Wednesday, October 12, 2011

KARANGAN : PELANCONGAN

LANGKAH-LANGKAH MEMPERKASA INDUSTRI PELANCONGAN DOMESTIK


Darsawarsa ini, pelancongan desa merupakan industri perkhidmatan yang kian berkembang pesat di negara kita .Pada tahun 2007, purata pelancongan yang berkunjung ke Malaysia dianggarkan seramai 20.6 juta orang dengan perolehan pendapatan RM46.2 bilion. Senario ini, menjadikan Malaysia sebagai negara ketiga paling ramai menerima pelancong Asia Timur selepas China dan Hong Kong. Lantaran itu, pelancongan desa telah juga mendapat tempat di mata pelancong asing. Pelancongan desa dapat memberikan pengalaman kepada pelancong supaya menghargai kehidupan dikampung dan merasai budaya dan adat resam ini sesuai dengan peribahasa masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak. Pelancongan domestik akan bertambah maju sekiranya pelbagai pihak memainkan peranan penting untuk memajukan industri ini. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk memajukan industri ini agar terus berkembang maju?

Minhaj pertama yang perlu dilaksanakan untuk memajukan pelancongan domestik ialah pihak kerajaan perlu mengadakan kempen melalui media massa dan media elektronik. Melalui kempen yang dilaksanakan, keunikan dan kelebihan pusat pelancongan dalam dapat disebarkan kepada masyarakat tempatan dan pelancong asing dengan pantas. Oleh itu, kerajaan mesti memanfaatkan kecanggihan teknologi yang ada pada kini, dengan membina laman sesawang yang mengandungi pelbagai informasi tentang keistimewaan tempat-tempat peranginan di negara kita kepada kepada masyarakat luar. Dalam hal ini, kerajaan mesti melipatgandakan usaha memperkenalkan Malaysia dengan melancarkan pelbagai program pembangunan pelancongan, jika tidak industri ini akan terus hilang ditelan zaman, sekali gus mengurangkan pendapatan penduduk setempat. Tegasnya, kempen merupakan langkah pragmatik dalam usaha memajukan pelancongan desa agar industri ini tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas ditelan arus kemodenan.

Minhaj seterusnya untuk memajukan pelancongan domestik agar terus berkembang dengan menyediakan prasarana yang lengkap dan moden. Hal ini demkian kerana, kemudahan prasarana dan infrastuktur yang sempurna dan kondusif akan menarik minat pengunjung untuk pergi ke destinasi tersebut. Dan apabila mereka pulang ke tempat asal sudah pasti mereka akan menghebahkannya kepada rakan-rakan. Dalam hal ini, Kementeriaan Pelancongan di bawah pimpinan Dato’ Sri Dr. Ng Yen Yen haruslah menlengkapkan infrastruktur di negara kita sebagai tarikan kepada para pelancong. Selain itu, kemasukan pelancong asing akan dapat meningkatkan ekonomi negara kita melalui pengaliran mata wang asing. usaha menaik taraf destinasi pelancongan ini merangkumi infrastuktur seperti rumah penginapan, siber kafe, bekalan air bersih, kafe dan kemudahan asas yang lain. Seandainya pihak kerajaan menjalankan tanggungjawab seperti melepaskan batuk di tangga, maka industri pelancongan negara akan terus berada pada takuk yang sama. Tegasnya, pihak Kementeriaan Pelancongan perlulah menyediakan infrastruktur agar industri pelancongan di negara kita terus berkembang maju.

Selain itu, pihak pengurusan ‘homestay’ perlu menyediakan pelbagai aktiviti rekreasi sebagai satu minhaj untuk memajukan industri pelancongan desa di negara kita. Aktiviti-altiviti rekreasi perlu dilaksanakan dengan lebih efektif kerana aktiviti tersebut merupakan daya tarikan utama kepada pelancong asing dan pelancong tempatan untuk beraktiviti, sekaligus meningkatkan industri pelancongan desa. Sebagai contohnya, mereka boleh memperkenalkan permainan tradisional masyarakat Melayu seperti gasing, congkak, wau,dan sebagainya. Mereka juga boleh mengadakan pertandingan tarian,aktiviti menuai padi,dan pertandingan membuat kraftangan. Di samping dapat memperkenalkan budaya tempatan kepada pelancing asing, aktiviti ini juga dapat mengeratkan hubungan silaturrahim dalam kalangan mereka. Melalui aktiviti ini, banyak nilai murni dapat diserap dalam jiwa pelancong-pelancong kerana ketika menyertai aktiviti-aktiviti tersebut mereka diasuh untuk saling membantu ibarat hati gajah sama dilapah,hati kuman sama dicecah. Seandainya aktiviti rekreasi tidak dilaksanakan dengan penuh komitmen,sudah pasti industry pelancongan desa akan terus mundur dan berada di takuk lama. Tegasnya,pihak pengurusan ‘homestay’ perlu menyediakan pelbagai aktiviti rekreasi sebagai uslub penting untuk memajukan industri pelancongan desa di negara kita.

