...............Dewasa ini, industri hiburan tanah air semakin berkembang
maju. Kemajuan industri ini dapat dilihat melalui monopoli media massa
tempatan baik media cetak mahupun media elektronik yang lebih cenderung
pada berita-berita bercorak keseronokan berbanding dengan berita
bercorak pengetahuan. Namun apa yang amat dikesali, ada juga golongan
yang cuba meraih keuntungan mudah dengan mengeksploitasi para remaja
khususnya golongan pelajar agar melibatkan diri dalam dunia hiburan
biarpun sepatutnya mereka perlu menggalas wadah memajukan diri dalam
bidang pendidikan. Lantaran budaya berhibur melebihi keutamaan menuntut
ilmu, situasi kini sudah pasti memberi impak yang negatif kepada
generasi akan datang. Justeru, apakah kewajaran yang membolehkan
golongan pelajar melibatkan diri dalam dunia hiburan dan apakah pula
kesannya?
...............Antara kesan negatif yang bakal timbul ialah kesukaran
pelajar untuk membahagikan waktu di antara melibatkan diri dalam dunia
hiburan dengan tugas utama mereka iaitu menuntut ilmu. Dalam usia yang
masih terlalu muda, dunia pelajar seharus ditumpukan sepenuhnya untuk
memperoleh ilmu sebagai menggalas aspirasi menjadi insan yang berilmu
dan berpengetahuan. Namun jika mereka terlibat dengan dunia hiburan,
masa yang ada terpaksa dibahagikan pula dengan tanggungjawab mereka
untuk memajukan diri dalam bidang hiburan. Hal ini sudah tentu akan
menjejaskan keupayaan mereka meluangkan waktu pada pelajaran dan
kesannya bakal memberi impak yang tidak baik kepada pelajar itu sendiri.
Sekiranya seseorang pelajar terlibat secara langsung dalam bidang
nyanyian atau lakonan, mereka memerlukan masa yang panjang bukan sahaja
untuk mengikuti penggambaran atau pertunjukan yang diadakan malah masa
untuk berlatih juga perlu diambil kira. Justeru, kesannya akan
menyebabkan kesukaran kepada mereka untuk memperuntukan waktu yang
secukupnya pada pelajaran.
...............Pada masa yang sama, penglibatan pelajar dalam Program
Realiti Hiburan seperti yang kerap kita lihat di kaca televisyen akan
menjejaskan peluang pelajar bergiat dalam aktiviti yang dijalankan di
sekolah. Penglibatan mereka juga menyebabkan pelajar terpaksa mengambil
cuti untuk melaksanakan kehendak penganjur hiburan mengadakan
pertunjukan di mana-mana juga. Akibat terikat dengan kontrak bersama
dengan syarikat hiburan, para pelajar terpaksa melupakan tugas utama
mereka dalam usia muda iaitu melaksanakan aspek pembelajaran dan
mengikuti aktiviti kokurikulum yang telah ditetapkan. Hal seperti ini
akan menyebabkan para pelajar yang terbabit ketinggalan dalam pelajaran
dan menjejaskan prestasi mereka dalam peperiksaan. Bayangkanlah, apa
yang bakal berlaku kepada generasi kita pada masa depan jika rakyatnya
tidak berilmu lantaran memilih bidang hiburan dan mengetepikan ilmu
pengetahuan. Janganlah pula sampai ‘yang dikejar tak dapat, yang
dikendong keciciran’.
...............Realiti hidup sebagai seniman sebenarnya adalah terlalu
kompleks dan penuh dengan tipu muslihat. Persoalannya, mampukah golongan
remaja seperti pelajar mengharungi kehidupan dan menyahut cabaran dalam
dunia artis yang penuh cabaran? Bakat yang dimiliki sahaja mungkin
tidak mencukupi jika ilmu di dada tidak seberapa. Menyertai bidang
hiburan memerlukan seseorang yang mampu mendepani segala rintangan,
apatah lagi dunia hiburan masa kini berdepan dengan pelbagai saingan
yang terlalu rumit. Dalam usia setahun jagung, kemungkinan untuk menempa
nama dalam dunia hiburan adalah terlalu kecil, lantas mereka berdepan
pula dengan kemungkinan menghadapi kegagalan. Mampukah golongan semuda
ini berdepan dengan kegagalan? Kita amat bimbang, kegagalan akan
menjerumuskan golongan pelajar dalam gejala sosial yang tidak sihat
seperti penyalahgunaan dadah, sek bebas dan sebagainya. Justeru, sebelum
menceburi bidang hiburan, remaja khususnya pelajar perlulah bijak
menilai dan memilih sebelum membuat keputusan.
...............Selain itu, dunia hiburan dan pendidikan dilihat sebagai
dua dunia yang begitu berbeza. Lihat sahaja pertuturan seorang artis,
pergaulan bebas sesame peminat, pakaian malah keseluruhan gaya hidup
mereka. Hal ini amat berbeza sama sekali dengan objektif pendidikan yang
berperanan melahirkan insan yang seimbang dari segi rohani, emosi dan
jasmani. Ambil sahaja contoh rambut seorang artis, bergaya, panjang dan
berwarna. Hal ini amat bertentangan dengan kehendak didiplin yang telah
ditetapkan oleh kerajaan. Persoalannya nanti, mahukah golongan golongan
pelajar yang telah masuk dalam golongan artis berpakaian kemas, berambut
pendek dan menggayakan perlakuan sopan di khalayak ramai? Mampukah
mereka merendahkan rasa ego mereka apabila berada di sekolah bersama
rakan-rakan mereka yang lain? Kesannya lebih menjurus pada keburukan dan
boleh mewujudkan konflik dalam diri pelajar terbabit. Hal inilah yang
perlu difikirkan dengan serius sebelum mengambil pendirian untuk
menyertai bidang hiburan.
...............Ada pula pandangan yang mengatakan bahawa mereka yang
menyertai bidang hiburan adalah individu yang mementingkan ‘glamour’ dan
bersifat meterialistik. Kenyataan ini mungkin ada kebenarannya jika
dilihat dari situasi industry hiburan kita pada hari ini. Kejayaan
seseorang pelajar dalam dunia hiburan mungkin bakal melahirkan pelajar
yang bersifat bongkak, sombong dan memandang rakan dan guru sebagai
manusia yang tidak patut dihargai. Lihat sahaja perlakuan seorang artis
remaja ketika bercakap dengan seorang jururawat di sebuah hospital. Apa
pula pandangan anda jika seorang artis remaja mengherdik seorang
pengawal di sebuah lapangan terbang di Sepang? Sikap bongkak ini lahir
apabila mereka merasakan diri mereka terlalu ‘glamour’ sehingga
memandang rendah orang lain yang bukan golongan artis. Natijahnya, sikap
negatif sebegini lahir disebabkan kurangnya nilai-nilai moral yang
sepatutnya mereka pelajari di sekolah. Malangnya, oleh sebab terlalu
banyak waktu digunakan untuk dunia hiburan, nilai-nilai moral sebegini
terus dilupakan.
...............Intiharnya, dunia hiburan masa kini bukanlah dunia
seorang pelajar. Sebagai pelajar, mereka perlu mempunyai acuan sendiri
iaitu menyahut cabaran mendepani bidang ilmu yang terlalu luas dan tidak
bertepi. Menuntut ilmu memerlukan komitmen yang menyeluruh dan bukan
sekadar melepaskan batuk di tangga. Andai terbuka hati untuk menyertai
industri hiburan, berilah ruang untuk memenuhi ilmu di dada terlebih
dahulu kerana hanya ilmu yang mampu membina impian masa depan gemilang.
Menjelang tahun 2003, bahasa Inggeris telah mula digunakan dalam
pendidikan di Malaysia. Sistem ini dimulakan apabila bahasa Inggeris
dijadikan bahasa penghantar untuk mata pelajaran sains dan matematik.
Pelaksanaannya dijalankan secara berperingkat-peringkat yang dimulakan
kepada pelajar tahun 1 serta pelajar tingkatan 1. Beberapa tahun
kemudian, semua pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah telah
menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pendidikan sains dan
matematik. Biarpun program ini diliputi dengan pelbagai kontravesi namun
tindakan kerajaan melaksanakan dasar penggunaan bahasa Inggeris dalam
pendidikan memberi pelbagai kebaikan.
............Antara faedah menguasai bahasa Inggeris dalam pendidikan
adalah bagi membolehkan pelajar menguasai isi pelajaran yang
kebanyakannya bersumberkan bahasa Inggeris. Sebagai contohnya,
memandangkan beberapa mata pelajaran penting seperti sains, matematik,
teknologi maklumat dan sebagainya menggunakan bahasa Inggeris maka
kegagalan pelajar menguasai bahasa ini akan melemahkan penguasaan
pelajar dalam mata pelajaran yang disebutkan tadi. Pepatah Melayu pernah
menyebut, “kalau tidak dipecahkan ruyung, masakan dapat sagunya”.
Begitulah juga halnya, jika penggunaan bahasa Inggeris tidak dimulai
dari sekarang, selagi itulah para pelajar akan ketinggalan dalam mata
pelajaran tersebut. Justeru, penggunaan bahasa Inggeris adalah amat
perlu dikuasai agar para pelajar dapat memperoleh ilmu npengetahuan yang
kebanyakannya hanya dapat diperoleh melalui kemahiran berbahasa
Inggeris.
............Selain itu, bahasa Inggeris juga penting dalam pendidikan di
negara kita selaras dengan objektif pendidikan yang ingin melahirkan
individu yang mampu bersaing dalam dunia global. Penguasaan bahasa
inggeris yang dimulakan dari sekolah mampu melahirkan individu yang
dapat berkomunikasi dengan berkesan dengan individu lain dari seluruh
dunia. Sebagai contohnya, kemahiran berbahasa Inggeris amat penting
apabila seseorang individu ditugaskan di luar Negara atau membawa misi
negara di luar negara. Kegagalan berkomunikasi dengan berkesan
menggunakan bahasa Inggeris akan menjejaskan pelbagai peluang baik
berupa peluang ekonomi mahupun sosial. Jelasnya, pendidikan bahasa
Inggeris di peringkat sekolah mampu melahirkan individu yang “berdiri
sama tinggi dan duduk sama rendah” dengan masyarakat lain di seluruh
dunia.
............Penggunaan bahasa Inggeris dalam pendidikan juga penting
kerana dengan penguasaan bahasa tersebut para pelajar yang mendapat
keputusan peperiksaan baik dapat berpeluang untuk melanjutkan pelajaran
di luar Negara. Memandangkan bahasa Inggeris telah diterima sebagai
bahasa antarabangsa, kebanyakan universiti teragung di seluruh dunia
menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar. Jika seseorang
pelajar dapat menguasai bahasa tersebut dengan baik maka peluang mereka
untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara adalah lebih cerah. Sebagai
contohnya, institusi pendidikan swasta seperti kebanyakan institusi
pendidikan swasta di negara kita juga telah mengimplementasi penggunaan
bahasa inggeris sebagai bahasa penghantar mereka di institusi pendidikan
tinggi swasta. Oleh yang demikian, para pelajar yang bercita-cita untuk
melanjutkan pelajaran ke institusi pendidikan tinggi perlulah menguasai
bahasa Inggeris dengan baik.
............Pada masa yang sama, penggunaan bahasa Inggeris juga penting
kepada para pelajar bagi tujuan mendapatkan pekerjaan pada masa depan.
Perlu diingat bahawa majikan akan lebih tertarik untuk mengambil pekerja
yang mampu berkomunikasi dalam pelbagai bahasa termasuklah berbahasa
Inggeris. Sebagai contohnya, pekerjaan dalam bidang telekomunikasi,
penyiaran, teknologi maklumat dan sebagainya amat memerlukan penggunaan
bahasa Inggeris. Oleh itu, lepasan sekolah atau universiti yang mahir
berbahasa Inggeris lebih mudah mendapat pekerjaan berbanding dengan
mereka yang kurang menguasai bahasa Inggeris. Tambahan pula, mereka yang
mahir berbahasa Inggeris lebih diminati oleh majikan dari
syarikat-syarikat besar yang biasanya menawarkan pendapatan lebih
lumayan. Jelasnya, bahasa Inggeris amat penting dipelajari di sekolah
demi memanfaatkan pelajar bagi tujuan membina kerjaya pada masa yang
akan datang.
______Sementara itu, kemajuan ekonomi negara yang telah melepasi
sempadan negara, mengakibatkan Malaysia memerlukan penduduk yang mampu
berbahasa Inggeris dengan baik agar dapat bersaing dengan mereka dari
seluruh dunia. Pendidikan bahasa Inggeris amat penting bagi melahirkan
masyarakat yang dapat berkomunikasi dengan masyarakat antarabangsa.
Sebagai contohnya, perkongsian dalam bidang ekonomi, sosial mahupun
bidang teknologi memerlukan mereka yang mahir berbahasa Inggeris.
Umumnya, mereka yang gagal menguasai bahasa ini akan berdepan dengan
pelbagai rintangan yang dapat mengganggu komunikasi serta boleh
menggagalkan peluang yang tersedia pada peringkat antara bangsa.
Justeru, pendidikan bahasa Inggeris di sekolah berperanan membina
masyarakat yang lebih berdaya saing pada peringkat global suatu hari
nanti.
______Intihanya, bahasa Inggeris merupakan bahasa yang amat perlu
dipelajari dan dikuasai oleh semua pelajar. Seseorang yang dapat
menguasai bahasa ini akan lebih berkeyakinan dan mampu merebut peluang
yang tersedia sama ada pada peringkat nasional atau pada peringkat
antara bangsa. Namun begitu, biar bagaimana penting sekalipun bahasa
Inggeris ini digunakan oleh masyarakat antarabangsa namun penggunaan
bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara amat perlu dipertahankan dan
dipertingkatkan martabatnya. Kita tidak mahu bahasa rasmi kita pupus
akibat kelalaian kita mengagungkan bahasa Inggeris umpama kata pepatah
Melayu “yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran”.
……….Pembangunan di negara kita semakin hari semakin maju dan pesat
seiring dengan nama Malaysia yang kini berjaya menempa nama di persada
antarabangsa. Banyak kilang perindustrian, pusat beli-belah dan
perumahan dibina bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Senario ini telah
menggunakan ruang yang luas sehingga memakan tanah yang
berhektar-hektar. Antara isu yang hangat yang telah dibincangkan adalah
sama ada Stadium Merdeka patut dirohohkan untuk pembangunan kerana
bangunan itu tidak lagi berfungsi sebagai tapak akvtiviti sukan lagi.
Isu tersebut pernah menjadi polemik pelbagai lapisan masyarakat kita.
Mengapakah ada kejadian seperti ini berlaku? Adakah perlu bangunan
tersebut diruntuhkan? Tepuk dada tanyalah selera. Sebenarnya, terdapat
pelbagai kepentingannya kita perlu mengekalkan bangunan bersejarah yang
terdapat di negara kita.
.
……….Satu daripada kemaslahatan bangunan bersejarah perlu dikekalkan
ialah bangunan bersejarah dapat dijadikan sebagai bukti yang kukuh
kepada sesuatu era atau peristiwa sejarah yang telah berlaku. Monumen,
mengikut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat bermaksud bangunan yang dibina
untuk memperingati seseorang atau peristiwa penting. Walaupun Malaysia
telah mencapai kemerdekaan selama 52 tahun, kesan yang ditinggalkan oleh
penjajah kolonial seperti British, Belanda dan Portugis masih dapat
dilihat dan perlu dijaga dan bukanlah untuk dimusnahkan. Di samping itu,
bangunan bersejarah amat penting untuk generasi kini dan juga generasi
yang akan datang kerana dengan kewujudan bangunan bersejarah, kita dapat
membuktikan bahawa sejarah Malaysia yang telah dicatat merupakan
sesuatu yang realistik dan bukanlah cerita-cerita dongeng, mitos atau
legenda. Sebagai contohnya, zaman kegemilangan bandar pelabuhan Melaka
pada abad ke-15 dan abad ke-16 dapat dirasai dengan wujudnya Pintu
Gerbang Porta de Santiago, Gereja Christ, Bangunan Stadhuys dan Gereja
St.Paul. Selain itu, Kota Cornwallis, Masjid Kling, Gereja St.George di
Georgetown, Pulau Pinang dapat mengimbas kembali detik-detik sejarah
negara yang pernah suatu masa dahulu dijajah dan juga dapat membuktikan
bahawa berlakunya penjajahan awal pemerintahan British di Semenanjung
Tanah Melayu pada akhir abad ke-18. Tegasnya, usaha meruntuhkan bangunan
bersejarah dan monuman negara tidak wajar dilaksanakan.
.
……….Pendapat sesetengah pihak yang mengatakan bahawa bangunan bersejarah
perlu diruntuhkan adalah tidak berasas kerana bangunan bersejarah dan
monumen lama dapat memberikan teladan dan iktibar kepada masyarakat
terutamanya remaja kini yang mempunyai semangat patriotisme yang semakin
menipis. Walaupun ada antara bangunan bersejarah yang hanya
menggambarkan sejarah hitam negara, namun jika kita menghayati sejarah
di sebalik bangunan tersebut semula serta mengambil pengajaran daripada
peristiwa yang telah berlaku, maka kita dapat terus mara ke hadapan
tanpa mengulangi kesilapan yang telah dilakukan oleh masyarakat
terdahulu. Sebagai contohnya, Kota A Famosa di Melaka yang merupakan
sebuah kubu pertahanan yang kukuh telah dibina oleh Portugis setelah
mereka berjaya menakluki Melaka dapat dijadikan iktibar. Penaklukan ini
terjadi kerana terdapatnya masalah perpaduan, kelemahan kepemimpinan dan
juga kelemahan tentera pada zaman Kesultanan Melaka. Negara kita
jugamampu menjadi negara yang setaraf dengan negara-negara maju yang
lain bagai berdiri sama tinggi duduk sama rendah sekiranya kita tidak
mengambil mudah dan mengambil iktibar daripada sejarah negara. Oleh itu,
bangunan bersejarah di negara kita sememangnya tidak perlu diruntuhkan
kerana yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.
.
……….Bukan itu sahaja, dari sudut pelancongan pula, bangunan bersejarah
dan monumen dapat menarik pelancong baik pelancong domestik mahupun
pelancong dari luar negara untuk melawat ke negara kita. Bangunan ini
juga menjadi salah satu faktor dominan pelancong bercuti di negara kita
selain menyaksikan pemandangan alam yang indah. Oleh itu, bangunan
bersejarah tidak perlu diruntuhkan sebaliknya dipulihara dan diubah
suai. Sebagai contohnya, bangunan lama hendaklah diubah suai untuk
dijadikan muzium, galeri seni lukis dan pusat pelancongan. Fenomena ini
sudah menjadi suatu perkara biasa di beberapa buah negara Eropah seperti
di England, Perancis, Itali, dan Belanda. Bandar-bandar bersejarah
seperti York, Bath, Oxford, dan Cambridge di England telah berjaya
melindungi sebahagian besar daripada bangunan bersejarah mereka dengan
baik. Usaha seperti ini dapat menarik lebih ramai pelancong dari seluruh
dunia dan dapat menjadi sumber pendapatan negara. Di samping itu,
pelancong juga dapat melawat bangunan bersejarah dan melihat
monumen-monumen yang terdapat di sekitar bangunan selain menikmati
keindahan alam semula jadi negara kita dan artifak-artifak di dalam
muzium dan galeri seni lukis bagai menyelam sambil minum air. Oleh itu,
bangunan dan monumen ini secara tidak langsung dapat membantu industri
pelancongan negara.
