Wednesday, July 17, 2013

MODUL SOALAN

Nantikan Modul Lengkap untuk Memudahkan Pengaran dan Pembelajaran Anda



SOALAN DAN CONTOH JAWAPAN



PUISI TRADISIONAL


1) Baca syair di bawah dengan teliti,kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Syair Definisi Orang Berakal
Abu Hassan Sham (Penyelenggara)

Orang berakal sangatlah mulia,
Pakaian anbia dan aulia,
Barang siapa mengikut dia,
Itulah tanda orang bahagia.

Kerana ia akalnya tajam,
Menjadi kepala bela bermacam,
Jikalau mata melihatkan kejam,
Disebutlah jalannya ia tersunjam.

Telek pandangan dengan makrifat,
Sangatlah mengasihi tuan dan sahabat,
Tiada mengasihi orang yang jahat,
Takut akhirnya menjadi fazihat.

Sebagai lagi tanda orang berakal,
Perintah syarak tidak menyangkal,
Menjauhkan tamak hendak rawakal,
Ibanya tahu dunia tak kekal.

Jika ia dikasihi raja,
Tiadalah ia melanja-lanja,
Tiadalah menyombong pada bekerja,
Dengan taulannya bersamaan sahaja.

Apabila raja kasih sangat,
Makin itu makin ia ingat,
Segala taulannya hatinya dihambat,
Merendahkan diri serta khidmat.

Demikian lagi dengar olehmu,
Tanda berakal kasihkan ilmu,
Suka mentelaah tiadalah jemu,
Mencari kupasan jangan tersemu.

Puisi-puisi Raja Ali Haji, 1993
Dewan Bahasa dan Pustaka



(i)                 Nyatakan pandangan orang yang berakal terhadap rakannya sebagaimana yang disebutkan dalam puisi. ( 2 markah )

(ii)               Pada pendapat anda, bagaimanakah cara yang dapat dilakukan untuk menjaga perasaan seorang rakan atau sahabat? ( 3 markah )

(iii)             Jelaskan tiga nilai yang terdapat dalam puisi tersebut. ( 4 markah )



Cadangan Jawapan

(i) Pandangan orang berakal dalam terhadap rakannya sebagaimana yang disebutkan dalam puisi itu ialah mereka tidak sombong terhadap rakan walaupun mereka dikasihi raja dan mempunyai kerjaya yang baik. Selain daripada itu mereka juga sentiasa menjaga perasaan rakan dan merendahkan diri.

(ii) Pada pendapat saya, kita dapat menjaga perasaan seorang rakan dengan menjadikan hubungan persahabatan itu satu persahabatan yang ikhlas. Kita juga hendaklah melayan rakan dengan baik. Selain daripada itu kita menjauhkan diri daripada sifat dengki dan iri hati terhadap kejayaan rakan.

(iii) Antara  nilai yang terdapat dalam syair ini ialah nilai kasih sayang terhadap pemerintah dan sahabat malah sedaya upaya cuba menjaga hati sahabat agar tidak terguris. Syair ini juga menyelitkan nilai berhati-hati dalam setiap tindakan terutamanya apabila berkata-kata  supaya tidak menyakitkan hati orang lain terutamanya sahabat. Selain daripada itu, puisi ini juga mengandungi nilai kerajinan atau ketekunan dalam menelaah pelajaran dan mencari ilmu sebagai panduan hidup agar tidak mudah terpedaya dan tertipu.














2) Baca seloka di bawah dengan teliti,kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


Seloka Emak Si Randang
Md Ali Bachik (Penyelenggara)

Baik budi emak Si Randang,
Dagang lalu ditanakkan,
Tiada kayu rumah diruntuhkan,
Anak pulang kelaparan,
Anak di pangku diletakkan,
Lera di hutan disusui,
Dagang pergi awak berhutang,
Beras habis padi tak jadi.