Di samping itu, pihak kerajaan melalui Kementerian Pelancongan juga bertanggungjawab mempromosikan kawasan-kawasan pelancongan di desa-desa kepada pelancong dalam dan luar negeri. Dalam hal ini, kerajaan boleh bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dan swasta untuk meningkatkan lagi kemasukan pelancong ke negara kita. Hal ini perlu diberi perhatian oleh kerajaan, khasnya Kementerian Pelancongan kerana tidak ramai rakyat Malaysia dan pelancong asing mengenali kawasan-kawasan desa yang strategik untuk mereka lawati di negara kita. Kerajaan perlu lebih proaktif kerana 80 peratus ekonomi negara bergantung kepada sektor pelancongan. Kemasukan pelancong asing secara tidak langsung dapat meningkatkan sumber pendapatan negara. Antara usaha yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan ialah mengadakan kempen pelancongan desa menerusi media massa dan media elektronik. Promosi pelancongan juga boleh dilaksanakan melalui lawatan pembesar negara beserta rombongan kebudayaan dan artis-artis ke negara jiran boleh menimbulkan keinginan masyarakat luar negara untuk mengenali Malaysia lebih dekat lagi, seperti kata peribahasa Melayu, tak kenal maka tak cinta. Oleh itu, kerajaan perlu mengambil langkah menguar-uarkan keindahan dan keistimewaan Malaysia pada peringkat antarabangsa.

Pihak kerajaan juga haruslah campur tangan dalam hal ini dengan mengadakan festival-festival seni dan kebudayaan di kawasan-kawasan tumpuan pelancong untuk mengenali dengan lebih dekat lagi. Secara tidak langsung, pelancong yang berkunjung ke kawasan berkenaan akan mengetahui selok belok kebudayaan masyarakat di situ. Sebagai contohnya, kerajaan boleh menganjurkan pesta wau, pesta mencanting batik dan pesta kebudayaan masyarakat di kawasan desa itu. Promosi yang berkesan akan menjayakan lagi kempen kerajaan, iaitu, “cuti-cuti Malaysia”, ‘Tahun Melawat Malaysia” dan "Kenali Malaysia, Cintai Malaysia'. Tegasnya, kerajaan tidak memandang enteng akan hal ini sebaliknya perlu bekerja keras mempromosikan kawasan-kawasan pelancongan domestik kepada pelancong dalam dan luar negeri untuk menghasilkan pulangan yang lumayan terhadap pembangunan ekonomi negara.

Seterusnya kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan perlu membangunkan kawasan desa sebagai langkah untuk memajukan industri pelancongan domestik. Berdasarkan kajian yang telah dibuat menunjukkan bahawa masih terdapat banyak tempat menarik di Malaysia yang mampu dieksploitasi sebagai tempat pelancongan khususnya di kawasan-kawasan desa. Sehubungan itu, pihak berkuasa tempatan seharusnya mengambil langkah proaktif dengan membangunkan sesebuah desa menjadi sebuah pusat pelancongan. Pihak kerajaan bolehlah mendirikan sekurang-kurangnya satu industri dalam sesebuah desa seperti industri pemprosesan makanan,batik dan kraftangan. Industri desa haruslah diperkembangkan supaya tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas serta dapat memberi pulangan yang lumayan dalam industri pelancongan. Andainya kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan mengambil langkah sebegini, maka industri pelancongan domestik di negara kita dapat terus berkembang dan menjadikan kawasan tersebut pusat pelancongan desa.

Sebagai intihanya, semua pihak haruslah memainkan peranan dan bekerjasama bagai ‘aur dan tebing’ dalam merealisasikan modus operandi untuk memajukan pelancongan domestik di negara kita. Pelancongan merupakan suatu bidang pelaburan bijak yang dapat memacu pertumbuhan industri-industri lain yang berkaitan. seperti industri kraftangan, "homestay" dan industri makanan ringan. Dari sudut komersial pelancongan, sudah tentu para pelancong yang datang ke destinasi tersebut akan membeli ole-ole sebagai buah tangan sebagai kenangan atau untuk dihadiahkan kepada orang yang istimewa. secara tidak langsung kunjungan pendatang luar ke negara ini dengan sendirinya dapat memakmurkan pendapatan perkapita penduduk Malaysia. Senario ini secara tidak langsung dapat menangkis pandangan negatif negara-negara barat yang suatu ketika dahulu pernah mengatakan bahawa penduduk negara kita 'masih tinggal di atas pokok dan bercawat’. Tegasnya, industri pelancongan secara tidak langsung dapat menaikkan nama negara di mata dunia walaupun negara kita merupakan satu titik kecil di atas peta.

No comments:

Post a Comment