.
……….Di samping itu, bangunan dan monumen lama juga memainkan peranan
yang penting dalam pendidikan di negara kita khususnya para pelajar dan
penyelidik. Pelbagai ilmu yang dapat dipelajari dengan memahami dan
mengkaji bangunan dan monumen lama. Sebagai contohnya, dengan
terdapatnya bangunan dan pancutan air Horse di sekitar Dataran Merdeka
dan Masjid Jamek di pertemuan Sungai Gombak dan Klang di Kuala Lumpur,
seseorang dapat mengetahui bukan sahaja kepentingan Kuala Lumpur dalam
era kolonial British tetapi juga kehidupan dan kebudayaan masyarakat
penjajah dan tempatan pada ketika itu. Bangunan Kelab Di Raja Selangor
dan Dataran Merdeka telah dibina bagi kemudahan sosial dan rekreasi
khasnya kepada rakyat British dan Eropah yang berkhidmat di Tanah Melayu
pada akhir abad ke-19. Begitu juga halnya dengan kepentingan pancutan
air Horse yang telah dibina di persimpangan Jalan Raja dan Jalan Raja
Laut pada tahun 1897. Pancutan air Horse dibina sebagai memperingati
seorang inspektor polis negeri Selangor, iaitu Encik Steve Harper.
Pemuliharaan dan penghayatan kemaslahatan bangunan bersejarah persis
peribahasa, yakni “tak kenal maka tak cinta”. Oleh itu, bangunan
bersejarah dan monumen sememangnya mempunyai nilai yang tersendiri.
.
……….Secara tuntas, bangunan bersejarah amat penting dalam pembentukan
minda generasi muda negara terutamanya ke arah penghayatan warisan dan
khazanah negara. Bangunan dan monumen yang bersejarah merupakan aset
yang patut dipelihara dan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi.
Dengan terdapatnya bangunan bersejarah, generasi baharu akan lebih
menghargai dan peka akan perkembangan sejarah negara. Hal ini akan
membentuk sebuah masyarakat yang sensitif terhadap sebarang perobohan
atau pemusnahan bangunan bersejarah. Sesungguhnya, pihak kerajaan pula
perlulah mewartakan bangunan bersejarah sebagai bangunan yang perlu
dikekalkan dan dilestarikan, bak kata pepatah “tak lapuk dek hujan, tak
lekang dek panas”. Oleh hal yang demikian, mana-mana pihak yang
merobohkan atau memusnahkan bangunan bersejarah, mereka perlulah
dikenakan tindakan undang-undang.
............Malaysia merupakan salah satu destinasi pelancongan utama di
dunia. Saban tahun, jumlah pelancong yang direkodkan semakin bertambah
bukan sahaja pelancong dari negara jiran seperti Singapura, Thailand dan
Indonesia malah turut menjadi tumpuan pelancong asing dari Asia Barat,
Eropah dan Amerika Syarikat. Industri pelancongan ini juga mempunyai
potensi besar dan mampu dijadikan sumber ekonomi baharu yang
menguntungkan. Justeru, banyak syarikat besar yang tumbuh “bak cendawan
selepas hujan” mahupun agensi kerajaan yang giat melaksanakan usaha bagi
menarik pelancong berkunjung ke Malaysia. Sebenarnya terdapat pelbagai
faktor yang menyebabkan Malaysia menjadi tumpuan pelancong.
............Antara faktor tersebut adalah kerana Malaysia mempunyai
banyak tempat menarik untuk dilawati. Tempat menarik tersebut lazimnya
menjadi tumpuan pelancong asing yang berkunjung ke negara kita. Sebagai
contohnya, Malaysia memiliki kawasan rekreasi di tanah tinggi yang
mempunyai suhu sejuk seperti Cameron Highlands dan Genting Highlands. Di
kawasan ini, para pelancong dapat menikmati keindahan alam semula jadi
yang unik di samping melihat pelbagai tanaman hawa sederhana iaitu
sayur-sayuran serta buah-buahan tropika. Malaysia juga mempunyai hutan
semula jadi iaitu hutan hujan Khatulistiwa yang berusia lebih dua juta
tahun. Di kawasan hutan semula jadi ini pelancong dapat menjalankan
aktiviti riadah sambil menikmati keindahannya mahupun menjalankan kajian
tentang flora dan fauna yang terdapat di situ. Justeru, kewujudan
kawasan reakrasi seperti ini dapat menarik pelancong dari dalam dan dari
luar negara.
............Selain itu, perkembangan industri pelancongan di negara kita
juga disebabkan oleh keadaan iklim semula jadinya yang panas sepanjang
tahun. Corak iklim seperti ini amat digemari oleh pelancong asing
khususnya pelancong dari negara-negara barat seperti negara Eropah dan
Amerika Syarikat. Ramai pelancong barat yang mengambil kesempatan
bercuti di Malaysia untuk berjemur di bawah sinaran matahari terik
terutamanya di kawasan pantai yang terdapat di Malaysia. Hal ini
disebabkan juga oleh keadaan pantai yang terdapat di Malaysia amat
cantik, bersih dan berpasir putih. Di kawasan pantai ini juga disediakan
pelbagai aktiviti untuk para pelancong seperti berkayak, berperahu
layar mahupun mandi-manda. Oleh itu, keistimewaan tersebut berjaya
menambat hati para pelancong untuk terus berkunjung ke negara kita.
............Di samping itu, perkembangan industri pelancongan di negara
kita juga turut disebabkan oleh kewujudan banyak pulau yang indah dan
menarik. Di antara pulau yang menjadi tumpuan para pelancong di negara
kita termasuklah Pulau redang, Pulau Kapas dan Pulau Tioman. Kemudahan
prasarana di kawasan ini dijaga dengan rapi bagi memastikan kawasan ini
sentiasa bersih dan selesa untuk kunjungan para pelancong. Para
pelancong juga akan dapat merasai “syurga dunia” dengan melakukan
aktiviti skuba di kawasan batu karang yang terletak di Pulau Kapas
sehingga diakui sebagai satu daripada tujuh keajaiban dunia. Bagi
memastikan pelancong dapat menikmati keindahan semula jadi di kawasan
pulau tersebut, kerajaan telah mewartakan kawasan itu sebagai Taman
Laut. Jadi, dengan adanya keistimewaan tersebut, Malaysia dapat menarik
lebih ramai pelancong yang sekaligus dapat menjana kemajuan industri
pelancongan negara.
.............Pada masa yang sama, kemajuan industri pelancongan tanah
air dibantu oleh wujudnya keunikan budaya di negara kita. Memandangkan
Malaysia merupakan sebuah negara yang memiliki masyarakat majmuk maka
pelbagai budaya menarik terdapat di sini. Gabungan budaya masyarakat
Melayu, Cina dan India telah berjaya meningkatkan kunjungan pelancong
asing ke Malaysia. Kaum Melayu umpamanya terkenal dengan tarian inang
dan zapin manakala kaum Cina pula terkenal dengan tarian naga. Selain
itu, Malaysia juga kaya dengan pelbagai makanan tradisional yang dapat
dinikmati oleh para pelancong. Masyarakat Melayu misalnya terkenal
dengan makanan seperti Sate, ketupat dan rendang manakala kaum India
pula terkenal dengan masakan kari, tosei, idali dan lain-lain. Justeru
keunikan budaya masyarakat di Malaysia telah berjaya menjadi daya
tarikan kepada para pelancong untuk berkunjung ke negara kita.
.............Peranan pihak kerajaan dan agensi kerajaan yang berkaitan
dengan pelancongan juga turut memajukan sektor pelancongan di Malaysia.
Sebagai contohnya, Kementeria Pelancongan telah mengadakan pelbagai
pertunjukan kebudayaan dan destinasi pelancongan Malaysia ke beberapa
buah negara sebagai usaha mempromosikan Malaysia kepada pelancong asing.
Tumpuan promosi bukan sahaja terhad ke negara-negara Eropah atau
Amerika Syarikat malah meliputi semua negara di dunia termasuk di Asia
Barat dan di Asia Timur. Pada masa yang sama, kerajaan juga turut
mengadakan pelbagai aktiviti tahunan bagi menarik lebih ramai pelancong
seperti mengadakan Pesta Flora Kuala Lumpur, Pesta Makanan Tradisional
Malaysia, sukan Le Tour De Langkawi dan sebagainya. Malaysia juga turut
memperkenalkan konsep pelancongan baru seperti “ekopelancongan”,
“agrotourism”, pelancongan perubatan, pelancongan pendidikan dan
lain-lain. Dengan usaha yang berterusan ini maka sektor pelancongan di
Malaysia semakin berkembang maju.
.............Intihanya, sektor pelancongan merupakan sektor baru yang
berpotensi untuk menyumbang pada ekonomi negara. Industri ini masih
perlu diterokai kerana “kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat
sagunya”. Justeru, peranan kerajaan dan agensi pelancongan berserta
dengan kerjasama daripada semua masyarakat adalah amat diperlukan.
Semoga melalui keprihatianan dan rasa bertanggungjawab dan cinta akan
negara, nama Malaysia akan menjadi sebutan dan tumpuan utama seluruh
penduduk dunia untuk berkunjung sambil merehatkan minda mereka.
............Anak-anak merupakan anugerah Allah yang amat berharga kepada
setiap pasangan suami isteri. Mereka merupakan penyambung zuriat dan
pewaris sesebuah keluarga. Adanya anak justeru bertambahlah rezeki yang
Allah berikan kepada setiap pasangan yang telah berkahwin. Mereka juga
sebagai penghibur di dalam rumah tangga dengan hilai tawa dan tangisan
yang senantiasa memerlukan belaian kasih sayang secukupnya daripada ibu
bapa. Namun, sekarang kita telah mendengar pelbagai keg penderaan
kanak-kanak berlaku di sana sini yang semakin berleluasa sebagaimana
yang telah disiarkan di dalam akhbar dan berita di televisyen.
Pendera-pendera ini boleh dikategorikan sebagai tidak berhati perut
kerana ada antara pendera-pendera itu ialah ibu bapa kandung kepada
mangsa.
............Terdapat banyak faktor atau punca berlakunya kes-kes
penderaan kanak-kanak ini. Antaranya ialah, bagi ibu bapa yang bekerja
mungkin mereka menghadapi tekanan di tempat kerja. Masalah dan tekanan
di tempat kerja dibawa balik ke rumah dan mereka melepaskan tekanan
tersebut kepada anak- anak yang tidak berdosa. Tabiat anak-anak yang
masih kecil memang stika merengek kerana mereka perlukan perhatian
daripada ibu bapa. Tindakan ibu bapa yang melepaskan geram dan tekanan
mereka kepada anak-anak yang merengek kerana perlukan sesuatu adalah
merupakan satu tindakanyang tidak masuk akal. Ibu bapa yang tidak
berfikiran matang ini mungkin akan memukul, menerajang, mencucuk putung
rokok, atau sebagainya. Apalah dosa mereka sehingga diperlakukan
sebegitu.
............Faktor lain yang menjadi punca penderaan kanak-kanak adalah
kerana masalah kewangan yang dihadapi oleh sesebuah keluarga itu.
Masalah kewangan yang melanda sesebuah keluarga akan menyebabkan mereka
bertindak ganas terhadap anak-anak. Jika anak-anak meminta duit belanja
atau keperluan lain, sudah semestinya anak akan menjadi mangsa sepak
terajang mereka. Keadaan sebegini amat menyedihkan kerana anak-anak
tidak sepatutnya diperlakukan sebegitu pada usia mereka yang masih
memerlukan kasih sayang dan perlindungan. Jika masalah kewangan melanda
sesebuah keluarga janganlah dilepaskan kepada anak-anak dan fikirlah
cara yang terbaik untuk menyelesaikan masalah. Mintalah pertolongan
daripada Allah supaya hati kita lebih tenang.
............Ada juga antara ibu bapa yang mendera anak-anak mereka
kerana krisis rumah tangga yang berlaku seperti pergaduhan antara suami
isteri dan mungkin disebabkan gangguan pihak luar. Contohnya, suami akan
menjadi lebih garang dan mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga
kerana mempunyai kekasih barn. Hasilnya pergaduhan antara suami isteri
sering berlaku dan anak-anak pastinya menjadi mangsa pergaduhan.
............Selain itu, faktor paling utama berlakunya masalah penderaan
anak-anak ini ialah kurangnya pendidikan agama di kalangan ibu bapa.
Ilmu agama amat penting di dalam rumah tangga kerana ia boleh memberi
panduan yang terbaik dalam menguruskan keluarga. Setiap masalah yang
berlaku pasti ada penyelesaiannya jika berlandaskan kepada al-Quran dan
al-Sunnah. Islam telah menerapkan sikap yang baik yang perlu dicontohi
oleh setiap umatnya seperti tahap kesabaran yang tinggi terutamanya
dalam melayan kerenah anak-anak. AI-Quran juga telah menjelaskan kepada
kita iaitu azab yang pedih bagi sesiapa yang tidak menjaga amanahnya
dengan baik seperti juga anak-anak yang merupakan amanah Allah kepada
kita.
............Masalah penderaan kanak-kanak ini perlulah dibendung dan
diatasi dengan segera. Antara cara untuk mengatasinya adalah dengan
mengadakan kempen “Keluarga Bahagia” bagi menyedarkan ibu bapa tentang
tanggungjawab mereka. Semestinya setiap orang mengimpikan keluarga yang
bahagia kerana keluarga adalah segala-galanya bagi kita. Tanpa keluarga
tercinta hidup pasti tidak bermakna. Sesungguhnya kita memerlukan
insan-insan tersayang di samping kita. Jadi, dengan adanya kempen ini
sedikit sebanyak boleh mengelakkan daripada berlakunya kespenderaan
anak-anak.
............Pihak yang berkuasa juga haruslah mengambil tindakan yang
lebih tegas seperti mengenakan hukuman yang berat bagi ibu bapa atau
sesiapa sahaja yangmendera kanak-kanak. Mempertingkatkan penguatkuasaan
undang-undang boleh menyebabkan pendera-pendera berasa takut akan
hukuman yang bakal mereka hadapi akibat perbuatan sendiri yang tidak
berperikemanusiaan.
............Pihak-pihak yang berwajib juga perlulah mengadakan
kelas-kelas bimbingan bagi memberikan pendidikan keibubapaan kepada
setiap pasangan yang akan mendirikan rumah tangga. Pendidikan ini amat
penting kepada setiap pasangan bagi menyedarkan mereka akan
tanggungjawab yang besar harus dipikul setelah berumah tangga. Mereka
aka:n lebih jelas tentang cara-cara untuk mendidik anak-anak dan kaedah
untuk melayan suami atau isteri dengan baik. Dengan itu, masalah
penderaan kanak-kanak akan dapat diatasi.
............Kesimpulannya, penderaan kanak-kanak merupakan perbuatan
keji yang dilarang keras oleh agama. Hal ini kerana perbuatan sebegitu
seolah-olah bertujuan untuk menjahanamkan aset penting negara pada masa
akan datang dan memusnahkan keturunan kita sendiri. Ingatlah, anak-anak
merupakan amanah Allah yang sangat suci dan bersih. Oleh itu, menjadi
tanggungjawab kita untuk membentuknya menjadi seorang yang baik atau
sebaliknya. Jika mereka selalu diperlakukan dengan tindakan negatif
semasa kecilnya, tidak mustahil mereka akan menjadi lebih ganas apabila
meningkat dewasa. Jadi, sayangilah anak-anak dan jauhilah kes penderaan
kanak-kanak kerana ia tidak menguntungkan mana-mana pihak malah dosa
yang akan kita dapat di akhirat nanti.
Semangat kejiranan merujuk semangat membantu masyarakat setempat
terutama jiran bersebelahan dalam kehidupan seharian mereka. Sememangnya
semangat kejiranan ini semakin hilang dalam masyarakat kita sehingga
menimbulkan pelbagai isu semasa pula. Jadi, ada banyak kaedah yang boleh
dilaksanakan untuk memastikan semangat ini berterusan kerana memang ada
kepentingannya.
.............Langkah awal ialah masyarakat menghidupkan semua konsep
rukun tetangga di kawasan perumahan mereka. Rukun tetangga berfungsi
untuk mengawal keselamatan kawasan perumahan terutama pada malam hari.
Aktiviti ini memerlukan pembabitan semua pihak tanpa mengira kaum yang
mampu menanam semangat kejiranan ketika melakukan rondaan bersama-sama.
Oleh itu, hubungan rapat yang terjalin melalui rukun tetangga ini
mengeratkan lagi perhubungan antara jiran.
.............Selain itu, semangat ini mampu dipupuk dengan mengadakan
pelbagai majlis yang bercorak setempat. Majlis perkahwinan, rumah
terbuka dan hari keluarga mampu menghidupkan semula semangat yang murni
ini. Semua jiran akan beramah mesra dan mengenali satu sama lain melalui
majlis seperti ini. Sesungguhnya, semangat kejiranan berupaya tumbuh
dengan subur berdasarkan majlis sebegini.
.............Kerajaan turut mampu memainkan peranan dengan mengadakan
kempen kesedaran semangat kejiranan ini. Penggunaan media massa seluas
mungkin dengan iklan yang menarik sudah pasti berupaya menarik perhatian
masyarakat terhadap isu ini. Masyarakat akan mula mempersoal tahap
semangat kejiranan mereka dan berusaha ke arah mengekalkan serta
meningkatkan semangat itu di kawasan mereka. Sememangnya kerajaan
berperanan penting dalam memulakan usaha memupuk semangat mulia ini.
.............Dalam masa yang sama sikap dan persepsi masyarakat perlu
berubah. Masyarakat hendaklah memandang semangat kejiranan ini sebagai
satu perkara penting dalam kehidupan bermasyarakat. Semangat ini
perlulah diutamakan dalam sebarang tindakan yang ingin dilaksanakan oleh
masyarakat. Jelaslah, paradigma yang baru ini memastikan semangat
kejiranan akan terus mekar dalam masyarakat kita.
.............Kepentingan semangat ini sudah pasti dalam mewujudkan
semangat perpaduan. Dalam masyarakat berbilang kaum yang wujud di negara
ini pemupukan konsep perpaduan amat strategik. Sesuatu masyarakat
sesebuah negara itu terbentuk daripada individu yang saling berjiran
sebelum berkembang menjadi satu umah. Oleh itu, semangat kejiranan
menjadi titik tolak pembentukan konsep perpaduan nasional.
............Kesimpulannya, semangat kejiranan memang boleh dicapai
melalui beberapa kaedah yang dijelaskan tadi. Semua pihak perlulah
berusaha untuk memastikan semangat ini terus diamalkan oleh masyarakat
di negara ini. Mungkin kita semua harus bertanya diri sendiri "siapakah
jiran kita?