Khazanah Puisi Klasik Melayu, 2003
IDALAM



(i)                 Nyatakan dua perbuatan negatif yang dilakukan oleh Emak Si Randang seperti yang digambarkan dalam puisi. ( 2 markah )

(ii)               Buat baik berpada-pada. Pada pendapat anda, bagaimanakah cara untuk merealisasikan peribahasa tersebut? ( 3 markah )

(iii)             Jelaskan tiga persoalan yang terdapat dalam puisi tersebut. ( 4 markah )





Cadangan Jawapan

(i) Perbuatan negatif yang dilakukan oleh Emak Si Randang dalam puisi tersebut ialah memasak dan memberi makan kepada orang dagang sedangkan anaknya kelaparan. Dia juga berhutang untuk  memberi makan kepada orang dagang sedangkan padi yang ditanam tidak menjadi.

(ii) Pada pendapat saya, kita dapat merealisasikan peribahasa tersebut dengan menilai keadaan dan kemampuan diri kita tersebih dahulu sebelum menolong orang lain. Kita juga perlu menilai risiko yang terpaksa kita hadapi apabila kita memikirkan untuk menolong orang lain. Selain daripada itu kita perlulah menilai sejauh mana orang yang ingin kita tolong akan dapat menghargai pertolongan kita.

(iii) Seloka ini mengandungi beberapa persoalan. Antaranya ialah persoalan tanggungjawab melayan tetamu terutamanya perantau. Walau bagaimanapun tidak perlu berlebihan hingga kehabisan harta dan mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga. Persoalan sikap segelintir ahli masyarakat yang mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga sendiri sebaliknya mementingkan orang lain yang tidak ada tali persaudaraan. Selain daripada itu, puisi ini juga menyelitkan persoalan pengorbanan sesetengah ahli masyarakat dalam usaha melayan tetamu atau perantau yang bertandang ke tempat mereka walaupun terpaksa menghabiskan harta benda.







































SAJAK




1) Baca sajak di bawah dengan teliti,kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


Harga Remaja
Rahman Shaari

Berapakah sebenarnya harga remaja
yang bersih
dari gelodak kecewa
bagai kehijauan daun
bagai kesegaran pohon
di pinggir perjalanan ini?

Dengan apakah akan kaupenuhi
piala remajamu
adakah cuka kesangsian
dari cinta murah
atau madu ajaran
dari ilmu susah?

Remaja amat mahal
sesungguhnya
tiada terbeli oleh perjanjian
harga remaja adalah
pendirian
keberanian dan ilmu.

Penuhilah remajamu
dengan ketentuan tuju.

Langit di Tangan, 1995
Dewan Bahasa dan Pustaka



(i)                 Nyatakan dua cara berbeza yang digunakan oleh golongan remaja untuk mengisi masa remaja mereka. ( 2 markah )

(ii)               Pada pendapat anda bagaimanakah cara seseorang remaja dapat mengelakkan diri mereka agar tidak mudah terpengaruh dengan gejala negatif? ( 3 markah )

(iii)             Nyatakan dua unsur gaya bahasa yang terdapat dalam sajak tersebut dengan mengemukakan contohnya. ( 4 markah )




Cadangan Jawapan

(i)                 Golongan remaja mengisi masa remaja mereka dengan dua cara berbeza. Satu golongan remaja memenuhi masa remaja mereka dengan berfoya-foya dan hanyut dengan cinta yang pura-pura. Manakala satu golongan lagi mengisi masa remaja dengan mencari ilmu dan pengalaman yang berguna untuk masa depan.

(ii)               Pada pendapat saya, seseorang remaja dapat mengelakkan diri mereka daripada terpengaruh dengan gejala negatif ialah dengan memperkukuhkan pegangan agama dalam diri masing-masing. Mereka juga perlu berfikiran terbuka untuk menerima teguran dan bimbingan daripada ibu bapa dan guru-guru. Malah perkara yang lebih penting perlu dilakukan oleh ramaja ialah memilih rakan yang baik dan mengawal pergaulan mereka setiap masa.

