Thursday, August 28, 2014

JAWABAN BM UJIAN 2

1103                                                    SMJK PHOR TAY
SKEMA JAWABAN BM UJIAN 2
TINGKATAN EMPAT (2014)
Soalan 1 : Rumusan (30 markah)
Pendahuluan :
kebaikan/manfaat/kepentingan aktiviti sukarela kepada golongan belia di Malaysia.

Isi Tersurat
1.  memupuk semangat kesukarelawanan
2.  meningkatkan tanggungjawab sosial
3.  membentuk sikap kekitaan yang tinggi
4.  membina hubungan sosial yang akrab
5.  melahirkan suasana yang aman dalam kehidupan masyarakat
6.  membantu kerajaan menyebarkan aspirasi negara pada peringkat akar umbi
7.  mentransformasikan golongan belia agar tidak membuang masa dengan melakukan kegiatan
     yang tidak berfaedah
8.  menyemai sikap prihatin untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik
9.  meningkatkan kefahaman terhadap isu-isu semasa
10.menjadi latihan ke arah pembentukan pemimpin yang berkaliber
11.melahirkan masyarakat yang mempunyai nilai-nilai positif
12.mengeratkan hubungan silaturahim

Isi Tersirat
1.  Kerajaan memperhebat kempen kesedaran untuk menggalakan belia menyertai kegiatan
     sukarela.
2.  Pihak sekolah memperbanyak aktiviti sukarela untuk penyertaan murid-murid sejak peringkat
     sekolah rendah lagi.
3.  Sumbangan atau bakti anggota sukarelawan diambil kira dalam kenaikan pangkat atau peluang
     untuk melanjutkan pelajaran.
4.  Pihak media mempromosikan dan mengiklankan secara meluas aktiviti sukarela untuk
     pengetahuan dan penyertaan belia.
    
Penutup  : usaha perlu dipergiat untuk melibatkan belia dalam aktiviti sukarela agar masyarakat
                   yang berjiwa penyayang dapat dilahirkan
Soalan 2 (a) : Petikan Umum (9M)
(i)      -  melalui kaedah berkumpulan yang bersistematik/teratur (2m)
(ii)     -  dilakukan tanpa sebarang paksaan (1m)
          -  dilakukan untuk orang lain (1m)
          -  aktiviti yang dilakukan merupakan sesuatu yang baik seperti memberikan khidmat bakti
             atau membimbing golong yang memerlukan ke arah kebaikan (1m)
          -  dilakukan secara berorganisasi bukannya secara bersendirian (1m)                                                                                            
(iii)    -  mereka sedar bahawa setiap manusia hidup saling bergantung dan saling memerlukan
             antara satu sama lain (1m)     
          - mereka mempunyai pegangan agama yang kuat dan aktiviti tersebut dilakukan atas dorongan agama yang dianuti oleh mereka (1m)
          - mengikut jejak orang disisinya seperti ahli keluarga dan rakan-rakan yang juga berbuat demikian (1m)
          -  mereka merupakan pesara yang masih bertenaga dan tidak perlu risau akan sara hidup. Oleh itu, mereka ingin memanfaatkan sisa hidup dengan melakukan pahala demi kebaikan diri dan ahli keluarga.
          -  mereka ingin mendapatkan pengiktirafan daripada pihak-pihak yang tertentu  (1m)
Soalan 2 (b) : Puisi Moden  (9M)                                                                                    
(i)       - melakukan kesalahan / kesilapan / dosa (2m)
(ii)      -  segera insaf akan kesalahan yang dilakukannya dan bertaubat agar tidak mengulangi
              perbuatan tersebut (1m)
          -  mengakui kesilapan diri dan bersedia untuk menerima sebarang hukuman (1m)
          -  meminta maaf kepada orang yang terlibat dan juga Tuhan dengan hati yang ikhlas agar
              diberi pengampunan (1m)
          -  berusaha untuk menebus kesalahan diri dengan melakukan kebaikan (1m)  
(iii)    -  Persoalan : kejahilan membawa seseorang jauh tersesat  (1m)
              Huraian   : kejahilan penyajak menyebabkan dirinya banyak melakukan dosa dan
                                menjauhkannya daripada rahmat Allah       (1m)
          -  Persoalan : keinginan untuk kembali mendapat keampunan dan rahmat Allah  (1m)
              Huraian    : penyajak bertekad untuk bertaubat dan berharap Allah akan memberikan
                                 peluang kepadanya sebelum dimasukkan ke neraka  (1m)
Soalan 3 : Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa  [18 markah]
(a)    (i)     menebas        -   memotong pokok-pokok kecil  
         (ii)    menetak        -   memarang, mencencang, memancung                     
         (iii)   menebang     -   memotong pokok
         (iv)   membelah     -   memecahkan/membahagi menjadi dua
         (v)    memotong     -  mengerat dengan pisau (kayu, daging),  menggunting (kain) ,
                                           mengurangi (gaji) , memintasi (jalan) , menyelang (percakapan)
         (vi)   memangkas   -  memotong hujung rumput/pokok , menggunting rambut
                                                                                                                                                                                  
(b)   (i)    pergi - turun  ,   sebab  -  kerana
       (ii)    lemah longlai - lemah gemalai  ,    adalah -  ialah
       (iii)   menawan - menangkap ,  daripada - dari
(c)    (i)               carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga / air dicencang tidak akan putus (2m)
        (ii)   terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya /
              kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa (2m)
        (iii)  buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali (2m)
______________________________________________________________________________

Disediakan oleh : Cikgu LLE                                                                                                                                 Tarikh : 05.08.2014