..........Gaya hidup sihat bolehlah ditakrifkan sebagai satu amalan
kehidupan yang membawa impak positif kepada diri seseorang, keluarganya
dan masyarakat. Antara contoh kehidupan yang sihat ialah individu
tersebut hidup dengan penuh ceria tanpa mengalami sebarang masalah yang
boleh menjejaskan kehidupannya untuk satu tempoh tertentu pula. Sudah
pasti dalam kehidupan era moden yang begitu banyak tekanan ini gaya
hidup sihat menjadi satu matlamat yang perlu dicapai segera. Oleh itu,
terdapat pelbagai tindakan yang boleh dilakukan untuk mencapai matlamat
ini.
.
..........Tindakan awal ialah seseorang itu perlu mengamalkan satu
bentuk pemakanan yang seimbang dalam kehidupannya. Dalam keadaan
kehidupan sebenar, orang ramai lebih suka mengambil makanan yang
bersifat mudah seperti mengamalkan pengambilan makanan ringan ataupun
makanan segera. Tidak kurang juga masyarakan kita hari ini yang lupa
kesan pengambilan makanan berlemak ataupun makanan yang mempunyai
kandungan garam, gula atau sodium glutamit yang tinggi. Hal ini boleh
mendatangkan pelbagai penyakit kronik seperti sakit jantung, darah
tinggi ataupun kencing manis yang juga menjadi punca kematian tertinggi
di negara kita. Orang ramai juga mesti menjauhi amalan buruk seperti
merokok atau meminum arak kerana kesannya amat membahayakan. Jelaslah,
diet yang seimbang membolehkan kita semua mencapai kehidupan yang ceria
kerana semua nutrien yang diperlukan oleh badan diperoleh menerusi
pemakanan yang seimbang.
.
..........Selain itu, aktiviti senaman yang berkala mampu menjadikan
kehidupan yang dijalani oleh seseorang itu lebih sihat dan menceriakan.
Kita boleh menjalankan aktiviti seperti bersukan, berekreasi, berjalan
atau berlari bersendirian atau bersama-sama keluarga ketika hujung
minggu. Aktiviti senaman seperti ini diakui oleh pakar perubatan mampu
menjadikan sistem peredaran darah manusia lebih baik serta menjadikan
sistem imunisasi mereka tinggi. Mereka yang gemar bersukan biasanya
memiliki badan yang sihat dan minda yang cerdas berbanding dengan orang
yang jarang bersukan. Jelasnya, semakin kerap senaman dilakukan maka
semakin tinggilah tahap kesihatan seseorang itu kerana minda yang cerdas
datangnya daripada badan yang cergas.
.
..........Orang ramai juga perlu mengutamakan kebersihan diri pada
setiap masa bagi memastikan mereka terhindar daripada sebarang penyakit.
Keperluan asas seperti menggosok gigi, mandi, berpakaian bersih, waktu
tidur dan rehat yang cukup juga perlu dijadikan amalan hidup seharian.
Bagi mengelakkan jangkitan kuman atau penyakit, mereka juga perlulah
mengamalkan budaya mendisiplinkan diri dengan asas-asas kebersihan
seperti mencuci tangan dengan bersih sebelum makan, menutup makanan
dengan baik agar tidak diharung lalat mahupun memilih gerai atau tempat
makan yang bersih semasa menjamu selera. Sikap sambil lewa masyarakat
dalam aspek berkenaan mungkin boleh membawa padah. Justeru, amalan
sebegini harus diutamakan agar dapat membentuk gaya hidup yang sihat
dalam kalangan masyarakat.
.
..........Pada masa yang sama selain mengutamakan kesihatan diri dan
makanan, masyarakat juga perlu menjaga kebersihan persekitaran mereka.
Persekitaran yang bersih perlu dijadikan amalan dan gaya hidup agar kita
terhindar daripada sebarang penyakit. Umpamanya, orang ramai digalakkan
mengadakan gotong-royong untuk membersihkan kawasan taman perumahan
dengan membersihkan sampah-sarap atau memastikan kawasan persekitaran
mereka sentiasa bersih. Amalan seperti ini dapat mengelakkan pembiakan
agen-agen pembawa penyakit seperti nyamuk, lipas, lalat dan sebagainya.
Tempat-tempat pembiakan nyamuk di dalam atau di luar rumah seperti
pelapik pasu bunga ataupun tempat takungan air mestilah kerap
dibersihkan ataupun ditukar. Dengan cara demikian, orang ramai akan
dapat menjauhkan diri mereka daripada pelbagai penyakit serta membentuk
kehidupan yang sihat.
.
..........Gaya hidup yang sihat juga melibatkan aspek psikologi dan
sosial seseorang itu. Mereka yang lebih terbuka dan bersedia untuk
berkongsi masalah dengan orang lain didapati lebih bermakna kehidupannya
berbanding dengan individu yang suka bersendirian atau menyimpan
masalah mereka. Sikap berkawan dan menghabiskan masa bersama-sama mereka
menjadikan keperluan psikologi manusia dipenuhi dengan efektif.
Masyarakat digalakkan menjalin hubungan komunikasi yang mesra
bersama-sama rakan atau jiran tetangga. Hubungan baik yang berkekalan
biasanya dapat melahirkan satu bentuk kehidupan yang ceria dan
menggembirakan. Sesungguhnya, aspek psikologi dan sosial manusia perlu
dipenuhi bagi memperoleh gaya hidup yang sihat ini.
.
..........Pada masa yang sama sikap atau mentaliti positif penting untuk
dimiliki oleh seseorang itu bagi menangani tekanan kehidupan dalam era
moden ini. Pemikiran yang positif menjadikan seseorang itu mampu
menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda kehidupannya dengan baik
tanpa tertekan. Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran terutama
tekanan di pejabat memerlukan satu persepsi positif daripada ahli
masyarakat kita. Kepada mereka yang menghadapi tekanan hidup, mereka
mungkin boleh mendapatkan bantuan daripada pakar motivasi ataupun
rakan-taulan di sekeliling mereka. Hal ini perlu kerana tekanan yang
dialami boleh menjuruskan seseorang pada perlakuan negatif seperti
mendera, menagih dadah atau melakukan sesuatu perkara di luar jangkaan.
Jadi, semakin positif minda seseorang itu maka semakin tinggilah gaya
hidup sihat yang mampu dicapainya kelak.
.
..........Kesimpulannya, gaya hidup yang sihat ini boleh diperoleh
menerusi semua amalan yang dipaparkan tadi. Gaya hidup sihat hanya boleh
dicapai sekiranya masyarakat mengamalkan semua aspek kehidupan
berlandaskan ciri-ciri manusia sihat. Cuma sikap masyarakat yang masih
memandang rendah kepentingan gaya hidup sebeginilah yang menyebabkan
pelbagai masalah kesihatan timbul kelak. Kita semua perlulah memahami
bahawa mencegah lebih baik daripada mengubatinya.
..........Dalam sistem perhubungan, pengangkutan awam menjadi pilihan
orang ramai untuk bergerak dari satu destinasi ke satu destinasi yang
lain. Sistem pengangkutan ini turut menjadi pilihan golongan marhaen
khususnya bagi mereka daripada golongan masyarakat pertengahan dan yang
kurang berkemampuan. Rangkaian pengangkutan awam di negara kita adalah
seperti pengangkutan bas awam, teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT),
monorel dan sebagainya. Memang sudah banyak usaha yang dilakukan untuk
menyatukan semua perkhidmatan ini tetapi kejayaannya masih jauh lagi.
Oleh itu, pelbagai kemelut yang melanda sistem pengangkutan awam negara
kita harus difahami untuk menangani masalah yang sudah berlanjutan
sekian lama.
.
..........Sudah pasti dilema utama yang dihadapi oleh masyarakat
terhadap sistem pengangkutan awam kita ialah kos atau tambangnya yang
agak mahal. Kadar tambang terutamanya bagi penumpang teksi dan LRT
adalah dianggap mahal terutamanya bagi mereka yang berpendapatan rendah
serta menghalang mereka daripada menggunakan sistem pengangkutan itu
dengan lebih kerap. Kadaan ini menyebabkan jumlah pengguna pengangkutan
awam terutama LRT agak kurang dan tidak menyeluruh. Kebanyakan daripada
mereka hanya menggunakan pengangkutan awam hanya apabila terdesak atau
hanya untuk ke pejabat sahaja. Jadi, kemelut utama ini harus
diselesaikan oleh kerajaan jika mereka mahu melihat rakyat negara ini
berduyun-duyun menggunakan pengangkutan awam tersebut.
.
...........Selain itu, kemelut pengangkutan awam ini turut dikaitkan
dengan amalan pengurusannya yang tidak cekap. Masyarakat menganggap
sistem pengangkutan awam terutamanya bas awam tidak boleh diharap dari
segi ketepatan waktu operasinya. Kelewatan bas kerap berlaku dan tidak
mengikut jadual perjalanan yang ditetapkan. Hal ini menyebabkan
masyarakat sukar untuk merancang dan menjangka tempoh perjalanan yang
bakal mereka hadapi. Masalah kelewatan sampai ke tempat kerja menjadi
isu utama akibat kegagalan pihak pengurusan mengatasi masalah tersebut.
Masalah penjagaan bas awam, LRT dan teksi turut dikatakan termasuk dalam
kategori yang mengecewakan kerana penyelenggaraannya yang tidak
menyeluruh. Oleh itu, masyarakat bukan sahaja kecewa melihat kegagalan
pengangkutan awam mematuhi jadual perjalanan malah pada masa yang sama
kegagalan untuk menjaga kualiti perkhidmatan pengangkutan awam turut
dirasai.
.
..........Kita juga sering terdengar rungutan orang awam yang mengatakan
bahawa tumpuan perkhidmatan awam di negara kita tidak menyeluruh.
Kemudahan stesen LRT umpamanya hanya terletak di kawasan tertentu yang
kadang-kala menyukarkan orang ramai tiba ke pejabat. Hal ini bertambah
rumit kerana masalah kekurangan pengangkutan tambahan atau “fider bus”
di kawasan itu. Kalau anda sering menggunakan pengangkutan awam sudah
pasti anda akan menghadapi masalah untuk menukar sistem pengangkutan,
contohnya di antara stesen monorel dengan stesen LRT atau di antara
stesen bas dengan tesen monorel. Hal ini menyebabkan penjalanan
penumpang terganggu kerana terpaksa beratur untuk membeli tiket sebelum
menaiki pengangkutan awam yang lain pula. Dalam era globalisasi yang
mengutamakan kepantasan, sudah pasti keadaan ini dianggap merumitkan
kehidupan masyarakat. Maka, satu sistem tiket yang bersepadu harus
diadakan oleh kerajaan sebelum kemelut ini menjadi semakin rumit untuk
diselesaikan.
..
..........Malah, pengangkutan awam turut turut terjejas akibat tindakan
segelintir pekerja mereka seperti pemandu teksi dan pemandu bas yang
tidak sopan ketika memandu. Sering kali masyarakat mengadu kerakusan
pemandu pengangkutan awam di jalan raya yang dibuktikan oleh
meningkatkan kemalangan yang melibatkan pengangkutan awam ini. Sikap
tidak prihatin mereka ini telah memberi satu imej negatif kepada semua
pekerja yang bekerja dalam sistem pengangkutan awam negara kerana seekor
kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit. Ada di antara mereka yang
masih mengamalkan sikap ingin menjadi sang juara di jalan raya. Hal ini
bukan sahaja membahayakan penumpang kenderaan tersebut malah pada masa
yang sama turut membahayakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.
Justeru, semua pekerja pengangkutan awam harus diberi satu kursus untuk
memastikan mereka lebih mesra pelanggan dan bukannya dibenci oleh
pelanggan serta masyarakat awam yang lain.
.
..........Banyak juga aduan yang sering kita baca di dada-dada akhbar
mengenai rungutan orang awam tentang kekurangan tempat letak kereta di
stesen LRT dan komuter. Hal ini berlaku kerana kurangnya perancangan
yang teliti sebelum projek tersebut dilaksanakan. Kelemahan ini bukan
sahaja menyukarkan orang ramai meletakkan kenderaan mereka malah
menghalang orang ramai untuk menaiki kemudahan awam tersebut. Di
beberapa buah stesen komuter dan LRT di ibu kota Kuala Lumpur umpamanya,
kekurangan tempat untuk meletakkan kenderaan menyebabkan orang ramai
meletakkan kenderaan mereka sesuka hati atau di tepi-tepi jalan. Hal ini
bukan sahaja menyebabkan berlakunya kesesakan malah kadang-kala boleh
menyebabkan berlakunya kemalangan. Lebih malang pula, ada sebahagian
kenderaan tersebut turut di saman oleh pihak polis biarpun masalah ini
timbul akibat kelemahan pengurusan terbabit. Jelasnya, rungutan pengguna
pengangkutan awam tersebut perlu ditangani dengan baik agar
pengangkutan awam di negara kita tidak menjadi “indah khabar dari rupa”.
.
..........Kesimpulannya, masalah pengangkutan awam di negara kita amat
perlu diambil berat oleh pihak yang terbabit. Sekiranya perkara tersebut
masih terus didiamkan tanpa sebarang tindakan, kita bimbang hasrat
kerajaan untuk menjadikan pengangkutan awam sebagai salah satu
pengangkutan utama di negara kita akan terkubur. Kesungguhan pihak
kerajaan untuk mengambil langkah awal dalam menangani masalah ini amat
ditagih dan pihak berwajib tidak harus bertindak hanya apabila isu itu
menjadi tatapan masyarakat dalam media massa negara. Mungkin sudah
sampai masanya kerajaan bertindak tegas dalam kemelut ini dan bukan
bersikap “sudah terhantuk baru terngadah”.
..........“Zaman beralih, musim bertukar”, selepas tamat penjajahan
asing selama 446 tahun yang telah lama menghantui rakyat, Malaysia telah
menjejakkan kaki ke satu ambang yang rancak sekali. Untuk menyesuaikan
diri di mata dunia dan memenuhi kehendak rakyat, Malaysia telah
mengalami pelbagai anjakan paradigma. Kerajaan telah berusaha
menyediakan prasarana yang mencukupi untuk memastikan sistem
pengangkutan awam berjalan lancar. Rangkaian pengangkutan awam di negara
kita boleh dikategorikan sebagai pengangkutan bas, teksi, Sistem
Transit Tren Ringan (LRT), Kereta api, komuter dan monorel. Jikalau
bukan kita sebagai warganegara Malaysia yang menyokong pengangkutan
awam, siapakah lagi yang mesti menyokongnya? Lantaran itu,
langkah-langkah yang proaktif dan drastik hendaklah diimplementasi untuk
menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam.
.
..........Menurut satu kajian yang dibuat dalam kalangan rakyat, banyak
pihak mengatakan bahawa kepelbagaian sistem tiket untuk menggunakan
rangkaian perkhidmatan awam yang berlainan telah mengurangkan minat
mereka untuk bergerak dari tempat asal ke destinasi lain dengan
penukaran rangkaian perkhidmatan awam. Oleh itu, kerajaan haruslah
melaksanakan sistem tiket bersepadu dengan harga yang mampu dibeli oleh
orang ramai khususnya mereka yang berpendapatan rendah supaya dapat
menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam. Kerajaan
haruslah menubuhkan sebuah Lembaga Pengangkutan Awam (PTA) untuk
menguruskan pengangkutan awam di negara kita. Pertubuhan tersebut dapat
mempercepat proses perlaksanaan sistem tiket bersepadu yang masih dalam
peringkat kajian. Selain itu, kerajaan juga harus mengambil contoh
pelaksanaannya di negara barat seperti di Melbourne, Australia. Di
Melborune penumpang hanya perlu membeli satu tiket pada kos yang rendah
untuk menaiki kereta api atau menaiki bas. Hal ini bertepatan dengan
peribahasa “serampang dua mata”. Pendekataan ini bukan sahaja dapat
menjimatkan wang golongan yang kurang berupaya tetapi juga dapat
memudahkan rakyat untuk mengatur pejalanan laluan harian mereka. Jadi
jikalau sistem tiket bersepadu ini dapat direalisasikan, jumlah
penumpang pastilah dapat mencapai sasaran yang telah diramalkan oleh
pengendali pengangkutan awam.
.
..........Langkah seterusnya yang dapat menarik perhatian rakyat untuk
menaiki pengangkutan awam ialah meningkatkan kuantiti dan kualiti
pengangkutan awam. Bilangan kereta api atau bas awam haruslah
dipertingkatkan jumlahnya bagi memenuhi kehendak rakyat serta mengatasi
masalah kekurangan pengangkutan awam di sesetengah kawasan yang menjadi
rungutan orang ramai. Selain itu, KTM (Kereta Api Tanah Melayu) haruslah
mencontohi perkhidmatan kereta api di negara Jepun yang telah
menggunakan kuasa elektrik seprti shinkansen (bullet train) sehingga
mencapai kelajuan melebihi 200 kilometer sejam. Dengan menggunakan
lokomotif berkuasa elektrik, kekerapan KTM di negara kita pasti dapat
ditingkatkan. Kekerapan pengangkutan awam adalah salah satu unsur untuk
menarik perhatian penumpang terutamanya mereka yang memandu kereta atau
menunggang motosikal. Dengan kekerapan perjalanan pengangkutan awam yang
tinggi, penumpang tidak akan membazirkan masa untuk menunggu ketibaan
pengangkutan awam tersebut. Hal ini dapat mengurangkan masa perjalanan
orang ramai secara keseluruhannya. Dalam era globalisasi yang
mengutamakan kepantasan, kelemahan perkhidmatan dan kelewatan jadual
perjalanan pengangkutan awam akan merumitkan kehidupan masyarakat dan
menyebabkan mereka kurang berkeyakinan terhadap pengakutan awam di
negara kita. Lantaran itu, cara ini haruslah dilaksanakan untuk
mendapatkan semula keyakinan rakyat terhadap sistem perkhidmatan
pengangkutan awam.
.
..........Pada masa yang sama, langkah kerajaan menggalakkan pemasangan
televisyen di dalam bas ekspres mendapat banyak komen yang baik daripada
orang ramai. Hal ini kerana langkah ini dapat menghiburkan rakyat dalam
perjalanan mereka. Para penumpang berpeluang untuk menonton pelbagai
siaran televisyen ketika berada dalam perjalanan mereka dan menjadikan
perjalanan lebih menarik. Perkara ini haruslah diperluaskan dalam
pengangkutan awam yang lain seperti Komuter dan LRT untuk menarik lebih
banyak penumpang menaiki pengangkutan awam. Selain menghiburkan para
penumpang ketika dalam perjalanan, siaran televisyen juga mampu
menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat dengan
menyiarkan rancangan cinta akan negara, rancangan yang mengimbas kembali
detik-detik bersejarah di negara kita dan sebagainya. Kemudahan seperti
alat pendingin udara juga perlu dipertingkatkan bagi menjadikan
penumpang berasa lebih selesa apabila menaiki pengangkutan tersebut.
Kemudahan-kemudahan sampingan seperti ini pasti akan dapat meningkatkan
bilangan penumpang pengangkutan awam kerana orang ramai boleh
mendapatkan perkhidmatan yang berkualiti dengan banyaran yang minimum.
Manisfestasinya, langkah memasang televisyen memang dapat menarik
perhatian para penumpang untuk menaiki pengangkutan awam.
.