(iii)             Terdapat dua unsur gaya bahasa yang terdapat dalam sajak ini. Antaranya ialah gaya bahasa  perulangan kata awal baris atau anafora sebagaimana yang terdapat pada rangkap pertama iaitu;
bagai kehijauan daun
            bagai kesegaran pohon

Penulis juga menggunakan unsur gaya bahasa metafora iaitu perbandingan langsung atau perbandingan terus sebagaimana contoh berikut;
            pinggir perjalanan
            piala remajamu
            cuka kesangsian
            madu ajaran










2) Baca sajak di bawah dengan teliti,kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


Adat Sezaman
Wan Nazihah Wan Abdullah

Peradaban zaman semakin berlalu
meninggalkan kesan yang mendalam
terlalu indah apabila dipandang
terlalu mulia apabila diselidik
santun si dara jadi idaman
warak si teruna jadi ikatan
si tua tersenyum mesra
memandang teruna dara
sama cantik sama padan
berganding bersama
di singgahsana…
Masa itu telah berubah
zaman sudah berlalu
santun sang dara
dan warak sang teruna telah lenyap
si tua berduka lara
memandang teruna dara
berganding tanpa silu
tanpa hormat
tanpa batasan
adat sezaman ditinggal jauh
adak agama dipandang remeh
adapt kuning jadi ikutan.

Annyss Sophillea, 1997
Dewan Bahasa dan Pustaka



(i)                 Kenapakah ‘si tua’ salam sajak di atas berduka lara? ( 2 markah )

(ii)               Pada pendapat anda, bagaimanakah cara yang dapat dilakukan untuk membendung masalah sosial dalam kalangan ramaja pada masa kini? ( 3 markah )

(iii)             Huraikan dia persoalan yang terdapat dalam sajak tersebut. ( 4 markah )





Cadangan Jawapan


(i)                 ‘Si tua’ dalam sajak berkenaan berduka lara kerana  melihat keadaan remaja lelaki dan perempuan pada masa kini terlibat dengan masalah sosial. Mereka juga tidak menghormati golongan tua. Selain daripada itu remaja lelaki dan perempuan masa kini juga terlibat dengan pergaulan bebas.

(ii)               Pada pendapat saya, terdapat beberapa cara yang dapat dilakukan oleh pelbagai pihak untuk membendung masalah sosial dalam kalangan remaja. Pihak yang bertanggungjawab boleh memperbanyakkan lagi aktiviti yang berbentuk penerapan nilai kepada golongan remaja. Pihak pengurusan masjid juga boleh mengadakan aktiviti yang dapat menarik perhatian remaja untuk datang ke masjid. Ahli masyarakat juga memainkan perana penting untuk sama-sama memantau kegiatan remaja di tempat masing-masing.

(iii)             Dua porsoalan penting yang terdapat dalam sajak tersebut ialah persoalan peredaran masa dan zaman yang menyebabkan budaya dan adapt resam juga turut berubah. Adat dan budaya lama telah hilang dan masyarakat hari ini terutamanya remaja telah dipengaruhi budaya barat. Persoalan seterusnya ialah persoalan budaya hidup remaja pada masa kini. Mereka terpengaruh dengan budaya kuning sehingga terikut-ikut dengan pergaulan bebas dan tidak menghormati orang tua.






















PROSA TRADISIONAL




1)Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti,kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Sebermula isteri Khoja Maimun teringat akan pesan suaminya itu. Maka lalu ia pergi mendapatkan burung Tiung itu seraya katanya, “Hai Tiung, apakah bicaramu bahawa aku sangatlah berahi akan anak raja itu, kerana aku hendak mendapatkan dianya pada malam ini?” Maka diceterakannya perihalnya ia berahi itu. Setelah Tiung itu mendangar kata Bibi Zainab, maka ia pun menampar-nampar dadanya seraya katanya, “Ayuhai Tuan Siti yang baik rupa, pekerjaan apakah tuan hamba kerjakan ini? Tidakkah takut akan Allah dan malu akan Nabi SAW. Maka tuan hendak mengerjakan yang maksiat lagi larangan Allah taala, ditegahkan Rasulullah istimewa pula sangat kejahatannya itu, tiada wajib atas segala perempuan yang mulia mengerjakan perkara yang demikian itu. Tiadakah tuan mendengar hadis? Barang siapa perempuan menduakan suaminya bahawa sesungguhnya dimasukkan malaikat ke dalam neraka jahanam…”

