PENDAHULUAN KARANGAN
PENDAHULUAN KARANGAN
a) Gambaran awal tentang tahap pencapaian pelajar dalam penulisan.
b) Memberikan gambaran tentang arah tuju karangan.
c) Memberitahu pemeriksa lebih awal tentang perkara yang mahu disampaikan dalam sesebuah karangan.
Para pelajar seharusnya sudah mengetahui bahawa karangan mereka akan diperiksa buat kali pertama oleh pemeriksa. Pelajar tidak seharusnya lupa bahawa di sekolah, karangan mereka diperiksa oleh guru yang sudah biasa dengan karangan dan keupayaan mereka.
Hal demikian tidak berlaku dalam peperiksaan sebenar. Pelajar seharusnya memberikan gambaran yang baik dari segi pengolahan dan penggunaan bahasa yang digunakan dalam karangan sejak awal lagi iaitu bahagian pendahuluan. Kita akan membincangkan teknik-teknik menulis pendahuluan berdasarkan satu soalan sahaja.
Teknik menulis pendahuluan
Pendahuluan merupakan keterangan ringkas tentang perkara yang akan diketengahkan dalam karangan. Pendahuluan yang baik, lancar dan berkesan akan memberikan gambaran isi karangan yang mantap dan menarik. Pendahuluan yang baik dapat memberikan gambaran menyeluruh tentang perbincangan dalam bahagian isi. Teliti perkara-perkara berikut yang perlu ada dalam perenggan pendahuluan.
Perkara penting dalam pendahuluan
Ringkasnya perenggan pendahuluan mengandungi ayat-ayat yang disusun seperti berikut :
· Kehendak soalan yang dikemukakan
· Isu atau perkara yang berkaitan dengan soalan
· Keterangan isu atau perkara yang berkaitan dengan kehendak soalan
· HALA TUJU SOALAN (sebab / langkah / kesan)
Bahagian terpenting yang kerap ditinggalkan oleh pelajar ialah HALA TUJU SOALAN yang menjuruskan karangan kepada kehendak soalan.
Contoh pendahuluan
Soalan : Setiap orang mempunyai cita-cita dan keinginannya masing-masing. Jelaskan impian anda dan langkah yang akan anda ambil bagi memastikan impian tersebut dapat dicapai.
Setiap orang tanpa mengira pangkat, kedudukan dan usia pasti mempunyai suatu matlamat dalam kehidupan yang dikenali sebagai impian.(ayat 1)
Sebagai manusia biasa, saya juga mempunyai impian yang ingin saya capai pada suatu hari nanti (ayat 2)
Saya mempunyai impian untuk menjadi seorang angkasawan yang menjelajah angkasa yang luas tidak bersempadan itu (ayat 3)
Bagi memastikan impian itu tercapai, saya telah bersedia dengan langkah-langkah ke arah impian itu sejak di bangku sekolah lagi (ayat 4)
Bentuk pendahuluan yang popular dan mudah
Bentuk-bentuk pendahuluan ini sesuai digunakan dalam karangan sama ada karangan berformat rasmi ataupun tidak berformat rasmi. Sekiranya karangan berformat rasmi, pelajar hanya perlu menuliskan format rasmi berkenaan dan terus kepada bentuk pendahuluan yang dikehendaki.
1. Bentuk pendapat / pandangan tokoh
Bentuk pendahuluan ini memerlukan pelajar menguasai nama-nama tokoh yang relevan dengan tajuk soalan yang dikemukakan.
Misalnya :
· Isu pendidikan - Menteri Pelajaran Malaysia.
· Isu pendatang asing - Menteri Dalam Negeri
· Tokoh-tokoh lain yang bersesuaian juga boleh digunakan tetapi pastikan tokoh berkenaan mempunyai kaitan dengan isu yang dibincangkan.