..........Bagi mengatasi masalah pekerja pengangkutan awam yang kurang
berdisiplin, sistem perakam perlu dipasang di semua kenderaan awam di
negara kita. Pemasangan alat perakam ini dapat merakamkan bukan sahaja
perkara yang berlaku di sepanjang perjalanan malah dapat merakamkan
kelajuan pengangkutan awam tersebut. Hal ini akan dapat mengurangkan
masalah kenderaan awam seperti bas yang dipandu terlalu laju sehingga
melebihi had yang dibenarkan. Pada masa yang sama, pemasangan alat ini
dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya khususnya bas yang sering
diperkatakan oleh orang ramai. Kerajaan juga perlu lebih kerap
mengadakan pemeriksaan bagi memastikan pemandu pengangkutan benar-benar
mereka yang berkelayakan atau bebas daripada sebarang penyalahgunaan
dadah. Tindakan kerajaan menyenaraihitamkan pemandu yang kurang
berdisiplin akan dapat mengatasi masalah pekerja pengangkutan awam yang
tidak bersopan sekali gus melenyapkan pekerja yang tidak berkualiti.
Pemeriksaan oleh pihak berwajib seperti Jabatan Pengangkutan Jalan atau
pihak polis juga perlu menyeluruh bukan sahaja kepada kakitangan
pengangkutan awam tetapi perlu juga melihat pada keadaan dan keselamatan
pengangkutan awam yang digunakan bagi memastikan keselamatan pengguna
pengangkutan tersebut terjamin. Dengan cara itu, keyakinan orang ramai
untuk menggunakan pengangkutan awam di negara kita akan meningkat.
.
..........Pihak pengurusan atau pengendali pengangkutan awam juga
perlulah lebih peka untuk menyediakan kemudahan hiliran bagi mereka yang
menggunakan perkhidmatan ini. Di kawasan stesen komuter atau LRT
umpamanya, tempat meletakkan kenderaan perlu ditambah bagi mengelakkan
orang ramai meletak kenderaan mereka di tepi-tepi jalan atau di tempat
lain yang tidak sesuai. Hal ini sentiasa menjadi rungutan orang ramai
kerana bukan sahaja boleh mengakibatkan kesesakan malah pada masa yang
sama turut menjadi punca berlakunya kemalangan jalan raya. Begitu juga
halnya dengan pengangkutan tambahan atau “bas fider” yang dikatakan
menjadi masalah kepada pengguna komuter dan LRT. Kekurangan pengangkutan
bas tambahan ini telah menyukarkan pengguna pengangkutan tersebut jika
kawasan stesen tersebut jauh dari pejabat. Justeru adalah penting
sekiranya bas-bas tambahan ditambah bilangannya bagi memudahkan dan
mempercepat perjalanan seseorang dari rumah ke destinasi yang dituju.
Jarak atau lokasi pengangkutan awam seperti komuter dan LRT juga perlu
ditambah dari semasa ke semasa agar lingkungan pengguna yang dapat
menaiki kemudahan awam tersebut turut meningkat. Biarpun langkah ini
memerlukan biaya yang agak tinggi namun kesannya pada sistem perhubungan
di negara kita adalah amat besar. Oleh itu langkah-langkah menyediakan
kemudahan tambahan bagi meningkatkan kualiti pengangkutan awam tersebut
perlu dilaksanakan agar pengangkutan awam di negara kita tidak dianggap
“indah khabar dari rupa”.
.
..........Seperti kata peribahasa Melayu yang berbunyi “melentur buluh
biarlah dari rebungnya”, pendidikan sejak kecil juga merupakan salah
satu langkah untuk menggalakkan rakyat tempatan menaiki pengangkutan
awam. Pihak sekolah dicadangkan supaya memberi penerangan tentang
kebaikan-kebaikan menggunakan perkhidmatan awam dan keselamatan
menggunakan pengangkutan awam supaya dapat menanam konsep yang mendalam
kepada fikiran pelajar agar menaiki perkhidmatan awam. Usaha ini bukan
sahaja perlu ditumpukan kepada para pelajar, tetapi harus juga diperluas
kepada mereka yang dewasa untuk mengubah imej dalam hati mereka apabila
menaiki pengangkutan awam. Melalui pendidikan, kita dapat melahirkan
golongan yang bergantung pada perkhidmatan awam seperti kereta api dan
bas sebagai pengangkutan utama mereka.Hal ini dapat meningkatkan
bilangan penumpang untuk menaiki pengangkutan awam. Walaupun mereka
memiliki kendera sendiri, tetapi mereka tetap akan menggunakan
perkhidmatan awam sebagai pengangkutan utama mereka jika konsep kebaikan
menggunakan pengangkutan awam tertanam dalam jiwa mereka.
.
..........Kesimpulannya, pengangkutan awam banyak membawa kemaslahatan
kepada masyarakat di negara kita seperti dapat mengurangkan kesesakan
dan kemalangan, mengurangkan pencemaran udara, menjimatkankan masa malah
mengurangkan kos kehidupan kita sehari-hari. Oleh itu, sebagai pengguna
jalan raya yang bijak, kita perlulah menyahut seruan kerajaan agar
menggunakan pengangkutan awam sebagai kaedah untuk bergerak dari satu
destinasi ke satu destinasi yang lain. Kita juga berharap agar dengan
langkah-langkah yang telah dan sedang dilaksanakan ini maka pengangkutan
awam di negara kita akan menjadi lebih maju setanding dengan
pengangkutan awam di negara-negara lain seperti Jepun, Amerika Syarikat
dan Australia.
Karangan : Gambar Bersiri
Lihat gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda berdasarkan
gambar tersebut. Panjang huraian anda antara 200 hingga 250 patah
perkataan.
.....................................................Semangat Kejiranan
Sumber grafik : Buku Aktiviti Pendidikan Moral 5,
oleh Mohd. Ali Abd. Hamid, Berita Publishing Sdn. Bhd. 1986.
Contoh Jawapan
............Jiran ialah sekelompok
masyarakat setempat yang tinggal berhampiran antara satu dengan lain.
Jiran diibaratkan sebagai saudara kandung tempat kita mengadu tatkala
berada dalam kesusahan atau hendak mengadakan majlis keramaian. Jiran
yang baik ibarat cubit peha kiri peha kanan pun terasa amat sukar ditemui.
.............Semangat kejiranan
wajar dipupuk kerana melaluinya kita dapat mewujudkan masyarakat yang
bersatu padu. Hal ini dapat dilaksanakan melalui budaya
ziarah-menziarahi semasa perayaan besar seperti Sambutan Hari Raya,
Tahun Baru Cina atau Deepavali. Selain itu kita juga boleh berkunjung ke
rumah jiran ketika mereka mendapat musibah atau sakit. Kunjungan kita
ke rumah jiran mungkin dapat melegakan penderitaan yang mereka alami dan
secara tidak langsung mengeratkan hubungan silaturahim.
.............Semangat kejiranan
juga berupaya mewujudkan masyarakat yang prihatin. Hal ini boleh terjadi
seandainya jiran tetangga saling mengambil berat di antara satu dengan
lain. Hubungan yang terjalin akan memudahkan kita untuk meminta bantuan
ketika dalam kesusahan. Selain itu, kita juga boleh mengharapkan jiran
memerhatikan rumah kita semasa kita pulang ke kampung atau pergi
melancong. Pada masa yang lain mungkin kita pula akan dipinta oleh
mereka untuk berbuat perkara yang serupa.
.............Semangat kejiranan
yang dipupuk juga memudahkan tugas yang besar dilaksanakan secara
bergotong-royong. Apabila hubungan sesama jiran sudah menjadi akrab
sesuatu tugas yang berat dan besar seperti membersihkan kawasan kampung
atau perumahan dapat dilaksanakan secara bersama-sama tanpa sebarang
masalah. Justeru, tugas yang berat menjadi mudah laksana hati kuman sama dicecah hati gajah sama dilapah. Lantas suasana yang harmoni dapat dibentuk dalam masyarakat.
.............Kesimpulannya,
semangat kejiranan wajar dipupuk dalam masyarakat kita agar masyarakat
dapat hidup dalam keadaan harmoni. Sekiranya hal ini dapat dilakukan
maka akan tercapailah cita-cita negara untuk membentuk masyarakat yang
bersatu padu dan penyayang. ...............
Soalan:
Perhatikan gambar rajah di atas. Beri pendapat anda tentang gambar
rajah tersebut. Panjang karangan anda hendaklah antara 200 hingga 250
patah perkataan.
Jawapan:
............Kini,
sektor pelancongan memainkan peranan penting dari sudut ekonomi negara
kita. Pada tiap-tiap tahun, dianggarkan jumlah pelancong yang berkunjung
ke negara kita adalah melebihi 6 juta orang. Kebanyakan pelancong
adalah terdiri daripada pelancong asing seperti pelancong Singapura,
Amerika Syarikat, Jepun dan sebagainya selain daripada pelancong
tempatan. Terdapat pelbagai faktor yang telah menggalakkan kedatangan
mereka ke negara kita.
............Antara
faktor utama pelancong berkunjung ke Malaysia adalah disebabkan negara
kita mempunyai pelbagai tempat menarik. Malaysia banyak memiliki kawasan
rekreasi yang sesuai untuk dikunjungi oleh para pelancong. Antaranya
ialah kawasan pantai yang bersih, cantik dan berpasir putih seperti yang
terdapat di pantai Desaru, pantai Cahaya Bulan dan sebagainya. Hal ini
menggalakkan pelancong bertumpu di kawasan tersebut untuk mandi-manda
sambil menikmati keindahan alam.
............ Selain
itu, Malaysia juga mempunyai banyak tempat menarik untuk di kunjungi
oleh pelancong. Para pelancong dapat menikmati bangunan-bangunan tinggi
mencakar langit atau bangunan bersejarah yang sentiasa terpelihara. Di
ibu kota Kuala Lumpur umpamanya terdapat bangunan canggih iaitu bangunan
KLCC yang sentiasa menjadi daya tarikan pelancong. Hal ini telah
menyebabkan jumlah pelancong ke negara kita sentiasa bertambah.
............Pada
masa yang sama, kedatangan pelancong ke negara kita adalah disebabkan
oleh kepelbagaian jenis budaya yang terdapat di Malaysia. Memandangkan
Malaysia mempunyai masyarakat majmuk, pelbagai jenis makanan terdapat di
sini. Pelancong dapat menikmati makanan kaum Melayu seperti sate,
ketupat dan rendang mahupun makanan kaum India seperti tosei dan maruku.
Mereka juga boleh menikmati tarian pelbagai kaum seperti tarian zapin
dan tarian inang bagi kaum Melayu dan tarian singa dari kaum Cina.
Keunikan budaya ini telah menggalakkan kunjungan pelancong ke negara
kita.
............Di
samping itu, kemudahan pengangkutan awam turut menggalakkan kemajuan
dalam sektor pelancongan negara. Kerajaan telah membina jalan raya untuk
menghubungkan kawasan pelancongan agar dapat dikunjungi dengan mudah.
Kerajaan juga meningkatkan kekerapan penerbangan ke negara-negara lain
untuk menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke Malaysia. Hal ini
terbukti berkesan apabila jumlah pelancong yang berkunjung ke Malaysia
sentiasa bertambah dari setahun ke setahun.
............Faktor
terakhir yang menggalakkan pelancong berkunjung ke Malaysia ialah
terdapatnya kemudahan membeli-belah yang disediakan untuk para
pelancong. Dengan wujudnya kemudahan ini, mereka dapat berbelanja atau
mendapatkan cenderamata untuk dibawa pulang ke negara mereka.
Barang-barang yang terdapat di situ juga dijual dengan harga yang
berpatutan. Hal ini menggalakkan pelancong untuk terus berkunjung ke
negara kita.
............Intihanya,
sektor pelancongan di Malaysia semakin meningkat maju kerana disebabkan
oleh pelbagai faktor. Justeru, rakyat jelata perlulah sentiasa
menunjukkan sikap mesra pelancong dan bersopan-santun bagi menggalakkan
kehadiran mereka ke negara kita.
Modal Insan Berkualiti
FOKUS KARANGAN: PERANAN INDIVIDU/REMAJA
FORMAT KARANGAN: TIADA/UMUM
Golongan remaja,
tidak dapat dinafikan, merupakan modal insan ataupun aset berharga
kepada nusa dan bangsa. Demi pembangunan negara, negara berhasrat untuk
melahirkan modal insan yang berkualiti, yakni berpendidikan, berwawasan,
berdedikasi, berkaliber dan berdisiplin. Oleh hal yang demikian, dalam
RMK-9, sebanyak 20.6 peratus diperuntukkan untuk meningkatkan kualiti
modal insan dengan meningkatkan keupayaan dan penguasaan ilmu. Dalam
konteks ini, sasaran modal insan ialah remaja atau tenaga muda kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.
Golongan mudalah yang dapat menyumbangkan idea dan tenaga demi
pembangunan negara dalam segala bidang, khususnya dari aspek iktisad.
Jadi, bagaimanakah remaja dapat memainkan peranan dalam usaha
merealisasikan visi kudsi kerajaan, yakni melahirkan modal insan yang
berkualiti.
Sebagai bakal modal insan yang berkualiti, seseorang remaja hendaklah berbekalkan pendidikan formal yang sempurna. Maksud saya, setiap remaja haruslah memerah otak
sehingga mencapai ijazah kelas pertama, sarjana muda, dan jika
diizinkan Allah sehingga falsafah kedoktoran. Kita boleh mencapai
kemuncak dalam bidang pendidikan dengan berbekalkan semangat yang kental
dan usaha yang gigih. Demi mencapai kejayaan yang cemerlang, ruyung perlulah dipecahkan untuk menikmati sagunya. Malangnya, remaja dewasa ini bersemangat rapuh dan mudah putus asa apabila menempuh onak dan duri; genggam-genggam bara, terasa hangat dilepaskan. Senario ini amat ketara dalam kalangan pemuda pemudi kita kerana rata-rata melepaskan batuk di tangga.
Apabila memperoleh diploma, mereka sudah puas dan berhijrah ke
bandar-bandar besar untuk mencari pekerjaan. Yang bernasib baik dapat
bekerja sebagai jururawat di hospital swasta yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan.
Yang bernasib malang pula bergelandangan di perut kota dengan segulung
diploma dari sebuah pejabat ke sebuah pejabat. Kata orang tua-tua, asal sabut terapung, asal besi tenggelam.
Tuntasnya, demi menjadi modal insan yang berguna kepada tanah air,
remaja perlulah bertungkus lumus untuk memperoleh pendidikan yang
setinggi mungkin. Bukankah genggam bara api biar sampai jadi arang?
Selain melengkapkan diri dengan pendidikan, remaja hendaklah mengamalkan gaya hidup sihat. Saya katakan demikian oleh sebab kesihatan menjamin kecergasan dan kecerdasan seseorang individu sejajar dengan kata hikmat badan cergas, otak cerdas.
Dunia ini dunia stres tidak dapat dinafikan kerana siapa cepat, dia
dapat. Demi mengejar pangkat dan pendapatan yang tinggi, kesihatan
diabaikan. Oleh sebab terlalu ghairah akan kertas hijau dan merah,
mereka kesuntukan waktu untuk bersenam, beriadah, dan bersantai. Apabila
sudah terlantar di hospital seperti kura-kura terlentang kerana hipertensi, segala-galanya sudah terlambat; kuman menjadi barah; belukar menjadi rimba.
Menurut berita di Utusan Melayu baru-baru ini, seorang mekanik motor
berkuas tinggi (superbike) yang berusia 38 tahun dikejarkan ke hospital
bahana serangan sakit jantung. Sesampainya di Hospital Daerah Seberang
Jaya, dia pun disahkan sudah berpindah ke balik papan.
Persoalannya, bolehkah generasi muda yang berpenyakit dapat
menyumbangkan tenaga ke arah pembangunan negara? Jadi sebagai generasi
muda yang berpendidikan, kita haruslah mengambil inisiatif untuk
melakukan senaman secara konsisten, seperti bersenam di gim ataupun
beriadah di taman rekreasi. Selain itu, kita perlu menjaga pemakanan
setiap masa; kita perlu makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan.
Seperkara lagi, rokok, najis dadah dan arak sewajarnya dihindari kerana
mengundang pelbagai komplikasi. Tegasnya, gaya hidup sihat hendaklah
menjadi agenda perdana dalam kamus hidup kita jika hendak menjadi modal
insan yang berkualiti.
Di samping gaya hidup sihat, remaja hendaklah mempunyai jati diri yang unggul
demi menjadi modal insan yang dapat menyumbang kepada nusa dan bangsa.
Antara keperibadian unggul termasuklah tingkah laku yang sopan dan
mempunyai darjah kesusilaan yang tinggi berpaksikan prinsip kelima Rukun
Negara, yakni kesopanan dan kesusilaan. Hal ini dapat memandu dan
memimpin generasi muda agar tidak terbabas dari landasan yang benar lalu
terjerumus ke dalam lembah laknatullah, seperti berjinak-jinak dengan
najis dadah, yang menghancurkan wawasan negara, iaitu Wawasan 2020.
Menurut pakar motivasi yang tersohor dan disegani masyarakat Melayu,
Datuk Haji Dr. Fadzilah Kamsah, banyak anak muda yang terperosok ke
dalam kancah maksiat, seperti sumur di tepi jalan, siapa haus boleh minum
(perempuan sundal), ekoran terhakisnya nilai-nilai moral. Sehubungan
ini, remaja haruslah menyemaikan nilai-nilai kemanusiaan dan
kerohaniaan, seperti amanah, tulus ikhlas, toleransi dan bertimbang
rasa, dalam lubuk kalbu mereka agar menjadi modal insan yang bersahsiah
mulia serta menjaga imej tanah air yang tercinta ini. Apa gunanya anak
gadis yang cantik tetapi tidak bersopan santun laksana bunga dedap, sungguh merah berbau tidak. Anak gadis yang tidak bermoral bukan sahaja dianggap sebagai cacing di pelimbah
malahan dilabelkan sebagai sampah masyarakat. Jadi, anak-anak muda kita
haruslah mematuhi adat dan peraturan di mana-mana sahaja mereka berada;
di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.
Pendek kata, modal insan yang berkeperibadian mulia bukan sekadar dapat
menyumbang ke arah pembangunan negara malahan dapat mengharumkan nama
negara di persada antarabangsa.
Tidak ketinggalan juga, generasi muda haruslah menghayati ajaran al-Quran.
Hal ini dikatakan demikian kerana remaja yang mematuhi ajaran al-Quran,
bangsa Malaysia yang budiman dan disegani dapat dilahirkan. Dalam
konteks ini, remaja dapat membezakan yang mana intan, yang mana kaca.
Remaja yang beriman dan berpaksikan akidah tidak akan menjadi hamba
kepada hawa nafsu. Mereka mengetahui siapa yahudi, siapa nasrani, dan
siapa majusi. Dengan berbekalkan usuluddin ataupun ilmu tauhid, yakni
ilmu yang membicarakan akidah agama Islam yang berhubung dengan
ketuhanan, kenabian, dan perkara-perkara yang ghaib seperti qadak dan
qadar, hari akhirat, syurga, dan neraka, mereka akan menjauhi angkara
dan maksiat. Anak gadis yang soleh, misalnya, akan menjaga gerak-geri
apabila berinteraksi dengan kaum lelaki. Tutur kata dan tingkah laku
akan dijaga agar tidak mencemari imej keluarga. Kata orang, biar buruk kain dipakai, asal pandai mengambil hati. Ajaran agama Islam juga mencelikkan mata remaja bahawa dari telaga yang jernih, tak akan mengalir air yang keruh dan dari telaga yang keruh, tak akan mengalir air yang jernih.