(Dipetik daripada ‘Hikayat Khoja Maimun’ dalam antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)




(i)                 Berikah maksud rangkai kata istimewa pula sangat kejahatannya. (2 markah)

(ii)               Berdasarkan petikan di atas, apakah amaran yang diberikan oleh Tiung kepada Bibi Zainab? ( 3 markah )

(iii)             Jika anda sebagai Bibi Zainab, apakah yang akan anda lakukan supaya rasa rindu kepada  suami dapat diatasi dengan cara yang baik? ( 3 markah )



Cadangan Jawapan

(i)                 Maksud rangkai kata istimewa pula sangat kejahatannyaialah lebih-lebih lagi kesalahan itu adalah kesalahan yang besar.

(ii)               Amaran yang diberikan oleh Tiung kepada Bibi Zainab ialah ketakunan terhadap Allah dan malu kepada Nabi SAW kerana ia ditegah oleh Allah dan dilarang oleh Nabi SAW. Perempuan yang menduakan suami juga akan dimasukkan oleh malaikat ke dalam neraka.

(iii)             Jika saya sebagai Bibi Zainab, saya dapat mengatasi rasa rindu tersebut dengan melakukan aktiviti yang berfaedah bersama jiran-jiran. Saya juga boleh mengikuti kelas atau kursus kemahiran seperti kelas jahitan atau sulaman. Selain daripada itu saya juga dapat menjalankan aktiviti kemasyarakatan seperti membantu anak-anak yatim dan orang-orang tua.








2)Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti,kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Pada suatu hari, Merah Silu berkata kepada segala askarnya, “Mari kitamuslihatkan kerbau jalang yang tiada berguna kepada tuan-tuan sekalian itu. Hamba hendak pekenakan kerbau itu.”

Merah Silu mengupah orang dengan emas dan perak untuk membuat anderak besar. Besarnya anderak itu sekadar muat kerbau dua ratus. Setelah siap, disuruhnya askar gemparkan kerbau liar itu ke arah muka anderak itu. Kerbau itu pun terkejut lalu lari masuk ke dalam mulut anderak itu dan tersangkut tanduknya lalu tersekat, tidak dapat masuk dan keluar. Pintu anderak itu disumbat seorang segumpal tanah. Pintu itu tertutup dan matilah kerbau itu. Kerbau yang di dalam anderak itu dijinakkan  dengan mencucuk hidungnya.

(Dipetik daripada ‘Merah Silu’ dalam antologi Dirgahayu Bahasaku, Dewan Bahasa dan Pustaka)



(i)                 Berikah maksud rangkai kata muslihatkan kerbau jalang. (2 markah)

(ii)               Berdasarkan petikan di atas, bagaimanakah cara Merah Silu menangkap kerbau liar? ( 3 markah )

(iii)             Pada pendapat anda, kenapakah masyarakat pada masa itu tidak memelihara kerbau? ( 3 markah )



Cadangan Jawapan

(i)                 Maksud rangkai kata muslihatkan kerbau jalang ialah memerangkap kerbau liar atau tidak dipelihara.

(ii)               Merah Silu menangkap kerbau liar itu dengan cara mengupah orang membuat perangkap besar. Kerbau itu dikejutkan dan lari ke dalam perangkap tersebut. Pintu perangkap itu kemudiannya ditutup dengan tanah..

(iii)             Pada pendapat saya, masyarakat pada masa itu tidak memelihara kerbau kerana mereka tidak tahu cara memanfaatkan kerbau untuk membantu melakukan kerja-kerja dalam kehidupan mereka. Mereka juga mungkin tidak tertarik dengan kerbau kerana yang hitam dan bergelumang dengan lumpur. Selain daripada itu, pada masa tersebut masih terdapat banyak haiwan lain yang boleh dijinakkan oleh mereka.




