Tuesday, August 26, 2014

KARANGAN RAMALAN 2014


Contoh Karangan Bahagian A


















Soalannya : Gambar di bawah ini menunjukkan kelebihan memiliki talian internet di kediaman rumah. Huraikan pendapat anda tentangmanfaat kemudahan internet di rumah.Panjangnya huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.
KARANGAN BERPANDU BAHAGIAN A
TAJUK/ TEMA : MANFAAT KEMUDAHAN INTERNET DI RUMAH
Saban hari penggunaan internet semakin gemari oleh setiap lapisan masyarakat di negara kita. Tahukan anda bahawa penggunaan internet di negara kita ibarat cendawan tumbuh selepas hujan (UM) kerana pertambahan penggunaannya amat ketara sama ada di kawasan bandar mahu pun di kawasan luar bandar. Penggunaan internet juga bertambah dalam kalangan rakyat di negara kita disebabkan wujudnya rangkaian jaringan sosial seperti Facebook, Friendster, My Space dan Tagged dalam internet yang semakin meluas. Bahkan, negara kita tersenarai dalam sepuluh negara yang paling banyak menggunakan jaringan sosial iaitu Facebook. Sedar atau tidak, penggunaan internet juga telah sampai di segenap desa apatah lagi selepas wujudnya teknologi ‘3G’. Apa yang pasti, kajian telah menunjukkan bahawa satu daripada sepuluh buah rumah di negara kita menggunakan kemudahan internet untuk pelbagai tujuan. Jadi, sudah terang lagi bersuluh bahawa pelbagai manfaat dapat diperoleh daripada kemudahan penggunaan internet di rumah sekaligus mengubah ajakan paradigma masyarakat dalam era teknologi maklumat kini.
Salah satu daripada manfaat penggunaan internet di rumah ialah dapat mencari dan mengumpul maklumat dalam masa yang singkat. (Ayat isi) Hal ini kerana dalam era globalisasi ini segala maklumat sama ada formal atau tidak formal telah dimuat naik dalam rangkaian internet oleh pelbagai pihak dengan cepat sehingga mengalahkan media cetak seperti surat khabar. (Ayat huraian) Dalam soal ini, pengguna hanya perlu menaip sahaja maklumat yang dikehendaki dalam carian enjin google atau yahoo dan segala maklumat yang diperlukan akan tertera di skrin komputer. (Ayat huraian) Malah, setiap maklumat yang kita dapat peroleh dapat dinilai dan dibandingkan sumber mana yang lebih tepat. (Ayat huraian)Sebagai contoh, jika kita ingin mencari maklumat berkenaan berita terkini di akhbar, kita akan memperoleh banyak maklumat kerana hampir semua akhbar telah dibuka atas talian seperti Utusan Malaysia Online, Berita Harian Online, Malaysia Kini dan News Strait Times. (Ayat contoh) Perkara ini secara tidak langsung memudahkan kita mengumpul maklumat daripada pelbagai sumber.(Ayat huraian) Oleh itu, kita dapat mencari maklumat di rumah dengan mudah sahaja apabila adanya kemudahan internet. (Ayat penutup)
Selain itu, kita juga dapat menyelesaikan pelbagai bil dan urusan perbankan melalui kemudahan internet di rumah (Ayat isi). Kini, kehidupan masyarakat kita di bandar sangat sibuk dek tekanan tempat kerja dan kesesakan lalu lintas sebelum serta selepas pulang dari pejabat. (Ayat huraian) Jadi, kesuntukan masa yang dialami ini amat menyusahkan apabila mereka hendak menguruskan hal-hal berkaitan rumah tangga dan pembayaran pelbagai bil. (Ayat huraian). Melalui penggunaan internet di rumah, kita dapat menyelesaikan pelbagai bayaran bil dan urusan perbankan sambil minum kopi dan berbual bersama-sama ahli keluarga di rumah. (Ayat huraian) Perkara ini dapat dibuktikan apabila banyak bank seperti Maybank, CIMB Bank, Agro Bank dan RHB Bank menyediakan perniagaan secara ‘online’ di internet kepada para pelanggan untuk memindahkan wang ke dalam akaun lain dan menyimpan wang secara ‘online’, begitu juga dengan pembayaran bil kad kredit. (Ayat Contoh) Pembayaran bil elektrik, bil air dan bil telefon juga dapat dibayar dengan penggunaan internet di rumah melalui laman web kerajaan iaitu myeg.com. (Ayat contoh). Pendek kata, kita dapat menguruskan pembayaran bil dan urusan perbankan di rumah melalui internet sekaligus menjimatkan masa kerana masa itu emas.(UM) (Ayat penutup)
Di samping itu, manfaat penggunaan internet di rumah dapat memudahkan kita berkomunikasi di antara jarak jauh dan dekat malah merentasi lautan seantero dunia. (Ayat isi). Hal ini kerana terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan di internet untuk tujuan komunikasi. (Ayat huraian) Malah, syarikat gergasi telekomunikasi berlumba-lumba membuka laman web mereka untuk memudahkan pengguna berkomunikasi di internet. (Ayat huraian) Berkomunikasi di internet bukan sahaja melibatkan suara orang yang dihubungi malah kita dapat bersua muka dan melihat wajah kenalan atau individu yang baru kita kenali dengan hanya duduk di kerusi dan mengadap komputer serta tangan bermain dengan tetikus melalui beberapa klik. (Ayat huraian). Perkara ini amat memberi kebaikan kepada ahli keluarga yang jauh meninggalkan keluarga untuk bekerja dan belajar di luar negara seperti di Asia Barat dan Eropah. (Ayat huraian) Mereka hanya perlu mengakses aplikasi ‘yahoo mesengger’ untuk berkomunikasi bagi melihat wajah dan mendengar suara ahli keluarga yang jauh bagi melepaskan kerinduan. (Ayat contoh) Ringkasnya, penggunaan internet di rumah bermanfaat untuk berkomunikasi jarak jauh. (Ayat penutup)
Kesimpulannya, penggunaan internet di rumah mendatangkan pelbagai manfaat berguna kepada masyarakat. Oleh itu, masyarakat di negara kita perlu memanfaatkan penggunaan internet di rumah kerana melalui penggunaan internetsegala maklumat berada di hujung jari anda.(UM) Apa yang pasti, internet mampu memberikan seribu satu macam kemudahan kepada pengguna jika digunakan sebaiknya. Dalam era serba moden ini, penggunaan internet seakan tidak dapat dipisahkan lagi dengan kemajuan negara sekarang. Jadi, pihak kerajaan perlu mendidik masyarakat menggunakan internet bagi melahirkan generasi celik IT sekaligus setanding dengan masyarakat negara maju lain seperti Jepun demi mencapai wawasan 2020. Selain itu, ibu bapa juga tidak ketinggalan perlu mendidik anak-anak mempelajari internet di rumah kerana melentur buluh biarlah daripada rebungnya(UM) Akhirul kalam, tidak dapat dinafikan bahawa kemudahan internet di rumah memberi pelbagai faedah kepada kita.

KARANGAN RAMALAN 2014


Langkah-langkah Mempopularkan Permainan Tradisional


             Masyarakat Melayu mempunyai pelbagai jenis kebudayaan yang digarap daripada pelbagai keturunan. Kebudayaan ini disatukan menjadi satu kebudayaan yang unik kerana hampir setiap keturunan mempunyai adat sehingga membentuk kebudayaan Melayu. Lantaran resam yang majmuk ini, maka banyak permainan tradisional yang dipertandingkan. Permainan tradisional telah berupaya membentuk sebahagian daripada kehidupan yang dilalui oleh nenek moyang kita. Tonggak penting yang menjamin kesinambungan permainan tradisional pada masa lalu ialah keseragaman cara hidup nenek moyang kita. Keadaan ini membolehkan mereka bekerja dan berhibur pada masa yang sama. Malah sejak dari kecil lagi mereka membiasakan diri dengan keadaan yang demikian. Apabila sesuatu permainan diadakan di sesebuah kampung, penduduk kampung berdekatan turut berkunjung untuk mengambil bahagian atau sekadar memberi semangat. Suasana pesta di padang permainan boleh mewujudkan interaksi sosial di antara kampung-kampung yang mengambil bahagian. Oleh hal yang demikian permainan tradisional juga dikenali sebagai permainan rakyat antaranya termasuklah guli, congkak, wau, selambut, sepak raga, gasing dan lain-lain. Namun begitu,akibat daripada kemajuan dunia dalam pelbagai skop,permainan ini seolah-olah dianaktirikan begitu sahaja oleh masyarakat kita. Oleh itu,pelbagai langkah yang pragmatik perlu dilaksanakan dalam usaha menggiatkan permainan tradisional pada hari ini.

             Keluarga mendukung obligasi yang dominan dalam usaha ke arah menggiatkan permainan tradisional tanah air. Sebagai contoh, ibu bapa boleh menghadiahi anak-anak dengan set-set permainan tradisional sebagai hadiah hari lahir iaitu congkak dan gasing. Melalui langkah ini,ternyata anak-anak akan berasa terhibur dan teruja selain dapat mengenali warisan nenek moyang kita .Pada waktu senggang, ibu bapa boleh membawa setiap ahli keluarga mereka bermain permianan tradisional ini agar anak-anak akan mempunyai semangat untuk bermain permainan ini memandangkan ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Bahkan,ibu bapa juga mampu menyerapkan minat terhadap permainan ini dalam kalangan anak-anak dengan menggalakkan mereka menyertai pertandingan permainan tradisional di peringkat sekolah mahupun anjuran badan-badan bebas. Hal ini dapat  mencambahkan minat generasi muda untuk terus berkecimpung dalam tradisi permainan ini. Golongan pascamerdeka khususnya generasi baru sepatutnya menyanjung dan menjunjung warisan budaya kita persis peribahasa Melayu yang berbunyi biar mati anak,jangan mati adat. Oleh itu,setiap ahli keluarga terutamanya ibu bapa memikul tanggungjawab murni untuk mempopularkan permainan tradisional negara kita.