Dengan adanya kesedaran ini, tumbuk rusuk ataupun rasuah yang dapat
menghancurkan negara dapat dihindarkan. Tuntasnya, nilai-nilai keagamaan
hendaklah disemaikan dan disuburkan dalam lubuk sanubari setiap remaja
untuk menjadi modal insan yang berkualiti.
Akhirulkalam, modal insan yang menjadi harapan negara ialah generasi
muda yang berpendidikan formal, berjati diri mulia, sihat wal afiat dan
beriman. Demi mendukung cita-cita dan hasrat negara ini, remaja
hendaklah melakukan aktiviti-aktiviti yang dapat membentuk jati diri
yang unggul, bukannya membilang buah kerayung
seperti melepak di kompeks beli-belah, berlumba haram dan berjudi.
Sebagai warganegara yang berjiwa patriotik, remaja haruslah mengetepikan
aliran politik yang sempit yang berorientasikan komunalisme (fahaman
perkauman) demi kepentingan nusa dan bangsa. Seperkara lagi, nilai-nilai
negatif hendaklah dikikis sama sekali kerana memang susah untuk
mengikis tabiat buruk. Bukahkah ayam pulang ke lombong, itik pulang ke pelimbahan? Remaja juga sewajarnya berfikir dengan semasak-masaknya sebelum bertindak dalam apa-apa juga aspek kehidupan kerana ingat sebelum kena, jimat sebelum habis. Tiada gunanya kita menyesali sesuatu tindakan yang sudah menimpa diri kerana sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna.
Dengan kesedaran ini, remaja bukan sahaja akan menjadi modal insan
kelas pertama bahkan dapat memperkasakan bangsa Malaysia sebagai bangsa
yang maju yang dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain.
DIKARANG/DITULIS OLEH CIKGU KAY SEVEN
Kehidupan Bermasyarakat (Karangan Gred A+)
1.PERENGGAN INTRODUKSI JENIS GABUNGAN (Pendapat tokok dan Peribahasa)
[
Ayat Rangsangan] Dato’ Dr. Fadzilah Kamsah pernah
menekankan bahawa kehidupan bermasyarakat merupakan satu ciri signifikan
dalam kamus hidup rakyat Malaysia. [
Ayat Huraian 1] Malangnya, semangat kehidupan bermasyarakat dan nilai-nilai kemasyarakatan, terutamanya konsep
jiran sepakat membawa berkat, dalam kalangan masyarakat kita semakin terhakis. [
Ayat Huraian 1] Menurut beliau, mereka hidup berkonsepkan
enau dalam belukar melepaskan pucuknya masing-masing. [
Ayat Huraian 2]
Saya memang menyetujui pandangan beliau kerana rakyat kita tidak
merasakan diri mereka bertanggungjawab untuk mengetahui keadaan sekitar
rumah mereka sama ada rumah jiran dimasuki pencuri, anak jiran menghidu
gam, isteri jiran curang, anak jiran menjadi mangsa penderaan ataupun
anak gadis jiran lari dari rumah. [
Ayat Arahan] Jadi, langkah-langkah proaktif dan pragmatik haruslah diambil dalam usaha menghidupsuburkan semangat kehidupan bermasyarakat
sebelum kudis menjadi tokak.
2. PERENGGAN ISI 2 (JENIS DEDUKTIF)
[
Ayat Judul] Kehidupan bermasyarakat, tidak dapat disangkal, dapat diamalkan menerusi
semangat kejiranan. [
Pengembangan: Ayat Huraian 1]
Antaranya termasuklah amalan bertegur sapa sesama jiran, meluangkan
masa untuk bertandang ke rumah jiran, menghulurkan bantuan kepada jiran,
aktiviti bergotong-royong seperti berderau, perkelahan keluarga, dan
aktiviti riadah. [
Pengembangan: Ayat Huraian 2]Semangat ini dapat menjalin persaudaraan, mewujudkan keharmonian, memupuk perpaduan, dan melahirkan masyarakat yang prihatin. [
Pengembangan: Ayat Contoh 1]Apabila
jiran tetangga ditimpa nasib malang, seperti mangsa kebakaran, kita
bukan sahaja perlu menyumbangkan wang ringgit malah memberikan sokongan
moral. Dengan ini, konsep
berat mata memandang, berat lagi bahu memikul terpupuk dalam lubuk kalbu masyarakat. [
Pengembangan: Ayat Contoh 2] Apabila tanah sawah diusahakan secara berderau, kerja yang berat dapat diringankan bak kata pepatah
berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
Lebih-lebih lagi, bertandang ke rumah jiran tetangga pada hari perayaan
mahupun kenduri perkahwinan dapat menjalin tali persahabatan yang erat.
[
Ayat Penyimpul]Dengan erti kata lain, semangat kejiranan dalam pelbagai aspek kehidupan dapat mewujudkan kehidupan bermasyarakat.
3. PERENGGAN ISI 3 (JENIS DEDUKTIF)
[
Ayat Judul]Sistem hidup bermasyarakat juga dapat dihidupsuburkan melalui
majlis-majlis sosial dan perayaan. [
Pengembangan: Ayat Huraian 1] Kegiatan-kegiatan sosial dapat memupuk konsep
bulat air dek pembetung, bulat manusia dek muafakat dan
ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni dalam kalangan penduduk setempat. [
Pengembangan: Ayat Huraian 2]
Antara aktiviti kemasyarakatan yang menekankan konsep hidup
bermasyarakat termasuklah Hari Keluarga, Rumah Terbuka, dan sebagainya. [
Pengembangan: Ayat Huraian 3]
Dalam hal ini, masyarakat tidak seharusnya melibatkan ahli-ahli
keluarga sahaja, sebaliknya haruslah meluaskan skopnya dengan
membabitkan seluruh masyarakat setempat, sanak saudara, dan sahabat
handai. [
Pengembangan: Ayat Contoh Dalam menjayakan
majlis-majlis tersebut, semua anggota masyarakat berganding bahu
menyediakan juadah dan minuman, mendirikan tenda, dan menyusun atur
kerusi meja untuk tetamu. [
Pengembangan: Ayat Huraian 4]
Dalam situasi inilah, rakyat dapat berinteraksi dan berkomunikasi
sekali gus mempererat tali silaturahim antara satu sama lain tanpa
mengira warna kulit, budaya, agama, adat, dan kepercayaan, di samping
memeriahkan suasana majlis ataupun perayaan lagi. [
Ayat Penyimpul]
Pendek kata, aktiviti-aktiviti sosial perlu diperbanyak dan dipergiat
demi memupuk budaya bermasyarakat dalam kalangan warga desa mahupun
warga bandar.
3. PERENGGAN ISI 3 (JENIS DEDUKTIF)
[
Ayat Judul]Selain itu, budaya hidup bermasyarakat dapat dipupuk melalui
didikan agama dan moral. [
Pengembangan: Ayat Huraian 1] Dalam masyarakat Melayu tradisional, umpamanya, fungsi dan tanggungjawab jiran dianggap penting dari segi agama. [
Pengembangan: Ayat Huraian 2]
Hal ini demikian kerana agama menegaskan keperluan yang dipikul bersama
oleh semua anggota masyarakat bagi menunaikan sesuatu ibadat. [
Pengembangan: Ayat Contoh]
Ketika menyambut Hari Raya Aidiladha ataupun Hari Raya Korban, umat
Islam menggembleng tenaga untuk menyembelih korban untuk disedekahkan
kepada fakir miskin. [
Pengembangan: Ayat Huraian 2] Dari perspektif yang lain pula, semangat kejiranan dapat diterapkan melalui didikan moral. [
Pengembangan: Ayat Huraian 2]
Dalam konteks ini, pihak sekolah memainkan peranan yang penting dalam
memupuk dan menyemaikan semangat bekerjasama dan bertolak ansur dalam
kalangan warga sekolah. [
Pengembangan: Ayat Contoh]
Melalui kempen gotong-royong, warga sekolah bukan sahaja akan membantu
menceriakan pekarangan sekolah malah menjalin tali ukhuwah antara satu
sama lain. [
Ayat Penyimpul] Dengan ini, kehidupan bermasyarakat akan menjadi sebati atau menjadi darah daging masyarakat kita.
5. PERENGGAN INTIHA
[
Ayat Kesimpulan] Sebagai intiha, kehidupan
bermasyarakat dapat menjadi realiti sekiranya langkah-langkah yang
dibincangkan dipraktikkan oleh segenap lapisan masyarakat.
[Ayat Penilaian] Semangat ini dapat mendorong terjalinnya hubungan baik antara kaum dan mewujudkan integrasi kaum.
[Ayat Penilaian]Perpaduan kaum akan membolehkan rakyat Malaysia hidup harmoni dan sejahtera, bak kata pepatah
bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.
[Ayat Cadangan]Jadi,
semua pihak sewajarnya menjadikan kehidupan bermasyarakat sebagai
agenda kehidupan demi menikmati kebahagiaan, kemakmuran, keamanan, dan
kemajuan.
[Ayat Harapan 2]Dengan ada kesedaran ini,
bunga-bunga kesejahteraan, kegemilangan dan keharmonian akan mekar di
empat pojok di tanah tumpah darah kita.
[Ayat Harapan 2]Tidak ketinggalan juga, konsep 1Malaysia dan Wawasan 2020 akan menjadi kenyataan dan kita dapat
duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa maju yang lain di persada antarabangsa
Masalah Kemalangan Jalan Raya
Selamat dan salam sejahtera kepada Tuan Pengerusi Majlis, tuan-tuan dan
puan-puan, serta para pelatih yang saya kasihi sekalian. Terlebih dahulu
saya merakamkan ucapan ribuan terima kasih kerana diberi kesempatan
untuk menyampaikan ceramah sempena Kempen Keselamatan Jalan Raya yang
dijalankan pada pagi ini. Sekalung tahniah saya ucapkan kepada pengusaha
Pusat Latihan Memandu Seri Mawar kerana mengambil inisiatif mengadakan
kempen bagi memupuk kesedaran orang ramai terhadap aspek keselamatan di
jalan raya. Pada pagi yang ceria ini, saya akan menggunakan kesempatan
yang diberikan untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk “Punca dan Cara
Mengatasi Kemalangan Jalan Raya”.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Isu kecelakaan jalan raya
tidak lekang di bibir, terutamanya pada musim perayaan. Kata orang,
jika tiada angin, masakan pokok bergoyang.
Walhasil, pihak kerajaan telah mengambil langkah-langkah proaktif dan
konstruktif, seperti Ops Sikap dan Ops Raya 2011, untuk mencegah
kemalangan jalan raya. Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan
Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dikerah dalam dua operasi
berasingan bagi mengawal lalu lintas dan mengawasi keselamatan pengguna
pengguna jalan raya sempena sambutan Aidilfitri baru-baru ini. Ironinya,
kadar kemalangan jalan raya tetap meningkat. Dalam senario ini,
siapakah yang harus dipersalahkan? Adakah kerajaan kita kurang prihatin
terhadap keselamatan para pengguna jalan raya? Adakah nyawa kita begitu
murah? Adakah rakyat kita menjadi hamba kepada hawa nafsu? Adakah rakyat
kita tidak rasional ketika berada di jalan raya?
Tepuk dada tanyalah selera! Realitinya, terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada berlakunya peningkatan kes kemalangan jalan raya di negara kita.
Ada angin, ada pokoknya!
Kecuaian ataupun kealpaan pengguna jalan raya antara penentu perdana
tidak dapat dinafikan. Baik disedari mahupun tidak, dari perspektif
etika, kelalaian merupakan suatu kesalahan kerana mengundang pelbagai
komplikasi, yakni kehilangan nyawa, kemusnahan harta benda, dan
penderitaan. Ghalibnya, kecuaian memandu berlaku disebabkan oleh tiga
faktor, iaitu tekanan jiwa, tidak menumpukan perhatian terhadap
pemanduan, dan di bawah pengaruh arak ataupun dadah. Tekanan jiwa boleh
menjejaskan tumpuan terhadap pemanduan kerana mindanya bercelaru
manakala jiwanya pula berkecamuk gara-gara pelbagai masalah mengundang
padah, bak kata pepatah
geruh tidak berbunyi, malang tidak berbau!
Misalnya, desakan kerjaya dan rumah tangga, sementelahan kesesakan
lalu lintas menggangu gugat konsentrasi pemandu sehingga melanggar
kereta di depan ataupun terbabas di selekoh tajam. Sementara itu, ada
pemandu yang tidak prihatin membaca atau menghantar SMS seraya memandu,
kononnya
sambil menyelam minum air.
Natijahnya, tumpuan terhadap pemanduan terjejas dan tanpa diduga,
kemalangan boleh terjadi. Lebih teruk lagi apabila kes kemalangan
berlaku bahana pemandu yang mabuk, terutamanya pada musim perayaan, hari
libur, dan tengah malam. Tegasnya, punca kemalangan jalan raya tidak
lain dan tidak bukan kealpaan para pengguna jalan raya, bukannya pihak
kerajaan.
Para hadirin sekalian,
Sudah terang lagi bersuluh, baik jalan raya
ataupun lebuh raya kita menjadi sungai maut berpokok pangkal daripada
kegagalan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang dan peraturan lalu
lintas. Mereka, terutamanya generasi muda,
beraja di mata, bersultan di hati. Ada yang terlalu mengikut perasaan tanpa mengendahkan musibah kemalangan, kata orang
turutkan rasa binasa, turutkan hati mati, turutkan mata leta.
Peraturan yang ditetapkan, misalnya kelajuan maksimum 110 kilometer
sejam, seolah-olah hanya wujud di atas kertas dan peringatan daripada
PDRM ataupun JPJ bagaikan
masuk ke telinga kanan, keluar dari telinga kiri.
Pemandu bas ekspres ataupun treler, tamsilnya, bermaharajela di lebuh
raya dengan memperlarikan kenderaan serta memotong kenderaan
sewenang-wenang seolah-olah dirasuk syaitan. Remaja pula berlumba haram
di jalan raya seolah-oleh jalan raya kepunyaan orang tua mereka. Demi
pengetahuan kalian, gejala mat rempit yang kian leluasa dalam kalangan
generasi muda dan memudaratkan keselamatan orang ramai berlaku di negara
kita sahaja. Fenomena ini memanifestikan bahawa rakyat Malaysia sudah
ketandusan ataupun kegersangan nilai-nilai etika ataupun moral.
Tuntasnya, kegagalan pengguna jalan raya mematuhi peraturan lalu lintas
menjadi pokok pangkal peningkatan kes kecelakaan jalan raya di negara
kita.
Para pelatih yang dihormati,
Setiap penyakit ada penawarnya, setiap permasalahan ada penyelesaiannya.
Penawar yang mustajab untuk masalah sikap pengguna jalan raya sekali
gus mengatasi kemelut kemalangan jalan raya ialah pendidikan. Pada
hakikatnya, pendidikan memainkan peranan yang terpenting untuk membentuk
sikap pengguna yang terpuji sekali gus mengelakkan berlakunya salah
laku jalan raya. Pengguna jalan raya perlu dididik supaya mempunyai
kesedaran tentang keselamatan di jalan raya dan mempunyai sahsiah diri
yang betul sebagai pengguna jalan raya. Kesedaran ini seelok-eloknya
disemaikan sejak di bangku sekolah lagi kerana
masa lagi rebunglah hendak dilentur, jangan dinantikan sudah menjadi aur. Pendidikan yang berterusan mestilah disuntik ke dalam jiwa pengguna jalan, dan bukannya
melepaskan batuk di tangga ataupun
hangat-hangat tahi ayam.
Tiga saluran pendidikan boleh digunakan yakni melalui sekolah, misalnya
dalam mata pelajaran Pendidikan Moral, melalui sekolah memandu, dan
melalui saluran komunikasi awam seperti radio dan televisyen. Saluran
komunikasi, misalnya, mestilah menjadi wadah penyebaran maklumat yang
dapat memainkan tanggungjawab sosial untuk mencelikkan mata orang ramai
peri pentingnya mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya dan
bukannya menjadi medan untuk meraih keuntungan semata-mata. Tamsilnya,
kehadiran filem genre remaja dan sosial di pawagam seperti
KL Menjerit 1,
Remp-it,
Anak Halal,
KL-Drift,
Haru-Biru,
Impak Maksima, dan yang terbaharu
Bohsia
seharusnya mampu mendidik pengguna jalan raya khususnya dalam kalangan
generasi muda dan bukannya bertujuan menyogokkan unsur hiburan
semata-mata. Realitinya, pendidikan merupakan instrumen yang paling
efektif bagi mengubah sikap pengguna jalan raya agar lebih berhemah
ketika memandu kerana
ingat sebelum kena, hemat sebelum habis sekali gus menurunkan kadar kemalangan jalan raya di negara kita.
Akhirulkalam, saya ingin mengingatkan semua pihak bahawa kemalangan
jalan raya sebenarnya bukan sahaja mengundang maut malahan kemalangan
jalan raya turut menyebabkan negara mengalami kerugian. Oleh itu,
marilah bersama-sama mengorak langkah sederap untuk mengurangkan kes
kemalangan jalan raya di negara kita. Kata orang,
berat sepikul, ringan sejinjing!
Semoga adik-adik yang hadir di pusat latihan memandu pada hari ini akan
menjadi pemandu yang berhemah di jalan raya apabila telah mendapat
lesen memandu kelak. Ingatlah, usaha menangani kemalangan jalan raya
tidak boleh dipandang enteng. Usaha yang pragmatik dan konstruktif
sahaja tidak memadai jika tiada iltizam dan komitmen golongan muda.
Akhir kalam,
janganlah terhantuk baru tengadah!
Sekian, terima kasih.
...........................
Kesan Pemanasan Global
Pemanasan global telah menyebabkan bumi mengalami “demam panas”
yang turut menjadi penyebab utama iklim dunia menjadi semakin
kucar-kacir. Bagi kebanyakan orang, perubahan iklim dan pemanasan
global lebih banyak mengganggu sistem ekonomi berbanding dengan
kesihatan diri. Walau bagaimanapun, kesan pemanasan global jauh lebih
mendalam dan akan meninggalkan kesan kepada semua penduduk dunia.
Mungkin juga ada antara kita yang melihat mereka yang terbunuh akibat
bencana alam seperti taufan, banjir dan cuaca panas sebagai nasib malang
semata-mata.
Namun, bagi yang terselamat, mereka
sebenarnya terdedah kepada ancaman kesihatan selepas terselamat daripada
lemas, mati kesejukan atau dehidrasi. Percaya atau tidak, peningkatan
suhu bumi telah membunuh lebih satu juta orang di seluruh dunia sejak
tahun 2000 sama ada secara langsung ataupun tidak. Pertubuhan Kesihatan
Sedunia (WHO) yang mengeluarkan perangkaan tersebut menjelaskan separuh
daripada jumlah kematian itu berlaku di Asia Pasifik, benua yang paling
padat penduduk. Selain itu, jumlah berkenaan belum ditambah dengan
ribuan mangsa yang terbunuh akibat pencemaran udara setiap tahun ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.