CERPEN





1)Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti,kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


Airnya sudah tidak bergerak lagi. Sedikit pun tidak. Yang ada hanya timbunan dan timbunan sampah sarap yang bergai-bagai, bertindih-tindih bagaikan Ceper sudah benar-benar lemas. Bangkai-bangkai jangan diambil kira lagi dengan terlalu banyak. Kayu-kayu buruk, ketul-ketul tanah yang sudah keras, papan-papan sayung yang hijau dengan lumut, kertas-kerta yang sudah lama kerunyuk dan lalat-lalat jenis besar hijau bukan main banyak lagi. Pokok-pokok buluh pun di sepanjang Sungai Ceper itu menunduk bagaikan menyembah-nyembah minta ampun.

Ada yang sudah patah batangnya dan jatuh ke atas dada Ceper menjadi reba. Pokok-pokok kayu yang lain pun sudah banyak yang tumbang melintangi Ceper yang terasa masih wujud itu, tetapi yang sebenarnya sudah mati.

(Dipetik daripada cerpen ‘Ibu dan Ceper’ oleh Shahnon Ahmad dalam antologi Dirgahayu Bahasaku, Dewan Bahasa dan Pustaka)



(i)                 Bagaimanakah keadaan Sungai Ceper sebagaimana yang digambarkan dalam petikan? ( 2 markah )

(ii)               Pada pendapat anda, apakah faktor yang menyumbang kepada pencemaran sungai selain daripada sampah-sarap?  ( 3 markah )

(iii)             Huraikan satu persoalan yang terdapat yang terdapat dalam petikan dan satu persoalan dalam keseluruhan cerpen. ( 4 markah )



Cadangan Jawapan

(i)                 Keadaan Sungai Ceper seperti yang digambarkan dalam petikan ialah airnya sudah tidak bergerak atau tidak mengalir lagi. Di samping itu ia telah mengalami pencemaran sampah-sarap yang teruk.

(ii)               Pada pendapat saya, faktor yang menyumbang  kepada pencemaran sungai selain daripada sampah-sarap ialah pembuangan sisa kumbahan yang disalurkan terus ke dalam sungai. Pencemaran juga berlaku akibat daripada aktiviti pembalakan yang menyebabkan air sungai keruh dan berkeladak. Di samping itu pencemaran juga berlau akibat daripada pembuangan sisa industri yang juga disalurkan terus ke dalam sungai.

(iii)             Persoalan yang terdapat dalam petikan ialah persoalan pencemaran sungai. Masalah ini berpunca daripada sikap masyarakat yang tidak menghargai alam sekitar dan membuang sampah ke dalam sungai. Akhirnya sungai mati dan keindahan telah hilang. Satu persoalan yang terdapat dalam keseluruhan cerpen ialah persoalan bencana alam yang tidak dapat dielakkan oleh manusia. Ia adalah di luar kuasa manusia. Banjir dan kemarau telah memusnahkan tanaman terutamanya padi yang ditanam oleh ‘ibu’.







2)Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti,kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


“Dia mengalami konflik jiwa yang hebat. Mungkin juga kita dapat kelaskannya sebagai ekizofrenia mudah. Peringkat permulaan sukar dilihat. Tandanya mungkin dapat sedikit demi sedikit. Pada mulanya dia tidak berminat dalam banyak perkara, tidak mahu keluar dan pergaulannya dengan orang lain semakin berkurangan.

“Dia kelihatan tidak bermaya dan mempunyai sikap bosan terhadap hidup. Dia mengabaikan pelajarannya. Pesakit ini harus diselamatkan secepat mungkin, kalau tidak, besar kemungkinan penyakitnya akan melarat.”

Hakimah terkedu. Direnungnya wajah puan kaunselor itu dengan pandangan sayu. Mir tidak boleh dibiarkan hanyut.Mir harus diberi kekuatan.Mir sahabatnya yang tulus. Mir lambang perjuangan. Namun jiwa Mir terlalu goyah.