Selain itu,permainan tradisonal juga dapat digiatkan dengan adanya peranan daripada pihak sekolah. Pihak sekolah boleh memainkan peranan dengan menganjurkan kelab permainan tradisionald dalam aktiviti kokurikulum. Dalam hal ini,pihak sekolah perlu memastikan kelab ini bergerak secara aktif bukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Pelajar sekolah perlu diberi galakkan untuk menyertai kelab ini kerana dapat didedahkan dengan pelbagai jenis permainan tradisional yang boleh menjadi salah satu hobi mereka. Sebagai contoh, permainan congkak,permainan gasing dan permainan batu seremban.Bahkan, pelajar juga dapat mendominasi teknik bermain permainan warisan ini dengan tepat dan betul. Dengan itu, mereka akan lebih menguasai permainan ini kerana mereka telah belajar dengan orang yang berpengalaman dan profesional kerana jauhari jua yang mengenal manikam. Pihak sekolah boleh menjemput pihak luar seperti orang perseorangan yang mahir dalam sesuatu permainan tradisonal untuk mengajar asas dan teknik permainan. Pelajar akan dibimbing secara efektif dengan pihak yang berkemahiran itu.Sebagai contoh, dalam permainan congkak, pelajar dapat mengetahui  tentang guli yang dikenali sebagai buah dan kawasan pemain dikenali sebagai rumah. Pihak sekolah juga boleh menggiatkan permainan tradisional dalam kalangan pelajar sekolah dengan menyediakan lebih banyak alatan permainan ini. Hal ini mencerminkan dengan jelas sekiranya mereka sukar mendapatkan permainan ini,minat mereka mulai pudar dan beranggapan peluang untuk mendekatkan diri dengan permainan amat nipis. Alatan permainan tradisonal juga sukar diperoleh di pasaran dan kebiasaannya amat terhad. Pelajar akan menemui kesukaran untuk membeli alatan permainan pusaka nenek moyang ini. Dengan cara membeli alatan permainan ini terus daripada kilang,kos untuk membelinya menjadi bertambah murah. Dengan itu, pihak sekolah dapat membelinya dalam kuantiti borong yang banyak. Dengan adanya pelbagai permainan tradisional yang dibekalkan oleh pihak sekolah,pelajar akan berminat  untuk bermain permainan ini. Bukan sahaja pelajar yang menyertai kelab ini,bahkan semua pelajar boleh mencuba untuk bermain permainan tradisional ini. Masalah seperti kekurangan peralatan untuk bermain tidak akan timbul lagi. Pihak sekolah juga boleh menjadi pendukung utama dalam mempopularkan permainan tradisonal dalam kalangan pelajar sekolah dengan menyediakan tempat-tempat permainan ini. Hal ini akan memudahkan mereka untuk bermain dalam suasana yang selesa dan kondusif. Mereka menyediakan padang untuk bermain gasing dan kawasan yang luas untuk bermain wau. Oleh hal yang demikian, usaha-usaha untuk menggiatkan permainan dalam kalangan masyarakat dapat dilaksanakan dengan adanya peranan pihak sekolah dalam memikul obligasi tersebut kerana kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.

Dalam fasa itu,masyarakat memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya dalam menjayakan usaha ini. Pihak masyarakat wajar memberikan sokongan terhadap permainan tradisional dengan menubuhkan kelab permainan tradisonal di tempat tinggal. Dengan wujudnya kelab-kelab seperti ini seperti kelab sepak raga,kelab congkak dan kelab wau, usaha untuk membaja kembali permainan ini akan menjadi lebih mapan. Hal ini demikian kerana dengan adanya kelompok besar masyarakat yang memperjuangkan warisan ini, permainan tradisional tidak akan lapuk dek hujan,tidak akan lekang dek panas. Hal ini berbeza sekiranya perjuangan mempertahankan permainan hanya mengharapkan sebilangan kecil rakyat Malaysia kerana sebatang lidi amat mudah dipatah-patahkan berbanding seberkas lidi.Pastinya,dengan penglibatan bilangan komuniti yang ramai,usaha untuk mempopularkan permainan nenek moyang ini tidak akan menjadi sekadar hangat-hangat tahi ayam. Tambahan lagi, masyarakat perlu berusaha untuk mewujudkan tapak permainan tradisional di kawasan perumahan mereka. Hal ini dapat menarik perhatian penduduk sekitar beriadah sambil memainkan permainan ini. Pelbagai pertandingan berkisarkan permainan tradisional dapat dianjurkan di tapak itu bagi mengelakkan permainan ini daripada terus berkubur begitu sahaj tanpa mendapat sebarang pembelaan. Oleh hal yang demikian, pihak masyarakat perlu berganding bahu dalam mengetengahkan permainan tradisional agar permainan ini akan terus utuh berdiri dalam arus perdana.

Langkah yang paling afdal bagi memajukan permainan tradisional ialah kerajaan hendaklah mengadakan lebih banyak lagi kempen dan promosi yang progresif menerusi media massa serta media cetak bagi mendedahkan masyarakat  tentang peri pentingnya kita menjaga warisan nenek moyang kita iaitu permainan tradisional yang sudah lama wujud di negara kita ini. Kita acap kali diperdengarkan mengenai peribahasa yang berbunyi sesal dahulupendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Janganlah kita merindui permainan tradisional selepas permainan ini pupus ditelan zaman. Dengan itu, Kementerian Warisan dan Kebudayaan telah mengambil langkah bagi mempopularkannya dengan mengadakan kempen seperti kempen “Jom Main Permainan Tradisional” dan pertandingan ‘Festival Layang –Layang Antarabangsa’ yang merupakan rencah maslahat untuk memajukannya. Langkah tersebut penting supaya ahli masyarakat tidak kira dari dalam negara mahupun  luar negara mendapat pendedahan dan mempelajari permainan tradisional sepanjang kempen dan pertandingan dijalankan kerana tak kenal, maka tak cinta. Bukan itu sahaja, kerajaan juga boleh menetapkan satu bulan sebagai ‘Bulan Permainan tradisional’.Oleh hal yang demikian,dengan adanya langkah proaktif tersebut, kita dapat memastikan permainan tradisional mampu menjadi warisan budaya untuk generasi yang akan datang.

            Minat yang mendalam terhadap permainan tradisional seperti wau,layang-layang,sepak raga, gasing dan sebagainya tidak mencukupi sekiranya tiada kemudahan untuk memainkannya.Bagi menangani isu ini, kerajaan haruslah menyediakan lebih banyak tempat atau gelanggang permainan tradisional untuk memudahkan rakyat  bermain permainan ini. Pembinaannya pula hendaklah di tempat-tempat yang strategik seperti di sekitar taman perumahan supaya setiap lapisan masyaarkat lebih-lebih lagi golongan belia dapat menghabiskan waktu senggang mereka dengan bermain permainan tradisional. Selain itu,jurulatih yang terlatih juga patut disediakan di setiap gelanggang bagi mendidik para pemain tentang cara-cara sebenar untuk memainkannya. Gandingan kedua-dua ini dapat menambahkan bilangan peminat permainan tradisional di seluruh negara sekali gus mempopularkannya di mata dunia. Sekolah juga memainkan peranan penting dalam memajukan permainan tradisional ini. Oleh itu, kerajaan boleh menetapkan pemainan tradisional sebagai salah satu aktiviti kokurikulum di sekolah. Kelab Permainan Tradisional juga boleh ditubuhkan serta pihak sekolah boleh menjadikan permainan tradisional sebagai salah satu acara dalam sukan. Kerjasama yang erat antara kaum ibarat aur dengan tebing dalam permainan ini  dapat meningkatkan perpaduan dan merapatkan hubungan silaturahim antara satu sama lain sekali gus visi kudsi 1 Malaysia untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara perpaduan dapat digarap sepenuhnya.

            Secara tuntas, pelbagai pihak memainkan peranan yang sepada dalam usaha mempopularkan permainan tradisional. Oleh itu, mereka perlulah mengambi langkah yang vital,imperatif ,kritis dan pragmatik supaya dapat memanifestasikan generasi pelapis negara yang tidak akan lupa akan warisan mereka ibarat kacang lupakan kulit. Generasi pada hari ini perlu digarap agar menghargai dan menjunjungi pusaka warisan mereka sejak dari rebung lagi. Barulah warisan permainan tradisional akan terus hidup subur dalam kehidupan masyarakat kita. Generasi muda perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan warisan ini tidak hanyut ditelan zaman. Sekarang tibalah waktunya anak-anak remaja yang merupakan generasi penggerak wawasan menimba sebanyak ilmu pengetahuan agar dapat digunakan dalam usaha memelihara permainan tradisional ini pada masa akan datang. Oleh itu, semua pihak perlulah berganding bahu bagai lebah menghimpun madu,agar impian ini tidak akan dipersia-siakan begitu sahaja dan terus dapat dihidupkan dari semasa ke semasa.

