Sunday, September 22, 2019

LATIHAN BAHASA MELAYU SAMSUNG



Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang cara-cara menjaga kesihatan diri dan cabaran untuk melaksanakannya. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Kesihatan amat penting bagi menjamin keceriaan hidup seseorang individu. Kesihatan merujuk keadaan tubuh yang tidak mengalami sebarang masalah. Terdapat pelbagai langkah yang boleh diamalkan untuk memiliki tahap kesihatan yang baik. Langkah pertama ialah kesedaran bahawa tubuh sangat memerlukan penjagaan. Perkara yang kedua dengan mendapatkan maklumat tentang penjagaan kesihatan.

Sukar untuk kita menjaga tubuh jika tidak tahu apa-apa mengenainya. Ibaratnya, kita hendak melawan musuh tetapi tidak memahami sebab dan cara untuk bertindak. Antara kaedah yang dapat diambil termasuklah pemeriksaan kesihatan berkala sekurang-kurangnya tiga kali setahun. Pemeriksaan begini mampu mengesan penyakit ketika masih pada peringkat awal seperti cogan kata ‘mencegah lebih baik daripada merawat’. Oleh itu, sebelum apa-apa yang tidak diingini berlaku, lebih baik jika kita melakukan tindakan awal pencegahan. Selain itu, aspek pemakanan juga amat penting bagi menjamin kesihatan yang baik. Kita haruslah mengamalkan pemakanan yang seimbang dan berkhasiat dalam kehidupan. Pengambilan makanan mengikut piramid makanan sangat disarankan oleh pakar kesihatan bagi menjamin tahap kesihatan yang baik berterusan. Diet yang seimbang dapat memastikan tubuh seseorang memiliki zat yang diperlukan.

Di samping itu, kita perlu melakukan senaman dua atau tiga kali seminggu agar tubuh dapat berfungsi dengan baik. Amalan minum air kosong juga perlu dititikberatkan bagi menggantikan cecair yang telah hilang di dalam badan. Tekanan juga dapat dihilangkan menerusi senaman. Oleh itu, untuk memperoleh kesihatan yang baik, rakyat Malaysia hendaklah mengamalkan senaman yang konsisten. Rehat dan tidur secukupnya juga merupakan ubat yang mujarab untuk mengekalkan kesihatan. Kita digalakkan tidur tidak kurang dari lapan jam sehari. Individu yang tidak mempunyai rehat yang cukup berasa letih dan mudah jatuh sakit, malah tidak dapat menumpukan perhatian terhadap aktiviti yang dilakukan.

Sebagai kesimpulannya, kesihatan amat penting dalam kehidupan. Oleh itu, sudah sampai masanya untuk kita mengambil berat tentang kesihatan diri. Tiada cara lain untuk kekal sihat selain mengubah gaya hidup harian agar tahap kesihatan semakin meningkat dari sehari ke sehari.


(i) Berikan maksud rangkai kata tindakan awal.[2 markah]


(ii) Pengarang ada menyatakan beberapa kepentingan menjaga kesihatan diri.

Apakah kepentingan-kepentingan tersebut?  [3 markah]


(iii) Pelbagai langkah telah dilakukan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga kesihatan diri.

Pada pendapat anda, apakah peranan pihak sekolah untuk menimbulkan kesedaran
tentang kepentingan menjaga kesihatan dalam kalangan murid.
                                                                                  [4 markah]










Soalan 2 (b) - Petikan Prosa Moden

Saya hayati cerita bonda tentang sejarah yang hampir memusnahkan negara ini. Kota besar itulah yang menjadi gelanggang pertumpahan darah dan korban kematian yang bukan sedikit. Semuanya berlaku angkara kejahilan terhadap salasilah tanah air yang terpecah kepada pagar-pagar perkauman yang tebal.

Justeru, saya bertekad memenuhkan dahulu dada saya dengan segala ilmu pengetahuan dan pengalaman di tanah desa halaman ini sebelum saya bersedia mencampakkan diri saya di tengah gelora kota.

Saya ingin memahirkan lidah dengan bahasa ibunda kerana inilah saja khazanah warisan tinggalan bangsa yang mendiami bumi ini sejak sekian lama. Ilmu-ilmu berkaitan kewajipan perlu memenuhi dada saya sebagai benteng ampuh daripada segala anasir dan gejala hitam yang boleh meruntuhkan keperibadian sebelum bersedia untuk mengatur gerak langkah membina dunia baharu di ibu kota agung itu.

Lantas, berkali-kali pesan bonda kepada saya supaya memelihara agama dan bahasa ibunda jika ingin terus dihormati dan disegani sebagai bangsa agung dan bermaruah. “Bumi ini milik kita. Nenek moyang kitalah berjuang dengan akal kebijaksanaan serta semangat keperwiraan untuk membebaskan tanah air ini daripada belenggu penjajah”.

Berdasarkan petikan di atas, terdapat angkara yang menyebabkan berlakunya pertumpahan darah dan korban kematian di kota besar.
Kemukakan angkara tersebut.[2 markah]

Seseorang perantau hendaklah melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu di dada.
Pada  pendapat  anda, apakah  persiapan-persiapan  yang perlu  dilakukan oleh remaja yang ingin hidup di perantauan? [3 markah]

Huraikan satu pengajaran yang terdapat dalam petikan dan satu pengajaran yang lain daripada keseluruhan cerpen tersebut. [4 markah]


Soalan 2 (c) - Petikan Prosa Tradisional


Syahadan, Bendahara Paduka Raja itulah yang dikatakan orang bijaksana, kerana pada zaman itu tiga buah negeri yang sama besarnya: pertama, Majapahit; kedua, Pasai; ketiga, Melaka. Di dalam negeri tiga buah itu, ada tiga orang yang bijaksana; di Majapahit, Patih Aria Gajah Mada; dan di Pasai, Orang Kaya Kanayan; dan di Melaka, Bendahara Paduka Raja; dan Seri Nara Diraja menjadi penghulu bendahari.