(Dipetik daripada cerpen ‘Biarkan Samudera’ oleh Raihanah Salleh dalam antologiDirgahayu Bahasaku, Dewan Bahasa dan Pustaka)



(i)                 Nyatakan tanda penyakit ekizofrenia sebagaimana yang terdapat dalam petikan. ( 2 markah )

(ii)               Cadangkan dua cara kita dapat mengelakkan diri daripada penyakit tersebut.  (3 markah )

(iii)             Nyatakan satu nilai yang terdapat yang terdapat dalam petikan dan dua nilai dalam keseluruhan cerpen. ( 4 markah )



Cadangan Jawapan

(i)                 Tanda penyakit ekizofrenia sebagaimana yang terdapat dalam petikan ialah pesakit tidak berminat terhadap banyak perkara. Selain daripada itu pesakit juga tidak mahu keluar dan bergaul dengan orang lain. Pesakit ini juga akan kelihatan tidak bermaya dan bosan terhadap hidup. Seterusnya mereka akan mengabaikan pelajaran.

(ii)               Dua cara yang boleh dilakukan untuk mengelakkan diri daripada penyakit ini ialah mendekatkan diri kepada Tuhan dan menerima sesuatu musibah yang menimpa sebagai ketentuan dan takdir daripada-Nya. Selain daripada itu kita juga boleh mendapatkan bimbingan dan nasihat daripada kaunselor sama ada kaunselor sekolah atau kaunselor professional.

(iii)             Satu nilai yang dapat dikesan dalam petikan ialan nilai prihatin terhadap masalah yang menimpa rakan atau sahabat. Manakala nilai lain yang terdapat dalam keseluruhan cerpen ialah nilai cinta terhadap alam sekitar dan alam semulajadi. Nilai yang tidak kurang penting dalam cerpen ini ialan nilai tanggungjawab seorang anak kepada ayah yang hidup dalam serba kekurangan.


















DRAMA





1) Baca petikan drama di bawah dengan teliti,kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


TUK WALI: (Senyum dan tidak acuh dengan kata-kata RIPIN) Engkau tahu tak? Keris ini telah ditempa oleh para empu yang tangguh dari Bentan. Besinya dibakar dan dicanai hasil campuran tujuh jenis besi dan tujuh tempat asal yang berlainan.    Pamornya dibentuk daripada logam nikel wang Kompeni Hindia Timur Belanda. Sarungnya daripada teras kayu kemuning. Keris ini beredar dari bentan ke Lingga kemudian berpindah ke Riau, ke Pulau Segantang Lada ke Batu Sawar dan akhirnya bermukim di Teluk Penyabung ini. Hebat sejarah keris ini. Engkai mesti tau itu. Kaulihat pada hulu pekaka ini, dipahat ukiran kalimah tauhid.Lailahaillallah…. Setiap kali kau menghunus keris ini, ingatlah bahawa yang kaugenggam bukanlah hulu gading gajah mina berbentuk burung pekaka, tetapi hakikatnya kau menggenggam kalimah tauhid Yang Maha Suci. Kerana itu, janganlah bergerak jika membawa kerosakan kepada manusia.

(Dipetik daripada drama ‘Gelanggang Tuk Wali’ oleh Ismail Kassan dalamDirgahayu Bahasaku, Dewan Bahasa dan Pustaka.


(i)                 Nyatakan keistimewaan keris yang terdapat dalam petikan. ( 2 markah )

(ii)               Pada pendapat anda kenapakah keris itu dibuat dengan cara yang begitu istimewa? ( 3 markah )

(iii)             Nyatakan perwatakan Tuk Wali sebagaimana yang digambarkan dalam keseluruhan drama tersebut. ( 4 markah )



Cadangan Jawapan


(i)                 Keistimewaan keris tersebut ialah ia dibuat daripada campuran tujuh jenis besi daripada tujuh tempat yang berasingan. Selain daripada pamornya dibuat daripada logal nikel wang Kompeni Hindia Timur Belanda. Sarungnya pula dibuat daripada teras kayu kemuning. Manakala hulunya dibuat daripada gading gajah mina.