BAHAN RUJUKAN 3

PENGENALAN

Pencemaran boleh ditakrifkan sebagai pembuangan benda-benda atau bahan-bahan hasil dari aktiviti manusia ke alam persekitaran menyebabkan terganggunya keselesaan atau kemandirian kehidupan . Takrifan Pencemaran yang lebih bermaklumat adalah menurut Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 yang menyatakan bahawa pencemaran adalah sebarang perubahan sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada sifat-sifat fizik , kimia , biologi atau aras-aras radiasi mana-mana bahagian alam sekeliling dengan melepaskan , mengeluarkan atau meletakkan buangan hingga menjejaskan kegunaan-kegunaan berfaedah yang menimbulkan sesuatu keadaan berbahaya bukan sahaja binatang tetapi juga manusia dan tumbuh-tumbuhan . Terdapat sebab dan akibat pencemaran ini berlaku . Pencemaran kini berlaku secara berleluasa sehingga menyebabkan banyak binatang kapupusan . Di sini kita tumpukan kepada dua jenis pencemaran iaitu pencemaran air dan pencemaran udara yang menyebabkan binatang dalam kepupusan . Pencemaran air berlaku di kawasan yang berair seperti sungai dan laut manakala pencemaran udara berlaku di kawasan berudara iaitu kawasan di sekeliling kita kecuali dalam air .

Pencemaran air ( sungai ) berpunca daripada perbuatan manusia sendiri . Sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak membuang sampah ke dalam sungai membawa kepada pencemaran sungai tersebut . Mereka membuang sampah ke dalam sungai mungkin kerana rumah berdekatan dengan sungai yang dapat memudahkan kerja mereka atau mungkin tempat pembuangan sampah telah penuh .

Apabila sampah sarap ini manutupi kawasan permukaan air , maka udara tidak dapat meresap masuk ke dalam air , sudah tentunya haiwan dalam air tersebut misalnya ikan , udang , ketam dan hidupan akuatik lain akan mati kerana kekurangan oksigen . Pencemaran air ini akan menyebabkan peningkatan kandungan nutrien yang mengarah kepada berlakunya eutrofikasi . Eutrofikasi merupakan masalah alam sekitar yang disebabkan oleh limbah fosfat khususnya di dalam ekosistem air tawar. Hal ini berlaku kerana kandungan nutrien di dalam ekosistem air melebihi tahap yang sepatutnya.

Kajian mendapati bahawa pencemaran air khususnya ‘ sungai ’ berpunca daripada bahan buangan industri , buangan ternakan dan domestik serta kerja tanah dan pembukaan tanah . Bahan buangan tersebut berasaskan pertanian dan pembuatan . Banyak kawasan yang telah dicemari oleh bahan-bahan buangan ini antaranya ialah sungai Juru , sungai Muar, sungai Kelang , sungai Kepah dan sebagainya . Kualiti air sungai merosot disebabkan oleh bahan terbuang ini .

Di samping itu , kepesatan pembangunan juga menyumbang kepada pencemaran sungai . Kita sering diberi pilihan sama ada kita mahu mengekalkan flora dan fauna ataupun mahu menambahkan kemudahan infrastruktur . Bagi kebanyakan masyarakat di negara kita , kita mengalah kepada tuntutan pemodenan dan kemajuan . Kita korbankan flora dan fauna di sekeliling kita bagi memberi laluan kepada pembangunan . Implikasinya seperti yang kita lihat sekarang , banyak spesies – spesies fauna semakin diancam kepupusan .

Kepesatan pembangunan menyumbang kepada pembuangan sisa toksik serta sisa industri lain oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ke dalam sungai . Keadaan ini bertambah teruk apabila terdapat pengusaha binatang ternakan membuang sisa yang tidak digunakan ke dalam sungai . Contohnya , sisa najis binatang yang boleh menyebabkan kemunculan bakteria seperti Ezcherichia coli atau E Coli, cacing nematod dan mikrob lain yang ada pada najis ternakan ayam , khinzir , kambing dan lain-lain lagi yang membawa kepada masalah pencemaran . Pembuangan ini dianggap mudah kerana tidak memerlukan kos pelupusan . Akibatnya sungai menjadi busuk dan tidak dapat mengalir dengan deras . Oleh sebab keadaan sungai yang berbau dan diliputi oleh bahan-bahan terbuang ini , maka secara tidak langsung hidupan di dalam air akan mati kerana kekurangan oksigen . Sudah tentu habitat haiwan ini akan berkurangan akhirnya pupus begitu sahaja .

Begitu juga dengan pencemaran yang berlaku di laut di mana sungai yang tercemar akan mengalir terus ke laut,dan membawa pencemaran bersama-samanya . Perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini menyebabkan banyak hidupan laut mati . Tumpahan minyak dan pembuangan sisa-sisa toksik oleh kapal yang belayar di laut sememangnya amat membimbangkan semua pihak . Apabila tumpahan minyak berlaku dengan banyak berhampiran persisiran pantai ia membentuk lapisan minyak yang mengancam kehidupan laut serta burung . Tumpahan tersebut juga turut menjejaskan tumbesaran dan kesuburan plankton . Keindahan dan sifat semula jadi laut ini akan terjejas di mana banyak hidupan dalam laut mati kerana bahan terbuang ini .

Pencemaran udara pula berlaku apabila terdapat benda asing dalam kepekatan yang mengganggu atau membahayakan bukan sahaja binatang tetapi juga manusia ,dan tumbuh-tumbuhan . Benda asing ini adalah dalam bentuk abuk , asap , kabus , wap dan gas . Apabila benda asing ini mempengaruhi alam sekitar dan boleh dikatakan berada pada tahap yang serius maka haiwan akan terancam atau mati akibat dari kandungan yang berlebihan . Kandungan yang terdapat dalam pencemaran udara ini ialah karbonmonoksida (CO) , karbondioksida (CO2) , Hidrokarbon , Chloro-fluoro-carbon (CFC) dan sebagainya . Sekiranya tumbuhan dalam hutan mati maka haiwan juga akan mati kerana haiwan sangat bergantung kepada tumbuh-tumbuhan untuk hidup . Kawasan pencemaran udara yang paling teruk berlaku ialah di Kalimantan dan Sumatera Indonesia . Banyak binatang dalam hutan tersebut telah pupus . Lebih menyedihkan , kebakaran hutan besar berlaku dan tidak dapat dikawal memusnahkan sesuatu spesies haiwan selama-lamanya .
Pembakaran terbuka juga merupakan merupakan salah satu faktor yang menyebabkan binatang dalam hutan pupus . Pembakaran terbuka biasanya dilakukan oleh individu yang mementingkan diri sendiri ibarat enau melepaskan pucuknya masing-masing . Mereka mahu melupuskan bahan buangan secara mudah dan murah semata-mata untuk mendapatkan keuntungan . Sebagai contoh ada dalam kalangan petani menjalankan aktiviti pertanian dengan menebang pokok kemudian membersihkan
kawasan dengan membakarnya secara terbuka . Sudah tentu haiwan dalam hutan tersebut akan lari ke tempat lain kerana terasa diri mereka telah diancam . Semakin banyak kawasan yang diteroka oleh manusia maka semakin kecillah habitat yang dihuni oleh hidupan liar dalam hutan .