Hatta, berapa lamanya maka datang pula orang Siam menyerang Melaka; Awi Dicu nama panglimanya. Maka kedengaran khabarnya ke Melaka; maka dipersembahkan orang kepada Sultan. Maka baginda pun menitahkan Bendahara Paduka Raja berlengkap akan mengeluari orang Siam. Seri Bija Diraja dan segala hulubalang sekaliannya dititahkan baginda mengiringkan Bendahara Paduka Raja itu. Adapun Seri Bija Diraja itu sedia asal Melayu, Tun Hamzah namanya, asalnya daripada Muntah Lembu; ialah dipanggil orang Datuk Bongkok. Apabila berjalan atau duduk, bongkok ia. Oleh sebab sangat gagah berani ia menjadi hulubalang besar, duduk di atas segala hulubalang. Telah sudah lengkap, maka Bendahara Paduka Raja pun pergilah mengeluari Siam itu, bersama-sama dengan Seri Bija Diraja, dengan segala hulubalang banyak. Maka orang Siam pun hampir ke Batu Pahat.

Berikan maksud akan mengeluari orang Siam.[2 markah]

Berdasarkan petikan di atas, nyatakan keistimewaan Seri Bija Diraja.  [3 markah]
Peperangan merupakan suatu peristiwa yang membawa kesan negatif kepada sesebuah negara.

Pada pendapat anda, bagaimanakah dapat mengelakkan peperangan antara dua buah negara? [3 markah]



Soalan 2 (d) - Puisi Tradisional


GURINDAM DUA BELAS
(Fasal yang Ketiga)

Apabila terpelihara mata,
Sedikitlah cita-cita.

Apabila terpelihara kuping,
Khabar yang jahat tiadalah damping.

Apabila terpelihara lidah,

Nescaya dapat daripadanya faedah.

Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan, Daripada segala berat dan ringan.

Apabila perut terlalu penuh,
Keluarlah fiil yang tiada senonoh.

Anggota tengah hendaklah diingat,
Di situlah banyak orang yang hilang semangat.

Hendaklah peliharakan kaki,
Daripada berjalan yang membawa rugi.


Berdasarkan  gurindam  tersebut,  berikan dua  kebaikan  jika  seseorang itu  sentiasa menjaga tangan dan kakinya. [2 markah]

Ungkapan lidah lebih tajam daripada mata pedang memberikan gambaran betapa pentingnya kita menjaga pertuturan dalam pergaulan.
Pada pendapat anda, apakah kesannya jika seseorang tidak menjaga tutur katanya?  [3 markah]

Jelaskan satu pengajaran yang terdapat dalam rangkap 5 dan satu pengajaran dalam rangkap 7 berdasarkan gurindam di atas. [4 markah]





Soalan 3 : Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa


(a) Tulis satu ayat bagi setiap pasangan kata 
(i)
kerat
-
kelat
(ii)
bidang
-
sidang
(iii)
syarat
-
sarat





Tulis semula petikan di bawah dalam bentuk karangan biasa dengan menggunakan cakap pindah.

Aiman : Apakah rancangan awak pada masa cuti ini, Kok Seong?

Kok Seong : Saya tidak mempunyai apa-apa rancangan.

Aiman :    Kalau begitu, saya cadangan awak mengikut saya     
]                                        pulang ke kampung   saya.

Kok Seong : Apakah yang menarik di kampung awak?

Aiman : Di kampung saya ada sungai, kita boleh memancing di
                                         sana. Sekarang juga musim buah-buahan.



Dalam petikan di bawah terdapat tiga kesalahan ejaan dan tiga kesalahan penggunaan imbuhan.

Pembangunan pesat di ibu kota menyebabkan kesesakkan jalan raya berlaku. Keadaan ini menjadi semakin terok kerana pembinaan jalan raya tidak dirancang dengan teliti. Selain itu, sikap pengguna yang tidak berdisplin dan kekurangan polis trafik menjadikan masaalah ini semakin rumit. Pengguna pula sering meletakan kenderaan sesuka hati sehingga menganggu kelancaran lalu lintas.



Dalam setiap ayat di bawah, terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa.

(i) Novel karya novelis terkenal tanah air itu mencatat rekod jualan paling terlaris kerana mendapat sambutan luas daripada kalangan penggemar novel.

(ii) Datuk Lee Chong Wei telah menyertai perlawanan badminton Terbuka Malaysia yang berlangsung di bulan November tahun lalu.

(iii) Sultan itu telah berkenan menabalkan putera beliau sebagai Raja Muda bila berusia sepuluh tahun.



(e) Bina satu ayat bagi setiap peribahasa di bawah.

(i) Bagai isi dengan kuku.

(ii) Makan angin.

(iii) Sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit.









Soalan 4 : Novel

(a) Berdasarkan sebuah novel yang telah anda pelajari, huraikan dua latar tempat  yang melibatkan watak utama dalam novel tersebut. [7 markah]


(b) Pengarang mengemukakan beberapa peristiwa keberanian dalam setiap novel.

Berdasarkan dua buah novel yang telah anda pelajari, huraikan satu pengajaran tentang keberanian yang terdapat dalam setiap novel tersebut. [8 markah]



No comments:

Post a Comment