargai kemerdekaan yang telah dicapai hasil perjuangan dan titik peluh pejuang-pejuang kemerdekaan yang terdahulu dan menghayatinya dengan sepenuh hati. Hal ini penting kerana, kemerdekaan yang dinikmati ini hendaklah dihayati, dijaga dan dikekalkan sampai bila-bila. Sekiranya perkara ini tidak dititikberatkan oleh semua orang sudah pasti kemerdekaan yang dinikmati sukar untuk dipertahankan dan tidak tidak akan memberi makna lagi kepada generasi yang akan datang.
Oleh hal yang demikian, usaha-usaha untuk memupuk semangat patriotik perlulah dijalankan sepanjang masa tanpa henti. Hal ini demikian kerana, semangat patriotik ini penting untuk melahirkan warganegara yang cinta akan negaranya dan pasti akan menjadi individu yang berguna kepada bangsa, agama dan negaranya sendiri. Individu yang memiliki semangat patriotik yang tinggi juga akan sentiasa berusaha untuk memajukan diri dan negaranya agar mencapai kemajuan dan pembangunan dengan cepat, setanding dengan negara-negara maju yang lain. Skiranya semangat patriotik tidak dapat dipupuk dalam kalangan remaja, pastilah mereka tidak ada perasaan cinta akan negara dan menyebabkan mereka hilang jati diri. Oleh itu, semua pihak perlulah berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing agar semangat patriotik dapat dipupuk dan disuburkan dalam kalangan masyarakat.

SUMBER: CIKGU ANELYZA


KESAN JEREBU
...........