Kesimpulannya , masalah pencemaran udara ini perlu diatasi secara kolektif ibarat bulat air kerana pembentung dan bulat manusia kerana muafakat . Kesedaran perlu ada dalam diri individu untuk menjaga kualiti udara di negara ini . Begitu juga dengan sungai kerana sungai kini bukan sahaja sumber bekalan air tetapi juga menjadi daya tarikan pelancong sebagai tempat bersantai . Hargailah sungai kita kerana sumber sungai tidak dapat diganti . Sekiranya masalah pencemaran yang dijelaskan di atas dapat dibendung , maka hidupan sama ada di darat atau di dalam air akan hidup dengan aman dan selesa . Kita sudah semestinya dapat menikmati keindahan semula jadi dengan tenang dan mempersonakan .

Pepatah Melayu lama menyebut, "patah tumbuh hilang berganti". Bagaimanapun, tidak semua yang hilang akan kembali. Begitu juga halnya dengan isu kepupusan spesies haiwan mahupun tumbuh-tumbuhan. Contoh paling nyata ialah kepupusan binatang prasejarah dinosour. Hidupan liar yang ada pada hari ini wajar dilindungi agar kelangsungan spesiesnya terjamin sekali gus mengelakkan nasib yang sama seperti dinosour berulang.
Antara langkah yang harus dilaksanakan bagi menangani masalah kepupusan ini adalah dengan mengasingkan kawasan tanah untuk melindungi serta memelihara hidupan liar sebagai usaha menyeimbangkan ekosistem. Pusat-pusat perlindungan hidupan liar perlu dibangunkan dengan tujuan pemeliharaan, pemuliharaan, pendidikan dan juga penyelidikan mengenai hidupan liar. Antara pusat perlindungan yang bertujuan sebegini yang sedia ada di Malaysia termasuklah Pusat Pemuliharaan Orang Utan di Sepilok, Sabah , Pusat Pemuliharaan Gajah Negara di Kuala Gandah, Taman Negara, Pahang dan juga taman-taman botanikal yang dikhususkan khas bagi tumbuh-tumbuhan.
Di samping itu, undang-undang yang berkaitan dengan hidupan liar juga perlu diperkuatkuasakan supaya tidak ada pihak yang berani mengancam kehidupan hidupan liar. Mengancam kehidupan hidupan liar termasuklah memburu binatang bagi mendapatkan kulit, gigi, tanduk dan juga dagingnya, dan menebang pokok secara haram serta tidak terkawal atau berleluasa. Hukuman berat perlu diberikan kepada sesiapa sahaja yang bertindak mengancam flora dan fauna.
Kempen-kempen kesedaran tentang kepentingan memelihara dan memulihara hidupan liar perlu diadakan secara global. Kempen-kempen ini perlu memberi kesedaran kepada masyarakat sedunia tentang kepentingan hidupan liar dan peranan yang dimainkan olehnya dalam menjaga keseimbangan ekosistem dan biodervisiti. Mungkin melalui kempen ini masyarakat sedunia akan sedar kepentingan melindungi hidupan liar dan semua negara turut mengambil inisiatif untuk melindungi flora dan fauna.
Antara haiwan yang telah pupus di negara kita ialah harimau belang, badak Jawa, burung merak hijau dan burung upih. Kepupusan ini didapati berpunca daripada kebanyakkan kawasan dan habitat semula jadinya yang sudah menjadi tidak sesuai untuk pembiakan. Perkara ini perlu diambil serius kerana generasi akan datang tidak dapat mengenali lagi pelbagai spesies yang ada di dalam hutan dan hanya mengenalinya melalui gambar sahaja. Justeru, langkah-langkah yang berkesan wajar dilaksanakan dengan segera untuk menangani masalah ini.

BAHAN RUJUKAN 2 - KEPUPUSAN HIDULAN LIAR


Pertembungan diantara Manusia dengan Hidupan Liar


Pengenalan

Pada hari ini, masyarakat Malaysia amnya menyedari dan mengakui bahawa hidupan liar adalah salah satu kompenen penting dalam menjamin ekosistem semulajadi sesebuah negara. Pembangunan yang pesat hasil daripada peredaran zaman telah menyebabkan kebanyakkan kawasan hutan atau habitat hidupan liar menjadi semakin sempit dan kecil. Keadaan ini biasanya akan mencetuskan pelbagai faktor yang menyumbang berlakunya pertembungan di antara manusia dengan hidupan liar. Aktiviti manusia seperti pemusnahan habitat haiwan merupakan ancaman utama kepada hidupan liar. Ini kerana apabila penerokaan hutan secara berleluasa berlaku seperti penebangan pokok dan pembakaran hutan hidupan liar akan mengalami kepupusan habitat semulajadi mereka. Semua aktiviti manusia ini bertujuan untuk mem­beri laluan kepada tanah ladang dalam menjalankan aktiviti pembangunan sehingga menyebabkan habitat hidupan liar mengalami kemusnahan dan kadangkala spesies hidupan liar menghadapi bahaya kepu­pusan yang melampau.

Konflik utama yang tercetusnya pertembungan di antara manusia dengan hidupan liar adalah melibatkan penerokaan hutan oleh manusia. Penorakaan hutan biasanya bertujuan untuk membina penempatan baru kepada manusia. Kadangkala penerokaan hutan di jalankan bagi aktiviti bercucuk tanam serta pembangunan sesebuah kawasan yang biasanya memerlukan kawasan hutan untuk diteroka. Akibat daripada perbuatan manusia kawasan ragut bagi hidupan liar seperti gajah mengalami gangguan sehingga menyebabkan habitat semulajadi gajah menjadi semakin sempit. Gajah selalunya tidak dapat menampung keperluan makanan mereka apabila habitat semulajadi mereka digugat oleh manusia. Apabila sumber bekalan makanan gajah berkurangan gajah biasanya akan mengancam kehidupan manusia. Kejadian ini dapat dibukitikan melalui laporan akhbar Berita Harian pada 14 Oktober yang lalu di mana sekumpulan gajah muncul di Jerantut Pahang. Kemunculan sekumpulan gajah liar itu disebabkan tempat tinggal mereka mengalami ancaman akibat aktiviti manusia yang dilakukan berhamipran kawasan ladang tersebut. Gajah berkenaan berkeliaran di kawasan hutan milik penduduk kampung adalah untuk mencari makanan dengan memusnahkan semua tanaman penduduk bagi mendapatkan makanan.Tanaman seperti pokok sawit muda, kebun pisang dan buah-buahan menjadi pilihan kepada gajah. Semua ini menyebabkan pertembungan di antara manusia dengan gajah yang menyebabkan penduduk Jerantut terpaksa menanggung kerugian yang besar. Selain itu, tindakan petani dalam membuka hutan untuk tujuan bercucuk tanam juga biasanya akan menganggap hidupan liar seperti gajah sebagai musuh utama mereka. Ini kerana gajah seringkali mencerobohi kawasan pertanian mereka apabila menghadapi masalah untuk mencari makanan akibat daripada kekurangan kawasan ragut. Masalah ini biasanya akan berakhir dengan tindakan petani menembak mati gajah apabila mencerobohi kawasan pertanian.

Selain itu, Pertembungan manusia dengan hidupan liar turut berlaku akibat daripada tindakan manusia dalam menjalankan aktiviti pembakaran dan penebangan hutan. Semua aktiviti ini selalunya akan memusnahkan habitat hidupan liar . Keadaan ini menyebabkan hidupan liar seperti Beruang Madu mengalami pertembungan dengan manusia. Kawasan hutan yang di bakar biasanya mengakibatkan tempat tinggal beruang madu musnah. Oleh yang demikian, Beruang Madu yang telah kehilangan tempat tinggal akan berusaha untuk mencari tempat tinggal lain yang sesuai dengan keadaan asal mereka. Namun apabila persekitaran baru tidak bersesuaian dengan habitat asal Beruang Madu pertembungan akan berlaku. Apabila Beruang Madu tidak mampu untuk hidup dengan baik kesan daripada aktiviti manusia kesihatan hidupan liar tersebut akan terancam dan kadangkala mengakibabtkan beruang tersebut sakit dan akhirnya mati. Beruang Madu biasanya tidak akan menyerang penduduk kehadiran Beruang Madu menimbulkan keraguan dan ketakutan kepada manusia. Akhirnya untuk menghindari daripada sesuatu yang buruk berlaku di kawasan itu, beruang tersebut akan ditangkap atau dibunuh demi menjaga keselamatan kawasan tersebut, kejadian ini dibukitkan apabila hidupan lair tersebut banyak dibunuh oleh manusia untuk mendapatkan organ dalaman yang dipercayai boleh menyembuhkan penyakit.