Pemanasan global yang berpunca daripada
pencemaran udara akan menyumbang kepada peningkatan jumlah gas karbon
iaitu gas rumah hijau di ruang atmosfera bumi. Haba matahari yang pada
kebiasaannya dapat dipantulkan ke permukaan bumi kembali ke angkasa
lepas kemudiannya terperangkap dan menyebabkan suhu bumi semakin
meningkat. Akibatnya, ais di kutub-kutub mula mencair dan meningkatkan
paras air laut sehingga menenggelamkan sesetengah pulau kecil dan
menghakis permukaan tanah besar.
Selain itu, suhu tinggi turut meninggalkan
kesan pada aliran angin yang akan membawa kepada pembentukan lebih
banyak ribut taufan serta hujan monsun yang lebih teruk daripada biasa.
Contoh terbaik dapat dilihat berdasarkan kepada gelombang haba di Eropah
yang menyebabkan angka kematian meningkat sejak tahun 2000. Gelombang
“kepanasan” ini telah menyebabkan suhu ketika musim panas dan musim
sejuk kini jauh lebih tinggi. Malah, ada negara seperti Amerika
Syarikat telah dilanda ribut salji dan ribut taufan yang teruk seperti
Taufan Katrina pada tahun 2005.
Kesan masalah ini akan terus berpanjangan
dan akan semakin serius jika terus diabaikan atau gagal dikawal.
Akibatnya, generasi seterusnya yang akan menanggung kesan penuh
kerakusan generasi kini dalam mencemarkan alam sekitar semata-mata untuk
kekayaan dan kemajuan ekonomi kerana sifat tamak haloba.
Sebarang bentuk perubahan melampau pasti akan memberi kesan paling
buruk kepada bayi, kanak-kanak, dan warga emas yang merupakan golongan
paling mudah terdedah menjadi mangsa pertama bencana alam.
Rakyat Malaysia mungkin dapat menyesuaikan
diri dengan suhu yang tinggi dan panas terik memandangkan sudah biasa
dengan iklim tropika bak kata pepatah, “alah bisa tegal biasa”.
Walau bagaimanapun, penduduk yang biasa hidup dengan iklim sejuk
mungkin tidak dapat menyesuaikan diri dan kini mencatatkan peningkatan
kematian akibat strok haba. Strok haba akan menyebabkan kegagalan semua
organ badan berfungsi, sama seperti yang berlaku kepada pesakit demam
panas. Begitu juga dengan penyakit radang paru-paru yang berpunca
daripada penyebaran meluas bakteria yang menyerang paru-paru berikutan
cuaca panas dan lembap serta beberapa faktor lain.
Kesukaran untuk mendapatkan bekalan air
bersih akan mendedahkan orang ramai kepada air yang dicemari pelbagai
jenis kuman. Kesihatan diri sudah pasti akan terancam jika air tercemar
digunakan sebagai air minuman, memasak, membasuh atau membersihkan diri.
Bilangan kes cirit-birit , taun dan pelbagai penyakit bawaan air
dilihat meningkat dengan mendadak ketika musim banjir. Situasi ini
diburukkan lagi dengan peningkatan penyakit bawaan nyamuk akibat
pembiakan nyamuk di dalam tompokan air bertakung yang ditinggalkan arus
banjir. Takungan air ini menjadi tempat strategik untuk kuman yang
pantas membiak kerana mendapat bekalan makanan yang cukup dari tumbuhan
dan bangkai haiwan yang mereput.
Masalah ini juga memberi kesan yang buruk
kepada mereka yang gemar bersenam dan beriadah di luar. Hal ini demikian
kerana gas rumah hijau seperti karbon monoksida kini semakin banyak
dalam udara terutamanya di kawasan bandar dan kawasan yang mempunyai
bilangan kenderaan yang banyak. Apabila gas ini disedut terlalu banyak,
ketika bersenam atau beriadah, menyebabkan kandungan oksigen darah jatuh
mendadak dan kandungan gas karbon monoksida yang banyak boleh memberi
kesan kepada badan dan jantung.
Pemuliharaan alam sekitar perlu
dipikul bersama dan bukannya bergantung kepada kerajaan atau
pertubuhan-pertubuhan dunia semata-mata bak kata kata pepatah, “ringan sama dijinjing, berat sama dipikul”.
Rakyat turut memainkan peranan penting dengan mengambil berat akan
kesejahteraan sejagat dan tidak hanya mementingkan kemajuan sendiri
tanpa mengambil kira akibat kerakusan mengejar kekayaan dunia kerana
sememangnya orang yang tamak selalu rugi. Walaupun hanya dengan
sumbangan kecil seperti tidak membuat pembakaran terbuka dan
mengurangkan penggunaan kenderaan bermotor oleh sebanyak mungkin
individu, setidak-tidaknya kita dapat membantu mengawal pemanasan
global. Sayangi dan cintailah bumi kita demi kesejahteraan dan keharmonian kehidupan generasi akan datang.
Disiplin Asas Kejayaan
Pada era globalisasi ini , pencapaian yang cemerlang dan seimbang dalam
bidang akademik serta kokurikulum oleh anak anak merupakan harapan ibu
bapa sebagai langkah untuk menjamin masa depan anak-anak yang cerah .
Hal ini menyebabkan ramai anak yang mengalami tekanan kerana ingin
memuaskan kehendak ibu bapa mereka .Oleh itu , remaja yang terlibat
dalam masalah disiplin ibarat cendawan tumbuh selepas hujan .Hal ini
menyebabkan remaja mencari jalan untuk menghilangkan stress. Contohnya,
membuli , merokok dan berlumba haram. Akhirnya , masalah disiplin
pelajar menjadi lebih serius dan mereka terjebak ke dalam kancah
kebinasaan .Oleh itu , pelajar harus belajar untuk menjadi disiplin
kerana disiplin asas kejayaan .
Sebagaimana yang kita tahu, seseorang yang mempunyai disiplin diri dapat
membina jati diri .Remaja sekarang mempunyai jati diri yang lemah .Hal
ini disebabkan oleh pengaruh media massa dan pengaruh kawan yang kuat.
Kesannya , remaja tidak berminat dalam pelajaran kerana terlalu berminat
dalam pelajaran dan menumpukkan perhatian dan masa kepada media massa
atau kawan . Sekolah harus mengadakan kelas intensif untuk membantu
pelajar yang lemah dan membaiki kelemahan pelajar. Dengan itu ,
pencapaian akademik pelajar akan meningkat . Apabila pemikiran pelajar
menjadi matang , jati diri pelajar akan turut meningkat .Selain itu ,
sikap disiplin dalam seseorang dapat meningkatkan kesedaran remaja dalam
pelbagai perkara .Remaja kini tidak menyedari kepentingan akademik dan
suka hidup dalam mimpi .Mereka suka melepak ,merokok dan hidup dalam
alam fantasi mereka .Akhirnya , mereka lupa daratan dan hilang arah
tuju.Oleh itu, para guru disiplin sekolah harus sentiasa tegas dalam
mengatasi masalah disiplin pelajar dan menguatkuasakan peraturan sekolah
sebelum nasi menjadi bubur. Sebuah sekolah yang berada dalam keadaan
yang erkawal akan dapat melahirkan tempat yang kondusif kepada
pelajar-pelajar .Seterusnya , disiplin yang ada pada seseorang remaja
dapat menetapkan masa depan seorang remaja .Remaja alaf baharu ini mudah
hilang arah tujuan kerna mereka tiada motivasi diri .Contohnya , mereka
tidak membuat jadual belajar dan mereka malas untuk berusaha . Oleh itu
, guru sekolah harus mendidik murid untuk menjadi disiplin .Dengan
teknik pembelajaran yang disiplin . remaja dapat mengetahui perkara yang
sedang dibuatnya dengan jelas dan tahu mencari cara untuk memajukan
diri mereka .Dengan itu , remaja akan menghargai masa dan mereka akan
sentiasa melakukan aktiviti yang berfaedah .Sementara itu, sikap
disiplin yang ada pada seseorang dapat meningkatkan imej diri .Pada masa
ini , masalah remaja seperti berpakaian selekeh dan berambut panjang
sudah menjadi perkara yang umum . Budaya Punk dan Barat dipraktikkan
dalam kehidupan mereka.Contohnya , mereka mewarnakan rambut dan
berseluar ketat . Pepatah Melayu pernah mengatakan melentur buluh
biarlah dari rebungya ,ibu bapa harus menunjukkan cara berpakaian yang
kemas dan menjadi suri telada kepada anak sejak kecil kerana bagaimana
acuan begitulah kuihnya.Sebagaimana yang kita tahu , anak-anak yang
dididik dengan baik dari rumah sentiasa mempunyai sikap disiplin dan
perkara-perkara yang dilakukan oleh mereka tidak menconteng arang di
muka ibu bapa.Di samping itu , disiplin merupakan kunci kejayaan diri .
Anak muda pada masa kini antikokurikulum dan antipeperiksaan kerana
mereka tidak dapat mencari keseronokan yang mereka kira seronok .
Misalnya , mereka ponteng sekolah semasa dikehendaki untuk menghadiri
aktiviti kokurikulum dan hanya hadir pada hari peperiksaan sahaja.
Pengetua sekolah haruslah memberikan nasihat dan teguran untuk
menyedarkan remaja bahawa pentingnya kokurikulum dan akademik dalam
dunia ini . Pengetua juga harus member kata-kata yang dapat
memotivasikan pelajar supaya pelajar lebih yakin akan diri sendiri .
Pelajar haruslah menunjukkan muhasabah disiplin diri yang tinggi dan
harus memperbaik sikap yang buruk kerana buang yang keruh , ambil yang
jernih .
Tuntasnya , masalah disiplin pelajar dapat dikawal tetapi memerlukan
usaha yang pragmatik dan kerjasama bagai aur dengan tebing oleh semua
pihak . Pepatah Melayu sentiasa berbunyi ‘pemuda harapan bangsa , pemudi
tiang negara , remaja harus diasuh untuk menjadi pemimpim negara yang
berketerampilan dan berwibawa .Kesimpulannya ,sikap disiplin merupakan
penentu kejayaan untuk memastikan masa depan negara cerah dan sejahtera .
Saya yakin bahawa remaja ialah aset negara dan mereka akan menerajui
dan mendukung cita-cita negara pada masa depan dengan sikap disiplin
yang utuh dalam diri mereka .
Disiplin Asas Kejayaan
oleh: Lim Siew Feng
Langkah Melestarikan Permainan Tradisional
Permainan tradisional merupakan warisan bangsa yang tak lapuk dek hujan,
tak lekang dek panas walaupun popularitinya semakin berkurangan.
Generasi muda hari ini tidak mengenali permainan tradisional dengan
mendalam kerana kemajuan teknologi yang begitu pesat. Pelbagai pihak
telah berusaha untuk mengembalikan populariti permainan tradisional
masyarakat kita. Namun begitu, belum ada tanda-tanda permainan
tradisional akan kembali diminati. Jadi, beberapa langkah yang sesuai
wajar dilaksanakan untuk menghidupkan kembali warisan budaya bangsa ini.
Kerajaan wajar menganjurkan pertandingan-pertandingan permainan
tradisional di semua peringkat sosial. Langkah ini bertujuan untuk
menarik minat masyarakat untuk bergiat cergas dalam bidang sukan
tradisional yang semakin dilupakan. Pelbagai hadiah yang menarik wajar
disediakan keranaada gula ada semutnya. Permainan tradisional seperti
wau, gasing, galah panjang, congkak, dan sebagainya sesuai untuk
dipertandingkan. Pertandingan ini wajar dijadikan acara bulanan atau
tahunan agar pendedahannya lebih kerap dan bukan sekadar hangat-hangat
tahi ayam. Jadi, penganjuran pertandingan akan dapat mengembalikan
populariti permainan tradisional bangsa kita.
Selain itu, pihak berwajib perlu menjadikan permainan tradisional
sebagai satu acara untuk menarik pelancong kerana jika tidak dipecahkan
ruyung, manakan mendapat sagunya. Kebanyakan pelancong mancanegara sudah
tentu berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang permainan
tradisional Malaysia yang pelbagai jenis. Kementerian Pelancongan wajar
melatih generasi muda untuk menjadi duta kecil untuk memperkenalkan
permainan tradisional kepada pelancong asing. Untuk menjadikan permainan
tradisional lebih popular, konsep inap desa turut memasukkan permainan
tradisional sebagai acara wajib dalam program berkenaan. Oleh yang
demikian, permainan tradisional dapat diperkenalkan kepada pelancong
asing dengan lebih berkesan
Satu lagi langkah untuk memperkenalkan permainan tradisional adalah
dengan memasukkan permainan tradisional sebagai satu aktiviti
kokurikulum di peringkat sekolah atau institusi pengajian tinggi.
Malahan, kanak-kanak di peringkat prasekolah juga wajar didedahkan
dengan permainan tradisional kerana melentur buluh biarlah dari
rebungnya. Kelab-kelab permainan tradisional hendaklah ditubuhkan dan
murid-murid diwajibkan menjadi ahli mana-mana kelab permainan
tradisional yang digemari oleh mereka. Tambahan pula, pertandingan
permainan tradisional antara sekolah-sekolah akan menyemarakkan lagi
semangat murid untuk memahirkan diri dengan permainan-permainan
tradisional tertentu. Langkah ini sudah tentu dapat menghidupkan kembali
kegemilangan permainan tradisional dalam kalangan generasi muda di
negara kita
Kesimpulannya, permainan tradisional memang wajar dikembalikan
kegemilangannya dalam kalangan generasi muda. Semua pihak hendaklah
berganding bahu untuk mempopularkan kembali warisan bangsa yang tidak
ternilai harganya ini. Bak kata pepatah, bulat air kerana pembetung,
bulat manusia kerana muafakat. Jika tidak permainan tradisional warisan
berzaman ini hanya tinggal nama sahaja pada suatu masa nanti. Kerjasama
dan iltizam semua pihak akan dapat mempopularkan kembali warisan bangsa
kita sampai bila-bila.
Sumber: Dr. Ghazali Lateh
Ketika
dunia hari ini merentasi arus teknologi yang semakin canggih, bencana
alam pula sering melanda dan menunjukkan belang. Pada realitinya,
bencana alam seperti banjir, letusan gunung berapi dan ribut taufan
ialah satu fenomena alam yang tidak dapat kita halang bak kata pepatah,
geruh tidak berbunyi, malang tidak berbau. Hadirnya bencana alam tanpa
kita minta lantaran bencana alam ini berlaku atas kehendak Tuhan,
pencipta segala kehidupan. Bencana alam ini berlaku tidak kira tempat
ataupun waktu. Pada abad ini, walaupun teknologi semakin berkembang dan
tumbuh dengan pantas bagai belut diketil ekor, kemajuan ini tidak dapat
menghalang bencana alam yang ganas melanda. Pada tanggal 26 Disember
2004, satu peristiwa telah menggemparkan dunia apabila semua berita
melaporkan berlakunya ombak besar iaitu tsunami di Acheh yang telah
mengorbankan beratus ribu nyawa. Kejadian dahsyat itu masih meninggalkan
kesannya hingga kini malah masih menjadi mimpi ngeri buat semua yang
terlibat. Memang tidak dapat kita nafikan bahawa semenjak belakangan ini
banyak bencana alam yang berlaku di seluruh dunia termasuk negara kita
dan juga negara-negara jiran seperti gempa bumi di Pakistan dan di
China, taufan Nargis di Myanmar dan tanah runtuh yang dahsyat di
Filipina. Fenomena yang terbaharu ialah letupan Gunung Merapi di
Yogyakarta, Indonesia. Sebagai masyarakat yang mempunyai sifat
kemanusiaan keranaberat mata memandang, berat lagi bahu memikul, kita
sepatutnya bersimpati dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang
memerlukan ibarat hulurkan tangan, ringankan beban.
Sebagai insan yang sedar tentang kesusahan orang lain, kita boleh
menyalurkan bantuan dengan kutipan derma. Derma yang dihulurkan akan
disalurkan kepada mangsa bencana alam yang amat memerlukan dan
mendambakannya bagi meneruskan kehidupan di bumi ciptaan Tuhan ini.
Bantuan yang disumbangkan tidaklah hanya berfokuskan wang ringgit,
tetapi bantuan lain seperti ubat-ubatan, pakaian dan makanan juga
diperlukan. Setelah bencana berlaku, pastinya mangsa bencana tidak
memiliki kelengkapan yang sempurna untuk hidup kerana semua harta mereka
telah dimusnahkan oleh bencana alam yang di luar jangka ini. Pada masa
ini, pelbagai peringkat kutipan derma telah dijalankan oleh pihak
berwajib sama ada pihak swasta ataupun pihak kerajaan yang berasa
bertanggungjawab untuk membantu sesama manusia. Contohnya dapat dilihat
apabila pihak TV3 telah mengadakan Karnival Jom Heboh untuk membantu
mangsa-mangsa tragedi yang menyayat hati di seluruh negara ini. Mantan
Menteri Belia dan Sukan pernah menyatakan bahawa kita seharusnya
bersyukur dengan nikmat yang diberikan Tuhan dan harus berkongsi nikmat
yang kita ada dengan orang lain yang memerlukan supaya Tuhan akan
melipatgandakan nikmat tersebut. Jelaslah di sini bahawa kita tidak
harus lokek dalam menghulurkan sumbangan kerana cubit paha kiri, paha
kanan pun sakit juga agar mangsa dapat hidup sempurna seperti kita.
Menganggotai pasukan penyelamat dan pencari juga merupakan peranan kita
dalam membantu dan mencari mangsa yang terperangkap dalam runtuhan
bangunan atau mencari mangsa yang hilang selepas kejadian bencana alam.
Muktahir ini, banyak pasukan penyelamat Malaysia diterbangkan ke
negara-negara jiran yang mengalami bencana alam untuk memberikan bantuan
yang semampu boleh. Namun, tidak semua daripada kita yang berani
menjadi penyelamat kerana takut berlakunya kejadian susulan di tempat
bencana terbabit. Bagi mereka yang berani, mereka ibarat wira dari
Malaysia yang datang untuk menjalankan tanggungjawab mereka sebagai
penghuni di muka bumi ini. Pasukan yang terdiri daripada Pasukan Gerak
Cepat dan Pasukan SMART di samping pasukan bomba sentiasa dihantar
sebagai kumpulan awal untuk turut sama dalam kerja-kerja mencari dan
menyelamat mangsa. Mereka membantu bukan untuk balasan atau ganjaran,
namun membantu atas dasar kemanusiaan demi menginsafi diri bahawa mereka
perlu bersyukur dengan segala keselesaan dan telah terselamat daripada
bencana alam ini. Rentetan itu, sudah terang lagi bersuluh bahawa
menyumbangkan tenaga boleh menjadi satu platform untuk menyalurkan
bantuan dalam melaksanakan usaha murni ini lantaran kita berpegang pada
kata pepatah, hari tidak selamanya panas.
Membuat keputusan untuk menjadi sukarelawan bukanlah sesuatu yang mudah.