Dalam mendepani realiti baru dunia yang pantas berubah, rakyat Malaysia telah digemparkan lagi dengan berita Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan Kuala Lumpur yang meningkat secara mendadak akibat berlakunya jerebu. Keadaan jerebu di Malaysia yang berlaku secara tahunan telah menjadi suatu kebiasaan bagi penduduk di bandar raya besar tersebut. Masalah jerebu yang seperti bangkai gajah yang tidak dapat ditutup dengan daun nyiru telah mendapat liputan meluas daripada pihak media massa dan dalam kalangan rakyat Malaysia. Keadaan jerebu bertambah serius akibat berlakunya fenomena El-Nino. Persoalannya, apakah faktor dominan berlakunya jerebu? Adakah pihak kerajaan sahaja yang memainkan peranan penting dalam mengatasi masalah jerebu ini? Tepuk dada tanyalah selera. Oleh sebab setiap yang berlaku pasti ada akibatnya, masalah jerebu telah mendatangkan pelbagai impak yang negatif kepada negara kita dan juga rakyat kita.
Antara kesan negatif yang disebabkan oleh jerebu ialah kualiti udara negara kita akan terjejas. Udara negara kita yang segar dan bersih akan dipenuhi oleh debu dan asap setiap kali jerebu melanda sehinggalah jarak penglihatan mendatar yang dahulunya sejauh 2 kilometer menjadi 50 meter. Sebagai contoh, pada bulan Ogos 2005, negara kita dilanda jerebu yang paling teruk dalam sejarah negara kita, di mana Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang mencecah lebih 500 buat kali pertama di Malaysia sehingga darurat diisytiharkan di kedua-dua kawasan tersebut, justeru segala aktiviti luar tidak dapat dijalankan dan kebanyakan sekolah, pelabuhan dan kilang ditutup buat sementara. Oleh itu, sudah terang lagi bersuluh bahawa jelaslah jerebu boleh mendatangkan keburukan terhadap negara kita.
Jerebu juga boleh menyebabkan masalah kesihatan rakyat. Golongan yang lebih lemah seperti kanak-kanak dan warga tua mudah jatuh sakit. Hal ini berlaku kerana jerebu menyebabkan badan menjadi lemah dan imunisasi semakin rendah. Penyakit-penyakit selesema dan batuk akan mudah merebak. Misalnya, pesakit-pesakit asma dan penyakit respiratori mudah diserang penyakit pernafasan lain. Hal ini berlaku kerana pernafasan mereka menjadi tidak baik dan ditambah pula udara yang kurang bersih maka kesihatan mereka akan mudah terancam. Dalam jangka masa yang panjang, kita juga mungkin akan sakit kerongkong, kegatalan kulit, kemerahan mata dan sebagainya. Dengan itu, jelaslah bahawa jerebu membawa kesan negatif kepada kesihatan orang ramai.
Selain kemerosotan taraf kesihatan rakyat Malaysia, sektor ekonomi negara turut terjejas akibat kerenah jerebu yang berlaku di Malaysia. Tahap penglihatan yang rendah menyebabkan aktiviti luar disekat dan industri perikanan dan pertanian terpaksa dihentikan demi menjamin keselamatan dan kesihatan pekerja-pekerja. Rakyat Malaysia yang terlibat dalam bidang perikanan dan pertanian terpaksa mencari alternatif yang lain untuk mencari pendapatan buat sementara waktu. Apabila masalah jerebu menjadi semakin meruncing, kesan negatif yang lebih serius akan timbul. Sumber pendapatan negara turut terancam akibat jerebu. Sumber pendapatan negeri-negeri yang berasaskan industri pelancongan seperti Sabah dan Sarawak akan merosot kerana industri pelancongan terjejas akibat jerebu. Para pelancong bukan sahaja dari dalam negeri malah dari negara asing tidak akan melawat ke Malaysia sekiranya jerebu masih berlaku di Malaysia kerana bimbang akan keselamatan dan kesihatan mereka semasa melancong ke Malaysia. Secara tidak langsung, ekonomi negara kita akan terjejas akibat jerebu.
Jika dilihat dari perspektif lain, masalah jerebu dapat menjejaskan flora dan fauna di negara kita. Apabila jerebu berlaku, kandungan karbon dioksida berlipat ganda daripada kandungan yang biasa, sebaliknya kandungan oksigen akan kurang daripada yang biasa. Hal ini akan menyebabkan tanaman akan mengambil masa yang lebih lama untuk membesar. Kualiti dan hasil tanaman juga akan merosot. Hal ini disebabkan oleh proses fotosintesis yang terjejas akibat kandungan karbon dioksida yang berlebihan. Proses pernafasan yang melibatkan penyerapan gas oksigen dan pembebasan gas karbon dioksida ini menyebabkan tumbuhan hijau tumbuh dengan lebih lama. Misalnya, pokok balak akan mengambil masa yang lebih panjang untuk matang. Secara tegasnya, hasil dan kualiti pertanian boleh terjejas sehingga 30 peratus. Sumber petani akan turut terjejas sekali gus ekonomi negara yang bergantung pada pertanian turut terjejas. Bagi fauna pula, hidupan akuatik akan terjejas kerana kandungan oksigen yang terlarut dalam air pula akan berkurang dan hidupan akuatik seperti ikan-ikan tidak akan mendapat oksigen yang secukupnya. Jelaslah bahawa masalah jerebu akan menjejaskan flora dan fauna negara.
Intihanya, semua pihak termasuklah rakyat Malaysia haruslah bersinergi dan berganding bahu dalam menyelesaikan masalah jerebu di Malaysia bagi mendukung kebenaran yang kita sepakati, persis kata cendekiawan, “bagai aur dengan tebing.” Sekiranya masalah ini dipandang enteng, nyawa modal insan negara kita akan menjadi “seperti telur di hujung tanduk.” Kebobrokan sikap anak-anak juga mestilah dikekang daripada menjadi duri dalam daging masyarakat kerana nusa tercinta ini memerlukan tenaga mereka untuk mengatasi masalah jerebu dan seterusnya menggapai impian Wawasan 2020. Sekiranya masalah jerebu di negara kita tidak diatasi dengan segera, lama-kelamaan efek buruknya akan menjadi berpanjangan dan berkekalan serta sukar untuk diselesaikan dan ketika itu kita akan berasa menyesal tetapi sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi.