Pemburuan haram yang berleluasa di dalam hutan juga menjadi faktor berlakunya pertembungan manusia dengan hidupan liar .Hidupan liar seperti harimau merupakan spesis yang kian terancam akibat aktiviti pemburuan haram terhadapnya yang begitu berleluasa. Permintaan yang tinggi dalam bidang perubatan telah mendorong tercetuskan pertembungan antara manusia dengan harimau. Pada hari ini bilangan harimau hanya tinggal jumlah yang sedikit akibat daripada aktiviti manusia tersebut. Jarang sekali kita melihat harimau menjadikan manusia sebagai mangsa mereka dan selalunya hariamu akan mengelak kepada manusia secara semulajadinya. Namun akibat daripada pertembungan yang berlaku di antara mereka telah menyebabkan manusia menjadi mangsa harimau. Keadaan in terjadi apabila manusia menggangu imbangan mangsa dan pemangsa mereka dengan meneroka kawasan hutan yang menjadi habitat semulajadinya. Selain itu, tindakan manusia dengan membawa masuk haiwan peliharaan akan menjadikan mangsa untuk harimau berkurangan dan apabila ini terjadi harimau akan mula mengalih perhatianya kepada haiwan peliharaan daripada manusia seperti kerbau atau lembu. Keadaan ini menyebabkan mangsa utama hariamu adalah pengembala lembu atau kerbau apabila mendapati manusia menjadi mangsa utama harimau yang mudah dan tidak berdaya bagi mereka. Kejadian ini dapat dibuktikan dengan kejadian yang berlaku di Jeli Kota Bharu sejak kebelankangan ini yang mempunyai kaitan dengan kegiatan pemburu haram yang menyebakan haiwan tersebut membaham manusia.

Keadaan pencemaran yang teruk turut menyebabkan pertembungan antara manusia dengan haiwan khususnya haiwan seperti ikan lumba-lumba serta ikan paus yang hanya wujud di lautan dan tidak di dapati di dalam ekosistem air tawar. Keadaan in disebabkan tindakan manusia dalam menjalan aktiviti harian mereka iaitu seperti aktiviti perindstrian, urbanisasi serta peladangna menyebabkan racun makhluk perosak , pencemaran organik serta peningkatan keladak dalam air bertambah dan menimbulkan pencemaran disamping memusnahkan kehidupan akuatik. Laluan utama pencemaran biasanya berlaku bermula dari darat ke lautan melalui aliran sungai. Sungai-sungai yang tercemar seperti Sungai Buloh, Sungai Juru serta Sungai Kelang biasanya mengalirkan berbagai jenis racun seperti keladak, bahan kumbahan dan najis haiwan ke dalam lautan. Keadaan in menyebabkan spesis yang sensitif lama kelamaan akan lenyap samada disebabkan oleh kematian individu atau disebabkan kegagalan dalam pembiakan mereka. Ini di akibat daripada pencemaran yang dilakukan oleh manusia. Serta melaui pencemaran ini menyebabkan spesis yang tahan lasak dalam pengumpulan bahan toksik oleh badan menyebabkan risiko yang tinggi kepada hidupan yang lain termasuklah manusia walaupun pada asalnya pencemaran berpunca daripada aktiviti manusia.

Serta pertembungan manusia di antara hidupan liar yang melibatkan penorakaan hutan bakau oleh manusia terhadap Burung Botak Upeh. Pengarah Bahagian Konservasi Kepelbagaian Biologi Perhilitan, Siti Hawa Yatim, berkata Seperti yang kita sedia maklum burung botak upeh mengalami kepupusan akibat daripada ancam oleh aktiviti manusia. Penerokaan hutan bakau merupakan faktor yang mencetuskan berlakunya pertembungan tersebut. Ini kerana apabila pokok yang tinggi di kawasan hutan bakau di teroka Burung Botak Upeh akan kehilangnan habitat semulajadi mereka untuk membiak. Proses pembiakan yang terganggu menyebabkan jumlah burung ini merosot. Kini hanya tinggal kira-kira enam ekor burung botak upih di hutan bakau Kuala Gula, Perak, yang menjadi habitat burung ini. Namun Habitat burung ini tetap terganggu walaupun pembukaan hutan bakau dibuat secara terancang akibat pertembunga ndi antara manusia.
Kesimpulan
Bagi mengatasi masalah pertembungan di antara manusia dengan haiwan terus berlaku, pihak yang bertanggunjawab haruslah berusaha untuk mencari jalan bagi mengatasi masalah tersebut dalam mengelak dari berlakunya pertembungan di antara manusia dengan hidupan liar terus terjadi ,Memandangkan semua haiwan tersebut dikategorikan sebagai spesis yang hampir pupus, ia harus mendapatkan permulihan yang sewajarnya bagi mengatasi masalah tersebut. Selain itu, kita juga perlu menubuhankan unit jenayah hidupan liar iaitu dengan mengabungkan seluruh tenaga daripada pelbagai agensi dan bertindak sebagai satu badan pada peringkat pusat untuk bersama menganalisis data berkaitan hidupan lair serta melalui kempen iaitu kempen seharusnya dijalankan dengan berterusan dan semua pihak harus berganding bahu untuk menjayakan kempen tersebut.

BAHAN RUJUKA - KARANGAN KEPUPUSAN HIDUPAN LIAR


 BAHAN RUJUKAN 1
Pengenalan
Atas nama pembangunan, flora dan fauna sering menjadi korban manusia. Hasilnya, kita kini diancam kepupusan ratusan spesies binatang. Tidak mustahil pada masa hadapan, gajah, harimau dan singa hanya mampu dikenali generasi akan datang menerusi muzium binatang yang diawetkan. Apakah puncanya dan sejauh manakah manusia bertanggungjawab mengatasi masalah ini?

Bagi menikmati penambahan kemudahan infrastruktur dan tuntutan permodenan serta kemajuan, kita sanggup mengorbankan fauna di sekeliling kita. Implikasinya seperti kita lihat sekarang, banyak spesies fauna yang diancam kepupusan. Menurut Kamus Dewan, fauna bermaksud (Bio) seluruh binatang yang hidup di sesuatu daerah tertentu. Kepupusan pula ditakrifkan sebagai habis semua sekali, hilang lenyap, binasa semuanya dan punah. Jadi, kepupusan fauna boleh didefinisikan sebagai seluruh haiwan semula jadi yang hidup di sesuatu daerah tertentu semakin lenyap, binasa dan mati. Persoalannya, mahukah kita bertanggungjawab atas kepupusan fauna? Jika kita kaji secara mendalam, punca masalah kepupusan fauna adalah manusia itu sendiri.

Seperti dinyatakan tadi, aktiviti-aktiviti manusia adalah punca utama kepupusan haiwan yang membawa kepada kemusnahan dan perubahan habitat. Contoh aktiviti manusia yang paling jelas ialah pembalakan dan penerokaan kawasan baru untuk pembangunan. Menurut laporan Trade Record Analysis of Fauna and Flora, di antara tahun 1986 sehingga Jun 1990, sebanyak 500,000 hektar hutan di Malaysia ditebang tetapi kawasan yang dibenarkan hanya 320,000 hektar saja. Aktiviti pembalakan harus dikawal kerana kemusnahan sesebuah kawasan hutan memerlukan masa selama 40 tahun untuk pulih semula.