Hal ini disebabkan apabila menjadi salah seorang ahli sukarelawan, kita
akan meninggalkan keluarga yang tersayang dalam tempoh yang agak lama
untuk memberikan bantuan kepada negara-negara jiran. Bantuan rawatan,
membina rumah mangsa yang telah musnah semula dan mententeramkan emosi
mangsa adalah antara tugas sukarelawan. Pada masa ini, sukarelawan
bergerak dalam kumpulan ataupun persatuan. Para sukarelawan ini
kebanyakannya dianggotai oleh golongan doktor iaitu golongan bijak
pandai untuk merawat mangsa yang mengalami kecederaan sekali gus
menyelamatkan nyawa mangsa. Kini, Mercy Malaysia yang dipimpin oleh Dato
Dr. Jamilah semakin mendapat tempat dalam hati masyarakat setempat
kerana perkhidmatan cemerlang mereka. Ketika mengadakan operasi
menyelamat mangsa dalam tragedi gempa bumi di Pakistan, Mercy Malaysia
telah menerima pujian hasil kepakaran dan disiplin yang tinggi para
pengamal perubatan dari Malaysia. Konklusinya, kemurnian hati para
sukarelawan ini amat bernilai dan bererti kepada mangsa untuk mereka
terus menjalani kehidupan seperti manusia lain. Para sukarelawan yang
berilmu pengetahuan, berakal, rajin dan berkemahiran ini dapat dikatakan
sebagai empat bersimpul satu dalam usaha tulus suci ini.
Di samping bantuan derma dan tenaga, kita juga boleh mendoakan
mangsa-mangsa kejadian bencana alam ini. Doa yang dipohonkan adalah agar
mereka tabah menghadapi dugaan daripada Tuhan Yang Maha Mengetahui.
Semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama boleh mendoakan
kesejahteraan hidup mangsa bencana yang masih hidup atau yang telah
terkorban mengikut kepercayaan agama masing-masing. Paparan akhbar
harian seperti Berita Harian, Utusan Malaysia dan Harian Metro telah
melaporkan bahawa solat hajat dan bacaan Yasin secara besar-besaran
telah diadakan di Masjid Putra, Putrajaya yang telah dihadiri oleh lebih
daripada 2000 orang rakyat prihatin dan turut disertai oleh
menteri-menteri dan Yang di-Pertuan Agong. Berdasarkan senario ini,
terbuktilah di sini bahawa setelah menghulurkan bermacam-macam bantuan.
doa adalah pengakhiran bantuan yang diberikan lantaran kita sedar bahawa
apa-apa yang berlaku adalah ketentuan Tuhan. Tuntasnya, doa dapat kita
hadiahkan kepada mangsa kerana Tuhan itu Maha Adil lagi Maha Mengasihi.
Doa ini juga secara tidak langsung boleh melahirkan rasa simpati dan
insaf supaya kita sekali tersengat selalu beringat.
Di pihak kerajaan pula, bantuan pascabencana terus dihulurkan. Antara
bantuan yang diberikan seperti sumbangan modal dan kepakaran untuk
membangunkan kawasan yang telah tejejas teruk semula. Sebagai negara
berjiran yang dapat merasakan rintihan dan suara hati saudara serantau,
Malaysia telah membantu kerajaan Indonesia dalam usaha membangunkan
semula sistem pendidikan di wilayah Acheh dan Yogyakarta di Indonesia
yang terjejas teruk dalam peristiwa gempa bumi dan Tsunami. Dengan
sokongan yang diberikan itu telah dapat mengurangkan sedikit beban yang
ditanggung oleh mangsa-mangsa. Anak-anak dapat meneruskan semula
pelajaran, sementara hidup baru dapat dimulakan sedikit demi sedikit.
Sokongan dan bantuan kepakaran yang dihulurkan, sedikit sebanyak dapat
meringankan beban mereka di samping dapat memberikan sinar kehidupan
yang baharu kepada mereka selepas diuji dengan musibah yang tidak diduga
itu.
Intihanya, semua orang seharusnya melupakan batasan geografi dalam
menghulurkan bantuan dan tidak menjadi enau dalam belukar, melepaskan
pucuk masing-masing. Walau di mana-mana jua kita berada, kita harus
sedar bahawa manusia semuanya sama iaitu menginginkan kehidupan yang
sempurna. Amat wajar membudayakan sikap saling membantu selagi kita
termampu lantaranbuat baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat, malah
buat baik berpada-pada buat jahat jangan sekali. Semua pihak haruslah
bersama-sama menghulurkan bantuan dengan apa-apa cara sekalipun kerana
ada pepatah mengatakan hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
Rasulullah juga pernah bersabda, “Tidak sempurna iman seseorang kamu,
selagi kamu masih belum mengasihi saudara kamu seperti kamu menyayangi
diri kamu sendiri”. Semoga sumbangan yang kita salurkan dapat
menyempurnakan iman kita dan dapat membantu mangsa meneruskan kehidupan
seharian mereka seperti sediakala.
SUMBER: CIKGU ANELYZA
ISU TABIAT MEROKOK
............
Dalam menongkah era dunia tanpa sempadan, pelbagai masalah timbul
selaras dengan kemajuan Malaysia di persada global. Masyarakat masih
disogokkan dengan gejala merokok yang membimbangkan. Laporan Kementerian
Kesihatan Malaysia pada tahun 2000 dalam Modul Berhenti Merokok (2001)
membuktikan 20 peratus perokok di Malaysia terdiri daripada golongan
remaja dan statistik ini meningkat setiap tahun. Dianggarkan 50 hingga
60 orang remaja di Malaysia memulakan tabiat merokok setiap hari.
Siapakah yang perlu dipersalahkan apabila generasi pewaris kepimpinan
negara terlibat dengan gejala merokok? Tidak sedarkah para remaja bahawa
merokok ibarat perjalanan bahaya menempah maut? Sesungguhnya, gejala
merokok yang kian kronik perlu diberi perhatian serius oleh segenap
lapisan masyarakat agar rakyat Malaysia kekal sihat dan berupaya
menyumbangkan tenaga ke arah kecemerlangan negara.
Hari Tanpa Tembakau merupakan inisiatif proaktif Pertubuhan Kesihatan
Sedunia secara global, bertujuan mengingatkan masyarakat tentang wabak
tembakau yang meracuni gaya hidup masyarakat sedunia serta membunuh
empat juta penduduk dunia setiap tahun. Angka ini dijangka meningkat
kepada 10 juta orang pada tahun 2030. Statistik daripada Sufean (2004)
menunjukkan 49 peratus lelaki dewasa di Malaysia, merokok, dan jumlah
ini melebihi peratusan perokok di negara maju, iaitu 38% di Britain, 35%
di Amerika Syarikat dan 30% di Sweden. Setiap hari, antara 14,000
hingga 15,000 remaja mula menjadi penagih tembakau di negara maju. Di
negara-negara membangun dan di negara mundur, perokok remaja meningkat
antara 68,000 hingga 84,000 orang. Tegasnya, masyarakat perlu sedar akan
bahaya merokok agar tidak menjerumuskan diri sendiri ke lembah maut.
Sebatang rokok yang dinyalakan oleh perokok mengeluarkan lebih 4000
bahan kimia beracun yang boleh membawa maut. Bahan kimia dalam asap
rokok termasuklah ammonia (pencuci lantai dan tandas), arsenik (racun
tikus), aseton (peluntur warna kuku), asid asetik (cuka), asid stearik
(lilin), butana (cecair pemetik api), DDT (racun serangga), etanol
(alkohol), heksamin (pencucuh barbeku), hidrogen sianida (gas beracun
yang digunakan di "kamar gas maut" bagi pesalah yang menjalani hukuman
mati), karbon monoksida (asap kenderaan bermotor), metana (gas paya),
metanol (minyak roket), naftalena (ubat gegat dan kapur barus), nikotin
(dadah yang menagihkan), tar, toluena (pelarut industri) dan vinil
klorida (bahan untuk membuat PVC). Sekiranya perokok benar-benar
menyayangi dirinya, mengapakah dia sanggup membinasakan dirinya sendiri
dengan merokok? Hargailah kesihatan dan nyawa, kerana mencegah lebih
baik daripada mengubati.
Racun paling berbahaya dalam sebatang rokok ialah tar, karbon monoksida
dan nikotin. Tar mengandungi sekurang-kurangnya 43 bahan kimia penyebab
kanser. Kajian perubatan mengesahkan "benzopyrene" iaitu sejenis
"polycyclic aromatic hydrocarbon" merupakan agen yang memulakan proses
kejadian kanser. Justeru, tidak hairanlah, statistik di Malaysia
membuktikan merokok menyumbang kepada lebih 10,000 kes kematian setahun;
30 peratus daripadanya disebabkan oleh 10 jenis kanser, iaitu kanser
paru-paru, mulut, esofagus, tekak, pankreas, pundi kencing, buah
pinggang, serviks, kolon dan perut. 50 peratus kematian pula berpunca
daripada sakit jantung dan strok. Setiap tahun, lebih 100,000 perokok
dimasukkan ke hospital kerajaan di seluruh negara akibat kanser, sakit
jantung dan penyakit sekatan pulmonari kronik. Hampir satu per empat
mangsa pesakit jantung berpunca dari tabiat merokok. Di Malaysia, sakit
jantung merupakan penyebab utama kematian perokok, manakala strok
merupakan pembunuh keempat. Lebih menyedihkan, negara kerugian kira-kira
RM20 bilion setahun bagi menanggung kos rawatan penyakit akibat gejala
merokok. "Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna."
Karbon monoksida di dalam rokok pula, merupakan gas beracun yang
dikeluarkan oleh ekzos kenderaan. Gas tersebut menjejaskan bekalan
oksigen ke tisu-tisu sehingga tisu-tisu terencat dan akhirnya
mengakibatkan maut sekiranya paras karbon monoksida di dalam badan
melebihi 60%. Apabila racun rokok memasuki tubuh manusia, racun
berkenaan menyebabkan kerosakan pada setiap organ di sepanjang
laluannya, bermula dari hidung, mulut, tekak, saluran pernafasan,
paru-paru, saluran penghadaman, saluran darah, jantung, organ pembiakan,
sehinggalah ke saluran kencing dan pundi kencing. Asap akan melalui
saluran pernafasan ke dalam paru-paru dan merosakkan saluran bronkus,
sehingga menyebabkan bronkitis di bahagian paru-paru. Racun rokok turut
merosakkan pundi udara dalam paru-paru dan menyebabkan penyakit
emfisima.
Selain mendatangkan implikasi kronik terhadap diri perokok, asap rokok
yang dihembus oleh perokok, atau asap rokok basi (istilah saintifiknya,
merokok secara pasif) turut menjejaskan kesihatan orang di
sekelilingnya. Profesor Dato' Dzulkifli Abd. Razak, mantan naib canselor
Universiti Sains Malaysia dalam rencananya, "Asap Rokok Basi: Dedahkan
Faktanya" menjelaskan, asap rokok basi mengandungi lebih banyak bahan
beracun seperti nikotin, formaldehid dan benzene, berbanding asap rokok
yang disedut oleh perokok. Asap ini lebih berbahaya kerana asap
berkenaan terapung di udara beberapa ketika.
Asap rokok yang dihidu akan melalui saluran penghadaman dan pencernaan,
serta menyebabkan pelbagai penyakit di bahagian esofagus, perut dan
pankreas. Racun dalam asap rokok yang larut air, akan memasuki sistem
saluran darah dan dibawa ke seluruh badan. Bahan nikotin bukan sahaja
mendatangkan ketagihan, malah menyebabkan saluran darah arteri menjadi
sempit. Nikotin turut merosakkan dinding arteri dan akan memudaratkan
organ-organ yang berkaitan. Kesan ini, dalam jangka masa panjang, akan
menyebabkan simptom kebas pada kaki, kebas pada jari, migrain, sakit
kepala, pedih ulu hati, kekejangan otot kaki dan serangan penyakit
jantung. Racun rokok akhirnya disaring dalam buah pinggang dan
dihapuskan dari badan menerusi air kencing. Dalam proses ini pula,
berlaku satu lagi keracunan hasil penguraian kimia asap rokok yang turut
merosakkan buah pinggang. Racun dalam air kencing juga menyebabkan
kerosakan pundi kencing. Tegasnya, sudah terang lagikan bersuluh,
perbuatan merokok membawa beratus-ratus masalah kesihatan yang tiada
noktah penghujung.
Tuntasnya, semua pihak perlu bekerjasama "bagai aur dengan tebing"
memperkasakan usaha untuk menyedarkan masyarakat bahawa perbuatan
merokok akan mendatangkan implikasi negatif kepada diri sendiri,
masyarakat sekeliling dan juga negara. Ibu bapa wajar menjadi teladan
terbaik bagi anak-anak dan menasihati anak-anak agar menghindari tabiat
merokok. Kementerian Kesihatan, pihak sekolah dan pihak media massa juga
perlu memainkan peranan signifikan untuk memastikan bilangan perokok
dapat dikurangkan, bak kata peribahasa, "di mana ada kemahuan, di situ
ada jalan." Aktiviti bersempena Kempen Antimerokok wajar diteruskan
dengan berkesan agar maklumat tentang bahaya merokok berupaya
menginsafkan masyarakat. "Rokok Tiada, Kehidupan Bahagia."
Bersama-samalah kita berpadu tenaga mewujudkan suasana Satu Malaysia
yang lebih sihat dan ceria, bebas daripada kepulan asap rokok yang
menjerumuskan kita ke lembah maut. "Kesihatan Cemerlang, Masyarakat
Gemilang, Negara Terbilang."
Terima kasih kepada CIKGU TAN CL
Usaha-usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita
............
Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan masyarakat di negara
kita pada masa ini seperti yang didakwa oleh banyak pihak. Hal ini
berlaku demikian kerana masing-masing sibuk dengan urusan sendiri yang
menyebabkan mereka tidak menghiraukan perkara lain. Pada pendapat
mereka, perkara yang penting dalam hidup ialah mereka perlu berusaha
untuk mencari kekayaan dan hendak mencari wang untuk menambahkan
pendapatan semata-mata. Oleh itu, mereka tidak menitikberatkan semangat
patriotik dan tidak tidak mempedulikan sambutan hari kebangsaan,
contohnya anggota masyarakat kita tidak mengibarkan bendera Malaysia
ketika sambutan ulang tahun kemerdekaan negara dijalankan. Jadi, kita
berharap agar semangat patriotik dalam kalangan masyarakat dapat
ditingkatkan.
Sebenarnya terdapat banyak cara yang boleh dijalankan untuk meningkatkan
semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita. Satu
daripada caranya adalah dengan memberikan penekanan tentang proses
pemupukan semangat patriotik dari bangku sekolah lagi. Perkara ini
membolehkan semangat patriotik sebati dalam diri pelajar seperti kata
peribahasa Melayu, “melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Sekiranya
semangat patriotik dapat dipupuk sejak kecil, sudah tentulah semangat
patriotik akan terus diamalkan dan dikekalkan hingga dewasa. Tambahan
pula, amalan ini penting kerana kita dapat melahirkan masyarakat yang
sentiasa cinta akan negara dan tidak melakukan perkara-perkara yang akan
memburukkan nama negara.
Cara lain yang boleh dijalankan adalah dengan membuat pengubahsuaian dan
memberikan penekanan tentang aspek semangat patriotik ini dalam
kurikulum di sekolah dan di institusi pengajian tinggi. Sekiranya
perkara ini dilakukan, murid-murid akan memahami dan menghayati semangat
patriotik kerana aspek tersebut dipelajari dalam mata pelajaran
tertentu. Dengan perkataan lain, perkara itu akan dipelajari secara
formal di dalam kelas, diuji dalam peperiksaan dan seterusnya diamalkan
dalam kehidupan seharian. Oleh hal yang demikian, semangat patriotik itu
akan terus subur dalam sanubari murid-murid hinggalah selepas mereka
menamatkan persekolahan atau pendidikan mereka di institusi pengajian
tinggi.
Pihak yang bertanggungjawab hendaklah menjalankan kempen secara
besar-besaran melalui media massa. Kempen-kempen yang berkaitan dengan
semangat patriotik ini akan memberikan kesedaran kepada masyarakat
tentang kepentingan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di
negara kita Oleh itu, Kementerian Penerangan Malaysia, di samping media
elektronik seperti televisyen dan radio memang berkesan untuk
menyuburkan dan meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan
masyarakat. Dengan perkataan lain, televisyen dan radio hendaklah
menyiarkan rancangan atau program yang dapat meningkatkan semangat
patriotik seperti menyiarkan rencana tentang pejuang-pejuang kemerdekaan
negara. Selain itu media elektronik itu juga hendaklah menayangkan
filem seperti “Bukit Kepong”, “Paloh”, dan drama-drama yang berkaitan
dengan semangat cinta akan negara.
Agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab pula perlulah menjalankan
aktiviti yang bersesuaian dengan usaha untuk meningkatkan semangat
patriotik dalam kalangan masyarakat agar dapat memupuk semangat ini.
Aktiviti tersebut boleh dijalankan di kampung-kampung dan juga di
kawasan perumahan. Oleh itu, aktiviti seperti sambutan hari kemerdekaan
pada peringkat taman perumahan dan kampung perlulah digalakkan. Di
samping itu, Jabatan Penyiaran atau stesen televisyen juga perlu
mengadakan forum tentang semangat patriotik dengan menjemput tokoh-tokoh
akademik daripada pelbagai bangsa dan juga tokoh masyarakat yang
memperjuangkan semangat kebangsaan suatu masa dahulu. Aktiviti tersebut
bukan sahaja dapat memupuk semangat patriotik malahan dapat mengeratkan
perpaduan antara kaum di negara kita.
Semangat patriotik juga dapat dipupuk melalui contoh dan teladan
daripada pemimpin-pemimpin negara dan pemimpin masyarakat tanpa mengira
bangsa, agama dan fahaman politik. Dengan cara itu, anggota masyarakat
akan mencontohi pemimpin-pemimpin mereka yang memiliki semangat patiotik
yang tinggi. Para pemimpin perlulah selalu mengingatkan dan menekankan
kepentingan menghargai kemerdekaan yang telah dicapai hasil perjuangan
dan titik peluh pejuang-pejuang kemerdekaan yang terdahulu dan
menghayatinya dengan sepenuh hati. Hal ini penting kerana, kemerdekaan
yang dinikmati ini hendaklah dihayati, dijaga dan dikekalkan sampai
bila-bila. Sekiranya perkara ini tidak dititikberatkan oleh semua orang
sudah pasti kemerdekaan yang dinikmati sukar untuk dipertahankan dan
tidak tidak akan memberi makna lagi kepada generasi yang akan datang.
Oleh hal yang demikian, usaha-usaha untuk memupuk semangat patriotik
perlulah dijalankan sepanjang masa tanpa henti. Hal ini demikian kerana,
semangat patriotik ini penting untuk melahirkan warganegara yang cinta
akan negaranya dan pasti akan menjadi individu yang berguna kepada
bangsa, agama dan negaranya sendiri. Individu yang memiliki semangat
patriotik yang tinggi juga akan sentiasa berusaha untuk memajukan diri
dan negaranya agar mencapai kemajuan dan pembangunan dengan cepat,
setanding dengan negara-negara maju yang lain. Skiranya semangat
patriotik tidak dapat dipupuk dalam kalangan remaja, pastilah mereka
tidak ada perasaan cinta akan negara dan menyebabkan mereka hilang jati
diri. Oleh itu, semua pihak perlulah berganding bahu dan memainkan
peranan masing-masing agar semangat patriotik dapat dipupuk dan
disuburkan dalam kalangan masyarakat.