Kandungan perkara dalam pendahuluan
Ayat 1 | Tentukan isu yang dibincangkan |
Ayat 2 | Nyatakan pandangan tokoh berkenaan tentang isu tersebut |
Ayat 3 | Nyatakan ulasan tentang perkara yang dinyatakan oleh tokoh berkenaan |
Ayat 4 | Nyatakan hala tuju karangan mengikut kehendak soalan |
Soalan contoh : Kejadian jenayah yang membabitkan remaja semakin bertambah sejak belakangan ini. Pada pendapat anda, siapakah yang bertanggungjawab menangani masalah ini.
Kita semakin kerap didedahkan dengan kejadian jenayah membabitkan remaja pada masa kini (ayat 1)
Demikian dinyatakan oleh Ketua Polis Negara dalam sidang akhbar baru-baru ini (ayat 2)
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian pembunuhan kejam yang dilakukan oleh seorang remaja terhadap seorang kanak-kanak baru-baru ini (ayat 3)
Bagi menangani masalah ini daripada berterusan, pelbagai pihak perlu memainkan peranan aktif bagi mencegahnya (ayat 4)
2. Bentuk persoalan
Bentuk persoalan merupakan bentuk pendahuluan yang agak mudah untuk dikuasai oleh pelajar dan agak menarik untuk digunakan bagi merangsang pembaca tentang isu yang akan dibincangkan. Pelajar hanya perlu mengemukakan beberapa persoalan yang berkaitan dengan isu yang mahu dihuraikan dalam karangan.
Kandungan perkara dalam pendahuluan
Ayat 1 | Pernyataan isu yang dijadikan asas dalam soalan |
Ayat 2 | Persoalan-persoalan yang berkaitan dengan isu yang akan dibincangkan |
Ayat 3 | Ulasan persoalan yang telah dikemukakan |
Ayat 4 | Hala tuju soalan dalam bentuk persoalan |
3. Bentuk definisi
Pendahuluan jenis definisi agak mudah untuk dihasilkan. Pelajar perlu mengenal pasti perkara pokok dalam soalan. Berikan definisi yang tepat dan jelas tentang perkara tersebut. Kaitan antara definisi yang diberikan dan pokok persoalan dalam soalan perlu ketara. Pelajar tidak seharusnya memberikan definisi yang salah tentang perkara pokok yang ingin disampaikan. Misalnya soalan tentang “kesan kedatangan pendatang asing ke negara ini” seharusnya memberikan definisi yang ringkas, tepat dan jelas tentang “pendatang asing” . Tanpa definisi yang tepat, pendahuluai yang ditulis akan menjadi kabur.
Kandungan perkara dalam pendahuluan
Ayat 1 | Definisi perkara pokok yang terkandung dalam soalan |
Ayat 2 | Ulasan tentang definisi yang diberikan dan kaitannya dengan isu yang akan dihuraikan |
Ayat 3 | Ulasan isu yang dinyatakan |
Ayat 4 | Hala tuju karangan mengikut kehendak soalan |
Soalan contoh
Kejadian jenayah yang membabitkan remaja semakin bertambah sejak kebelakangan ini. Pada pendapat anda, siapakah yang bertanggungjawab menangani masalah ini.
‘Jenayah Remaja’ dapat ditakrifkan sebagai perbuatan jenayah yang dilakukan oleh remaja di bawah usia lapan belas tahun (ayat 1)
Remaja yang melakukan jenayah ketika ‘di bawah umur’ akan dibicarakan di Mahkamah Juvana (ayat2) Hal ini semakin membimbangkan kerana kejadian jenayah yang membabitkan golongan remaja yang masih bersekolah semakin bertambah dari masa ke masa (ayat 3)
Mahu ataupun tidak mahu kita perlu mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab dalam usaha menangani masalah ini daripada berterusan (ayat4)
4. Bentuk isu semasa
Bentuk pendahuluan ini memerlukan pelajar sentiasa mengikuti perkembangan semasa yang berlaku. Pelajar perlu mengaitkan peristiwa semasa dengan isu yang akan dibincangkan dalam karangan. Pendahuluan ini sekadar mengulas isu semasa yang berlaku dan membuat perkataan dengan kehendak soalan.