Pembalakan yang tidak dirancang mempunyai kesan buruk ke atas alam sekitar kerana ia boleh memusnahkan habitat fauna. Aktiviti- aktiviti ini akan memusnahkan sesuatu habitat dan spesies haiwan dalam sesuatu jangka tertentu. Penerokaan kawasan-kawasan hutan boleh memusnah atau mengecilkan habitat haiwan tertentu seperti harimau dan gajah yang memerlukan kawasan yang luas untuk aktiviti-aktiviti hidup. Kawasan hutan yang kecil akan mengurangkan kemampuan haiwan-haiwan ini mencari makanan dan juga mencari pasangan untuk tujuan pembiakan. Kematian dan pengurangan bilangan haiwan adalah kesan utama yang akan berlaku disebabkan masalah ini.

Selain itu, pembakaran hutan secara terbuka seperti yang berlaku di Sumatera dan Kalimantan menyebabkan spesies-spesies yang terancam yang ada di kawasan tersebut akan musnah. Lebih menyedihkan, kebakaran hutan yang besar dan tidak dapat dikawal akan memusnahkan sesuatu spesies haiwan selama-lamanya. Pembukaan kawasan pertanian baru seperti pembukaan tanah baru iaitu tanah rancangan oleh Felda dan Felcra turut menggalakkan kepupusan fauna yang terdapat di kawasan tersebut. Antara yang paling kritikal adalah pembukaan kawasan baru untuk penempatan manusia dan aktiviti ekonomi.

Apabila jumlah penduduk dunia meningkat, kita memerlukan kawasan yang lebih luas untuk membina rumah, kawasan industri, perniagaan dan pertanian, jaringan pengangkutan serta perkhidmatan berkaitan seperti loji bekalan air dan tapak pelupusan sampah. Contohnya, pembukaan tanah baru di Loji Gua Musang Kelantan di mana penyerahan tanah secara besar-besaran kepada beberapa syarikat yang bertujuan untuk membuka kawasan pertanian seperti kebun sayur. Bagi tujuan itu maka banyak hutan ditebang dan dibersihkan. Fauna yang berada di sekeliling kawasan itu akan mengalami kepupusan.

Pemburuan haram yang berleluasa di hutan-hutan negara juga adalah faktor kemusnahan habitat dan spesies haiwan. Pemburuan haram berlaku akibat permintaan tinggi daripada negara-negara luar seperti Amerika Syarikat, Britian dan Eropah terhadap haiwan-haiwan eksotik yang hanya terdapat di negara ini. Sukarnya menyeludup haiwan ini daripada dihidu oleh pihak berkuasa menyebabkan haiwan-haiwan ini sering disembunyikan dalam keadaan yang amat menyedihkan.

Menurut kajian yang pernah dilakukan, daripada 10 haiwan yang diseludup, biasanya hanya seekor saja yang sampai ke tangan pembeli dalam keadaan selamat. Hal ini menyebabkan nilai haiwan tersebut sangat tinggi dan ini menggalakkan lagi pemburuan haram. Menyedihkan juga kerana haiwan-haiwan daripada golongan primat seperti monyet dijual kepada institusi-institusi tertentu untuk tujuan penyelidikan. Dianggarkan hampir 200,000 primat digunakan setiap tahun untuk tujuan penyelidikan sehingga menyebabkan beberapa jenis primat hampir pupus kini.

Gaya hidup manusia juga turut menjurus kepada kemusnahan haiwan. Walaupun pelbagai undang-undang dan peraturan diperkenalkan, masalah memburu binatang untuk mendapatkan kulit, gading dan bahagian-bahagian badan binatang yang dikatakan memberi kekuatan kepada manusia terus berleluasa. Harimau, memerang, paus, badak dan gajah adalah antara binatang yang diburu untuk tujuan tersebut. Pemburu haram ini bukan saja mengeksploitasikan binatang ini malahan mengaut keuntungan yang banyak.

Permintaan yang tinggi melalui pasaran antarabangsa dan tempatan terhadap binatang ini menjadi punca utama kegiatan ini berterusan. Contoh lain ialah Harimau Malaya yang merupakan satu spesies yang kian terancam kerana pemburuan terhadapnya. Permintaan yang tinggi terutamanya dalam bidang perubatan Cina menyebabkan Harimau Malaya kini hanya tinggal sejumlah yang sedikit sahaja.

Tumpahan minyak dan sampah-sarap serta pembuangan sisa toksik ke dalam laut menyebabkan kemusnahan hidupan laut. Sesetengah bandar dan kampung mengepam pelbagai bahan buangan yang tidak dirawat manakala pembuangan sisa kilang juga kadang kala membuang bahan beracun ke dalam sungai. Ini boleh membunuh ikan dan tumbuhan seperti haiwan air yang lain. Baja dan racun perosak kimia yang digunakan oleh petani juga dibawa oleh air hujan ke dalam sungai dan anak sungai. Bahan-bahan ini boleh membunuh berbagai-bagai jenis hidupan air.

Pencemaran laut juga menyumbang kepada kepupusan hidupan laut. Sungai yang tercemar akan mengalir ke laut dan membawa pencemaran bersama-samanya sehingga mampu menyebabkan hidupan air mati dan semakin pupus. Contoh lain ialah Beruang Panda yang merupakan antara habitat istimewa yang hanya terdapat di negara China kini kian terancam kepupusannya disebabkan pencemaran alam. Hidupan seperti penyu di lautan juga kian terancam. Menurut laporan Pusat Santuari Penyu Rantau Abang Terengganu, melalui kajian mereka menunjukkan bahawa pada tahun 1986 terdapat 5665 ekor penyu mentarut tetapi pada tahun 1994 hanya tingga 2247 ekor sahaja. Ini jelas menunjukkan bahawa kepupusan penyu mentarut ini jika tidak dibendung akan menyebabkan generasi akan datang tidak lagi mengenali spesies ini.

Perubahan suhu dunia merupakan satu faktor yang tidak boleh dikaitkan dengan aktiviti manusia yang membolehkan kepupusan fauna berlaku. Faktor perubahan iklim ini bukanlah perkara baru dalam kepupusan fauna di mana faktor kepupusan binatang pra sejarah seperti ‘dinasor’ adalah disebabkan perubahan cuaca dunia . Fenomena El-Nino umpamanya menyebabkan peningkatan suhu dunia yang mendadak dan menyebabkan ada sesetengah spesies haiwan yang terancam terutama haiwan yang tidak sesuai dengan cuaca panas.

Langkah-langkah untuk mengurangkan kepupusan fauna adalah melalui pemeliharaan dan pemuliharaan. Pemeliharaan ialah usaha yang dilakukan untuk melindungi, merancang dan mengurus alam semula jadi supaya kekal dan berterusan. Pemuliharaan pula ialah usaha yang dilakukan untuk memulihkan sumber yang telah diganggu supaya kembali pada keadaan asal.

Selain itu, kerajaan juga menguatkuasakan akta yang telah dan sedia ada. Pelbagai akta telah diwartakan untuk menjaga alam sekitar. Pihak kerajaan dan bukan kerajaan seharusnya bersatu dalam menangani isu kepupusan fauna. Antara contoh akta yang telah sedia ada ialah mendokumentasikan kekayaan dan kepelbagaian spesies yang ada dalam hutan sebelum sesuatu tindakan mengubah status kawasan dilakukan.

Di samping itu juga, sistem pengurusan hutan berkekalan diwujudkan bagi melindungi unsur-unsur hutan terutama kepelbagaian hayat spesies yang menghadapi bahaya kepupusan. Akta dan tindakan undang-undang pembalakan khasnya untuk mencegah pembalakan haram diwujudkan seperti di kawasan perlindungan hutan iaitu Taman Negara. Usaha penyelidikan oleh FRIM, Perhilitan dan Jabatan Alam Sekitar seperti usaha mengkaji kepupusan Harimau Malaya juga dilakukan.

Pendidikan alam sekitar mula diperkenalkan secara formal pada peringkat rendah melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah ( KBSR ) dalam mata pelajaran Alam dan Manusia. Seterusnya adalah pada peringkat menengah melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah ( KBSM ), khususnya dalam mata pelajaran Sains seperti Biologi. Peringkat ketiga dan terakhir ialah pengajian tinggi melalui kursus Sains Alam Sekitar dan Biologi Persekitaran.