SUMBER: CIKGU ANELYZA


Amalan rasuah melumpuhkan negara. Bagaimanakah gejala ini ditangani?
...........
Menuju ke arah negara maju, Malaysia telah menampakkan kemajuan daripada pelbagai aspek baik dari segi prasarana dan insfrastruktur, hinggalah ke sektor pelancongan. Selain itu, ekonomi negara kita berbilang kaum ini juga semakin kukuh.Menurut kenyataan Bank Negara, Malaysia telah mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 4.8 peratus pada suku keempat tahun lalu. Malah, ekonomi Malaysia dijangka meningkat 6.2 peratus pada tahun ini. Teknologi maklumat pun terus menggusur ke arah globalisasi. Bermulanya daripada pelancaran satelait MEASAT pada 1996, Negara kita telah mengorak langkah besar dalam dunia teknologi. Kini, hampir semua rakyat mempunyai telefon sendiri dan telah menjadi kebiasaan seseorang untuk memiliki 2 hingga 3 telefon bimbit pada satu satu masa. Seperti kata Thomas L Friedman dalam bukunya yang sangat terkenal The World is Flat : When the world goes flat – and you are feeling flattened,reach for shovel and dig inside yourself. Don’t try to build walls.Sebuah pesan yang bijak dalam menyikapi arus informasi dan teknologi yang semakin berkembang dengan melihatnya sebagai sebuah peluang dan tantangan dalam memperluas jaringan informasi dan meningkatkan kapabilitas diri. Namun begitu, kesemua pencapaian negara yang dinyatakan itu akan dianggap sia-sia jika rasuah di negara kini masih berleluasa. Sebagai contohnya, pada tujuh bulan pertama tahun 2010, penangkapan berhubung kes rasuah di negara ini didapati meningkat dengan sekurang-kurangnya 520 individu termasuk penjawat awam ditahan membabitkan pelbagai kesalahan.

Rasuah secara umumnya bermaksud perilaku di jabatan-jabatan atau pejabat-pejabat awam, termasuklah para politikus dan pegawai-pegawai, yang secara tidak wajar dan tidak sah menurut undang-undang, mengayakan diri atau memperkaya kerabatnya (keluarga dan sahabat handai), dengan menyalahgunakan kuasa dan kepercayaan awam yang diberi kepada mereka. Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sebelumnya dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah(BPR), tedapat empat kesalahan rasuah yang utama iaitu meminta atau menerima rasuah, menawar atau memberi rasuah, membuat tuntutan palsu, dan menyalahguna jawatan atau kedudukan. Oleh itu,sesuatu perlu dilakukan bagi menyelesaikan masalah ini. Fenomena rasuah juga sering dikaitkan dengan istilah tumbuk rusuk atau makan suap dan konotasi ini membawa maksud yang negatif kepada imej sesebuah masyarakat itu. Semakin tinggi kadar rasuah di sesebuah negara itu maka semakin rendahlah persepsi masyarakat luar (masyarakat antarabangsa) terhadap kemampuan rakyat negara terbabit untuk melakukan sesuatu terutama dalam aspek ekonomi. Media massa turut menyiarkan pelbagai kes yang melibatkan pegawai kerajaan berprofil tinggi yang terlibat dalam amalan rasuah ini sebagai bukti betapa masalah ini semakin menular dalam masyarakat kita. Jelaslah, fenomena sosial ini mempunyai pelbagai imlikasi dan memerlukan langkah penyelesaian yang efektif.