SUMBER: CIKGU ANELYZA
KESAN JEREBU
...........
Dalam mendepani realiti baru dunia yang pantas berubah, rakyat Malaysia
telah digemparkan lagi dengan berita Indeks Pencemaran Udara (IPU) di
kawasan Kuala Lumpur yang meningkat secara mendadak akibat berlakunya
jerebu. Keadaan jerebu di Malaysia yang berlaku secara tahunan telah
menjadi suatu kebiasaan bagi penduduk di bandar raya besar tersebut.
Masalah jerebu yang seperti bangkai gajah yang tidak dapat ditutup
dengan daun nyiru telah mendapat liputan meluas daripada pihak media
massa dan dalam kalangan rakyat Malaysia. Keadaan jerebu bertambah
serius akibat berlakunya fenomena El-Nino. Persoalannya, apakah faktor
dominan berlakunya jerebu? Adakah pihak kerajaan sahaja yang memainkan
peranan penting dalam mengatasi masalah jerebu ini? Tepuk dada tanyalah
selera. Oleh sebab setiap yang berlaku pasti ada akibatnya, masalah
jerebu telah mendatangkan pelbagai impak yang negatif kepada negara kita
dan juga rakyat kita.
Antara kesan negatif yang disebabkan oleh jerebu ialah kualiti udara
negara kita akan terjejas. Udara negara kita yang segar dan bersih akan
dipenuhi oleh debu dan asap setiap kali jerebu melanda sehinggalah jarak
penglihatan mendatar yang dahulunya sejauh 2 kilometer menjadi 50
meter. Sebagai contoh, pada bulan Ogos 2005, negara kita dilanda jerebu
yang paling teruk dalam sejarah negara kita, di mana Indeks Pencemaran
Udara (IPU) di Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang mencecah lebih 500
buat kali pertama di Malaysia sehingga darurat diisytiharkan di
kedua-dua kawasan tersebut, justeru segala aktiviti luar tidak dapat
dijalankan dan kebanyakan sekolah, pelabuhan dan kilang ditutup buat
sementara. Oleh itu, sudah terang lagi bersuluh bahawa jelaslah jerebu
boleh mendatangkan keburukan terhadap negara kita.
Jerebu juga boleh menyebabkan masalah kesihatan rakyat. Golongan yang
lebih lemah seperti kanak-kanak dan warga tua mudah jatuh sakit. Hal ini
berlaku kerana jerebu menyebabkan badan menjadi lemah dan imunisasi
semakin rendah. Penyakit-penyakit selesema dan batuk akan mudah merebak.
Misalnya, pesakit-pesakit asma dan penyakit respiratori mudah diserang
penyakit pernafasan lain. Hal ini berlaku kerana pernafasan mereka
menjadi tidak baik dan ditambah pula udara yang kurang bersih maka
kesihatan mereka akan mudah terancam. Dalam jangka masa yang panjang,
kita juga mungkin akan sakit kerongkong, kegatalan kulit, kemerahan mata
dan sebagainya. Dengan itu, jelaslah bahawa jerebu membawa kesan
negatif kepada kesihatan orang ramai.
Selain kemerosotan taraf kesihatan rakyat Malaysia, sektor ekonomi
negara turut terjejas akibat kerenah jerebu yang berlaku di Malaysia.
Tahap penglihatan yang rendah menyebabkan aktiviti luar disekat dan
industri perikanan dan pertanian terpaksa dihentikan demi menjamin
keselamatan dan kesihatan pekerja-pekerja. Rakyat Malaysia yang terlibat
dalam bidang perikanan dan pertanian terpaksa mencari alternatif yang
lain untuk mencari pendapatan buat sementara waktu. Apabila masalah
jerebu menjadi semakin meruncing, kesan negatif yang lebih serius akan
timbul. Sumber pendapatan negara turut terancam akibat jerebu. Sumber
pendapatan negeri-negeri yang berasaskan industri pelancongan seperti
Sabah dan Sarawak akan merosot kerana industri pelancongan terjejas
akibat jerebu. Para pelancong bukan sahaja dari dalam negeri malah dari
negara asing tidak akan melawat ke Malaysia sekiranya jerebu masih
berlaku di Malaysia kerana bimbang akan keselamatan dan kesihatan mereka
semasa melancong ke Malaysia. Secara tidak langsung, ekonomi negara
kita akan terjejas akibat jerebu.
Jika dilihat dari perspektif lain, masalah jerebu dapat menjejaskan
flora dan fauna di negara kita. Apabila jerebu berlaku, kandungan karbon
dioksida berlipat ganda daripada kandungan yang biasa, sebaliknya
kandungan oksigen akan kurang daripada yang biasa. Hal ini akan
menyebabkan tanaman akan mengambil masa yang lebih lama untuk membesar.
Kualiti dan hasil tanaman juga akan merosot. Hal ini disebabkan oleh
proses fotosintesis yang terjejas akibat kandungan karbon dioksida yang
berlebihan. Proses pernafasan yang melibatkan penyerapan gas oksigen dan
pembebasan gas karbon dioksida ini menyebabkan tumbuhan hijau tumbuh
dengan lebih lama. Misalnya, pokok balak akan mengambil masa yang lebih
panjang untuk matang. Secara tegasnya, hasil dan kualiti pertanian boleh
terjejas sehingga 30 peratus. Sumber petani akan turut terjejas sekali
gus ekonomi negara yang bergantung pada pertanian turut terjejas. Bagi
fauna pula, hidupan akuatik akan terjejas kerana kandungan oksigen yang
terlarut dalam air pula akan berkurang dan hidupan akuatik seperti
ikan-ikan tidak akan mendapat oksigen yang secukupnya. Jelaslah bahawa
masalah jerebu akan menjejaskan flora dan fauna negara.
Intihanya, semua pihak termasuklah rakyat Malaysia haruslah bersinergi
dan berganding bahu dalam menyelesaikan masalah jerebu di Malaysia bagi
mendukung kebenaran yang kita sepakati, persis kata cendekiawan, “bagai
aur dengan tebing.” Sekiranya masalah ini dipandang enteng, nyawa modal
insan negara kita akan menjadi “seperti telur di hujung tanduk.”
Kebobrokan sikap anak-anak juga mestilah dikekang daripada menjadi duri
dalam daging masyarakat kerana nusa tercinta ini memerlukan tenaga
mereka untuk mengatasi masalah jerebu dan seterusnya menggapai impian
Wawasan 2020. Sekiranya masalah jerebu di negara kita tidak diatasi
dengan segera, lama-kelamaan efek buruknya akan menjadi berpanjangan dan
berkekalan serta sukar untuk diselesaikan dan ketika itu kita akan
berasa menyesal tetapi sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak
berguna lagi.
SUMBER: CIKGU ANELYZA
Amalan rasuah melumpuhkan negara. Bagaimanakah gejala ini ditangani?
...........
Menuju ke arah negara maju, Malaysia telah menampakkan kemajuan
daripada pelbagai aspek baik dari segi prasarana dan insfrastruktur,
hinggalah ke sektor pelancongan. Selain itu, ekonomi negara kita
berbilang kaum ini juga semakin kukuh.Menurut kenyataan Bank Negara,
Malaysia telah mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 4.8 peratus pada
suku keempat tahun lalu. Malah, ekonomi Malaysia dijangka meningkat 6.2
peratus pada tahun ini. Teknologi maklumat pun terus menggusur ke arah
globalisasi. Bermulanya daripada pelancaran satelait MEASAT pada 1996,
Negara kita telah mengorak langkah besar dalam dunia teknologi. Kini,
hampir semua rakyat mempunyai telefon sendiri dan telah menjadi
kebiasaan seseorang untuk memiliki 2 hingga 3 telefon bimbit pada satu
satu masa. Seperti kata Thomas L Friedman dalam bukunya yang sangat
terkenal The World is Flat : When the world goes flat – and you are
feeling flattened,reach for shovel and dig inside yourself. Don’t try to
build walls.Sebuah pesan yang bijak dalam menyikapi arus informasi dan
teknologi yang semakin berkembang dengan melihatnya sebagai sebuah
peluang dan tantangan dalam memperluas jaringan informasi dan
meningkatkan kapabilitas diri. Namun begitu, kesemua pencapaian negara
yang dinyatakan itu akan dianggap sia-sia jika rasuah di negara kini
masih berleluasa. Sebagai contohnya, pada tujuh bulan pertama tahun
2010, penangkapan berhubung kes rasuah di negara ini didapati meningkat
dengan sekurang-kurangnya 520 individu termasuk penjawat awam ditahan
membabitkan pelbagai kesalahan.
Rasuah secara umumnya bermaksud perilaku di jabatan-jabatan
atau pejabat-pejabat awam, termasuklah para politikus dan
pegawai-pegawai, yang secara tidak wajar dan tidak sah menurut
undang-undang, mengayakan diri atau memperkaya kerabatnya (keluarga dan
sahabat handai), dengan menyalahgunakan kuasa dan kepercayaan awam yang
diberi kepada mereka. Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM) yang sebelumnya dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah(BPR),
tedapat empat kesalahan rasuah yang utama iaitu meminta atau menerima
rasuah, menawar atau memberi rasuah, membuat tuntutan palsu, dan
menyalahguna jawatan atau kedudukan. Oleh itu,sesuatu perlu dilakukan
bagi menyelesaikan masalah ini. Fenomena rasuah juga sering dikaitkan
dengan istilah tumbuk rusuk atau makan suap dan konotasi ini membawa
maksud yang negatif kepada imej sesebuah masyarakat itu. Semakin tinggi
kadar rasuah di sesebuah negara itu maka semakin rendahlah persepsi
masyarakat luar (masyarakat antarabangsa) terhadap kemampuan rakyat
negara terbabit untuk melakukan sesuatu terutama dalam aspek ekonomi.
Media massa turut menyiarkan pelbagai kes yang melibatkan pegawai
kerajaan berprofil tinggi yang terlibat dalam amalan rasuah ini sebagai
bukti betapa masalah ini semakin menular dalam masyarakat kita.
Jelaslah, fenomena sosial ini mempunyai pelbagai imlikasi dan memerlukan
langkah penyelesaian yang efektif.
“Melentur buluh biarlah dari rebungnya ".Pepatah ini boleh
dijadikan pedoman untuk melahirkan generasi muda yang berpegang teguh
pada integriti dan membenci rasuah. Anak-anak diibaratkan sebagai
sekeping kertas putih, manakala pendidik merupakan pencorak yang
mencorakkannya mengikut matlamat dan idea masing-masing. Masa depan
generasi muda bergantung pada ilmu dan didikan yang diberi di samping
dipengaruhi oleh budaya yang baik dan juga membesar di persekitaran yang
elok. Ibu bapa yang bertanggungjawab ke atas anak-anak haruslah
sentiasa menjadi teladan yang baik kepada anak . Dari aspek jenayah
rasuah, apabila anak yang dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan
kebendaan ini mula memegang jawatan dan mempunyai kuasa, mereka akan
lebih cenderung mengetepikan undang-undang dan peraturan semata-mata
untuk mengaut keuntungan diri.Ibu bapa juga haruslah memberi kasih
sayang yang secukupnya kepada anak-anak. Pada zaman yang penuh dengan
saingan ini, ibu bapa berlumba-lumba untuk mencari rezeki. Senario ini
menyebabkan masa ibu bapa bersama-sama dengan anak ataupun “masa
berkualiti” amatlah sedikit sehinggakan ada yang tergamak mengabaikan
anak-anak. Ibu bapa sepatutnya meluangkan masa bersama anak dan memberi
pendidikan yang secukupnya untuk membina modal insan yang ihsan. Ibu
bapa juga harus faham tentang jenis pendidikan yang diberi kepada anak
dan impaknya sama ada menjadi orang yang berguna kepada masyarakat
ataupun menjadi sampah mesyarakat. Pada era ini, ibu bapa yang semakin
sibuk dengan kerjaya masing-masing sering mengabaikan aspek pendidikan
kerohanian, termasuk nilai agama dan etika dalam proses mendidik
anak-anak. Itulah hakikatnya yang perlu ditelan dek mengejar kemajuan
duniawi.
Di samping itu, kempen, ceramah dan kursus meningkatkan integriti
juga harus dipergiatkan. Kempen pendidikan pencegahan rasuah harus
dilakukan secara berperingkat. Kerajaan boleh bermula dari peringkat
sekolah. Baru-baru ini,, Sekolah Menengah Chung Hwa telah mengadakan
Ceramah Pendidikan Pencegahan Rasuah pada November 2009. Selain itu,
ceramah-ceramah juga patut diperbanyak untuk meningkatkan integriti
masyarakat. Pendidik- pendidik negara digalakkan agar mengikuti kursus
khas untuk mendidik generasi muda tentang kepentingan integriti, dan isu
rasuah menerusi kurikulum, sahsiah dan kepimpinan supaya mereka sedar
bahawa integriti amatlah penting kepada diri sendiri dan seterusnya
menyumbang kepada pembangunan negara sebagai pewaris negara pada masa
hadapan. Salah satu buktinya ialah bermulanya tahun 2002, seramai 969
guru kaunseling sekolah menengah dari seluruh negara dipilih mengikuti
Seminar Peranan Kaunselor Dalam Pendidikan Integriti dan Pencegahan
Rasuah di peringkat sekolah. Selain guru kaunselor, pentadbir sekolah
turut mengikuti seminar berkenaan. Mereka yang mengikuti seminar
tersebut hendaklah memahami dan mengamalkan konsep pengurusan integriti
dalam organisasi dan memainkan peranan penting dalam mendidik generasi
muda tentang kepentingan integriti menerusi pelbagai kokurikulum dan
kokurikulam agar mereka membenci rasuah. Moga-moga kempen,ceramah dan
kursus yang pelbagai dapat member kesedaran kepada masyarakat tentang
betapa pentingnya peningkatan integriti dalam membanteras rasuah
Bukan setakat itu sahaja, peningkatan integriti boleh
dilaksanakan melalui pelaksanaan agenda integriti untuk institusi
politik. Tanah air kita adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem
demokrasi dengan memilih pemerintah atau kerajaan melalui proses pilihan
raya. Sistem pentadbiran ini merupakan sistem Raja berperlembagaan
dengan sistem pemerintahan berparti di peringkat pusat dan negeri dengan
memilih wakil rakyat. Semenjak negara mencapai kemerdekaan, sistem ini
telah berjalan dengan lancar dan berjaya membawa kestabilan, keharmonian
dan pembangunan kepada rakyat berbilang kaum. Oleh sebab sistem
pentadbiran memberi kesan ke atas kemajuan masyarakat dan negara, maka
integriti kesemua institusi ternyata penting. Parti yang memegang kuasa
mempunyai tugas yang penting, iaitu memantapkan integriti dan menangani
jangkaan rakyat yang kian meningkat.Rakyat kini sedar akan hak mereka.
Mereka tidak lagi bersikap teragak-agak untuk mengemukakan tuntutan bagi
hak mereka itu. Justeru, rakyat berhasrat mendapat pemimpin yang
berkhidmat untuk pembangunan negara betul-betul mempunyai sikap yang
amanah,bertanggungjawab, bertoleransi, telus dan mementingkan rakyat.
Pada masa ini, terdapat persepsi dalam kalangan sebahagian masyarakat
yang mencurigai integriti ahli politik. Rakyat berasa kurang yakin
dengan ahli politik dan menganggap politik sebagai “ kotor’’. Pelbagai
usaha harus dilakukan untuk meningkatkan citra parti politik, memastikan
integriti parti dan ahli politik, meningkatkan ketelusan, mengatasi
penyelewengan dan salah guna kuasa. Pelaksanaan strategi dan pelan
tindakan dalam kalangan pentadbir akan meningkatkan daya tahan gerakan
pemantapan etika dan integriti. Semua ini dapat menyumbang kepada
pembangunan yang lestari, kestabilan politik dan kesejahteraan hidup
pelbagai kaum.
Seterusnya,rakyat juga perlu betul-betul memahami konsep “1
Malaysia, Rakyat didahulukan Pencapaian diutamakan” yang diperkenalkan
oleh Perdana menteri Malaysia yang keenam, Yang Amat Berhormat, Dato'
Seri Najib Tun Razak sejak perlantikan rasminya sebagai perdana menteri
pada 3 April 2009. Gagasan 1 Malaysia merujuk kepada enam Bidang
Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang disasarkan oleh kerajaan dalam
konteks untuk membela dan meletakkan kepentingan rakyat sentiasa
diutamakan. Antara NKRA tersebut ialah memerangi rasuah. Jadi, jika
rakyat benar-benar memahami konsep yang popular ini, pastinya kes rasuah
tidak akan berlaku. Selain itu, ajaran agama perlu diterapkan dalam
hati penduduk. Ini kerana mereka yang mengamalkan rasuah bukannya orang
yang mematuhi agamanya. Mana tidaknya, semua agama menerapkan
nilai-nilai murni untuk dipraktikkan dan menjauhi perkara yang buruk dan
melanggari undang-undang. Dalam agama Islam contohnya, Allah subhanahua
ta'ala telah berfirman yang bermaksud : dan janganlah sebahagian kamu
memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu
dengan jalan yang batil dan janganlah kamu membawa urusan harta itu
kepada hakim supaya kamu dapat memakan sebahagian harta orang lain
dengan jalan dosa padahal kamu mengetahui .Dari maksud ayat di atas,
Allah subhanahua ta'ala menjelaskan kepada kita agar kita jangan memakan
harta orang lain dengan jalan yang salah atau batil, termasuk makan
harta orang lain dengan cara yang salah iaitu menerima rasuah.
Kesimpulan yang boleh saya buat ialah kita hendaklah
berkerjasama dan bersatupadu bagi membanteras rasuah yang kian
meningkat. Selain itu, kita juga perlu menjauhi sifat tamak yang boleh
menyebabkan perbuatan rasuah serta mengelakkan diri daripada berbelanja
melebihi pendapatan . Berikutan semakin seriusnya usaha menangani gejala
ini , rakyat sangat berharap tiada sesiapa akan terkecuali daripada
tindakan undang – undang . Martabat atau parti politik bukan payung yang
melindungi sesiapa daripada penghakiman dan hukuman. Kita yakin bahawa
hukuman yang setimpal boleh menerbitkan perilaku baik seseorang .
Sehubungan itu , dalam memerangi gejala ini , semua pihak perlulah
bertindak secara menyeluruh dan berterusan . Jika kita sepakat
melakukannya ,tiada sebab kita akan gagal. Bagi rakyat jelata pula,
janganlah hanya duduk diam. Bertindaklah dan bantulah kerajaan sedaya
upaya kerana mereka sentiasa bertungkus lumus untuk memastikan negara
kita berada dalam landasan yang betul untuk menjadi negara maju
menjelang 2020. Janganlah pula memandang enteng program yang dijalankan
kerajaan. Ingat, anda mempunyai peranan penting sebagai warganegara
Malaysia yang bertanggungjawab. Usah biarkan perkara ini mencacatkan
lagi ekonomi negara kerana pada masa itu, nasi sudah menjadi bubur dan
segala usaha ketika itu pastinya tidak akan berhasil.