Kandungan perkara dalam pendahuluan
Ayat 1 | Isu semasa yang relavan dengan kehendak soalan |
Ayat 2 | Ulasan isu yang dijadikan perkara pokok dalam pendahuluan |
Ayat 3 | Ulasan isu dan kaitannya dengan perkara yang berlaku pada masa kini |
Ayat 4 | Hala tuju karangan mengikut kehendak soalan |
Soalan contoh
Kejadian jenayah yang membabitkan remaja semakin bertambah sejak kebelakangan ini. Pada pendapat anda, siapakah yang bertanggungjawab menangani masalah ini.
Sejak akhir-akhir ini kita sering didedahkan dengan pelbagai cerita salah laku dalam kalangan remaja (ayat 1)
Kebanyakan kes yang dilaporkan membabitkan kes jenayah kecil seperti memukul rakan sebaya sehingga kes jenayah berat seperti membunuh (ayat 2)
Semakin banyak kes yang dilaporkan semakin kerap berlaku kejadian jenayah dalam kalangan remaja (ayat3)
Pihak-pihak yang bertanggungjawab seperti ibu bapa, masyarakat dan pihak berkuasa perlu memainkan peranan masing-masing bagi menangani masalah ini sebelum menular menjadi lebih serius (ayat 4)
5. Bentuk berita
Setiap hari berita-berita dalam akhbar memaparkan pelbagai perkara. Sesetengah perkara tersebut boleh dieksploitasi untuk dijadikan pendahuluan dalam sesebuah karangan. Pelajar boleh menulis tajuk-tajuk berita sebagaimana yang sering dibaca di dalam akhbar bagi memulakan karangan dengan menggunakan tanda baca. Penggunaan tanda baca penting kerana ayat dalam tajuk berita biasanya tidak lengkap subjek dan predikatnya kerana ditulis secara ringkas sebagai kepala berita.
Kandungan perkara dalam pendahuluan
Ayat 1 | Tajuk berita yang ditulis berdasarkan isu dalam soalan |
Ayat 2 | Kaitan berita yang ditulis atau dicipta dengan isu dalam soalan |
Ayat 3 | Ulasan isu dalam soalan |
Ayat 4 | Hala tuju karangan mengikut kehendak soalan |
6. Bentuk perbandingan
Bentuk pendahuluan ini mudah untuk dihasilkan kerana semua perkara atau isu dapat dibandingkan dengan mudah. Secara mudah perbandingan ini membandingkan dua perkara ataupun peristiwa yang berkaitan dengan isu dalam soalan.
Kandungan perkara dalam pendahuluan
Ayat 1 | Pernyataan isu yang dijadikan persoalan dalam soalan |
Ayat 2 | Perbandingan isu berkenaan pada masa kini dan pada masa lalu |
Ayat 3 | Ulasan berdasarkan perbandingan yang telah ditulis |
Ayat 4 | Hala tuju karangan mengikut kehendak soalan |
Soalan contoh
Kejadian jenayah yang membabitkan remaja semakin bertambah sejak kebelakangan ini. Pada pendapat anda, siapakah yang bertanggungjawab menangani masalah ini.
Dahulu, kejadian jenayah dalam kalangan remaja merupakan sesuatu yang amat asing kepada masyarakat kita (ayat l)
Kejadian salah laku yang sering dilakukan remaja pada masa itu hanya sekadar mencuri buah-buahan di dusun orang kampung (ayat 2)
Namun kini, tiada lagi kes mencuri buah-buahan di dusun, sebaliknya kes mencuri motosikal dan kenderaan lain yang semakin banyak diperkatakan (ayat3)
Malahan terdapat remaja yang lebih berat pelakuan jenayahnya seperti mengedarkan dadah dan membunuh. Dalam mencari jalan menangani masalah ini pihak berkenaan perlulah bertindak bagi membendung masalah ini (ayat4)
No comments:
Post a Comment