“Melentur buluh biarlah dari rebungnya ".Pepatah ini boleh dijadikan pedoman untuk melahirkan generasi muda yang berpegang teguh pada integriti dan membenci rasuah. Anak-anak diibaratkan sebagai sekeping kertas putih, manakala pendidik merupakan pencorak yang mencorakkannya mengikut matlamat dan idea masing-masing. Masa depan generasi muda bergantung pada ilmu dan didikan yang diberi di samping dipengaruhi oleh budaya yang baik dan juga membesar di persekitaran yang elok. Ibu bapa yang bertanggungjawab ke atas anak-anak haruslah sentiasa menjadi teladan yang baik kepada anak . Dari aspek jenayah rasuah, apabila anak yang dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan kebendaan ini mula memegang jawatan dan mempunyai kuasa, mereka akan lebih cenderung mengetepikan undang-undang dan peraturan semata-mata untuk mengaut keuntungan diri.Ibu bapa juga haruslah memberi kasih sayang yang secukupnya kepada anak-anak. Pada zaman yang penuh dengan saingan ini, ibu bapa berlumba-lumba untuk mencari rezeki. Senario ini menyebabkan masa ibu bapa bersama-sama dengan anak ataupun “masa berkualiti” amatlah sedikit sehinggakan ada yang tergamak mengabaikan anak-anak. Ibu bapa sepatutnya meluangkan masa bersama anak dan memberi pendidikan yang secukupnya untuk membina modal insan yang ihsan. Ibu bapa juga harus faham tentang jenis pendidikan yang diberi kepada anak dan impaknya sama ada menjadi orang yang berguna kepada masyarakat ataupun menjadi sampah mesyarakat. Pada era ini, ibu bapa yang semakin sibuk dengan kerjaya masing-masing sering mengabaikan aspek pendidikan kerohanian, termasuk nilai agama dan etika dalam proses mendidik anak-anak. Itulah hakikatnya yang perlu ditelan dek mengejar kemajuan duniawi.

Di samping itu, kempen, ceramah dan kursus meningkatkan integriti juga harus dipergiatkan. Kempen pendidikan pencegahan rasuah harus dilakukan secara berperingkat. Kerajaan boleh bermula dari peringkat sekolah. Baru-baru ini,, Sekolah Menengah Chung Hwa telah mengadakan Ceramah Pendidikan Pencegahan Rasuah pada November 2009. Selain itu, ceramah-ceramah juga patut diperbanyak untuk meningkatkan integriti masyarakat. Pendidik- pendidik negara digalakkan agar mengikuti kursus khas untuk mendidik generasi muda tentang kepentingan integriti, dan isu rasuah menerusi kurikulum, sahsiah dan kepimpinan supaya mereka sedar bahawa integriti amatlah penting kepada diri sendiri dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara sebagai pewaris negara pada masa hadapan. Salah satu buktinya ialah bermulanya tahun 2002, seramai 969 guru kaunseling sekolah menengah dari seluruh negara dipilih mengikuti Seminar Peranan Kaunselor Dalam Pendidikan Integriti dan Pencegahan Rasuah di peringkat sekolah. Selain guru kaunselor, pentadbir sekolah turut mengikuti seminar berkenaan. Mereka yang mengikuti seminar tersebut hendaklah memahami dan mengamalkan konsep pengurusan integriti dalam organisasi dan memainkan peranan penting dalam mendidik generasi muda tentang kepentingan integriti menerusi pelbagai kokurikulum dan kokurikulam agar mereka membenci rasuah. Moga-moga kempen,ceramah dan kursus yang pelbagai dapat member kesedaran kepada masyarakat tentang betapa pentingnya peningkatan integriti dalam membanteras rasuah

Bukan setakat itu sahaja, peningkatan integriti boleh dilaksanakan melalui pelaksanaan agenda integriti untuk institusi politik. Tanah air kita adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi dengan memilih pemerintah atau kerajaan melalui proses pilihan raya. Sistem pentadbiran ini merupakan sistem Raja berperlembagaan dengan sistem pemerintahan berparti di peringkat pusat dan negeri dengan memilih wakil rakyat. Semenjak negara mencapai kemerdekaan, sistem ini telah berjalan dengan lancar dan berjaya membawa kestabilan, keharmonian dan pembangunan kepada rakyat berbilang kaum. Oleh sebab sistem pentadbiran memberi kesan ke atas kemajuan masyarakat dan negara, maka integriti kesemua institusi ternyata penting. Parti yang memegang kuasa mempunyai tugas yang penting, iaitu memantapkan integriti dan menangani jangkaan rakyat yang kian meningkat.Rakyat kini sedar akan hak mereka. Mereka tidak lagi bersikap teragak-agak untuk mengemukakan tuntutan bagi hak mereka itu. Justeru, rakyat berhasrat mendapat pemimpin yang berkhidmat untuk pembangunan negara betul-betul mempunyai sikap yang amanah,bertanggungjawab, bertoleransi, telus dan mementingkan rakyat. Pada masa ini, terdapat persepsi dalam kalangan sebahagian masyarakat yang mencurigai integriti ahli politik. Rakyat berasa kurang yakin dengan ahli politik dan menganggap politik sebagai “ kotor’’. Pelbagai usaha harus dilakukan untuk meningkatkan citra parti politik, memastikan integriti parti dan ahli politik, meningkatkan ketelusan, mengatasi penyelewengan dan salah guna kuasa. Pelaksanaan strategi dan pelan tindakan dalam kalangan pentadbir akan meningkatkan daya tahan gerakan pemantapan etika dan integriti. Semua ini dapat menyumbang kepada pembangunan yang lestari, kestabilan politik dan kesejahteraan hidup pelbagai kaum.