Pendidikan alam sekitar kepada masyarakat umum pula disampaikan melalui media massa. Antara media massa yang memainkan peranan yang penting ialah surat khabar, majalah, televisyen dan radio. Selain itu, terdapat juga agensi kerajaan dan swasta yang mengadakan kempen dan ceramah. Melalui pendedahan ini, secara tidak langsung dapat memupuk kesedaran tentang betapa pentingnya memelihara alam sekitar dan kesannya kepada habitat fauna kepada masyarakat. Pada hari ini, media massa memainkan peranan yang penting dalam membentuk cara pemikiran semua pengguna. Oleh itu, dengan adanya pendedahan media massa tentang isu kepupusan fauna boleh memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan khazanah yang tiada nilainya jika sudah pupus.

Kesimpulan

Ancaman kepupusan haiwan yang menjadi sebahagian daripada sistem ekologi kita bukan lagi satu masalah domestik atau hanya dialami oleh negara-negara dunia ketiga dan membangun. Ia sebaliknya telah menjadi masalah global dan boleh dikatakan setiap negara di seluruh pelusuk dunia mempunyai agensi atau institusi khusus untuk memastikan masalah kepupusan terkawal. Oleh itu, alam sekitar perlu dipelihara kerana kegiatan manusia yang tidak terkawal boleh menyebabkan kepupusan fauna dan secara tidak langsung kita dan generasi akan datang bakal kehilangan haiwan-haiwan yang mempunyai habitat dan hidup dalam jangka masa lama di negara ini.

Monday, August 25, 2014

KARANGAN PERPADUAN KAUM

Peranan pelbagai pihak dalam memupuk semangat patriotisme

Kepada:
Saudara alai_ram, berikut ialah contoh karangan tentang tajuk berkenaan.

Usaha pelbagai pihak:

1. PIHAK SEKOLAH
2. KURIKULUM SEKOLAH
3. KERAJAAN - KEMPEN BERTERUSAN
4. PERANAN AGENSI KERAJAAN
5. SURI TELADAN OLEH PARA PEMIMPIN
6. PERANAN IBU BAPA
7. PERANAN MEDIA MASSA


 
        Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan masyarakat di negara kita pada masa ini seperti yang didakwa oleh banyak pihak. Hal ini berlaku demikian kerana masing-masing sibuk dengan urusan sendiri yang menyebabkan mereka tidak menghiraukan perkara lain. Pada pendapat mereka, perkara yang penting dalam hidup ialah mereka perlu berusaha untuk mencari kekayaan dan hendak mencari wang untuk menambahkan pendapatan semata-mata. Oleh itu, mereka tidak menitikberatkan semangat patriotik dan tidak tidak mempedulikan sambutan hari kebangsaan, contohnya anggota masyarakat kita tidak mengibarkan bendera Malaysia ketika sambutan ulang tahun kemerdekaan negara dijalankan. Jadi, kita berharap agar semangat patriotik dalam kalangan masyarakat dapat ditingkatkan.
 
        Sebenarnya terdapat banyak cara yang boleh dijalankan untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita. Satu daripada caranya adalah denganmemberikan penekanan tentang proses pemupukan semangat patriotik dari bangku sekolah lagi. Perkara ini membolehkan semangat patriotik sebati dalam diri pelajar seperti kata peribahasa Melayu, “melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Sekiranya semangat patriotik dapat dipupuk sejak kecil, sudah tentulah semangat patriotik akan terus diamalkan dan dikekalkan hingga dewasa. Tambahan pula, amalan ini penting kerana kita dapat melahirkan masyarakat yang sentiasa cinta akan negara dan tidak melakukan perkara-perkara yang akan memburukkan nama negara.
 
        Cara lain yang boleh dijalankan adalah dengan membuat pengubahsuaian dan memberikan penekanan tentang aspek semangat patriotik ini dalam kurikulum di sekolah dan di institusi pengajian tinggi. Sekiranya perkara ini dilakukan, murid-murid akan memahami dan menghayati semangat patriotik kerana aspek tersebut dipelajari dalam mata pelajaran tertentu. Dengan perkataan lain, perkara itu akan dipelajari secara formal di dalam kelas, diuji dalam peperiksaan dan seterusnya diamalkan dalam kehidupan seharian. Oleh hal yang demikian, semangat patriotik itu akan terus subur dalam sanubari murid-murid hinggalah selepas mereka menamatkan persekolahan atau pendidikan mereka di institusi pengajian tinggi.
 
        Pihak yang bertanggungjawab hendaklah menjalankan kempen secara besar-besaranmelalui media massa. Kempen-kempen yang berkaitan dengan semangat patriotik ini akan memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita Oleh itu, Kementerian Penerangan Malaysia, di samping media elektronik seperti televisyen dan radio memang berkesan untuk menyuburkan dan meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. Dengan perkataan lain, televisyen dan radio hendaklah menyiarkan rancangan atau program yang dapat meningkatkan semangat patriotik seperti menyiarkan rencana tentang pejuang-pejuang kemerdekaan negara. Selain itu media elektronik itu juga hendaklah menayangkan filem seperti “Bukit Kepong”, “Paloh”, dan drama-drama yang berkaitan dengan semangat cinta akan negara.
 
        Agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab pula perlulah menjalankan aktiviti yang bersesuaian dengan usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat agar dapat memupuk semangat ini. Aktiviti tersebut boleh dijalankan di kampung-kampung dan juga di kawasan perumahan. Oleh itu, aktiviti seperti sambutan hari kemerdekaan pada peringkat taman perumahan dan kampung perlulah digalakkan. Di samping itu, Jabatan Penyiaran atau stesen televisyen juga perlu mengadakan forum tentang semangat patriotik dengan menjemput tokoh-tokoh akademik daripada pelbagai bangsa dan juga tokoh masyarakat yang memperjuangkan semangat kebangsaan suatu masa dahulu. Aktiviti tersebut bukan sahaja dapat memupuk semangat patriotik malahan dapat mengeratkan perpaduan antara kaum di negara kita.
 
        Semangat patriotik juga dapat dipupuk melalui contoh dan teladan daripada pemimpin-pemimpin negara dan pemimpin masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Dengan cara itu, anggota masyarakat akan mencontohi pemimpin-pemimpin mereka yang memiliki semangat patiotik yang tinggi. Para pemimpin perlulah selalu mengingatkan dan menekankan kepentingan menghargai kemerdekaan yang telah dicapai hasil perjuangan dan titik peluh pejuang-pejuang kemerdekaan yang terdahulu dan menghayatinya dengan sepenuh hati. Hal ini penting kerana, kemerdekaan yang dinikmati ini hendaklah dihayati, dijaga dan dikekalkan sampai bila-bila. Sekiranya perkara ini tidak dititikberatkan oleh semua orang sudah pasti kemerdekaan yang dinikmati sukar untuk dipertahankan dan tidak tidak akan memberi makna lagi kepada generasi yang akan datang.
 
        Oleh hal yang demikian, usaha-usaha untuk memupuk semangat patriotik perlulah dijalankan sepanjang masa tanpa henti. Hal ini demikian kerana, semangat patriotik ini penting untuk melahirkan warganegara yang cinta akan negaranya dan pasti akan menjadi individu yang berguna kepada bangsa, agama dan negaranya sendiri. Individu yang memiliki semangat patriotik yang tinggi juga akan sentiasa berusaha untuk memajukan diri dan negaranya agar mencapai kemajuan dan pembangunan dengan cepat, setanding dengan negara-negara maju yang lain. Skiranya semangat patriotik tidak dapat dipupuk dalam kalangan remaja, pastilah mereka tidak ada perasaan cinta akan negara dan menyebabkan mereka hilang jati diri. Oleh itu, semua pihak perlulah berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing agar semangat patriotik dapat dipupuk dan disuburkan dalam kalangan masyarakat.