(ii)               Pada pendapat saya, keris itu dibuat dengan cara begitu istimewa supaya keris tersebut kuat dan ampuh berbanding dengan senjata yang lain. Ia juga menunjukkan pemilik asalnya merupakan seorang yang hebat dan gagah berani. Selain daripada itu, pembuatan yang istimewa  mungkin bertujuan agar keris itu mempunyai kuasa dan semangatnya yang tersendiri.

(iii)             Berdasarkan keseluruhan drama tersebut, Tuk Wali digambarkan sebagai seorang yang mencintai alar semulajadi apabila dia marah kepada pencari akar kayu sekarang yang menggunakan jentera untuk mendapatkannya. Tuk Wali juga digambarkan seorang yang merendah diri apabila ditemuramah oleh Halim. Selain daripada itu Tuk Wali merupakan seorang yang berani apabila menyahut cabaran Siak untuk bertarung. Drama ini juga menggambarkan Tuk Wali sebagai seorang yang ikhlas kerana dia tidak mementingkan kekayaan dalam menurunkan ilmu persilatannya.







2) Baca petikan drama di bawah dengan teliti,kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.



ZAMAN : Di Bukit Putih? Kamu buat apa di sana?

MALIK : Sekarang zaman ekonomi baru, Zaman. Di sana banyak rezeki. Aku  mencari kayu-kayu mati, akar kayu di tebing sungai, pohon jeliti untuk bonsai. Apakah kau tak tahu bahawa pohon-pohon ini cukup berharga di Kuala Lumpur, Zaman?

PROF. PETER : Saudara Malik ini orang yang bercita-cita besar, Zaman. Dia boleh jadi ajen pembangunan di daerah ini. Dia adavision. Kebanyakan orang Melayu, walaupun masuk universiti tidak ada vision.

MALIK : Saya kurang faham maksud professor.

PROF. PETER : Jangan malukan saya di sini, Zaman. Nampaknya Malik ini lebih matang memikirkan cara hendak mengubah kehidupan orang.

(Dipetik daripada drama ‘Cempaka Berdarahi’ oleh A. Rahim Abdullah dalamDirgahayu Bahasaku, Dewan Bahasa dan Pustaka.



(i)                 Apakah yang dilakukan oleh Malik di Bukit Putih? ( 2 markah )

(ii)               Pada pengetahuan anda, apakah sumber tumbuhan semulajadi yang lain dapat dijadikan barangan kraf? ( 3 markah )

(iii)             Jelaskan satu latar tempat dalam petikan dan satu latar tempat lain dalam keseluruhan drama tersebut. ( 4 markah )



Cadangan Jawapan


(i)                 Malik pergi ke Bukit Putih untuk mencari kayu-kayu mati, akar kayu dan pohon jeliti untuk dijadikan bonsai. Hasil bonsai itu dipasarkan di Kuala Lumpur.

(ii)               Pada pengetahuan saya, terdapat banyak sumber tumbuhan semulajadi yang boleh dijadikan barangan kraf. Antaranya ialah buluh yang boleh dijadikan tikar, bidai dan pelbagai hiasan dinding. Selain daripada daun mengkuang atau pandan juga berguna untuk dijadikan tikar, bakul, topi dan pelbagai barangan anyaman. Daun getah pula boleh diperoses dan kemudian boleh dijadikan kuntuman bunga untuk pelbagai gubahan.

(iii)             Latar tempat yang terdapat dalam petikan ialah Bukit Putih. Di situ terdapat banyak kayu mati dan akar-akar kayu. Di situ juga terdapat sebatang sungai. Manakala latar tempat yang dapat dikesan dalam keseluruhan drama ialah rumah Mak Jah. Di situ terdapat gambar yang menarik perhatian Prof. Peter yang tergantung pada dinding.

No comments:

Post a Comment