Seterusnya,rakyat juga perlu betul-betul memahami konsep “1 Malaysia, Rakyat didahulukan Pencapaian diutamakan” yang diperkenalkan oleh Perdana menteri Malaysia yang keenam, Yang Amat Berhormat, Dato' Seri Najib Tun Razak sejak perlantikan rasminya sebagai perdana menteri pada 3 April 2009. Gagasan 1 Malaysia merujuk kepada enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang disasarkan oleh kerajaan dalam konteks untuk membela dan meletakkan kepentingan rakyat sentiasa diutamakan. Antara NKRA tersebut ialah memerangi rasuah. Jadi, jika rakyat benar-benar memahami konsep yang popular ini, pastinya kes rasuah tidak akan berlaku. Selain itu, ajaran agama perlu diterapkan dalam hati penduduk. Ini kerana mereka yang mengamalkan rasuah bukannya orang yang mematuhi agamanya. Mana tidaknya, semua agama menerapkan nilai-nilai murni untuk dipraktikkan dan menjauhi perkara yang buruk dan melanggari undang-undang. Dalam agama Islam contohnya, Allah subhanahua ta'ala telah berfirman yang bermaksud : dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu
dengan jalan yang batil dan janganlah kamu membawa urusan harta itu kepada hakim supaya kamu dapat memakan sebahagian harta orang lain dengan jalan dosa padahal kamu mengetahui .Dari maksud ayat di atas, Allah subhanahua ta'ala menjelaskan kepada kita agar kita jangan memakan harta orang lain dengan jalan yang salah atau batil, termasuk makan harta orang lain dengan cara yang salah iaitu menerima rasuah.

Kesimpulan yang boleh saya buat ialah kita hendaklah berkerjasama dan bersatupadu bagi membanteras rasuah yang kian meningkat. Selain itu, kita juga perlu menjauhi sifat tamak yang boleh menyebabkan perbuatan rasuah serta mengelakkan diri daripada berbelanja melebihi pendapatan . Berikutan semakin seriusnya usaha menangani gejala ini , rakyat sangat berharap tiada sesiapa akan terkecuali daripada tindakan undang – undang . Martabat atau parti politik bukan payung yang melindungi sesiapa daripada penghakiman dan hukuman. Kita yakin bahawa hukuman yang setimpal boleh menerbitkan perilaku baik seseorang . Sehubungan itu , dalam memerangi gejala ini , semua pihak perlulah bertindak secara menyeluruh dan berterusan . Jika kita sepakat melakukannya ,tiada sebab kita akan gagal. Bagi rakyat jelata pula, janganlah hanya duduk diam. Bertindaklah dan bantulah kerajaan sedaya upaya kerana mereka sentiasa bertungkus lumus untuk memastikan negara kita berada dalam landasan yang betul untuk menjadi negara maju menjelang 2020. Janganlah pula memandang enteng program yang dijalankan kerajaan. Ingat, anda mempunyai peranan penting sebagai warganegara Malaysia yang bertanggungjawab. Usah biarkan perkara ini mencacatkan lagi ekonomi negara kerana pada masa itu, nasi sudah menjadi bubur dan segala usaha ketika itu pastinya tidak akan berhasil.

No comments:

Post a Comment